You are on page 1of 9

Sebagaimana yang kita sedia tahu bahawa setiap kaum mempunyai adat

dan tradisi yang berbeza di antara satu sama lain, begitu juga dengan kaum Cina.
Menurut buku Pendidikan Negara Bangsa oleh Zulhilmi Paidi dan Rohani Abdul
Ghadi pada bahagian Masyarakat dan budaya China, “Masyarakat Cina mempunyai
bentuk dan corak kebudayaan yang unik dan tersendiri. Kebudayaan mereka berasal
daripada sebuah tamadun yang sangat tinggi. Mereka menganggap tradisi mereka
adalah paling baik berbanding tradisi dan kebudayaan masyarakat lain di dunia ini”.
Sememangnya, masyarakat Cina mempunyai banyak adat dan amalan tradisional
yang unik dan bermakna, seperti adat kelahiran, adat perkahwinan, adat kematian
dan sebagainya. Pada asasnya, adat resam perkahwinan Cina merangkumi
peringkat merisik, meminang, bertunang dan majlis perkahwinan. Daripada empat
peringkat tersebut, saya memilih adat majlis perkahwinan untuk membuat kajian
lanjut kerana saya tertarik dengan upacara-upacara yang dijalankan dalam majlis
perkahwinan tersebut. Menurut buku Gateway to Chineses Culture oleh Fu Chun
Jiang, terdapat beberapa adat yang dijalankan pada hari perkahwinan tersebut,
antaranya ialah bertandang, upacara minum teh, upacara sembayang, jamuan
perkahwinan, upacara YamSeng dan sebagainya. Namun, adat perkahwinan ini
telah jarang diamalkan kerana ia kian pupus ditelan zaman. Sehubungan dengan itu,
saya sebagai guru telah menghasilkan sebuah klip video untuk mengajar murid-
murid berkenaan adat upacara perkahwinan Cina supaya mereka dapat mengenal
kembali adat resam dan budaya orang Cina yang kian dilupakan oleh generasi muda
masa ini.

Antara kekuatan video ini ialah dapat mengenali adat perkahwinan


masyarakat Cina khususnya adat upacara perkahwinan dengan lebih
mendalam. Murid-murid sekolah rendah yang terdiri daripada agama, bangsa dan
budaya yang berlainan mungkin tidak pernah didedahkan kepada adat resam
masyarakat lain jika ada pun hanyalah melalui bahan bacaan atau rancangan
televisyen sahaja, sedangkan apa yang ditunjuk dalam cerita kebanyakkannya telah
pun diubahsuai oleh penulis atau pengarah filem. Lebih-lebih lagi, murid berbangsa
Cina yang pernah menghadiri perkahwinan kaum Cina pun tidak semestinya
memahami adat-adat yang diamalkan pada hari perkahwinan tersebut. Oleh itu,
melalui video ini, murid-murid bukan sahaja dapat mengenali adat perkahwinan
kaum Cina malah juga dapat mengetahui simbolik di sebalik setiap adat resam
tersebut. Contohnya, kita selalu boleh lihat upacara menghias rambut pengantin
perempuan dalam drama Cina tetapi kita tidak tahu apa tujuannya upacara itu
dilakukan. Hal ini penting kerana jika kita tidak memahami tujuan sesuatu adat resam
itu diamalkan maka kita tidak akan mengamalkan adat tersebut dalam kehidupan kita.
Keadaan seperti ini lama kelamaan akan menyebabkan adat resam tersebut hilang
begitu sahaja. Oleh demikian, dengan adanya video ini, guru boleh sambil
menunjukkan cara bagaimana adat resam itu dijalankan, sambil memberi
penerangan dan penjelasan berkaitan dengan adat tersebut.

