You are on page 1of 15

1

ONTOLOGI, EPISTEMOLOGI DAN METODOLOGI

Muhammad Hisyam Mohd


Azalina Irdawati Tahir

BAHAGIAN 1: PENDAHULUAN

1.1 PENGENALAN

Penyelidikan merupakan perkataan yang diambil daripada bahasa Perancis yang


memberi makna penyiasatan secara mendalam (Sabitha, 2009). Selain daripada itu,
penyelidikan juga boleh ditafsirkan sebagai suatu proses mencari jawapan dan
penerangan mengenai sesuatu fenomena yang dikaji sekaligus dapat mencari
penyelesaian kepada masalah tersebut. Menurut Sabitha (2009) lagi, penyelidikan
bukanlah hanya pengambilan maklumat, mengumpul data atau penyusunan maklumat
semata-mata tetapi lebih daripada itu. Di samping itu, para penyelidik perlu mematuhi
setiap peraturan yang telah ditetapkan dan bukan sekadar melakukan penyelidikan
semata-mata sahaja. Pelbagai perkara yang perlu diikuti dan dipatuhi oleh seorang
yang bergelar penyelidik bagi memastikan hasil yang diperolehi sepanjang
penyelidikan itu dilakukan merupakan hasil yang boleh diterima pakai, tiada keraguan
dan tidak dipertikaikan kesahihannya oleh pihak lain.

Menurut Leedy dalam Sabitha (2009), terdapat beberapa ciri yang perlu ada
di dalam sesebuah penyelidikan iaitu penyelidikan bermula dengan persoalan atau
permasalahan kajian, penyelidikan memerlukan satu matlamat yang jelas,
penyelidikan mengikut satu pelan prosedur yang spesifik, penyelidikan sering kali
dapat membahagikan masalah atau dapat mengupas masalah kepada sub-masalah
yang dapat diambil tindakan, penyelidikan dipandu oleh permasalahan kajian,
persoalan atau hipotesis yang spesifik dan yang terakhir, penyelidikan memerlukan
pengumpulan data dan penafsiran data yang berusaha untuk menyelesaikan sesuatu isu
yang dibangkitkan oleh kajian tersebut.
2

Selain perkara yang dinyatakan tersebut terdapat beberapa perkara yang perlu
dipatuhi oleh para penyelidik sewaktu menjalankan penyelidikan dan perkara ini
merupakan perkara terpenting yang perlu diketahui dan difahami oleh setiap
penyelidik supaya penyelidikan tersebut memberi makna dan hasilnya boleh diterima
pakai. Terdapat tiga asas yang perlu difahami oleh penyelidik sekaligus memasukkan
asas ini ke dalam penyelidikan yang ingin dijalankan sama ada perkara ini diterangkan
ataupun hanya sebagai pemandu arah kepada penyelidik untuk memasukkan elemen
ini kedalam penyelidikan tersebut iaitu ontologi, epistemologi dan metodologi.

BAHAGIAN 2: PENERANGAN MENGENAI ONTOLOGI, EPISTEMOLOGI


DAN METODOLOGI

2.1 Ontologi

Secara umumnya, ontologi merupakan titik permulaan dalam penyelidikan dan


merupakan perkara utama yang perlu difahami oleh penyelidik sebelum sesebuah
penyelidikan dijalankan (Grix, 2002). Hal ini demikian kerana elemen ini merupakan
elemen terpenting dalam penyelidikan dan jika elemen ini tidak diambil kisah maka
penyelidikan tersebut akan menghadapi masalah kerana mereka tidak mengetahui
bagaimana fenomena sosial yang dikaji itu wujud. Selain itu, ontologi juga boleh
diterjemahkan sebagai asal usul sesuatu teori atau fenomena yang berlaku
(Walter, 2010). Ontologi merupakan tuntutan serta andaian normal mengenai sesuatu
realiti sosial yang berlaku dalam masyarakat, bagaimana fenomena itu wujud,
bagaimana ianya ditafsirkan, bagaimana ia berkembang dan bagaimana setiap unit itu
berinteraksi di antara satu sama lain. Perkara yang paling penting dalam ontologi
ialah bagaimana kepercayaan kita terhadap realiti sosial tersebut (Blaikie, 2007).

