You are on page 1of 13

ADAT MERISIK

Dalam adat perkahwinan masyarakat Melayu, terdapat beberapa peringkat penting.


Pertama sekali adalah peringkat merisik.

Adat ini juga dipanggil meninjau atau menengok. Dalam budaya Melayu, adat ini merupakan
tahap awal menjodohkan teruna dan dara, yang melibatkan pertemuan antara wakil keluarga teruna
dengan orang tua pihak dara. Pertemuan tersebut dianggap penting untuk menghormati keluarga
pihak dara, sebagaimana ungkapan dalam adat Melayu kalau hendak meminang anaknya, pinanglah
ibu bapaknya terlebih dahulu. Ungkapan tersebut menjelaskan bahwa pandangan dan restu orang
tua perlu diperoleh terlebih dahulu dalam membuat keputusan yang besar seperti perkawinan.
Tujuan adat ini dilakukan adalah untuk memastikan bahawa gadis yang dihajati oleh seorang lelaki
itu masih belum berpunya. Ini penting, kerana dalam Islam seseorang itu dilarang meminang
tunangan orang. Di samping itu, adat ini juga bertujuan untuk menyelidik latar belakang si gadis.
Lazimnya adat ini akan dijalankan oleh saudara mara terdekat pihak lelaki seperti ibu atau bapa
saudaranya. Prosesi merisik dilakukan dengan tertib dan sopan untuk menjaga dan memelihara
nama baik kedua belah pihak.

Bagi pihak si gadis, terdapat beberapa kriteria yang perlu dipertimbangkan sebelum
menerima lamaran pihak lelaki antaranya ialah lelaki tersebut perlulah mempunyai latar belakang
agama serta mempunyai pekerjaan yang baik.

Apabila wakil pihak lelaki sampai di rumah si dara, para wakil keluarga lelaki akan bercakap-
cakap mengenai keadaan kehidupan, pekerjaan, maupun isu-isu terkini sembil menikmati jamuan
yang dihidangkan dan dihantarkan sendiri oleh si dara. Pada saat si dara menghidangkan jamuan
itulah para wakil dari pihak lelaki berkesempatan untuk melihat wajah si dara. Setelah itu, topik
pembicaraan mulai difokuskan untuk menyampaikan maksud kedatangan pihak teruna, dan pantun
untuk merisik mulai diperdengarkan oleh juru cakap mereka. Pada tahap ini, pihak teruna
menyatakan kehendak hati untuk “memetik bunga yang sedang menguntum” apabila si dara belum
memiliki pasangan.

Pantun merisik ini diawali oleh pihak keluarga teruna yang kemudian akan dibalas oleh pihak
keluarga dara yang menanyakan maksud kedatangan keluarga teruna.
Sudah lama langsatnya condong

Barulah kini batangnya rebah

Sudah lama niat dikandung

Baru sekarang diizinkan Allah

Dari Pauh singgah Permatang

Singgah merapat papan kemudi

Dari jauh saya datang

Karena tuan yang baik budi

Kalau gugur buah setandan

Sampai ke tanah baru tergolek

Kami bersyukur kepada Tuhan

Datang kami disambut baik

Berapa tinggi pucuk pisang

Tinggi lagi asap api

Berapa tinggi Gunung Ledang

Tinggi lagi harapan hati

Kabung enau tebang satu

Tebang sekali dengan sigainya

Tinggi gunung tinggi lagi harapanku

Harapan dalam tutur katanya


Besar api Teluk Gadung

Anak buaya mengonggong bangkai

Niat hati nak peluk gunung

Apakan daya tangan tak sampai

Sudah lama langsatnya condong

Dahannya rebah ke ampaian

Sudah lama niat dikandung

Baru sekarang disampaikan

Setelah pihak teruna selesai melantunkan pantun yang mengungkapkan maksud hati
mereka, maka pihak dara akan membalas pantun sebagaimana berikut ini:

Perahu kolek ke hilir tanjung

Sarat bermuat tali temali

Salam tersusun sirih junjung

Apa hajat sampai kemari?

