You are on page 1of 15

PENGENALAN

Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai etnik yang berbeza
dari segi kepercayaan, budaya dan bahasa. Perbezaan ini menyukarkan para pemimpin
untuk memacu pembangunan negara. Oleh itu, perlu ada suatu formula yang jitu dan
ampuh untuk mencapai perpaduan dan integrasi semua etnik menjadi satu bangsa
Malaysia yang bersatu.
Justeru itu, aspek pendidikan telah dijadikan salah satu wadah utama
kerajaan untuk mencapai perpaduan dan integrasi kaum di Malaysia. Pendidikan di
Malaysia, menjadi salah satu sistem sosial yang paling penting bagi perkembangan dan
kemajuan Negara. Oleh yang demikian, perancangan yang rapi dan terperinci telah
dibuat untuk mencapai hasrat dan matlamat tersebut.
Bagi setiap negara yang sudah mencapai kemerdekaan, salah satu aspek
penting yang amat dititikberatkan dalam usaha untuk menuju ke arah negara yang maju
dan membangun dari aspek politik, ekonomi dan sosial ialah penekanan terhadap
perlaksanaan sistem pendidikan negara. Sistem pendidikan yang dilaksanakan di
dalam sesebuah negara, penting bukan sahaja kerana fungsi kebajikan dan
sosialisasinya iaitu di mana kanak – kanak dididik untuk menjadi insan yang berjaya
dan mengenali budaya serta alam sekeliling, tetapi juga boleh digunakan
sebagai wadah untuk menyampaikan ideologi kebangsaan kepada masyarakat iaitu
melalui penerapan tentang kefahaman serta nilai – nilai positif untuk perpaduan kaum di
kalangan para pelajar.

DEFINISI PERPADUAN DAN INTEGRASI


Perpaduan bermaksud penggabungan, manakala integrasi pula membawa maksud
penggabungan atau pergabungan dua atau beberapa kaum menjadi satu kesatuan atau
penyatuan (Kamus Dewan, 2002).
Jika digabungkan dua perkataan ini, iaitu integrasi perpaduan ia membawa
maksud mewujudkan satu masyarakat yang bersatu padu dengan satu identiti nasional.
Kerjasama ini meliputi integrasi wilayah, ekonomi, kebudayaan, sosial, pendidikan dan
politik (Mohd Ridhuan Tee Abdullah, 2010: 62)
Manakala konsep integrasi nasional, merupakan penyatuan kelompok
masyarakat yang mempunyai latar belakang yang berbeza, menjadi satu entiti yang
terikat oleh norma dan nilai serta kepentingan bersama, yang mempunyai unsur penting
iaitu anggota kelompok masyarakat yang bersatu padu sekalipun berlainan latar
belakang, masing-masing berasa dipunyai dan mempunyai satu kelompok yang sama
(a sense of belonging). Integrasi sebegini merupakan satu proses yang berlaku hasil
ikatan batin, iaitu ikatan perasaan antara manusia sendiri. Ia adalah proses kerohanian
atau spiritual, hasil daripada satu penghayatan dalam mana akhirnya berlaku
perkongsisn pemikiran dan hati, jauh merentasi perbezaan budaya dan kumpulan etnik.
Integrasi nasional lebih merupakan satu proses berbentuk abstrak, satu proses
penyatuan atau ikatan yang sebati dan berpanjangan (Modul Kenegaraan, 2011: 179-
180).

SEJARAH PENDIDIKAN
Negara Malaysia mempunyai sejarah pendidikan yang unik dan tersendiri.
Rentetan sejarah yang ada dan perubahan yang berlaku dalam arena politik, ekonomi,
sosial dan kebudayaan pada masa lampau, telah membawa kepada perubahan dalam
perlaksanaan dasar dan corak pendidikan negara Malaysia serta menjadi landasan
untuk perubahan pada masa akan datang. Berdasarkan kepada perkembangan sejarah
yang berlaku, pendidikan di Malaysia terbahagi kepada tiga peringkat iaitu sebelum
kedatangan British, semasa kedatangan British dan selepas kemerdekaan.

Sejarah Pendidikan Sebelum Kemerdekaan


Sistem pendidikan sebelum kemerdekaan lebih bersifat keagamaan iaitu berasaskan
sistem pondok atau madrasah. Ianya berkembang pesat sekitar tahun 1920-an hingga
1940-an (Gurnam Kaur Sindhu et al, 2005: 65). Sekolah jenis ini bertujuan bagi
melahirkan pelajar yang bermoral tinggi, namun terdapat kelemahan pada
perlaksanaannya iaitu tidak dapat melahirkan masyarakat Islam yang moden kerana
tiada penekanan kepada mata pelajaran sains, matematik dan bahasa Inggeris.
Sekolah Vernakular merupakan sekolah yang menggunakan bahasa ibunda
sebagai bahasa pengantar disetiap sekolah dan berasaskan kepada identiti kaum
masing-masing. Sekolah Melayu menggunakan bahasa Melayu, Sekolah Cina
menggunakan bahasa Cina atau Mandrin (Kuo Yu) dan bahasa Tamil untuk Sekolah
Tamil. Manakala Sekolah Inggeris hanya ditubuhkan di kawasan bandar yang mana
sekolah ini menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar (Gurnam Kaur
Sindhu et al, 2005: 65).

