You are on page 1of 14

WACANA 1.

0 PENGENALAN Wacana ialah unit tertinggi bahasa yang melampaui ayat dan
kajian tentang unit tersebut. Oleh sebab wacana ialah unit bahasa yang tertinggi, maka wacana
dapat direalisasikan dalam pelbagai bentuk sehingga meliputi peristiwa bahasa. Secara
umumnya wacana dapat dikaitkan dengan tiga kategori besar iaitu melampaui ayat,
penggunaan bahasa dan juga amalan sosial yang meliputi bukan linguistik dan bukan tentu
bahasa. Terdapat tujuh ciri dalam wacana iaitu tautan, runtutan, tujuan, penerimaan, maklumat,
keadaan dan interteks. Sebuah wacana yang baik akan memenuhi ciri-ciri wacana yang telah
dikemukakan. Selain itu, wacana pula terbahagi kepada dua jenis iaitu wacana lisan dan
wacana tulisan. Wacana lisan ialah wacana yang dihasilkan melalui media lisan iaitu melibatkan
hubungan pembicara dan pendengar manakala wacana tulisan pula ialah wacana yang
disampaikan secara bertulis yang mana melibatkan hubungan antara penulis dengan
pembicara. Setiap wacana mempunyai penanda yang juga dikenali sebagai penanda wacana.
Antara fungsi penanda wacana ialah sebagai tambahan, urutan, penyataan semula, untuk
menunjukkan sebab, kesan waktu dan tempat serta berfungsi untuk membuat bandingan serta
rumusan sesuatu wacana. Penanda wacana amat penting kepada sesuatu wacana kerana
tanpa penanda wacana yang tepat akan menyebabkan seluruh kandungan wacana berkenaan
tidak mempunyai kesatuan dan perpautan yang lengkap. Secara umumnya penanda wacana
dalam bahasa melayu terdiri daripada penanda leksikal, penanda rujukan, penanda
penghubung, penanda penggantian dan penanda elipsis atau pengguguran. 2.0 Definisi
wacana Perkataan Wacana adalah padanan perkataan discourse dalam bahasa Inggeris.
Perkataan discourse dalam Kamus Webster, 1983 : 522 bererti hubungan fikiran dengan kata-
kata, ekspresi idea-idea atau gagasan-gagasan atau percakapan. Hubungan secara umum,
terutama sebagai suatu subjek kajian atau pokok bahasan, risalah tulisan, disertasi formal,
kuliah, ceramah serta khutbah. Perkataan wacana menurut Kamus Dewan Edisi Baru 1993 :
1484 bermaksud ucapan, pertuturan, percakapan, keseluruhan tutur yang merupakan suatu
kesatuan. Semua perkara yang melibatkan bahasa ialah wacana. Retorik menjadi komponen
yang penting bagi wacana. Wacana adalah sebagai kesinambungan cerita dengan bahasa
yang mudah dan kesinambungan ini ditunjang oleh jalinan maklumat. Dalam bidang pendidikan
Bahasa Melayu pula telah diperkenalkan beberapa definisi wacana. Dari segi hierarki
tatabahasa , wacana terletak pada heirarki yang tertinggi selepas ayat, seperti yang tergambar
dalam rajah berikut : Perkataan --> Ayat --> Klausa --> Frasa --> Wacana Keseluruhan terbitan
atau hasil karya dalam sesuatu bahasa. Berdasarkan erti perkataan wacana di atas dapat
disimpulkan bahawa perkataan wacana itu sama dengan perkataan ucapan yang utuh untuk
wacana lisan, dan karangan yang utuh untuk wacana tulisan dalam pengajaran bahasa Melayu
sebelum ini. Wacana ialah satu unit bahasa yang lengkap . Ia melebihi tingkat ayat. Oleh
kerana sifatnya yang lengkap wacana mempunyai tubuh teks seperti berikut: a. Pendahuluan b.
Tubuh - isi, munasabah, logik, menarik, berkesan, usur-unsur paralinguistik (tanda bacaan,
cetakan tebal, miring, garis tebal) c. Penutup d. graf, jadual, peta dan statistik. Wacana boleh
ditulis dalam pelbagai bentuk penulisan, iaitu sama ada naratif (pemerian), deskriptif
(pengambaran), eksposisi (pendedahan) atau penghujahan. Untuk memperoleh gambaran yang
lebih jelas, definisi wacana telah dihurai serta diterangkan oleh beberapa tokoh bahasa di
bawah ini, antaranya ialah : Asmah Haji Omar (1982)3 menegaskan bahawa wacana ialah unit
bahasa yang melebihi batas ayat, yang di dalamnya memperlihatkan hubungan-hubungan dan
perkembangan fikiran yang berurutan seperti ayat, sejumlah ayat, ceraian, perenggan, bab,
buku, novel, cerpen, cerita, dialog, siri buku (cerita) dan sebagainya. Menurut beliau lagi,
wacana tidak mempunyai satu-satu jenis ayat yang terdiri dengan utuhnya tanpa dipengaruhi
oleh proses-proses kelahiran ayat. Ini bermaksud bahawa ayat yang selalu didapati dalam
struktur dan sistem secara teratur. Asmah telah membezakan ayat sistem daripada ayat
wacana. Ayat sistem adalah ayat atau tutur yang dikeluarkan dan diasingkan dari konteks
wacana, sedangkan ayat wacana yang juga disebut ayat teks adalah ayat yang betul-betul
terdapat dalam wacana teks dan wacana lisan. Menurut Raminah Haji Sabran (1984:218)
dalam bukunya yang bertajuk Kajian Bahasa untuk Pelatih Maktab Perguruan, mendefinisikan
wacana adalah unit bahasa yang melebihi batas ayat, kerana itu ia boleh terdiri daripada ayat,
sejumlah ayat, ceraian, bab, buku, dialog, siri buku dan sebagainya yang di dalamnya
memperlihatkan hubungan-hubungan dan perkembangan fikiran yang berturutan. Menurut
beliau lagi, wacana merupakan kesatuan bahasa yang lengkap. Menurut Fokker (1951)4 pula,
hubungan kesinambungan cerita itu dapat menunjukkan secara nahuan, iaitu perujukan
(verwijzing), kata-kata penghubung (verbindingswoorden) dan pengguguran (ellips). Kesatuan
makna dalam wacana seperti yang diterangkan di atas akan dilihat dari segi makna logik dan
makna tautan. Makna tautan inilah yang merupakan konsep semantik dan merujuk kepada
perkaitan kebahasaan yang didapati pada suatu ujaran yang membentuk wacana. Stubbs,
Michael menyatakan bahawa wacana merupakan kesatuan bahasa yang lebih besar daripada
ayat atau klausa. Dengan kata lain, wacana merupakan unit-unit linguistik yang lebih besar
daripada ayat atau klausa, seperti pertukaran-pertukaran percakapan atau teks-teks tertulis.
