You are on page 1of 14

PENDISIPLINAN PELAJAR DI BILIK DARJAH

Oleh

Abd. Rahman Hj.Abd.Aziz

Pengenalan

Pada dasarnya disiplin ialah peraturan-peraturan yang dipersetujui oleh sesuatu


kelompok masyarakat bagi mewujudkan tingkah laku yang baik demi
kesempurnaan kehidupan masyarakat tersebut. Disiplin juga berkaitan dengan
kesanggupan seseorang individu untuk menghormati dan mematuhi undang-
undang. Pada asasnya, ciri-ciri yang terkandung dalam disiplin ialah
kesanggupan kesanggupan, menghormati, mematuhi, tata tertib, kesusilaan,
kesopanan , dan berakhlak mulia ( Slavin, 1994)

Adakah disiplin bersangkutan dengan mencegah salah laku atau dengan


pelaksanaan hukuman ke atas kesalahan tersebut?. Tendensinya dalam
amalan ialah mengarah kepada kedua-duanya sekali iaitu pencegahan dan
perawatan. Dalam kata lain disiplin mirip kepada “ latihan/ tindakan yang
dijangka untuk menghasilkan tingkah laku yang dihasratkan atau yang mahu
dibentuk “ atau boleh juga diandaikan sebagai “ tingkah laku terkawal yang
dibentuk melalui latihan/amalan “. Lantaran ia berjalan seiring dengan tindakan
atau hukuman, tindakan disiplin itu lebih mirip kepada “ hukuman untuk
membentuk dan membaiki kesalahan serta memberi keinsafan”.

Dalam lain perkataan disipilin paling mudah dinyatakan sebagai urusan


menguatkuasakan peraturan asas disekolah/ bilik darjah bagi menjana
pengajaran dan pembelajaran serta mengurangkan masalah serta gangguan.

Walau apapun definisi yang dinyatakan dan dihurai mengenai disiplin, Kathleen
Cotton menyimpulkannya sebagai “ an ounce of prevention is worth a puond of
cure “.

Saban masa pihak sekolah, para pelajar ,ibu bapa dan masyarakat terpanggil
dengan permasalahan disiplin dan salah laku di sekolah seperti isu dadah,
melawan guru, pergaduhan, jenayah, merosakkan harta benda sekolah dan
pelbagai lagi. Kesan daripada hal ini boleh mempengaruhi iklim pembelajaran
dan keharmonian di sekolah. Bab ini akan membincangkan tentang isu-isu dan
masalah disiplin di sekolah dan beberapa cadangan tatacara bagi membantu
guru menangani masalah tersebut di sekolah, khususnya dalam pengajaran di
bilik darjah.

Kepentingan Disiplin Dalam Bilik Darjah

1. Mewujudkan suasana tenang dan kondusif dalam bilik darjah agar proses
Pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan licin, berkesan
dan penuh ceria.

2. Mewujudkan suasana dan hubungan guru- pelajar yang mesra dalam


Bilk darjah.

3. Para pelajar akan menjadi lebih tekun dan produktif jika mereka
Berdisiplin.

4. Masa dapat dijimatkan kerana segala tugasan dapat disiapkan dalam


Tempoh masa yang lebih singkat.

5. Kemalangan dapat dikurangkan dan keselamatan pelajar dapat


ditingkatkan jika pelajar mematuhi peraturan sekolah.

6. Melatih pelajar dengan nilai-nilai murni seperti kepatuhan, tanggungjawab,


Kasih sayang, bekerjasama, kebersihan dan hormat-menghormati.

7. Murid-murid dapat membesar sebagai warganegara yang berguna,


Berdisiplin dan mulia.

Mengapa Masalah Disiplin muncul ?

Pelajar mempunyai masalah luar biasa dalam usahanya mengekalkan


perhubungan baik dengan rakannya dan individu lain. Sharifah ( 1985)
menyatakan terdapat dalam kategori ini ialah pelajar yang melakukan
tindakan untuk menarik perhatian rakan lain supaya ia dapat diterima oleh
kumpulan tersebut. Terdapat juga kelompok pelajar yang merasa rendah diri,
merasakan dirinya serba kekurangan berbanding dengan rakan-rakan lain dalam
kumpulannya dan menghadapi masalah emosi menyebabkan ia menyisihkan
dirin daripada membuat interaksi sosial dengan rakan sebaya. Dalam konteks
ini. Mohammad Zohir dan Hazri ( 2003) menjelaskan lagi bahawa masalah
disiplin di dalam kelas yang berkaitan dengan pelajar wujud kerana gangguan
emosi sehingga menyebabkan pelajar tidak dapat memberi perhatian, sikap
nakal dan suka mengganggu rakan, suka menonjolkan diri atau melakukan
sesuatu untuk menarik perhatian, tidak berminat untuk belajar, dan tahap
intelektual yang rendah.
Persekitaran fizikal sekolah/ kelas . Mohammad Zohir dan Hazri (2003)
menjelaskan keadaan bilik darjah yang tidak selesa ( panas, gangguan bunyi
bising dari luar ) dan susun atur perabot serta alatan yang tidak kemas juga
boleh menyumbang kepada masalah gangguan disiplin semasa pengajaran dan
pembelajaran dalam bilik darjah.