Sejarah Pendidikan Semasa Penjajahan


Pada zaman penjajahan, setiap sekolah ditubuhkan mengikut kaum dan mempunyai
kurikulum yang berbeza-beza serta lokasi sekolah juga terpisah mengikut kaum
masing-masing. Sekolah-sekolah berkembang selaras dengan perkembangan ekonomi
di Tanah Melayu pada masa itu, contohnya Sekolah Cina mendapat bantuan dari
golongan peniaga Cina. Disamping itu juga sekolah Cina ini diberi pilihan sama ada
mendapat bantuan Negara Cina ataupun bantuan dari kerjaaan tempatan.
Sistem pendidikan pada zaman ini meninggalkan kesan yang mendalam dari
segi meningkatkan persaingan dikalangan semua kaum. Walaubagaimana pun,
kependudukan Jepun telah banyak mengubah dan memberi kesan serta menjejaskan
perkembangan pendidikan di Tanah Melayu. Sekolah dan kolej terpaksa dibaiki dan
diperkemaskan kerana mengalami kerosakan dan siap selepas tahun 1946.
Sejarah Pendidikan Selepas Kemerdekaan
Selepas kemerdekaan, sistem pendidikan negara adalah berasaskan kepada laporan
yang dikeluarkan iaitu Laporan Barnes (1950), Laporan Fenn-Yu (1951) dan diikuti oleh
Ordinan Pelajaran pada tahun 1952. Laporan Barnes disediakan bagi mengkaji dan
menyiasat kedudukan pendidikan orang-orang Melayu pada masa itu. Antara syor yang
diutarakan adalah penubuhan sekolah dwibahasan yang menggunakan Bahasa
Inggeris dan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Selain itu juga Sekolah
Vernakular akan digantikan dengan Sekolah Kebangsaan. Laporan Fenn-Yu pula
bertujuan mengkaji semula Laporan Barnes kerana dikatakan Laporan Barnes ingin
menghapuskan bahasa dan kebudayaan masyarakat Cina.
Oleh yang demikian, bagi menyelesaikan kemelut tersebut, kerajaan British telah
menubuhkan satu jawatankuasa dan laporan jawatankuasa ini dikenali sebagai Ordinan
Pelajaran (1952). Hasrat Ordinan Pelajaran (1952) bagi membentuk satu corak sistem
persekolahan yang menghapuskan Sekolah Vernakular Cina dan Tamil tidak
kesampaian disebabkan masalah kewangan pada ketika itu. Apa yang jelas ialah
sistem pendidikan pada zaman tersebut lebih dipengaruhi oleh corak sosio-ekonomi
yang dicetuskan oleh kaum masing-masing. Aspirasi dan fikiran yang berlainan
dikalangan masyarakat menyukarkan pencapaian sesuatu matlamat (Gurnam Kaur
Sindhu et al, 2005: 68).

DASAR PENDIDIKAN
Pada zaman penjajahan, sistem pendidikan telah berkembang tanpa mengambil kira
kepada keperluan pembangunan, pembentukan identiti kebangsaan dan perpaduan
negara. Ianya berkembang mengikut identiti, taat setia dan keturunan mereka kepada
negara asal. Ini memberi satu tekanan kepada pembangunan rakyat tempatan pada
ketika itu. Bagi menggantikan sistem pendidikan penjajah, beberapa langkah telah
diambil dan menggubal satu Dasar Pendidikan Kebangsaan yang bertujuan untuk
memenuhi keperluan negara dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial,
ekonomi dan politik.
Dasar Pendidikan di Malaysia telah melalui beberapa tahap perkembangan.
Pembentukan Kabinet Persekutuan Tanah Melayu yang pertama merupakan tahap
awal kepada terbentuknya Dasar Pendidikan di negara ini. Parti Perikatan yang
mencapai kemenangan dalam pilihanraya pada tahun 1995 di bawah pimpinan Yang
Berhormat Dato’ Tun Abdul Razak Hussien telah menubuhkan satu Jawatankuasa
Pelajaran dan mensyorkan beberapa perubahan dalam sistem pendidikan. Laporan ini
dikenali sebagai Penyata Razak (1956). Cadangan-cadangan penyata ini termaktub
dalam Ordinan Pelajaran (1957). Penyata Razak ini mempunyai tujuan utama iaitu
untuk menyatupadukan kaum di Malaysia yang mana pada waktu itu terpisah oleh
bahasa dan budaya yang berbeza-beza. Antara matlamat utama Penyata Razak ini
ialah :
 Semua sekolah di Tanah Melayu mempunyai satu sukatan yang sama.
 Menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan
dan bahasa pengantar di sekolah-sekolah.
 Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris wajib diajar di semua sekolah rendah dan
menengah
 Mengeratkan perpaduan antara kaum Melayu, Cina dan India sebagai satu
rumpun bangsa di Tanah Melayu
 Mengembangkan sistem pendidikan agar jurang perbezaan kaun dapat
dikurangkan.
 Mewujudkan masyarakat yang toleransi, berdisiplin, terlatih, liberal dan
progresif.

