You are on page 1of 2

 

Kemiskinan Bandar di Malaysia: Sorotan Literatur

Oleh:

Jalihah Md. Shah


Nor Hafizah Selamat (PhD)
Salfarina Abdul Gapor (PhD)

Pertumbuhan ekonomi yang pesat disokong dengan pembangunan prasarana yang lengkap
telah menjadikan bandar-bandar di Malaysia sebagai pusat tumpuan manusia. Dengan itu,
bandar telah menjadi lokasi untuk mencari pelbagai peluang dan mengecapi masa depan yang
lebih baik. Ekoran daripada itu, ramai yang berhijrah sama ada dari kawasan luar bandar atau
menyeberangi sempadan antarabangsa untuk merebut peluang ekonomi, pendidikan mahupun
kehidupan sosial yang lebih terjamin. Walau bagaimanapun, peluang ekonomi yang terhad,
tahap pendidikan rendah dan ketidakcukupan tempat tinggal antara lain telah menyebabkan
ada penghuni bandar yang tersisih daripada pembangunan perdana yang berlaku. Sehubungan
itu, wujud golongan miskin bandar yang terpinggir dan gagal menikmati segala kemudahan
yang tersedia di bandar. Permasalahan yang bergolak di bandar telah mengundang pelbagai
wacana yang dibincang dan didebatkan oleh para sarjana sosiologi, ekonomi dan tidak
terkecuali sarjana antropologi. Meskipun isu yang diketengahkan adalah berhubung fenomena
kemiskinan, namun para pengkaji mengusulkan isu ini daripada sudut yang berbeza. Bagi ahli
antropologi, terdapat tiga persoalan asas yang dikemukakan bila berbicara mengenai
kemiskinan. Pertama, siapa orang miskin tersebut, kedua, mengapa mereka miskin dan akhir
sekali persoalan apa yang boleh dilakukan (Booth, Leach dan Tierney, 1999) untuk survival
mereka. Kesepakatan dalam kalangan ahli antropologi menunjukkan isu kemiskinan boleh
difahami dengan lebih baik sekiranya ia dilihat menerusi kaca mata orang miskin itu sendiri.
Jelasnya, kajian kemiskinan dalam antropologi boleh memberi makna (meaning) terhadap
konsep kemiskinan yang melangkaui tafsiran yang dilakukan menerusi data tinjauan ekonomi
dan pendapatan semata-mata. Dengan berbuat demikian, sebenarnya ia memberikan
pemahaman penting ke atas sebab kemiskinan berlaku di samping mendedahkan kepelbagaian
pengalaman hidup yang dilalui orang miskin (Green, 2006) itu sendiri. Apakah perbezaan lain
yang wujud dalam kajian kemiskinan bandar yang diusahakan oleh ahli antropologi
berbanding bidang ilmu lain seperti ekonomi dan sosiologi? Selain memahami dan memberi
makna kemiskinan daripada kerangka komuniti yang dikaji, kekuatan kajian antropologi
terletak dalam teknik dan kaedah kajian yang digunakan (Fox, 1977; Green, 2006; Susser,
1996). Apakah metod yang digunakan dan apa pula isu lain yang diutarakan oleh pengkaji
antropologi dalam memahami masyarakat kontemporari di bandar akan dirungkai dalam
bahagian pertama kertas kerja ini. Bahagian pertama ini turut membincangkan kerelevanan
dan sumbangan bidang antropologi bandar dalam kajian kemiskinan. Salah satu daripada
faktor yang dikatakan mempengaruhi kewujudan kemiskinan di bandar adalah ia diwarisi dari
penduduk yang berhijrah dari kawasan luar bandar (Tickamyer & Duncan, 1990). Benarkah
kemiskinan bandar di Malaysia berakar umbi dan lanjutan daripada masalah kemiskinan yang
berlaku di luar bandar? Hal ini telah menarik minat para pengkaji di negara ini untuk
mengetahui dan memahami fenomena kemiskinan bandar yang masih baru jika dibandingkan
dengan kemiskinan di kawasan luar bandar. Persoalannya, apakah isu-isu yang dibincangkan
dalam kajian-kajian kemiskinan bandar di Malaysia? Justeru itu bagi menjawab persoalan-
persoalan yang telah diajukan, bahagian kedua kertas kerja ini akan menghuraikan isu dan
tema yang menjadi tumpuan dalam kajian-kajian kemiskinan bandar di negara ini. Diharapkan
kertas kerja ini dapat memberi dimensi baru terhadap isu kajian kemiskinan bandar yang
dibawakan oleh ahli antropologi dan perbincangan fenomena ini yang dilakukan oleh para
pengkaji di Malaysia.

Jalihah Md. Shah adalah calon PhD di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti
Sains Malaysia (USM), Nor Hafizah Selamat (PhD) merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan
Sosiologi & Antropologi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, USM dan Salfarina Abdul
Gapor (PhD) adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengurusan dan Perancangan Pembangunan,
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, USM.

560 words

You might also like