Keadaan tersebut bertambah berat jika persekitaran sekolah atau bilik darjah
yang malap, suram, kurang bersih dan peralatan seperti kerusi serta,meja tidak
diurus dengan baik. Begitu juga jika keadaan yang panas, pencahayaan yang
tidak mencukupi dan peredaran udara yang tidak sempurna dalam bilik darjah
akan membuatkan para pelajar menjadi resah, tidak selesa dan kehilangan
tumpuan. Keadaan ini akan mendorong para pelajar melakukan tindakan
melanggar peraturan seperti bercakap-cakap, bising, berjalan- jalan dalam bilik
darjah dan mengusik kawan. Dalam hal ini guru hendaklah prihatin bagi mencari
jalan bagi memperindahkan suasana dalam bilk darjah . Hal ini adalah penting
kerana bilik darjah yang ceria, cantik, kemas dan selesa akan membantu
menyediakan iklim pembelajaran yang sempurna dan kondusif kepada para
pelajar.

Cara pentadbiran sekolah juga memainkan peranan yang penting dalam


masalah disiplin. Hal ini berkaitan dengan semangat kerjasama antara pihak
pengurusan sekolah seperti pengetua/ guru besar dengan guru-guru di bawah
kawalan mereka. Seharusnya terdapat kerjasama yang bersifat timbal-balas
antara pengetua dengan guru-guru dan bukan bersifat sebelah pihak. Dalam
konteks ini perlu difahami bahawa semua guru adalah pengurus disiplin di
sekolah. Tidak kira sama ada guru disiplin sendiri, guru tingkatan, guru agama,
guru mata pelajaran atau guru kokurikulum. Mereka semua mempunyai
tanggungjawab dan amanah yang sama dalam menangani masalah disiplin,
sama ada yang ringan mahupun yang berat.Pengetua, sebagai teraju utama di
sekolah.seharusnya menjadi pengurus besar dalam pelaksanaan disiplin di
sekolah. Walaupun pada amalannya, masalah disiplin( salah laku) yang ringan
ditangani dan diselesaikan di peringkat guru-guru, namun semua masalah
disiplin utama/ kategori yang dianggap berat haruslah dimaklumkan kepada
pengetua/guru besar. Pengetua/ guru besar pula perlu menyokong atau
membantu guru-guru sebagaimana yang sepatutnya bagi menangani masalah
disiplin secara kolektif. Faktor menangani masalah disiplin di sekolah akan
menjadi sukar jika tidak wujud semangat kerjasama ini bagi kedua-dua belah
pihak.

Sungguhpun begitu, masalah disiplin di sekolah atau di bilik darjah menjadi sukar
ditangani atau dikawal jika prosedur pelaksanaanya tidak konsisten. Menurut
Sharifah, peraturan- peraturan dan cara melaksanakannya, sama ada terlalu
keras, atau terlalu lembut akan menimbulkan masalah disiplin juga. Pentadbir
sekolah ( pengetua/ guru besar) yang sentiasa mengenakan deraan fizikal, lebih-
lebih lagi kepada murid peringkat menengah akan menghadapi masalah tingkah
laku dan melawan pula. Justru, peraturan sekolah harus dilaksanakan secara
adil dan konsisten. Beberapa pendekatan seperti nasihat, memujuk dan
kaunseling individu atau kelompok boleh dilaksanakan sebagai alternatif kepada
deraan fizikal, sesuai dengan bentuk kes dan keadaan.