Terdapat pelbagai reaksi yang diperolehi dikalangan kaum termasuk parti politik
kesan daripada Penyata Razak. Orang Melayu tidak berpuas hati dan syahk wasangka
terhadap kedudukan Bahasa Inggeris di sekolah. Selain itu juga Kesatuan Guru
Sekolah Cina dan akhbar Cina menentang Perkara 12 iaitu objektif akhir adalah untuk
menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah. Manakala
Kesatuan Guru Sekolah Tamil menentang kerana berpendapat bahawa kemajuan
Sekolah Tamil akan terencat. Akibat terlalu banyak penentangan terhadap Penyata
Razak maka satu jawatankuasa pula ditubuhkan untuk mengkaji semula Laporan
Razak. Hasil semakan dan kajian semula yang dijalankan terhadap Laporan Razak,
maka terhasillah Laporan Rahman Talib pada tahun 1960.
Secara umumnya Laporan Rahman Talib bersetuju dan menyokong hampir
kesemua dasar yang dicadangkan oleh Laporan Razak, dan terhadap beberapa usul
tambahan. Dalam mencapai matlamat menyatupadukan kaum, Laporan Rahman Talib
mengsyorkan supaya pendidikan di peringkat sekolah rendah diberikan secara
percuma, dan membolehkan kanak-kanak menikmati alam persekolahan dalam sistem
pendidikan. Semua sekolah yang menerima bantuann kerajaan ditukar menjadi Sekolah
Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan. Dengan ini perlbagai kaum dapat
memelihara bahasa dan budaya masing-masing.
Manakala untuk mewujudkan dan mengeratkan perpaduan kaum, peperiksaan
juga telah diadakan dalam satu bahasa iaitu sama ada Bahasa Melayu ataupun Bahasa
Inggeris. Melalui laporan Razak dan Laporan Rahman Talib ini terbentuklah Akta
Pelajaran 1961. Akta Pelajaran ini dibentuk bertujuan untuk mencapai perpaduan kaum
di Malaysia melalaui sistem Pendidikan. Akta Pelajaran 1961 telah menggariskan tiga
asas utama iaitu keseragaman sistem persekolahan, penggunaan Bahasa Kebangsaan
sebagai bahasa pengantar utama, dan kurikulum serta peperiksaan sekolah yang sama
dari segi kandungan dan bercorak kebangsaan.
Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan satu titik hitam dalam sejarah Malaysia. Peristiwa
rusuhan kaum memberi pengajaran yang besar kepada kerajaan untuk mengatasi
masalah pertembungan antara etnik-etnik di Malaysia. Pada tahun 1970, kerajaan
memperkuatkuasakan dua perkara penting iaitu Rukun Negara dan Dasar Ekonomi
Baru untuk mewujudkan keseimbangan di antara kaum-kaum dan memupuk perpaduan
dikalangan rakyat di Malaysia. Bidang pendidikan menjadi teras penting untuk
menjayakan objektif Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru iaitu mencapai perpaduan
dan integrasi kaum di negara ini. Pemurnian Dasar Pendidikan untuk mencapai
integrasi kaum berterusan apabila kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Kabinet pada
tahun 1974 yang bertujuan menyemak kembali Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad yang pada ketika
itu memegang jawatan sebagai Menteri Pelajaran Malaysia. Dalam laporan itu
menyatakan tujuan jawatankuasa ini :
“Mengkaji semula matlamat dan kesannya sisitem pendidikan termasuk
kurikulumnya, dalam rangka Dasar Pendidikan Kebangsaan yang wujud, dengan tujuan
memastikan bahawa keperluan tenaga rakyat negara dapat dipenuhi sama ada dari
segi jangka pendek mahupun jangka panjang, dan lebih-lebih lagi untuk memastikan
bahawa sistem pelajaran itu dapat memenuhi matlamat negara ke arah melahirkan
masyarakat yang bersatu padu berdisiplin dan terlatih” (Mohamad Rodzi Abd Razak,
2009: 100).
Laporan jawatankuasa ini adalah sama seperti laporan-laporan yang
terdahulu iaitu untuk menyatupadukan rakyat seperti yang terdapat dalam Akta
Pelajaran 1961. Menjadikan pendidikan sebagai alat utama untuk mencapai perpaduan
di negara ini. Oleh tiu aspek bahasa telah menjadi penekanan utama untuk mencapai
hasrat kerajaan. Dalam laporan ini, matlamat pendidikan Bahasa Malaysia ( Bahasa
Melayu ) sebagai bahasa ilmu, bahasa komunikasi utama dan bahasa untuk
menyatukan rakyat (Mohd Yazid Yusoff et al.,2002: 4-5). Melalui laporan Jawatankuasa
Kabinet juga, Pusat Perkembangan Kurikulum telah memperkenalkan Kurikulum Baru
Sekolah Rendah (KBSR) pada tahun 1983 dan Kurikulum Bersepadu Sekolah
Menengah (KBSM) pada tahun 1983. Kerajaan juga memperkenalkan Falsafah
Pendidikan Negara pada tahun 1988 untuk membentuk individu murid yang menyeluruh
dan seimbang dari segi jasmani, emosi, intelek dan rohani, emosi dan jasmani
(Mohamad Rodzi Abd Razak, 2009: 101).
Menjelang tahun 1995, kerajaan telah meluluskan Akta Pendidikan 1996.
Akta ini menggantikan Akta Pendiidkan 1961, tetapi masih menyokong matlamat
menyatupadukan kepelbagaian kaum di Malaysia menerusi pendidikan. Akta ini
menampilkan beberapa perubahan besar terhadap dasar pendidikan negara dan
dianggap sebagai dasar yang sangat liberal. Ia dianggap membayangkan perubahan
sikap masyarakat Melayu dan memenuhi beberapa impian masyarakat Cina(Mohamad
Rodzi Abd Razak, 2009: 101). Akta ini juga memberi penekanan kepada peningkatan
pendidikan prasekolah, pendidikan swasta, pendidikan keguruan, pendidikan teknikal
dan pendidikan khas. Dalam seksyen 17 Akta Pendidikan 1996 memperuntukkan
bahawa bahasa kebangsaaan adalah abahasa pengantar utama dalam sistem
pendidikan kebangsaan kecuali di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan
Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (Gurnam Kaur Sidhu et al., 2005: 75).
Terdapat 3 fokus utama dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu yang
pertama ialah perkembangan individu secara menyeluruh, seimbang dan bersepadu.
Kedua adalah perpaduan rakyat dan yang ketiga pendidikan sepanjang hayat ke arah
membina masyarakat yang aman dan makmur. Melalui Falsafah Pendidikan
Kebangsaan kerajaan mewajibkan murid tahap 2 di sekolah-sekolah rendah terlibat dan
menyertai aktiviti unit beruniform, persatuan dan sukan. Penglibatan murid dalam aktiviti
sebegini boleh memupuk semangat perpaduan dikalangan murid yang terlibat jika
dipupuk dari peringkat kecil lagi.
Perkembangan kurikulum pendidikan juga mengikut arus dan kesesuaian
semasa. Pada tahun 2010 Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK)
dilaksanakan di prasekolah menggantikan kurikulum lama. Manakala di peringkat
sekolah rendah pula, diperkenalkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bagi
menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang mana mula dilaksanakan
pada tahun 2011 untuk Tahun 1.
Pada tahun 2011 juga, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidddin
Yassin telah melancarkan dasar 1 Murid 1 Sukan. Dari segi rasionalnya, dasar ini
menyumbang kepada pertandingan yang sihat, semangat muhibbah, kesefahaman,
toleransi dan meningkatkan nilai-nilai moral dan fizikal yang memberi satu landasan
yang betul dalam mengintegrasikan pelbagai kumulan etnik kepada satu bangsa yang
bersatu padu serta memupuk semangat cintakan negara (Buku Panduan Perlaksanaan
Dasar Satu Murid Satu Sukan, 2011: 2).
Kesimpulannya pelbagai Dasar Pendidikan telah dilaksanakan bermula
daripada saat negara bebas daripada penjajahan British sehinggalah ke hari ini. Antara
fokus utama dasar-dasar ini di samping untuk memberi pendidikan kepada rakyat ianya
jelas menjadi alat terpenting untuk menyatupadukan dan mengintegrasikan etnik yang
pelbagai di negara ini. Dasar-dasar ini berkembang dan berubah dari masa ke masa
untuk memenuhi kehendak dan keadaan semasa. Walaupun dasar ini seringkali
berubah, namun ia tidak lari daripada misinya yang asal iaitu membangunkan sesebuah
negara di mana rakyatnya berbilang kaum, bersatu padu untuk memacu negara ke arah
kegemilangan dan mampu bersaing dalam arus golbalisasi yang semakin mencabar.

