BMZ Tugasan 2

You might also like

You are on page 1of 7

Kebudayaan Kebangsaan Sebagai Alat Perpaduan Masyarakat

Penulis: Usaid bin Ahmad

Tujuan utama Dasar Kebudayaan Kebangsaan dirangka adalah bagi mewujudkan


kebudayaan kebangsaan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Kerajaan sedar bahawa
masyarakat Malaysia masih mempunyai kesedaran yang rendah dan kefahaman yang
kurang mengenai kebudayaan kebangsaan dan kepentingannya. Dasar Kebudayaan
Kebangsaan ini didukung oleh tiga prinsip iaitu berteraskan kebudayaan rakyat asal rantau,
unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan Islam menjadi unsur penting dalam
pembentukan kebudayaan kebangsaan. Dalam penulisan ini, saya akan menerangkan
dengan skop yang lebih luas mengenai kebudayaan kebangsaan sebagai alat perpaduan
masyarakat di Malaysia.

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik berbanding negara-negara lain di


dunia ini. Apa yang membuatkan Malaysia unik adalah kerana masyarakatnya sendiri.
Masyarakat Malaysia terdiri daripada tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India.
Walaupun berlainan bangsa, mereka masih dapat hidup bersama tanpa permusuhan.
Masyarakat Malaysia juga berkongsi perayaan yang berbeza. Namun, meraka tetap
menyambutnya bersama-sama. Masyarakat Melayu menyambut Hari Raya Aidilfitri,
masyarakat Cina pula menyambut perayaan Tahun Baru Cina dan masyarakat India
menyambut perayaan Deepavali. Walaupun setiap kaum menyambut perayaan yang
berbeza, namun setiap perayaan itu disambut oleh semua bangsa. Buktinya, masyarakat
Melayu menjemput masyarakat India dan Cina ke majlis rumah terbuka jamuan Hari Raya.
Mereka bersalam-salaman dan berkongsi kegembiraan sambil menjamah kuih-muih dan
menjamu juadah hari raya seperti lontong, ketupat dan rendang.

Keakraban hubungan masyarakat Malaysia dapat dieratkan lagi dengan adanya


perayaan-perayaan ini. Hal ini didorong oleh cuti yang diberikan kepada semua rakyat
adalah sama ketika menyambut sesuatu perayaan dan bukannya khusus kepada suatu
kaum tertentu sahaja. Apa yang lebih menarik, budaya perayaan sesebuah kaum itu diserap
dan turut diguna pakai dalam perayaan lain. Contohnya, masyarakat Cina memberikan ang
pau kepada rakan-rakan yang belum berkahwin yang berkunjung ke rumah mereka ketika
perayaan tahun Baru Cina. Kini, amalan tersebut menjadi kebiasaan dalam masyarakat
Melayu ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri. Orang yang lebih tua selalunya akan memberi
kanak-kanak duit raya. Tuntasnya, perayaan yang ada di Malaysia bukan sahaja diraikan
bersama oleh masyarakat berbilang kaum, malah secara tidak langsung perayaan ini
menjadi lambang penyatuan seterusnya menyatupadukan semua semua rakyat Malaysia.
Malaysia beruntung kerana rakyatnya terdiri daripada Masyarakat berbilang bangsa.
Hal ini menyumbang kepada kepelbagaian budaya dan adat resam di negara Malaysia.
Salah satu daripadanya adalah makanan yang pelbagai. Setiap kaum di Malaysia memiliki
makanan tradisi mereka sendiri. Contohnya, makanan tradisi bagi masyarakat Melayu ialah
nasi lemak, roti canai, rendang, ketupat, lontong dan teh tarik. Makanan tradisi masyarakat
Cina pula ialah nasi ayam, yong tau fu dan char kuew teow dan bagi masyarakat India,
makanan tradisi mereka ialah tosai,murukku, idli dan kari. Namun, pada hari ini, makanan-
makanan ini menjadi makanan semua masyarakat Malaysia tanpa mengira kaum. Nasi
lemak dan roti canai yang merupakan makanan masyarakat melayu kini dinikmati setiap
masyarakat ketika sarapan. Seterusnya, murukku sering dihilangkan ketika Hari Raya
Aidilfitri. Makanan ini dapat menyatupadukan masyarakat Malaysia. Contohnya jika
diletakkan nasi lemak di atas meja, semua kaum akan duduk semeja dan menikmati
hidangan tersebut dan akan bertegur sapa, bergelak ketawa, berbincang dan bertanyakan
khabar secara tidak langsung mengetepikan segala perbezaan dari segi warna kulit, agama
dan bangsa. Hal ini merupakan suatu yang unik dan sukar difahami malah juga diterangkan.
Ini jelas menunjukkan sikap keterbukaan kita untuk menerima keunikan masing-masing.
Oleh itu, jelaslah bahawa makanan menjadi identiti perpaduan masyarakat di Malaysia.