Masalah guru juga dikesan boleh menyumbang kepada masalah disiplin pelajar
di sekolah/ bilik darjah. Umpamanya yang berkaitan dengan pengajaran guru.
Hal ini berlaku apabila guru kurang bersedia untuk melaksanakan
pengajarannya. Keadaan menjadi lebih gawat apabila guru kurang pengetahuan
tentang tajuk yang hendak disampaikan menyebabkan pengajaran guru menjadi
tidak lancar. Bahan atau sumber yang digunakan oleh guru pula tidak pelbagai
serta tidak menarik menyebabkan pelajar menjadi jemu. Ketiadaan kepelbagaian
rangsangan dalam pengajaran guru atau pengajaran yang bersifat stereotaip
mendorong guru membuat penerangan/ demonstrasi yang tidak jelas dan
mengelirukan pelajar. Guru juga sering membawa perkara yang tidak relevan
dengan topik yang dibincangkan dan kurang berusaha untuk menarik perhatian
pelajar. Pengajaran guru yang lebih bersifat merujuk nota semasa memberi
penerangan akan membuatkan pelajar kurang yakin dengan pengajaran dan
kebolehan guru berkenaan ( Mohammad Zohir dan Hazri,2003) . Akibatnya
pelajar merasa jemu, jelek ,kurang dirangsang dan sebagai pelepasan daripada
segala perasaan terhadap pengajaran guru itu diterjemahkan dalam bentuk
peletusan tindakan dan salah laku seperti tidak memberi perhatian, bising dan
berkhayal.

Dalam kategori yang sama, sahsiah guru juga memainkan peranan dalam
mempengaruhi tingkah laku pelajar. Hal ini menjadi penting kerana perhubungan
yang baik antara guru- murid – ibu bapa boleh membantu dan mengawal bentuk
tingkah laku atau disiplin para pelajar di sekolah. Dalam hal ini, sikap guru
terhadap profesionnya, terhadap rakan sekerjanya, dan terhadap pelajar-
pelajarnya juga memainkan peranan penting terhadap tingkah laku pelajar. Hal
ini berlaku kerana ada guru yang prihatin dan baik terhadap pelajar di samping
ada yang agak keras serta tidak meyenangkan. Keadaan ini akan mewujudkan
suasana atau iklim pembelajaran yang berbeza-beza antara guru dan pelajar.
Oleh kerana kejayaan dalam sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran banyak
bergantung kepada perhubungan individu, atas dasar faham –memahami dan
saling selesa antara guru-murid , maka amat penting bagi guru menanamkan
sifat-sifat peribadi yang menarik agar ia menjadi model atau idola kepada para
pelajar. Asas hubungan yang baik dan kepercayaan murid kepada guru biasanya
banyak membantu menyelesaikan masalah pelajar pada peringkat awal sebelum
ia menjadi kudis yang sukar diubati.

Para guru juga perlu menjalinkan kerjasama dan hubungan yang baik dengan
ibu bapa pelajar-pelajarnya. Memanglah pada dasarnya agak sukar
merealisasikan perkara ini, namun terdapat beberapa situasi yang membolehkan
perkara ini dilaksanakan. Umpamanya melalui mesyuarat-mesyuarat Persatuan
Ibu Bapa dan Guru, aktiviti gotong-royong di sekolah, dan kehadiran ibu bapa
untuk menandatangani buku kemajuan para pelajar di sekolah . Melalui
gelanggang ini masalah yang tidak dapat diselesaikan di sekolah boleh dirujuk
dan dicari jalan penyelesaiannya bersama atas dasar ‘ menang- menang’. Para
guru gembira kerana dapat membantu menyelesaikan masalah disiplin para
pelajarnya, ibu bapa lega kerana dapat bersama-sama mengetahui masalah
sebenar anak-anak mereka dan membantu guru menanganinya. Yang lebih
beruntung di sini ialah para pelajar sendiri kerana dapat menyelesaikan segala
kekusutan, kekeliruan dan merasai bahawa diri mereka dikasihi serta dihargai.

Masalah keluarga juga sering menjadi punca masalah disiplin di sekolah. Dalam
kategori ini termasuklah ibu bapa yang terlalu garang, selalu memukul anak,
tidak mendapat perhatian serta belaian kasih sayang, dan mempunyai
ekspektasi pencapaian akademik anak yang terlalu tinggi sehingga
membebankan pelajar berkenaan ( Sharifah,1985). Situasi sebegini sering
melatakkan anak-anak dalan keadaan sedih, keliru dan mengalami tekanan
emosi . Anak-anak ini akan membawa masalahnya ke sekolah dan
melahirkannya dalam bentuk pelepasan emosi melalui tingkah laku yang negatif
untuk menarik perhatian guru dan rakan-rakan. Dalam aspek ini, guru yang
prihatin perlu menanganinya dengan bijaksana - melalui nasihat dan tindakan –
agar palajar berkenaan merasa kembali nikmat untuk dikasihi dan nikmat untuk
menuntut ilmu untuk kejayaan diri.

