You are on page 1of 14

BAB 1:

PENDAHULUAN

1.1 PENGENALAN

Institusi fatwa merupakan institusi yang penting dalam sistem pemerintahan sesebuah

Negara Islam. Di Malaysia, institusi fatwa sentiasa menjadi tempat rujukan umat Islam dan

memainkan peranan yang utama dalam menyelesaikan masalah-masalah hukum yang

timbul dari semasa ke semasa. Terdapat pelbagai fatwa yang diputuskan dalam pelbagai

cabang dan bidang seperti muamalat, ibadah, aqidah, akhlak sehinggalah ke bidang sains

dan teknologi.

Fatwa yang dikeluarkan akan berkembang selari dengan perkembangan isu dan

permasalahan hukum yang berlaku dalam masyarakat. Semakin maju sesebuah masyarakat

semakin aktif institusi fatwa kerana ia menjadi alat utama dan medium terpenting untuk

berhadapan dengan tuntutan keperluan masyarakat. Sehubungan dengan itu, aktiviti fatwa

sangat berkait rapat dengan kegiatan ijtihad oleh mujtahid, bahkan fatwa tidak akan

dikemukakan kecuali setelah berlakunya kajian dan penyelidikan.1

Walaubagaimanapun, sumber rujukan sesuatu hukum fatwa tetap tidak akan

berubah, ini kerana sumber induk utama perundangan Islam sejak zaman Rasulullah SAW

sehingga ke hari ini ialah al-Quran dan al-Sunnah.2 Selain daripada dua sumber utama ini,

rujukan utama juga dibuat terhadap dalil muttafaq „alaih yang lain iaitu ijma‟ dan qiyas.

Manakala sumber-sumber lain terdiri daripada dalil mukhtalaf fih adalah seperti Istihsan,

1
Noor Naemah Abd. Rahman, ‘Ruang Ijtihad Dalam Amalan Fatwa di Malaysia : Sorotan Dari Sudut
Pentadbiran Fatwa‟, Jurnal Syariah, 10:2, (2002), 19-30.
2
Abd. Jalil Borham, Pengantar Perundangan Islam, (Johor: Universiti Teknologi Malaysia, 2002), 41.
1
masalih mursalah, „Urf dan lain-lain.3 Namun, daripada sumber-sumber utama ini jugalah,

muncul pelbagai kajian fiqh yang sangat luas sehingga perlunya satu himpunan prinsip-

prinsip kaedah fiqh yang bersifat universal, kaedah ini disebut sebagai kaeadah-kaedah

fekah atau Al-Qawaid Al-Fiqhiyyah.4

Kaedah-kaedah ini berfungsi sebagai klarifikasi terhadap masalah-masalah furu’

yang telah dikelompokkan, dan setiap kelompok itu merupakan kumpulan daripada

masalah-masalah yang serupa. Dengan berpegang kepada kaedah-kaedah inilah yang

membantu para mujtahid mengeluarkan sesuatu keputusan hukum dengan lebih mudah iaitu

dengan mengelompokkan satu masalah hukum yang serupa di bawah ruang lingkup satu

kaedah sahaja.5

Dalam konteks pada masa kini, persoalan-persoalan hukum yang timbul akan

dijawab oleh mufti yang bertindak sebagai mujtahid bagi mengeluarkan suatu keputusan

hukum yang ditanyakan kepadanya. Manakala, dalam konteks institusi fatwa di Malaysia,

selain daripada sumber-sumber utama hukum syarak yang disebutkan diatas, proses

pengeluaran fatwa oleh mufti atau Jawatankuasa Fatwa adalah berpandukan kepada

pandangan-pandangan mazhab seperti yang terdapat di dalam kitab-kitab muktabar seperti

Mughni al-Muhtaj, al-Iqna‟ dan sebagainya lagi.6 Prinsip-prinsip kaedah fiqh juga ada

digunakan sebagai sokongan hujah dalam sesuatu fatwa terutamanya berkaitan masalah

hukum yang melibatkan isu al-darurah, al-hajah, dan al-maslahah.7 Walaubagaimanapun,

3
Mat Saad Abd. Rahman, ‘Istinbat : Asas Dan Metedologi’, Persidangan Mufti dan Fatwa di Negara-negara
ASEAN: No 4, 2007, 25.
4
Ade Dedi Rohayana, Ilmu Qawa‟id Fiqhiyyah Kaidah-Kaidah Hukum Islam, (Jakarta: Gaya Media Pratama,
2008), 3.
5
Ibid,. 4.
6
Ahmad Hidayat Buang (2004), Penulisan dan Kajian Fatwa, Jabatan Syariah Dan Undang-Undang
Universiti Malaya, 6.
7
Mat Saad Abd. Rahman, ‘Istinbat : Asas Dan Metedologi’, 50.
2
sejauhmana penggunaan kaedah fekah dalam rujukan sesuatu keputusan fatwa yang

dikeluarkan adalah tidak dapat dikenalpasti setakat ini.

