You are on page 1of 5

1.

0 PENGENALAN

Pencapaian pelajar di Malaysia dalam aspek pendidikan dipengaruhi oleh pelbagai


faktor, antaranya faktor perbezaan etnik (Poh Bee Tan & Melissa Abdullah, 2008). Hal ini
dapat dibuktikan dengan kajian Murad (1984) yang menunjukkan bahawa pelajar bukan
bumiputera memperoleh pencapaian yang lebih baik dalam mata pelajaran Sains berbanding
dengan pelajar-pelajar lain. Hasil kajian ini selaras dengan penyelidikan Kim (1996) yang
mendapati bahawa pelajar Cina memperoleh pencapaian yang paling tinggi dalam Matematik,
diikuti dengan pelajar Melayu manakala pelajar India pula memperoleh pencapaian yang
paling rendah. Perbezaan etnik mempengaruhi pendidikan pelajar kerana perbezaan dari segi
faktor budaya, sosioekonomi serta tingkah laku kaum yang berbeza antara satu etnik dengan
etnik yang lain.

2.0 FAKTOR-FAKTOR PERBEZAAN ANTARA ETNIK MEMBERI KESAN KEPADA


PENDIDIKAN PELAJAR

Antara faktor perbezaan etnik yang mempengaruhi dalam pendidikan pelajar ialah
faktor sosioekonomi yang berlainan di antara suatu kaum dengan kaum yang lain. Menurut
Rusli Md Zain (1998), menyatakan bahawa terdapat hubungan positif diantara pencapaian
akademik dengan pendapatan keluarga. Hal ini kerana, ibubapa yang berpendapatan tinggi
dapat memenuhi keperluan persekolahan dan pendidikan anak-anak mereka. Dalam kajian
(Poh Bee Tan & Melissa Abdullah, 2008), min pendapatan isi rumah bagi pelajar Cina adalah
lebih tinggi iaitu sebanyak RM1548 berbanding dengan pelajar Melayu sebanyak RM1140
dan India sebanyak RM907. Justeru, pencapaian pelajar Cina adalah lebih baik berbanding
dengan pelajar Melayu dan India dalam Pengajian Am. Hal ini jelas sekali menunjukkan
bahawa murid daripada golongan keluarga yang berkemampuan memperoleh peluang
pendidikan yang lebih baik berbanding murid daripada golongan berpendapatan rendah.
Pelajar daripada golongan keluarga berkemampuan mendapat bantuan pembelajaran yang
mencukupi daripada keluarga mereka, manakala bagi pelajar daripada keluarga yang tidak
berkemampuan, tidak mampu menyediakan peralatan atau bahan pembelajaran, perkara ini
secara tidak langsung akan menyebabkan anak-anak mereka itu tidak dapat merebut peluang
pendidikan dan menikmati perolehan pelbagai bentuk maklumat pelajarandengan begitu
pantas dan cepat (Poh Bee Tan & Melissa Abdullah, 2008).
Persekitaran yang kondusif dan selesa memainkan peranan yang penting dalam
menyediakan pendidikan yang terbaik untuk peajar seterusnya menyumbang kepada
pencapaian akademik mereka. Menurut (Abraham Maslow, 1943) dalam (Noriati A. Rashid,
et. al., 2017), keperluan fisiologi dan psikologi perlu dipenuhi terlebih dahulu sebelum
seseorang itu mencabar potensi diri untuk berjaya. Hal ini bertepatan apabila persekitaran
pembelajaran yang meliputi infrastuktur sekolah yang lengkap mampu membantu para pelajar
untuk belajar lebih selesa seterusnya bersedia untuk mencapai kejayaan yang terbaik.
Infrastruktur yang lengkap akan memberi motivasi kepada pelajar. Di Malaysia, terdapat
perbezaan yang ketara mengenai infrastruktur sekolah di bandar, pinggir bandar, luar bandar
dan pedalaman. Menurut Zulfakhri Hassan (n.d), infrastruktur sekolah di bandar dan pinggir
bandar lebih lengkap berbanding luar bandar dan pedalaman kerana kedua kawasan tersebut
lebih mudah dilawati oleh JPN dan KPM menjadikan segala infrastruktur sekolah lebih mudah
ditambah baik dari masa ke masa. Hal ini memberi kesan terhadap pencapaian kumpulan
etnik yang berada di kawasan pedalaman dan luar bandar seperti etnik Orang Asli kerana
infrastruktur yang kurang lengkap ini mengurangkan motivasi mereka untuk belajar
bersungguh-sungguh. Sebaliknya, etnik yang kebanyakannya menetap di bandar seperti Cina
dan Melayu sentiasa mampu mencapai prestasi pencapaian akademik yang baik ekoran
motivasi diri yang wujud selaras dengan lengkapnya infrastuktur sekolah.