Malam-malam pasang pelita

Pelita dipasang atas peti

Kalau sudah bagai dikata

Sila terangkan hajat di hati


Tidak pernah rotan merentang

Kayu cendana dijilat api

Tidak pernah tuan bertandang

Tentu ada maksud di hati

Tumbuk lada di atas para

Ada kasut simpan di hati

Tepuk dada tanya selera

Apa maksud di dalam hati

Kemudian, pihak lelaki akan membalas pantun tersebut dengan lantunan pantun yang
menyiratkan kehendak untuk ”memetik bunga di taman”.

Daun raya di atas bukit

Tempat raja menanam pala

Harap kami bukan sedikit

Sebanyak rambut di atas kepala

Sudah lama kami ke tasik

Tali perahu terap belaka

Sudah lama kami merisik

Baru kini bertatap muka


Tinggi-tinggi si matahari

Anak kerbau mati tertambat

Sekian lama kami mencari

Baru sekarang kami mendapat

Raja Hindu raja di Sailan

Singgah berenang di persiraman

Bagai pungguk rindukan bulan

Kumbang merindu bunga di taman

Cendrawasih burung yang sakti

Singgah hinggap di atas karang

Kasih berputik di dalam hati

Dari dahulu sampai sekarang

Singgah berenang di persiraman

Mayang terendam di dalam tasik

Kumbang merindu bunga di taman

Bintang merindu cendrawasih

Dalam adat Melayu, pihak si dara biasanya tidak langsung menjawab apa yang menjadi
kehendak pihak lelaki. Sesudah berpantun wakil lelaki tersebut akan memberikan sebentuk cincin
tanya berupa cincin belah rotan dan jika pihak gadis bersetuju mereka akan menetapkan tarikh
untuk peminangan. Walau bagaimanapun adat merisik jarang dilakukan lagi kerana pasangan
tersebut telah berkenalan terlebih dahulu, justeru itu mereka akan terus menjalankan adat
meminang untuk menjimatkan kos dan masa.
Panduan Merisik, Meminang, Bertunang dan Nikah

Ingin meminang seseorang untuk dijadikan teman hidup? Atau anda sudah punya buah hati
untuk disunting hatinya? Atau anda telah diamanahkan sebagai wakil untuk meminang seseorang?
Atau anda diminta untuk menerima dan menyambut rombongan meminang? Kira jadi orang tua la.
Adakah anda telah bersedia? Pastinya mula-mula sekali anda terbayangkan aksesori wajib untuk
majlis pinang meminang atau nikah kahwin….. cincin.

Ya, cincin. Cincin memainkan peranan penting dalam majlis perkahwinan. Berbanding
aksesori lain, cincin bagaikan ‘kepala’ sama ada dalam adat pertunangan mahupun perkahwinan.
Malah, bagi adat merisik, hanya cukup membawa sebentuk cincin sebagai tanda hasrat hati untuk
menyunting gadis idaman.

Begitu juga dengan majlis pertunangan. Seseorang gadis itu ditanda sebagai tunangan orang
apabila cincin tunang sudah berada di jari manis. Malah, dalam adat istiadat melayu, bagi acara
pernikahan, adat menyarung cincin bagaikan satu kemestian dilakukan walaupun hanya akad
diwajibkan.

Begitu pun sejak kebelakangan ini, ada pasangan yang inginkan kelainan dengan
menggunakan barang kemas lain seperti gelang tangan dan rantai leher atau DINAR berbanding
cincin pada upacara pernikahan mungkin kerana cincin sudah diberikan pada majlis merisik dan
pertunangan.

Bagaimanapun, kuasa cincin dalam majlis perkahwinan tetap relevan. Tidak semua yang
menggantikan cincin dengan barang kemas lain terutama mereka yang berpegang teguh kepada
adat istiadat setempat.