Oleh hal yang demikian, penulis telah melaksanakan kajian mengenai pemakaian

kaedah-kaedah fekah di institusi fatwa Wilayah Persekutuan untuk melihat sejauhmana

penyelidikan yang telah dijalankan terhadap sesuatu keputusan hukum fatwa dan mengkaji

dengan lebih lanjut sejauhmana penggunaan prinsip-prinsip kaedah fekah diaplikasikan dan

digunakan dalam mengeluarkan suatu keputusan fatwa.

1.2 LATAR BELAKANG MASALAH KAJIAN

Dalam proses pengeluaran sesuatu fatwa, kajian dan penyelidikan mendalam perlu

dilakukan. Kajian dan penyelidikan yang lebih terperinci perlu dilakukan terutamanya

melibatkan isu atau masalah yang tidak ada nas dan tidak disebut dalam kitab-kitab

muktabar. Persoalan yang timbul ialah bagaimana kaedah dan penyelidikan yang dilakukan

dan dilaksanakan? Adakah para penyelidik lebih cenderung untuk menggunapakai kaedah-

kaedah fiqh yang mudah dalam mengeluarkan pendapat atau sebaliknya? Adakah

penyelidik cenderung mengguna pakai kaedah-kaedah fiqh secara meluas atau akan

merujuk sumber-sumber lain yang lebih utama? Sejauhmanakah pemakaian kaedah fiqh

digunapakai dalam pengeluaran sesuatu fatwa?

Seperti yang kita ketahui, kaedah-kaedah fiqh yang luas digarap dan disusun oleh

ulama untuk memudahkan para mujtahid mengeluarkan suatu permasalahan hukum yang

timbul. Persoalannya adakah kaedah ini digunapakai dengan meluas oleh mufti atau

penyelidik ketika mengeluarkan sesuatu hukum fatwa? Dengan kajian yang dilaksanakan

ini, kesemua persoalan-persoalan diatas akan dapat dijawab dan seterusnya didedahkan
3
kepada masyarakat umum dan orang awam. Masyarakat akan lebih memandang institusi

fatwa sebagai sebuah institusi yang berautoriti dan bertambah yakin untuk berpegang

kepada fatwa yang dikeluarkan oleh institusi ini jika sumber-sumber rujukan fatwa dan

kaedah pengeluaran hukum didedahkan kepada umum. Ini juga dapat mengelakkan

masyarakat dari sewenang-wenangnya meminta pandangan hukum dan fatwa dari sumber-

sumber yang diragui autoritinya terutamanya di media-media sosial seperti yang berlaku

pada masa kini.

1.3 OBJEKTIF KAJIAN

Di antara objektif kajian ini adalah untuk :

a. Mengkaji pemakaian kaedah fiqh digunakan dalam pengeluaran hukum berdasarkan

hasil keputusan jawatankuasa fatwa.

b. Mengkaji prosedur pengeluaran sesuatu fatwa dan kaedah istinbat dan penyelidikan

yang digunakan.

c. Menganalisis kaedah-kaedah fiqh di dalam fatwa-fatwa yang telah dikeluarkan dari

tahun 2010 hingga 2014 dan sandaran hukum yang digunakan dalam pengeluaran

fatwa-fatwa tersebut.

4
1.4 KEPENTINGAN KAJIAN

Masyarakat secara umumnya kurang mengetahui tentang metod pengeluaran sesuatu

fatwa, terutamanya dalil dan sandaran hukum terhadap fatwa tersebut. Ini menjadikan

sesuatu fatwa yang dikeluarkan itu kurang difahami dan dihayati hukumnya oleh

masyarakat. Oleh itu, kajian ini penting kerana dapat mendedahkan dan menjelaskan

tentang pemakaian kaedah-kaedah fiqh islam yang luas di dalam penghasilan sesuatu fatwa.