Di samping itu, video ini juga dapat menegaskan kepentingan mentaati


ibu bapa dan menghormati golongan yang lebih tua. Bak kata pepatah, “anak
kecil ibarat kain yang putih, ibu bapalah yang mencorakkannya”. Sesungguhnya, ibu
bapa merupakan insan terpenting dalam hidup setiap manusia. Segala jasa yang
mereka curahkan tidak mampu kita balas walaupun mempunyai harta yang berjuta.
Sejak dulu lagi, kaum Cina sangat mementingkan ketaatan kepada ibu bapa dan
penghormatan kepada warga tua. Merujuk kepada laman web Wikipedia yang
bertajuk Xiao (taat), iaitu doktrin Konfusianisme, ketaatan dianggap sebagai
kewajipan mutlak bagi seseorang. Dengan mentaati ibu bapa, maka moral akan
tumbuh di dalam sesebuah keluarga. Seterusnya, hubungan dalam keluarga akan
secara langsung mempengaruhi pemerintahan di suatu negara. Hal ini dapat kita
lihat melalui upacara minum teh yang dilakukan sebanyak dua kali pada hari
perkahwinan Cina. Menurut Puan XXX, upacara ini merupakan adat yang paling
penting bagi masyarakat Cina dan ia masih diamalkan pada masa kini. Beliau
menyatakan bahawa, tindakan pengantin memberi teh kepada golongan yang lebih
tua ini adalah untuk menunjukkan bahawa mereka mengaku diri mereka sebagai
golongan muda yang memerlukan tunjuk ajar daripada golongan yang lebih tua. Jika
golongan tua itu meminum teh yang diberikan, bermakna dia setuju untuk menerima
seseorang itu sebagai ahli keluarganya. Ini jelas menunjukkan bahawa upacara
minum teh sangat penting kerana melalui adat ini, dapat mewujudkan perasaan
kekal menghormati orang tua walaupun sudah berumah tangga. Bukan itu sahaja,
upacara penyembahan nenek moyang juga mempamerkan sikap orang Cina yang
menghormati golongan tua. Hal ini kerana walaupun nenek moyang sudah lama
meninggal dunia, tetapi masyarakat Cina tidak mengabaikan dan melupakan mereka,
malah memberi penghormatan kepada mereka pada hari yang begitu meriah itu.

Lebih-lebih lagi, video adat perkahwinan kaum Cina ini juga dapat
menyemai sikap berpegang teguh kepada agama yang dianuti masing-masing.
Sememangnya, agama adalah pegangan yang harus ada dalam diri setiap manusia,
sama ada agama Islam, Buddha, Kristian ataupun Hindu. Tanpa pegangan agama,
maka akan goyahlah kehidupan manusia. Dalam adat perkahwinan Cina yang
beragama Buddha, pasangan pengantin akan melutut sebanyak tiga kali kepada
syurga dan bumi untuk mendapatkan kesejahteraan dan restu daripada Tuhan tetapi
pada masa kini kebanyakannya hanya sembahyang dengan membakar colok sahaja.
Begitu juga dengan adat perkahwinan Cina yang beragama Kristian, pasangan
pengantin akan melangsungkan dan mendaftarkan perkahwinan di gereja. Hal ini
kerana pada pandangan penganut Kristian, perkahwinan adalah suatu sakramen dan
ia merupakan hadiah yang diberikan oleh Tuhan untuk hubungan sepanjang hayat
antara seorang lelaki sebagai suami dengan seorang perempuan sebagai isteri.
Seperti apa yang dinyatakan dalam alkitab (Kejadian 2:19) bahawa “Lalu TUHAN
Allah berkata, "Tidak baik manusia hidup sendirian. Aku akan membuat teman yang
cocok untuk membantunya". Oleh itu, perkahwinan penganut Kristian mesti
dijalankan di gereja dan membuat sumpahan perjanjian dengan melafazkan ikrar
perkahwinan di hadapan Tuhan agar perkahwinan mereka dikira sah dari segi
agama. Namun, pada zaman moden ini, banyak kaum Cina yang bukan Kristian juga
melangsungkan perkahwinan di gereja dengan sedikit pengubahsuaian dari segi
protokol. Perkara ini sebenarnya amat memalukan kerana perbuatan ini
menunjukkan mereka seakan-akan tidak mempunyai anutan agama sedangkan
agama itu penting sebagai pedoman hidup dalam kehidupan seharian semua
manusia.