CABARAN INTEGRASI DAN PERPADUAN MELALUI DASAR PENDIDIKAN


Integrasi dan perpaduan kaum yang ingin dicapai oleh kerajaan melalui Dasar
Pendidikan berdepan dengan cabaran dan halangan yang besar. Salah satu cabaran
utama untuk mencapai perpaduan kaum ini ialah aspek dalaman iaitu perbezaan
bahasa, kebudayaan, kepercayaan dan keturunan yang mempengaruhi sikap dan nilai
sesuatu kaum. Perbezaan ini menyebabkan setiap kaum di negara ini sukar untuk
menerima perubahan yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan dalam dasar pendidikan,
kerana pada sangkaan mereka ia melibatkan penerimaan dan pengorbanan iaitu
mereka terpaksa menerima unsur kaum lain dan mengorbankan unsur kaum sendiri.
Situasi sebegini pasti akan mendapat tentangan daripada pelbagai kaum kerana unsur
keturunan, kepercayaan, budaya dan bahasa sudah menebal dalam kaum masing-
masing.
Cabaran kedua ialah pola kedudukan kaum yang berbeza-beza juga menjadi
salah satu cabaran untuk mencapai perpaduan dan integriti kaum. Pola kedudukan
kaum adalah berasaskan sumber ekonomi ini berpunca pada zaman penjajahan iaitu
dasar British yang mengamalkan sistem pecah dan perintah (divide and rule). Di mana
kedudukan ini dapat dilihat orang Melayu menjadi petani dan menetap di kampung-
kampung. Orang Cina pula di tempatkan di kawasan lombong biji timah yang mana
akhirnya menjadi pekan-pekan baru dan berkembang menjadi bandar. Manakala kaum
India pula bekerja sebagai buruh ladang getah dan menetap di estet-estet.
Untuk mencapai misi pendidikan iaitu perpaduan dan integriti kaum, jarak
kedudukan kaum ini menjadi satu cabaran yang sukar. Kerajaan perlu memikirkan satu
cara untuk meletakkan murid-murid daripada pelbagai kaum disatu sekolah yang sama
supaya matlamat dasar pendidikan iaitu untuk menyatu dan mengintegrasikan kaum
dapat dicapai. Penempatan murid daripada pelbagai kaum dalam satu sekolah atau
kawasan mungkin dapat dilaksanakan sekiranya selepas kemerdekaan, kerajaan dapat
mengubah keadaan ekonomi iaitu mewujudkan pelbagai pekerjaan yang
menghapuskan pengenalan kerja mengikut kaum.
Cabaran ketiga ialah menyediakan guru yang merupakan agen kerajaan
untuk menyampaikan dan melaksanakan dasar pendidikan kepada murid dan
masyarakat. Oleh itu aspek guru juga menjadi cabaran untuk mencapai perpaduan dan
integrasi kaum. Guru perlu dipersiapkan dengan ilmu pengetahuan yang cukup dan
lengkap untuk menghadapi pelbagai situasi di sekolah dan masyarakat sekitarnya. Guru
perlu memahami misi, objektif dan matlamat akhir sesuatu dasar pendidikan supaya
hasrat perlaksanaan sesuatu dasar itu terlaksana.
Jika seseorang guru itu cetek ilmu dan malas untuk mengambil tahu isu
semasa, ia akan menimbulkan masalah dalam proses pengajaran dan pembelajaran
seterusnya membawa murid-murid ke arah matlamat yang salah menyebabkan salah
satu matlamat iaitu mencapai perpaduan dan integrasi antara kaum tidak dapat dicapai.
Oleh itu pihak kerajaan perlu memberi latihan dan kefahaman kepada setiap guru
apabila melaksanakan sesuatu dasar yang baru supaya segala perancangan mengikut
landasan yang betul dan generasi yang akan datang lahir sebagai individu yang
mempunyai sifat cinta dan membudayakan perpaduan dalam kehidupan
bermasyarakat.
Media massa juga menjadi agen penyampai matlamat tentang dasar-dasar
kerajaan termasuklah dasar pendidikan. Media massa bukan hanya membekalkan fakta
dan data tertentu. Ia juga memberikan maklumat tentang matlamat, maksud dan
kesignifikanan sesuatu peristiwa. Media massa ini pula perlu peka apabila
menyampaikan sesuatu dasar itu, lebih-lebih lagi jika isu tersebut menyentuh isu-isu
sensitif supaya tidak menimbulkan konflik dikalangan masyarakat. Melalui matlamat
yang tepat, masyarakat akan dapat memahami kehendak dan matlamat kerajaan dalam
melaksanakan sesuatu dasar.