Selain itu, kajian ini dapat mendedahkan kepada masyarakat tentang ketelitian institusi

fatwa dalam mengeluarkan hukum terhadap sesuatu isu baru bersandarkan nas dan hukum

syarak.

Selain daripada itu, melalui kajian ini juga kita akan dapat mengenalpasti kelemahan-

kelemahan yang ada dari sudut penggunaan sepenuhnya atau tidak autoriti syarak,

pentadbiran, pendokumentasian keputusan fatwa, dan sebagainya lagi. Ini merupakan satu

perkara yang penting dan harus diberi perhatian kerana dengan cara mengenalpasti

kelemahan-kelemahan ini, kita akan dapat memperbaiki dan seterusnya menambahbaik

Institusi fatwa sedia ada sekaligus menambahbah baik ‘kualiti’ sesuatu fatwa itu sehingga

ianya akan dipandang sebagai satu pandangan hukum yang diterima seterusnya diikuti oleh

masyarakat seluruhnya.

1.5 SOROTAN KAJIAN LEPAS

Secara umumnya, terdapat banyak perbincangan dan kajian yang telah dilaksanakan

mengenai institusi fatwa khususnya di Malaysia. Kajian-kajian serta penulisan-penulisan

tersebut telah banyak membantu penulis untuk lebih memahami masalah yang wujud dan

mengenalpasti jurang atau masalah yang ingin dikaji dengan lebih mendalam lagi. Seperti

5
yang dapat dilihat, kebanyakan penulisan-penulisan sebelum ini banyak menumpukan

kepada aspek sejarah dan perkembangan fatwa, organisasi, pentadbiran dan perundangan.

Manakala, kajian penulis adalah lebih menumpukan kepada aspek hukum dalam fatwa iaitu

pemakaian kaedah-kaedah fiqh sebagai sandaran sesuatu fatwa.

Antara penulisan yang agak awal mengenai sejarah institusi fatwa adalah ditulis

oleh Othman Ishak8 dan Mohd Daud Bakar9, penulisan dalam artikel-artikel ini lebih

menumpukan kepada kaedah, amalan dan peraturan pengeluaran fatwa di negeri-negeri di

Malaysia pada zaman awal merdeka. Manakala Mohd Daud Bakar menulis berkaitan

perkembangan instrument fatwa yang mana dibincangkan berkaitan sejarah

perkembangannya pada zaman awal Islam dan fatwa-fatwa yang dikeluarkan pada zaman

dahulu. Artikel ini juga mengetengahkan sedikit perbincangan mengenai perbezaan antara

fatwa dan fiqh dan qada’ atau institusi kehakiman. Selain itu, perbincangan mengenai skop

perbincangan fatwa juga ditekankan, malah Mohd Daud Bakar dalam penulisannya

menyatakan bahawa fatwa seharusnya dikhususkan kepada perundangan sahaja. Othman

Ishak, di dalam satu penulisan thesis Phdnya yang bertajuk “Satu Kajian Kritikal Mengenai

Institusi Fatwa Dalam Hukum Syara‟ di Negeri-negeri Melayu : Sejarah dan

Interpretasinya” juga ada membuat kajian mengenai latar belakang sejarah penubuhan

institusi fatwa di Malaysia dan beberapa kritikan tentang fatwa yang pernah dikeluarkan

oleh Majlis Agama pada ketika itu.10 Walaubagaimanapun, penulisan-penulisan ini tidak

mengulas tentang aspek hukum di dalam fatwa khususnya kaedah fiqh seperti yang ingin

dikaji oleh penulis.


8
Othman Ishak, ‘The Making Of Fatwa In Malaysia’, Islamic Studies, vol. 28, No 4, (1998), 415- 419.
Islamic Research Institute, International Islamic University, Islamabad,
http://www.jstor.org/stable/20839973
9
Dr. Mohd Daud Bakar, ‘Instrumen Fatwa Dalam Perkembangan Perundangan Islam’, Jurnal Syariah 5(1),
(1997), 1-14.
10
Ahmad Hidayat Buang, Penulisan dan Kajian Fatwa, (Jabatan Syariah Dan Undang-Undang Universiti
Malaya, 2004), 6.
6
Penulisan mengenai fatwa diteruskan lagi oleh Zaini Nasohah11 dan Suwaid Tapah12

yang membincangkan berkaitan aspek penguatkuasaan fatwa dari aspek undang-undang,

pentadbiran dan penguatkuasaan fatwa di negeri-negeri, artikel ini juga menumpukan

kepada aspek fungsi dan kuasa mufti selain membincangkan berkaitan kes-kes yang pernah

dilaporkan yang berkaitan dengan institusi dan peranan fatwa. Lebih menarik, Suwaid

