You are on page 1of 8

1.

0 PENDAHULUAN

Dalam masyarakat Malaysia, guru atau pendidik merupakan insan yang

sentiasa dihormati. Hal ini kerana, guru merupakan satu entitI yang mendidik anak

bangsa menjadi seorang yang berguna dan berjaya. Namun, dalam

merealisasikan harapan ibu bapa, guru seharusnya dibentuk terlebih dahulu

sebelum menghasilkan belia yang bijaksana serta mampu menyumbang dan

mengharumkan nama negara.

1
2.0 APA ITU PPPM?

PPPM merupakan singkatan bagi Pelan Pembangunan Pendidikan

Malaysia. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 ini telah

dilancarkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

pada 6 September 2013. PPPM merupakan dokumen setebal 300 muka surat

yang menjelaskan secara mendalam tentang lima aspirasi sistem dan enam ciri

murid. Aspirasi dan ciri tersebut dirancang untuk dicapai dalam tempoh 13 tahun.

Aspek penting yang terkandung dalam PPPM merupakan manifestasi

transformasi kerajaan yang berskala besar dan menyeluruh, untuk memberikan

pulangan yang terbaik bagi modal insan untuk menerajui harapan dan hasrat

pembangunan negara.

Ia juga memberi tumpuan terhadap kejayaan murid merangkumi semua

peringkat persekolahan. Peringkat tersebut dimulai di prasekolah sehingga ke

peringkat lepasan sekolah menengah. Dokumen PPPM ini merupakan pelengkap

kepada laporan PPPM yang awal sekali dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk

Seri Najib Tun Razak pada 11 September 2012

Terdapat tiga gelombang yang telah ditetapkan oleh bekas Timbalan

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Antaranya ialah Gelombang 1 yang

telah dilaksanakan dari tahun 2013-2015. Gelombang ini memberikan penekanan

terhadap penambahbaikan sistem dengan mencepatkan perubahan cara

pelaksanaan program. Dalam tempoh tersebut, kaedah peningkatan kualiti

pengajaran dengan meningkatkan kualiti guru yang sedia ada, meningkatkan

kualiti kepimpinan sekolah dan meningkatkan kadar literasi Bahasa Inggeris,

Nombor dan Bahasa Melayu diberikan tumpuan.

2
“Menjelang akhir Gelombang 1, kementerian akan memastikan semua guru,

pengetua/guru besar dan sekolah mencapai tahap minimum standard kualiti

yang dihasratkan,” menurut pelan yang dilaksanakan bekas Timbalan

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Gelombang 2 PPPM pula telah dilancarkan pada tahun 2016 dan akan

diteruskan sehingga tahun 2020. Kementerian akan melaksanakan perubahan

struktur pendidikan negara bagi mempercepat perjalanan perubahan kepada

semua usaha yang bermula semasa Gelombang 1. Antara perubahan tersebut

ialah pergerakan kesemua 410,000 guru dan 10,000 pengetua/guru besar kepada

pakej kerjaya yang baharu serta penyusunan semula pendidikan.

Semakan semula kurikulum standard sekolah rendah dan menengah yang

disemak semula juga akan diperkenal dalam usaha menangani kebimbangan

tentang ilmu, kemahiran, dan nilai untuk maju ke hadapan. Hal ini sesuai dengan

perkembangan ekonomi dunia hari ini.

Gelombang PPPM yang terakhir ialah Gelombang 3 yang akan dijalankan

pada tahun 2021 sehingga 2025. Dalam gelombang terakhir ini lebih

memfokuskan terhadap anjakan ke arah kecemerlangan dengan peningkatan

fleksibeliti operasi, iaitu pada permulaan gelombang ini, semua sekolah, guru, dan

pengetua/guru besar perlu menunjukkan prestasi yang melebihi tahap minimum.

3
Kementerian juga akan menganjakkan sebahagian besar sekolah kepada

model pengurusan berasaskan sekolah dan mendirikan model kejayaan sekolah

berlandaskan inovasi dalam pengajaran. Hal ini juga merupakan usaha yang

membangunkan sistem pengekalan kemajuan kendiri yang dapat mewujudkan

inovasi dan meningkatkan pencapaian ke arah yang lebih tinggi.

4
3.0 PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB GURU

Guru merupakan entiti utama yang berdepan dengan para pelajar. Justeru

itu, para guru hendaklah melengkapkan diri dengan kefahaman terhadap tugas

dan peranan guru yang sebenar seiring dengan Pendidikan Abad ke-21 dalam

menjayakan PPPM.

Antara peranan dan tanggungjawab guru ialah guru hendaklah mempunyai

ilmu pengetahuan yang tinggi. Hal ini kerana, guru merupakan golongan tenaga

pengajar yang bertanggungjawab dalam memberi dan menyampaikan ilmu

pengetahuan kepada pelajar. Dengan wujudnya aspek intelek tersebut, guru

mampu mengembangkan ilmu pengetahuan dan ilmu pedagogi serta berusaha

untuk memperoleh meningkatkan ilmu yang benar dalam mendidik anak bangsa.