Seterusnya, video ini juga menunjukkan kepentingan meneruskan


kesinambungan keluarga. Menurut ajaran Konfusianisme dalam laman web
Wikipedia yang bertajuk Perkahwinan Cina, perkahwinan merapatkan keluarga-
keluarga dengan nama keluarga yang berlainan dan meneruskan jurai keturunan
klan bapanya. Oleh sebab itulah, anak lelaki diutamakan berbanding anak
perempuan. Bagi kaum Cina, adalah penting untuk sesebuah keluarga melahirkan
anak, bukan sahaja untuk menyambung zuriat keluarga, tetapi juga untuk
kepentingan kedua-dua ibu bapa pada usia tua nanti seperti pepatah kaum Cina
“Yang er fang lao” (养儿防老) yang bermaksud “memelihara anak untuk persediaan
masa tua”. Menurut Encik XXX, apabila ibu bapa sudah tua dan uzur, anak lelaki
yang sudah berkahwin (biasanya anak sulung) akan tinggal bersama ibu bapa dan
memikul tanggungjawab untuk menjaga mereka. Oleh itu, tidak hairanlah kaum Cina
sangat menitikberatkan penyambungan zuriat keluarga. Contohnya, dalam video ini
kita boleh lihat kaum Cina telah mengamalkan pelbagai adat yang berkaitan dengan
penyambungan zuriat seperti adat makan Tangyuan dan adat kanak-kanak lompat
katil pengantin. Adat-adat ini menjadi amalan kaum Cina dengan kepercayaan
bahawa melalui upacara-upacara tersebut pasangan pengantin akan lebih mudah
mendapat anak lelaki dalam jangka masa yang singkat. Tambah Encik XX bahawa,
selain adat yang dinyatakan di atas juga terdapatnya adat makan ladu separuh
masak yang menandakan keluarga yang bahagia, tetapi adat ini telah dimansurkan.

Lebih penting lagi, melalui video tersebut, kita dapat menyedari bahawa
hubungan silaturrahim perlu sentiasa dijalin dan dijaga dengan baik oleh setiap
manusia. Hubungan silaturrahim atau tali persaudaraan dan kekeluargaan perlu erat
untuk menjamin keharmonian hidup kerana dengan adanya hubungan ini, suasana
kasih sayang dan saling bantu-mambantu sesama manusia akan terbina. Menurut
Puan XXX, sejak zaman klasik China lagi, masyarakat Cina amat mementingkan
keharmonian dalam hubungan sesama manusia, terutamanya hubungan
kekeluargaan. Hal ini kerana menurut ajaran Konfusianisme, manusia perlu menjaga
lima hubungan utama, antaranya ialah hubungan ayah dengan anak, suami dengan
isteri, kakak dengan adik dan teman dengan teman. Amalan ini boleh dilihat melalui
upacara minum teh yang diadakan pada hari perkahwinan untuk merapatkan
hubungan kekeluargaan di antara kedua-dua belah pihak. Upacara ini biasanya
dijalankan oleh pasangan pengantin memberi minuman teh kepada saudara-mara
yang lebih tua mengikut peringkat diikuti golongan lebih muda memberi minuman teh
kepada pasangan pengantin. Hubungan silaturrahim ini bukanlah perlu dijaga dalam
kalangan ahli keluarga sahaja malah di antara sahabat-sahabat dan rakan taulan
juga. Sebagai contoh, masyarakat Cina sama ada yang beragama Buddha atau
Kristian turut mengamalkan adat jamuan perkahwinan dan upacara “yamseng” yang
melibatkan semua saudara-mara dan sahabat pengantin.

