You are on page 1of 13

PROCEEDINGS OF THE INTERNATIONAL CONFERENCE ON ISLAM, DEVELOPMENT AND SOCIAL HARMONY IN SOUTHEAST ASIA 2017

Proceedings of the International Conference on Islam, Development and Social Harmony in Southeast Asia 2017
Editors: Mohd Nasran Mohamad, Muhamad Razak Idris, Farid Mat Zain, Cheloh Khaegphong,
Anis Pattanaprichawong & Nik Abdul Rahim Nik Abdul Ghani
© Faculty of Islamic Studies, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor Malaysia
Academy of Islamic and Arabic Studies, Princess of Naradhiwas University, Thailand
ISBN 978-983-9368-79-6 (2017), http://www.icdis2017.com

TASAWUF MENURUT PERSPEKTIF


AHL SUNNAH WA AL-JAMAAH
Nozira Salleh

Abstrak: Tasawuf dapat dilihat sebagai suatu cara atau kaedah pendekatan jiwa untuk mencari keredaan
Allah SWT melalui program-program dan perlaksanaan hidup yang berpandukan kepada al-Quran dan
Sunnah. Ia merupakan sebahagian daripada ilmu-ilmu syariat yang muncul dalam ajaran Islam. Aspek
penekanan yang ditumpukan dalam tasawuf ialah berkaitan dengan persoalan kerohanian dan kebatinan
kerana ia sentiasa menyentuh hal-hal yang berkaitan dengan perasaan, isi hati, jiwa dan raga manusia.
Penekanan tasawuf kepada aspek tersebut dilihat sangat penting kerana persoalan-persoalan itulah yang dapat
menguasai akal fikiran manusia daripada dinodai oleh syaitan dan hawa nafsu. Di samping itu, penekanan
kepada aspek tersebut juga dilakukan kerana ia dipercayai sebagai satu jalan yang holistik dalam membentuk
zahir dan batin Muslim ke arah kesempurnaan. Walaupun begitu, kedudukannya sebagai salah satu disiplin
ilmu Islam yang sah, masih lagi diragui dan diperdebatkan oleh beberapa kalangan manusia yang tidak dapat
menerimanya sebagai satu ilmu dan amalan yang bersumberkan daripada al-Quran dan Sunnah Nabi SAW
Justeru itu, bab ini dilihat sebagai suatu imbasan kembali kepada umat Islam untuk melihatnya daripada sudut
pandangan Ahlu Sunah wa al-Jamaah.

PENGENALAN

Tasawuf mempunyai banyak pengertian yang luas dan berbeza kerana ia adalah fenomena umum
yang wujud dalam mana-mana agama, falsafah dan tamadun manusia. Kamus Oxford Study
Dictionary (1996: 1066) merujuk maksud sufism sebagai tasawuf ataupun sufiyyah. Ia boleh
difahami sebagai satu fahaman atau ajaran tentang tasawuf. Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka
(1994:1382) pula mendefinisikannya sebagai ajaran (usaha, jalan) untuk mengenal dan
mendekatkan diri pada Tuhan dengan sebenar-benarnya. Seterusnya, ia menyatakan bahawa ilmu
ini adalah ilmu suluk dan ilmu tarekat.
Tasawuf dikatakan berasal daripada perkataan suf ( ‫ ) صوف‬bererti bulu iaitu sejenis pakaian
yang diperbuat daripada bulu binatang yang menjadi pakaian kebanyakan ahli tasawuf pada zaman
dahulu kerana pakaian jenis itu merupakan pakaian yang paling digemari oleh para anbiya’ dan
para siddiqin serta juga merupakan syiar kepada orang yang zuhud (Ibn Khaldun t.t:439). Tujuan
mereka memakai pakaian seperti itu adalah untuk menambahkan lagi sifat tawaduk dan rendah diri
kepada Allah SWT. Antara Sahabat Rasulullah yang sentiasa memakai pakaian seperti itu ialah
Abu Zhar al-Ghifari, Salman al-Farisi, Abu Ubaidah al-Jarrah dan lain-lain lagi. Di samping itu,
ada juga yang berpendapat bahawa istilah tasawuf tersebut dinisbahkan kepada seorang lelaki yang
bernama al-Ghaus bin Mar bin Ad bin Thabikhah bin Ilyas bin Mazar yang sentiasa mengasingkan
diri daripada masyarakat kerana bermunajat kepada Allah SWT di Masjid al-Haram. Namun
begitu, beliau lebih dikenali sebagai Suffah bin Murah, terutamanya ibunya yang sentiasa
memanggilnya Sufah (al-Jauzi 1987:197-200). Oleh yang demikian, ahli-ahli sufi dikatakan
disandarkan kepadanya kerana kedudukan mereka yang sama dengannya daripada sudut
mengasingkan diri untuk mengabdikan diri dan beribadat kepada Allah SWT. Tasawuf juga
dikatakan berasal daripada kalimah al-saf ( ‫ ) الصف‬yang bermakna saf atau barisan sama ada
barisan perjuangan di medan perang ataupun saf hadapan ketika mendirikan solat. Ini disebabkan
kerana kebanyakan para ahli tasawuf sentiasa berada dalam barisan hadapan semasa menunaikan
solat di masjid dan juga mereka suka memenuhi saf-saf hadapan ketika berperang. Seterusnya,
perkataan ini juga diambil daripada kalimah al-sofa (‫ )صفى‬yang bermaksud kesucian hati dan
bersih daripada sifat-sifat mazmumah serta berlapang dada untuk mencari keredaan Allah SWT

189
PROCEEDINGS OF THE INTERNATIONAL CONFERENCE ON ISLAM, DEVELOPMENT AND SOCIAL HARMONY IN SOUTHEAST ASIA 2017

dalam setiap lapangan kehidupan mereka. Pendapat ini disokong oleh Shaykh Sha’rawi dan Shaykh
Abd. Qadir al-Jilani dalam kitabnya al-Ghunyah serta Bishr bin al-Harith. Bagi al-Bishr, ahli sufi
itu ialah orang yang suci hatinya kerana Allah SWT. Selain semua pendapat itu, perkataan tasawuf
juga dikatakan berasal daripada ahl al-suffah ( ‫ ) أهل الصفة‬iaitu para sahabat yang terdiri daripada
kalangan orang-orang Muhajirin dan Ansar yang tidak mempunyai waris dan kaum kerabat.
Mereka juga adalah golongan miskin yang tidak mempunyai tempat tinggal. Oleh sebab itu,
mereka hanya tinggal di serambi Masjid Nabi SAW di Madinah. Namun demikian, mereka adalah
orang-orang yang sentiasa beribadat dan bermunajat kepada Allah SWT (al-Ghazali 1972:216).
Selain itu, asal perkataan tersebut juga diambil daripada perkataan safwa (‫) صفوى‬, tetapi perkataan
itu agak sukar untuk disebut oleh lidah orang Arab, maka, ia telah diubah menjadi sufi (‫ )صوفي‬yang
bererti membersihkan hati sanubari dan jiwa nurani terhadap Allah SWT (al-Shak ‘ah 1996:504).
Seterusnya, makna tasawuf daripada sudut istilah pula dilihat menurut pandangan ulama-
ulama Islam yang mempunyai pelbagai takrifan yang berbeza kerana mereka menilainya daripada
sudut pandangan, pemerhatian dan pengalaman masing-masing mengikut zaman, suasana dan
perkembangan yang dilalui. Ada ulama yang memberi takrifan dengan pendapat yang luas dan ada
juga yang memberi takrifan yang agak sempit. Ada yang mentakrifnya daripada sudut akhlak, ada
yang mendefinisikannya daripada sudut kesucian jiwa dan amal ibadat, ada juga yang
mendefinisikannya menerusi kaca mata makrifat dan ada juga yang mendefinisikannya daripada
sudut zuhud. Selain itu, terdapat juga ulama Islam yang mendefinisikannya daripada sudut ihsan.
Bagi pengertian daripada segi akhlak, terdapat beberapa ulama yang mentakrifkannya sedemikian
seperti al-Kattani, al-Jariri, al-Taftazani dan lain-lain lagi. Menurut al-Kattani, tasawuf ialah jalan
yang dilalui oleh sesiapa sahaja yang membekalkan akhlak yang terpuji kepada seseorang, maka,
dia sebenarnya telah menambahkan kebersihan jiwa padanya (al-Sullami 1969:91). Sesetengah
tokoh tasawuf lain menyatakannya sebagai akhlak ketika bersama dengan makhluk dan juga ketika
bersama dengan Allah SWT (Suhrawardi 1966:175). al-Taftazani pula menyatakan bahawa tasawuf
pada dasarnya ialah akhlak. Menurutnya, tasawuf boleh dianggap sebagai roh Islam kerana seluruh
rukun Islam diasaskan kepada akhlak. Selain itu, al-Sha’rani (1954 i:4) pula mendefinisikan
tasawuf sebagai ilmu yang terbit dari dalam hati para wali apabila mereka mempraktikkan al-Quran
dan Sunnah. Seterusnya, Muhammad Ali al-Qashab mendefinisikan tasawuf sebagai akhlak yang
mulia, muncul dizaman yang mulia, daripada seorang lelaki yang mulia bersama kaum yang
dimuliakan (al-Qushairi 1972: 283). Kemudian, al-Baghdadi pula mendefinisikan tasawuf adalah
akhlak yang mulia, yang muncul dizaman yang mulia dari tangan seorang yang mulia bersama
kaum yang mulia. Abu Muhammad al-Jariri pula menyatakan tasawuf adalah jalan penghijrahan
daripada akhlak yang buruk kepada akhlak yang mulia. Begitu juga dengan keterangan al-Junaid
yang pernah suatu ketika ditanya tentang makna tasawuf, dan beliau menyatakannya sebagai
akhlak yang mulia yang lahir pada zaman yang mulia daripada seorang lelaki yang mulia bersama
dengan masyarakat yang mulia (al-Tusi 1970: 18-19). Manakala al-Ghazali (1979:)
mendefinisikan tasawuf sebagai satu jalan untuk menyucikan jiwa daripada akhlak yang dicela dan
sifat yang buruk supaya dia dapat membersihkan hatinya daripada yang selain Allah SWT dan
menghiaskan hatinya dengan mengingati Allah SWT sentiasa. Dengan semua pengertian tersebut,
tasawuf bolehlah dikatakan sebagai roh Islam kerana seluruh hukum Islam diasaskan kepada
akhlak. Akhlak Islam merupakan dasar syariah. Jika hukum-hukum syariah tidak mempunyai
akhlak sama ada dalam akidah atau hukum-hukum fikah, maka hukum-hukum tersebut diibaratkan
kosong dan tidak bermakna apa-apa. Di samping itu, tasawuf juga sangat menitikberatkan
persoalan akhlak dengan menggalakkan sifat mahmudah dan menghindari sifat yang terkeji. Ini
bermakna, tasawuf dalam Islam merupakan satu bidang ilmu agama yang memberi penekanan
kepada seluruh akhlak manusia.
Selain daripada sudut akhlak, tasawuf juga dilihat oleh segelintir ulama menerusi aspek
penyucian jiwa dan amal ibadat. Menurut Abu Turab al-Nakhshabi, sufi itu ialah seorang yang
tidak dikotori oleh sesuatu maksiat malah bersih daripada semua perkara yang tercela. Sahl bin
‘Abdullah al-Tustari mengatakan bahawa sufi itu ialah seorang yang bersih daripada maksiat,
sentiasa berfikir dan berpegang teguh dengan Allah SWT sahaja dan tidak dengan manusia. Oleh
yang demikian, beliau melihat antara lumpur dan emas tiada perbezaan kerana kedua-duanya
adalah sama sahaja nilainya (al-Sullami 1969:38). Bagi Ibn Khaldun (1975:48) pula, tasawuf ialah
memelihara kemuliaan adab bersama Allah SWT dalam sesuatu amalan, sama ada amalan batin