Secara Umumnya, disiplin sekolah boleh dikategorikan kepada 3 kategori:

1. Berkelakuan Negatif

Perkara yang dilakukan digolongkan dalam kategori ini ialah tidak


menghormati guru, tidak mematuhi peraturan sekolah, membuli, menyettai
kumpulan seperti kumpulan ‘black metal’, dan merosakkan harta benda
sekolah.

2. Membolos

Melibatkan kelakuan yang melepaskan diri daripada peraturan dan


amalan sedia ada seperti tidak mematuhi peraturan sekolah, ponteng
sekolah atau ponteng kelas serta berkhayal.

3. Jenayah

Ketegori jenayah contohnya melibatkan gansterisme, mencuri, peras ugut,


membawa VCD lucah ke sekolah dan membawa pil ekstasi ke sekolah.
Bentuk Pencegahan Berasaskan Hukuman

Tujuan bentuk hukuman bagi kesalahan-kesalahan disiplin di sekolah


bersifat mendidik dan mencegah. Antara bentuk hukuman yang
dilaksanakan di sekolah ialah;

1. Amaran : bagi kesalahan kecil

2. Dendaan : dalam bentuk kewangan dan guna tenaga yang


bersesuaian dengan kesalahan dan keupayaan
kewangan pelajar. Tujuanya supaya pelajar berkenaan
sedar akan tanggungjawab terhadap diri dan hak
orang lain di dalam komunitinya.

3. Merotan : Hukuman merotan perlu dilaksanakan mengikut


prosedur yang betul dan telah ditentukan . Pada
amalannya hukuman merotan perlu mematuhi
Peraturan-peraturan Pelajaran ( Disiplin Sekolah).
Antaranya hukuman ini boleh dilaksanakan oleh
pengetua/ guru besar atau seorang guru berdaftar
yang telah diberi kuasa oleh pengetua/ guru besar.
Hukuman merotan boleh dikenakan kecuali terhadap
pelajar-pelajar perempuan. Merotan hanya dibolehkan
pada bahagian tapak tangan atau di punggung yang
dilapik pakaian. Selesai sahaja hukuman merotan,guru
perlu membuat catatan dalam buku rekod khas. Butiran
yang perlu dicatat termasuklah tarikh hukuman
dijalankan, sebab-sebab hukuman merotan, jumlah
pukulan, bahagian anggota yang dirotan serta tanda
tangan pengetua/guru besar dan seorang guru
sebagai saksi hukuman yang dijalankan.

4. Penggantungan : Hukuman ini diambil terhadap pelajar dan bersifat


sementara.Prosedur hukuman ini ialah murid terlibat
dilarang daripada memasuki premis sekolah dan
menggunakan segala kemudahan sekolah , dalam
tempoh-tempoh tertentu yang telah ditetapkan.
Dalam hubungan ini, ibu bapa pelajar perlu dimaklumi
supaya perkara ini dalam pengetahuan , perhatian dan
tindakan mereka.

5. Pembuangan : Hukuman ini dilaksanakan sebagai tindakan terakhir


oleh pihak sekolah, selepas mengkaji dan mengambil
perkiraaan dari pelbagai sudut dan keadaan. Biasanya
hukuman ini melibatkan salah laku yang berat seperti;
a. merosakkan harta benda sekolah
b. mengancam dan membahayakan pelajar-pelajar lain.
c. Membawa senjata ke sekolah
d. Menghisap rokok/ dadah/ minuman yang memabukkan
e. Ahli kumpulan haram
f. Mencuri
g. Melawan guru dan pihak pengurusan sekolah.

Panduan Meningkatkan Kualiti Disiplin di Sekolah

Terdapat beberapa cadangan dan tatacara bagi meningkatkan mutu pengurusan


disiplin pada peringkat sekolah dan peringkat bilik darjah. Antara lainnya ialah;

Pada Peringkat Sekolah

1. Libatkan insititusi sekolah dan masyarakat umum untuk mengukuh dan


mengekalkan disiplin dan tingkah laku mulia di sekolah melalui aktiviti-aktiviti/
acara-acara yang ditaja oleh sekolah/masyarakat.