Tapah, di dalam artikelnya ada membincangkan berkaitan rujukan fatwa dan istinbat

hukum namun walaubagaimanapun, ianya lebih menumpukan kepada rujukan pendapat

muktamad dalam mazhab iaitu mazhab syafi’i dari aspek perundangannya. Ini adalah

berbeza dengan kajian yang ingin difokuskan oleh penulis iaitu berkaitan pemakaian

kaedah-kedah hukum Islam dalam proses istinbat sehingga terbentuknya suatu fatwa yang

boleh diwar-warkan.

Selain itu, terdapat juga artikel-artikel lain yang menyentuh tentang isu ijtihad

dalam fatwa iaitu artikel yang ditulis oleh Noor Naemah Abd Rahman13, Rahimin Affandi

Abdul Rahim14 dan Barry Hooker15, artikel oleh Noor Naemah Abd Rahman ini lebih

menekankan tentang usaha pembaharuan istitusi fatwa dan usaha membentuk penyelidikan

hukum yang lebih ilmiah melalui penyelidikan yang lebih sistematik. Di dalam

penulisannya juga ada menyebut tentang ruang untuk melakukan pembaharuan hukum

dengan bersikap lebih terbuka dalam pemilihan mazhab semasa mengeluarkan fatwa.

Perbincangan artikel ini tentang pembaharuan dan reformasi institusi fatwa

walaubagaimanapun tidak menyentuh tentang perbincangan pemakaian sandaran hukum

11
Zaini Nasohah, ‘Undang-Undang Penguatkuasaan Fatwa di Malaysia’, Islamiyyat 27(1), (2005), 25- 44.
12
Suwaid Tapah, ‘Perundangan dan Penguatkuasaan Fatwa’ di dalam buku Fatwa di Malaysia, (Jabatan
Syariah Dan Undang-Undang Universiti Malaya,2007), 25-41.
13
Noor Naemah Abd Rahman, Ruang Ijtihad Dalam Amalan Fatwa Di Malaysia : Sorotan Dari Sudut
Pentadbiran Fatwa, 30.
14
Rahimin Affandi Abdul Rahim, ‘Ijtihad Dalam Institusi Fatwa di Malaysia : Satu Analisis’, Jurnal Syariah,
Jil 17, Bil 1, (2009), 195- 222.
15
Barry Hooker, ‘Fatawa In Malaysia 1960-1985 : Example Of Ijtihad In a Modern State’, Arab Law
Quarterly, Vol 8, No 2, (1993), 93- 105.
7
yang lebih mudah digunakan dan difahami oleh masyarakat khususnya iaitu cabang-cabang

kaedah fiqh sedia ada. Manakala Rahimin Affandi Abdul Rahim di dalam artikelnya,

mengulas berkaitan kepentingan metod ijtihad dalam fatwa dan memberikan cadangan

penambahbaikan metod ijtihad yang boleh dilaksanakan oleh institusi fatwa pada masa kini.

Barry Hooker pula membincangkan berkaitan fatwa-fatwa yang dikeluarkan hasil dari

proses ijtihad di negeri-negeri di Malaysia.

Manakala, penulisan berkaitan kaedah fiqh di dalam Islam ada dibincangkan oleh

Mohammad Hashim Kamali16, Hafiz Abdul Ghani17 dan Mohd Fauzi Hamat18, artikel-

artikel ini mempunyai perbincangan yang hampir sama iaitu penjelasan berkaitan qawa„id

fiqhiyyah. Mohammad Hashim Kamali dalam artikelnya menyentuh tentang konsep

qawa„id fiqhiyyah secara umum dan menjelaskan berkaitan lima kaedah utama prinsip fiqh

dan contoh-contoh hukum yang dikeluarkan dengan kaedah tersebut. Selain itu, beliau juga

membincangkan berkaitan dengan perbezaan antara ilmu qawa„id fiqhiyyah dengan

beberapa ilmu lain seperti dawabit, nazariyyat al-hukm dan sebagainya. Di dalam penulisan

