You are on page 1of 5

PENGURUSAN BILIK DARJAH DAN TINGKAH LAKU

1.0 PENGENALAN PENGURUSAN BILIK DARJAH DAN TINGKAH LAKU

Bilik darjah merupakan medan utama untuk setiap guru berpencak dalam menyampaikan
ilmu dan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran. Setiap guru perlulah mempunyai
kemahiran dalam pengurusan bilik darjah dan tingkah laku pelajar. Hal ini dikatakan demikian
kerana pengawasan bilik darjah yang baik dapat memberikan impak positif kepada pelajar dan
guru sekaligus objektif pengajaran dan pembelajaran dapat dicapai. Selain itu, pengurusan bilik
darjah yang baik juga dapat menyediakan suasana yang kondusif kepada pelajar untuk belajar
dan membantu guru dalam menyampaikan kurikulum. Oleh itu, setiap guru perlu menguasai
teknik dan kaedah pengurusan bilik darjah dan tingkah laku sebelum memulakan sesi
pengajaran dan pembelajaran.

Menurut Mok Soon (2011), tingkah laku bermasalah merupakan tingkah laku atau
perbuatan pelajar yang boleh mengganggu kelancaran dan keberkesanan aktiviti pengajaran
dan pembelajaran, secara khususnya di dalam bilik darjah. Dalam nada yang berbeza, tingkah
laku yang bermasalah boleh menyebabkan sesi pengajaran dan pembelajaran tergendala atau
gagal mencapai objektifnya. Antara contoh tingkah laku bermasalah yang berlaku dalam bilik
darjah adalah murid-murid berkelakuan hiperaktif, bimbang, murung, mengsingkan diri,
mengganggu rakan, buli, dan sebagainya. Hal ini boleh menjejaskan konsentrasi guru dan
pelajar lain dalam bilik darjah. Tingkah laku bermasalah ini terbahagi kepada tiga jenis iaitu
tingkah laku bergantung, tingkah laku disruptif dan tingkah laku distruktif.

Mohd Hasani & Mohamad Johdi (2009) menyatakan bahawa ‘pengurusan bilik darjah
merupakan kemahiran yang agak sukar dikuasai walaupun banyak teori dan teknik yang telah
dipelajari oleh guru pelatih di universiti mahupun di institut-institut perguruan. Sekiranya
kemahiran ini dapat dikuasai dan dihayati oleh guru pelatih, proses pengajaran dan
pembelajaran di bilik darjah akan menjadi pengalaman yang menyeronokkan.’ Oleh itu,
pengurusan bilik darjah dan kawalan tingkah laku pelajar di dalam kelas berkait rapat dengan
ilmu dan pengalaman seseorang guru dalam mengurus dan mengawal pelajar.

1
2.0 MODEL-MODEL PENGURUSAN BILIK DARJAH
Dalam mengendalikan disiplin murid, terdapat beberapa model yang dapat dipraktikkan
oleh guru dalam bilik darjah antaranya ialah model disiplin asertif, model akibat logikal,
model terapi realiti, model pengurusan kelompok dan model modifikasi tingkah laku. Setiap
model ini mempunyai cara yang tersendiri dan berbeza antara satu sama lain.

Menurut Chong (2009), Model Disiplin Asertif Canter telah dipelopori oleh Lee and
Marlene Canter tahun 1976. Model ini melatih murid-murid untuk menerima konsekuen bagi
tindakan mereka. Mengikut sistem asertif ini guru hendaklah merangka satu sistem ganjaran
dan dendaan yang boleh dijadikan rujukan murid-murid mengenai tingkahlaku yang baik
dan buruk. Konsep utama model disiplin asertif ini adalah kedua-dua ganjaran dan hukuman
adalah berkesan, guru dan murid mempunyai hak masing-masing, guru perlu mewujudkan
persekitaran pembelajaran yang optimum, guru harus menggunakan satu hierarki disiplin
yang mengandungi kesan yang bersesuaian mengikut tahun persekolahan, dan guru perlu
bersifat asertif, tidak asertif atau agresif.

