You are on page 1of 2

ISLAM MEMBAHAGIAKAN TANPA SEMPADAN

Allah SWT menciptakan manusia mempunyai fitrah ingin pada kehidupan yang membahagiakan
dan menyeronokkan, kerana itu semua manusia di dunia ini meletakkan matlamat dan berjuang
untuk mencapai kebahagiaan. Perbezaan daripada matlamat kebahagiaan manusia ini adalah pada
ukuran kebahagiaan yang dinilai dengan neraca yang berbeza. Bagi mereka yang menilai dengan
neraca kehidupan di dunia sahaja, maka kebahagiaan yang mereka buru adalah bersifat dunia dan
kebendaan. Bagi mereka yang menilai bahagian pada neraca akhirat pula, kebahagiaannya akan
bersifat ketaatan dan ketekunan pada melaksanakan tuntutan agama.

Islam Agama Fitrah


Islam sangat meraikan fitrah manusia, oleh kerana itu di dalam al-Quran kita akan temui banyak
janji-janji kebahagiaan daripada Allah SWT pada mereka yang mengerjakan perintah dan
meninggalkan segala larangan-Nya. Allah SWT tahu bahawa manusia akan termotivasi untuk
beramal soleh kerana fitrah manusia mahukan hidup bahagia. Setiap perintah dan larangan
daripada Allah SWT bukanlah sekatan untuk menyiksa keinginan manusia, tetapi untuk memandu
manusia agar dapat mengecapi hakikat kebahagiaan yang sebenar.
Syariat Al-Quran Adalah Panduan Menuju Kebahagiaan
Allah SWT menjadikan manusia dan menyediakan balasan kebahagiaan kepada yang taat dan azab
siksa kepada yang ingkar. Allah SWT menunjukkan Keadilan dan Kasih Sayang-Nya dengan
mengutuskan para rasul untuk memandu kehidupan manusia. Syariat yang dibawa oleh para rasul
sejak bermula sejarah manusia di muka bumi ini adalah untuk menjaga manusia, bukan untuk
menzalimi manusia.
Terdapat juga sebahagian kumpulan yang meletakkan ukuran kebahagiaan itu pada keseronokkan
di dunia semata-mata, menyifatkan bahawa syariat ataupun peraturan hidup beragama ini
menyekat dan menzalimi hak individu manusia untuk berseronok. Tetapi jika kita lihat pada data
dan fakta, tidak akan kita temui mana-mana bahagian pada Syariat Islam yang menindas dan
menzalimi manusia. Yang kita temui semuanya adalah hikmah dan kebaikan kesan daripada
melaksanakan perintah Allah SWT. Allah SWT berfirman dalam Surah al ‘Araf ayat 157;
“Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka
dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Ia
menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan
perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan
mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka
beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka. Maka orang-orang yang
beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang
diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.”
Di dalam ayat di atas jelas menerangkan bahawa setiap perkara yang dihalakan Allah SWT itu ada
nilai kebaikan dan setiap perkara yang diharamkan itu ada nilai yang membawa kepada mudarat.
Kita lihat sendiri dalam pengharaman arak, jelas terbukti ianya membawa kerosakan bukan hanya
kepada akal peminum bahkan turut memberi kesan kepada manusia sekeliling sehingga berlaku
kemalangan dan seumpama dengannya. Setiap sektor baik dalam bidang ekonomi, masyarakat,
politik, pendidikan dalan lain-lain jika mengikut acuan daripada Islam, dengan izin Allah SWT ia
akan membawa kepada kesejahteraan dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Bahagia di dunia,
bahagia di akhirat.

Mengenal Pangatur Syariat Yang Maha Bijaksana Dan Maha Penyayang


Salah satu daripada nama-nama Allah SWT terindah adalah Al Hakim yang bermaksud Maha
Bijaksana. Kebijaksaan Allah mengatur sekalian sistem yang ada di muka bumi ini tidak dapat
ditandingi oleh makhluk yang tiada daya melainkan daya yang hanya dikurniakan oleh Allah SWT.
Sistem dan aturan yang dibekalkan kepada manusia ini juga bukan hanya di tadbir dengan
kebijaksanaan Allah SWT tetapi juga dengan kasih sayang. Allah SWT berfirman dalam Surah
Yaasin ayat 5;
“Al-Quran itu, diturunkan oleh Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.”
Ketika Pengatur sistem yang memiliki sifat yang penuh dengan Kasih dan Sayang, sudah pasti
segala sistem aturan yang berupa perintah dan larangan itu diberikan kepada manusia untuk
menjaga dan memastikan kita peroleh kebahagiaan yang hakiki. Maka bagaimana kita hendak
mencari kebahagiaan dengan meminggirkan Islam?
Kesimpulannya, kebahagiaan yang sebenar adalah kebahagiaan yang kita raih di akhirat kelas
setelah bersusah payah di dunia mengerjakan ketaatan. Ketaatan yang dikerjakan dengan susah
payah di dunia ini bukanlah satu bentuk kezaliman daripada Allah SWT, tetapi hanya sebagai
perjalanan sementara manusia menuju bahagia akhirat. Beriman dan melaksanakan ketaatan akan
dikurniakan kejayaan di dunia sebagai hikmah daripada Allah SWT dan Syurga di akhirat.

You might also like