You are on page 1of 3

Pada era globalisasi ini, isu bencana alam hangat diperkatakan sehingga menjadi

buah mulut masyarakat. Perkara ini sering terpampang di dada-dada media cetak
mahupun elektronik. Isu ini tidak pernah menyusut malah kian membusut sehingga
mencapai tahap kronik dan membimbangkan. Bencana alam merupakan fenomena yang
tidak dapat kita halang bak kata pepatah “geruh tak berbunyi, malang tidak berbau”.
Contohnya, Gunung Agung, iaitu gunung api yang meletus di Bali pada November 21, 2017
telah menggemparkan seluruh dunia. Rakyat Malaysia selamat daripada kebanyakan
bencana alam kerana Malaysia sering terlepas daripada pelbagai bencana alam seperti
gempa bumi, letupan gunung berapi, tsunami, ribut taufan dan sebagainya. Sebagai
masyarakat yang mempunyai sifat kemanusiaan, kita sepatutnya bersimpati dan
menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan seperti hulurkan
tangan, ringankan beban. Persoalannya yang sering berpusar dalam minda kita ialah
apakah bentuk bantuan yang boleh dihulurkan oleh masyarakat antarabangsa kepada
negara terlibat?
Antara bentuk bantuan yang boleh dihulur ialah sumbangan kewangan untuk
membantu mangsa bencana. Masyarakat antarabangsa boleh memberikan bantuan
dengan kutipan derma. Badan-badan NGO dan media perlu menyeru orang ramai supaya
memberikan sedekah dan dermaan kerana mangsa bencana yang amat memerlukan
bantuan kewangan bagi meneruskan kehidupan. Mangsa bencana alam memerlukan
wang kerana segala harta mereka telah dimusnahkan. Makanan dan pakaian juga perlu
diderma untuk membantu mangsa bencana yang hidup sehelai sepinggang dan tengah
kelaparan. Untuk mencapai hasrat murni ini, pelbagai peringkat kutipan derma sering
dijalankan oleh badan NGO, terutamanya Persatuan Bulan Sabit Merah dan pihak
berkenaan supaya dapat meringankan beban mangsa seperti peribahasa berat mata
memandang, berat lagi bahu memikul. Semua umat tidak harus bersikap tangkai jering
dalam menghulurkan sumbangan agar mangsa bencana dapat pulih secara sedia kala.
Tambahan pula, kita perlu menghulurkan sumbangan dalam bentuk tenaga dan
kepakaran kepada negara yang menghadapi bencana untuk menyelamatkan mangsa.
Negara kita boleh menghantar pasukan sukarela dan pasukan penyelamat yang terlatih
untuk mencari mangsa-mangsa yang tertimbus dan hilang. Ketika terperangkap dalam
gempa bumi, setliap mangsa hanya mempunyai tiga hari untuk diselamatkan sebelum
menemui maut. Proses penyelamatan mangsa memerlukan perancangan yang sistematik,
saintifik dan efektif. Pasukan Gerakan Cepat dan Pasukan SMART di negara kita telah
mempunyai segala kelengkapan yang canggih serta kemahiran yang cekap untuk
memberikan bantuan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Sumbangan tenaga
penyelamatan boleh menjadi asas untuk menyalurkan bantuan secara antarabangsa.
Bukan itu sahaja, bantuan perubatan dan rawatan kesihatan harus disumbangkan
kepada negara yang dilanda musibah. Negara kita perlu memberikan bantuan ubat-
ubatan, terutama ubat pelali, vaksin dan lain-lain. Pasukan perubatan yang terdiri
daripada pegawai Jabatan Kesihatan, doktor dan jururawat harus dihantar ke negara yang
dilanda malapetaka untuk memberikan rawatan kecemasan. Tidak dapat dinafikan
bahawa nasib mangsa bagai sudah jatuh ditimpa tangga kerana pelbagai penyakit
berjangkit akan merebak selepas bencana alam. Hal ini demikian kerana mayat yang
bergelimpangan tidak dikebumikan dengan baik, dan bekalan air bersih turut tercemar.
Conthnya, mangsa bencana akan cirit-birit, demam dan muntah malah sistem imuniti
mereka turut terjejas. Penyakit taun, demam dan batuk kering akan menular di tapak
bencana alam. Oleh itu, pasukan perubatan kita perlu mendirikan pusat rawatan atau
hospital sementara untuk menjalankan pembedahan dan memberikan rawatan kepada
mangsa yang sakit atau cedera memandangkan kebanyakan hospital dan klinik tempatan
telah musnah atau penuh dengan pesakit.
Selain keperluan fizikal, keperluan rohani tidak kurang pentingnya kepada mangsa
bencana alam. Pakar psikologi dan ahli kaunseling negara kita juga perlu dihantar ke
negara yang dilanda bencana alam. Lazimnya, mangsa bencana alam akan menjadi
trauma, iaitu sentiasa cemas, takut, kesiangan dan fikiran sentisa bercelaru. Mereka hidup
dalam penderitaan dan kesedihan akibat kehilangan ahli keluarga yang disayangi. Dalam
konteks ini, bimbingan dan kaunseling perlu diberi kepada mangsa bencana alam.
Sokongan moral daripada negara kita amat penting untuk merawati hati mereka yang
telah remuk-redam. Lantas, mangsa dapat menghadapi masa depan dengan penuh
keyakinan.
Setelah ditimpa nasib buruk, segala infrastrutur di negara kita akan binasa, bak kata
pepatah “padang jarak, padang terkukur”. Contohnya, sekolah, hospital , klinik, jalan raya,
rumah dan sebagai telah musnah. Tambahan pula, ekonomi negara berkenaan telah
lumpuh. Sehubungan dengan itu, kerajaan negara kita patut menghantar pegawai-
pegawai perancang ekonomi bersama-sama dengan ahli korporat tempatan untuk
menghidupkan aktiviti ekonomi yang telah lumpuh di kawasan bencana itu. Saranan
tentang rancangan pembinaan dan pembangunan sosioekonomi boleh dicadangkan agar
ekonomi dan masyarakat terbabit dapat pulih dengan secepat mungkin. Sebagai contoh,
negara kita telah berjaya mendirikan lebih daripada 3 ribu buah rumah kos rendah yang
dilengkapi dengan pelbagai prasarana di Aceh, Sumatera Indonesia selepas dilanda
tsunami pada tahun 2004. Oleh itu , bantuan membina prasaranan dan infrastrutur yang
rosak patut dihulurkan oleh negara kita terhadap mangsa bencana alam.
Demi membantu mangsa bencana alam, semua pihak perlulah lebih beristiqamah
dalam usaha menggembleng kudrat seperti aur dengan tebing demi kesejahteraan hidup.
Janganlah kita hanya berpeluk tubuh bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk
masing-masing tetapi mengamalkan sikap seperti genggam bara api biar sampai jadi arang
sekiranya kita ingin melihat impak dan transformasi negara ke arah yang gilang-gemilang
di persada dunia dimana kita dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan
negara-negara luar. Seluruh dunia akan bermuafakat sehingga melahirkan dunia yang
aman sentosa.

You might also like