You are on page 1of 7

1.

0 PENDAHULUAN

Pengurusan bilik darjah yang berkesan mempunyai asas pengurusan disiplin yang
kukuh dimana ianya merupakan kawalan yang diperoleh daripada penguatkuasaan peraturan.
Salah satu cara untuk menguruskan bilik darjah dengan berkesan adalah dengan membina
hubungan yang baik dengan murid-murid dan mengawasi perjalanan rutin bilik darjah supaya
berjalan lancar. Sehubungan dengan itu, terdapat tujuh Model Pengurusan Disiplin telah
dicadangkan supaya memberi panduan kepada guru tentang pengurusan disiplin dan tingkah
laku dengan menggunakan pendekatan yang berbeza. Antaranya ialah Model Modifikasi
Tingkah Laku B.F. Skinner, Model Disiplin Asertif Canter, Model Akibat Logikal Driekurs, Model
Pengurusan Kelompok Kounin, Model Pengurusan Disiplin Thomas Gordon, Model Beyond
Discipline Alfie Kohn, dan Model Terapi Realiti Glasser.

Oleh yang demikian, projek yang akan dijalankan ini dengan menumpukan kepada
mengenal pasti tingkah laku bermasalah yang berlaku di dalam bilik darjah 1 Ihsan di Sekolah
Menengah Agama Dato’ Klana Petra Maamor, Seremban, Negeri Sembilan. Saya perlu
merangka pelan pengurusan bilik darjah yang kreatif untuk menangani masalah tersebut. Saya
juga perlu menggunakan model-model pengurusan disiplin serta kemahiran bimbingan dan
kaunseling dalam merangka pelan tersebut. Kemudian saya perlu melaksanakan pelan
pengurusan bilik darjah yang saya rangka untuk diaplikasikan serta membuat refleksi terhadap
pelaksanaan pelan pengurusan bilik darjah.

2.0 TINGKAH LAKU BERMASALAH DALAM BILIK DARJAH

Tingkah laku murid memainkan peranan yang sangat penting ke arah pembentukan
sahsiah diri yang positif. Dalam konteks pendidikan, masalah tingkah laku merujuk kepada
sebarang bentuk tingkah laku murid yang boleh menganggu kelancaran dan keberkesanan
proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah (Mohd Fadli et al. 2016). Menurut
Lahey (2009), tingkah laku merupakan kajian saintifik yang berkaitan dengan proses mental
dan perbuatan seseorang. Kebiasaannya tingkah laku pelajar merupakan tindak balas
daripada rangsangan stimulus dari dalaman mahupun luaran yang berupaya merangsang
pelajar daripada melakukan sesuatu perlakuan hingga memberi kesan kepada persekitaran
mereka.

Tingkah laku seseorang merangkumi semua perlakuan sama ada perlakuan yang baik
atau perlakuan yang tidak memuaskan. Perlakuan seseorang boleh dilihat melalui komunikasi,
pemilihan bahasa dan cara perhubungan dengan individu yang lain. Menurut Haliza Hamzah
(2016), tingkah laku bermasalah merujuk perlakuan yang tidak mengikut norma-norma yang
diterima oleh sesebuah masyarakat dan tidak sesuai dalam situasi tertentu. Dalam
pengurusan bilik darjah, tingkah laku masalah dapat dikenalpasti melalui perbuatan dan
tindakan yang menyalahi disiplin bilik darjah oleh murid. Antara contoh tingkah laku masalah
dalam bilik darjah seperti gemar bercakap, mengganggu rakan sekelas, suka membuli, kurang
sopan dan sebagainya.

Projek saya telah menumpukan kepada salah seorang murid di dalam bilik darjah 1
Ihsan iaitu Muhammad Nabil Bin Norasid. Saya merupakan guru matapelajaran Al-Syariah
bagi kelas ini. Jam kredit mata pelajaran yang diajar oleh saya, 5 jam seminggu menyebabkan
banyak masa saya bersama responden. Jam kredit ini sedikit sebanyak membantu saya
meluangkan masa yang lebih terhadap anak-anak murid saya terutamanya responden. Saya
telah melakukan pemerhatian terhadap responden dan dia pernah terlibat isu disiplin bilik
darjah seperti memukul pelajar lain dan tidak menyiapkan kerja rumah yang diberikan oleh
guru. Selain itu, responden juga menunjukkan tingkah laku bermasalah di dalam kelas seperti
sering tidur, suka membuli, bermalas-malasan dan sesetengah guru pernah mengadu kepada
saya tentang kelakuannya di dalam kelas.