2. Kukuhkan dan hebahkan harapan yang tinggi terhadap tingkah laku pelajar
yang baik seperti yang diharapkan.

3. Melalui maklumat daripada pelajar-pelajar, bina satu tatacara yang jelas


mengenai peraturan serta prosedur disiplin sekolah. Hebahkan perkara ini
kepada semua kaki tangan di sekolah , dan biarkan maklumat ini dikongsi
bersama oleh ibu bapa dan masyarakat setempat.

4. Bertindak secara bijaksana untuk mengenali keperluan dan kehendak para


pelajar sebagai seorang individu dengan memberi perhatian terhadap minat
mereka dalam perancangan dan aktiviti-aktiviti.

5. Bertindak untuk meningkatkan komunikasi dan penglibatan dengan ibu bapa


dan masyarakat setempat melalui penerangan, interaksi gotong- royong, aktiviti
kokorikulum ( sukan/ permainan) dan permesyuaratan.

6. Tingkatkan serta libatkan aktiviti informal setiap hari di sekolah. Ertinya dalam
ruang dan peraturan sekolah, wujudkan juga ruang bagi budi bicara dan interaksi
yang mesra antara pihak sekolah dengan para pelajar. Dalam erti kata lain,
tingkatkan hubungan peribadi yang intim atas dasar hormat-menghormati antara
guru – pelajar.

8. Galakkan guru-guru untuk menangani masalah disiplin ringan di dalam bilik-


bilik darjah melalui kebijaksanaan mereka. Beri kepercayaan kepada guru dalam
masa yang sama, pihak sekolah perlu memberi sokongan dengan keputusan
yang diambil oleh guru-guru, dalam kerangka yang tidak berlawanan dengan
peraturan sekolah.

9. Hargai peranan dan kebolehan guru sebagai pengurus bilik darjah dan
pegawai disiplin dengan penambaikan melalui kursus perkembangan staf dan
aktiviti-aktiviti yang diadakan dari semasa ke semasa.

Pada Peringkat Bilik Darjah

1. Perteguh dan jelaskan harapan terhadap nilai tingkah laku dan disiplin
yang tinggi .

2. Asaskan peraturan dan prosedur yang jelas bagi bilik darjah. Tunjukkan
tatacara peraturan itu perlu dilaksanakan kepada para pelajar. Berilah
ruang masa dan penerangan yang mencukupi bagi menjelaskan
peraturan ini kepada pelajar –pelajar dari latar belakang sekolah rendah
dan yang mempunyai latar belakang keluarga yang agak rendah ( low
-SES). Dalam keadaan itu, sentiasa ingat dan perteguhkan segala
peraturan dari semasa ke semasa.

3. Jelaskan kepada pelajar segala tindakan yang perlu dilaksanakan


terhadap kesalahan dalam disiplin dan salah laku.

4. Laksanakan peraturan bilik darjah seperti yang ditetapkan; secara


konsisten, terutama pada hari-hari pertama persekolahan.

5. Latih pelajar supaya dapat menanam sikap mematuhi disiplin dalam diri
mereka dengan memberi masa mengajar kemahiran memantau dalam diri
pelajar sendiri.

6. Kekalkan kaedah memberi penerangan dengan jelas kepada pelajar dan


pastikan pertukaran antara aktiviti/ kelas dilaksanakan secara lembut dan
tenang.

7. Selalu memantau aktiviti di dalam bilik darjah. Maklumkan kepada pelajar


maklumat mengenai tahap tingkah laku mereka dari semasa ke semasa..

8. Mewujud atau mencipta peluang-peluang kepada pelajar-pelajar cara-


cara pembelajaran berkesan bagi menjamin kejayaan mereka ( terutama
kepada pelajar-pelajar yang bermasalah). Dalam hubungan ini, guru boleh
menggunakan Ujian Sosiometri Moreno untuk mencari dan
menunjukkan perhubungan individu pelajar dalam bilik darjah. Bagi tujuan
ini, pelajar dikehendaki memilih dan menyatakan perkara-perkara berikut
iaitu menulis nama rakan mereka untuk bekerja dalam sesuatu projek,
nama seorang kawan untuk bermain, dan kawan yang akan duduk di
sebelah mereka di dalam bilik darjah.

9. Guru mengenalpasti pelajar-pelajar yang kurang mempunyai daya untuk


membentuk sahsiah kendiri. Guru hendaklah membantu mereka untuk
mengenali diri dan membentuk nilai sahsiah yang tinggi dalam diri.

10. Dalam sesi pembelajaran, galakkan pelajar-pelajar melaksanakan


tugasan mereka melalui kaedah pembelajaran berkumpulan ( cooperative
learning ). Tujuannya supaya pelajar-pelajar belajar mengenali rakan
sendiri, saling bekerjasama, bantu membantu, saling tegur menegur dan
menyerap nilai-nilai yang baik dalam kehidupan bersosial, serta tidak
merasa diri disisihkan.

