You are on page 1of 5

TEMA 7 (Bab 1 Tingkatan 4)

MAKSUD DAN CIRI TAMADUN

SKOP KAJIAN
 Pengertian tamadun dari segi bahasa dan pandangan sarjana
 Pusat tamadun awal dunia
 Ciri-ciri tamadun awal manusia
 Sumbangan tamadun awal manusia

SOALAN CONTOH

Soalan Struktur

(a) Apakah yang dimaksudkan dengan tamadun dari sudut pandangan sarjana berikut :
(i) Sarjana Barat
(ii) Sarjana Islam
[2 markah]

(b) Berikan dua buah tamadun awal dunia yang muncul di kawasan lembah sungai.
[2 markah]

(c) Pada pandangan anda, mengapakah masyarakat dalam tamadun awal membina tamadun mereka di
kawasan lembah sungai ?
[2 markah]

(d) Nyatakan ciri tamadun awal dunia.


[2 markah]

(e) Berdasarkan pengetahuan anda, apakah sumbangan tamadun awal kepada peradaban manusia pada masa
kini ?
[2 markah]

Soalan Esei

(a) Apakah maksud tamadun ?


[4 markah]

(b) Huraikan ciri tamadun awal dunia.


[10 markah]
(c) Apakah sikap yang perlu kita contohi daripada masyarakat dalam tamadun awal untuk membolehkan kita
membina sebuah tamadun yang unggul ?
[6 markah]

NOTA

PENGERTIAN TAMADUN

Maksud Tamadun
 Berasal daripada bahasa Arab – mudun, madain dan madana
 Bermaksud tinggi budi bahasa dan pembukaan bandar
 Dalam bahasa Inggeris disebut civilization
 Berasal daripada perkataan Greek – civitas
 Bermaksud bandar
 Bermaksud peradaban
 Sarjana Barat – tamadun ialah pembangunan lahiriah
 Kemajuan dalam aspek ekonomi, pembandaran, perundangan, kebudayaan dll
 Tamadun tiada kaitan dengan unsur rohaniah
 Sarjana Islam – tamadun ialah pembangunan lahiriah dan rohaniah
 Kemajuan dalam bidang fizikal dan sahsiah
 Mesti seimbang antara kemajuan lahiriah dan rohaniah

Jawapan

Perkataan tamadun berasal daripada bahasa Arab iaitu mudun, madain dan madana. Perkataan tersebut
bermaksud tinggi budi bahasa dan pembukaan bandar. Dalam bahasa Inggeris, tamadun disebut
sebagai civilization. Perkataan civilization berasal daripada perkataan Greek iaitu civitas.
Perkataan civitas bermaksud bandar.

Dari segi konsep, tamadun membawa maksud peradaban, pembangunan atau kemajuan. Menurut pandangan
sarjana Barat, tamadun bermaksud pembangunan dalam bidang lahiriah iaitu kemajuan manusia dalam aspek
yang berkaitan dengan ekonomi, pembandaran, kebudayaan, undang-undang dan sebagainya. Menurut mereka,
tamadun tidak ada kaitan dengan unsur rohaniah. Menurut sarjana Islam pula, tamadun bermaksud
pembangunan dalam aspek lahiriah dan rohaniah iaitu kemajuan dalam bidang fizikal dan sahsiah manusia.
Menurut mereka, tamadun mestilah wujud keseimbangan antara kemajuan lahiriah dan rohaniah.

PUSAT TAMADUN AWAL DUNIA

Pusat Tamadun Awal Dunia


 Tamadun Mesopotamia – di lembah sungai Tigris dan Euphrates
 Tamadun Mesir Purba – di lembah sungai Nil
 Tamadun Indus – di lembah sungai Indus
 Tamadun Hwang Ho – di lembah sungai Hwang Ho

CIRI TAMADUN AWAL DUNIA

Ciri Tamadun Awal Dunia


 Mempunyai petempatan kekal
Penduduk nomad menetap di lembah sungai
Lembah sungai dipilih kerana dapat menjamin kelangsungan bekalan makanan
Contohnya di lembah sungai Tigris dan Euphrates, di lembah sungai Nil, di lembah sungai Indus dan di lembah
sungai Hwang Ho.
 Mempunyai organisasi sosial
Terjadi disebabkan penduduk bertambah ramai
Masyarakat mempunyai susun lapis
Terdapat dua lapisan masyarakat iaitu lapisan atasan dan bawahan
Lapisan atasan terdiri daripada raja dan bangsawan
Lapisan bawahan terdiri daripada rakyat dan hamba