2.1 FAKTOR MASALAH TINGKAH LAKU MURID

Terdapat beberapa penyebab kepada berlakunya masalah disipilin murid. Antaranya


faktor pembelajaran. Kaedah serta bahan pengajaran yang tidak sesuai. Bahan pengajaran
yang digunakan gagal menarik minat pelajar. Kesukaran memahami isi pelajaran juga
menjadikan mereka bosan dan gelisah. Melalui soal selidik yang saya jalankan, murid
bermasalah terhadap diri sendiri kerana terlalu lemah dalam beberapa matapelajaran.
Kenyataan berikut turut diperkukuhkan dengan hasil keputusan peperiksaan pertengahan
tahun yang lemah. Hal ini boleh dikaitkan dengan teknik pengajaran guru semasa proses
pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Faktor guru juga memainkan peranan dalam
menarik minat pelajar terhadap sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran serta disiplin
pelajar di dalam kelas. Kesediaan guru juga menjamin ketenteraman dan disiplin pelajar. Guru
yang kreatif dalam proses pengajaran mampu menarik minat pelajar untuk terus memberi
perhatian dalam pengajaran dan pembelajaran sekaligus mengurangkan masalah disiplin.
Antara faktor lain ialah, faktor rakan sebaya. Sikap rakan sebaya mempengaruhi
tingkah laku dan perwatakan murid. Rakan sebaya yang baik boleh membantu seseorang
pelajar menjadi insan yang mempunyai sifat-sifat sosial yang positif. Manakala rakan sebaya
yang negatif akan menyebabkan murid terjebak ke dalam masalah disiplin. Dapatan dari soal
selidik terhadap responden menyatakan beliau sering diganggu rakan sekelas terutamanya
semasa dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Selain daripada itu, beliau juga
menyatakan tidak yakin dalam melakukan sesuatu perkara dan rasa rendah diri dan tidak
dapat mengurus masa seharian dengan baik. Tambahan lagi, responden tinggal di asrama
menyebabkan kehidupan sehariannya lebih bersama dengan rakan-rakan dari pelbagai latar
umur.

3.0 PELAN PENGURUSAN BILIK DARJAH BAGI MENANGANI MASALAH TINGKAH


LAKU

Saya telah menetapkan beberapa komponen yang perlu saya tekankan dalam
merangka pelan pengurusan bilik darjah untuk mengatasi masalah ini. Antara komponen yang
saya tekankan adalah komponen pengajaran dan pembelajaran, komponen hubungan guru
dan murid serta komponen pengurusan disiplin. Bagi komponen pengajaran dan
pembelajaran, saya menitikberatkan pendekatan, kaedah, strategi dan rancangan pengajaran.
Bagi komponen hubungan guru dan murid, saya menitikberatkan hubungan guru dengan
murid agar masalah tingkah laku dapat diatasi dalam bilik darjah dan luar bilik darjah.
Manakala, bagi komponen pengurusan disiplin, saya menggunakan beberapa model
pengurusan disiplin dan kemahiran asas bimbingan kaunseling dalam mengatasi tingkah laku
murid.