Perkara yang paling utama di dalam ontologi ialah tiada disertakan pandangan
penyelidik, perbezaan, sebab dan akibat atau pelbagai eleman lain yang tidak
menerangkan secara terus kepada bagaimana fenomena tersebut boleh wujud
(Sayer, 1992). Memandangkan fenomena yang dikaji oleh ahli sains sosial ialah
manusia, ia memerlukan penyelidik berpegang kepada paradigma tertentu tentang
realiti yang dikaji (Kuhn, 1970). Paradigma ialah orientasi asas terhadap teori dan
3

penyelidikan yang dipegang oleh seseorang pengkaji (Samani, 2004). Dalam kata
yang lebih mudah lagi paradigma ini merupakan pemahaman seseorang pengkaji
terhadap sesuatu teori serta kaedah yang digunakan oleh mereka dalam menjalankan
penyelidikan bagi menguatkan lagi hujah mereka mengenai hasil yang diperolehi
melalui kajian tesebut.

Dalam sains sosial, ontologinya lebih kepada asal usul realiti sosial
(Blaikie, 2007) di mana setiap perkara yang dinyatakan oleh penyelidik di dalam
kajiannya perlulah disokong dengan andaian ontologi sama ada secara tersurat atau
tersirat. Ini bermakna setiap perkara yang dikaitkan dalam penyelidikan perlu
dinyatakan kaitan di antara satu sama lain serta bagaimana perkara tersebut wujud.
Perkara ini sangat penting kerana sesuatu perkara atau fenomena yang berlaku
biasanya tidak sama dengan pemahaman manusia. Mungkin perbezaan geografi,
pegangan, adat dan sebagainya menyebabkan tafsiran dan fahaman yang di lontarkan
berbeza sama sekali dengan realiti sebenar (Walter, 2010). Pemahaman secara
mendalam penyelidik mengenai sesuatu fenomena atau isu yang hendak dikaji amat
penting kerana pemahaman tersebut diperlukan bagi mengetahui fenomena secara
menyeluruh dan terperinci sekaligus membantu mereka menghasilkan satu kajian
yang tepat dan boleh dipercayai.

Teori yang berkaitan dengan asal usul sosial realiti ini dibahagikan kepada dua
iaitu idealist dan realist. Idealist beranggapan bahawa manusia bukan sahaja
dipengaruhi oleh persekitaran, nilai dan pegangan sekeliling tetapi juga dalam masa
yang sama mereka juga boleh mempengaruhi persekitaran tersebut. Perkara ini juga
bermakna manusia itu sendiri yang memberi makna dan membuat tafsiran sendiri
terhadap sesuatu fenomena yang berlaku. Penyelidik sukar memisahkan diri dari dunia
luaran kerana setiap tindakan manusia mempunyai makna dan tafsiran tersirat.
Realist pula merupakan tanggapan kita sewaktu melihat sesuatu perkara yang berlaku
dan kita menilai sendiri perkara tersebut secara luaran di dalam kata lainnya,
seseorang penyelidik menilai sesuatu fenomena itu dari segi luaran yang boleh dinilai
dan dilihat tindakan yang berlaku padanya seperti tindakbalas terhadap sesuatu isu
yang berlaku, kesan fizikal yang boleh dilihat dengan mata kasar dan boleh
dibuktikan. Penyelidik yang menggunakan kaedah ini perlu memisahkan diri mereka
4

dengan perkara yang diselidiki walaupun penyelidik berkongsi nilai atau pegangan
yang sama dengan perkara yang diselidiki tetapi penyelidik tersebut tidak mencampur
adukkannya bagi mendapatkan hasil penyelidikan yang terbaik.

