You are on page 1of 4

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan selamat sejahtera.

Salam apresiasi buat yang dihormati saudari pengerusi majlis, panel hakim yang sentiasa
berpegang pada prinsip keadilan, guru-guru dan rakan pelajar yang dikasihi.

Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah berkata, “Bukannya perkara kecil bagi kita untuk
meneruskan perjuangan kemerdekaan negara kerana rupa-rupanya selain memerdekakan
negara, mengisi kemerdekaan itu jauh lebih sengsara”. Hal ini demikian kerana kemerdekaan
negara yang dicipta itu memelihara kesejahteraan masyarakat sejagat. Oleh itu, saya tampil di
hadapan anda semua bagi menyampaikan sebuah pidato yang bermauduk “Negara Merdeka
Masyarakat Sejahtera”.

Sebagai implikasi awalan, kemerdekaan negara telah menjadi bukti pada cermin perjuangan
bangsa Malaysia yang cinta akan negara yang menjadi tanah tumpah darah kita semua. Namun
demikian, Malaysia pernah dituduh, kononnya tidak demokratik, diktator dan mengamalkan
pemerintahan kuku besi oleh bangsa Eropah kerana tidak melakukan pertukaran kepimpinan
seperti mereka. Tegasnya, kini negara kita ialah sebuah negara yang berdaulat dan merdeka.
Dengan kata lain, negara merdeka bermaksud negara yang bebas iaitu negara kita tidak lagi
dikuasai atau dijajah oleh kuasa lain dan bebas dalam menentukan hala tujunya sendiri.
Kemerdekaan yang dimaksudkan juga bebas daripada segala sudut, termasuklah bebas minda
dan budaya daripada sebarang pengaruh asing. Rakyat negara kita yang merdeka pula
mencatat kejayaan besar dalam pelbagai bidang dengan cemerlang di persada dunia. Hal ini
sudah tentu akan mewujudkan masyarakat yang aman dan sejahtera. Oleh itu, untuk mengupas
segala persoalan, empat perspektif utama akan saya utarakan bagi mengungkap kemerdekaan
negara demi kesejahteraan rakyatnya.

Saudara dan saudari,


Indikator saya yang pertama, kemajuan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi. Untuk
mencapai taraf negara maju pada tahun 2020, Malaysia telah melaksanakan pelbagai program
pembangunan. Lihatlah, kewujudan kilang perindustrian bagaikan cendawan tumbuh selepas
hujan setelah kerajaan yang ditubuhkan selepas kemerdekaan kini lebih berwawasan dalam
menentukan kesinambungan kedua-duanya. Sebagai contohnya, Menara Berkembar Petronas
yang mempunyai 99 tingkat dan Menara Kuala Lumpur setinggi 421 meter. Kedua-duanya ini
memberikan impak yang besar kepada imej negara yang menjadikannya sebagai identiti
negara. Antara sedar atau tidak, kita sebenarnya mengukuhkan ekonomi negara ini lagi melalui
pelbagai sudut. Secara tidak langsung, pembangunan yang dibina ini mampu meluaskan
peluang pekerjaan, sekali gus dapat meningkatkan taraf hidup penduduk, dan hal ini sudah
tentu memberikan kesejahteraan kepada masyarakat.

Hadirin sekalian,

Indikator saya yang kedua, kemajuan sains dan teknologi, ideologi bervisi. Perkembangan dan
kemantapan teknologi sains semakin memberi impak dari hari ke hari kepada rakyat malahan
membuka mata seluruh dunia. Kebebasan negara dalam melahirkan pelbagai idea baru dan
menghasilkan pelbagai produk, kesan gabungan pengaplikasian kedua-duanya telah membuka
peluang pasaran yang besar. Sebagai contohnya, daripada kajian terbaharu, rupa-rupanya
pokok vanilla yang tidak terdapat di negara kita juga telah ditanam dan hidup dengan subur di
negara kita. Tegasnya, rakyat boleh menikmati kelebihan ini seperti buah-buahan tempatan kita
juga. Tambahan pula, kita bukan lagi seperti pungguk rindukan bulan dan tidak lagi bermimpi di
siang hari kerana gapaian jauh melepasi awan sudah dibuktikan menjadi kenyataan. Perkara ini
dibuktikan dengan kelahiran anak merdeka yang bergelar angkasawan negara iaitu Dr. Sheikh
Muszaphar Shukor yang berjaya dalam misi negara dengan membolehkan negara kita duduk
sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara Russia dan Amerika Syarikat yang
memang terkenal dalam bidang sains angkasa. Peristiwa besar seperti ini ialah catatan terbaik
untuk dimuatkan sebagai kejayaan negara yang kini lebih diiktiraf dan dipandang tinggi oleh
dunia. Dengan perkataan lain, sebagai sebuah negara yang merdeka, kita sebenarnya telah
berjaya melahirkan masyarakat yang sejahtera.
Saudara dan saudari,