Secara ringkas, yang disebut teks bagi wacana adalah ayat bagi ujaran. Harimurti Kridalaksana
(1984:204)1 menyatakan bahawa wacana adalah satuan bahasa terlengkap; dalam hierarki
tatabahasa merupakan satuan tatabahasa tertinggi atau terbesar. Wacana ini direalisasikan
dalam bentuk karangan yang utuh seperti novel, buku, ensiklopedia, dan sebagainya, paragraf,
ayat atau kata yang membawa amanat yang lengkap. Anton M.Moeliono (1995:407)2
mendefinisikan wacana adalah rentetan kalimat yang berkaitan sehingga terbentuklah makna
yang serasi di antara kalimat itu. Henry Guntur Tarigan menegaskan bahawa wacana adalah
satuan bahasa yang terlengkap dan tertinggi atau terbesar di atas kalimat atau klausa dengan
koherensi dan kohesi tinggi yang berkesinambungan yang mempunyai awal dan akhir yang
nyata disampaikan secara lisan atau tertulis. Setelah dilihat beberapa huraian tentang beberapa
definisi mengenai wacana yang diambil daripada berbagai-bagai sumber, dapat dilihat bahawa
adanya persamaan dan juga perbezaan pendapat mengenai dengan definisi wacana yang
diperolehi dari ahli-ahli linguistik ataupun penulis. Secara tuntasnya, wacana letaknya lebih
tinggi daripada ayat pada skala tatatingkat tatabahasa dan mempunyai keteraturan fikiran logik
(coherence) dan juga tautan (cohesion) dalam strukturnya. Wacana dicirikan oleh
kesinambungan maklumat. Makna kesinambungan di sini adalah diertikan sebagai kesatuan
makna. Terdapat lapan unsur-unsur penting dalam wacana iaitu satuan bahasa, terlengkap,
mengatasi ayat atau klausa, teratur atau tersusun rapi, berkesinambungan, kohesi, lisan atau
tulisan awal dan juga akhir yang nyata. 3.0 Konsep wacana Wacana berasal daripada
perkataan wacana berasal daripada bahasa Jawa wocono. Wocono pula daripada woco yang
bermaksud baca. Dalam bahasa Inggeris, discourse berasal daripada bahasa Latin discursus
yang bermakna ‘larian ke dan dari’. Menurut Chafe, wacana digunakan dengan pelbagai
maksud oleh pelbagai pengkaji. Tetapi, pada umumnya wacana dilihat sebagai sesuatu yang
melampaui sempadan ayat yang terpisah-pisah. Wacana dan teks digunakan saling bertukar
ganti, dan kedua-duanya merujuk kepada unit bahasa yang lebih besar daripada ayat. Wacana,
menurut beliau lagi, merujuk kepada kajian tentang unit tersebut, cabang linguistik yang setara
dengan cabang yang lain seperti morfologi atau sintaksis. Menurut Trask, wacana dikatakan
sebagai siri ujaran yang bersambungan oleh seorang penutur atau lebih. Crystal menyatakan
wacana dalam linguistik merujuk kepada jujuhan bahasa (biasanya lisan) yang lebih besar
daripada ayat. Crystal juga mendefinisikan wacana sebagai unit perlakuan. Unit ini mempunyai
status prateori dalam linguistik, iaitu seberkas ujaran yang terdiri daripada peristiwa bahasa
seperti perbualan, khutbah dan temu duga. Cook mendefinisikan wacana sebagai bahasa
dalam penggunaan dan untuk perhubungan (Sanat, 2002:35-36). Dijk (1997: 1-34) menyatakan
konsep wacana kabur kerana tentang fenomena yang rencam. Namun, wacana menurut beliau
suatu bentuk penggunaan bahasa yang melibatkan komunikasi dan interaksi. Werth (1999: 1)
pula melihat wacana sebagai suatu peristiwa bahasa yang sempurna yang mempunyai awal
dan akhir. Selain itu, menurut Johnstone, B. (2002:2-4), wacana dilihat sebagai contoh sebenar
komunikasi melalui bahasa. Wacana juga dalam bentuk jamak merujuk kepada pola
kepercayaan dan tindakan lazim di samping pola bahasa. Wacana demikian merujuk kepada
idea dan cara bertutur sehingga dapat mempengaruhi dan dipengaruhi. Menurut Schiffrin et. al
(2003:1), wacana mempunyai makna yang berbeza kepada pakar yang berbeza bidang.
Kepada ahli bahasa, wacana biasanya didefinisikan sebagai apa sahaja yang melampaui ayat.
Malah, definisi wacana itu dapat dirangkumkan kepada tiga kategori besar, iaitu yang
melampaui ayat, penggunaan bahasa, dan amalan sosial yang meliputi bukan linguistik dan
bukan tentu bahasa. Mereka melihat wacana dan analisis wacana sebagai sama. Dapat
disimpulkan di sini bahawa wacana sebagai unit tertinggi bahasa yang melampaui ayat dan
kajian tentang unit tersebut. Sebagai unit bahasa yang tertinggi, wacana dapat direalisasikan
dalam pelbagai bentuk sehingga meliputi peristiwa bahasa. Sebagai kajian, wacana
memfokuskan pada unit tertinggi bahasa itu sehingga meliputi amalan sosial. Analisis wacana
menurut Johnstone, B. (2002:2-4), memfokus kepada proses memecahkan wacana kepada
bahagian kecil dengan berdasarkan kriteria tertentu dan melihat ciri setiap bahagian itu. Selain
melihat ciri struktur bahagian itu, analisis wacana juga melihat fungsi bahagian itu. Menurut
beliau, analisis wacana sekadar metodologi. Dijk,T. A.V. (Schiffrin et. al, 2003:352) melihat
analisis wacana peringkat kritis se-bagai sejenis kajian analisis wacana yang berfokus pada
cara penyalahgunaan kuasa sosial, penguasaan dan ketidaksetaraan dimuatkan, ditampilkan
dan dipertahankan melalui wacana dalam konteks sosial dan politik. Penganalisis wacana kritis
mengambil pendirian yang jelas untuk memahami ketidaksetaraan sosial sehingga sanggup
mendedahkan dan memeranginya. Wacana sebagai unit bahasa yang terbesar dianalisis
melalui analisis wacana. Analisis wacana pula berkait dengan pandangan bahasa
(Sanat,2005a:131-132). Ada tiga pandangan bahasa pada umumnya: Pandangan positivisme-
empiris yang melihat bahasa sebagai jambatan antara manusia dengan objek di luar dirinya.
Analisis wacana dalam konteks pandangan ini tidak melihat makna subjektif atau nilai yang
mendasari penyataan. Sebaliknya, makna penyataan dilihat sebagai kebenaran atau
ketidakbenaran sesuatu wacana dari segi aturan tatabahasa, seperti tautan dan runtutan.
Pandangan konstuktivisme menolak pandangan positivisme-empirisme yang memisahkan
subjek dengan objek. Subjek dianggap sebagai faktor utama dalam kegiatan wacana serta
hubungan sosialnya. Subjek memiliki kemampuan untuk men guasai maksud tertentu dalam
setiap wacana. Oleh itu, analisis wacana dimaksudkan sebagai suatu analisis untuk
membongkar maksud dan makna tertentu daripada penyataan subjek. Pandangan kritis
membetulkan pandangan konstuktivisme yang kurang sensitif kepada proses produksi dan
reproduksi makna yang terjadi secara historis dan institusional. Bahasa dalam pandangan kritis
difahami sebagai representasi yang berpe-ranan dalam membentuk subjek tertentu, topik
wacana tertentu, mahupun strategi di dalamnya. Oleh itu, analisis wacana dipakai untuk
membongkar kuasa yang ada dalam setiap proses bahasa. Di sini, jelas analisis wacana
bermaksud sebagai metodologi untuk melihat sama ada makna penyataan sebagai kebenaran
atau ketidakbenaran wacana, membongkar maksud dan makna tertentu daripada penyataan
subjek, atau membongkar kuasa dan ketidaksetaraan sosial yang ada dalam setiap proses
bahasa. Konsep tatabahasa wacana pula dalam kertas ini selain sebagai tatabahasa yang
mencakupi unit tertinggi bahasa, iaitu wacana, juga mengambil kira asas penggunaan bahasa
yang mengambil kira koteks dan konteks yang cukup luas sehingga memungkinkan pengguna
peka teks, koteks, dan konteks amalan sosial dan amalan agama. Dengan kata lain, tatabahasa
seperti ini dikenali sebagai tatabahasa wacana mega (Sanat, 2005 dan 2006). Konsep
tatabahasa ini sama dengan analisis wacana dari segi cakupan tumpuan pada wacana tetapi
berbeza dari segi konteks amalan dan metodologi. Metodologi analisis wacana sekadar
menganalisis yang menurut Johns-tone, B. (2002:2-4) merujuk kepada proses analisis secara
eksplisit, sama ada mental atau mekanikal dalam memecahkan sesuatu kepada bahagian kecil.