Hafiz Abdul Ghani pula membincangkan tentang sejarah perkembangan qawa„id fiqhiyyah

dalam undang-undang Islam, beliau juga menyentuh tentang kitab-kitab muktabar yang

ditulis oleh para ulama dahulu dan masih dipakai sehingga kini. Manakala Dr Fauzi Hamat

dalam perbincangannya berkaitan kaedah fiqh lebih menjurus kepada teori-teori qawa„id

fiqh dari aspek pemikiran kritis yang terbentuk hasil analisis dan penilaian terhadap

qawa„id fiqhiyyah itu sendiri. Perbincangan-perbincangan ini walaupun menyentuh tentang

16
Mohammad Hashim Kamali, ‘Legal Maxims and Other Genres of Literarture In Islamic Juridprudence’,
Arab Law Quarterly, Vol 20, No 1, BRILL , (2006), 77-101. http://www.jstor.org/stable/27650538
17
Hafiz Abdul Ghani, ‘A Study Of The History Of Legal Maxims Of Islamic Law’, International Journal of
Arts and Commerce Vol 1 No. 2 : 90-99.
18
Mohd Fauzi Hamat dan Mohd Sobri Ellias, ‘Aspek-Aspek Pemikiran Kritis Dalam Al-Qawaid Al-
Fiqhiyyah’, Universiti Malaya : Jurnal Syariah Jil 18 Bil 3, (2010), 527-564.
8
qawa„id fiqh secara khusus namun tidak dikaitkan dengan kaedah pengeluaran hukum

fatwa dengan penggunaan qawa„id fiqhiyyah itu sendiri seperti kajian penulis ini.

Oleh itu, berdasarkan kepada kajian-kajian lepas, didapati bahawa kebanyakan

kajian dan penulisan yang ada adalah tidak dikaitkan antara proses pengeluaran hukum

fatwa dengan pemakaian kaedah fiqh yang luas. Kesemua perbincangan di dalam

penulisan-penulisan tersebut adalah menjurus sepenuhnya kepada isu yang dikhususkan

iaitu berkaitan fatwa, sejarah perkembangan fatwa, ijtihad dalam fatwa dan sebagainya.

Manakala perbincangan berkaitan qawa„id fiqh pula cenderung dijelaskan berkaitan konsep

qawa„id fiqhiyyah, sejarah dan sebagainya. Oleh yang demikian, boleh dikatakan disini

bahawa belum ada lagi satu kajian yang khusus berkaitan pemakaian kaedah-kaedah fekah

di dalam institusi fatwa sepertimana maksud kajian penulis. Namun, apa yang pasti ialah

kajian-kajian dan penulisan-penulisan yang berkaitan dengan institusi fatwa dan

perbincangan berkaitan qawa„id fiqhiyyah pada hari ini telah banyak membantu dan

memberi panduan kepada penulis untuk menjalankan dan menjayakan kajian ini. Penulisan-

penulisan yang telah dinyatakan adalah satu panduan yang baik kepada penulis untuk

meneruskan lagi kajian dengan lebih baik. Maka, penulis merasakan perlu satu kajian

dilaksanakan untuk membincangkan mengenai aspek hukum atau kaedah fekah dalam

institusi fatwa dengan lebih terperinci dan tersusun.

1.6 METODOLOGI KAJIAN

Metodologi kajian ialah satu bentuk penerangan dan huraian tentang reka bentuk, metod

dan prosedur yang digunakan dalam melakukan penyelidikan. Lazimnya metod

penyelidikan terdiri daripada penyelidikan perpustakaan dan lapangan yang mana ia

9
mengandungi huraian komprehensif tentang metod dan prosedur kajian yang merangkumi

pengumpulan data, menjelaskan sumber data, prosedur penyelidikan dan metod analisis.19

Dengan erti kata lain, ia adalah merujuk kepada tatacara menjalankan kajian penyelidikan

dalam usaha memahami objek sasaran sesuatu kajian.20

Dalam kajian ini, Penulis menumpukan kepada metod kajian perpustakaan iaitu

dengan mengkaji buku-buku, kitab-kitab arab, artikel dan pelbagai lagi bentuk penulisan

berkaitan tajuk kajian penulis, manakala metod kajian lapangan turut dilakukan yang mana

merangkumi metod dokumentasi dan temubual pegawai yang berkaitan.