Model akibat logikal Dreikurs berasaskan 4 premis asas teori sosial Adler iaitu, manusia
adalah makhluk sosial dan motivasi asas mereka ialah ingin dimiliki atau menjadi ahli
sesuatu kelompok, kesemua tingkah laku adalah bersebab, manusia adalah organisma
yang berupaya membuat keputusan dan realiti dipersepsikan oleh manusia. Fokus utama
Dreikurs ialah mewujudkan suasana bilik darjah yang bersifat demokratik dan menyumbang
kepada pengurusan disiplin yang berkesan.

William Glasser merupakan pengasas kepada terapi realiti. Menurut Glasser, guru
berfungsi sebagai fasilitator yang mengutamakan perkembangan murid berkaitan
penyelesaian masalah dan kemahiran berfikir secara kritikal. Menurut Choong (2009),
Glasser telah menggariskan pelan pengurusan bilik darjah yang boleh digunakan oleh guru
bagi mengurus kelas dengan baik. Antaranya ialah guru hendaklah melapangkan masa
untuk mengenal pasti punca tingkah laku murid yang bermasalah. Seterusnya, guru perlu
mempertimbangkan cara penyelesaian. Salah laku boleh dicegah melalui dua cara iaitu
dengan memberikan latihan yang menarik dan yang kedua dengan membina hubungan
positif dengan murid. Selain itu, cara penyoalan perlu dipertingkatkan disamping
mengadakan perbincangan dengan murid-murid. Selanjutnya, murid dikehendaki
membentuk satu pelan yang mengandungi tindakan positif dengan bantuan guru. Murid
juga boleh diasingkan dengan menggunakan time-out atau dihantar ke satu lokasi selesa

2
dibawah seliaan seseorang seperti kaunselor. Ibu bapa akan dihubungi untuk berpindah
sekolah sekiranya murid berada diluar kawalan. Malah, bagi kes yang serius, murid akan
dirujuk kepada pihak yang berkuasa.

Menurut Choong (2009), Jacob Kounin ialah seorang ahli teoris dalam bidang
pengurusan bilik darjah yang sangat terkenal dengan ‘Konsep Riak’ yang mana apabila
seorang murid akur kepada arahan, murid lain juga akan ikut bersama. Menurut Haliza
Hamzah dan Samuel, J.N. (2009), pengawasan dan penyeliaan guru yang teliti adalah
sangat penting didalam bilik darjah. Maka, Kounin telah mengesyorkan lima teknik
pengurusan bilik darjah yang boleh diaplikasikan oleh guru bagi mengawal disiplin murid.
Lima teknik tersebut ialah merangkumi semua, pertindihan, momentum, kelancaran dan
kepekaan kelompok.

Manakala, model modifikasi tingkah laku oleh B.F. Skinner pula menekankan prinsip
peneguhan yang menjurus kepada elemen-elemen luaran untuk mempengaruhi tingkah
laku murid. Peneguhan tersebut menjadi ransangan untuk meningkatkan tingkah laku yang
diingini. Terdapat dua jenis peneguhan iaitu peneguhan positif dan peneguhan negatif.
Peneguhan positif atau negatif digunakan untuk meneguhkan atau meningkatkan tingkah
laku yang diingini. Sebelum guru mengaplikasi model ini, guru perlulah menganalisa tingkah
laku murid dalam bilik darjah terlebih dahulu, memikirkan beberapa tingkah laku yang
diingini, mengkaji tingkah laku yang telah ditunjukkan, membuat pelan modifikasi tingkah
laku, menyenaraikan tingkah laku yang memerlukan perhatian yang khusus dan
mengenalpasti peraturan, peneguhan dan akibat yang akan digunakan.

3.0 ANALISIS KAJIAN KES

Berdasarkan kajian kes yang telah dilampirkan, terdapat beberapa usaha yang boleh
dilaksanakan oleh guru untuk mengawal bilik darjah dan tingkah laku kelas. Antaranya ialah
memupuk sikap saling membantu, menaikkan semangat dan memberikan motivasi kepada
remaja, memperbaiki kendiri yang lemah, menggunakan ICT, kawalan emosi,
mengemukakan soalan sebelum proses pengajaran dan pembelajaran, mengembangkan
minat secara cemerlang, menggalakkan pelajar mengemukakan soalan, dan mengenalpasti
perbezaan antara remaja samada dari sudut kesediaan emosi, kesediaan kognitif dan
kesediaan psikomotor.