Indikator saya yang ketiga, semangat patriotisme penangkis neoimperialisme. Hal ini demikian
kerana, semangat yang kita padukan dan satukan ialah semangat cinta akan kemakmuran, jika
tidak, masakan kita bisa bertahan ketika dirobek keamanan, dicemuh kesucian, dan dimaki
dalam penghinaan. Ketika itu, kita sedar betapa pentingnya semangat perjuangan dan tuntutan
kemerdekaan dan sekali gus meletakkan suatu tanggungjawab di pundak anak bangsa yang
bakal mewarisi negara. Sebagai contohnya, sewaktu kegawatan ekonomi melanda seluruh
dunia pada tahun 1997, negara kita berjaya mengharunginya dengan semangat patriotisme
yang tinggi dan perpaduan yang jitu dalam kalangan pemimpin dan rakyat negara kita tanpa
mengira kaum dan bangsa. Mahatma Gandhi pernah berkata, ”Majunya sesebuah negara
kerana asas jati diri bangsanya”. Maka pada hari ini kita harus sedar, kurniaan kemerdekaan
bukan sekadar kibaran jalur gemilang, dan bukan juga dendangan lagu kebangsaan kerana
kalau roboh kota Melaka, papan di Jawa jadi gantinya, iaitu apabila musuh datang melanda kita,
patriotisme Malaysia jadi penangkisnya bagi kesejahteraan masyarakat semua.

Para hadirin yang dihormati,

Indikator saya yang terakhir, Rukun Negara pembentuk bangsa merdeka dan berdaulat.
Walaupun pada 31 Ogos 1970, ada sesetengah pihak yang menyifatkan Rukun Negara sebagai
doktrin ketahanan nasional. Sebenarnya, Rukun Negara digubal melalui pelbagai dasar strategi
sosioekonomi dan ketatanegaraan yang lebih komprehensif serta berkesan. Sebagai
contohnya, akhbar Utusan Melayu 16 Julai 1965 menyatakan penentangan adalah terhadap
kedaulatan Raja-Raja Melayu, hak-hak keistimewaan Melayu, agama Islam sebagai agama
rasmi dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Dengan perkataan lain, kewujudan
Rukun Negara mampu mendepani zaman universal, holistik dan realistik kerana bisa
menghakis seluruh prasangka kaum yang mungkin wujud di negara ini sebelum dan sesudah
peristiwa 13 Mei 1969 yang begitu banyak memberikan pengajaran untuk kesejahteraan. Oleh
hal yang demikian, saya menyarankan rakyat negara ini, biarlah gunung sama didaki, lurah
sama dituruni, dan hati gajah sama dilapah, hati nyamuk sama dicecah”. Marilah kita bersama-
sama meniti hari-hari yang mendatang dengan mengukuhkan semangat patriotisme dan
mengekalkan kemerdekaan negara yang tercinta bagi memastikan masyarakat hidup aman dan
sejahtera.

Cukuplah setakat ini sahaja pidato saya kali ini, dan saya ingin memohon kemaafan sekiranya
tersilap kata dan tersalah susun bicara semasa saya menyampaikan pidato tadi.

Sekian, terima kasih. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum


warahmatullahiwabarokatuh.

http://khirkassim.blogspot.com/2011/07/karangan-spm-format-pidato.html

You might also like