KEBERHASILAN INTEGRASI DAN PERPADUAN KAUM


Bidang Pendidikan
Keberhasilan integrasi dan perpaduan dalam bidang pendidikan di Malaysia boleh
dinilai dalam beberapa aspek utama iaitu :
1. Matlamat menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama
2. Matlamat mewujudkan sekolah pelbagai kaum
3. Matlamat menyatukan pelbagai kaum melalui aktiviti ko-kurikulum
Dalam kerajaan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di
semua Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan, ianya masih lagi
belum mencapai matlamat yang diinginkan. Kaum Cina merupakan kaum yang paling
kuat menentang matlamat menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Ini
kerana mereka bimbang bahasa ibunda mereka akan hilang penggunaanya pada masa
akan datang. Seksyen 17 Akta Pendidikan 1996 memberi kelonggaran kepada Sekolah
Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) untuk
menjadikan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa pengantar dan menjadikan
mengurangkan penggunaan Bahasa Melayu. Oleh itu, sehingga sekarang kerajaan
melalui perubahan-perubahan dasar pendidikan masih belum mencapai matlamat
menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama disemua sekolah di
negara ini. Kegagalan kerajaan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar
di semua sekolah merumitkan lagi usaha untuk mencapai integrasi dan perpaduan
kaum di Malaysia. Ini adalah kerana, semua kaum berusaha mempertahankan bahasa
ibunda masing-masing dan sehingga wujudnya jurang integrasi antara etnik-etnik di
negara ini. (Riduan Tee, 2010: 69)
Manakala hasrat dan matlamat kerajaan untuk mewujudkan sekolah integrasi
iaitu pelbagai kaum di dalam sebuah sekolah atau beberapa buah sekolah pelbagai
kaum dalam satu kawasan juga masih lagi belum dapat dilaksanakan. Sebagai contoh,
kerajaan telah mewujudkan Sekolah Wawasan namun mendapat tentangan hebat dari
masyarakat Cina kerana menganggap Sekolah Wawasan akan menghilangkan identiti
dan bahasa ibunda mereka (Modul Kenegaraan, 2010: 184). Pada masa ini bukan
sahaja sekolah rendah dan sekolah menengah berasaskan bangsa dan kaum, tetapi
juga pusat-pusat pengajian tinggi tempatan ditubuhkan berasaskan kepada kaum.
Dalam konteks pengajian tinggi di Malaysia, terdapat 20 buat Institusi Pengajian Tinggi
Awam (IPTA) dan 32 buah Intitusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) telah disenaraikan
oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Penubuhan IPTS ini ada yang berasaskan kaum
dan parti politik seperti penubuhan Universiti Tunku Abdul Rahman (UNITAR). Universiti
ini dimiliki oleh Malaysian Chinese Association (MCA) dan hampir seratus peratus
(100%) daripada pelajarnya adalah kaum Cina.
Satu kajian yang dijalankan oleh sekumpulan pensyarah di Universiti Utara
Malaysia terhadap pelajar-pelajar mereka yang berbangsa Melayu, Cina dan India
mendapati kebanyakkan pelajar-pelajar tersebut mempunyai sentimen perkauman yang
tinggi. Para pelajjar masih suka bergaul dengan kaum sendiri dalam semua hal
berbanding bergaul dengan kaum-kaum lain. Semua ini berlaku disebabkan oleh proses
sosialisasi yang dilalui sebelum memasuki alam kampus. Polarisasi ini amat
membimbangkan dan menjadi penghalang kepada integrasi dan perpaduan antara
kaum di Malaysia (Riduan Tee, 2010: 74). Daripada hasil kajian ini dapat dikatakan
bahawa pelajar-pelajar yang mendapat pendidikan di sekolah yang berasaskan kaum
tertentu lebih suka menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di pusat-pusat
pengajian yang mempunyai kaum yang sama dengan kaumnya. Hal ini boleh
membantutkan usaha kerajaan mencapai perpaduan di negara ini.
Walau bagaimanapun, usaha kerajaan mencapai perpaduan melalui ko-
kurikulum di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan pengajian tinggi
menampakkan hasil yang positif. Melalui aktiviti ko-kurikulum seperti aktiviti
kebudayaan, keseniaan dan sukan menampakkan semangat perpaduan diantara
pelajar-pelajar pelbagai kaum. Aktiviti sebegini boleh merapatkan hubungan dan
membangkitkan semangat tolong-menolong, semangat setiakawan dan saling percaya-
mempercayai di antara pelajar-pelajar pelbagai kaum yang terlibat. Penglibatan pelajar
secara aktif dalam bidang ko-kurikulum akan melahirkan individu pelajar yang berfikiran
terbuka dan matang dalam perhubungan dan bersosial.
Secara keseluruhannya hasrat dan matlamat kerajaan untuk mengintegrasi
dan menyatupadukan kaum melalui dasar pendidikan di sekolah dan pusat pengajian
tinggi belum lagi mencapai matlamat sepenuhnya walaupun terdapat hasil yang boleh
dibanggakan. Ini kerana setiap dasar yang dilaksanakan mendapat tentangan daripada
pelbagai pihak yang tidak melihat dasar pendidikan tersebut dari sudut politik. Mereka
sering berprasangka buruk sebelum menilai dan melihat dasar tersebut secara
terperinci. Mereka juga sering mendahulukan kepentingan kaum daripada kepentingan
nasional. Namun demikian usaha kerajaan untuk menyatupadukan pelbagai kaum
melalui dasar pendidikan dapat dilihat hasil positifnya dalam bidang ko-kurikulum.
Pelajar pelbagai kaum yang terlibat secara aktif akan menjadi lebih matang dan
bertoleransi dengan kaum lain hasil daripada kerjasama yang mereka lalui.