Realist dibahagikan kepada lima bahagian iaitu shallow realist, conceptual


realist, cautious realist, depth realist dan subtle realist (Blaikie, 2007). Shallow realist
merupakan andaian yang menyatakan bahawa setiap perkara yang kita perhati adalah
perkara yang wujud dalam dunia luaran. Oleh sebab itu, penyelidik memberi huraian
secara generalisasi melalui proses kajian empirikal secara regulariti. Bagi conceptual
realist pula mereka melihat bahawa realiti sosial dapat diketahui melalui kapasiti
manusia untuk berfikir dan memberi alasan secara semulajadi di mana seseorang
penyelidik mampu berfikir secara rasional dan logik untuk menerokai sesuatu
pemahaman realiti sosial. Pemikiran ini juga berdasarkan kepada pemahaman
penyelidik terhadap sesuatu isu dan pemahaman ini biasanya berbeza bagi setiap
penyelidik kerana tahap pemikiran yang berbeza berdasarkan kepada pembacaan,
pengalaman dan juga nilai yang dipegang oleh mereka. Secara umumnya, pemikiran
dan pengetahuan bukanlah harta perseorangan atau perkara yang mempunyai tafsiran
yang tetap dalam komuniti sosial tetapi ia merupakan percambahan pemikiran,
kesedaran dan pemahaman oleh semua para pemikir sosial.

Cautious realist bersetuju bahawa realiti luaran merupakan sesuatu yang bebas
tetapi menegaskan bahawa tidak mungkin manusia akan memberi tafsiran yang tepat
kerana ketidaksempurnaan pemikiran manusia dan proses mentafsir fakta yang
diperhati oleh mereka. Ketidaksempurnaan yang berlaku adalah kerana berpunca
daripada cara berfikir manusia yang pelbagai berdasarkan kepada pembacaan,
pengalaman, pemahaman dan nilai yang berbeza. Oleh sebab itu penyelidik aliran ini
akan sentiasa mengkritik kerja mereka kerana kepercayaan mereka kepada sifat
manusia yang boleh membuat kesilapan. Depth realist pula melihat terdapat hubungan
di antara struktur dan mekanisma maka ia mempunyai tiga domain iaitu empirikal
menerusi pengalaman berfikir tetapi pemikiran tidak mendalam, keduanya ialah actual
atau benar di mana sesuatu peristiwa itu boleh diperhati oleh penyelidik tentang
perkara yang berlaku, apabila kuasa memainkan peranan, tindakan yang mereka
lakukan dan sebab mereka melakukannya dan yang terakhir ialah real atau nyata yang
5

melibatkan proses generate peristiwa tertentu dan ia akan menjadi kuat dan teguh
kerana mengambil kira objek struktur dan kuasa. Perkara terakhir yang diterangkan di
dalam ontologi realist ini adalah subtle realist iaitu mengakui bahawa semua
pengetahuan bergantung kepada andaian dan tujuan serta merupakan tafsiran daripada
manusia dan menerimanya sebagai satu cabang daripada tafsiran serta makna yang
telah diberikan dalam penyebaran ilmu baru.
2.2 Epistomologi

Epistemologi merupakan salah satu cabang ilmu falsafah selepas ontologi. Istilah
epistomologi telah diperkenalkan oleh ahli falsafah Scotland iaitu James Frederick
Ferrier. Perkataan epistomologi berasal dari bahasa Yunani iaitu gabungan episteme
dan logos yang bererti episteme sebagai pengetahuan manakala logos bermakna
pengetahuan sistematik atau ilmu. Secara umumnya epistemologi bermaksud suatu
pemikiran yang mendalam dan sistematik mengenai sesuatu ilmu pengetahuan
tersebut. Menurut Oxford Dictionary Of Sociology (2009), epistemologi bermaksud
“The philosophical theory of knowledge on how we know what we know”.
Ini bermakna epistemologi adalah mengenai bagaimana pengetahuan yang dimiliki
diperolehi oleh seseorang individu.