3
Usaha-usaha yang dicadangkan di dalam kajian kes tersebut termasuk dalam model-
model pengurusan disiplin dan tingkah laku. Menaikkan semangat dengan memberikan
motivasi dan galakan kepada remaja adalah selari dengan saranan oleh Glasser supaya
guru membina hubungan positif dengan murid. Selain itu, memperbaiki kendiri yang lemah,
kawalan emosi dan mengenalpasti perbezaan dalam kalangan pelajar dari sudut kesediaan
emosi, kesediaan kognitif dan kesediaan psikomotor juga selari dengan idea Glasser iaitu
setiap individu berupaya untuk berubah dan hidup secara berkesan sekiranya diberikan
bimbingan dan sokongan.

Tambahan pula, Model Pengurusan Kelompok oleh Kounin menyokong kajian kes yang
menggariskan kelancaran dalam bilik darjah dengan menggunakan teknologi ICT dalam
proses pengajaran dan pembelajaran. Manakala, guru menggalakkan murid untuk
menanyakan soalan sebelum proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung dan
menggalakkan pelajar mengemukakan soalan adalah selari dengan teknik kepekaan
kelompok yang digagaskan oleh Kounin.

B.F. Skinner telah menggagaskan Modul Modifikasi Tingkah Laku. Antara cadangan
daripada kajian kes yang bertepatan dengan modul daripada B.F. Skinner ialah memupuk
sikap saling membantu dan mengembangkan minat secara cemerlang. B.F. Skinner
percaya bahawa tingkah laku boleh diajar, diubah serta diubah suai. Pendek kata, ibu bapa
dan guru boleh mengajar tingkah laku baru serta mengubah suai tingkah laku yang sedia
ada.

4.0 KEMAHIRAN GURU DALAM PENGURUSAN BILIK DARJAH

Setiap guru mempunyai cara dan kemahiran tersendiri dalam menguruskan pelajar dan bilik
darjah. Antara cara efektif yang disarankan oleh Mohd Hasani & Mohamad Johdi (2009) ialah
guru perlu memberikan satu gambaran yang positif kepada pelajar bermula hari pertama
menjejakkan kaki ke dalam bilik darjah. Hal ini demikian kerana pelajar mula menilai seseorang
guru ketika pertama kali bertemu. Perkara ini disokong oleh Kronowitz (2004) yang mengatakan
bahawa penampilan yang kemas dan profesional pada hari pertama seorang guru pelatih
melangkahkan kaki ke sekolah akan membantu guru tersebut untuk lebih berkeyakinan untuk
berhadapan dengan realiti di sekolah. Pengawasan dan penyeliaan kelas akan berjalan lebih

4
lancar apabila pelajar mempunyai penilaian yang baik terhadap guru pada awalnya. Oleh itu,
guru-guru perlulah bersedia dan merancang dengan sebaiknya aktiviti bilik darjah pada hari
pertama persekolahan.

Selain itu, guru-guru juga disarankan untuk membina teknik komunikasi yang berkesan
dengan murid. Sebagai contoh, murid akan merasakan lebih diberi perhatian apabila guru dapat
mengingat nama murid-murid yang diajar. Hal ini dapat mengeratkan hubungan guru dan
pelajar sekaligus dapat membantu meningkatkan pengawalan bilik darjah yang berkesan.
Kaedah ini juga akan memudahkan guru untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan
pelajarnya ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlaku ataupun ketika berurusan di luar
bilik darjah. Pelajar akan berasa bangga dan dihargai apabila mereka dipanggil oleh guru.
Perkara ini amat jelas kepentingannya dan turut ditegaskan oleh Bartlett (2004), beliau
menyatakan seorang guru perlu mengingati nama dan mengetahui latar belakang pelajar-
pelajarnya. Secara tidak langsung akan menunjukkan guru itu mengambil berat terhadap
kesemua pelajarnya di bilik darjah. Pelajar akan merasakan hubungan yang lebih rapat dan
mesra dengan guru.

You might also like