4.0 Latar belakang wacana Menurut Sanat Md. Nasir (2002:1-8 dan12-18), wacana sebagai
bidang kajian mempunyai sumber sejarahnya yang panjang, iaitu bermula dengan peradaban
keagamaan yang mengkaji kitab agama, seperti teks Veda sejak 1200-1000 S.M. Malah, jika
disorot lagi, zaman suhuf-suhuf dan risalah nabi-nabi Allah jauh lebih awal, seawal Nabi Adam.
Dalam tradisi Barat pula, wacana mendapat sumber sejarahnya daripada retorik klasik seawal
abad kelima sebelum Masihi. Bidang ini mendapat tumpuan dalam aliran linguistik awal oleh
Aristotle (384-322 S.M.) melalui retorik dan seterusnya, aliran Stoik oleh Zeno pada 300 S.M.
Retorik klasik mula malap dengan munculnya linguistik sejarah dan perbandingan pada awal
abad ke-19. Pada awal abad ke-20 lahir aliran struktural yang mempengaruhi formalis Rusia
dan strukturalis aliran Praha seperti pada Morphology of the Folktale oleh Propp (1928) dan
tentang perspektif ayat tugasan oleh Mathesius (1939). Daripada beliaulah lahir konsep struktur
tema dan struktur maklumat yang menjadi asas runtutan teks. Di Great Britain, telah
berkembang aliran Firth (1935) yang menghubungkan bahasa dengan sekitarannya melalui
konsep keperihalan keadaan Malinowski. Di Amerika Syarikat pula terdapat tulisan yang
menggunakan ungkapan analisis wacana oleh Harris (1952). Beliau menggunakan prosedur
formal tentang penyebaran struktur kelas keserupaan yang melebihi ayat. Analisis wacana
moden bermula pada pertengahan 1960-an dengan terbitnya analisis struktural wacana di
Perancis. Di Amerika Syarikat terdapat aliran tagmemik yang dipelopori oleh Pike, etnografi
pertuturan oleh Hymes dan aliran tatabahasa stratifikasi oleh Lamb. Di Jerman pula, muncul
aliran linguistik teks oleh Hartmann. Dan di Great Britain, wujud aliran tatabahasa fungsional
oleh Halliday yang seterusnya dikenali dengan linguistik sistemik. Halliday (1962) dalam
artikelnya, “Descriptive Linguistics in Literary Studies”, dikatakan telah membuat penyataan
awal tentang tautan yang seterusnya kepada pemahaman struktur wacana. Ruqaiya Hassan
(1964) dalam tesis Ph.Dnya memperkukuh konsep tautan Halliday tersebut. Pemuka aliran
stratifikasi. Gleason (1968), berpendapat dalam struktur wacana terdapat dua konstituen
semologi, iaitu jalur peristiwa dan jalur peserta. Menurut beliau, tautan berada dalam jalur
peserta. Dekad 1960-an ini menandakan perkembangan awal analisis wacana moden yang
lebih bersifat deskriptif dan struktural terhadap genre wacana popular atau peribumi. Aliran ini
bergerak bebas dan bertentangan dengan aliran linguistik semasa, iaitu tatabahasa
transformasi generatif. Analisis wacana pada dekad 1970-an merupakan analisis secara
sistematis dalam disiplin yang sama atau antara disiplin. Perkembangan ini merupakan
tentangan terhadap tatabahasa formal dan bebas konteks transformasi generatif. Antara
terbitan yang besar dalam tempoh itu ialah Halliday dan Hasan (1976). Mereka menghasilkan
Cohesion in English yang oleh Brown dan Yule (1983:190) dikatakan paling komprehensif dan
piawai dalam bidang tautan. Malah, dalam Sanat (2002:18) terdapat kesimpulan bahawa
daripada 17 buah disertasi Ph.D di luar negara tentang tautan sehingga 1993, 15 buah
daripadanya menggunakan kerangka sistemik Cohesion in English. Dekad 1980-an dan awal
1990-an menjadikan analisis wacana lebih padu dan berkembang, dan pada waktu yang sama
merencam dan mengkhusus. Antara terbitan yang besar dalam tempoh tersebut ialah
Beugrande dan Dressler (1981), Introduction to Text Linguistics, Longacre (1983), The
Grammar of Discourse, Halliday (1985), An Introduction to Functional Grammar, Martin (1992),
English Text: System and Structure, dan Cook (1994), Discourse. Jika dilihat perkembangan
pada dekad pertengahan 90-an dan awal abad ke-21, didapati analisis wacana memasuki tahap
kritis seperti dalam Fairclough (1995,2001 dan 2003). Malah, beliau telah menghasilkan karya
lebih awal daripada itu seperti Discourse and Social Change pada 1992. Seperti yang
dinyatakan di atas, analisis wacana ini lebih menumpukan pada usaha membongkar kuasa
yang ada dalam setiap proses bahasa kerana bahasa dilihat sebagai representasi yang
memproduksi dan mereproduksi makna 5.0 Latar belakang wacana bahasa Melayu Menurut
Sanat Md. Nasir (2002: 9-12), kajian wacana bahasa Melayu masih baru. Ada pendapat yang
mengatakan Muhammad Yunus Maris (1966) merupakan perintis analisis wacana dalam
bahasa Melayu dengan menggunakan teknik keperihalan keadaan untuk menerangkan
penggunaan ganti nama. Setakat yang terkumpul, Harimurti Kridalaksana (1970: 1), menulis
makalah beliau “NYA sebagai penanda anafora”. Pada tahun 1978, beliau telah menulis kertas
kerja yang bertajuk “Keutuhan Wacana” dan diterbitkan sebagai artikel dalam Jurnal Dewan
Bahasa. Artikel itu membahaskan keutuhan wacana sebagai salah satu aspek analisis wacana.
Penelitian beliau kelihatan terpengaruh dengan aliran tagmemik dan linguistik teks. Demikianlah
juga aliran tagmemik digunakan dalam Ph.D. Aja-miseba (1978). Kerancakan penyelidikan
tentang wacana bahasa Melayu berlaku dalam tahun 1980-an, iaitu sepuluh tahun selepas
wacana sebagai satu disiplin rancak di Eropah dan di Amerika Syarikat. Pemaparan
penyelidikan itu berupa artikel, disertasi dan buku. Asmah (1980a dan 1980b) telah menulis dua
buah artikel dalam Jurnal Dewan Bahasa, yang masing-masing bertajuk “Analisis Wacana” dan
“Pengajaran Bahasa untuk Kemahiran Berkomunikasi: Pendekatan Wacana”. Dalam artikel
yang pertama itu, beliau telah menunjukkan penggunaan tiga jenis analisis wacana, iaitu
kaedah Harris, kaedah Becker, dan kaedah Sinclair dan Coulthard. Artikel lain seperti Lufti Abas
(1982) dan Soenjono Dardjowidjojo (1985). Selain yang berbentuk artikel, penyelidikan wacana
juga telah dilakukan secara serius di peringkat latihan ilmiah, sarjana dan kedoktoran. Daripada
bibliografi latihan ilmiah yang diusahakan oleh Ismail (1994) dari tempoh 1977 hingga 1994,
didapati latihan ilmiah yang berkaitan dengan wacana hanya muncul mulai tahun 1984.