11. Guru hendaklah mempunyai atau belajar mengadunkan unsur humor


dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Perkara ini dianggap perlu
kerana pembelajaran yang ceria, riang dan selesa akan mengurangkan
tekanan terhadap pelajar dalam bilik darjah.

12. Guru hendaklah memastikan bahawa susun atur kerusi meja serta
perabot di dalam bilik darjah tidak menyesakkan atau mengganggu
pelajar. Dalam konteks ini, Emmer ( 1984) menggariskan bahawa
susunan bilik darjah yang baik serta susunan alatan pengajaran yang
tidak menggangu penglihatan pelajar, mampu mewujudkan suasana
pembelajaran yang berkesan serta mengurangkan gangguan.

13. Guru-guru juga perlu membuat perancangan dan persediaan pengajaran


dengan teliti supaya tersedia aktiviti yang pelbagai, rangsangan, sumber
atau bahan, kaedah yang menarik dan melibatkan pelajar. Guru juga perlu
membuat ‘homework’ tentang isi kandungan yang hendak disampaikan
supaya mahir tentang kandungan tersebut dan lancar ketika mengajar.
Pengabaian hal ini akan menyebabkan pengajaran menjadi hambar,
stereotaip dan menjemukan serta menyebabkan timbulnya gangguan di
kalangan pelajar ( Mohamad Zohir & Hazri, 2003).

Dalam konteks yang sama, Kounin (1970) menyatakan bahawa guru-guru


berperanan menjadi pengurus utama dalam bilik darjah, dihormati dan
karismatik. Melalui pengajaran guru yang baik, padat isi, menyeronokkan,
pelbagai dan ‘kelas yang hidup’, dapat mengurangkan masalah disiplin.
Woolfork dan Brooks (1985) pula menyarankan semasa sesi pengajaran
sedang berlangsung, guru-guru hendaklah menggunakan bahasa isyarat
tanpa suara bagi menegur salah laku ringan pelajar supaya tidak
menggangu tempo (momentum) pengajaran sambil mengelakkan
masalah disiplin. Adalah bijak jika guru-guru memuji tingkah pelajar yang
baik kerana tindakan ini boleh membantu memberi motivasi kepada yang
lain.

Mencegah Masalah Disiplin di Sekolah

1. Apabila timbulnya masalah disiplin, bertindaklah dengan pantas. Jangan


biarkan tindakan salah laku tersebut bertentangan dengan peraturan
sekolah yang sedia ada. Hal ini penting kerana tindakan yang lembab akan
memberikan impresi yang negatif kepada pelajar lain mengenai
kemampuan serta konsistensi pihak sekolah menangani masalah disiplin
yang timbul. Semua guru dan kaki tangan sekolah adalah guru disiplin.
Tugas ini bukan hanya terbatas kepada guru disiplin sahaja.

2. Tunjuk ajar kepada pelajar bermasalah mengenai kebolehan mengawal


tingkah laku yang betul secara sendiri; Ajari dan tunjukkan kepada mereka
cara-cara mereka menyemak diri sendiri dan menyesuaikannya dengan
peraturan sekolah serta kehendak masyarakat.

3. Pihak sekolah perlu menunjuk ajar kepada pelajar-pelajar yang bermasalah


tentang perlunya nilai-nilai murni hidup bermasyarakat. Nilai-nilai seperti
kasih sayang, kesedaran sendiri, tangggungjawab, nilai berkerjasama dan
saling bantu-membantu.

4. Bantu pelajar-pelajar yang bermasalah dalam sesi kaunseling individu atau


kauseling kelompok untuk memberi peluang mereka untuk menyata dan
mencari jalan penyelesaian. Sesi kaunseling haruslah dapat membantu
pelajar dan guru mengesan punca yang menyebabkan salah laku tersebut.
Dalam masa yang sama, sesi kaunseling seharusnya dapat membantu
menginsafi pelajar dan menanam keyakinan diri untuk berubah menjadi
manusia yang lebih bernilai terhadap diri, ibu bapa dan masyarakat.

5. Gunakan hukuman merotan ( mengikut prosedur yang telah ditetapkan)


bagi kesalahan yang memerlukan. Falsafahnya ialah untuk menyedarkan
pelajar yang membuat salah laku dan memberi peringatan kepada yang lain
agar tidak mengulangi kategori kesalahan yang sama.