Menurut Syed Ismail Syed Mustapa dan Ahmad Subki Miskon (2014), “intelek

para guru dapat memberikan mereka kemahiran untuk berfikir secara kreatif,

kritikal dan reflektif. Selain itu, dengan adanya unsur intelek ini, guru sanggup

untuk berkongsi ilmu dengan orang lain dan persekitarannya.” (hal. 35)

Di samping itu, guru hendaklah mempunyai kecerdasan pemikiran dan

emosi. Apa yang dimaksudkan dengan kecerdasan emosi di sini ialah keupayaan

guru mengawal perasaan diri dan tidak mudah panik atau mengambil keputusan

yang terburu-buru dalam sebarang situasi.

Goleman (1995) mentakrifkan bahawa :

Kecerdasan emosi sebagai keupayaan untuk mengiktiraf

perasaan sendiri dan perkara lain-lain bagi mendorong diri

kita sendiri dan menjayakan pengurusan emosi diri.

Kecerdasan emosi merangkumi beberapa aspek iaitu

pengendalian diri, semangat dan ketekunan serta

5
kemampuan memotivasikan diri sendiri dan bertahan

menghadapi kegagalan.

Para guru ataupun pendidik hendaklah mempunyai aspek emosi dalam

persediaan untuk menjadi guru kerana aspek tersebut dapat memotivasikan diri

sendiri dengan mengarahkan emosi ke arah objektif yang ingin dicapai.

Contohnya, dengan pengawalan emosi yang berkesan dan bijaksana, guru akan

menyemai sifat sabra dalam diri dan seterusnya dapat menjalinkan hubungan

yang baik dan erat dengan para pelajarnya.

Peranan dan tanggungjawab yang terakhir yang perlu ada dalam persediaan

para guru dalam bergerak seiring dengan Pendidikan Abad ke-21 ialah guru

hendaklah mempunyai keimanan bahawa wujudnya Allah sebagai Maha Pencipta

dan mempunyai pegangan agama dalam hidup mereka. Menurut Kamus Dewan

Edisi Keempat, rohani didefinisikan batin yang berkaitan dengan roh, rohaniah

ataupun jiwa. Aspek ini lebih berfokuskan kepada amalan keagamaan seperti

kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Para guru hendaklah mempunyai

aspek rohani tersebut kerana mereka merupakan golongan yang membimbing

manusia ke jalan yang betul dalam kehidupan, kerohanian, akhlak dan ilmu yang

bermanfaat.

Selain itu, setiap bakal guru akan memikul tanggungjawab atau amanah

dalam mendidik para pelajar mengenal dan menghayati sifat-sifat mahmudah serta

menjadi tauladan dan ikutan mereka. Jika guru mempunyai keimanan yang tinggi

dan utuh kepada Allah, mereka mampu bersabar dalam menghadapi apa-apa

dugaan atau masalah yang besar seperti membimbing para pelajar yang akan

menduduki peperiksaan besar seperti Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan

Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

6
Dalam bahagian yang lain, para guru hendaklah menggunakan Teknologi

Maklumat dan Komunikasi (TMK) yang sedang pesat berkembang bagi membantu

proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam bilik darjah seiring dengan

Pendidikan Abad ke-21. Menurut Persatuan Teknologi Pendidikan Malaysia

(1988), “Teknologi Pendidikan ialah proses yang kompleks dalam menganalisis

keperluan pendidikan secara sistematik, saintifik, dan rasional bertujuan untuk

mereka bentuk dan mengaplikasikannya secara sepadu idea, tenaga, sumber

bahan, kaedah dan tatacara untuk mempertingkatkan keberkesanan proses

pengajaran dan pembelajaran.”

Dengan menjadikan TMK sebagai alat bantu mengajar, guru dapat

meningkatkan lagi keberkesanan pengajarannya dengan menggunakan perisian-

perisian yang sesuai. Contohnya, pembinaan satu aplikasi yang berbentuk

permainan dan diselitkan silibus-silibus pelajaran bagi menarik minat pelajar untuk

belajar. Permainan tersebut boleh dicipta dengan menggunakan perisian Adobe

Flash dan banyak lagi. Para pelajar sekolah rendah khususnya inginkan

pembelajaran yang menyeronokkan dan tidak terlalu membebankan minda

mereka. Hal ini kerana, mereka baru sahaja mempelajari sesuatu yang baharu dan

memerlukan masa bagi mengukuhkan pengetahuan mereka terhadap silibus

tersebut. Dengan wujudnya TMK, para pelajar dapat mempelajari sesuatu dengan

cara yang lebih menyeronokkan dan tidak mudah berasa bosan. Konsep ini boleh

dianggap sebagai “Bermain Sambil Belajar”.

7
4.0 PENUTUP

Persediaan bakal guru dalam menjadi pendidik negara bangsa amat penting

kerana masyarakat masih lagi mempercayai guru untuk mendidik anak-anak mereka

menjadi insan yang berguna dan berjaya. Guru juga hendaklah menggunakan

teknologi bagi membantu proses P&P supaya tidak ketinggalan dalam arus

kemodenan. Oleh itu, pendidikan yang baik bagi para pelajar bergantung kepada sikap

para pendidik yang membimbing mereka. Bak kata pepatah, guru kencing berdiri,

murid kencing berlari.

You might also like