Terdapat 14 buah latihan ilmiah tentang kajian wacana sejak tahun tersebut hinggalah tahun
1989. Penelitian di peringkat sarjana sepanjang tempoh tahun 1980-an setakat yang terkumpul
ialah Sucipto (1987) dan Wong (1988). Sucipto melihat unsur tautan manakala Wong,
kesinambungan topik. Di peringkat disertasi kedoktoran pula, termasuklah Abdul Aziz Idris
(1982), Farrerty (1982), Azhar M. Simin (1983), dan Tallei (1988). Abdul Aziz berfokus pada
aspek struktur tema dan sistem hubungan logikal dalam teks pendedahan bahasa Melayu dan
Inggeris. Rafferty pula melihat struktur wacana bahasa Indonesia yang dituturkan oleh orang
Cina di Malang, Indonesia. Azhar pula meneliti sintaksis wacana yang dalam bahasa Malaysia
sedangkan Tallie, dengan menggunakan pendekatan analisis wacana, cuba mengkaji
keterpaduan, keruntutan, dan keterbacaan wacana buku pelajaran bahasa Indonesia di
peringkat sekolah dasar. Penelitian wacana sepanjang tahun 1980-an dalam bentuk buku dan
sebahagian daripada buku dapat dilihat seperti dalam Asmah (1987: 108-127) tentang teks
saintifik, Tarigan (1987) Pengajaran Wacana dan Tata Bahasa Baku Bahasa Indonesia (1988:
334-360). Dekad awal 1990-an diperteguh dengan kerancakan penelitian tentang wacana
bahasa Melayu seperti yang ditunjukkan oleh peneliti berikut. Sato (1991) menghasilkan tesis
Ph.D. dengan tajuk “Analisis Nahu Wacana Bahasa Melayu Klasik Berdasarkan Teks Hikayat
Hang Tuah”. Tumpuan beliau pada hubungan antara susunan ayat yang logikal dengan
susunan maklumat. Perhatian juga diberikan terhadap analisis tetenunan dalam ayat yang
berkaitan dengan hubungan tersebut. Soeseno (1992) dalam syarahan perdana sempena
pengukuhan beliau sebagai profesor telah memilih tajuk “Analisis Wacana dan Penerapannya”.
Dalam syarahan itu, beliau secara meluas menyentuh topik-topik seperti analisis wacana
sebagai cabang ilmu bahasa, perbezaan antara wacana lisan dengan tulisan, konteks
situasional, prinsip interpretasi lokal dan analogi, implikatur, presuposisi, inferensi, referensi,
pronominal, kohesi, koherensi dan pengetahuan tentang dunia. Di hujung syarahan beliau itu,
ada dimuatkan contoh-contoh analisis wacana. Manakala peneliti lain yang menghasilkan artikel
atau kertas kerja, seperti Samsuri (1992), Ramlan (1992), Ebah (1992), Wong (1992;1993),
Sanat (1992;1994;1995a dan 1995b;1996a dan 1996b), Dede Oetomo (1993), Ismail
(1993;1994) dan Zahrah (1995). Jika ditinjau dari segi penghasilan latihan ilmiah dalam bidang
ini bagi tempoh 1990 hingga 1994 di Malaysia, terdapat 17 buah, iaitu 15 buah dari Jabatan
Linguistik, Universiti Kebangsaan Malaysia, dan dua buah dari Rancangan Bahasa Melayu,
Universiti Malaya. Dua buah latihan ilmiah itu terdiri daripada Hasnah (1994), “Analisis Tautan
dalam Wacana Bahasa Melayu” dan Tan (1994), “Tautan dalam Bahasa Melayu”. Kedua-dua
latihan ilmiah tersebut menggunakan kerangka Halliday dan Ruqaiya Hasan (1976). Seperti
yang telah dinyatakan di atas, wacana sebagai bidang kajian dalam penelitian bahasa Melayu
masih baru. Hal ini berlaku kerana beberapa sebab. Antaranya, wacana sebagai satu disiplin
hanya berlaku pada tahun 1970-an di Eropah dan di Amerika Syarikat. Biasanya, kesannya
akan memakan waktu antara 5 hingga 10 tahun untuk sampai ke sini. Pada waktu yang sama,
aliran transformasi generatif yang dipelopori Chomsky masih kuat bertapak sehingga
kebanyakan ahli bahasa kita yang belajar di peringkat kedoktoran dalam tempoh itu telah
terpengaruh dengan aliran tersebut. Selain itu, kajian wacana sebagai mata kursus peringkat
sarjana muda di universiti tempatan masih belum menyeluruh. Lufti, Sanat dan Nuwairi (1985)
telah membuat tinjauan tentang pengajaran linguistik di Malaysia dari segi konsep dan aliran,
dan didapati hanya Jabatan Linguistik, Universiti Kebangsaan Malaysia yang ada menawarkan
kursus tersebut. Bahkan, kursus itu pun dianggap umum sebab sekadar menyatakan topik
tentang teori sintaksis yang boleh dilihat daripada aliran lain yang bukan wacana, seperti
tranformasi generatif. Pada awal tahun 1990 diberitahu bahawa di IKIP Malang, Unika Atma
Jaya dan di Universitas Indonesia di Indonesia masih belum ada kursus seumpama itu di
peringkat ijazah pertama. Demikian juga di Jabatan Pengajian Melayu, National University of
Singapore. Sebaliknya, Pengajian Bahasa Malaysia, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan,
Universiti Sains Malaysia sudah menawarkan kursus “Analisis Wacana” di peringkat ijazah
dasar bagi sesi 1989/90. Di Rancangan Bahasa Melayu, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti
Malaya kursus tersebut hanya dapat dimulakan pada sesi 1993/94 dengan tajuk “Tatabahasa
Wacana Bahasa Melayu”. Jabatan Pengajian Melayu, Fakulti Bahasa Moden, Universiti
Pertanian Malaysia belum lagi menawarkan kursus yang seumpama itu pada sesi 1995/ 6.0 Ciri
– ciri wacana Menurut Beaugrande dan Dressler (1981:81), terdapat tujuh ciri ketekstualan
yang perlu dipenuhi untuk menghasilkan wacana yang utuh, iaitu tautan, runtutan, tujuan,
penerimaan, maklumat, keadaan dan interteks. Namun menurut Asmah Haji Omar dalam artikel
Jurnal Dewan Bahasa yang bertajuk “ Analisis Wacana “ pula terdapat lapan unsur-unsur
penting dalam wacana iaitu : I. satuan bahasa II. terlengkap III. mengatasi ayat atau klausa IV.
teratur atau tersusun rapi V. berkesinambungan VI. kohesi VII. lisan atau tulisan VIII. awal dan
akhir yang nyata. Menurut Nik Safiah Karim dalam Tatabahasa Dewan edisi Ketiga pula,
terdapat dua ciri utama dalam sebuah wacana yang utuh iaitu, kohesi (atau tautan) dan koheren
(atau runtutan). Menurut beliau lagi, terdapat juga ciri-ciri yang lain termasuklah tujuan sesuatu
wacana, penerimaan oleh pendengar atau pembaca, maklumat yang terkandung, keadaan
yang mewujudkan wacana dan interteks atau peranan wacana–wacana lain yang membantu
pendengar atau pembaca memahaminapa yang didengar atau dibaca. 6.1 Tautan atau kohesi
Tautan atau kohesi ialah keserasian hubungan antara satu unsur linguistik dengan unsur
linguistik yang lain dalam sesebuah wacana untuk menghasilkan wacana yang mantap.