Saya ingin berkongsi pengalaman saya meminang dan menerima rombongan


peminangan bagi pihak anak-anak saudara sama ada lelaki atau perempuan. Pertama sekali tuan-
tuan perlu faham istilah-istilah berikut dan buat ikut prosedur. Yelah… dah nak ambik anak dara
orang, biar le beradab sikit:

Ya…. memang dalam Islam hanya ada meminang, akad nikah dan walimah je. Tapi apa yang
dibuat oleh orang-orang tua kita tidak bertentangan dengan syarak kecuali part-part yang
melampau. Jadi tidak salah untuk diikut mana-mana yang munasabah.
MERISIK

Merisik ialah satu usaha yang dilakukan oleh pihak lelaki. Lazimnya ahli keluarga
paling dekat seperti bapa/ibu saudara atau mak bapak sendiri. Tak perlu ramai-ramai. Alaa… macam
jalan-jalan biasa je. Tapi telefon la dulu. Jangan main redah je. Antara isi perbincangan ialah pihak
lelaki menanyakan sama ada si gadis yang akan dipinang nanti masih belum berpunya atau dah ada
ura-ura nak terima pinangan orang lain. Tanya betul-betul sebab budak-budak zaman sekarang
selalunya dah ada buah hati sendiri. Kalau dah memang diorang dah sama-sama berkenan tak jadi
masalah. Kot bapaknye yang tak tau. Nanti terkejut pulak tetiba je datang minang. Karang kena
perambat naya je. Tu pasal la kena merisik dulu.

Selalunya tuan-tuan akan disoal. Soalannya pula adalah soalan maut lagi berbisa. Jangan
terasa ye. Dah memang hak dia untuk bertanya. Jawab le dengan jujur.

“anak keje apa? Lawyer? Majistret?”….. “ngaji kat mana?”….. “hantaran orang sini tinggi.
Boleh ka?”

Kalau pihak perempuan tak setuju, selalunya ayat-ayat ni akan keluar. Harap tuan-tuan
faham. Jangan dok tanya soalan bodoh pula.

“Anak saya ni kecik lagi” (walaupun tak munasabah dengan rupanya)

“Anak saya ni…. masak nasik pun tak reti lagi” (jangan dok gatei cakap rice cooker ada)

“Cadangnya nak suruh dia mengaji lagi” (walaupun SPM dia kantoi)

Kalau pihak perempuan setuju. Ayat ni akan keluar,

“kecik tapak tangan…. nyiru kami tadahkan”

“bagi kami… takde halanganlah”

Okey, settle. Boleh bagi CINCIN tanda jadi sebentuk. Kalau nak bagi la. Bukan wajib pun.
Tetapkan tarikh meminang.
MEMINANG

Meminang ialah suatu majlis pihak lelaki menyatakan hasrat untuk mengambil anak
gadis tuan rumah untuk dijadikan isteri atau menantu. Rombongannya agak sederhana. Belum
sesuai diwarwarkan kepada umum. Peminangan dianggap berjaya bila pihak perempuan menerima
pinangan lelaki. Ianya terbahagi kepada 6 peringkat utama.

1. Buka majlis

i. Pihak perempuan membuka majlis dengan memberi salam dan surah al-fatihah.

ii. Perkenalkan ahli keluarga terdekat yang turut serta.

iii. Persilakan pihak lelaki untuk kenalkan diri dan nyatakan hajat. (buat-buat tak tau

pulak)

2. Meminang

i. Pihak lelaki kenalkan diri dan nyatakan hajat nak meminang dan sekaligus

melangsungkan majlis pertunangan/bertunang.

ii. Pihak perempuan akan beri laluan.

iii. Pihak lelaki akan letakkan cincin tunang…. “saya bapa saudara dan wakil kepada anak

saudara saya ingin meminang anak gadis tuan untuk dijadikan isteri dan teman hidup

kepada anak saudara saya dan juga sebagai menantu kami”

iv. Wakil pihak perempuan akan ambil cincin tu dan serah kepada bapak si gadis.

v. “Saya terima peminangan ini”. Alhamdulillah. Zaman sekarang ikut skrip je. Dulu lain

la… memang saspen. Tak tau terima ke tidak.


3. Tetap belanja

Hantaran belanja dan mas kahwin ditetapkan termasuk masa perlu diserah.