Seterusnya, pakaian juga boleh menjadi alat perpaduan masyakat. Pakaian


merupakan salah satu daripada keperluan asas setiap manusia. Melalui pakaian, ciri dan
identiti sesuatu kaum itu sendiri dapat ditonjolkan. Hal ini demikian kerana setiap
masyarakat mempunyai pakaian tradisional yang menjadi identiti sesuatu kaum itu sendiri.
Tidak dinafikan pemakaian pakaian tradisional telah semakin berkurangan, namun dalam
keadaan tertentu, masyarakat berbilang kaum di negara ini masih memakai pakaian
tradisional masing-masing terutama ketika menghadiri majlis kenduri, majlis-majlis rasmi
atau kematian Pakaian boleh disesuaikan mengikut masa dan keadaan. Sebagai contoh,
ketika menyambut hari perayaan, masyarakat Melayu memakai baju kurung bagi
perempuan dan baju melayu bagi lelaki. Masyarakat Cina pula memakai cheongsam bagi
perempuan dan samfu bagi lelaki. Bagi masyarakat India, pakaian tradisional mereka ialah
sari bagi perempuan dan kurta bagi lelaki. Pada masa kini, pakaian-pakaian ini dipakai oleh
semua bangsa. Masyarakat melayu memakai kurta ketika menunaikan solat, masyarakat
perempuan Cina dan India pula selesa memakai baju kurung kerana lebih sopan. Ini
menunjukkan bahawa pakaian sesuatu kaum itu sendiri dapat juga dipakai dan digayakan
dengan kaum lain selagi ianya tidak bertentangan dengan budaya dan ajaran agama
seterusnya dapat mengeratkan ukhuwah antara masyarakat berbilang kaum.
Di samping itu, lahu juga merupakan kebudayaan kebangsaan yang dapat
menyatupadukan kaum di Malaysia. Kebanyakan rakyat Malaysia menyukai lagu kerana
lagu dapat mempengaruhi perasaan dan mampu membawa seseorang ke suatu tempat
yang lain apabila lagu tersebut dihayati. Namun, lagu juga boleh dijadikan sebagai lambang
perpaduan. Masyarakat Malaysia tidak mengira kaum secara keseluruhannya mengemari
lagu tradisional Melayu. Contohnya, penyanyi nombor satu negara, Dato Siti Nurhaliza
bukan sahaja dikenali seluruh rakyat Malaysia, malah turut disukai semua lapisan
masyarakat tanpa mengira kaum dan dikagumi bakat yang dimilikinya. Lagu-lagunya juga
digemari semua lapisan masyarakat. Sebenarnya, kita juga dapat melihat bahawa lagu
dapat menyatukan kita sejak dari bangku sekolah lagi. Buktinya, sebelum memulakan
perhimpunan di sekolah, semua guru dan pelajar akan berdiri dengan tegak dan
menyanyikan lagu Negaraku bersama-sama dengan penuh semangat tanpa mengira
perbezaan bangsa, agama mahupun warna kulit. Ini jelas menunjukkan bahawa lagu
merupakan salah satu medium yang dapat menyatupadukan rakyat tanpa mengira bangsa.