Selain daripada itu, epistemologi juga mempunyai kaitan dengan pertanyaan


bagaimana proses yang memungkinkan suatu pengetahuan itu diperolehi, apakah
prosedur atau teknik yang perlu dilakukan di dalam mendapatkan pengetahuan yang
berupa ilmu, apakah yang dikatakan sebagai kebenaran dan sejauhmana ianya adalah
benar. Fokus utama epistemologi adalah untuk menjawab apa yang benar dan sudah
diketahui serta menjawab persoalan bagaimana cara untuk mengetahuinya.
Epistemologi hanya melihat kepada perkara yang boleh dilihat secara realiti dan
kemudian diteliti secara saintifik melalui pengetahuan yang dimiliki. Secara tidak
langsung epistemologi mencerminkan cara pandang penyelidik tentang apa yang dapat
diketahui tentang dunia dan bagaimana kita dapat mengetahuinya.

Menurut Dagobert (1962), epistemologi adalah satu cabang falsafah yang


membahaskan tentang sumber, struktur, metod dan kesahihan sesuatu pengetahuan.
Sehubungan itu, dapatlah disimpulkan bahawa epistemologi ini menjawab persoalan
6

mengenai sesuatu pengetahuan yang dimiliki. Persoalan-persoalan tersebut adalah:

a) Apa itu pengetahuan?


b) Dari mana asalnya atau sumber pengetahuan itu?
c) Untuk apa pengetahuan tersebut dan kegunaannya?
d) Apakah nilai pengetahuan tersebut?
e) Bagaimana hendak membentuk pengetahuan yang benar dan tepat?
f) Apa itu kebenaran?
g) Apa yang diketahui oleh manusia itu sendiri?

Sidi (1973) di dalam bukunya menjelaskan bahawa pengetahuan adalah apa


yang diketahui manakala pengetahuan itu adalah hasil daripada kenal, sedar, mengerti
dan pandai. Pengetahuan yang dimiliki adalah hasil proses daripada usaha individu itu
untuk mengetahui sesuatu perkara sama ada melalui pembelajaran, pembacaan atau
pengalaman yang dimiliki melalui diri sendiri, orang lain atau tradisi sesuatu
masyarakat itu. Secara umumnya, epistemologi membicarakan asal usul sesuatu ilmu.
Menurut Grix (2002), epistemologi adalah satu proses memperolehi pengetahuan dan
ianya menfokuskan kepada pembangunan teori-teori baru. Cara mendapatkan sesuatu
pengetahuan itu tidak bersifat statik dan sentiasa berubah di mana kedudukan
epistemologikal yang dipilih oleh seorang penyelidik akan memberi pandangan yang
berbeza walaupun fenomena sosial tersebut adalah sama. Blaikie (2007) telah
menyatakan bahawa epistemologi merujuk kepada teori pengetahuan iaitu bagaimana
manusia mempunyai pengetahuan tentang dunia di sekeliling mereka dan bagaimana
kita tahu apa yang kita tahu.

Paradigma epistemologi terbahagi kepada tiga bahagian iaitu rasionalisme,


positivisme dan interpretivisme serta perlu dilihat secara mendalam bagi pemahaman
yang lebih jelas.

a) Rasionalisme

Rasionalisme merupakan falsafah yang menyatakan bahawa akal merupakan sumber


pengetahuan utama di mana melibatkan kepercayaan terhadap kemampuan akal
7

fikiran seseorang individu untuk mengetahui akan kebenaran sesuatu perkara.