Antara istilah untuk hantaran belanja ni yang pernah saya jumpa:

i. Sekali cakap (Kedah) : nilai hantaran dah tak boleh runding

ii. Dua kali cakap : boleh runding lagi

iii. Belanja hangus (Perak) : kos kenduri di rumah pengantin perempuan

iv. Serba satu : set pakaian lengkap satu tubuh.

v. Serba berdiri : set barang kemas lengkap satu tubuh.

4. Hal-hal lain

Bincanglah apa-apa patut. Tarikh kenduri ke atau jumlah dulang dan lain-lain yang dirasakan

perlu.

5. Penutup

Ulasan dan peringatan isi majlis meminang dan bacaan doa selamat. Pihak perempuan yang

baca dan buat conclusion. Jangan silap.

6. Makan

Yang ni tak payah cerita.


BERTUNANG

1. Majlis perisytiharan bahawa si gadis adalah tunangan orang mulai detik itu. Jangan sapa-
sapa kacau dah.

2. Cincin tunang akan disarung.

3. Bertukar-tukar hadiah. Biasanya berbentuk manisan bukan pakaian.

Nota: biasanya majlis bertunang dijalankan sejurus selepas majlis meminang. Bertunang

adalah tempoh persediaan untuk melangsungkan perkahwinan. Masa inilah nak

siapkan duit serba sikit, cari keperluan, booking naib kadhi dan sebagainya. Jadi, amat

tidak munasabah jika ada yang melangsungkan majlis bertunang beberapa minit

sebelum akad nikah. Atas alasan masa meminang dulu tak buat majlis bertunang.

Contoh, bertunang (sarung cincin) pagi. Akad nikahnya pula malam tu. Mengapa

membazir dan disusahkan perkara yang senang? Yang tidak perlu.

AKAD NIKAH

1. Istilah syarak : Akad yang menghalalkan hubungan kelamin antara lelaki dan perempuan.

2. Dilaksanakan oleh wali atau wakil wali (tok naib kadhi) setelah dilafaz akad wakalah.

3. Selesaikan mas kahwin sebelum akad nikah.

4. Bayaran mas kahwin menggunakan cek adalah HUTANG.

5. Duit elaun tok kadhi yang nikahkan pengantin dibayar oleh pihak lelaki. Confirmkan dulu

jumlahnya.

6. Buat kat rumah je. Tak payah kat mesjid.


1. Kenalkan Diri

Sebiji kuini setangkai pauh

Dibeli orang dari Dengkil

Rombongan ini datangnya jauh

Saya diminta menjadi wakil

Sutera cina dilukis orang

Dilukis cantik dengan dakwat

Laut Cina kami seberang

Sampai di sini membawa hajat

2. Bertanya status

Sudah lama langsatnya condong,

Barulah kini batangnya rebah.

Sudah lama niat dikandung,

baru sekarang diizinkan Allah.

Besi sauh ditarik nyonya

Ditarik mari bersama kawan

Sebelum jauh, saya bertanya

Bunga di taman sudah bertuan?


3. Nyatakan hajat

Limau manis dimakan manis

Manis sekali rasa isinya

Dilihat manis, dipandang manis

Manis sekali hati budinya

Anak murid rajin bertanya

Guru pula memberi jawapan

Kalau sugguh belum berpunya

Jika sudi hendak berbesan

4. Cadangan/ Usul

Beratur landak mencari makan

Pohon pegaga di depan pintu

Masjid hendak kami dirikan

Dua keluarga hendak disatu

Susun di dinding kertas kajang

Kajang disampul lalu diikat

Hendak dirunding tidak panjang

Elok disimpul lalu diikat


5. Penutup

Orang membelat di tepi pantai,

banyak dapat ikan tembakul.

Yang kami hajat sudah tercapai,

Yang kami doakan sudah terkabul.

Renang lentang renang tiarap

Terbang menyusur terbang naik

Kita berdoa kita berharap

Mulanya baik akhirnya pun baik

6. Terimakasih

Tenang-tenang air di laut

Sampan kolek mudik ke hulu

Hati terkenang mulut menyebut

Budi yang baik sebut dahulu

Kalau ada jarum yang patah

Jangan disimpan di dalam peti

Jika ada silap dan salah

Jangan disimpan di dalam hati

You might also like