4.0 MODEL-MODEL PENGURUSAN DISIPLIN SERTA KEMAHIRAN BIMBINGAN DAN


KAUNSELING DIGUNAKAN DALAM MERANGKA PELAN PENGURUSAN BILIK DARJAH

Pengurusan bilik darjah menurut Mok Soong Sang (2011), merujuk kepada satu proses
pembentukan satu alam pembelajaran yang kondusif untuk pelaksanaan pengajaran dan
pembelajaran (PdP) serta usaha-usaha untuk mengekalkannya. Suasana pembelajaran yang
kondusif sangat penting agar objektif PdP dapat dicapai dan murid berasa selesa dan
bermotivasi untuk belajar. Berdasarkan kajian terhadap responden, saya telah menggunakan
model Modifikasi Tingkah Laku Skinner bagi mengatasi masalah terhadap responden. Model
ini menjelaskan bahawa sesuatu tingkah laku diikuti dengan akibat yang berbentuk ganjaran
dan peneguhan. Contoh peneguhan positif: memberi pujian, hadiah dan lain-lain. Manakala
peneguhan negatif ialah keadaan apabila murid bertingkah laku wajar dan boleh diterima, ia
tidak akan didenda. Skinner berpendapat, denda hanya akan berkesan pada jangka masa
singkat. (Modul Pembelajaran EDUP3104)

Peneguhan positif berlaku apabila rangsangan diberikan seperti pujian, hadiah, markah
merit dan sebagainya. Peneguhan ini bertujuan meningkatkan tingkah laku murid yang diingini,
manakala peneguhan negatif berlaku apabila rangsangan seperti majalah, komik, dikeluarkan
supaya murid-murid kembali menunjukkan tingkah laku yang diingini. (Haliza Hamzah, Joy
Nesamalar Samuel, 2016) sebagai contoh, responden saya menunjukkan tingkah laku yang
baik, seperti tidak membuat bising, melakukan kerja rumah dengan baik dan menyiapkan
tugasan tepat masanya akan diberikan ganjaran (peneguhan positif). Ganjaran saya biasanya
berbentuk pujian atau meminta rakan-rakannya bertepuk tangan atas usaha baik responden.
Sekali sekala saya akan memberi responden hadiah atas usahanya yang baik.

Manakala untuk peneguhan negatif, dalam situasi responden saya yang sedang
mengajar manakala responden leka membuat kerja sekolah lain di belakang. Oleh itu, saya
akan bertindak merampas buku tersebut dengan harapan supaya responden kembali
menumpukan perhatian kepada PdP. Buku yang dirampas bertindak sebagai rangsangan
yang tidak diingini. Apabila rangsangan dikeluarkan, guru dapat meningkatkan kembali tingkah
laku murid yang diingini, iaitu memberikan perhatian semasa guru sedang mengajar. Saya
telah menggunakan model ini terhadap responden saya untuk beberapa minggu PdP. Saya
dapati beliau telah mula berubah ke arah positif dan mula memberi tumpuan semasa proses
pengajaran dan pembelajaran. Apabila saya bertanya kepada guru lain juga, mereka
mengunakan pendekatan ini untuk menarik perhatian responden terhadap proses pengajaran
dan pembelajaran.

Bimbingan dan kaunseling merupakan salah satu cara intervensi yang berkesan untuk
membantu murid-murid semasa menghadapi kesulitan dan masalah (Abdul Ghani Sulaiman
(2003). Bimbingan merupakan suatu proses yang berlanjutan dan berterusan. Cara ini
dirancang dan digunakan oleh guru untuk membantu murid-murid mengetahui dan menyedari
tentang kebolehan dan kelemahan diri serta membantu mereka membuat penyesuaian
dengan persekitaran. Melalui bimbingan, potensi murid-murid akan dikembangkan secara
maksimum supaya murid-murid memperoleh keharmonian dan kejayaan dalam kehidupannya
(Haliza Hamzah, Joy Nesamalar Samuel, 2016).

Antara kemahiran-kemahiran asas bimbingan dan kaunseling yang saya gunakan dalam
kajian kes ini ialah, kemahiran membina hubungan. Kemahiran membina perhubungan ini
termasuklah memberi perangsang kepada responden supaya sentiasa tenang dan berfikiran
positif. Saya selaku guru mesti berusaha membina suasana persekitaran yang kondusif lagi
meyakinkan dan menunjukkan kemesraan kepada responden. Sesuatu perhubungan yang
baik boleh diperhatikan melalui beberapa perlakuan iaitu kemesraan perhubungan dalam
pertemuan, murid berkongsi masalah tanpa rasa ragu dan murid melahirkan kepercayaan
disebabkan penerimaan tanpa syarat oleh guru. Dalam kemahiran kaunseling ini, saya telah
menjalinkan hubungan yang baik bersama responden agar responden tidak rasa malu dan
kekok untuk berkongsi cerita dan masalah. Setiap hari, saya akan memanggil responden untuk
bertanya khabarnya dan sentiasa menyoal serta memanggil responden untuk menjawab
soalan semasa dalam proses PdP.