Keserasian hubungan ini lazimnya dilihat melalui hubungan antara sesuatu perkataan, frasa
atau ayat dengan perkataan, frasa atau ayat lain yang terdapat dalam wacana tersebut. Tautan
penting kerana tautan dapat mewujudkan kesinambungan antara sebahagian teks dengan yang
lain sehingga membentuk suatu kesatuan. Kohesi juga merujuk kepada idea atau esei yang
dijalin rapi hingga menjadi bersepadu. Kohesi juga disebut sebagai organisasi sintaktik yang
mana merupakan wadah ayat-ayat yang disusun secara padu dan juga padat. Perkara ini
bermaksud kohesi adalah hubungan di antara ayat di dalam sebuah wacana tidak kira sama
ada dari segi strata gramatikal mahupun strata leksikal tertentu. Penguasaan dan pengetahuan
kohesi yang begitu baik akan dapat menghasilkan wacana yang baik. “Tautan merupakan satu
set kemungkinan yang wujud dalam bahasa untuk menjadikan suatu teks itu berkesatuan”
(Halliday dan Hasan:1976) Menurut Halliday dan Hasan lagi, "Cohesion is expressed through
the strata organization of language. Language can be explained as a multiple coding system
comprising three levels of coding or 'strata'. The semantic (meaning), the lexicogrammatical
(forms) and the phonological and orthographic (expression). Meanings are realized (coded) as
forms, and the forms are realized in turn (recoded) as expressions. To put this in everyday
terminology, meaning is put into wording and wording into sound or writing." Halliday dan Hasan
telah cuba melihat tautan makna itu dari dua sudut iaitu tautan nahuan dan tautan leksikal.
Kedua-dua nahuan ini wujud dalam sesuatu kesatuan teks. Selain itu, kohesi juga
memperlihatkan jalinan ujaran dalam bentuk ayat bagi membentuk suatu teks atau konteks
dengan menghubungkan makna yang terkandung di dalam unsur. Kohesi juga dikenali sebagai
tetenunan, tautan, kepaduan dan sebagainya. Contohnya: 1. Syazwani, Siti dan Faiznur ke
perpustakaan. 2. Mereka ke sana untuk meminjam buku. Dalam contoh di atas, terdapat tautan
antara kedua-dua ayat tersebut. Perkataan mereka dalam ayat kedua merujuk kepada
Syazwani, Siti dan Faiznur, sementara sana merujuk kepada perpustakaan. Oleh itu, kedua-dua
ayat yang mempunyai tautan ini dianggap sebagai wacana. Tambahan pula, kedua-dua ayat ini
bermakna dan difahami. 6.1.1 Jenis-jenis kohesi 6.1.1.1 Kohesi Leksikal Kohesi Leksikal
diperoleh dengan cara memilih kosa kata yang serasi. Ada dua cara bagi mencapai aspek
kohesi leksikel ini, iaitu reiterasi dan kolokasi. i) Reiterasi (Pernyataan Semula) Reiterasi atau
pernyataan semula berlaku melalui tiga cara, iaitu pengulangan kata, sinonim, superordinat dan
kata-kata umum. a) Pengulangan Kata Pengulangan kata ini dikenali juga sebagai repetition.
Kata yang sering kali diulang ini adalah dari 'kata isi' (content word). Ini bermakna kata itu
adalah kata yang amat penting bagi sesuatu ayat yang dibentuk dan dibina bagi teks ataupun
wacana. Kata isi ini boleh dikenal pasti melalui dua cara. Cara yang pertama ialah kata itu atau
'kata isi' tersebut akan dijadikan sebagai unsur yang tidak boleh ditinggalkan ataupun tidak
digunakan jika diperkatakan di dalam intipati teks. Manakala cara yang kedua ialah jika kata
tersebut tidak diulang maka berkemungkinan teks itu akan terganggu sifat kesatuannya. Dalam
bahasa Melayu, kata yang akan diulang itu boleh berubah bentuk dari segi ataupun sudut
morfologi. Ini dapat dikategorikan di dalam pengulangan kata ini, jika kelas kata yang diulang itu
tidak berubah. b) Sinonim Sinonim ialah suatu kata yang mempunyai makna yang sama dengan
'kata seerti'. Sinonim ini digunakan kerana ianya untuk mengelakkan kebosanan bagi
pengulangan kata yang sama di dalam teks dan juga sinonim ini memberikan variasi kepada
sesuatu teks. Sesetengah kata dikatakan sinonim adalah disebabkan kedua-duanya merujuk
kepada perkara yang sama. c) Superordinat Superordinat ialah penggunaan kata yang lebih
khusus atau 'hiponim' kepada kata yang lebih umum atau dikenali sebagai 'hiperonim'. Contoh :
Semua yang ada di desa seperti kambing, biri-biri, kerbau, lembu dan ayam, harus dibuatkan
kandangnya secara teratur. Ketua Kampung mengarahkan penduduk desa membuat kandang
ternakan masing-masing. (Tarigan, H.G. 1995: 146) Superordinat bagi contoh di atas ialah kata
umum yang merujuk 'kambing, kerbau, biri-biri, ayam', iaitu 'ternakan'. Kata 'kambing, kerbau,
ayam' adalah kata khusus yang juga dikenali hiponim. d) Kata-kata Umum Kata-kata umum
ialah kata-kata yang tidak tentu kelasnya. Contoh : Bagi Awang Semaun, jika ia beroleh sesuatu
hasil perburuan atau berkarang, sebelum perolehan itu dibawanya balik ke rumahnya… (Harun
Aminurrashid. 2001:25) ii) Kolokasi Bagi mengenal kolokasi adalah melihat dari dua sudut, iaitu
a) dari sudut sintaksis b) dari sudut semantik. a) Dari Sudut Sintaksis Contoh : Ketika itu nama
Brunei dikenali sebagai Puni, kerana ibu kotanya bernama Puni. Pada zaman Sultan Muhyiddin
iaitu Sultan Brunei yang ke-XIV baharulah Kerajaan Brunei itu dipindahkan ke tempat yang ada
sekarang. (Harun Aminurrashid. 2001:19) b) Dari Sudut Semantik Contoh : Kerajaan berusaha
bersungguh-sungguh meningkatkan perhubungan di tanah air kita, iaitu perhubungan darat, laut
dan udara. Dalam bidang perhubungan darat telah digalakkan pemanfaatan kereta api dan
kenderaan bermotor. Kenderaan ini meliputi kereta, motosikal dan lain-lain. (Tarigan, H.G.
1995: 136) 6.2 Runtutan atau koheren Runtutan atau koheren merupakan kesinambungan idea
yang terdapat dalam sesbuah wacana sehingga menjadikan sesebuah teks itu bermakna. Oleh
itu, runtutan merupakan asas dalam pembinaan wacana kerana sesuatu teks itu dianggap
sebagai wacana jika teks tersebut mempunyai makna. Contohnya: Penyakit sindrom kurang
daya tahan atau Aids bukanlah gejala yang baharu. Penyakit ini telah lama dikesan di beberapa
buah Negara di Eropah. Walaupun bidang sains dan teknologi berkembang maju, tetapi
masalah ini masih tidak dapat diatasi. Contoh di atas jelas menunjukkan kesinambungan idea
melalui perkataan Aids, gejala, penyakit dan masalah ini. Kesinambungan idea ini telah
menjadikan ayat-ayat tersebut bertaut di antara satu sama lain untuk membentuk wacana yang
bermakna. Kebanyakan wacana mempunyai tautan untuk menjadikannya runtut. Walau
bagaimanapun, teks yang bertaut tidak semestinya runtut. Contohnya: Wanita itu membeli baju
baharu bewarna biru. Warna biru ialah warna kegemaran muda-mudi kini. Muda-mudi kini ramai
yang menghadapi masalah sosial. Berdasarkan teks di atas, setiap ayat mempunyai tautan.