1.6.1 Metod Pengumpulan Data

Antara metod yang diaplikasikan dalam membantu untuk mendapatkan maklumat yang

diperlukan seterusnya menyiapkan kajian ini ialah :-

a) Kajian Perpustakaan

Metode ini adalah melalui pengumpulan maklumat berhubung tajuk dan apa-apa

yang berkaitan dengan kajian. Penulis telah ke perpustakaan untuk membuat

rujukan buku, jurnal, kertas projek, kertas kerja, kertas persidangan dan kitab-kitab

fiqh bagi mengumpul maklumat yang diperlukan dan berkaitan. Penulis telah

membuat rujukan di beberapa perpustakaan iaitu :-

i. Perpustakaan Utama Universiti Malaya.

ii. Perpustakaan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

19
Panduan Penulisan Ilmiah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Edisi ketiga, 2012, Pejabat Ijazah
Tinggi Akademi Pengajian Islam, 21.
20
Wan Mohd Yusof Wan Chik, Pemakaian Kaedah Hukum Islam Secara Bersepadu Dalam Penentuan
Hukum Islam Di Malaysia, (Jabatan Fiqh Dan Usul Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Kuala
Lumpur,2010), 10.
10
iii. Perpustakaan Za’ba Universiti Malaya.

iv. Perpustakaan Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Malaya.

b) Kajian Lapangan

i. Dokumentasi21

Satu bentuk pengumpulan data dengan mencari maklumat melalui dokumen

berkaitan yang telah sedia ada seperti melalui fakta, carta, rajah, surat, manuskrip

ataupun melalui dokumen berkaitan. Metod ini juga merupakan satu metod

permulaan yang baik untuk mengumpul maklumat asas berkaitan tajuk kajian.

Dokumen di sini bermaksud suatu bahan yang terjamin keasliannya dan dapat

memberi penerangan terhadap gambar, kompilasi undang-undang, peraturan-

peraturan, buku-buku, risalah-risalah, alquran dan al-sunnah. Untuk kajian ini,

penulis membuat rujukan terhadap kitab-kitab muktabar, buku-buku akademik dan

bacaan ilmiah, risalah, minit-minit mensyuarat, kertas kerja, jurnal dan beberapa

laman web yang berautoriti.

ii. Temubual22

Satu kaedah mendapatkan maklumat secara langsung dan secara berhadapan

daripada seseorang yang berautoriti, pakar dan berpengalaman berkaitan tajuk

kajian. Terdapat 3 jenis temubual iaitu temubual secara berhadapan, temubual

secara focus group dan temubual melalui talifon. Subjek dan penulis hadir dan ada

sama dalam satu sesi pertemuan bagi mendapatkan data dan maklumat dengan cara

21
Stuart Macdonald & Nicole Headlam, Research Methods Handbook, (Manchenster: Express Network,
Centre For Economic Strategies), 20.
22
Anol Bhattacherjee, Social Science Research : Principle , Methods And Practices, (University Of South
Florida, Scholar Commons, 2012), 78.
11
bersemuka. Kaedah ini sangat penting untuk menguatkan kajian dari sudut

kesahihan fakta dan amalannya. Untuk kajian ini, penulis akan menemubual

beberapa pegawai penyelidik yang terlibat secara langsung dalam proses

pengeluaran hukum dan fatwa di institusi fatwa secara bersemuka dan berhadapan.

1.6.2 Metod Analisis Data

Metod ini digunakan untuk menganalisa data dan maklumat serta fakta yang telah

diperolehi dalam kajian. Terdapat dua jenis sumber data iaitu sumber primer yang

diperolehi secara langsung seperti wawancara dan observersi manakala yang kedua ialah

sumber sekunder seperti ulasan kepada buku atau jurnal ilmiah dan sebagainya. Metod

yang digunakan oleh penulis dalam merangka dan menyusun data-data yang didapati ialah :

i. Metod Induktif23

Metod ini berasaskan penelitian data dengan cara berfikir untuk mencari

pembuktian terhadap sesuatu yang khusus untuk sampai kepada satu rumusan

yang bersifat umum.

ii. Metod Deduktif24

Metod ini adalah merupakan cara menganalisis data melalui pola berfikir yang

mencari pembuktian berdasarkan dalil-dalil yang umum terhadap hal-hal yang

khusus. Selain itu juga, ia merupakana satu cara untuk menguhuraikan sesuatu

masalah dengan lebih terperinci. Penulis akan mengumpul data yang diperolehi

daripada kajian-kajian perpustakaan dan temubual seterusnya membuat analisa

dan kesimpulan diakhir kajian.