 Mempunyai sistem pemerintahan


Diperintah oleh raja
Raja berkuasa mutlak
Raja berkuasa di peringkat pusat
Dibantu oleh bangsawan dan pendeta
Bangsawan menjadi pentadbir wilayah
Pendeta menjalankan urusan keagamaan
Mewujudkan undang-undang untuk melicinkan pentadbiran

 Mempunyai pengkhususan pekerjaan


Berlaku kerana terdapat pelbagai keperluan
Contoh – petani, artisan, tentera, tukang dll.

 Mempunyai agama dan kepercayaan


Mempercayai animisme – unsur alam dikawal oleh semangat
Semangat boleh mendatangkan kebaikan dan keburukan
Contohnya memuja bukit-bukau, laut, gunung dsb.
Mempercayai politeisme – banyak tuhan
Contohnya tuhan bukit, tuhan syurga, tuhan matahari dll.

 Mempunyai bahasa dan tulisan


Bahasa digunakan untuk berhubung dengan masyarakat luar
Tulisan digunakan untuk merekodkan pelbagai urusan
Contoh tulisan ialah hieroglif, cuneiform, ideogram dan piktograf

Jawapan

Ciri tamadun awal dunia ialah mempunyai petempatan kekal. Penduduk nomad mula hidup menetap di
kawasan lembah sungai yang subur. Mereka membina petempatan kekal di situ supaya dapat menjamin
kelangsungan bekalan makanan. Mereka menjalankan aktivitibercucuk tamam. Kawasan lembah sungai yang
menjadi pusat petempatan kekal ialah dilembah sungai Tigris dan Euphrates, di lembah sungai Nil, lembah
Indus serta lembah Hwang Ho.

Ciri yang kedua ialah mempunyai sistem organisasi sosial. Lebihan bekalan makanan menyebabkan
berlakunya pertambahan penduduk. Pertambahan penduduk menyebabkan wujudnya susun lapis dalam
masyarakat. Masyarakat tamadun awal mempunyai dua susun lapis utama iaitu lapisan atasan dan lapisan
bawahan. Lapisan terdiri daripada raja dan bangsawan. Lapisan bawahan pula terdiri daripada
golongan rakyat dan hamba.

Ciri yang ketiga ialah mempunyai sistem pemerintahan. Sistem pemerintahan diterajui oleh raja. Raja
mempunyai kuasa mutlak. Raja berkuasa di peringkat pusat. Raja dibantu oleh golongan bangsawan dan
pendeta. Bangsawan dilantik menjadi pentadbir wilayah. Pendeta diberi kuasa menjalankan urusan
keagamaan. Undang-undang diwujudkan untuk melicinkan pentadbiran.

Ciri yang keempat ialah mempynyai pengkhususan pekerjaan. Penduduk yang ramai menyebabkan
wujudnya pelbagai keperluan. Ada yang memerlukan tukang untuk membina tempat tinggal dan ada yang
memerlukan artisan untuk menghasilkan barang keperluan dan perhiasan. Oleh itu, wujudlah pelbagai jenis
pekerjaan seperti petani, tukang, artisan, tenteradan sebagainya.
Ciri yang kelima ialah mempunyai agama dan kepercayaan. Masyarakat dalam tamadun awal
mempercayai animisme. Mereka mempercayai bahawa setiap unsur alamdikawal oleh semangat. Semangat
tersebut boleh mendatangkan kebaikan dan keburukankepada manusia. Oleh itu, mereka memuja
semangat supaya memberikan kebaikan kepada mereka. Masyarakat tamadun awal juga
mempercayai politeisme iaitu mempercayai wujudnyabanyak tuhan. Mereka mempercayai tuhan bulan, tuhan
matahari, tuhan ibu, tuhan sungaidan sebagainya.