Seterusnya, perbezaan etnik yang mempengaruhi pencapaian pendidikan di Malaysia


dapat dilihat melalui faktor motivasi pelajar itu sendiri. Menurut Dayang & Wan Muna (2017),
faktor sikap dan motivasi memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi
pembelajaran pelajar. Pelajar yang mempunyai minat yang tinggi terhadap sesuatu
pembelajaran lebih cenderung untuk mendapat prestasi yang tinggi berbanding pelajar yang
belajar dalam keterpaksaan. Hal ini lebih jelas dilihat dalam pendidikan yang melibatkan
Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua di mana faktor sikap amat memainkan peranan dalam
penguasaan pembelajaran bahasa ini. Menurut Abdul Rahim & Mohd Sharifudin (2014), murid
etnik Orang Asli lebih mempunyai sikap yang positif dan minat terhadap pembelajaran Bahasa
Melayu dan hal ini menjadikan mereka lebih menguasai bahasa tersebut dan pembelajaran
tersebut lebih berkesan. Hal ini amat bertentangan dengan kajian yang dijalankan oleh
Mohamad Yazid (2016) yang mendapati bahawa murid Cina mengalami masalah dalam
menggunakan Bahasa Melayu sama ada secara formal atau tidak formal kerana mereka
memandang rendah dan tidak mengambi berat serta mempunyai motivasi yang rendah dalam
mempelajari Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Oleh yang demikian, faktor sikap dan
motivasi amat mempengaruhi pencapaian pendidikan sesuatu etnik.
Dalam pada itu, faktor sosial turut mempengaruhi pencapaian yang berbeza antara
etnik dan hal ini dapat dilihat melalui hubungan ibu bapa dengan sekolah di mana peranan
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) lebih difokuskan. Ibu bapa perlu memainkan peranan
yang penting dalam memastikan anak-anak mendapat sistem pendidikan yang terbaik
(Asmahani, 2009). Sehubungan dengan itu, adalah menjadi satu keutamaan untuk PIBG
memainkan peranan yang sewajarnya bagi membantu sekolah mewujudkan persekitaran dan
pencapaian yang cemerlang. Menurut Zulfakhri (n. d.), PIBG perlu banyak membantu sekolah
melaksanakan atau memberi kerjasama dalam program seperti program kecemerlangan dan
sebagainya. Hal ini menunjukkan bahawa hubungan sosial yang baik antara ibu bapa dengan
sekolah mampu meningkatkan pencapaian pelajar. Namun begitu, kekangan seperti
komitmen yang ditunjukkan ibu bapa menjadi penghalang matlamat tersebut dicapai. Menurut
Abdul Razaq & Zalizan (2009), masyarakat orang asli memandang enteng pendidikan kerana
menurut mereka hidup masih mampu diteruskan tanpa pendidikan. Hal ini telah menyebabkan
PIBG sekolah tidak dapat bergerak secara efisien untuk mencapai matlamat yang telah
ditetapkan. Hal ini amat bertentangan dengan situasi di Sekolah Kebangsaan Jenis Cina
(SJKC) di mana PIBG sekolah lebih mudah untuk memberi sumbangan dan idea terhadap
pembangunan pembelajaran anak-anak mereka (Sinar Harian, 2019). Justeru, adalah
menjadi satu kepentingan untuk mengeratkan hubungan sosial antara ibu bapa dan sekolah
bagi meningkatkan pencapaian anak-anak.