23
Introduction to Research And Research Methods, Bradford University, School Of Management , (2014), 7.
24
Ibid,. 7.
12
1.7 SKOP KAJIAN

Kajian yang dilaksanakan oleh penulis ini adalah menumpukan kepada aspek pemakaian

kaedah-kaedah fekah atau qawa`id fiqh dalam institusi fatwa. Oleh itu, penulis telah

memilih untuk menjalankan kajian di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang beralamat

di Jabatan Perdana Menteri, Tingkat 10 Menara Pusat Islam, Jalan Perdana, 50676 Kuala

Lumpur. Kajian ini juga lebih memberi fokus kepada Unit Buhuth dan Unit istinbat di

jabatan berkenaan disebabkan fungsi unit tersebut yang menjalankan penyelidikan,

menyediakan bahan untuk kertas kerja cadangan fatwa dan meneliti kitab-kitab muktabar

berkaitan hukum selain menjalankan kajian ke atas fatwa dan kesesuaiannya menurut

keadaan semasa dan masalah umat Islam. Fungsi unit tersebut didapati lebih menjuruskan

kepada hasil dapatan kajian yang ingin diperolehi oleh penulis.

Oleh kerana kaedah-kaedah fiqh di dalam Islam adalah luas dan mempunyai cabang-

cabang yang banyak. Kajian ini akan memberi fokus kepada 5 Kaedah Fiqh dan cabangnya

yang utama dan isu-isu fatwa yang sering disandarkan kepada kaedah-kaedah tersebut.

Oleh kerana, ada pelbagai bentuk fatwa yang dikeluarkan, Penulis akan menumpukan

kepada fatwa-fatwa dari tahun 2010 hingga 2014.

Terdapat beberapa limitasi yang dikenalpasti semasa kajian ini dijalankan. Penulis tidak

dapat menjalankan metod dokumentasi secara terperinci disebabkan alasan-alasan fatwa

yang disimpan oleh institusi fatwa Wilayah Persekutuan adalah terlalu ringkas dan hanya

didokumenkan dalam bentuk minit mensyuarat sahaja. Ini menjadikan hasil kajian penulis

adalah terbatas dalam ruang lingkup maklumat yang disimpan di dalam minit mensyuarat

dan kertas cadangan fatwa sahaja.

13
1.8 SUSUNAN PENULISAN

Susunan penulisan penyelidikan ini dimulakan dengan pendahuluan yang merangkumi

latarbelakang masalah kajian, objektif kajian dan kepentingan kajian ini dilaksanakan, skop

kajian dan sorotan kajian-kajian yang lepas serta menghuraikan berkaitan metodologi

penyelidikan yang digunakan oleh penulis untuk menjayakan kajian ini.

Dalam bab kedua, Penulis akan menghuraikan berkaitan kaedah fiqh dari segi hukum

syarak, sejarah perkembangan kaedah fiqh, dan perbezaannya dengan usul fiqh. Penulis

juga akan menjelaskan berkaitan 5 kaedah utama kaedah fiqh dan cabang-cabangnya serta

memberikan beberapa contoh-contoh hukum yang dikeluarkan berdasarkan kaedah-kaedah

fiqh tersebut.

Dalam bab ketiga, penulis akan memfokuskan kepada institusi fatwa iaitu sejarah

perkembangan institusi fatwa dalam perundangan Islam khususnya. Penulis juga akan

membincangkan berkaitan institusi fatwa dalam konteks di Malaysia, bentuk-bentuk fatwa

dan penulis juga akan membincangkan berkaitan konsep ijtihad dalam fatwa secara ringkas

dan kaedah istinbat hukum dalam pengeluaran fatwa.

Dalam Bab Keempat, penulis akan memfokuskan kepada pemakaian kaedah-kaedah fekah

dalam fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh jabatan mufti di Wilayah Persekutuan. Penulis

juga akan membuat analisis ringkas berkaitan pemakaian kaedah tersebut.

Dalam Bab yang kelima, Penulis seterusnya akan membuat kesimpulan terhadap semua bab

dan membuat sedikit rumusan ringkas berdasarkan data-data yang diperolehi melalui kajian

perpustakaan dan kajian temubual. Di dalam bab ini juga penulis akan memberikan

cadangan dan membuat kesimpulan akhir kajian penulis.

14

You might also like