190
PROCEEDINGS OF THE INTERNATIONAL CONFERENCE ON ISLAM, DEVELOPMENT AND SOCIAL HARMONY IN SOUTHEAST ASIA 2017

atau zahir dengan meletakkan hududNya mendahului kepentingan diri yang boleh mengunci hati,
menghampiri diri dalam keadaan sunyi dan merasa rakus ketika bermunajat. al-Junaid bin
Muhamad (m.297H) telah membuat pentakrifan yang lebih luas iaitu tasawuf adalah mengadakan
hubungan dengan Allah SWT tanpa perantaraan atau dengan kata lain, pengabdian diri kepada
Allah SWT secara langsung tanpa ada batas-batas perantaraan antaranya. Dalfu al-Shubli (m.334H)
pula mengatakan bahawa tasawuf ialah beribadat kepada Allah SWT tanpa ada perasaan dukacita.
Kemudian, al-Jurairi pula mengatakan bahawa tasawuf ialah menghampiri diri kepada Allah SWT
di dalam setiap keadaan dan sentiasa memperbaiki adab. Manakala al-Qushairi mengatakan bahawa
tasawuf ialah ilmu yang membicarakan persoalan kebersihan jiwa dan penyucian akhlak, beramal
dengan anggota zahir ataupun batin untuk mencapai kebahagiaan yang kekal abadi (al-Qushairi
1972:284-389). Seterusnya, Sahal bin Abdullah al-Tastari (m.283H) telah menyatakan bahawa sufi
ialah sesiapa sahaja yang bersih dan jernih dirinya daripada sifat-sifat kotor. Bishr bin al-harith
juga menyokong pandangan al-Tastari dengan menyatakan bahawa sufi ialah sesiapa yang bersih
hatinya semata-mata kerana Allah SWT (al-Kalabazi 1969:34). Menerusi pendapat-pendapat
tersebut, dapatlah difahami juga bahawa tasawuf adalah satu kaedah untuk membimbing manusia
ke arah penyucian jiwa, hati dan roh agar mudah mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Bagi
ulama yang melihat tasawuf daripada sudut taqarrub kepada Allah SWT, mereka telah utarakan
pelbagai pandangan yang tersendiri. Contohnya, Ma’ruf al-Kurkhi yang mendefinisikan tasawuf
sebagai satu kaedah pergantungan hidup daripada seorang hamba kepada Allah SWT tanpa terikat
kepada makhluk (al-Sullami 1969:91). Kemudian, al-Baghdadi pula mendefinisikan tasawuf
sebagai hubungan manusia dengan Allah SWT tanpa sebarang perantaraan (al-Tusi 1970:45).
Mereka ini adalah orang yang tidak suka melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan
kebenaran. Malah, mereka melakukan amal ibadat pun bukan mengharapkan pahala atau takutkan
balasan daripada Allah SWT, tetapi mereka lakukan semua itu semata-mata kerana kecintaan
kepada Allah SWT.
Di samping itu, ada juga ulama yang mendefinisikannya menurut aspek makrifat seperti al-
Kharraj (m.289H). Beliau mendefinisikan ahli sufi sebagai orang yang dibersihkan oleh Allah SWT
hatinya, lantas, bersinarlah hati itu dengan cahaya makrifat (al-Sullami 1969:53). Manakala al-
Kurkhi (m. 200H) pula berpendapat bahawa tasawuf ialah berpegang dengan hakikat-hakikat
sesuatu dan berputus asa dengan apa yang ada pada tangan makhluk (al-Asfahani, vol.8,1932:361).
Dhu Nun al-Misri (m.245H) pula berpendapat ahli sufi ialah orang yang apabila bercakap,
percakapannya itu dapat menjelaskan hakikat-hakikat sesuatu. Namun, apabila dia diam, anggota-
anggota lahirnya pula bercakap supaya diputuskan hubungan dengan segala sesuatu yang boleh
mengganggu perjalanannya menuju kepada Allah SWT (al-Asfahani, vol.9,1932:23).
Selain itu, terdapat juga sesetengah ahli tasawuf yang mendefinisikan tasawuf menurut aspek
zuhud seperti al-Khawwas (m. 290H). Beliau menyatakan tasawuf ialah jalan yang dilalui oleh
seseorang manusia yang tidak memiliki sesuatu dan juga tidak dimiliki oleh sesuatu (al-Zarkali,
vol.3 t.t:140). Seterusnya, al-Hassan al-Nuri (m.295H) pula mengatakan bahawa ahli sufi ialah
orang yang tidak memiliki dan tidak dimiliki oleh sesuatu (al-Sullami 1969:38). Menurut Hassan
al-Basri, kaum sufi ialah mereka yang menggunakan akal tatkala ditimpa kesedihan dan selalu
meratapinya dengan hati nurani, selalu berpegang teguh pada Allah SWT dari godaan hawa nafsu.
Dhun Nun al-Misri pula menyatakan ahli sufi ialah orang yang tidak berkeinginan pada sebarang
kemahuan dan tuntutan serta tidak merasa sedih atas kehilangan sesuatu benda daripadanya (al-
Tusi 1970: 45). Abu Muhammad bin Ruwaim pula melihat tasawuf sebagai satu cara untuk
manusia membiarkan jiwa mereka bersama Allah SWT sebagaimana yang dikehendakiNya. Selain
itu, al-Khawwas juga menyatakan tasawuf adalah sesuatu yang membuatkan manusia merasa tidak
memiliki sesuatu dan tidak pula dikuasai oleh sesuatu (al-Zarkali, vol.3 t.t:140).
Akhir sekali, tasawuf juga didefinisikan daripada sudut ihsan, tingkat ketiga daripada aspek
utama yang terungkap dalam hadis Jibril a.s.: al-Islam, al-iman dan al-ihsan (al-Asqalani t.t.: ).
Ihsan ialah perbuatan yang mengabdikan diri kepada Allah SWT bagaikan seseorang itu melihat
Dia, dan jika dia tidak dapat melihat Allah SWT, maka, sesungguhnya Allah SWT melihat dia. al-
Attas (1981) pernah menyatakan bahawa tasawuf itu adalah mengamalkan shariah pada maqam
ihsan. Begitu juga dengan al-Kandahlawi (1978) yang menjelaskan ihsan sebagai tasawuf atau
suluk. Ini adalah kerana prinsip dalam ilmu dan amalan tasawuf boleh membimbing perjalanan
rohani seseorang yang salik untuk mencapai martabat ihsan (Nasr 1872). Justeru itu, tasawuf