Bidang Politik
Dalam bidang politik pula, Dasar Pendidikan Kebangsaan berhasrat
melahirkan generasi yang akan memimpin negara menjadi sebuah negara maju dan
mempunyai semangat patriotik. Ianya adalah satu penubuhan parti politik yang tidak
bersifat perkauman dan ahlinya terdiri daripada pelbagai kaum. Sifat perjuangannya
pula adalah meletakkan kepentingan umum lebih daripada kepentingan kaumnya
sendiri. Namun pada hari ini di Malaysia, kepelbagaian kaum yang ada menyebabkan
masyarakat masing-masing menubuhkan persatuan dan parti politik yang berasaskan
kepada kaum masing-masing. Contohnya kaum Melayu memperjuangkan hak orang-
orang Melayu melalui pasrti United Malaysian National Organisation (UMNO), orang
Cina melalui parti Malaysian Chinese Assosiation (MCA), dan kaum India melalui parti
Malaysian Indian Congress (MIC). Alasan parti-parti politik ini ditubuhkan mengikut
kaum adalah untuk mengelakkan kaum itu ditindas oleh kaum lain. Keadaan ini
sebenarnya akan lebih menimbulkan konflik dan pertikaian daripada penyelesaian
tentang sesuati isu yang dibangkitkan.
Keadaan politik di negara Malaysia hari ini adalah kerana kegagalan dasar
pendidikan yang dilaksanakan untuk melahirkan pelapis pemimpin negara untuk
menghormati dan memahami kaum lain. Hal ini bukan hanya berpunca daripada
kelemahan yang terdapat dalam dasar pendidikan tersebut tetapi ianya juga berpunca
daripada sikap kaum itu sendiri yang ego dan mementingkan kaum serta gagal untuk
menerima perubahan yang terdapat dalam dasar pendidikan. Sebagai contohnya,
perlaksanaan dasar bahasa kebangsaan dan sekolah integrasi yang ditentang hebat
oleh pelbagai kaum tanpa memikirkan kebaikan dan tujuan murni kerajaan untuk
melahirkan generasi yang memahami dan peka terhadap kaum lain. Generasi yang
ingin dihasilkan melalui dasar pendidikan yang dirancang akan mampu memahami dan
menghormati kaum lain dan seterusnya memerintah negara Malaysia dengan adil tanpa
menindas dan menafikan hak-hak kaum lain.
Dalam senario politik semasa juga dapat dilihat bahawa krisis nilai, akhlak
atau etika di kalangan pemimpin menyumbang ke arah perpecahan. Dasar pendidikan
pada peringkat awal gagal untuk memberikan penekanan kepada peri pentingnya
penerapan nilai-nilai murni dan akhlak mulia untuk membentuk generasi yang seimbang
dari segi luaran dan dalaman. Oleh itu lahirlah generasi pemimpin yang tidak mampu
untuk menghadapi tekanan dengan profesional. Maka terbentuklah aliran politik yang
negatif iaitu saling mencari keburuk pihak lawan dan bukannya menampilkan
kewibawaan diri sendiri. Corak politik yang sebegini akan menyumbang kepada
perpecahan dan pertelingkahan dikalangan ahli-ahli politik dan para penyokongnya,
seterusnya akan menghalang berlakunya perpaduan kaum di Malaysia. Oleh yang
demikian langkah dan tindakan mewujudkan Falsafah Pendidikan Negara untuk
melahirkan generasi yang seimbang amat tepat. Namun negara masih lagi belum dapat
melihat hasilnya pada hari ini.
Politik yang berasaskan kaum ini seringkali menimbulkan ancaman yang
besar terhadap kesejahteraan negara. Ianya berlaku apabila ahli politik yang cetek ilmu
pengetahuan tentang sejarah di Malaysia mempertikaikan kuasa Raja-raja Melayu dan
status kedudukan orang-orang Melayu. Isu-isu ini bagaikan mencurahkan minyak ke
dalam bara api. Ia boleh membangkitkan api kemarahan orang-orang Melayu dan boleh
mencetuskan pertumpahan darah di negara ini. Oleh itu, mata pelajaran sejarah perlu
diajar diperingkat sekolah rendah lagi dan perlu dijadikan mata pelajaran teras supaya
isu-isu berkaitan Raja-raja Melayu dan hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu
dapat difahami oleh semua kaum di negara ini.
Dalam bidang politik ini, kelemahan dasar pendidikan untuk melahirkan
pelapis pemimpin negara yang bersifat patriotik menyebabkan wujudnya parti-parti
politik yang bersifat perkauman. Perjuangan mereka lebih mementingkan pembelaan
kaum masing-masing melebihi kepentingan negara. Manakala krisis nilai dan akhlak
yang membelenggu personaliti ahli-ahli politik masa kini juga mengakibatkan
berlakunya perselisihan kaum yang menyumbang kepada perpecahan.