Selain itu, saya menggunakan kemahiran berempati. Empati bermaksud “memahami


orang lain melalui kendiri dalaman orang itu yang dijadikan sebagai asas bagi memahaminya
dan untuk berkomunikasi dengannya” (Kurpius, 1986). Sebagai guru, kemahiran berempati
amat penting untuk menunjukkan bahawa guru itu betul-betul berada di sisi murid. Maksudnya
murid tersebut boleh merasakan bahawa dia betul-betul sedang dibantu dari segi jasmani,
emosi, perasaan serta mental ketika itu. Hal ini kerana, responden saya merupakan seorang
yang kurang keyakinan diri. Maka, saya menggunakan kemahiran kaunseling ini bagi
menunjukkan bahawa saya mengambil berat terhadap responden. Sebelum ini, saya akan
sentiasa menegur dan bertanyakan khabar responden. Tindakan tersebut menarik minat
responden terhadap tindakan saya tersebut. Biasanya kerja sekolah responden, beliau lambat
untuk menghantarnya. Namun, kali ini, beliau lah orang pertama yang menghantar tugasan
dan meminta saya untuk menyemak tugasan tersebut.

5.0 PENUTUP

Tingkah laku bermasalah boleh menyebabkan ketidakseimbangan di antara emosi dan


aktiviti kehidupan seharian individu. Tingkah laku bermasalah juga memberi kesan yang buruk
dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Guru memainkan peranan utama
membentuk keperibadian tingkah laku murid-murid semasa berada di sekolah. Selain daripada
tanggungjawab ibu bapa, guru adalah orang yang penting dalam menghasilkan insan yang
sempurna dalam pendidikan. Dengan bertambahnya bilangan anggota masyarakat yang
berpendidikan moden, sikap yang tidak mementingkan kanak-kanak ini telah beransur
berubah.

Sebenarnya kadangkala keadaan dan suasana sekolah juga menimbulkan keadaan


yang tidak selesa dan menyebabkan tingkah laku bermasalah. Kelas yang terlalu ramai, alat
kelengkapan yang tidak mencukupi, suasana di dalam kelas yang tidak menarik, alat bantu
mengajar yang tidak cukup, gangguan dari luar dan keadaan sekolah yang tidak sempurna
dari segi kemudahan asas. Kesemuanya ini boleh menimbulkan kegelisahan dan menganggu
kelancaran perjalanan kelas. Oleh itu, pendapat-pendapat dan kajian dari beberapa tokoh
terkenal boleh dijadikan sebagai bahan rujukan oleh pihak sekolah bagi merancang strategi-
strategi untuk meningkatkan lagi keberkesanan mengatasi tingkah laku bermasalah dan
prestasi murid-murid dan akademik di sekolah.
RUJUKAN

Haliza Hamzah, Joy Nesamal Samuel. 2016. Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Shah
Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd

Lahey, B. B. 2009. Psychology: An introduction (10th Ed.). New York, NY: McGraw-Hill.

Modul Pembelajaran EDUP3104

Mohd Fadli, Mohd Hanafi Mohd Yasin dan Mohd Moktar Tahar. 2016. Penggunaan Teknik
Peneguhan bagi Mengatasi Masalah Tingkah Laku Hiperaktif. International Conference
on Education in Sountheast Asia Region 6th Series 2016. Universiti Kebangsaan
Malaysia, Malaysia.

Mok Soon Sang. 2011. Pedagogi Untuk Pengajaran Dan Pembelajaran. Puchong: Penerbitan
Multimedia Sdn Bhd.

Mok Soon Sang. 2011. Psikologi Pendidikan (Edisi Kedua). Puchong: Penerbit Multimedia
Sdn. Bhd.

You might also like