191
PROCEEDINGS OF THE INTERNATIONAL CONFERENCE ON ISLAM, DEVELOPMENT AND SOCIAL HARMONY IN SOUTHEAST ASIA 2017

bolehlah dikatakan sebagai satu usaha untuk merealisasikan martabat ihsan dalam ibadat kepada
Allah SWT, iaitu dengan penuh kesempurnaan, dan berupaya melaksanakan ubudiyyah sebagai
seorang makhluk kepada Allah SWT yang sifatnya Khaliq. Oleh sebab itu, ada sesetengah ulama
tasawuf menggelarkan ihsan itu sebagai nama kedua bagi tasawuf (al-Kandahlawi 1978). Menurut
penjelasan di atas, ia dapat disimpulkan bahawa tasawuf itu sebenarnya merupakan pencapaian
martabat ihsan yang merupakan jiwa agama. Ia adalah satu dari tiga tunggak utama agama Islam.
Pencapaian martabat itu bukan sahaja memperteguhkan hubungan seseorang itu dengan Tuhannya
dalam bentuk peningkatan nilai keimanan, ibadah dan akhlak, malah juga hubungannya dengan
sesama manusia dalam bentuk kewujudan rasa hormat menghormati, tanggungjawab dan
keharmonian muamalah sesama manusia.
Berdasarkan semua pengertian tersebut, dapat difahami bahawa tasawuf adalah falsafah hidup
dengan tujuan untuk meningkatkan jiwa manusia yang boleh dicapai menerusi amalan tertentu
yang membawa kepada rasa fana dengan hakikat Yang Maha Tinggi dan mengetahuinya menerusi
rasaan rohani, natijahnya ialah kebahagiaan rohani. Ia adalah satu kaedah dan tujuan untuk
memurnikan hati ke arah melahirkan insan soleh yang sudah tentunya hampir kepada Allah SWT.
Kepentingan kaedah ini telah melahirkan pelbagai aliran tarekat tasawuf seperti Qadiriyyah,
Sanusiyyah, Shaziliyyah, Naqshabandiyyah dan pelbagai nama dan variasi jalan untuk
mentaqarrub diri kepada Allah SWT.

Kesahihan Ilmu dan Amalan Tasawuf

Ilmu tasawuf merupakan salah satu ilmu Islam yang masih lagi dianggap mempunyai pelbagai
perselisihan pendapat dan pandangan daripada pelbagai ulama, cendekiawan dan sarjana-sarjana
Islam dan juga bukan Islam. Ia telah dilemparkan dengan pelbagai tuduhan, hinaan, kritikan
negatif, cercaan dan sebagainya lagi menerusi pelbagai saluran maklumat seperti majalah, buku dan
internet. Ia telah dikatakan sebagai ilmu dan amalan bidaah, ajaran sesat, ilmu yang dicedok
daripada falsafah asing dan sebagainya lagi. Ini kerana tasawuf tersebut tidak dinyatakan oleh
Rasulullah SAW secara langsung sama ada secara perkataan atau perbuatan dan juga ia selalu
dikaitkan dengan keajaiban, kekeramatan para wali, makrifat dan lain-lain lagi. Walaupun begitu,
kebanyakan orang Islam percaya dan yakin bahawa tasawuf sudah tentunya bermula daripada
agama Islam iaitu al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Ia telah dibuktikan dengan dalil-dalil
daripada kedua-dua sumber tersebut, kehidupan para Nabi dan para sahabat. Konsep kesufian
dalam Islam adalah datang dari sumber-sumber Islam itu sendiri sebagaimana yang terdapat di
dalam manhaj hidup Nabi yang mengandungi pelbagai program kehidupan yang mencangkupi
kehidupan duniawi dan ukhrawi. Konsep tersebut tidak sekali-sekali diambil dari mana-mana
sumber luar daripada Islam. al-Taftazani (1976:175) menyatakan bahawa tasawuf adalah perkara
yang berhubung dengan soal hati dan jiwa. Maka, tasawuf Islam itu lahir daripada hati dan jiwa
ahli tasawuf Islam itu sendiri kerana makrifat yang mereka peroleh melalui pemikiran dan
pencapaian rohani mereka yang mempunyai beberapa persamaan dengan falsafah asing. Ini
bermakna adanya kesatuan pengalaman dan pencapaian dalam kalangan ahli tasawuf walaupun
terdapat perbezaan tafsiran antara seorang sufi dengan seorang sufi yang lain disebabkan ia terikat
dengan nilai-nilai tamadun di sekitarnya. Oleh itu, persamaan tasawuf Islam dengan aliran falsafah
lain tidak bererti tasawuf Islam mencedok daripada luar. Orang pertama yang mengatakan bahawa
sumber tasawuf itu dari Islam ialah golongan ahli tasawuf itu sendiri sama ada mereka daripada
kalangan ahli dhawq atau pun ahli teori tasawuf. Mereka semua berpendapat bahawa al-Quran,
Sunnah Nabi SAW dan kehidupan para sahabat Nabi SAW adalah sebagai sumber hakiki.
Daripada kedua-dua sumber utama tersebut, ahli-ahli tasawuf membentuk pandangan mereka
berkaitan dengan akhlak dan tingkah laku serta susunan amalan yang dibuat demi mencapai
matlamat dalam kehidupan bertasawuf.
i) al-Quran
Pada dasarnya, semua persoalan pokok tasawuf itu bersandarkan pada al-Quran al-Karim. Perkara
pertama yang ditimba oleh ahli tasawuf ialah jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT
yang bermula daripada jihad dengan nafsu, kemudian meningkat daripada satu tahap kepada satu
tahap lain yang dikenali dengan maqam dan ahwal hinggalah kepada makrifat. Ayat-ayat al-Quran

192
PROCEEDINGS OF THE INTERNATIONAL CONFERENCE ON ISLAM, DEVELOPMENT AND SOCIAL HARMONY IN SOUTHEAST ASIA 2017

banyak menceritakan tentang maqam dan ahwal yang bermula dengan jihad al-nafs sebagai tangga
pertama menuju kepada Allah SWT sebagaimana maksud ayat tersebut:
“Dan orang-orang yang berjihad kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka
ke jalan-jalan Kami dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah SWT adalah beserta orang-orang yang berusaha
membaiki amalannya.” (Surah al-Ankabut :69).
“Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya (untuk dihisab amalannya) serta ia
menahan dirinya dari menurut hawa nafsu. Maka sesungguhnya syurgalah tempat kediamannya.” (Surah al-Nazi‘at :40-
41).

Sementara maqam takwa, zuhud, tawakal, syukur, sabar, reda, malu, mahabbah, takut pada
Allah SWT dan lain-lain lagi diasaskan pada contoh ayat-ayat al-Quran berikut, maksudnya:
“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah SWT ialah orang yang lebih takwanya”. (Surah al-Hujurat: 13)
“Katakanlah (wahai Muhammad) keseronokan dunia itu adalah sedikit sahaja dan hari akhirat itu lebih baik bagi orang-
orang yang bertakwa”. (Surah al-Nisa’:77)
“Maka kepada Allah SWT jualah hendaknya orang-orang beriman bertawakkal”. (Surah al-Tawbah: 51)
“Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambahi nikmatku kepada kamu.” (Surah Ibrahim:7)
“Dan bersabarlah dan tidaklah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (pertolongan) Allah SWT ”. (Surah al-Nahl:127)

Ini bermakna semua istilah tersebut adalah intipati ilmu dan ajaran tasawuf. Ia adalah bukti
yang nyata bahawa tasawuf sememangnya bersumberkan al-Quran. Selain itu, amalan-amalan lain
tasawuf terutamanya zikir, adab berdoa dan setiap amalan mereka dirujuk kepada al-Quran
sebagaimana maksud ayat tersebut:
“Wahai orang-orang yang beriman ingatlah serta sebutlah nama Allah SWT dengan ingatan sebanyak-banyaknya”.
(Surah al-Ahzab: 41)

Antara ayat-ayat al-Quran yang menerangkan tentang dhawq dan kashaf Nabi Muhammad
SAW ialah sebagaimana berikut, maksudnya:
“Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah SWT jualah yang
melemparnya (untuk membinasakan orang-orang kafir)” (Surah al-Anfal:17).

Ayat tersebut walaupun pada zahirnya menunjukkan bahawa Allah SWT telah menolong
orang-orang Islam dan menguatkan tentera di dalam peperangan Badar semasa menentang orang-
orang kafir tetapi ahli tasawuf mentakwilkannya dengan takwilan yang mengandungi makna-
makna yang terkandung mengikut fahaman mereka iaitu Allah sahaja yang melakukan sesuatu
perkara secara mutlak, segala-galanya adalah dariNya dan akan kembali juga padaNya (Hilmi
1996:22).
Semua ini menunjukkan bahawa semua pertumbuhan tasawuf Islam itu diambil daripada al-
Quran, di mana ahli tasawuf mengambil daripadanya sebanyak-sebanyaknya ilmu dan pemahaman
dalam membentuk ajaran dan amalan mereka, agar semuanya berjalan seiring dengan keredaan
Allah SWT.

ii) Sunnah Rasulullah SAW

Kalau diperhatikan sejarah hidup Nabi Muhammad SAW, cara cuzlahnya dari manusia,
berkhalwah, merenung kejadian alam, mengenal pencipta alam, dan sekiranya dibandingkan
kehidupan Nabi SAW dan para zahid yang datang selepas Baginda SAW dan juga para ahli
tasawuf, akan didapati persamaan antara kehidupan Nabi SAW dan kehidupan para ahli sufi.
Kehidupan para ahli sufi daripada segi latihan kerohanian, mujahadah, pencapaian ke tahap dhawq
dan diakhiri dengan mengenal hakikat ketuhanan, adalah berpunca daripada kehidupan kerohanian
khusus yang dilalui oleh Nabi SAW. Hal tersebut dikatakan oleh ulama tasawuf sebagai satu fakta
sejarah yang paling kukuh dan paling dipercayai, di mana ia secara tak langsung telah
mengesahkan kehidupan Nabi SAW serta perjalanan hidup Baginda SAW di peringkat awal.
Tahannuth Nabi SAW di gua Hira’ adalah sebagai benih pertama yang melahirkan ahli zuhud, ahli
ibadah dan ahli tasawuf. Ini kerana padanya terdapat satu pengajaran dan pemahaman tentang
hakikat kehidupan manusia yang memerlukan suasana tenang dan tenteram untuk menghampirkan