Rasionalisme mengatakan bahawa kebenaran haruslah berasaskan fakta, saintifik dan
menolak perkara yang tidak logik, membabitkan emosi dan pengalaman yang
berasaskan pancaindera sebagai sumber pengetahuan.

b) Positivisme

Cara pemikiran yang dibangunkan oleh Auguste Comte di mana falsafah yang
berpendapat bahawa setiap penegasan secara rasional boleh disahkan secara saintifik
atau dibuktikan secara logik melalui pemerhatian, eksperimen dan perbandingan.
Hujah positivisme adalah bahawa alam sosial ini berada di luaran penyelidik dan ciri-
cirinya dapat disukat secara langsung melalui pemerhatian saintifik. Sesuatu realiti
yang mengandungi apakah yang boleh diperolehi dari deria, apa yang boleh disentuh
dan dilihat dan sebagainya. Positivisme juga berkaitan dengan alam dan sains
kemanusiaan, prinsip logik dan metodologi, membincangkan dengan fakta dan bukan
dengan nilai. Pengetahuan ini kemudiannya boleh digunakan untuk menjelaskan
perjalanan perubahan sosial dan perkara yang berlaku di sekeliling.

c) Interpretivisme

Interpretisme merupakan falsafah yang melihat kepada interaksi individu di dalam


sesuatu masyarakat, tingkah laku dan tindak balas individu terhadap sesuatu.
Ini membabitkan analisis tingkah laku manusia secara mendalam dan dari sudut
pandangan seseorang individu. Interpretivisme dikaitkan dengan konstruktivisme,
yang menyatakan realiti semulajadi (undang-undang sains) dan realiti sosial
adalah berlainan dan disebabkan itu kaedah penyelidikan yang digunakan
adalah berbeza.

Melihat kepada pernyataan-pernyataan yang diberikan dapat dinyatakan


bahawa epistemologi melihat kepada perkara yang telah diketahui sama ada melalui
pancaindera atau pengalaman seharian dan bagaimana cara untuk mengetahuinya
8

secara saintifik. Contohnya rasa garam adalah masin ini dan diketahui melalui
kehidupan seharian individu itu dan pengetahuan mengenai masin itu adalah
berdasarkan ilmu pengetahuan yang dimiliki dan dibuktikan dengan merasai garam itu
sendiri bagi mengesahkan rasa masin tersebut.

2.3 Metodologi

Metodologi diperolehi dari perkataan metode yang merujuk kepada satu prosedur atau
cara untuk mengetahui sesuatu melibatkan kaedah bersistematik. Metodologi berasal
dari bahasa Yunani metodos dan logos yang bermaksud metha’ iaitu melalui atau
melewati dan hodos bermaksud jalan atau cara. Menurut L. R. Gay (1996),
metodologi merupakan kaedah dan teknik mereka bentuk, mengumpul dan
menganalisa data supaya bukti yang diperolehi dapat menyokong sesuatu kajian itu.
Bagi Ahmad Mahdzan Ayob (1992) pula beliau menyatakan bahawa kaedah
penyelidikan merupakan segala langkah yang diambil untuk mencapai segala objektif
penyelidikan. Ini bermakna dalam menjalankan penyelidikan perlu melibatkan
metodologi yang bersesuaian agar objektif kajian dapat dicapai.

Semua fenomena sosial dalam dunia ini mempunyai pengetahuan secara


saintifik. Sehubungan itu, metodologi amat penting bagi membolehkan sesuatu
perkara itu dijelaskan secara sains dan sistematik. Ahli teoritis klasikal mengatakan
bahawa kajian dunia sosial patut dijalankan melalui sains dan pemerhatian ini perlu
dijalankan secara sistematik dan teliti serta menggunakan pemikiran logik untuk
memberi satu jenis pengetahuan atau makna yang baru dan bernilai tentang hubungan-
hubungan manusia. Kini sains telah diterima sebagai satu cara untuk memperolehi
sesuatu pengetahuan dan disebabkan ini lebih ramai ahli sains sosial telah
memperkenalkan pelbagai metodologi penyelidikan untuk memahami atau
memperolehi sesuatu pengetahuan tentang sesuatu fenomena sosial yang ingin dikaji
(Neuman 2006).

