You are on page 1of 1

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan sukan dan

masalah yang wujud daripada sukan. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah
perkataan.

Sejak kebelakangan ini peranan sukan semakin penting kepada negara. Sukan memberi
manfaat kepada kelompok masyarakat yang bernaung di bawahnya. Kini aktiviti sukan telah
mengalami zaman peralihan fungsi asalnya iaitu memberi kesihatan kepada tubuh badan, bertukar
menjadi kegiatan fizikal yang dipertandingkan untuk mencapai kemenangan. Memang pada asalnya
sukan dikatakan boleh memberi tubuh badan yang sihat, tetapi kini telah menjadi aset sesebuah
negara dalam mempelopori kemasyhuran. Hal ini terbukti dengan tanggapan spontan jika seseorang
itu apabila diajukan soalan seperti siapakah kuasa bola sepak dunia? Negara manakah
mengungguli sukan bola keranjang, Tenis, skuasy, hoki, dan badminton? Ternyata sukan dapat
membantu negara mengharumkan namanya di persada dunia. Malaysia kini lebih dikenali oleh
masyarakat dunia kerana pencapaian yang cemerlang dalam sukan badminton, hoki dan skuasy.

Dari segi ekonomi pula, sukan telah membuka satu lagi hubungan erat antara sukan, media,
dan syarikat pengiklanan. Syarikat-syarikat televisyen berlumba-lumba untuk membuat liputan
secara langsung sesuatu acara sukan dan tidak ketinggalan juga syarikat pengiklanan yang tidak
putus-putus mahu menjadi penaja utama. Hal ini menunjukkan sukan dapat menjana ekonomi
menerusi pengiklanan sesuatu barangan. Bagi negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum
seperti Malaysia, sukan dapat digunakan sebagai alat integrasi dalam usaha menyatupadukan
segenap lapisan masyarakat. Hal ini tidak menghairankan kerana kegiatan sukan yang melibatkan
pelbagai kaum dan etnik telah menyediakan peluang untuk mereka sentiasa bekerjasama, saling
memahami, dan menyemai konsep memerlukan antara satu sama lain. Apabila saling bertemu di
gelanggang permainan, akan mengurangkan perasaan prasangka yang selama ini mencacatkan
perpaduan kaum.

Selain itu, jalinan politik antara negara juga dapat diperkukuh dengan pelbagai temasya
sukan yang dianjurkan seperti Piala Dunia, Sukan Olimpik, Sukan Komanwel, Sukan SEA, dan tidak
kurang temasya sukan di peringkat kebangsaan seperti SUKMA. Bagaimanapun kita tidak dapat lari
dari pendapat yang mengatakan bahawa biarlah kalah dalam pertandingan asalkan kita menang
dalam pembangunan politik,ekonomi, dan sosial. Tetapi itu cakap-cakap sedap mulut, namun pada
realitinya apabila menyertai sesuatu acara sukan pasti mahukan kemenangan. Oleh itu, sukan
membentuk keyakinan kepada diri sendiri untuk memperoleh kejuaraan.

Perkara yang diperkatakan ialah penglibatan sukan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Bagi sukan di peringkat sekolah, sukan berjaya memanfaatkan masa yang terluang daripada
mengisi masa dengan aktiviti tidak berfaedah seperti melepak atau bercampur gaul dengan budak-
budak nakal. Malah, sukan sebagai alat melepaskan tekanan selepas penat mengulang kaji
pelajaran. Tetapi yang kita kesal ialah ramai pelajar yang berbakat dalam sukan tidak memperoleh
galakan daripada ibu bapa disebabkan ibu bapa lebih mengutamakan pelajaran. Akhirnya bakat
yang besar hilang begitu sahaja. Ada yang ibu bapa memberi dorongan dan sokongan penuh, tetapi
anak yang sering dimanjakan tiada kesungguhan untuk meningkatkan prestasi diri. Pendek kata,
sikap tidak berani menghadapi cabaran menyebabkan remaja berpotensi tidak mampu berani
bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

You might also like