6. Sediakan kelas-kelas ‘tahanan’ bagi membantu pelajar-pelajar yang


bermasalah dari segi panduan belajar yang betul, menyelesaikan tugasan
yang diberi oleh guru , dan membina kembali semangat untuk belajar.

7. Pihak sekolah bekerjasama dengan pelajar-pelajar yang bermasalah dalam


disiplin. Jika perlu, wujudkan satu perjanjian atau kantrak bertulis yang
menjelaskan bahawa pihak sekolah akan membantu pelajar berkenaan
menjadi pelajar yang baik; manakala pihak pelajar juga berjanji dan
berusaha mengatasi masalahnya untuk menjadi pelajar yang cemerlang.
Dalam lain perkataan, pihak sekolah memberi peluang dan pengharapan
baru kepada pelajar berkenaan.

8. Wujudkan kerjasama yang baik dengan pihak ibu bapa agar segala
perancangan yang telah disusun oleh pihak sekolah akan sentiasa
mendapat kerjasama yang baik dari ibu bapa. Kerjasama ini sangat penting
kerana melalui pemantauan dan keprihatinan kedua-dua belah pihak, akan
membantu rancangan pemulihan pelajar berjalan dengan lancar dan
berkesan.

Dalam hubungan ini, Barth ( 1979) menyarankan Program Penganalisisan


Tingkah Laku melalui ;

a. Kad Laporan Harian dan peneguhan di rumah


Kad Laporan Harian – bertindak memberi maklumat tugasan pelajar,
Kerja pelajar, kelakuan , kebolehan pelajar, dan mengesan kehadiran
Pelajar ke dalam kelas.

b. penerangan program kepada ibu bapa – bagi menjelaskan tentang


peranan ibu bapa serta menggalakkan ibu bapa memberi ganjaran
kepada anak-anak.

c. penguatkuasaaan pengawasan disiplin dalam bilik darjah. Pelajar


seharusnya dimaklumi tentang mana-mana salah laku. Pada
peringkat sekolah menengah atas, guru perlu memberi justifikasi
tindakan dan peraturan yang akan diambil terhadap tindakan yang
pelajar lakukan.

Ee Ah Meng ( 1990) pula menegaskan bahawa setiap kesalahan hendaklah


ditanggap secara objektif. Guru hendaklah mengenepikan nafsu amarah dan
mengelakkan daripada membuat kesimpulan terburu-buru tanpa penyiasatan.
Suasana tenang perlu diwujudkan semasa proses penyiasatan dijalankan.
Pelajar juga perlu diberi peluang untuk membuat penjelasan. Andainya pelajar
bersalah, guru seharusnya menggunakan kebijaksanaan menyedarkan pelajar
tentang kesalahannya. Jika perlu perlu dapatkan bantuan guru kaunseling,
kerjasama ibu bapa dan berkaitan. Sebagai pengurus utama sekolah, pengetua
perlu dimaklumkan jika terdapat kes yang melibatkan penyalahgunaan dadah,
pencurian, peras ugut, jenayah dan perlakuan anti sosial.

Kesimpulan
Dalam kerangka masyarakat harmoni dan bertamadun, manusia sering dilihat
dan dinilai sebagai berdisiplin apabila mereka melaksanakan tindakan atau
bertindak atas lunas-lunas yang dianggap baik atau diterima sebagai nilai yang
dominan dalam masyarakat tersebut. Individu – individu yang bertindak di luar
kerangka ini akan dianggap tidak bersopan, melakukan tindakan salah laku dan
tidak berdisiplin. Oleh kerana sebahagian daripada warga sekolah terdiri
daripada golongan remaja, perkara yang bersangkutan dengan disiplin menjadi
begitu dominan dalam mana-mana institusi sekolah. Hal ini adalah kerana pada
peringkat trasnsisi antara zaman kanak-kanak kepada zaman remaja, sering kali
mereka terperangkap antara kehendak masyarakat dengan keperluan zaman
sebelumnya yang sukar dihapuskan dalam masa yang terdekat. Dalam analogi
yang lebih mudah, seorang pelajar dalam usia 13 tahun ( tingkatan satu ), masih
berada dalam ‘dunia sekolah rendah’ – masih keanak-anakan, terlalu
bergantung, gemar bercakap dan sudah tentu gemar bermain. Dalam pada itu
mereka dituntut berada dalam ‘dunia sekolah menengah’ yang lebih bersifat –
agak matang, tidak terlalu bergantung, berdikari, melihat pelajaran sebagai
penting, dan minat kepada gender yang berlainan. Situasi ini sering kali
mengelirukan pelajar-pelajar. Mereka terkeliru dalam dunia manakah mereka
berada. Mereka keliru dalam dunia mana pula mereka harus berada.
Kekeliruan-kekeliruan ini seringkali memerangkap mereka dalam melakukan
salah laku di sekolah.