Metodologi lebih bersifat general dan merupakan satu sistem panduan untuk
9

memecahkan persoalan, di mana komponen spesifiknya adalah bentuk, tugas, metod,


teknik dan alat. Ini berbeza dengan metod kerana metod berada di dalam metodologi
atau dengan kata lain metod ialah teknik saja dari keseluruhan yang dibahas dalam
metodologi. Dalam konteks penelitian ia melibatkan teknik penggalian data, teknik
pengolahan data, penentuan populasi serta sampel dan sejenisnya.

Pendekatan penyelidikan:

a) Pendekatan deduktif

Pendekatan deduktif merupakan pendekatan yang menggunakan logik bagi


menghasilkan kesimpulan atau hasil kajian berdasarkan hipotesis dan pemerhatian
yang telah dilakukan sebelumnya. Bagi sistem deduktif yang kompleks penyelidik
boleh mendapat lebih daripada satu kesimpulan. Kaedah ini sering digambarkan
sebagai pengambilan kesimpulan dari sesuatu yang umum ke sesuatu yang khusus.
Satu hipotesis lahir dari sebuah teori lalu diuji dengan melakukan beberapa
pemerhatian dan hasil pemerhatian tersebut dapat mengesahkan teori yang digunakan
untuk menghasilkan hipotesis. Melalui teori ini dapat diketahui bentuk data yang perlu
dipungut dan dianalisis bagi menyokong atau menolak sesuatu teori yang digunakan.
Penyelidikan ini sesuai menggunakan metod kuantitatif yang sistematik, terancang
dan terstruktur dengan jelas serta melibatkan penggunaan angka bermula
pengumpulan data, analisis data dan hasil yang diperolehi. Kuantitatif merupakan
penelitian yang lebih objektif dan ilmiah. Ianya tidak melibatkan interpretasi subjektif
penelitinya dan disebabkan inilah ianya lebih banyak digunakan sebagai metod kajian.

b) Pendekatan induktif

Pendekatan kedua ialah induktif yang menekankan kepada pemerhatian dan


kesimpulan dibuat berdasarkan pemerhatian tersebut. Kaedah ini bermula dengan
pengetahuan yang bersifat khusus kemudian menjadi umum dan dikaitkan dengan
metod kualitatif yang bersifat subjektif. Pendekatan penelitian kualitatif sering
dikaitkan dengan naturalistic inquiry (inkuiri alamiah). Setiap data kualitatif
10

mempunyai makna tersendiri. Sumber data kualitatif adalah catatan hasil pemerhatian,
transkrip, temu bual mendalam (in depth interview) dan dokumen-dokumen berbentuk
tulisan ataupun gambar. Data yang diperolehi adalah daripada pemerhatian, temubual
dan rujukan buku-buku akan dianalisis secara mendalam bagi mendapatkan
pemahaman secara mendalam terhadap suatu masalah.

Pernyataan yang diberikan jelas menunjukkan bahawa metodologi merujuk


kepada kaedah yang difikirkan sesuai bagi menjalankan penyelidikan berkenaan
sesuatu isu dan seterusnya menentukan kaedah yang efektif bagi menjawab
permasalah kajian tersebut. Justeru itu, metodologi yang dirangka perlu melibatkan
pembentukan hipotesis, pemilihan reka bentuk, kaedah pengumpulan data, penentuan
populasi dan pemilihan sampel, ujian rintis dan kaedah penganalisisan data.

BAHAGIAN 3: FENOMENA SOSIAL

3.1 Sisters In Islam ( SIS )

Dari segi ontologi realist, kami memilih fenomena sosial iaitu pergerakan Sisters In
Islam (SIS) yang ditubuhkan pada tahun 1993. SIS merupakan sebuah pertubuhan
bukan kerajaan yang dianggotai sekumpulan wanita professional yang beragama Islam
yang memperjuangkan hak-hak wanita dalam kerangka Islam. Tumpuan diberikan
kepada SIS ini bagi melihat tujuan wujudnya pertubuhan ini dan tarikan terhadap
golongan profesional wanita. Ini berkaitan kepada pemahaman bahawa isu berkaitan
hak-hak wanita memang menjadi tumpuan di negara ini terutamanya melibatkan isu
penindasan.