Tetapi teks tersebut tidak merupakan wacana kerana teks tersebut tidak bermakna dan tidak
difahami. Malahan, teks tersebut tidak mempunyai kesinambungan idea atau tidak koheren.
Oleh itu, untuk menghasilkan wacana, sesuatu teks itu perlulah koheren atau runtutan. 6.3
Tujuan Setiap wacana yang diujarkan sama ada dalam bentuk tulisan atau lisan perlu
mempunyai tujuan. Tujuan sesuatu wacana ini ditentukan oleh penghasil wacana tersebut sama
ada penulis atau pembicaranya. Sesuatu wacana perlu mempunyai tujuan untuk menimbulkan
interaksi yang komunikatif. Tujuan ini akan menentukan jenis wacana yang digunakan. Jika
tujuan seseorang adalah untuk mendapatkan maklumat, ayat yang sering digunakan ialah ayat
Tanya, tetapi jika seseorang itu ingin menyatakan atau menerangkan sesuatu, ayat yang
digunakan ialah ayat penyata. 6.4 Penerimaan Sesuatau wacana sama ada lisan atau tulisan,
perlu mempunyai pendengar atau pembaca. Pendengar dan pembaca merupakan penerima
sesuatu wacana. Tahap penerimaan seseorang itu tinggi jika pendengar atau pembaca
memahami sepenuhnya wacana yang diujarkan sama ada dalam bentuk tulisan atau lisan. Oleh
itu, tahap penerimaan adalah tinggi apabila tahap tujuan sama dengan tahap penerimaan. 6.5
Maklumat Setiap wacana mempunyai maklumat. Maklumat terdiri daripada dua jenis, iaitu
maklumat lama dan maklumat baharu. Maklumat lama ialah maklumat yang telah dinyatakan
terdahulu. Maklumat baharu pula ialah maklumat yang baru sahaja dinyatakan dengan andaian
pendengar atau pembaca tidak mengetahui maklumat itu sebelum ini. Contohnya: (1) Puan Rita
mengajar di sekolah menengah. (2) Sekolah itu sekolah berasrama penuh. Sekolah itu dalam
ayat (2) merupakan maklumat lama kerana telah dinyatakan dalam ayat sebelumnya. Sekolah
berasrama penuh ialah maklumat baharu kerana baru disebutkan dalam ayat itu. 6.6 Keadaan
Ciri seterusnya ialah keadaan. Keadaan ialah latar sewaktu bahasa itu digunakan, dan
membantu pendengar atau pembaca memahami sesuatu wacana. Ungkapan “Sila masuk”,
misalnya, difahami kerana digunakan dalam keadaan latar seseorang mempelawa seorang lain
masuk ke dalam bilik atau rumahnya. Dalam kehidupan sehari-hari terdapat pelbagai jenis latar,
misalnya latar rumah tangga, latar tempat kerja, latar tempat membeli-belah, latar berekreasi,
latar beribadat, dan bermacam-macam lagi. Setiap latar menghasilkan wacana tersendiri.
Setiap wacana perlu dikaji kaitan dan kedudukan penutur dalam masyarakat secara amnya
yang akan menentukan gaya wacana sama ada gaya formal atau tidak formal. Gaya formal,
contohnya, wujud apabila seseorang guru pelatih berkomunikasi dengan pensyarah, murid atau
pelajar berhubung dengan guru. Gaya tidak formal adalah gaya yang wujud dalam hubungan
biasa antara rakan. Hubungan ini menghasilkan kesan dialek sosial dalam pertuturan. Wacana
harus ada tujuan yang menentukan sesuatu jenis ayat. Contohnya, jika tujuan penutur adalah
untuk melaksanakan sesuatu perbuatan , jenis ayat yang terbentuk ialah ayat perintah. Begitu
juga jika tujuan penutur adalah untuk mendapatkan maklumat, jadi ayat yang terbentuk ialah
ayat Tanya. Sesuatu wacana mesti berdasarkan kaitan antara penutur dengan pendengar
dalam bahasa lisan dan penulis dengan pembaca dalam bahasa tulisan. Tiap-tiap wacana tidak
boleh dimansuhkan maklumat yang bertentangan dengan maklumat yang terdapat dalam ayat
sebelumnya. Contohnya: “Kelmarin dia tidur sehari suntuk.” “Kelmarin dia tidur sehingga jam
9.00 pagi.” Dalam wacana perlu ada unsur-unsur susun atur menurut sebab, akibat, tempat,
waktu, keutamaan dan sebagainya. Tegasnya, ayat-ayat itu harus mempunyai urutan yang
berkait rapat. Misalnya: “Cikgu Shafie mengajar dengan penuh dedikasi.” “ia mendapat pujian
daripada guru besar.” Setiap wacana harus mempunyai andaian dan inferensi. Maklumat
pertama dalam wacana digelar andaian manakala maklumat berikutnya disebut inferensi.
Dalam tatabahasa tradisional, andaian digelar judul dan inferensi disebut ulasan. Inferensi
manambah maklumat kepada andaian dan lazimnya bahagian ini diberi tekanan suara yang
tinggi. Misalnya: 6.7 Interteks Interteks bermaksud sesuatu wacana itu bergantung kepada
wacana yang lain. Hal ini beerti wacana-wacana lain juga memainkan peranan penting untuk
membantu seseorang memahami sesuatu wacana yang sedang dibaca atau didengarinya
dengan mudah. Dengan kata lain, kefahaman seseorang terhadap sesebuah wacana
bergantung kepada pengetahuannya terhadap perkara yang dibaca atau didengarnya itu. 7.0
Jenis-jenis wacana Umumnya wacana dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu wacana lisan
dan wacana tulisan. Wacana lisan ialah wacana yang dihasilkan melalui media lisan, iaitu
melibatkan pembicara dan pendengar. Komunikasi yang terlibat dalam wacana lisan ini ialah
komunikasi interaktif, iaitu komunikasi yang melibatkan hubungan pembicara dan pendengar
secara langsung. Dalam wacana lisan, pembicara biasanya akan menggunakan ekspresi
wajah, intonasi suara, gerak badan dan sebagainya untuk menyampaikan sesuatu maklumat
kepada pendengar. Biasanya dalam wacana lisan, pembicara akan mendapat respon daripada
pendengar pada ketika itu juga. Antara contoh wacana lisan adalah menerusi perbualan, temu
ramah, ceramah, khutbah, pidato dan siaran televisyen atau radio. Wacana tulisan pula ialah
wacana yang disampaikan secara bertulis. Wacana tulisan melibatkan hubungan antara penulis
dengan pembaca.komunikasi yang terlibat ialah komunikasi tidak langsung, iaitu komunikasi
satu arah. Penulis tidak berhadapan dengan pembaca sewaktu wacana tersebut dihasilkan.