Akhir sekali, selaras dengan dasar pendidikan kebangsaan, bahasa Melayu


diajarkan sebagai mata pelajaran wajib dan telah dijadikan bahasa pengantar utama bagi
semua peringkat prasekolah dan pengajian. Tidak hairanlah mengapa semua masyarakat
Malaysia fasih berbahasa Melayu. bahasa Melayu memainkan peranan penting bukan
sahaja dalam memenuhi keperluan manusia, tetapi juga untuk meningkatkan perpaduan
antara kaum. Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan
bahasa pengantar di pelbagai bidang. Aspek penting untuk menyatupadukan rakyat
mengikut fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan adalah melalui pendidikan.
Pendidikan hari ini telah memainkan peranan penting di dalam merealisasikan aspirasi
negara dalam mewujudkan perpaduan kaum. Pendidikan hari ini telah membuktikan bahawa
negara berjaya mengimbangkan kewujudan integrasi nasional yang menjamin keamanan
dan kesejahteraan negara. Perpaduan rakyat atau pembentukan satu negara bangsa dapat
dicapai melalui sistem Pendidikan. Contohnya, guru menerapkan nilai-nilai murni seperti
saling menghormati antara satu sama lain tidak mengira bangsa dan agama.walaupun
masyarakat Cina fasih bertutur mandarin dan masyarakat India fasih bertutur bahasa tamil,
namun mereka masih perlu menguasai pertuturan bahasa Melayu. Hal ini penting bagi
mewujudkan persefahaman ketika berkomunikasi di Malaysia kerana bahasa Melayu
merupakan budaya kebangsaan Malaysia yang dapat meyatupadukan semua rakyatnya.
Kesimpulannya, kebudayaan kebangsaan penting dalam proses pembangunan
negara di mana keperibadian Malaysia harus dipupuk dalam usaha-usaha yang dijalankan
kearah meningkatkan pembangunan sosioekonomi dan politik. Ini sudah tentu memerlukan
penggemblengan dan penglibatan semua lapisan masyarakat dalam satu proses yang
berterusan. Bagi sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum seperti di
Malaysia, proses pembentukan kebudayaan nasional memerlukan perancangan yang teliti
dan rapi supaya dapat melahirkan cara hidup yang bersifat kemalaysiaan.
LAMPIRAN 1

PAKAIAN TRADISIONAL KAUM DI MALAYSIA


PAKAIAN TRADISIONAL KAUM MELAYU

Baju Kurung
Baju kurung lazimnya diketahui sebagai sejenis baju longgar yang labuh, kadang kala
hingga ke lutut dan dipadankan dengan kain panjang yang berlipat tepi. Ianya meliputi
seluruh tubuh, memperlihatkan wajah dan tangan sahaja,dilihat sebagai mematuhi peraturan
berpakaian Islam. Baju kurung boleh digandingkan dengan kain tradisional seperti songket
atau batik. Kebiasaannya pakaian ini digunakan dengan kain selendang atau tudung kepala.
Baju kurung sesuai untuk dipakai dalam majlis-majlis formal atau urusan seharian.

Baju Melayu Lelaki


Baju Melayu merupakan pakaian lelaki Melayu yang terdiri daripada dua jenis iaitu Baju
Teluk Belanga dan Baju Cekak Musang. Baju ini biasanya dipakai semasa menghadiri
majlis-majlis perkahwinan, kenduri-kendara dan juga bagi menunaikan Solat Jumaat. Selain
itu, baju ini juga amat sesuai dipakai pada hari perayaan dan juga majlis-majlis rasmi.
Pemakaian Baju Melayu kelihatan lebih berseri apabila digandingkan bersama samping atau
songket. Pada acara-acara biasa seperti kenduri-kendara dan Sembahyang Jumaat, baju ini
dipakai bersama kain pelekat atau kain tenun sutera. Baju Melayu merupakan kemeja
longgar yang dipakai dengan seluar panjang. Pakaian ini selalunya diganding dengan kain
samping yang diikat di bahagian pinggang.