Bidang Ekonomi
Dasar Pendidikan Negara juga dirancang dan dilaksanakan dengan matlamat untuk
melahirkan individu yang berilmu dan berkemahiran yang akhirnya mampu untuk
bersaing dalam pelbagai bidang pada masa akan datang termasuklah bidang ekonomi.
Dalam sudut ekonomi ini, jurang ekonomi yang jauh berbeza antara kaum di negara ini
menyulitkan kerajaan mencapai agenda perpaduan. Di samping itu juga, melalui
pendidikan pengenalan identiti kaum mengikut jenis pekerjaan juga dapat dihilangkan.
Untuk menilai sama ada berjaya atau tidak matlamat dan hasrat kerajaan, ianya boleh
dilihat dari sudut kejayaan mengurangkan jurang ekonomi di antara kaum dan kejayaan
menghapuskan pengenalan identiti kaum melalui bidang ekonomi.
Jurang ekonomi yang besar akan menyukarkan agenda perpaduan dan
integrasi kaum. Di negara ini, kaum Cina mendominasi bidang ekonomi. Keadaan ini
menimbulkan rasa iri hati kaum lain terhadap kaum Cina. Untuk mengatasi masalah ini
kerajaan melalui dasar pendidikan telah berjaya melahirkan ramai golongan terpelajar
dalam bidang ekonomi. Justeru itu, pada masa kini telah muncul individu-individu
daripada pelbagai kaum yang berjaya menyaingi kaum cina dalam bidang ekonomi
khususnya bidang perniagaan. Persaingan yang sihat ini akan mengurangkan rasa
cemburu dan iri hati kaum lain terhadap kaum Cina.
Pada masa kini juga, jenis pekerjaan tidak lagi menggambarkan identiti sesuatu
kaum di Malaysia. Semua kaum bebas memilih pekerjaan yang mereka inginkan, sama
ada dalam sektor awam, swasta atau bekerja sendiri. Keadaan ini adalah hasil daripada
dasar kerajaan yang telah berjaya memberi pendidikan kepada semua kaum. Dalam
sektor awam, jawatan guru contohnya, terdiri daripada pelbagai kaum, Melayu, India,
Cina, Iban, Kadazan dan sebagainya. Melalui percampuran pelbagai kaum dalam
bidang yang sama akan memudahkan lagi matlamat kerajaan untuk mencapai
perpaduan dan integriti kaum di negara ini. Golongan ini lebih mudah memahami dan
menghormati budaya dan adat resam kaum lain.
Oleh yang demikian dapatlah dikatakan bahawa, dasar pendidikan yang
dilaksanakan oleh pihak kerajaan telah berjaya melahirkan golongan yang terpelajar
dan berilmu daripada pelbagai kaum. Golongan terpelajar ini telah merubah corak
kehidupan dan ekonomi di negara ini. Tiada lagi monopoli ekonomi oleh suatu kaum
sahaja, bahkan ekonomi Malaysia terbuka luas untuk diterokai oleh semua kaum.
Melalui corak ekonomi yang lebih terbuka ini, jurang ekonomi di antara kaum dapat
dikurangkan.
Bidang Sukan dan Kesenian
Falsafah Pendidikan Negara bermatlamat membentuk individu murid yang menyeluruh
dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Oleh yang demikian dasar
pendidikan juga menekankan aspek ko-kurikulum dalam menyatupadukan murid
pelbagai kaum. Melalui ko-kurikulum bakat murid dapat diasah dan diperkembangkan
lagi ke peringkat yang lebih tinggi. Melalui dasar pendidikan inilah, minat murid dalam
bidang sukan dan kesenian ditanam dan diperkembangkan.
Negara kita telah mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan. Contohnya
sukan skuasy, badminton, bola sepak dan sebagainya. Pelbagai lapisan masyarakat
dan kaum telah menunjukkan semangat patriotik dengan bersatu memberikan
sokongan kepada ahli-ahli sukan negara dan juga peserta-peserta yang terlibat.
Kemenangan sama-sama diraikan dan kekalahan turut sama dirasai. Ini menunjukkan
kejayaan dasar pendidikan dalam menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang
kaum dengan menanam minat terhadap sukan. Namun begitu, masih ada kelemahan
dalam bidang sukan ini. Iaitu masih ada sukan yang dimonopoli oleh kaum tertentu
sahaja. Contoh yang jelas adalah sukan bola keranjang dimonopoli oleh kaum
berbangsa Cina. Perlawanan bola keranjang peringkat kebangsaan yang disiarkan
melalui Astro menunjukkan bahawa hanya kaum Cina yang terlibat, pemain, penonton
dan pengadil semuanya berbangsa Cina. Begitu juga dengan sukan sepak takraw,
semua pemain adalah berbangsa Melayu. Oleh itu kerajaan perlu berusaha supaya
sukan-sukan sebegini diminati oleh semua golongan dan kaum.
Manakala dalam bidang kesenian pula, murid-murid dididik supaya meminati
seni dari peringkat sekolah rendah lagi. Melaui kesenian, murid-murid diajar tentang
kebudayaan dan kesenian pelbagai bangsa di Malaysia. Pendidikan kesenian ini akan
membuka dan mematangkan minda murid-murid. Mereka boleh menerima dan akan
menghormati budaya orang lain. Minat yang disemai dari peringkat awal lagi akan
melahirkan insan-insan seni dalam pelbagai bidang seperti seni lakonan, seni tarian,
nyanyian, seni lukis dan sebagainya. Insan-insan seni yang memahami kebudayaan
dan sensitiviti bangsa lain akan melahirkan karya-karya yang bercorak perpaduan.
Melalui karya-karya sebegini akan membantu membuka minda individu lain ke arah
kecemerlangan perpaduan. Sebagai contohnya seorang pengarah filem menghasilkan
filemyang bercorak patriotik akan member kesan yang positif dan prasangka baik di
kalangan penonton.
Hasrat kerajaan melalui dasar pendidikan untuk menyatupadukan kaum dalam
bidang sukan dan kesenian telah mencapai matlamatnya. Kejayaan ini menjadikan
kerajaan lebih ghairah memperkenalkan dasar baru agar semua murid terlibat dalam
aktiviti sebegini. Penubuhan sekolah sukan dan sekolah seni merupakan antara titik
tolak usaha kerajaan memperkasakan perpaduan kaum di Malaysia. Dasar 1 Murid 1
Sukan juga telah dilaksanakan bermula tahun 2011 utnuk memastikan perpaduan kaum
dapat dicapai.
Bidang Sosial
Dalam bidang sosial, melalui dasar pendidikan kerajaan berhasrat untuk meningkatkan
keharmonian dan perpaduan antara kaum. Perpaduan dari sudut sosial ini ialah
penyatuan kelompok masyarakat yang berbilang bangsa dengan latar belakang
kebudayaan dan kepercayaan yang berbeza hidup bersama dan slain bertolak ansur
utnuk kepentingan dan faedah bersama. Melalui pendidikan, kerajaan menekankan peri
pentingnya mempelajari sejarah, kebudayaan dan kepercayaan kaum lain serta
menghormatinya. Pengetahuan amat bernilai supaya tidak berlaku kejutan budaya
apabila berlakunya pertembungan di antara kaum dan etnik yang berlainan.
Perpaduan dan integrasi sosial pada hari ini dapat dilihat dalam kehidupan
masyarakat negara ini yang tinggal di kawasan bandar dan kawasan luar Bandar.
Kawasan taman perumahan contohnya, pelbagai kaum tinggal berjiran, mereka saling
bekerjasama untuk menjaga keharmonian kawasan mereka. Manakala pelbagai aktiviti-
aktiviti dirancang dan dilaksanakan bersama. Persatuan Rukun Tetangga yang
ditubuhkan diharap oleh ahli-ahli pelbagai kaum untuk menjaga keamanan dan
keselamatan kawasan tempat tinggal mereka.
Di samping itu, perpaduan kaum juga dapat dilihat melalui perkahwinan. Pada
masa kini perkahwinan berlainan bangsa bukan lagi menjadi perkara baru bahkan
kebanyakkannya direstui oelh keluarga kedua-dua pihak. Senario ini banyak berlaku di
negeri Sabah yang mana bilangan etniknya berjumlah 42 etnik. Jika pada suatu masa
dahulu perkahwinan sebegini boleh menimbulkan persengketaan antara kedua-dua
etnik, tetapi pada masa kini ianya sudah menjadi kebiasaan hasil daripada sifat tolak
ansur dan menghormati antara satu sama lain. Melalui pendidikan juga, pelbagai
kebudayaan masyarakat berbilang kaum di Malaysia mula difahami dan diterima oleh
kaum lain selagi ianya tidak menyebabkan kehilangan identiti asal kaum. Sebagai
contoh, budaya bertukar-tukar makanan di kalangan jiran, sambutan perayaan
bersama-sama, pemberian duit raya dan sebagainya
Walaupun begitu dari bidang sosial ini, masih lagi berlaku pertelingkahan dan
pergaduhan yang menumpahkan darah akibat berlaku pertembungan antara dua atau
lebih kaum yang berbeza adat dan budaya. Namun seringkali berita-berita sebegini
tidak disiarkan di media massa untuk mengelakkan perbalahan antara kaum menjadi
lebih buruk. Faktor utama yang mencetuskan perkara ini ialah faktor sikap dan
mendahulukan kepentingan kaum daripada kepentingan bersama. Oleh itu dasar
kerajaan melalui Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) dan Kurikulum
Standard Sekolah Rendah (KSSR) amat tepat iaitu menerap nilai-nilai murni seawal
usia lagi.