Oleh itu, penulis tidak mendapat respon secara langsung daripada pembaca. Wacana tulisan
seringkali disunting terlebih dahulu bagi menghasilkan tulisan yang berkualiti dan tepat. Dalam
wacana tulisan, pembaca perlu membaca teks yang ditulis untuk memahami maksud yang ingin
disampaikan oleh seseorang pengarang atau penulis. Antara contoh wacana tulisan ialah
tulisan-tulisan yang terdapat di dalam akhbar, majalah dan buku. Rencana di bawah adalah
merupakan salah satu contoh wacana tulisan. Contoh wacana tulisan : Rencana Tajuk :
Masalah-masalah yang Dihadapi Akibat Kemasukan Pekerja Asing. Oleh : Siti Aminah bt Kasim
Perkembangan ekonomi dalam tahun 80-an dan tahun 90-an menyediakan peluang pekerjaan
yang amat banyak hingga negara tidak mempunyai tenaga buruh yang mencukupi. Fenomena
ini menyebabkan negara mengimport tenaga dari negara jiran. Sebaliknya, kemasukan tenaga
buruh asing menimbulkan pelbagai masalah sosial. Kedatangan buruh asing secara beramai-
ramai yang tidak disaring latar belakang mereka membenarkan kemasukan penjenayah yang
datang untuk mencari kesempatan. Sungguhpun, sebahagian besar daripada buruh asing ini
datang untuk mencari rezeki terdapat pula mereka yang berniat jahat. Justeru itu, berlakulah
jenayah seperti pencurian, rompakan, dan penipuan. Golongan jahat ini datang untuk mencari
kesenangan dengan cepat. Oleh itu, kejadian rompakan dan kecurian kerapkali berlaku di mana
buruh asing ramai didapati. Rancangan menerima buruh asing digunakan oleh sesetengah
pihak untuk lari dari kampung halaman mereka. Mereka lari dari tempat mereka kerana mereka
melakukan jenayah. Apabila mereka datang ke sini mereka mungkin bertemu dengan seteru
lama mereka. Justeru itu, kita kerapkali dikejutkan oleh pergaduhan dan pembunuhan di
kalangan buruh asing terutama sekali yang datang dari Indonesia dan Filipina. Selain itu, di
kalangan buruh asing itu terdapat juga mereka yang datang bukan untuk makan gaji tetapi
untuk berniaga. Walaupun pada mulanya mereka bekerja tetapi setelah beberapa lama mereka
berniaga dengan membuka gerai. Mereka berniaga tanpa lesen dan kadang-kadang bersaing
dengan peniaga tempatqan. Oleh sebab overhed mereka rendah, mereka berupaya menjual
barang-barang mereka dengan murah. Kegiatan ini menimbulkan pelbagai masalah kepada
peniaga tempatan. Di samping itu, peniaga tempatan yang tidak boleh bersaing meninggalkan
tempat perniagaan mereka. Tindakan ini menambah pula peniaga saing seperti di Chow Kit
pada suatu ketika dahulu. Di samping itu, terdapat pula golongan buruh asing yang cuba
menganut budaya tempatan sehingga mereka menjadi seperti penduduk tempatan.
Kebanyakan daripada mereka berkahwin dengan gadis-gadis tempatan. Setelah
mengumpulkan wang dengan banyak mereka balik ke negara asal mereka dan meninggalkan
anak-anak dan isteri mereka. Fenomena ini jika tidak dikawal sudah pasti menimbulkan
masalah sosial dan membebankan negara. Rancangan jangka pendek untuk mengisi
kekosongan di kilang, tapak pembinaan, ladang-ladang, hotel, dan restoran rupa-rupanya
membawa masalah yang berat. Andainya, pengambilan buruh asing berlanjutan maka kawalan
yang ketat dan saringan yang teliti perlulah diambil oleh pihak yang berwajib. (+348 patah
perkataan) 8.0 PENANDA WACANA Penanda wacana ialah perkataan ataupun rangkaian
perkataan yang berfungsi mempertalikan sesuatu idea, hujah dan pandangan seseorang
semasa menulis ataupun berucap. Penanda wacana amat penting dalam sesebuah teks kerana
penanda wacana dapat mewujudkan pertautan atau kesinambungan antara sebahagian teks
dengan yang lain sehingga membentuk kesatuan. Penanda wacana juga merupakan unsur-
unsur bahasa yang mewujudkan kohesi dan koheran antara satu teks dengan teks yang lain
sehingga membentuk kesatuan. Terdapat banyak jenis penanda wacana dalam bahasa Melayu.
Dalam bahasa Melayu terdapat lima jenis penanda wacana, iaitu 8.1 Penanda Leksikal
Penanda leksikal ialah penanda yang melibatkan pertautan antara perkataan atau frasa secara
semantik (makna) dalam sesebuah wacana. Penanda leksikal melibatkan unsur pengulangan
kata dan kebiasaannya pengulangan kata yang terlibat ialah pengulangan unsur yang sama,
pengulangan sinonim, hiponim dan kolokasi. Pengulangan unsur yang sama bermaksud setiap
kata diulang secara penuh tanpa melakukan sebarang perubahan. Contohnya seperti: Ibu amat
menyayangi Ahmad. Kami juga amat menyayanginya. Dalam ayat di atas, berlaku pengulangan
secara penuh bagi perkataan menyayangi. Pengulangan sinonim pula merujuk kepada
pengulangan kata yang mempunyai makna yang hampir sama seperti: Suatu ketika dahulu
wanita itu amat dikaguminya. Tetapi kini, wanita itu dianggapnya sebagai perempuan murahan.
Perkataan wanita dan perempuan merupakan pengulangan kata yang sinonim iaitu sama
makna. Pengulangan hiponim pula ialah pengulangan yang melibatkan hubungan antara makna
khusus dan makna yang umum yang mana merangkumi makna yang khusus. Makna yang
umum disebut sebagai superordinat manakala makna khusus disebut sebagai hiponim.
Contohnya ikan merangkumi makna yang khusus seperti tenggiri, bawal, cencaru, selar dan
kembung. Contohnya: Malaysia telah mengimport pelbagai jenis kereta dari luar negara.
Antaranya Honda, Nissan, Toyota dan Volvo. Pengulangan kolokasi melibatkan kehadiran
sekumpulan kata yang saling berkait dengan sesuatu idea, topik, situasi atau konteks.
Lazimnya pengulangan kolokasi melibatkan hubungan leksikal selingkungan seperti perkataan
almari, meja dan kerusi dikatakan sebagai perkataan yang berkolokasi kerana perkataan-
perkataan ini mempunyai lingkungan yang sama iaitu perabot. Selain itu pula, apabila kita
mendengar ungkapan tendangan percuma, kita akan menggambarkan situasi permainan bola
sepak, dengan kata lain tendangan percuma berkolokasi dengan permainan bola sepak.
Contohnya: Pembuangan sisa-sisa toksik ke dalam sungai telah menyebabkan pencemaran air.
Oleh itu, banyak ikan dan udang yang mati. Dalam ayat di atas, ikan dan udang merupakan
perkataan yang berkolokasi kerana mempunyai lingkungan yang sama iaitu hidupan air. 8.2
Penanda rujukan Penanda rujukan melibatkan rujukan terhadap ganti nama diri dang anti nama
tunjuk. Rujukan ganti nama diri melibatkan ganti nama diri orang pertama, kedua dan ketiga.
Contoh rujukan ganti nama diri adalah seperti yang berikut: Aku, Sani dan Udin akan ke Kuala
Lumpur. Kami bertolak pada pukul empat petang. Perkataan kami merupakan kata ganti nama
diri bagi aku, Sani dan Udin. Kata ganti nama tunjuk ialah perkataan yang membawa maksud
menunjukkan benda atau perkara. Dalam bahasa Melayu, penanda penunjuk terdiri daripada
perkataan ini, itu, sini dan situ. Contohnya: Di manakah awak tinggal? Saya tinggal di sana. 8.3
Penanda penghubung Penanda penghubung berfungsi sebagai penjalin unsur-unsur linguistik
seperti perkataan, frasa atau ayat yang terdapat dalam sesebuah wacana. Penanda
penghubung terdiri daripada penghubung tambahan, tentangan, musabab dan tempoh.