193
PROCEEDINGS OF THE INTERNATIONAL CONFERENCE ON ISLAM, DEVELOPMENT AND SOCIAL HARMONY IN SOUTHEAST ASIA 2017

diri kepada Allah SWT dengan sebaiknya. Nabi SAW bertahannuth sekali dalam setahun iaitu pada
bulan Ramadan. Sepanjang bulan itu, Baginda SAW melakukan banyak amal ibadat untuk bekalan
rohaninya bagi menghadapi kehidupan seterusnya seperti sembahyang, bertafakur, berzikir dan
sebagainya lagi. Pada saat itu, Nabi SAW hidup dengan rohani yang bersih dan tidak bercampur
aduk dengan unsur-unsur kebendaan dan tidak tercemar dengan keseronokan dunia (al-Jilani
1980:251).
Perkataan dan perbuatan Nabi SAW mempunyai makna –makna yang menjadi sumber kepada
ahli tasawuf dari segi latihan rohani, hidup secara takashshuf sama ada dalam perkataan atau
perbuatan, banyak beribadat, berjaga malam, zuhud, takwa, khawf, sabar, reda dan syukur. Sifat
bersederhana Rasulullah SAW dalam pakaian di mana Baginda SAW hanya memakai pakaian yang
ada padanya sama ada kapas atau bulu dalam bentuk baju panjang, selendang atau kain. Begitu
juga dengan tahajud, iktikaf dan istighfarnya. Baginda SAW melakukan itu semua seolah-olah
Baginda SAW seperti manusia biasa yang sentiasa melakukan dosa. Dari Abu Hurairah r.a.
berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Demi Allah SWT, aku akan beristighfar
kepada Allah SWT dan aku akan bertaubat padaNya setiap hari sebanyak tujuh puluh kali”
(Riwayat al-Bukhari).
Rasul SAW sangat kuat beribadah kepada Allah SWT sehingga Baginda SAW pernah ditegur
oleh Aishah apabila dilihatnya kedua-dua kaki Baginda SAW bengkak kerana berdiri sepanjang
malam untuk beribadah. Katanya: “Kenapa wahai Rasulullah SAW melakukan semuanya
sedangkan Allah SWT telah mengampunkan dosa engkau yang telah lalu dan yang akan
datang?”.Baginda SAW menjawab: “Apakah aku tidak boleh menjadi seorang hamba yang
berterima kasih?”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Selain itu, Baginda SAW juga sentiasa
beriktikaf terutama pada sepuluh malam terakhir daripada bulan Ramadan. Amalan tersebut
dilakukan sehinggalah Baginda SAW wafat (al-Taftazani 1976:51). Di samping itu, akhlak
Baginda SAW juga telah sampai kepada kemuncak kesempurnaan sebagaimana yang dijelaskan
oleh Allah SWT dalam kitabNya, maksudnya:“ Sesungguhnya engkau berada di atas akhlak yang
mulia.” (Surah al-Qalam:4). Di samping itu, Aishah pernah ditanya tentang akhlak Baginda SAW.
Aishah menjawab: “Akhlak Baginda SAW adalah al-Quran, reda apa yang diredainya dan murka
apa yang dimurkainya.” Ini bermakna, Baginda SAW tidak pernah melakukan sesuatu yang
bertentangan dengan akhlak yang mulia. Akhlak yang ditunjukkannya bukanlah dibuat-buat,
sebaliknya ia merupakan tabiat semulajadi pada diri Baginda SAW. Antara sifat-sifat Baginda
SAW ialah amat pemurah, penyayang, mempunyai sifat kasihan belas pada semua makhluk, baik
pergaulan, paling benar tutur katanya, paling halus budi bahasa, merendah diri, pemalu dan lain-
lain lagi. Maka dengan akhlak yang mulia ini dan sifat kasih sayang, Baginda SAW telah berjaya
menawan hati-hati para sahabatnya dan berjaya menjalankan misi dakwahnya. Ini diakui sendiri
oleh seorang orientalis Inggeris, Montgomery Watt dalam Muhammad Prophet and Stateman,
Oxford paper backs, 1961:221:
“Sesungguhnya Muhammad telah mendapat penghormatan dan kepercayaan daripada pengikut-pengikutnya dalam
agama hasil daripada kesungguhan dan akhlak Baginda SAW: seperti berani, berhemah tinggi dan amanah. Di samping
itu, pergaulan dan tingkah laku Baginda SAW telah menarik hati dan memberikan kesetiaan mereka kepada Baginda
SAW.”

Di samping akhlak-akhlak Baginda SAW yang mulia tersebut, para ahli tasawuf juga
mendapati bahawa terdapat banyak ungkapan Baginda SAW yang penuh dengan pengertian dan ia
boleh dikembangkan dalam bentuk teori dan rasaan rohani kerana ia diasaskan oleh kesusahan,
penderitaan dan pengalaman hidup Baginda SAW secara langsung. Antaranya ialah, sabda Baginda
SAW:

“Berzuhudlah pada apa yang ada pada manusia nescaya akan dikasihi oleh manusia” ( diriwayatkan oleh Ibn Majah, al-
Tabrani dan al-Baihaqi).

“Bersuci itu sebahagian daripada iman, Alhamdulillah memenuhi timbangan, Subhanallah dan Alhamdulillah keduanya
memenuhi langit dan bumi, sembahyang itu cahaya, sedekah itu dalil, sabar sebagai yang menyinari.” (Riwayat Muslim
dari Abi Malik ibn al-Asyri).

194
PROCEEDINGS OF THE INTERNATIONAL CONFERENCE ON ISLAM, DEVELOPMENT AND SOCIAL HARMONY IN SOUTHEAST ASIA 2017

Di samping itu, terdapat juga doa-doa Nabi SAW yang dianggap oleh ahli tasawuf sebagai
ajaran yang berguna pada mereka kerana ia dipercayai mengandungi makna sufi. Contoh doa-doa
tersebut ialah:
“Ya Allah bagi Kamu aku menyerahkan diriku dengan Engkau aku beriman, keatasMu aku bertawakkal, kepadaMu aku
kembali, kerana Engkau aku memusuhi seseorang. Ya Allah, sesungguhnya aku meminta perlindungan dengan kekuatan
Engkau, tidak ada Tuhan melainkan Engkau—supaya aku dimenangkan, Engkau yang hidup dan tidak mati, jin dan
manusia semuanya mati.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
“Ya Allah, aku memohon kepada Engkau kesihatan, ciffah, inabah, baik perangai, redha dengan penentuan Allah SWT.”
(Riwayat oleh al-Bazzar dan al-Jabrawi dari Ibn Umar).

Tasawuf yang dipercayai sebagai latihan rohani, mujahadah, rasa rohani (dhawq dan wujd)
kashaf, hubungan akrab seorang hamba dengan Allah SWT adalah cermin yang terjelma dari
gambaran yang indah dalam kehidupan rohani yang dihidupkan oleh Nabi Muhammad SAW yang
telah menguasai dirinya dan hatinya yang telah dipenuhi keimanan dan cahaya keyakinan. Setiap
peringkat kehidupan Nabi SAW sama ada selepas atau sebelum Baginda SAW dilantik menjadi
Rasul adalah sangat penting kerana ia mengandungi pelbagai ilmu dan amalan tasawuf seperti kuat
beribadat, zuhud daripada nikmat dan kemegahan dunia, memisahkan diri daripada kemelut dunia,
suka bertafakur dan merenungi alam ini untuk lebih mengenal hakikatnya dan hakikat Penciptanya,
bertahannuth di Gua Hira’ pada setiap bulan Ramadan, mengurangkan makan dan minuman dan
lain-lain amalan yang mengandungi nilai-nilai kerohanian yang tinggi. Kesemuanya sebagai dalil
dan tanda yang benar bahawa apa yang terkandung dalam tasawuf Islam seperti akhlak, zuhud,
ibadat dan semuanya pada asasnya telah wujud pada setiap peringkat kehidupan Nabi Muhammad
SAW.
iii) Kehidupan para Sahabat Rasulullah SAW
“Asal ilmu tarekat ialah duduk beribadah dan menumpukan perhatian terhadap Allah SWT serta berpaling daripada
perhiasan dunia dan keindahannya. Zahid terhadap apa yang menjadi rebutan orang ramai daripada kelazatan, harta
kekayaan dan pangkat kebesaran. Bersendirian dari makhluk dalam khalwah untuk beribadah. Situasi ini adalah lumrah
dalam kalangan umat Islam dizaman permulaan yang terdiri daripada kalangan para sahabat.” (Ibn Khaldun t.t.:48).