Akhir sekali, faktor budaya turut mempengaruhi pencapaian pendidikan pelajar


mengikut etnik. Menurut Ridho (2011), budaya memainkan peranan yang penting terhadap
pendidikan kerana budaya merupakan satu tingkah laku manusia yang tersusun dalam
kehidupan masyarakat. Oleh sebab Malaysia merupakan negara yang mepunyai pelbagai
kebudayaan kerana variasi kaum, maka faktor kebudayaan tersebut memberi kesan terhadap
pencapaian pelajar mengikut etnik. Berdasarkan kajian Poh & Melissa (2008), didapati
bahawa pelajar Cina lebih cemerlang dalam pendidikan berbanding kaum Melayu dan India
kerana budaya menghantar anak ke kelas tuisyen telah menjadi satu kelaziman bagi kaum
Cina. Faktor latar belakang akademik ibu bapa pelajar juga menjadi salah satu faktor terhadap
kejayaan anak-anak (Jacobs & Harvey, 2005). Hal ini demikian kerana ibu bapa yang
mempunyai pencapaian akademik yang baik sudah pasti menginginkan kejayaan buat anak-
anak. Masyarakat Cina menganggap bahawa pendidikan amatlah penting dalam
pembentukan identiti dan bagi membangunkan generasi muda (Lee, 2009). Hal ini terbukti
apabila mereka lebih banyak menghantar anak-anak ke program-program kecemerlangan
dan klinik menjawab peperiksaan bagi meningkatkan pencapaian anak-anak. Justeru, tidak
hairanlah sekiranya anak-anak kaum Cina lebih tinggi pencapaiannya dalam akademik
berbanding kaum Melayu dan India.
3.0 PENUTUP

Justifikasinya, penulisan ini memberi keterangan yang jelas berkenaan perbezaan


etnik memberi impak yang berlainan terhadap prestasi pelajaran mereka. Hal ini memberi
gambaran yang nyata bahawa perbezaan etnik yang terdiri daripada faktor sosioekonomi,
tingkah laku dan budaya antara kaum yang berlainan memberikan hubungan signifikan yang
optimum dengan pencapaian pelajar dalam menguasai suatu mata pelajaran (Ahmad Rizal
Madar, Nurul Akmar Kamaruddin & Saifullizam Puteh, 2005). Hasil perbincangan penulisan
ini dapat dimanfaatkan dalam menangani jurang pencapaian antara pelajar yang perpunca
daripada perbezaan etnik dengan memberikan suatu skop yang berguna untuk menganalisis
faktor perbezaan etnik seterusnya mengatasi impak perbezaan itu dalam bilik darjah bagi
mempertingkatkan pencapaian pelajar.
RUJUKAN

Poh Bee Tan & Melissa Lee Abdullah (2008)

Abdul Rahim Abu & Mohd Sharifudin Yusop. (2014). Sikap Kanak-kanak Orang Asli di Bandar
Raya Kuala Lumpur Terhadap Penguasaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kedua.
Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu. 4 (2): 57-66.

Abdul Razaq Ahmad & Zalizan Mohd Jelas. (2009). Masyarakat Orang Asli: Perspektif dan
Sosiobudaya. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Asmahani Zainal Abidin. (2009). Faktor-faktor yang Mendorong Ibu Bapa Berketurunan
Melayu Menghantar Anak Mereka ke Sekolah Jenis Kebangsaan CIna (SJK(C)) di
Daerah Johor Bahru. Johor: Universiti Teknologi Malaysia.

Dayang Sufilkawany Ujai & Wan Muna Ruzanna Wan Mohammad. (2017). Pengaruh Faktor
Sosial dalam Pembelajaran Bahasa Melayu dalam Kalangan Murid Iban. Jurnal
Pendidikan Bahasa Melayu. 7 (1): 74-84.

Jacobs, N. & Harvey, D. (2005). Do Parents Make a Difference to Children’s Academic


Achievement? Differences Between Parents of Higher and Lower Achieving Students.
Educational Studies. 31(4), 431-448.

Lee, Y. F. (2009). Kajian Tentang Identiti Orang Cina di Malaysia dari Segi Epistemologi:
Ulasan. Sari 27. 167-183.

Noriati A. Rashid, Ying B. P. & Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. (2017). Murid dan
Pembelajaran. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Mohamad Yazid Mohamad. (2016). Kekerapan Penggunaan Strategi Pembelajaran Bahasa


Melayu dalam Kalangan Murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina. Kertas Projek
Sarjana Pendidikan. Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ridho Elhamidy. (2011). Pengaruh Kebudayaan Terhadap Pendidikan. Retrieved from


https://www.rumahteladan.com/2011/06/pengaruh-kebudayaan-terhadap-
pendidikan.html

Wartawan Sinar Harian. (2019, February 4). Ibu Bapa di SJKC Tidak Kedekut. Sinar Harian.
Retrieved from https://www.sinarharian.com.my/article/11099/SIASAT/PIBG on 30
March 2019.

Zulfakhri Hassan. (n.d). Ketaksamaan Peluang Pendidikan di Malaysia. Retrieved from


https://www.academia.edu/11678471/Ketaksamaan_Peluang_Pendidikan_di_Malays
ia

You might also like