Penghubung tambahan merupakan penghubung yang memberikan maklumat tambahan
terhadap sesuatu perkara yang diperkatakan sebelumnya. Antara penghubung tambahan
dalam bahasa Melayu ialah dan, malahan, tambahan pula, lebih-lebih lagi, di samping itu dan
selanjutnya. Contohnya : Tugasnya sebagai wartawan di salah sebuah syarikat penyiaran
benar-benar member pengalaman kepadanya kerana dia sering diberikan tugasan di luar
Bandar. Malahan dia juga berpeluang melawat negara-negara luar seperti Thailand dan juga
India untuk menjayakan rancangan dokumentari itu. Penghubung tentangan ialah penghubung
yang menunjukkan pertentangan maklumat antara suatu ayat yang baru diperkatakan dengan
ayat sebelumnya dalam sesebuah wacana. Antara contoh penanda penghubung tentangan
ialah tetapi, sebaliknya, namun dan walau bagaimanapun. Contohnya : Penghuni benua
Amerika suatu ketika dahulu bukanlah kaum kulit putih dan berambut perang. Sebaliknya,
mereka merupakan kaum yang berambut panjang dan hitam. Penanda penghubung musabab
ialah penanda yang merupakan sebab berlakunya sesuatu. Contoh penanda musabab ialah
kerana, oleh sebab dan oleh itu. Contohnya: Dia kesuntukan masa. Oleh sebab itu, dia perlu
menyiapkan tugasannya secepat mungkin. Penanda penghubung tempoh ialah penanda
penghubung yang menunjukkan urutan masa atau siri berlakunya sesuatu. Contoh penanda
penghubung tempoh ialah pertama, kedua, ketiga, kemudian, selanjutnya dan sebagainya.
Contohnya: Pada peringkat awal pendakian, ramai di kalangan ahli kami yang kepenatan.
Kemudian, kami berhenti rehat untuk jangka waktu yang panjang dan selepas itu, kami teruskan
pendakian. Akhirnya, berbekalkan semangat juang yang tinggi kami berjaya sampai ke puncak
Gunung Kinabalu tepat jam 6.30 pagi. 1. Tambahan dan, serta, lagi, tambahan lagi, tambahan
pula, selanjutnya, seterusnya, di samping. 2. Urutan Pertama, kedua, seterusnya, selepas itu,
kemudian, kemudian daripada itu, akhirnya. 3. Penyataan semula iaitu, yakni, dengan kata lain,
seperti yang diterangkan. 4. Contoh contohnya, seperti, ibarat, laksana, macam, umpama,
bagai, bak kata, sebagai. 5. Rumusan rumusannya, kesimpulannya, sebagai kesimpulan, akhir
kata, sebagai penyimpul kata 6. Tempat berhampiran dengan, bersebelahan dengan,
bertentangan dengan. 7. Waktu apabila, ketika, semasa, kemudian, selepas, pada mulanya,
lama-kelamaan, lambat-laun, akhirnya. 8. Sebab dan kesan oleh itu, sebab itu, justeru itu, fasal,
lantaran, jadi, dengan itu. 9. Bandingan seperti juga, serupa dengan, sesuai dengan, sama juga
dengan. 10. Pertentangan tetapi, sebaliknya, sungguhpun, walau bagaimanapun, namun
begitu, bertentangan dengan. 11. Pengesahan sebenarnya, sesungguhnya, sewajarnya,
tentulah, pastilah, sememangnya. 8.4 Penanda penggantian. Penggantian ini dikenali sebagai
Substitution. Penggantian adalah pengambilan alihan atau pertukaran bagi sesuatu segmen
kata, frasa atau klausa oleh kata ganti yang lainnya. Penanda penggantian terdiri daripada
penanda penggantian nominal, verbal dan klausal. Penggantian nominal ialah penggantian
yang dilakukan terhadap kata nama tau frasa nama, manakala penggantian verbal melibatkan
penggantian terhadap kata atau frasa kerja dan penggantian klausa pula melibatkan
penggantian sebahagian daripada ayat. Contohnya : Saya sengaja tidak mahu menebang
pokok durian itu. Nanti baru saya lakukan. Dalam contoh di atas, perkataan lakukan
menggantikan sebahagian ayat sebelumnya, iaitu menebang pokok durian itu. Penggantian
seperti ini merupakan penggantian klausa. 8.5 Elipsis Elipsis melibatkan pengguguran kata atau
frasa yang telah dinyatakan dalam ayat sebelumnya. Ini beerti pengguguran kata atau frasa
melibatkan maklumat yang telah diketahui oleh pembaca atau pendengar berdasarkan
konteksnya. Contoh 1 : Pemuda itu kelihatan resah. Tidak tahu arah mana yang harus
ditujunya. Dalam contoh di atas, frasa pemuda itu tidak diulang dalam ayat kedua. Walaupun
ayat kedua tidak menyatakan unsur yang sama seperti ayat pertama, tetapi ayat kedua ini
masih difahami. Contoh 2 : Ah Meng suka baju berwarna merah. Adiknya suka baju putih.
Dalam ayat (1) di atas perkataan tidak diulang dalam ayat (2). Walaupun dalam ayat pertama
dan kedua menyatakan unsur yang sama iaitu unsur warna tetapi kedua-dua ayat tersebut
masih boleh difahami. 8.5.1 Jenis elipsis. Terdapat tiga jenis elipsis , iaitu a) Pengguguran
nomina Contoh : A: " Kita ini perlu anak. Tau anak! Adanya anak akan lebih bererti hidup …" B:
"Kenapa diungkit-ungkit juga soal ^ itu?" (Leman Ahmad. 1984: 24) b) Pengguguran verbal
Contoh : A: "Pernahkah kamu menaiki beca dan basikal?" B: "ya, pernah ^ " (Tarigan, H.G.
1995:166) c) Pengguguran klausa Contoh : Guru: "Apakah kamu mahu mendapat biasiswa dari
kerajaan?" Pelajar: "Ya tentu" (Tarigan, H.G. 1995:147) 11.0 KESIMPULAN Wacana ialah unit
bahasa yang melebihi batas ayat. Wacana mempunyai ciri-ciri yang terdiri daripada tujuh tahap
ketekstualan, iaitu tautan, runtutan, tujuan, penerimaan, maklumat, keadaan dan juga interteks.
Selain itu, penanda wacana pula terdiri daripada lima jenis yang disebut sebagai penanda
leksikal, rujukan, penghubung, penggantian dan juga ellips. Wacana juga terbahagi kepada dua
jenis iaitu wacana jenis lisan dan wacana jenis tulisan. Wacana jenis lisan merupakan wacana
yang melibatkan antara penutur dan juga pendengar. Sebagai contohnya ialah seorang guru
yang bertanya kepada muridnya kenapa tidak hadir ke kelas. Manakala wacana tulisan pula
ialah wacana yang melibatkan bidang penulisan. Sebagai contohnya ialah surat rasmi yang
ditulis kepada kerajaan, laporan, memo dan sebagainya. Wacana bukan sekadar diperingkat
ayat, malahan meliputi perenggang, bab, buku dan siri buku. Tujuh ciri ketekstualan perlu
dipenuhi untuk menghasilkan wacana yang baik sama ada dalam penghasilan penulisan atau
pengucapan. Sesebuah wacana yang baik perlu memperlihatkan pertautan dan kesinambungan
idea. Pertautan dan kesinambungan idea ini bukan sekadar antara ayat dengan ayat atau
antara satu perenggang dengan satu perenggang, bahkan dari satu bab dengan bab yang lain.
Hal ini penting untuk memperlihatkan kesatuan bagi menghasilkan wacana yang utuh. Wacana
juga penting bagi menghasilkan kerja yang bermutu selain daripada boleh menyempurnakan
sesuatu perkara. Sebagai contohnya, dengan menggunakan wacana yang betul melalui
percakapan seseorang itu akan menyebabkan seseorang itu akan dihormati oleh orang lain. Hal
ini kerana seseorang itu mampu mempamerkan kesungguhannya menggunakan bahasa
dengan betul ketika bercakap Copy and WIN : http://bit.ly/copynwin

Copy and WIN : http://bit.ly/copynwin

You might also like