Catatan yang diperolehi daripada Ibn Khaldun itu menggambarkan bahawa ilmu dan amalan
tasawuf ialah amalan yang sah daripada Nabi Muhammad SAW dan telah diwarisi kepada para
sahabat dan generasi selepasnya. Generasi sahabat adalah generasi yang dibentuk di bawah
pengawasan Illahi dan dibimbing dengan sifat-sifat terpuji. Mereka menjadi panduan hidup kepada
semua umat Islam. Sumber ajaran tasawuf Islam seterusnya ialah kehidupan dan tutur kata para
sahabat Rasulullah SAW. Ini disebabkan kerana setiap perbuatan dan tutur kata mereka
mempunyai banyak pengertian seperti zuhud, warak, hidup bersederhana dan sentiasa
menumpukan diri pada Allah SWT. Mereka sentiasa mencontohi perbuatan Nabi SAW sehingga
al-Quran telah memuji mereka, maksudnya:
“Dan orang-orang yang mula (berhijrah dan memberi bantuan) daripada orang-orang Muhajirin dan Ansar dan orang-
orang yang menurut mereka dengan kebaikan Allah reda akan mereka, dan mereka pula reda akan Dia.” (Surah al-
Tawbah:100)

Selain itu, Rasulullah SAW sendiri juga telah menggambarkan kedudukan dan martabat para
sahabatnya, dengan maksudnya:
“Para sahabatku seperti bintang-bintang (di langit) dengan siapa jua kamu mengikutinya, kamu mendapat petunjuk.”
(Riwayat al-Baihaqi & al-Dailami daripada Ibn ‘Abbas).

Rasulullah SAW mengibaratkan para sahabatnya seperti bintang di langit yang dapat
dijadikan petunjuk pada waktu malam sama ada di darat atau pun di laut. Ini bermakna, para
sahabatnya dapat dijadikan tauladan dalam kehidupan manusia sama ada daripada perkara zahir
atau pun batin. Kehidupan para sahabat seperti kehidupan Nabi SAW juga yang penuh dengan hal-
hal dan kata-kata yang jelas menunjukkan kezuhudan, kewarakan, takashuf dan lain-lain lagi.
Semuanya menunjukkan mereka adalah golongan yang tidak menumpukan hatinya kepada dunia
tetapi hatinya ditumpukan kepada Allah sahaja. Dalam hal ini juga, Rasulullah SAW pernah
berkata, maksudnya:
“Umatku yang paling belas kasihan kepada sesama umat adalah Abu Bakar r.a., yang paling kukuh dan kuat dalam
memegang agama Allah SWT adalah ‘Umar r.a., yang paling pemalu adalah ‘Uthman r.a, yang paling tahu tentang ilmu

195
PROCEEDINGS OF THE INTERNATIONAL CONFERENCE ON ISLAM, DEVELOPMENT AND SOCIAL HARMONY IN SOUTHEAST ASIA 2017

faraid adalah Zaid bin Thabit r.a, yang paling faham tentang hukum halal dan haram adalah Mu‘az bin Jabal r.a, yang
paling baik bacaannya adalah Ubay bin Ka ab r.a, yang paling adil dalam memberikan keputusan hukum adalah ‘Ali r.a,
sedangkan sahabatku Abu Dhar adalah orang yang mempunyai bicara tajam dan benar r.a.” (H.r. Ahmad, al-Tirmizi
daripada Anas, al-tabrani daripada Jabir dan Ibn hibban daripada Ibn Umar)

“ Ikutilah dua orang selepas aku iaitu: Abu Bakar dan ‘Umar r.a.” (H.r. al-Tirmizi daripada huzaifah, Ahmad, Ibn Majah
dan Ibn ‘Abd daripada Anas).

Mengenai perihal para sahabat Nabi SAW juga, al-Tusi (1960:167) pernah menyatakan daripada
Abu ‘Utbah al-halwani yang berkata:
“Bolehkah aku memberitahu kepada kamu semua tentang keadaan spiritual para sahabat Rasulullah SAW? Pertama,
bertemu dengan Allah SWT adalah lebih mereka senangi daripada hidup di dunia ini. Kedua, mereka tidak pernah takut
musuh, baik mereka dalam jumlah sedikit mahupun banyak. Ketiga, mereka tidak pernah takut miskin dunia dan selalu
yakin bahawa Allah SWT selalu memberi mereka rezeki. Keempat, jika dilanda wabak penyakit, mereka tidak akan lari
daripada tempat mereka tinggal sehingga Allah memutuskan nasib mereka. Mereka sangat risau dengan kematian iaitu
kerisauan dan kebimbangan yang hakiki.”

Mengenai para sahabat Nabi SAW lagi, Abu Bakar merupakan sahabat Nabi SAW yang
paling akrab dengan Baginda SAW. Selain daripada menjadi khalifah yang adil dan bijaksana,
beliau juga terkenal sebagai seorang yang zahid sehingga diceritakan bahawa dia pernah berlapar
selama enam hari dan tidak mempunyai pakaian melainkan sehelai sahaja dan beliau berkata
dengan hujung lidahnya: “cara ini yang mendapatkan aku sumber-sumber (ilmu)”. al-Tabari (1951:
) banyak menyebut dalam kitabnya bahawa terdapat banyak riwayat tentang ibadah Abu Bakar,
doa-doa, sifat baiknya, zuhud, reda, takut kepada Allah SWT, warak, merendah diri, lemah lembut
dan lain-lain sifat beliau sehingga ia dijadikan medan perbincangan dalam kalangan ahli tasawuf.
Sahabat Rasulullah SAW kedua yang menjadi rujukan para ahli tasawuf ialah ‘Umar al-Khattab r.a.
Beliau seorang yang bersih jiwa dan suci hati. Nabi SAW pernah berkata mengenai perihalnya:
“Sesungguhnya Allah SWT jadikan kebenaran itu pada lidah ‘Umar r.a. dan hatinya.” Kemudian,
Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya pada umat-umat terdahulu terdapat orang-
orang yang dibisiki (muhaddithin) (tingkatan kaum yang paling jujur (al-siddiqin) yang paling
tinggi dan diajak bercakap mengenai Tuhan (mutakallimin). Kalau dalam umat ini ada, maka ia
adalah ‘Umar r.a.” (al-Tusi 1960: 160-171). Selain itu, beliau juga seorang yang tidak mengikut
hawa nafsu, menjauhkan diri daripada perkara syubhat, murah hati, tidak takut kepada sesiapa
dalam menegakkan kebenaran, tidak ada kelonggaran dalam mentaati Allah SWT dan tidak ada
perbezaan kaum kerabat dalam menunaikan perkara hak. Di samping itu, ahli tasawuf juga
berpendapat bahawa ‘Umar r.a. mempunyai banyak perkara luar biasa yang lahir daripadanya
seperti kashaf dan karamah yang telah sampai ke kemuncak yang paling tinggi dalam kalangan
siddiqin. Buktinya dapat dilihat ketika beliau membaca khutbah dan kemudian, diperlihatkan Allah
SWT kepadanya sesuatu, lalu beliau berteriak: “Wahai Sariah, tujulah ke arah bukit”, lalu Sariah
berjaya mengalahkan musuhnya. Apabila ditanya kepada Sariah bagaimana dia mengetahui perkara
itu, jawabnya: “Aku telah mendengar suara ‘Umar r.a. yang berkata: “Wahai Sariah, pergilah ke
arah bukit.” (H.r. al-Baihaqi dari ‘Amr bin al-haris). Di samping itu, ahli sufi telah menjadikan
‘Umar r.a. teladan dan contoh yang hebat dalam perilaku ‘Umar r.a. seperti memilih mengenakan
pakaian yang paling sederhana, meninggalkan kesenangan hawa nafsu, menghindari perkara
syubhat, menampakkan kemuliaan (keramat), tidak peduli terhadap orang yang menghina dan
mencacinya ketika kebenaran harus ditegak dan kebatilan harus dimusnahkan, memberikan
persamaan hak antara semua manusia dan lain-lain lagi. Seterusnya, sahabat Nabi SAW yang
menjadi ikutan bagi ahli tasawuf ialah ‘Uthman bin ‘Affan r.a. Beliau merupakan seorang sahabat
yang kaya harta dan juga kaya dengan sifat-sifat yang baik. al-tabari (jil.2 1951) meriwayatkan
tentang akhlak beliau seperti pemalu, pemurah, zuhud, takut kepada Allah SWT, warak, merendah
diri, kasihan belas dan baik pergaulan dengan orang ramai. Beliau lebih suka bersikap pemurah
daripada bakhil walaupun beliau mempunyai banyak harta. Contohnya, beliau pernah menyediakan
sepasukan tentera bersama perbelanjaannya. Beliau juga pernah membeli sebuah telaga untuk
kegunaan orang Islam daripada seorang Yahudi. Semua itu menunjukkan bahawa beliau sangat
suka bersedekah untuk kebajikan umat Islam, dan dicatatkan dalam sejarah Islam bahawa beliau
telah menginfaqkan hampir keseluruhan hartanya pada jalan Allah SWT. Di samping itu, beliau
juga adalah salah seorang sahabat yang terkenal dengan kuat beribadat dan membaca al-Quran.