Bukan itu sahaja, Permainan Pintu Perkahwinan dalam adat perkahwinan


Cina membawa nilai ketabahan dalam mengarungi cabaran, terutamanya
cabaran yang bakal dihadapi pada alam perkahwinan. Permainan ini dikenakan
oleh pengiring pengantin perempuan kepada pengantin lelaki sebelum dapat
menemu pengantin perempuan. Tujuan permainan ini adalah untuk menduga sejauh
mana pengantin lelaki menyayangi pengantin perempuan tersebut. Demi melepasi
permainan pintu ini, pengantin lelaki perlu melakukan apa saja yang diminta oleh
pihak pengantin perempuan atau melalui pemberian Li Shi (wang). Sememangnya,
kehidupan kita penuh dengan cabaran dan dugaan. Untuk mencapai matlamat dan
kejayaan, seseorang itu mesti berjiwa teguh dan menghadapi sebarang halangan
dan rintangan dengan tabah. Berdasarkan buku yang berjudul Mengarungi Hidup
Berkeluarga oleh St. Darmawijaya, perkahwinan adalah perjalanan panjang, ia
memerlukan keberanian, ketekunan dan ketabahan dalam menghadapi pelbagai
perubahan. Justerunya, dengan ketabahan hati yang tinggi, seseorang itu akan
dapat menangani segala kesukaran dan kesulitan hidup dengan yakin.
Malang sekali, masih terdapat beberapa kelemahan yang wujud dalam
video adat perkahwinan kaum Cina ini. Perkara tersebut ialah berkenaan pelepasan
mercun. Menurut Encik XXX, mercun merupakan simbol bertuah yang membawa
kegembiraan dan kemeriahan kerana mereka percaya bahawa bunyi letupan mercun
berupaya menghindari kejahatan dan nasib malang, semakin kuat bunyi letupan
semakin banyak basib baik yang akan dibawa. Lantaran itu, kaum Cina menjadikan
pelepasan mercun sebagai suatu adat penting yang mesti dilakukan pada hari-hari
istimewa tertentu. Walau bagaimanapun, mercun amat membahayakan kerana ia
bukan sahaja akan melepaskan asap dan tertumpah Marikh malah juga akan
mencemarkan alam sekitar. Selain itu, pembelian mercun juga akan membawa
kepada kerugian ekonomi yang tidak diduga. Lebih teruk lagi, permainan mercun
juga berkemungkinan akan mengakibatkan kebakaran dan pelbagai kecacatan. Pada
hakikatnya, kelemahan amalan ini telah menarik perhatian yang luas sehinggakan
banyak negara telah menggubal peraturan untuk mengehadkan pelepasan mercun
untuk tujuan peribadi, terutamanya atas sebab-sebab keselamatan.

Untuk menyelesaikan kelemahan mercun tradisional ini, belon boleh


digunakan untuk mengganti mercun kerana pecahan belon juga boleh menghasilkan
bunyi yang kuat. Sebenarnya, belon sudah banyak digunakan dalam perkahwinan
moden untuk meraikan suasana perkahwinan. Namun begitu, belon masih lagi tidak
boleh menggantikan mercun sepenuhnya kerana belon tidak dapat mencapai kesan
yang diingini. Rentetan itu, mercun elektronik telah diperkenalkan di pasaran.
Mercun elektronik ini bukan sahaja boleh mengeluarkan bunyi biasa serupa mercun
malah juga boleh mengeluarkan kilat seperti mercun tradisinal yang sebenar.
Kekuatan utama mercun ini ialah ia boleh digunakan semula, mesra alam dan
selamat digunakan. Dengan menggunakan mercun elektronik, kita bukan sahaja
boleh mengekalkan adat tradisi melepaskan mercun pada hari perkahwinan, pada
masa yang sama juga tidak akan membawa kesan sampingan terhadap kesihatan
dan keselamatan diri sendiri, pencemaran alam sekitar dan perbelanjaan wang yang
besar.

Bersangkutan dengan hal di atas, pembaziran wang juga menjadi salah


satu kelemahan yang dapat kita lihat dalam video adat perkahwinan Cina ini. Bagi
kaum Cina, kemuncak hari perkahwinan adalah jamuan makan yang diadakan pada
waktu malam bagi yang beragama Buddha manakala waktu petang bagi yang
beragama Kristian. Menurut buku XXX, jamuan perkahwinan ini akan diadakan
secara besar-besaran sama ada di rumah, dewan atau restoran, tetapi pada masa
kini, kebanyakkannya diadakan di restoran atau hotel kerana lebih mudah diuruskan
walaupun menelan perbelanjaan yang lebih besar. Selain itu, masyarakat Cina yang
mementingkan hubungan ikatan persaudaraan seperti yang dinyatakan di atas juga
akan menjemput semua sahabat dan saudara-mara ke jamuan perkahwinan itu
sehinggakan ada yang melebihi seratus meja diperuntukkan untuk para tetamu yang
begitu ramai. Bukan itu sahaja, makanan yang dihidangkan pada jamuan itu juga
agak mahal, seperti udang galah, ikan, daging khinzir, ayam dan sebagainya.
Kesemua ini sudah tentu akan mengambil kos perbelanjaan yang sangat banyak
sehinggakan ada pasangan muda-mudi masa kini yang sanggup membuat pinjaman
yang melebihi kemampuan dengan pihak bank semata-mata memenuhi nafsu bagi
meraikan jamuan perkahwinan dengan begitu mewah sekali.

