You are on page 1of 2

Bijak Berbelanja Pengguna Bestari

Aktiviti membeli-belah memang menyeronokkan. Apatah lagi apabila kita mempunyai wang yang banyak
yang membolehkan kita membeli apa-apa sahaja barangan dan perkhidmatan yang disukai. Malah ada orang yang
menjadikan aktiviti membeli-belah sebagai aktiviti wajib yang mesti dilakukan sebaik sahaja menerima upah atau gaji
pada setiap bulan.

Pengeluar barangan dan perkhidmatan sentiasa berlumba-lumba menghasilkan pelbagai produk dan
barangan dengan tawaran yang cukup mengasyikkan pengguna. Tambah mengujakan pengguna, tentulah lambakan
tawaran daripada pelbagai barangan berjenama di pasaran. Siapa yang tidak tergoda apabila melihat tawaran harga
barangan berjenama yang menjunam sehingga 70 peratus? Syarikat kewangan pula menawarkan pelbagai bentuk
perkhidmatan kad kredit untuk memudahkan pengguna berbelanja. Namun, yang membimbangkan ialah apabila
keseronokan membeli-belah menyebabkan pengguna akhirnya tidak dapat mengawal perbelanjaan bulanan, yang
kemudiannya terjerumus ke dalam beban hutang yang tidak disangka-sangka.

Walaupun aspek ekonomi merupakan komponen penting dalam kehidupan yang memberi peluang kepada
setiap individu meningkatkan kualiti hidup masing-masing supaya lebih selesa, pengguna perlu mengawal diri ketika
berbelanja. Pengguna perlu bijak mengawal kewangan supaya tidak terperangkap dalam beban hutang yang dicipta
sendiri dengan cara mendisiplinkan diri ketika berbelanja. Hal ini penting supaya pengguna dapat menjalani
kehidupan yang benar-benar berkualiti. Pengguna yang terjerat dengan masalah hutang sehingga jatuh bangkrap
atau muflis sebenarnya dikatakan telah menjejaskan kualiti kehidupan mereka sendiri.

Sementara itu, Indeks Kualiti Kehidupan mencatatkan Malaysia di tangga 36 dalam kalangan 111 negara di
dunia. Indeks ini mengambil kira kesihatan, kehidupan keluarga, kehidupan masyarakat, kestabilan politik,
pendapatan per kapita dan kuasa beli, kebebasan politik, iklim, keselamatan pekerjaan, dan layanan yang sama bagi
lelaki dan wanita.

Menurut Unit Perancang Ekonomi, pendapatan membolehkan individu menampung perbelanjaan bagi diri
serta keluarga mereka manakala agihan pendapatan pula menggambarkan kesaksamaan dan pengagihan sumber
ekonomi. Komponen pekerjaan atau status ini memberi ganjaran kepada individu melalui pemilikan tempat
kediaman, kenderaan, pakaian atau makanan.

Kenaikan harga barang keperluan, seperti gula, beras, minyak masak dan tepung serta harga gas dan
petroleum menyebabkan kos yang terpaksa ditanggung oleh pengguna semakin meningkat. Hal ini menyebabkan
nilai ringgit yang diterima daripada pendapatan bulanan semakin mengecil sedangkan kos yang terpaksa ditanggung
semakin banyak dan terus meningkat.

Bagi mengatasi masalah ini dan seterusnya mengurangkan beban yang harus ditanggung, pengguna perlu
menjadi pengguna yang bijak dalam mengurus kewangan. Pengguna yang bijak ialah pengguna yang tahu mengurus
kewangan dengan berkesan dan seterusnya tahu mengawal perbelanjaan mereka. Untuk itu, pengguna perlu
melengkapkan diri dengan ilmu kewangan yang dapat membantu pengguna menguruskan kewangan peribadi
mereka dengan baik dan berkesan.

Antara yang perlu dilakukan termasuklah merubah corak perbelanjaan harian pengguna dan merancang
perbelanjaan demi masa depan yang baik. Perancangan kewangan yang baik dan pengurusan kewangan yang
sistematik akan membantu pengguna berbelanja mengikut keperluan dan tidak membebankan.
Sehubungan dengan hal itu, pengguna perlu menetapkan sasaran dalam menentukan belanjawan bagi
mengelakkan perbelanjaan yang tidak diperlukan. Pengguna perlu sentiasa menyediakan senarai barangan keperluan
sebelum keluar untuk berbelanja bagi mengelakkan pengguna membeli barangan yang tidak diperlukan. Untuk itu,
pengguna perlu mendisiplinkan diri dengan mematuhi setiap perancangan yang telah ditetapkan.

Pengguna juga boleh merangka sistem pendapatan dengan mencampurkan pendapatan suami dan isteri, dan
pendapatan lain yang diterima dan kemudiannya memasukkan pendapatan tersebut dalam satu akaun khas setelah
ditolak perbelanjaan lain yang perlu diselesaikan. Misalnya bayaran untuk pinjaman rumah, kereta, bil air dan
elektrik, yuran persekolahan anak, perbelanjaan keperluan rumah atau minyak kenderaan supaya dapat mengawal
perbelanjaan. Kemudian catatkanlah jumlah perbelanjaan yang telah dikeluarkan supaya pengguna dapat
mengetahui ke manakah wang tersebut telah dibelanjakan. Pengguna juga perlu menetapkan sasaran kewangan,
seperti penetapan sasaran jangka pendek dan sasaran jangka panjang.

Penetapan sasaran kewangan ini penting kerana dapat membantu pengguna menentukan belanjawan diri
atau keluarga dengan lebih baik dan berkesan. Sebagai contoh, mengurangkan perbelanjaan menonton wayang
dengan menonton cakera video digital (DVD) di rumah sebagai sasaran jangka pendek. Menetapkan sasaran jangka
panjang pula bermakna sebagai contoh, melangsaikan hutang yang sedia ada terlebih dahulu atau menyimpan wang
secara bulanan untuk membeli barangan yang diinginkan secara tunai dan bukan secara hutang.

Belilah barangan atau perkhidmatan yang menawarkan harga jualan yang lebih murah. Misalnya ketika
musim perayaan yang menawarkan pelbagai potongan harga yang menarik bagi mendapatkan lebih penjimatan.
Selain itu, pengguna juga perlu sentiasa membuat pemantauan harga dan membandingkan harga barangan dan
perkhidmatan yang ditawarkan oleh pengeluar atau penjual yang berbeza. Dengan cara ini pengguna dapat membeli
barangan yang sama dengan harga yang lebih murah.

Selain itu, elakkan membeli-belah dalam keadaan yang terburu-buru atau ketika pengguna berada dalam
keadaan yang tidak tenteram. Hal ini dikatakan demikian kerana berbelanja dalam suasana begini akan mendorong
pengguna untuk membeli barangan yang tidak diperlukan dan seterusnya akan merugikan pengguna.

Pemantauan terhadap setiap perbelanjaan perlu dilakukan supaya dapat mengawal pengguna daripada
berbelanja barangan yang tidak perlu. Oleh itu, pengguna perlulah menjadi pengguna yang bijak bagi mengurus
kewangan dengan lebih baik dan berkesan.

You might also like