Dalam pada itu, kita seharusnya jangan lupa bahawa faktor keluarga,
persekitaran, rakan yang dipilih , peranan media juga seringkali menjadi
penyumbang kepada masalah disiplin di sekolah.

Melihat kepada keadaan-kedaaan ini, kita seharusnya menilai dan menangani


masalah disiplin serta salah laku di sekolah dengan pertimbangan penuh
prihatin, sentiasa dalam keadaan ‘kepala yang dingin’ dan penuh kebijaksanaan.
Kita seharusnya meletakkan matlamat bahawa sebarang tindakan mengatasi
masalah disiplin di sekolah bertujuan membantu menunjuk jalan dan membawa
mereka kembali ke jalan yang benar. Dalam lain perkataan , menyedarkan
kesalahan mereka dan membantu mereka belajar membentuk peribadi mulia,
yang menjadi nilai dalam masyarakat.

Berdasarkan hal tersebut, tindakan menghukum umpamanya merotan ( mengikut


prosedur) masih wajar dilaksanakan bagi kesalahan-kesalahan yang berkaitan,
tetapi perlu diikuti dengan unsur pemujukan dan nasihat terhadap pelajar. Bagai
seorang ayah merotan anak, lantas memeluk anak sesudah hukuman
dilaksanakan. Tindakan ini sebagai tanda, merotan bukan kerana benci tetapi
kerana tindakan anak yang salah dan perlu diberi peringatan untuk kebaikannya
sendiri.

Adalah menarik andainya bagi menangani masalah disiplin di sekolah, pelajar-


pelajar dihargai dengan memberi markah permulaan 100 markah. Setiap
perlakuan yang baik ditambah markah pada kadar yang sesuai ( 5 markah/ 10
markah ). Manakala pelajar yang melakukan salah laku ditolak markah daripada
100 markah tersebut. Pada penghujung penggal, pelajar dinilai melalui kutipan
markah personal mereka. Pihak sekolah dengan kerjasama Persatuan ibu bapa
dan guru, boleh memberi ganjaran kepada pelajar yang mempunyai markah
yang meningkat. Ini akan meningkatkan motivasi diri dan membuatkan pelajar
merasa dihargai. Perkara ini adalah salah satu daripada banyak perkara yang
boleh difikir dan dilaksanakan di peringkat sekolah bagi menangani masalah
disiplin .

Jelasnya menangani masalah disiplin bukanlah tanggungjawab pihak sekolah


semata-mata. Perlu juga komitmen daripada pihak ibu bapa dan juga
masyarakat kerana asas yang baik selalunya bermula dari rumah, diperteguhkan
di sekolah dan dilaksanakan untuk masyarakat.

Rujukan

Slavin,Robert .E.(1994) Educational Psychology,Massachusset: Allyn & Bacon

Ee Ah Meng (1990 ). Pedagogi : Satu Pengenalan. Petaling Jaya : Penerbit


Fajar Bakti

Barth .R.( 1979 ) .Home- based reinforcement of school behavior. A review and
Analysis. In Slavin, Robert E.(1994) Educational Psychology,
Massachusset : Allyn & Bacon

Emmer et.al (1984 ). Classroom management for secondary teachers. New


Jersey : Prentice Hall

Kathleen Cotton (2002) .Schoolwide and Classroom Discipline.


www.nwrel.org/sped/sirs/5/cu9.html.

Kounin , J.(1970 ). Discipline and group management in classroom. New York:


Holt,Rhinehart and Winston

Mohammad Zohir dan Hazri Jamil (2003). Pengurusan Disiplin Bilik Darjah.
Dalam Salleh Abd.Rashid,Abdul Rashid Mohamed dan Aminah Ayob.
(2003). Guru Pelatih dan Keperluan Pengajaran. Pulau Pinang: Pusat
Pengajian Ilmu Pendidikan, USM.

Sharifah Alwiah Alsagof (1985). Ilmu Pendidikan: Pedagogi. Kuala Lumpur :


Heinemenn Asia

Woolfork,A.E. and Brooks,D.(1985) In. Slavin, Robert E. Educational Psychology.


Massachusset: Allyn & Bacon.

You might also like