196
PROCEEDINGS OF THE INTERNATIONAL CONFERENCE ON ISLAM, DEVELOPMENT AND SOCIAL HARMONY IN SOUTHEAST ASIA 2017

Beliau menghabiskan masa siangnya dengan berpuasa dan malamnya pula dengan beribadat.
Beliau dikatakan tidak pernah meninggalkan membaca dan meneliti al-Quran pada setiap hari dan
katanya: “al-Quran ini kitab Tuhanku, maka, semestinya bagi seseorang hamba, apabila sampai
kepadanya surat tuannya hendaklah dia melihat setiap hari untuk melaksanakan apa jua yang
terkandung didalamnya.” Selain itu, ‘Uthman bin ‘Affan juga adalah seorang yang mempunyai
penguasaan diri dan pencapaian rohani yang tinggi. Ini disebabkan kerana beliau mempunyai
kepercayaan yang paling teguh kepada qada dan qadar Allah SWT. Hal ini menyebabkan para ahli
tasawuf percaya bahawa beliau telah sampai kepada Allah SWT dengan maqam yang tinggi.
Dalam kitab al-Luma’, al-Tusi (1960: 176-178) berkata, maksudnya:
“Uthman bin ‘Affan r.a. memiliki keistimewaan dalam hal tamkin (kekukuhan) iaitu kedudukan tertinggi dalam kalangan
orang-orang yang telah mencapai kebenaran hakiki (mutahaqqiqin). Beliau juga pernah ditanya sama ada dibenarkan atau
tidak seseorang itu memasuki sa’ah (keadaan spiritual bagi orang –orang yang jujur di mana seseorang itu memasuki
sesuatu hal namun dia tetap berada di luar atau dengan kata lain, dia bersama sesuatu namun dia terpisah daripada sesuatu
itu). Jawapannya ialah dia tidak membenarkan kecuali para nabi dan orang-orang siddiqin.”

Semua itu menunjukkan bahawa ‘Uthman bin ‘Affan sememangnya mempunyai kedudukan
spiritual yang tinggi kerana beliau mempunyai sifat arif, pemurah dan banyak lagi. Seterusnya, ‘Ali
bin Abu talib r.a. yang merupakan khalifah terakhir adalah sahabat Nabi SAW yang menjadi
panduan dan rujukan juga kepada ahli-ahli tasawuf memperkembangkan teori dan amalan tasawuf
mereka. Hal ini telah dinyatakan oleh al-Tusi (1960: 178):
“Amir al-Mukminin ‘Ali bin Abu talib r.a. mempunyai keistimewaan yang tersendiri berbanding para sahabat Nabi SAW
yang lain dengan memiliki ciri-ciri yang mulia, halus dan mempunyai perkataan dan ungkapan tersendiri menjelaskan
pengertian tauhid, makrifat, ilmu, iman dan sifat-sifat yang mulia yang ahli hakikat dan tasawuf berhias dan bersifat
dengannya”.

Selain itu, ‘Ali bin Abu talib r.a. juga sangat masyhur dalam kalangan para sahabat sebagai
tempat bertanya dan rujukan sekiranya mereka mengalami sebarang kesulitan dan ketidakfahaman
tentang urusan agama. Ini disebabkan kerana beliau mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dan
kefahaman yang tinggi. Di samping itu, terdapat banyak ungkapan ‘Ali bin Abu talib r.a. yang
menggambarkan bahawa beliau mempunyai kefasihan yang tinggi dalam bayan (penjelasan) dan
ungkapan tentang tauhid dan makrifat. al-Tusi (1960:179-182) melihat kefasihan bayan tersebut
merupakan ilmu ma’ani yang paling sempurna dan ia adalah anugerah Allah SWT yang tak ternilai
pada manusia. Hal itu secara tak langsung menggambarkan bahawa ‘Ali bin Abu talib memperolehi
keadaan spiritual manusia yang paling tinggi. Justeru itu, ia tidaklah menghairankan apabila ‘Ali
bin Abu talib dikatakan mempunyai ilmu laduwi sebagaimana yang dianugerahkan Allah SWT
pada Nabi Khidir a.s. Beliau mempunyai sifat zuhud yang tinggi, hidup bersederhana dan
menggalakkan orang Islam untuk memiliki sifat-sifat tersebut. Kezuhudannya terbukti apabila
beliau menampal sendiri bajunya sehingga ada yang menegurnya: “kenapa ini”. Maka beliau
menjawab: “untuk mengkusyukkan hati dan diikuti oleh orang-orang yang beriman.” Ketinggian
zuhudnya itu telah diakui sendiri oleh Ibn ‘Uyainah dan Imam al-Shafi’i. Beliau telah
mempamerkan banyak contoh akhlak dan peribadi yang mulia. Selain daripada empat sahabat Nabi
SAW yang terkenal itu, para ahli tasawuf juga tidak ketinggalan menjadikan sahabat-sahabat Nabi
SAW lain sebagai rujukan perkembangan kerohanian mereka kerana terdapatnya banyak bibit
kehidupan rohani pada mereka. Antara sahabat-sahabat Nabi SAW tersebut ialah ahli suffah iaitu
sekumpulan orang Muhajirin dan Ansar yang fakir, tinggal dalam rumah yang dibina di penjuru
Masjid Madinah. Mereka hanya menumpukan kehidupan mereka untuk beribadah kepada Allah
SWT dan sentiasa melatih diri untuk berzuhud dan takashshuf. Mereka memiliki keadaan spiritual
yang diredai Allah SWT, amal ibadat yang banyak dan akhlak yang mulia. Di samping ahli suffah,
terdapat juga para sahabat Nabi SAW yang lain di mana kehidupan mereka penuh dengan
kezuhudan dan kuat beribadah. Antara sahabat-sahabat Nabi tersebut ialah Mu’adh bin Jabal,
‘Amran bin hussan, Salman al-Farisi, Abu Dhar al-Ghifari, Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah, ‘Abdullah
bin Mas’ud, ‘Abdullah bin ‘Abbas, Anas bin Malik, ‘Abdullah bin ‘Umar, huzaifah bin al-Yaman,
Bilal al-Habshi dan Suhib al-Rumi (al-Tusi 1960:183-184).
Kesimpulannya, nilai-nilai kerohanian yang ditegaskan oleh al-Quran dan Sunnah, dan
penghayatan yang dijelmakan oleh Baginda SAW serta juga para sahabat Baginda SAW adalah
menjadi ikutan pegangan kepada penghayatan kerohanian umat Islam selepasnya dan ia berterusan

197
PROCEEDINGS OF THE INTERNATIONAL CONFERENCE ON ISLAM, DEVELOPMENT AND SOCIAL HARMONY IN SOUTHEAST ASIA 2017

kepada generasi selepasnya. Ini bermakna, tasawuf Islam sememangnya telah diasaskan oleh
Rasulullah SAW secara teori dan praktikal. Setiap aspek kehidupan Baginda SAW merupakan
pengajaran dan setiap detik kehidupannya itu telah mendapat pengawasan daripada Allah SWT.
Begitu juga dengan para sahabat yang telah memberikan pengaruh yang kuat kepada ahli tasawuf
kerana mereka adalah orang yang sangat kuat beribadat kepada Allah SWT, lemah lembut dalam
pergaulan sesama Muslim, sangat tegas dengan orang kafir, sangat ikhlas dalam setiap perbuatan
mereka, sangat berani dalam medan peperangan, sangat suka tolong-menolong dan mempunyai
kelebihan yang luar biasa jika dibandingkan dengan manusia lain. Justeru itu, mereka telah digelar
sebagai generasi yang unggul di dalam sejarah Islam dan mereka juga adalah antara yang telah
dijanjikan syurga oleh Allah SWT. Keadaan ini telah menyebabkan mereka mendapat tempat yang
tinggi dalam kalangan umat Islam sebagai panduan hidup terutama dalam amalan tasawuf ini.

Tasawuf menurut Pandangan beberapa Tokoh Ahl Sunnah wa al-Jamaah

Para ulama besar (Ahl Sunnah wa al-Jamaah) kaum muslimin seperti Imam al-Syafei, Imam Malik,
Imam Ghazali dan ramai lagi sama sekali tidak pernah menentang tasawuf Islam sejati. Sejarah
Islam telah menyaksikan dan mencatatkan bahawa kebanyakan mereka telah melibatkan diri
sebagai pengikut dan murid tasawuf. Mereka telah berkhidmat di bawah bimbingan seorang
mursyid tarekat yang arif, walaupun mereka mempunyai pengetahuan syariat Islam yang lebih
luas dan dalam, namun mereka tetap menghormati para syeikh tasawuf mereka. Ini disebabkan
kerana mereka mengerti tentang keperluan ilmu lahiriah dan ilmu batiniyah dalam membentuk
qalbun salim dan akhlak yang lebih mulia. Di samping itu, mereka juga menyedari tentang
keperluan ilmu syariat yang harus didukung oleh ilmu tasawuf sehingga tercapailah pengetahuan
sejati mengenai hakikat ibadah yang sebenarnya. Begitu juga dengan empat orang imam mazhab
Sunni, di mana semuanya dikatakan mempunyai guru mursyid tarekat. Ini bermakna, ulama-ulama
daripada Ahlu Sunnah wa al-Jamaah tersebut adalah imam-imam yang berjalan atas landasan
tasawuf dalam kehidupan seharian. Justeru itu, eloklah dilihat beberapa pandangan ulama-ulama
Islam yang masyhur daripada Ahl Sunah wa al-Jamaah yang mendukung kebenaran tasawuf Islam
sejati ini.
Imam Malik bin Anas (m.179h) dikatakan pernah mengkritik kaum sufi, tetapi kritikannya itu
sebenarnya ditujukan kepada ahli-ahli sufi yang dikhabarkan kepadanya sedang menari dan
berjoget sehingga melampaui batas. Namun begitu juga, kritikan tersebut tidak membataskannya
untuk melihat tasawuf sebagai sesuatu yang murni apabila ia diadili dengan al-Quran dan Sunnah
Nabi SAW. Justeru itu, beliau dikatakan pernah berguru dengan Imam Jaafar al-Sadiq r.a. untuk
mendalami ilmu dan amalan tasawuf. Kemudian, beliau utarakan pendapatnya mengenai ilmu
tasawuf:
“Barangsiapa mempelajari atau mengamalkan tasawuf tanpa fekah maka dia telah zindiq, dan barangsiapa mempelajari
fekah tanpa tasawuf dia tersesat, dan siapa yang mempelajari tasawuf dengan disertai fekah dia meraih kebenaran dan
realiti dalam Islam.” (al-Manuwi t.t.).

