You are on page 1of 3

BERITA»Pendidikan

Rabu, 19 Disember 2018 | 10:53pm

CARI

TIMBALAN Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan) Kementerian Pendidikan, Shaari
Osman. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Pentaksiran rutin harian ganti peperiksaan


Oleh Luqman Arif Abdul Karim
cnews@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Pentaksiran lebih menyeluruh, termasuk amalan


nilai murni berbentuk rutin harian akan diguna susulan pemansuhan
ujian pertengahan dan akhir tahun yang bakal berkuat kuasa 2019.
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan)
Kementerian Pendidikan, Shaari Osman, menjelaskan pendekatan
baharu itu akan dilaksana menerusi pembelajaran yang
menyeronokkan ke arah pembangunan dan pembentukan peribadi
murid.

“Kemahiran 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul


ialah kemahiran asas murid tahap satu yang perlu dibina serta
diperkukuh sebelum mereka melalui proses pembelajaran peringkat
lebih tinggi.

“Model baharu ini akan mencakupi pentaksiran bilik darjah (PBD)


dengan menjalankan kegiatan bercerita, permainan, projek mudah,
main peranan dan kuiz.

“Selain itu, guru boleh menjalankan PBD dalam bentuk kegiatan lain
yang bersesuaian,” katanya dalam pekeliling untuk tindakan semua
pengurusan Jabatan Pendidikan Negeri, hari ini.

Shaari berkata, proses pembelajaran, hasil kerja dan amalan nilai


murni akan digunakan untuk menilai perkembangan murid di
sekolah.

Katanya, pelaporan pembelajaran murid oleh guru dan ibu bapa


pula dipertimbang untuk menambah baik proses pembelajaran serta
menentukan bentuk sokongan yang boleh diberikan.

“Ini bagi memastikan perkembangan potensi, bakat, minat,


kemahiran dan sahsiah murid dioptimumkan.

“Bagi memastikan kejayaan pelaksanaan PBD, pihak sekolah


hendaklah merancang jadual waktu bersesuaian, selain guru
melaksanakan pengajaran secara kolaboratif bagi menjamin
pembelajaran dan pengajaran yang lebih menyeronokkan serta
bermakna.

“Kementerian juga memutuskan supaya program saringan literasi


dan numerasi (LINUS 2.0) akan dihentikan mulai 2019,” katanya.

Sehubungan itu, Shaari berkata pengurusan sekolah perlu


mengenal pasti murid tahap satu, iaitu tahun satu hingga tiga yang
mengalami kesukaran menguasai kemahiran membaca, menulis
dan mengira.

Katanya, usaha itu perlu disokong menerusi penyediaan intervensi


pada peringkat sekolah.

“Surat ini hendaklah dibaca bersama garis panduan pelaksanaan


pentaksiran bilik darjah tahap satu.

“Susulan berkuat kuasanya pekeliling ini, surat siaran Kementerian


Pendidikan bilangan 4 tahun 2016, perubahan pelaksanaan
saringan LINUS 2.0 mulai tahun 2016 bagi sekolah rendah bertarikh
31 Mac 2016 adalah dibatalkan.

“Pemansuhan amalan peperiksaan pertengahan dan akhir tahun


bagi murid tahap satu ini selaras konsep pembelajaran berteraskan
perkembangan murid selain membolehkan guru memberi lebih
tumpuan kepada tugas mendidik serta menyemai nilai murid,”
katanya.

You might also like