Bagi memudahkan lagi pemahaman mengenai ontologi ini, pertubuhan Sisters


in Islam diambil sebagai contoh. Pertubuhan secara asasnya memperjuangkan hak-hak
wanita dan kepentingan mentafsir semula Al-Quran dan hadis berdasarkan kepada
konteks sejarah dan budaya. Dari segi realist pertubuhan ini telah mengadakan
pelbagai protes dan bantahan terhadap sesuatu isu antaranya ialah pada 8 Januari 2002
11

di mana mereka telah melakukan bantahan terhadap hak poligami terhadap kaum
lelaki kerana bagi mereka Islam tidak menggalakkan poligami dan mereka juga
mempersoalkan mengenai Undang-undang Keluarga Islam mengenai kebenaran
berpoligami. Selain itu, mereka juga telah mengeluarkan kenyataan mengecam pihak
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang telah menjalankan hukuman rotan ke atas
tiga orang pesalah wanita.

Epistemologi dalam kajian ini untuk melihat tujuan kewujudan pertubuhan


SIS. Falsafah epistemologi yang paling sesuai ialah rasionalisme yang menumpukan
kepada fakta, saintifik dan logik yang didapati melalui pembacaan berkaitan
pertubuhan ini yang boleh didapati menerusi dokumen bertulis seperti artikel dan
buku, pemikiran secara kritis dan perbincangan mendalam. Pendekatan penyelidikan
yang dipilih adalah deduktif di mana mengfokuskan kepada tujuan penubuhan SIS
berdasarkan teori feminisme iaitu himpunan teori sosial, gerakan politik dan falsafah
moral yang sebahagian besarnya didorong oleh atau berkenaan dengan pembebasan
wanita daripada diketepikan oleh kaum lelaki (Shaw, S.M & Lee, J. 2011). Pertubuhan
SIS ini adalah hasil daripada gerakan umum untuk memperkasakan wanita di
Malaysia seperti mana yang berlaku di negara barat. Feminisme boleh ditakrifkan
sebagai pengiktirafan dan kritikan terhadap ketuanan lelaki digabungkan dengan
usaha untuk mengubahnya. Jelas bahawa teori ini berkaitan dengan kesamarataan
sosial, politik dan ekonomi antara kedua jantina. Penggunaan metod kuantitatif yang
melibatkan soal selidik sebagai instrumen utama dalam pengumpulan data di mana
memerlukan jumlah responden yang mencukupi bagi mencapai objektif kajian dan
dibuat analisis data bagi mengesahkan hipotesis yang telah dibentuk berdasarkan teori
yang dibuat.

3.2 Keganasan rumah tangga.

Ontologi fenomena sosial ini ialah sengaja atau cuba meletakkan mangsa dalam
ketakutan kecederaan fizikal, mencederakan mangsa secara fizikal, memaksa atau
mengancam melakukan perbuatan berbentuk seksual atau selainnya yang mangsa itu
berhak tidak melakukannya, mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaan mangsa
12

dan khianat atau merosakkan harta dengan niat menyebabkan kesedihan atau
kegusaran mangsa (Akta Keganasan Rumah Tangga (Akta 521) 1994) . Konsep
ontologi yang digunakan ialah realist iaitu melihat kepada bukti-bukti yang kelihatan
pada mangsa seperti lebam, luka dan kesan curahan air panas atau benda tajam.
Epistemologi bagi isu keganasan rumah tangga adalah positivisme yang berdasarkan
pemerhatian dan perbandingan terhadap tanda-tanda kecederaan pada fizikal mangsa.
Pendekatan penyelidikan menggunakan kaedah induktif di mana menekankan kepada
pemerhatian dan hasil kesimpulan pemerhatian tersebut. Metod yang digunakan
adalah kualitatif yang menekankan kepada temu bual mendalam dengan mangsa dan
dokumen bertulis atau bergambar.