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa perkahwinan adalah sekali


dalam seumur hidup dan ia merupakan impian setiap pasangan kekasih yang ingin
mendirikan rumah tangga. Namun, jamun perkahwinan tidak semestinya disambut
secara besar-besaran dan penuh kemewahan. Sebaliknya, jamuan sewajarnya
diadakan secara sederhana mengikut kemampuan seseorang, bak kata pepatah,
“ukur baju di badan sendiri”. Untuk mengurangkan kos, pasangan pengantin
haruslah menyemai nilai rasional dalam membuat pertimbangan dan sentiasa
mengambil kira perancangan masa depan, bukanya terlalu teruja untuk mengadakan
perkahwinan yang mewah demi mengelakkan penyesalan jangka panjang.
Contohnya, mereka boleh memilih restoran yang lebih murah berbanding restoran di
hotel lima bintang yang selalunya menjadi pilihan kaum Cina masa kini. Lebih-lebih
lagi, mereka juga boleh memilih pakej perkahwinan yang lengkap, berkualiti dan
berbaloi bukannya hanya mengambil berat aspek kemewahan sahaja. Tegasnya,
jamuan perkahwinan yang sederhana tidak melambangkan alam perkahwinan
mereka tidak akan berkekalan. Justerunya, upacara perkahwinan sewajarnya
dilangsungkan secara sederhana kerana kunci kebahagian pasangan suami isteri
bukanlah terletak pada sebesar mana jamuan yang diadakan, sebaliknya pada sifat
toleransi, kasih sayang, perancangan masa depan dan sebagainya.

Selain pembaziran wang, kelemahan yang ketara dalam adat perkahwinan


Cina ialah meminum minuman keras. Jamuan perkahwinan dalam Bahasa
Mandarin dikenali sebagai ‘xi-jiu’ (喜酒) yang bermaksud ‘wain kegembiraan’. Maka
hidangan arak adalah diwajibkan. Sebagai buktinya, masyarakat Cina mengamalkan
upacara Yamseng dan upacara minum arak pada malam perkahwinan oleh
pasangan pengantin. Kedua-dua adat ini membawa makna yang mendalam bagi
kaum Cina. Oleh itu, arak memainkan peranan penting dalam adat tradisi Cina
Namun begitu, minuman arak perlu dielakkan kerana ia mengandungi alkohol yang
akan menyebabkan mabuk dan ini amat membahayakan. Sememangnya dalam
semua agama, arak tidak digalakkan. Seperti apa yang dinyatakan oleh Parabhava
Sutra, iaitu seorang sami Buddha bahawa “Kemabukan dan ketagihan dadah adalah
punca utama kejatuhan mereka”. Begitu juga dengan pandangan agama Kristian
dalam alkitab (Amsal 20:1) yang menyatakan bahawa “Anggur adalah pencemooh,
minuman keras adalah peribut, tidaklah bijak orang yang terhuyung-huyung
karenanya”. Manakala agama Islam pula melarang terus pengambilan minuman
keras kerana “arak adalah punca daripada segala punca kejahatan dan ianya adalah
maksiat paling mengaibkan.” (Kitab Sunan Ibnu Majah jilid 3, kitab memabukkan,
Bab 30, Hadis no. 3371). Lantaran itu, kelemahan amalan minum arak ini perlu
dibuat penambahbaikan.

Bertitik tolak daripada kenyataan di atas, untuk mengurangkan pengambilan


minuman keras, saya mencadangkan supaya minuman arak digantikan dengan
minuman teh. Umum diketahui bahawa minuman teh merupakan salah satu
daripada budaya tradisi Cina yang terkenal dan merupakan suatu keperluan dalam
kehidupan harian orang China. Terdapat pelbagai jenis teh China yang dibahagikan
berdasarkan cara pemprosesan daun teh, contohnya teh hijau, teh merah, teh bunga
dan lain-lain. Sesungguhnya, minuman teh amat sesuai digunakan untuk
menggantikan minuman arak kerana ia banyak berfaedah terhadap kesihatan kita.
Hal ini demikian kerana teh bukan sahaja bermanfaat bagi menghilangkan dahaga
dan keletihan, tetapi juga boleh membantu penghadaman dan mencegah beberapa
penyakit, seperti penyakit tekanan darah, sakit jantung, diabetes dan sebagainya.
Tambahan pula, daun teh secara semula jadinya beraroma wangi dan kewangian ini
dipercayai mampu meraihkan lagi suasana jamuan perkahwinan.