Pengiktirafan Imam Malik tersebut merupakan satu penghormatan besar buat ilmu tasawuf,
yang dilihatnya sebagai sesuatu ilmu yang perlu dipelajari bersama dengan ilmu fekah. Seterusnya,
Imam al-Shafei (m.204h) iaitu pengasas kepada mazhab fekah al-Shafi’i juga tidak ketinggalan
menyatakan sesuatu pandangan tentang ilmu tasawuf. Walaupun beliau pernah mengkritik tentang
sufi dan tasawuf, yang dimuatkan dalam kitab Manaqib Imam al-Shafi’i, karya Imam al-Baihaqi
dan kitab Mukhlafatul sufiyyah li Imam al-Shafi’ah. Beliau bukan sahaja mengkritik dan
mencelanya, tetapi memanggil mereka sebagai ahli zindiq. Namun, kritikannya tersebut adalah
berkaitan dengan tasawuf dan sufi yang palsu sahaja, bukanlah tasawuf yang berpaksikan pada al-
Quran dan Sunnah. Bagi tasawuf Islam yang sejati, beliau sebaliknya telah berpesan kepada umat
Islam agar menjadikan diri mereka sebagai orang yang faqih dan sufi sekali gus, dan bukan hanya
faqih semata-mata atau sufi sahaja. Ini adalah kerana faqih yang tidak berjalan atas landasan
tasawuf, maka hatinya akan menjadi keras akibat penyakit-penyakit hati yang bersarang dalamnya,
manakala sufi yang tidak mempedulikan ilmu fekah, akan menjadikannya seorang yang jahil dalam
hukum-hakam agama Islam. Maka, fekah dan tasawuf itu dilihat sangat saling perlu-memerlukan

198
PROCEEDINGS OF THE INTERNATIONAL CONFERENCE ON ISLAM, DEVELOPMENT AND SOCIAL HARMONY IN SOUTHEAST ASIA 2017

bagi membentuk Muslim yang sejati dan hebat. Perkara tersebut dinyatakan oleh Imam al-Shafi’i
dalam bait-bait syairnya yang termaktub dalam kitab Diwannya, sebagaimana berikut:
“Faqih lagi sufi, Engkau jadikan dirimu Kedua-duanya sekali, Jangan hanya salah satu Demi Allah SWT, Sungguh –
sungguh aku menasihatimu Faqih semata tiada merasa takwa, kerana hatinya membatu Manakala semata sufi itu jahil,
kurang faham, tiada ilmu Justeru bagaimana si jahil, menjadi baik soleh lagi bermutu ?” (al-Mustawi t.t.)

Kekaguman beliau tersebut tidak ternoktah begitu sahaja. Ini disebabkan kerana beliau
kemudiannya, mengungkapkan lagi kata-kata yang menjadi tanda kepada pengiktirafan tasawuf
kepada umat Islam secara umumnya dan Ahl Sunah wa al-Jamaah secara khususnya.
“Aku cintai tiga perkara daripada dunia kamu:meninggalkan kepura-puraan, melembutkan
personaliti dengan kebaikan dan mengikuti jalan (yang dilalui oleh) golongan ahli tasawuf.” (Nasr
1966)
Kemudian, Imam hanbali (m. 240h) iaitu seorang tokoh ulama Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah
yang terkenal dengan pendiriannya yang teguh, pernah mengungkapkan sesuatu tentang ilmu
tasawuf sebagaimana berikut:
“Anakku, kamu harus duduk bersama orang-orang sufi, kerana mereka adalah mata air ilmu dan mereka selalu mengingat
Allah SWT dalam hati mereka. Mereka adalah orang-orang zuhud yang memiliki kekuatan spiritual yang tertinggi. Aku
tidak melihat orang yang lebih baik dari mereka” ( al-Sha’rawi,j il.2,1954)

Petikan di atas menunjukkan bahawa Ibn hanbal memperakui tentang kedudukan ilmu
tasawuf sebagai satu disiplin ilmu yang sah dan sangat penting kepada setiap Muslim, di mana
beliau sendiri menyarankan anaknya supaya menyertai kumpulan tokoh-tokoh sufi yang wujud
pada zamannya. Begitu juga kisah beliau dengan harith al-Muhasibi sebagaimana yang tercatat
dalam kitab Tabaqat, nukilan al-Sha’rawi. Catatan tersebut menggambarkan bahawa Ibn hanbal
mengakui kebenaran ilmu tasawuf dan mengkagumi ilmu yang dimiliki oleh golongan sufi tersebut
(Zakaria 1997).
Seterusnya, Fakhruddin al-Razi (m.606 H) (n1978), iaitu ulama besar dan ahli hadits pernah
melabelkan kumpulan tertentu daripada kalangan sufi ini sebagai al-huluhiyyah dan al-Ibahiyyah
kerana beliau percaya bahawa ilmu dan amalan yang dilakukan oleh mereka bertentangan dengan
syariat. Namun begitu, beliau melihatnya dengan adil apabila pada ruangan lain, beliau menyatakan
bahawa ahli sufi (mengikut al-Quran dan Sunnah) ini merupakan golongan yang berada pada jalan
yang baik dan puak yang terbaik dalam kalangan anak Adam. Pengiktirafannya ini dapat dilihat
pada kata-katanya:
“Jalan para sufi adalah mencari ilmu untuk memutuskan hati mereka daripada kehidupan dunia dan menjaga diri agar
selalu sibuk dalam fikiran dan hati mereka dengan mengingati Allah SWT pada seluruh tindakan dan perilaku .”

Di samping itu, Imam al-Qushayri (1972) yang mempunyai pandangan monumental tentang
tasawuf, telah menegaskan dalam kitabnya al-Risalat Qushairiyah bahawa kesalahfahaman yang
wujud dalam kalangan sesetengah orang terhadap tasawuf adalah kerana ketidaktahuan mereka
terhadap hakikat ilmu itu. Justeru itu, beliau melihatnya sebagai satu bentuk amaliyah, roh, rasa
dan pekerti dalam Islam itu sendiri. Beliau turut menyatakan pendapatnya yang lain mengenai ilmu
tersebut, sebagaimana berikut:
“Allah SWT membuat golongan ini yang terbaik daripada wali-waliNya dan Dia mengangkat mereka di atas seluruh
hamba-hambaNya sesudah para Rasul dan Nabi, dan Dia memberi hati mereka rahsia Kehadiran IllahiNya dan Dia
memilih mereka di antara umatNya yang menerima cahayaNya. Mereka adalah sarana kemanusiaan, Mereka menyucikan
diri dari segala hubungan dengan dunia dan Dia mengangkat mereka kepada kedudukan tertinggi dalam penampakan
(kashaf).

Begitu juga catatan al-Qushayri (1972) tentang Ibn Kullab yang amat kagum dengan jawapan
yang diberikan oleh al-Junayd al-Baghdadi tentang soalan tauhid, sehingga memperakui tentang
ketinggian ilmu yang dimiliki oleh al-Junayd. Kemudian, al-Baghdadi ( 1910) mencatatkan dalam
kitabnya, al-Farq bayna al-firaq bahawa golongan keenam yang diiktiraf termasuk ke dalam
mazhab Ahlu Sunah wa al-Jamaah ialah mereka yang terdiri daripada kalangan ahli sufi.
Kemudian, al-Isfara’yini memperakui tasawuf ini dengan menyatakan bahawa kehebatan dan
kecemerlangan mazhab Ahlu Sunah wa al-Jamaah berbanding mazhab-mazhab lain yang wujud di
dunia ini adalah disebabkan kerana terdapat di dalamnya ilmu tasawuf, yang suci daripada sebarang

199
PROCEEDINGS OF THE INTERNATIONAL CONFERENCE ON ISLAM, DEVELOPMENT AND SOCIAL HARMONY IN SOUTHEAST ASIA 2017

unsur bidaah. Begitu juga tentang perihal hampir seribu para sufi yang telah diriwayatkan oleh al-
Sullami dalam kitabnya Tabaqat al-sufiyyah, di mana beliau nyatakan kesemua ahli sufi tersebut
bersih daripada pencemaran bidaah yang disebarkan oleh golongan Qadariyyah, Khawarij dan lain-
lain lagi.
Seterusnya, Imam al- Ghazali (450-505 H./1058-1111 M) ( 1979) yang terkenal sebagai
tokoh dan ulama tasawuf yang memperjuangkan kedudukan tasawuf sehingga ia menjadi ilmu
Islam yang teguh kedudukannya dalam senarai ilmu-ilmu Islam, dan amalan tasawuf yang menjadi
amalan yang amat dihormati sebagai dimensi kerohanian murni Islam, berpaksikan al-Qur’an dan
Sunnah. Beliau turut mempunyai pelbagai buku mengenai tasawuf seperti kitab ihya' ‘ulum al-din,
minhaj al-’abidin. Beliau telah nyatakan pandangannya:
“Saya tahu dengan benar bahawa para sufi adalah mereka yang mencari jalan Allah SWT, mereka sentiasa melakukan
yang terbaik, jalan mereka adalah jalan terbaik, dan akhlak mereka adalah yang paling suci. Mereka membersihkan hati
mereka dari selain Allah SWT dan mereka menjadikan diri mereka seumpama jalan bagi sungai untuk mengalirnya
kehadiran Illahi.”