BAHAGIAN 4: KESIMPULAN

Pemahaman terhadap ketiga-ketiga konsep ini adalah penting bagi penyelidik dalam
menjalankan sesuatu kajian. Ketiga-tiga konsep ini membentuk hubungan antara satu
sama lain kerana epistemologi dan kedudukan ontologi harus mempunyai beberapa
kesan ke atas kaedah yang dipilih dalam menjalankan penyelidik. Sehubungan itu,
dapatlah dirumuskan bahawa ontologi adalah apa yang wujud dan merupakan
pandangan mengenai sifat realiti manakala epistemologi pula berkaitan ilmu mengkaji
kebenaran secara umum tentang sesuatu pengetahuan bagi mendapatkan kesahihan
pengetahuan tersebut. Pandangan dan pengetahuan yang diperolehi akan memberi
kesan kepada metodologi di mana metodologi merujuk kepada cara mencari ilmu dan
menjalankan penyelidikan. Ini merupakan pendekatan strategik seseorang penyelidik
dan bukan hanya melihatkan kepada teknik dan analisis data sahaja. Secara ringkasnya
ontologi, epistemologi dan metodologi boleh difahami melalui gambarajah yang
diberikan di bawah.

Ontologi Epistemologi Metodologi Metod


Apa yang Apa dan Bagaimana Apakah
ingin bagaimana cara kita prosedur yang
diketahui kita memperolehi boleh
mengetahui sesuatu digunakan
pengetahuan pengetahuan untuk
memperolehi
pengetahuan
13

Setelah membaca mengenai konsep-konsep ontologi, epistemologi dan


metodologi kita akan mula melihat bagaimana pandangan kita terhadap pengetahuan
dan dunia memberi kesan kepada bagaimana kita merancang dan menjalankan
penyelidikan. Setiap disiplin yang berbeza mempunyai pandangan yang berlainan
tentang bagaimana penyelidikan perlu dijalankan. Sehubungan itu, adalah penting
untuk seseorang penyelidik mengetahui bagaimana disiplin dalam menjalankan
penyelidikan bagi memastikan objektif kajian tercapai.
14

RUJUKAN

Ahmad Mahdzan Ayob. 1992. Kaedah penyelidikan sosioekonomi. Kuala Lumpur:


Dewan Bahasa dan Pustaka

Akta Keganasan Rumah Tangga (Akta 521). 1994.

Blaikie, N. 2007. Approaches to Social Enquiry. Ed. 2. UK: Polity Press.

Dagobert D.R. 1962. Classics in logic : readings in epistemology, theory of knowledge


and dialectics. New York: Philosophical Library

Grix, J. 2002. Intoducing students to the Generic Terminology of social research.


Politics: Vol 22(3): 175-186

L. R. Gay . 1996. Educational Research. New Jersey: Merrill, Englewood Cliffs

Mohamad Sabri Haron & Zulkifli Mohamad 2004. Wacana Pengajian Umum. Dlm.
Mus Chairil Samani (pnty.). Menyuratkan yang Tersirat dalam Penulisan
Ilmiah: Persoalan Epistemologi, Ontologi dan Metodologi. Hlm. 29-44.
Bangi: Pusat Pengajian Umum.

Nueman, W.L. 2006. Social Research Methods: Qualitative and Quantitative


Approaches (Ed.6). USA: Pearson Education, Inc.

Oxford Dictionary Of Sociology. 2009. 3rd Ed. New York: Oxford University Press

Sabitha Marican. 2010. Penyelidikan sains sosial pendekatan pragmatik. Selangor:


Edusystem Sdn. Bhd.

Sayer, A. 1992. Method in social science. New York: Routledge


15

Shaw, S.M. & Lee, J. 2011. Women's Voices, Feminist Visions: Classic and
Contemporary Readings. 5th Ed. New York: Mc Graw-Hill Humanities,

Sidi Gazalba. 1973. Sistematika Filsafat. Jakarta: Bulan Bintang

Walter, M. 2010. Social research methods. Australia & New Zealand: Oxford
University Press

You might also like