Ciri yang keenam ialah mempunyai bahasa dan tulisan. Bahasa digunakan untukberhubung dengan
masyarakat luar. Tulisan digunakan untuk merekodkan pelbagai urusanseperti mencatat doa, menulis surat
kredit, menulis undang-undang dan lain-lain. Contoh tulisan tamadun awal ialah hieroglif, cuneiform, ideogram
dan piktograf.

SEBAB TAMADUN AWAL DUNIA BERTUMPU DI LEMBAH SUNGAI

Membina petempatan kekal di lembah sungai kerana .....


 Tanah subur
 Sesuai bercucuk tanam
 Menjamin kelangsungan bekalan makanan
 Tanah pamah yang luas
 Sesuai membina tempat tinggal
 Bekalan air untuk kegunaan harian
 Bekalan air untuk pengairan
 Bekalan sumber protin
 Laluan perhubungan dan pengangkutan
 Mana-mana jawapan munasabah

Jawapan

Masyarakat tamadun awal membina petempatan kekal di kawasan lembah sungai keranatanah subur
sesuai untuk bercucuk tanam dan dapat menjamin kelangsungan bekalanmakanan. Selain itu, masyarakat
tamadun awal membina petempatan kekal di lembah sungai kerana terdapat tanah pamah yang luas sesuai
untuk membina tempat tinggal. Sebab yang lain ialah sungai dapat membekalkan sumber
air untuk kegunaan harian dan sumber pengairan. Seterusnya sungai juga membekalkan sumber protin serta
menjadi laluan untuk perhubungan dan pengangkutan.

SUMBANGAN TAMADUN AWAL DUNIA

Sumbangan Tamadun Awal Dunia

Tamadun Mesopotamia
 Pembinaan negara kota
 Penciptaan dan penggunaan roda
 Penciptaan layar dan kapal layar
 Pengenalan Kod Undang-Undang Hammrurabi
 Mengkatalogkan ubat-ubatan dan cara penggunaannya

Tamadun Mesir Purba


 Pengenalan sistem pemerintahan bercorak teokrasi
 Menebusguna padang pasir menjadi kawasan pertanian
 Perkembangan dalam ilmu matematik dan astronomi
 Pengenalan kaedah pengawalan banjir
 Penciptaan kalendar
 Pengenalan teknik pembedahan
 Penciptaan teknik memumiakan mayat
Tamadun Indus
 Pengenalan bandar terancang
 Penciptaan batu-bata daripada tanah liat melalui pembakaran
 Perubahan sikap mengambil unsur baik daripada tamadun lain
 Kebijaksanaan menggunakan persekitaran untuk membina tamadun

Tamadun Hwang Ho
 Pengenalan sistem pemerintahan berasaskan dinasti
 Penciptaan alat-alat pertanian
 Penggunaan teknologi baru dalam pertanian
 Penciptaan terusan
 Pengenalan kaedah dan strategi peperangan

Rangka Jawapan

Sumbangan tamadun Mesopotamia kepada peradaban manusia pada hari ini ialah pembinaan negara
kota, penciptaan roda serta penggunaannya dan penciptaan layar kapal.Selain itu, sumbangan tamadun
Mesopotamia juga ialah pengenalan Kod Undang-Undang Hammrurabi dan teknik mengkatalogkan ubat-ubatan
serta cara-cara penggunaannya.
Sumbangan tamadun Mesir Purba kepada peradaban manusia pada hari ini ialah pengenalan sistem
pemerintahan bercorak teokrasi, Menebusguna padang pasir menjadi kawasan pertanian serta mengembangkan
ilmu matematik dan astronomi. Selain itu, sumbangan tamadun Mesir Purba juga ialah memperkenalkan
kaedah mengawal banjir, mencipta kalendar, memperkenalkan teknik pembedahan dan mencipta kaedah
memumiakan mayat.
Sumbangan tamadun indus kepada peradaban manusia pada hari ini ialah memperkenalkan kaedah
membina bandar terancang serta mencipta batu-bata daripada tanah liat dengan menggunakan suhu yang
tinggi. Selain itu, sumbangan tamadun Indus juga ialah mengajar agar bersikap mengambil unsur baik
daripada tamadun lain dan bertindak bijak menggunakan persekitaran untuk membina tamadun.

You might also like