PAKAIAN TRADISIONAL KAUM CINA

Cheongsam
Pakaian ini dipakai oleh wanita berketurunan Cina. Biasanya dipakai pada upacara-upacara
tertentu seperti majlis perkahwinan dan semasa Tahun Baru Cina.Cheongsam mempunyai
leher yang tinggi, butang di bahagian bahu, bentuk yang sendat di pinggang dan belahan di
kiri dan kanan kain. Pakaian ini selalunya diperbuat daripada kain sutera, satin dan lain-lain
jenis kain lembut.

Samfu
Samfu membawa maksud 'baju dan seluar' dalam dialek Kantonis. Samfu merupakan
pakaian kaum Cina. Samfu diperbuat daripada kain nipis yang tidak bercorak atau berbunga
halus. Samfu dipakai oleh lelaki berketurunan Cina. Pakaian ini terdiri daripada baju yang
longgar dan terbelah di depan dan berkolar tinggi serta dipakai bersama seluar longgar
seperti seluar baju Melayu. Pakaian ini biasanya diperbuat daripada kain lembut seperti kain
sutera.

PAKAIAN TRADISIONAL KAUM INDIA

Sari
Sari merupakan pakaian untuk kaum perempuan India dan ia adalah pakaian seharian dan
turut dipakai pada musim perayaan. Kain sari ini dililit pada badan dengan bahagian
hujungnya yang bersulam diletak di atas bahu kiri. Kain dalam dipakai di atas atau di bawah
pusat dan berfungsi menyokong kain sari tersebut dari terlucut. Sari diperbuat daripada
pelbagai jenis, corak dan warna kain yang sememangnya indah.

Kurta
Pakaian tradisional bagi lelaki kaum india.Kemeja panjang yang sampai ke lutut yang
diperbuat daripada kain kapas atau lime dan sutera.Kurta ini pada kebiasaanya akan dipakai
bersama salwar longgar,seluar longgar atau seluar churidar.Kurta pijama adalah kurta yang
dipakai oleh pemakainya bersama pijama dimana kurta pijama ini kebanyakkan dipakai
ketika majlis-majlis rasmi.Kurta ini juga boleh dipakai bersama dhoti.dhoti ialah sejenis kain
berbentuk segi empat panjang yang dianggarkan sepanjang 5 meter yang dililit di sekitar
pinggang dan kaki.
LAMPIRAN 2

Sambutan perayaan berbilang kaum, agama kunci negara aman


JUMAAT, 27 JANUARI 2017 @ 10:38 AM

TAN Sri Lee Lam Thye. - Foto NSTP/Muhammad Hatim Ab manan


KUALA LUMPUR: Sambutan perayaan yang diraikan tanpa mengira latar belakang kaum
dan agama di negara ini, berjaya membina pemahaman dan rasa hormat dalam kalangan
masyarakat majmuk di negara ini.

Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata ia adalah kunci
keamanan dan keharmonian dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama, sekali gus
menjadi asas kepada pembinaan negara dan berupaya mencapai semangat 1Malaysia.

Katanya, menghormati budaya dan agama etnik lain menjadi ciri kepada masyarakat
berbilang kaum dan menjadi kewajipan setiap rakyat untuk terus mengekalkan
tanggungjawab berkenaan menerusi amalan lima prinsip Rukun Negara.

Beliau berkata, perayaan tahunan seperti Aidilfitri, Krismas, Deepavali dan Tahun Baharu
Cina adalah perayaan yang memanfaatkan semua kaum dari segi memupuk keharmonian,
keamanan dan perpaduan.

"Rakyat Malaysia harus berasa berbangga kerana dapat meraikan pelbagai perayaan dalam
keadaan aman dan damai.

"Sejak merdeka, tugas yang penting bagi setiap rakyat adalah menyumbang ke arah
perpaduan negara serta berusaha meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan sosial negara
kita.

"Perpaduan adalah kunci kepada kejayaan negara. Oleh itu, rakyat perlu menggunakan
setiap peluang yang ada untuk mengukuhkan semangat perpaduan melalui pelbagai aktiviti
membabitkan semua kaum," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lam Thye berkata, rakyat Malaysia harus komited untuk menjamin keharmonian, keamanan
dan perpaduan negara, malah usaha gigih harus berterusan bagi menggalakkan budaya
keharmonian, perpaduan dan kesejahteraan negara.

You might also like