You are on page 1of 3

UCAPAN PERASMIAN KEJOHANAN SUKAN TAHUNAN YANG KE – 5

SMK PUTRAJAYA PRESINT 5(1) TAHUN 2019.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera.

Terima kasih, saudari Pengacara Majlis. Yang Dihormati, Tuan Haji Mohammad
Zahri bin Haji Samingon, Yang Dipertua PIBG SMK Putrajaya Presint 5(1), Yang
Dihormati, Encik Fadzlee bin Salim Pegawai Angkat Polis SMKPP5(1), Yang dihormati,
Encik Shahrudin bin Ismail, Pegawai Angkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan
Putrajaya.
Yang Berusaha Puan Thalsiah binti Mohd Salleh @ Hassan, Pengetua SMK
Putrajaya Presint 5(1), Puan Saleha binti Salleh, Penolong Kanan Pentadbiran, Encik
Roslan bin Hassan, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Puan Sartini binti Mohd Noor,
Penolong Kanan Kokurikulum, Puan Suziyah binti Selamat, Penolong Kanan Tingkatan 6,
barisan Guru Kanan Mata Pelajaran, guru-guru, dan semua murid yang dikasihi sekalian.
Terlebih dahulu saya panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana diberi
luangan waktu dan keizinan untuk berucap di majlis yang penuh bermakna ini. Ribuan
terima kasih juga diucapkan kepada pihak sekolah kerana sudi menjemput saya untuk
menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan Kejohanan Sukan Tahunan kali yang
ke-5 SMK Putrajaya Presint 5(1). Tahniah diucapkan kepada barisan guru-guru kerana
bertungkus lumus merealisasikan Kejohanan Sukan Tahunan pada hari ini.

Tuan-tuan, puan-puan dan anak-anak didik sekalian,

Kejohanan Sukan Tahunan merupakan acara kemuncak kepada semua aktiviti


sukan yang dijalankan di sekolah. Kejohanan Sukan Tahunan yang diadakan pada setiap
tahun bertujuan untuk membina semangat kesukanan dalam kalangan anak-anak kita.
Ianya bukan sekadar satu program bagi mengukur kemampuan anak-anak kita bertanding
dalam acara-acara sukan tetapi kejohanan ini juga membina jati diri serta memberikan
suntikan kreativiti dan inovasi dalam kalangan anak-anak murid. Elemen ini sangat
penting bagi merangsang kebolehmampuan berfikir dalam menjana kemenjadian murid
yang cemerlang dan bersahsiah mulia
Hadirin sekalian,

Kejohanan sukan sekolah ini adalah salah satu daripada usaha sekolah dalam
memastikan akses pendidikan yang berkualiti untuk setiap murid agar mereka berupaya
memberi kesan berganda dalam bidang pembelajaran. Hal Ini secara tidak langsung
dapat melonjakkan pencapaian dalam bidang pembelajaran khasnya.

Badan sihat otak cerdas boleh dikaitkan dengan aktiviti-aktiviti jasmani yang
diadakan di sekolah. Elemen ini sangat dititik beratkan oleh pihak sekolah bagi melahirkan
insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, intelektual dan rohani. Inilah modal insan
yang bersifat holistik yang bakal kita lahirkan pada hari ini dan juga pada masa akan
datang. Insya Allah.

Saya mengharapkan tuan-tuan dan puan-puan dapat memberikan sokongan


kepada anak-anak murid kita untuk bergiat cergas dalam aktiviti kokurikulum kerana
potensi dan penglibatan mereka dalam bidang kokurikulum akan membantu mereka
mencipta kecemerlangan dalam bidang kurikulum. Momentum seperti inilah yang kita
perlukan agar anak-anak ini sentiasa cerdas dan cergas sama ada di sekolah mahupun di
rumah. Maka akan lahirlah modal insan berminda kelas pertama yang sentiasa kita
harapkan.

Dengan adanya kerjasama dua hala ini, saya berharap agar sekolah SMK Putrajaya
Presint 5 (1) akan terus cemerlang dalam bidang Kokurikulum khasnya. Saya juga
berharap agar warga pendidik dan murid-murid dapat bersama-sama menguatkan tekad
dan usaha bagi memastikan bidang kokurikulum akan terus cemerlang pada masa akan
datang.

Sebelum saya akhiri kalam, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Ahli Jawatankuasa
Pengelola kerana berjaya menganjurkan Kejohanan Sukan Tahunan kali ke -5 dengan
jayanya. Saya mengucapkan selamat bertanding kepada murid-murid. Kalah atau menang
bukan ukuran tetapi semangat kesukanan yang kental itu yang perlu ada dalam setiap
jiwa anak-anak. Janganlah mudah berputus asa, kerana penyertaan anda sudah pun
menunjukkan bahawa anda telah mencipta kejayaan.
Dengan lafaz ‘Bismillahhirrahmannirrahim’ , saya merasmikan Kejohanan Sukan
Tahunan Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 5 (1) kali ke-5.

Sekian, terima kasih.

Sekian, wabillahi taufik walhidayah. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

You might also like