Penutup
Untuk mencapai perpaduan dan integrasi kaum di negara ini bukanlah suatu tugas yang
mudah. Proses untuk mencapai perpaduan dan integrasi mengambil masa yang lama
serta memerlukan perancangan yang teliti, tepat dan bijaksana. Bidang pendidikan
merupakan bidang yang paling penting dan sesuai untuk mencapai hasrat kerajaan
menyatupadukan dan mengintegrasikan pelbagai kaum. Oleh yang demikain, pelbagai
dasar pendidikan telah dirancang dan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat
sesuai dengan suasana dan keadaan semasa untuk mencapai matlamat tersebut.
Setiap dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan telah menghadapi tentangan dan
cabaran yang berbeza daripada pelbagai kaum di negara ini. Seringkali faktor sikap
mementingkan kaum sendiri melebihi kepentingan negara menjadi penghalang
kejayaan sesuatu dasar. Justeru itu, untuk mencapai perpaduan kaum secara mutlak
semua pihak perlu meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan diri dan
kaumnya. Sekiranya sikap ini tidak dapat dipraktikkan oleh semua kaum, hasrat untuk
mencapai perpaduan dan integrasi di negara ini hanya menjadi angan-angan yang tidak
mungkin dapat dicapai.

RUJUKAN
Buku Panduan Perlaksanaan Satu Murid Satu Sukan (1M 1S).(2011). Putrajaya.
Perpustakaan Negara Malaysia. Bahagian Sukan Kementerian Pelajaran Malaysia
ISBN 978-983-3444-32-8

Gurnam Kaur Sidhu, Gurcharan Singh Sandhu, Kamaruzaman Moidunny dan Ranjit Kaur
Sidhu.(2005).Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) : Kompetensi Umum (Teras dan
Profesional). Selangor : Penerbit Fajar Bakti sdn. Bhd.

Jamil Ahmad dan Norlia Goolamally. Pentadbiran dan Pengurusan Sistem Pendidikan
Malaysia Ke Arah Pendidikan Berkualiti.

Kamus Dewan Edisi Ke – 3.(2002). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Modul HNS2013 Kenegaraan Pendidikan Jarak Jauh.(2011). Unit 10 Isu-isu Dan


Cabaran
Negara. Tanjung Malim Perak: Universiti Perguruan Sultan Idris.

Mohamad Rodzi Abd Razak, . (2009). Pembinaan negara bangsa Malaysia : Peranan
pendidikan sejarah dan dasar pendidikan kebangsaan. pp. 90-106. ISSN 2180-0251

Mohd Yazid Yusoof , MOhd Noor Mohd Zain dan Idris Omar. (2002). Kertas Kerja :
Persamaan dan Perbezaan Akta Pelajaran Dengan Akta Pendidikan 1996 melalui
http://www.tutor.com.my/tutor/dunia.asp?y=2002&dt=0125&pub=DuniaPendidikan
&sec=Kertas_Kerja&pg=kk_01.htm

Mohd Ridhuan Tee Abdullah.(2010). Cabaran integrasi antara kaum di Malaysia : perspektif
sejarah, keluarga dan pendidikan. Jurnal Hadhari, 2 (1). pp. 61-84. ISSN 1985-6830

Muslim, Nazri and Alias, Jamsari. (2004). Patriotisme: Konsep dan pelaksanaannya di
Malaysia. In: Seminar Antarabangsa Nilai dalam Komuniti Pasca Modenisme (SIVIC
2004), 4-6 September 2004, Hotel City Bayview Langkawi. (Unpublished)

Omar, Rusdi dan Mukhtaruddin, Mas Juliana (2010). Dasar luar Malaysia era Dato’ Seri Mohd
Najib Tun Razak: Keutamaan dalam aspek hubungan dua hala. In: Proceedings
Seminar on Nasional Resilience (SNAR 2010) "Political Managements and Policies in
Malaysia", 13-15 July 2010, Bayview Hotel Langkawi. Institute of Tun Dr. Mahathir
Mohamad’s Thoughts, Universiti Utara Malaysia , Sintok , pp. 173-194. ISBN 978-983-
44865-3-2

Dasar Pendidikan Kebangsaan melalui


http://www.pmo.gov.my/dokumenattached/Dasar/09DASAR_PENDIDIKAN_KEBANGS
AAN.pdf

Label: TUGASAN SEME

You might also like