Jika diteliti dengan lebih mendalam, adat perkhawinan kaum Cina pada
masa kini seperti yang ditunjukkan dalam video agak berbeza dengan adat
perkahwinan yang diamalkan oleh masyarakat Cina pada masa dahulu. Menurut
buku XXX, masyarakat Cina hari ini lebih cenderung memilih bentuk
perkahwinan yang moden dan kebaratan sejajar dengan perubahan zaman serta
cara hidup moden. Contoh yang paling ketara ialah pakaian yang dipakai oleh
pengantin. Dalam perkahwinan tradisional Cina, pengantin perempuan akan
memakai pakaian dua bahagian yang dikenali Qun Gua (Cheongsam). Pakaian ini
diperbuat daripada kain sutera dan disulam dengan benang emas dan perak dalam
bentuk naga dan burung Pheonix. Selain itu, pengantin perempuan juga akan
menutup mukanya dengan sehelai tudung yang berwarna merah kerana mereka
percaya bahawa warna merah melambangkan nasib baik dan berupaya menghalau
roh-roh jahat daripada mendekati mereka. Sebaliknya, masyarakat Cina kini boleh
dikatakan telah tidak mengamalkan adat pemakaian pengantin tradisional ini,
terutamanya bagi mereka yang beragama Kristian. Seperti mana yang ditunjukkan
dalam video tersebut, pengantin perempuan pada masa kini sama ada yang
beragama Buddha atau Kristian cenderung memakai gaun dan tudung yang
berwarna putih manakala pengantin lelaki memakai suit hitam dan bertali leher.
Lebih-lebih lagi, masyarakat Cina sekarang juga cenderung menjalankan
perkahwinan secara sivil, iaitu mendaftarkan perkahwinan di gereja walaupun bukan
penganut Kristian. Hal ini bermakna adat yang diikuti oleh generasi muda pada hari
ini bukan lagi adat seperti dulu yang secara turun-temurun diwariskan oleh nenek
moyang mereka tetapi telah pun dipengaruhi oleh unsur-unsur luar terutamanya
penambahan dari segi budaya Barat dan keagamaan.

Pada hakikatnya, perkara di atas yang dilihat seolah-olah perkara remeh ini
akan menjadi permasalahan serius jika tidak diberi perhatian yang sewajarnya. Hal
ini kerana unsur-unsur luar yang diserap masuk dalam adat resam sesuatu
masyarakat lama-kelamaan akan menjadi amalan masyarakat tersebut dari satu
generasi kepada generasi lain. Situasi ini akan mengakibatkan adat resam asal
semakin dilupakan dan akhirnya mengalami ancaman kepupusan. Lantaran itu, saya
mencadangkan supaya menerapkan sikap tanggungjawab memelihara adat
resam kaum diri sendiri dalam minda setiap masyarakat dan bukannya
mengejar trend semata-mata. Misalnya, jika pasangan pengantin merupakan
penganut Buddha, maka mereka sewajarnya menjalankan upacara perkahwinan
mengikut cara agama Buddha dan bukannya mengikut stail moden yang dianggap
lebih romantik seperti menjalankan upacara perkahwinan di gereja yang sepatutnya
diamalkan oleh penganut Kristian. Di samping itu, seseorang itu juga tidak boleh
membuat pengubahsuaian terhadap adat tersebut sesuka hati mengikut trend zaman
moden dengan alasan takut ketinggalan zaman.

Kesimpulannya, setiap adat resam yang diwarisi mempunyai makna dan


signifikan yang tersendiri bukan setakat melambangkan norma-norma yang wujud di
dalam sesuatu masyarakat bahkan mempamerkan nilai amalan yang menjadi
pegangan masyarakat tersebut. Memandangkan adat resam melambangkan identiti
sesuatu kaum, kita haruslah memelihara dan mengekalkan adat resam kaum kita
sendiri agar ia diteruskan sebagai khazanah negara yang unik. Bak kata pepatah,
biar mati anak, jangan mati adat. Sehubungan dengan itu, kita perlu mengetahui
kekuatan dan kelemahan yang terdapat pada sesuatu adat resam itu. Seterusnya,
menerima dan mengamalkan kekuatan tersebut lalu mengubahsuai kelemahan yang
ada dengan cara yang rasional bukannya mencampuradukkannya dengan budaya
lain sesuka hati.

You might also like