Manakala menurut Yusuf al-Qaradawi (2002): “Erti tasawuf dalam agama ialah mendalami
perkara kerohanian, ‘ubudiyyah, dan perhatiannya tercurah sekitar permasalahan itu.” Di samping
itu, beliau juga nyatakan:
“Para tokoh sufi adalah orang yang sangat berhati-hati dalam meniti jalan di atas garis yang telah ditetapkan oleh al-
Quran dan As-Sunnah. Mereka bersih daripada pelbagai fikiran dan perkara yang menyimpang. Banyak orang yang
masuk Islam karena pengaruh mereka, banyak orang yang derhaka dan lalai kembali bertaubat kerana jasa mereka.”

Secara ringkasnya, pendapat-pendapat yang diambil daripada sebilangan tokoh-tokoh Ahl


Sunnah wa al-Jamaah tersebut adalah tanda yang jelas bahawa mereka sememangnya mengakui
kebenaran tasawuf yang berpaksikan kepada al-Quran dan Sunnah, serta mengambil berkah ilmu
tersebut dengan belajar dan berkhidmat kepada para syeikh tarekat tasawuf masing-masing. Oleh
sebab itu, mereka tidak pernah membantah terhadap kebenaran ilmu ini, kecuali kepada masalah-
masalah tasawuf tertentu yang bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah Nabi SAW seperti
masalah ittihad, hulul, yang mana fahaman-fahaman tersebut dipercayai terpengaruh dengan
anasir-anasir luar seperti pengaruh falsafah Yahudi, Nasrani, Hindu dan lain-lain lagi.

Kesimpulan

Apabila dikatakan oleh segelintir manusia bahawa tasawuf sememangnya telah ditolak oleh para
Ahl Sunnah wa al-Jamaah dengan pelbagai kritikan dan tolakan mereka terhadap ilmu tersebut,
maka, ia telah mewujudkan sedikit suasana yang kurang menyenangkan dalam masyarakat Islam
dan suasana yang kurang adil kepada ilmu itu kerana menghukumnya tanpa melihatnya secara
keseluruhan. Sememangnya ia diakui bahawa beberapa tokoh Ahl Sunnah wa al-Jamaah pernah
mengkritik dan menolak ilmu dan amalan tasawuf serta ahli sufi, namun, kritikkan dan tolakkan
mereka itu dikhususkan kepada tasawuf dan ahli sufi palsu sahaja. Mereka menentang setiap ilmu
tasawuf yang dibicarakan dan dibahas menurut ilham, kasyaf, dan falsafah Yunani yang
bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah. Walaupun begitu, tolakkan mereka tersebut bukanlah
bermakna mereka menolak tasawuf secara keseluruhan, malah, mereka dan para Ahl Sunnah wa al-
Jamaah yang lain tetap menerima amalan pembersihan jiwa yang sesuai dengan syarak, ilmu
akhlak, dan sifat ihsan dalam ibadah. Ia terbukti melalui pelbagai pujian dan pengiktirafan mereka
terhadap ilmu tersebut, dan juga melalui penglibatan beberapa tokoh Ahl Sunnah wa al-Jamaah
dengan berguru kepada shaykh tasawuf bagi mendapatkan ilmu tasawuf secara langsung. Semua
hal tersebut telah menandakan bahawa tasawuf sememangnya satu disiplin ilmu yang sah,
bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah serta ia turut diterima pakai oleh Ahl Sunnah wa al-Jamaah.
Secara mudahnya, ia dapat digambarkan bahawa tasawuf sejati yang diterima oleh Ahl
Sunnah wa al-Jamaah itu berada pada al-Quran dan al-Sunnah itu dan pada kefahaman Sahabat
dan Tabiin. Kemudian, ia turut berada dalam penerangan Tafsir al-tabari, Tafsir Ibn Kathir, Tafsir
al-Baghawi, berada di celah-celah lembaran sahih al-Bukhari, sahih Muslim, Musnad Ahmad,
Sunan Sittah, Muwatta’ Malik, Riyad al-salihin al-Nawawi serta ia berada di antara muka surat al-
Sunnah oleh ‘Abdullah bin Ahmad, al-Sunnah oleh al-Khallal, al-Shari’ah oleh al-Ajurri dan

200
PROCEEDINGS OF THE INTERNATIONAL CONFERENCE ON ISLAM, DEVELOPMENT AND SOCIAL HARMONY IN SOUTHEAST ASIA 2017

terhimpun serta berkumpul dalam Majmuc Fatawa Ibn Taymiah, Madarij al-Salikin Ibn al-Qayyim
dan dalam kebanyakan kitab-kitab para tokoh dan ilmuwan Ahl Sunnah wa al-Jamaah.

Rujukan

Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka. 1994. Ed.3. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Kamus Oxford Study Dictionary.1996.
al-Attas, Syed Muhammad Naquib. 1963. Some aspect of Sufism as understood and practiced among the
Malays.Singapore: t.pt.
al-Attas, Syed Muhammad Naquib.1981. The positive aspects of tasawuf. Kuala Lumpur: Art Printing Works
Sdn. Bhd.
al-Ghazali. 1979. al-Munqidh min al-Jalal. Pnyt. Abd. al-halim Mahmud . Beirut: Dar al-Kitab al-Lubnani.
Hilmi, Muhammad Mustafa. 1971. Sultan al-‘Ashiqin, Ibn al-Farid. Mesir: t.p.
Hilmi, Muhammad Mustafa.1978. al-hayat al-Ruhiyyah fi al-Islam. Kaherah: al-Hay’ah al-Misriyyah al-
‘Ummah li al-Ta’lif wa al-Nashr
Hilmi, Muhammad Mustafa.. 1996. Keruhanian dalam Islam. Terj. Abdul Shukor Husin & Mudasir Rosder.
Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Islam,JPM
al-Asfahani, Abu Nu’aym Ahmad bin ‘Abdullah. 1932. hilyah al-awliya’ wa tabaqat al-asfiya’. Kaherah:
Matbacah al-Sacadah.
Ibn Khaldun. T.t. al-Muqaddimah. Kaherah: Dar al-Sya’bi.
Ibn Khaldun. 1975. Shifa‘ al-sail li Ibn Khaldun. Penyt. Muhammad bin Tawait al-tanji.Tp.
al-Jawziah, Ibn Qayyim. 1987. Talbis iblis. Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi
al-Kalabazi, Abu Bakar Muhammad. 2001. al-tacruf li mazhab ahl al-tasawwuf. Penyt. Yuhawa al-Jabib
sadir. Beirut: Dar al-sadir.
al-Kandahlawi, al-Shaykh Muhammad Zakariya. 1978. al-Sharicah wa al-tariqah. Mesir: Dar al-Rashid.
al-Mustawi, ‘Abdul Rahman. t.t. Diwan Imam al-Shafi’i. Beirut: Dar al-Ma rifah.
al-Qaradawi, Yusuf . 2002. Fatwa al-Qaradawi: permasalahan, pemecahan dan hikmah. Selangor: Crescent
News.
al-Qushayri, Abu al-Qasim cAbdul Karim bin Hawazin. 1972. al-Risalah al-Qushayriyyah. Pnyt. cAbd al-
Halim Mahmud dan Mahmud bin al-Sharif. Jil. 1 & 2. Kaherah: Dar al-Kutub al-hadithah.
al-Razi, Fakhr al-Din. 1978. I’tiqad al Firq al-Muslimin wa al-mushrikin. Kaherah: Maktabah al-Kulliyat al-
Azhariyyah.
Sayyid Husin Nasr. 1966. Ideals and realities of Islam. London: George Allen & Unwin Ltd.
Sayyid Husin Nasr. 1972. Sufi essays. London: George and Allen and Unwin Ltd.
al-Sha’rawi, ‘Abd. al-Wahhab bin Ahmad. 1954. al-tabaqat al-Kubra: al-mussama bi lawaqih al-anwar fi
tabaqat al-akhyar. Vol. 2. Mesir: Mustafa al-Babi al-halabi
al-Shak’ah, Mustafa.1996. Islam bila mazahib. Kaherah: Dar al-Masriyyah al-Lubnaniyyah
al-Sullami, Abu Abd. Rahman. 1969. tabaqat al-sufiyyah. Vol. 2. Penyt. Nur al-Din Shari’ah al-halabi.
al-Suhrawardi, Shihab al-Din. 1966. cAwarif al-macarif. Lubnan: Dar al-Kitab al-‘Arabi
al-Taftazani, Abu al-Wafa’. 1976. Madkhal ila al-Tasawwuf al-Islami. Kaherah: Dar al-tawafah.
al-Tusi, Nasr al Sarraj .1960. al-Luma’. Mesir: Dar al-Kutub al-hadithah
al-Zarkali, Khairuddin.t.t. al-I’lam. T.p
Zakaria Stapa. 1997.Akidah dan tasawuf. Dlm. Zakaria Stapa (pnyt.). Wajah Tasawuf dalam penglihatan
ulama bukan Sufi,hlm.65-85. Bangi: Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam

201

You might also like