You are on page 1of 4

CACING

Jangkitan cacing suatu masalah kesihatan global sedia ada membabitkan satu pertiga penduduk
dunia tetapi kes itu paling banyak direkodkan dalam kalangan kanak-kanak di negara miskin.
Masalah cacing dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia pula berada pada tahap yang tidak
membimbangkan. Walaupun terdapat peningkatan kesedaran mengenai kesan jangkitan cacing
sebagai masalah kesihatan umum, ramai ibu bapa gagal mengesan tanda jangkitan itu apabila
ia berlaku pada anak mereka.
Bagi kanak-kanak yang tinggal di kota, jangkitan cacing mungkin jarang didengar tetapi ia
masalah ini kerap dialami kanak-kanak yang tinggal di kawasan pedalaman terutama yang jauh
daripada kemudahan kebersihan dan kesihatan.
Menurut Pensyarah Kanan Institut Farmakogenomiks Integratif (iPROMISE), Universiti
Teknologi MARA Kampus Puncak Alam Dr Tengku Shahrul Anuar Tengku Ahmad Basri,
cacing ada di sekeliling kita, bukan saja di dalam tanah tetapi juga pada makanan mentah yang
tidak dicuci seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan permukaan yang kotor.
“Cacing masuk ke dalam tubuh kanak-kanak apabila mereka termakan telur cacing yang berada
di dalam makanan. Ini dilakukan secara tidak sengaja apabila mereka membeli makanan yang
dimasak secara tidak sempurna di gerai.
“Jangkitan cacing juga boleh diterima melalui persekitaran jika kulit kanak-kanak berkenaan
terdedah kepada telur cacing secara terus, misalnya tidak memakai selipar atau bermain pasir
tanpa pengawasan,” katanya.
Menurutnya, faktor kepadatan yang tinggi di pusat penjagaan atau sekolah memudahkan
jangkitan ditularkan daripada seorang kanak-kanak kepada rakannya melalui persekitaran atau
permukaan tercemar.
“Cacing terbabit mampu hidup di dalam usus, darah dan organ manusia sehingga bertahun-
tahun dengan mendapatkan makanan melalui nutrien di dalam usus ketika proses
penghadaman,” ujarnya.
JENIS CACING
Kebanyakan cacing berbahaya ini hidup di dalam usus manusia dan biasanya tidak
menyebabkan gejala yang nyata kecuali jika ia menembusi dinding usus dan berpindah ke
bahagian atau organ badan lain.
Perkara yang membimbangkan sekiranya ia mengakibatkan komplikasi pada sistem pernafasan
atau jantung. Terdapat lima jenis cacing yang biasanya menjangkiti kanak-kanak:
1. Cacing gelang

Cacing gelang paling lazim menjangkiti kanak-kanak khususnya kanak-kanak prasekolah.


Dianggarkan ia menjangkiti 25 peratus penduduk di seluruh dunia. Cacing gelang hidup di
dalam usus kecil dan menghasilkan banyak telur.
Telur ini kemudian keluar bersama najis dan ia boleh menjangkiti orang lain jika tiada amalan
kebersihan yang baik. Telur cacing gelang boleh bertahan lama di dalam tanah dan boleh
memasuki tubuh badan melalui makanan mentah. Makanan mentah seperti ulam, salad atau
buah-buahan yang boleh menjadi ejen paling berkesan untuk memindahkan telur cacing dari
tanah ke dalam badan manusia perlu dibersihkan dengan air mengalir.
Malah, kanak-kanak yang suka bermain dengan tanah atau tidak memakai kasut juga boleh
dijangkiti dengan cacing gelang. Kebanyakan kes jangkitan cacing gelang tidak menunjukkan
gejala. Bagaimanapun, ada juga kanak-kanak yang mengalami sakit perut, muntah atau sukar
membuang air besar. Cacing ini juga bertanggungjawab menyebabkan kanak-kanak batuk
teruk pada waktu malam.

