You are on page 1of 4

Pakaian Tradisional Di Malaysia

POSTED ON APRIL 30, 2013 BY AIMY AIMIELYA https://aimyaimielya.wordpress.com/2013/04/30/pakaian-tradisional-di-malaysia-tahun-4/


Tradisi Malaysia Yang Menawan
Malaysia mempunyai jenis-jenis kain dan pakaian tradisional yang berbagai bentuk dan warna, dari tengkolok bulu
burung dan baju kulit kayu, hinggalah kain songket diRaja yang antik. Pada zaman dahulu, penduduk peribumi
memakai pakaian yang diperbuat daripada kulit kayu dan hiasan manik. Dengan ketibaan tamaddun lama, kain
tenunan dan batik Melayu dipakai oleh orang kenamaan dan kerabat diraja. Dengan ketibaan pedagang asing,
pakaian serta kain seperti sutera Cina, pelikat dan jubah Arab diperkenalkan di negara ini. Kini, pakaian tradisional
seperti baju kebaya Melayu, sari India dan cheongsam Cina masih digunakan dengan meluas.
Melayu
Sebelum kurun ke-20, wanita Melayu memakai kain kemban di tempat-tempat awam. Tetapi, setelah ketibaan Islam, mereka mula
memakai baju kurung yang lebih sopan. Baju kurung adalah sejenis baju longgar yang labuh, kadang kala hingga ke lutut dan
dipadankan dengan kain panjang yang berlipat tepi. Baju kurung juga boleh digandingkan dengan kain tradisional seperti songket atau
batik. Lazimnya pakaian ini digunakan dengan kain selendang atau tudung kepala Pakaian tradisional bagi kaum lelaki pula
dinamakan baju Melayu. Baju Melayu merupakan kemeja longgar yang dipakai dengan seluar panjang. Pakaian ini selalunya
diganding dengan kain samping yang diikat di bahagian pinggang.

Cina
Pakaian cheongsam atau ‘baju panjang’ yang selesa dan anggun juga sering dilihat hingga ke hari
ini. Lazimnya, cheongsam mempunyai leher yang tinggi, butang di bahagian bahu, bentuk yang
sendat di pinggang dan belahan di kiri dan kanan kain. Pakaian ini selalunya diperbuat daripada kain
sutera, satin dan lain-lain jenis kain lembut.

India
Sari merupakan pakaian tradisional India yang mudah dikenali di seluruh dunia. Sebidang kain berukuran 5 hingga 6 ela panjang
dipadankan dengan kain dalam yang berwarna seakan-akan kain sari tersebut. Kain sari ini dililit pada badan dengan bahagian
hujungnya yang bersulam diletak di atas bahu kiri. Kain dalam dipakai di atas atau di bawah pusat dan berfungsi menyokong kain sari
tersebut dari terlucut. Sari diperbuat daripada pelbagai jenis, corak dan warna kain yang sememangnya indah.
Pakaian salwar kameez atau baju Punjabi, yang juga popular di kalangan wanita di utara India, terdiri daripada blaus panjang yang
dipadankan dengan seluar panjang yang longgar, serta tudung kepala yang sesuai warnanya. Kurta pula adalah pakaian tradisional
bagi kaum lelaki India di majlis rasmi. Ia merupakan kemeja panjang yang sampai ke lutut dan lazimnya diperbuat daripada kain
kapas atau linen.
Baba Nyonya
Pendatang Cina yang berkahwin dengan penduduk Melayu selalunya memakai pakaian kebaya yang anggun. Baju
buatan tangan ini memerlukan kepakaran bagi menyulam corak-corak yang kelihatan seakan-akan renda yang
halus. Hiasan utama baju kebaya adalah sulaman tebuk lubang di mana garisan corak motif bunga di jahit
manakala bahagian tengah dasar kain yang tidak terjahit pula ditebuk. Ini menghasilkan hiasan yang seakan-akan
renda yang halus, yang dikenakan pada bahagian leher, lengan, hujung blaus serta dua bucu segitiga di bahagian
depan baju yang dikenali sebagai lapik.

Portugis-Eurasian
Pakaian penduduk Portugis-Eurasia Melaka – keturunan bangsa Portugis yang menetap di sini –
mencerminkan warisan mereka. Kaum lelaki memakai jaket serta seluar panjang yang berwarna
hitam dan merah, manakala wanita memakai skirt lebar yang berlapis-lapis.

Sarawak
Negeri terbesar di Malaysia yang mempunyai pelbagai suku kaum ini mempunyai barisan pakaian tradisional yang tidak terkira jumlahnya. Pakaian yang
lazim dilihat pada Orang Ulu menggunakan pelbagai corak dan motif, dan menggunakan kain tenunan tangan, kain kulit pokok, bulu ayam dan manik.
Sarawak terkenal dengan pua kumbu Iban, kain songket Melayu Sarawak, pelbagai perhiasan tradisional, serta tengkolok bulu burung.
Sabah
Seperti Sarawak, Sabah juga mempunyai jenis-jenis suku kaum yang pelbagai. Setiap suku kaum mempunyai pakaian serta perhiasan unik masing-
masing. Bagaimanapun, suku kaum berbeza yang tinggal di kawasan yang berdekatan lazimnya memakai pakaian tradisional yang serupa. Antara
perhiasan yang paling menarik termasuklah topi anyaman wanita Kadazan-Dusun, dastar kaum Bajau, dan tengkolok suku kaum Lotud yang menandakan
jumlah isteri lelaki yang memakainya.
Orang Asli
Masyarakat Orang Asli yang lazimnya tinggal di kawasan hutan di Malaysia, memakai pakaian yang diperbuat dari bahan semulajadi seperti kulit pokok
terap dan skirt rumput. Perhiasan yang dipakai oleh mereka termasuklah lilit kepala yang diperbuat daripada daun yang dianyam dengan pelbagai corak.

You might also like