2. Cacing benang
Cacing benang paling biasa berlaku pada kanak-kanak berusia di antara lima hingga 14 tahun.
Walaupun jangka hayat cacing ini pendek, pesakit biasanya mendapat jangkitan berulang.
Cacing benang sangat halus dan kecil, berukuran di antara dua hingga empat milimeter saja,
berwarna putih dan biasanya ditemui dalam satu kumpulan. Ia tinggal di dalam usus besar dan
dikategorikan dengan gejala gatal pada dubur akibat pengeluaran telur di kawasan itu pada
waktu malam. Apabila kanak-kanak menggaru duburnya, telur itu berpindah ke jari dan
kukunya.
Telur ini disebarkan apabila ia menyentuh mana-mana permukaan. Jika dia menyentuh mulut
dan menelan telur ini secara tidak sengaja, telur cacing masuk ke dalam perut dan sampai ke
usus. Kitaran hidup cacing benang akan berulang di dalam badan pesakit.
Selain gatal pada dubur, pesakit juga mengalami anemia, cirit-birit, muntah, letih, hilang selera
makan, batuk dan sukar bernafas. Jika seorang kanak-kanak dijangkiti, semua ahli keluarga
perlu mendapatkan rawatan.
3. Cacing cangkuk
Cacing cangkuk lazimnya menjangkiti penduduk luar bandar dan di kawasan kurang
kemudahan kebersihan. Kanak-kanak berusia di antara lima hingga 15 tahun beirisko tinggi
mendapat jangkitan dan biasanya jumlah cacing di dalam usus mereka lebih banyak berbanding
dewasa.
Jika jangkitan tidak serius, ia tidak menunjukkan sebarang kesan tetapi kanak-kanak boleh
mengalami cirit-birit berdarah dan kadangkala dubur terkeluar jika jangkitan sampai ke
peringkat serius. Malah, kanak-kanak juga kelihatan pucat dan tidak sihat akibat kekurangan
zat.
4. Cacing kerawit
Cacing kerawit sangat biasa dijumpai di kawasan pedalaman terutama jika kanak-kanak
berjalan berkaki ayam. Di kawasan bandar, kanak-kanak yang tinggal berhampiran kawasan
terbuka dan padang lebih berisiko mendapat jangkitan.
Cacing ini memasuki badan melalui kulit. Larva (anak cacing yang baru ditetaskan) memasuki
usus kecil dan tinggal selama beberapa tahun. Ia hidup dengan mengambil nutrien dari dinding
usus. Jangkitan cacing kerawit boleh menyebabkan kehilangan darah yang kronik dan pesakit
mengalami anemia serta kekurangan zat besi. Jika tidak dirawat segera, ia menjejaskan
tumbesaran kanak-kanak.
5. Cacing pita
Jangkitan cacing pita berlaku apabila seseorang memakan daging lembu, babi atau daging lain
yang dijangkiti larva cacing. Bagaimanapun, ia jarang berlaku dan biasanya hanya dialami
individu yang kerap makan daging atau produk berasaskan daging.
Gejala jangkitan termasuk penurunan berat badan tanpa sebab, hilang selera makan, perut
buncit dan sebahagian daripada cacing terkeluar apabila membuang air besar.
TANDA UMUM JANGKITAN CACING
Jangkitan cacing jarang berakhir dengan kematian tetapi ia boleh memberi kesan negatif untuk
jangka panjang terhadap pertumbuhan fizikal, perkembangan minda dan pendidikan. Ini kerana
cacing dalam usus menyerap nutrien daripada makanan perumah (kanak-kanak) dan
menyebabkan mangsa mengalami masalah kekurangan zat. Antara tanda umum jangkitan
cacing:
- Pucat akibat anemia (kekurangan sel darah merah)
- Susut berat badan
- Cepat rasa letih dan lemah
- Kurang selera makan
- Perut kembung dan cirit-birit
- Kegatalan di kulit kaki dan lubang dubur
- Perkembangan fizikal yang perlahan
- Kurang fokus di dalam kelas
LANGKAH PENCEGAHAN
Banyak kaedah pencegahan boleh dilakukan bagi mengelak jangkitan ini pada kanak-kanak.
Paling penting mengajar mereka untuk mengamalkan kebersihan sejak kecil. Antara langkah
yang boleh diambil:
- Ajar kanak-kanak mencuci tangan setiap kali keluar dari tandas, sebelum dan selepas makan.
- Jangan benarkan kanak-kanak bermain di luar rumah tanpa memakai kasut.
- Pastikan kuku kanak-kanak sentiasa pendek.
- Makanan yang dimakan mentah perlu dicuci dengan bersih di bawah air mengalir.
- Pastikan daging dan ayam dimasak dengan baik. Jangan makan daging panggang setengah
masak kerana mungkin mengandungi larva cacing yang masih hidup.
- Jika menggunakan tandas awam, bersihkan mangkuk tandas sebelum duduk di atasnya.
RAWATAN
Ubat cacing selalunya diberikan antara enam bulan hingga setahun sekali. Jarang sekali kanak-
kanak mengalami kesan sampingan berbahaya daripada ubat yang dimakan. Pemberian ubat
cacing secara berkala juga membantu mengeluarkan cacing serta telurnya dari usus kanak-
kanak yang dijangkiti.
Menurut Dr Tengku Shahrul Anuar, ubat cacing boleh diberi dengan sukatan dos 200 mg untuk
kanak-kanak di bawah dua tahun, manakala 400 mg untuk kanak-kanak berusia melebihi dua
tahun.
“Jika masih terdapat banyak cacing di dalam najis pada hari keempat atau ada bukti kanak-
kanak itu dijangkiti cacing yang kronik, bawalah anak berjumpa dengan pakar paediatrik.
“Perlu diingatkan, ubat cacing bukan saja perlu diberi kepada kanak-kanak tetapi ibu bapa juga
perlu mengambilnya. Malah jika ada membela haiwan peliharaan seperti kucing, haiwan itu
perlu sentiasa berada dalam keadaan bersih terutama di bahagian tapak kaki dan badan serta
turut diberi ubat cacing,” katanya. - Siti Nadirah Hafidzin

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 2:37 AM

You might also like