You are on page 1of 23

KRB3033 :PENGANTAR BAHASA MELAYU

TUGASAN BAHAGIAN A

i. Tiga fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah.


ii. Tiga kepentingan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kebangsaan.

TUGASAN BAHAGIAN B

i. Konsep tatabahasa
ii. Empat kesalahan penggunaan tatabahasa oleh murid di dalam bilik darjah.

DISEDIAKAN OLEH

NAMA NO. MATRIK

TING SIEW HONG D20112054289

PUSAT PEMBELAJARAN : EL-Q05(A121PJJ)

NAMA TUTOR E-LEARNING : PROFESOR DR. MAHZAN BIN ARSHAD

TARIKH SERAH : 21 NOVEMBER 2012

0
TUGASAN BAHAGIAN A

Kandungan

1 Tiga fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah

Pengenalan

1.1 Fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu


1.2 Fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi
1.3 Fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan

2. Tiga kepentingan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kebangsaan

2.1 Bahasa Jiwa Bangsa


2.2 Menyebar ilmu
2.3 Melahirkan insan yang murni

Rumusan

Bibliografi

1
Tugasan Bahagian A

1 Tiga fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah

Pengenalan

Malaysia merupakan sebuah negara unik yang terdiri daripada pelbagai kaum. Oleh itu,
pelbagai bahasa dipertuturkan. Keadaan ini tidak memanfaatkan perpaduan dalam kalangan
masyarakat sesebuah negara. Dengan ini, sistem pendidikan di Malaysia telah menggubalkan
Penyata Razak (1956) yang menyatakan bahawa bahasa Melayu dijadikan bahasa Kebangasaan
dan menjadi bahasa pengantar utama.

Kini, bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar di sekolah dari sekolah rendah hingga ke
peringkat universiti. Menurut Rustama A. Sani (993), Dewan Bahasa dan Pustaka telah mencipta
istilah yang mencukupi supaya penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pengajaran
dalam segala lapangan pengajian tidak menghadapi masalah. Dengan ini, bahasa Melayu
memainkan fungsi yang penting sebagai bahasa pengantar di sekolah.

1.1 Fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu

Raminah Hj. Sabran (1989) juga menyatakan bahawa kepentingan terhadap penguasaan
bahasa lebih ketara lagi di dalam bidang pendidikan kerana bahasa menjadi medium utama dalam
proses pengajaran dan pembelajaran. Apabila Malaysia mencapai kemerdekaan, soal kedudukan
Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ilmu telah menjadi salah satu keutamaan dalam dasar
pendidikan kebangsaan.

Sejak 1971, pelbagai kajian telah dibuat terhadap kesan sistem pendidikan di negara kita.
Hasil yang diperolehi amat membanggakan. Bahasa Melayu terbukti dapat menjadi bahasa
pengantar ilmu yang setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Bahasa Melayu telah berjaya
diangkat dan bertindak sebagai bahasa ilmu.

2
Menurut Hassan Ahmad (1988), bahasa Melayu telah berjaya menghasilkan lebih 5000
karya Melayu klasik yang sekarang ini tersimpan di merata-rata tempat di Eropah dan di tempat-
tempat lain. Ini akan menarik pelajar asing untuk menuntut ilmu yang tercatat dalam bahasa
Melayu dalam masyarakat kita. Kita perlu berasa bangga kerana bahasa Melayu dapat digunakan
sebagai bahasa yang dapat menyebarkan ilmu.

Pada 27 Oktober 2011, menteri pengajian tinggi Mohamed Khaled Nordin telah
berkesempatan melancarkan Pelan Tindakan Memartabat Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di
IPT dan Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 Peringkat Kementerian Pengajian Tinggi di
bangunan KPT, Putrajaya. Tindakan ini telah memantapkan lagi fungsi bahasa Melayu sebagai
bahasa ilmu dalam negara kita.

1.2 Fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi

Menurut Zulkifley Hamid (1996), bahasa dianggap sebagai suatu alat yang dapat
dipraktikkan atau digunakan bagi membolehkan pelbagai tujuan tercapai. Bahasa Melayu
digunakan sebagai bahasa komunikasi sebab ia berupa simbol bunyi yang dihasilkan oleh alat
ucap manusia. Melalui bahasa Melayu, kita berjaya menunjukkan pandangan kita, pemahaman
kita dan sifat ktia. Ia dapat menjamin komunikasi yang dilakukan berjalan lancar dan baik.

Dalam sistem pendidikan negara kita, bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa
komunikasi dengan tujuan kita dapat difahami oleh orang lain. Kita dapat menyampaikan
gagasan yang dapat diterima oleh orang lain. Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa
komunikasi juga dapat meyakinkan orang lain terhadap pandangan kita dan seterusnya kita boleh
mempengaruhi pandangan serta pemikiran orang lain.

Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi juga memudahkan kerjasama


antara pelbagai kaum. Jika semua kaum di Malaysia faham dan fasih menggunakan bahasa
Melayu, maka segala pendapat dapat disebar dan diterima tanpa kebinggungan. Semua kaum juga
boleh membuat perbincangan melalui bahasa Melayu walaupun setiap kaum mempunyai bahasa
tersendiri masing-masing. Segala forum, seminar, bengkel boleh dijalankan dengan lancar dengan
menggunakan bahasa Melayu.

3
Fungsi bahasa adalah komunikasi (Frederick J. Newmeyer, 1996). Dengan komunikasi,
kita dapat menyampaikan semua yang kita rasakan, fikirkan dan ketahui kepada orang lain.
Bahasa merupakan alat untuk merumuskan maksud kita. Dengan komunikasi, kita dapat
mempelajari dan mewarisi semua yang pernah dicapai oleh nenek moyang kita dan apa yang
telah dicapai oleh orang-orang sezaman kita.

1.3 Fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan

Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara Malaysia. Ia mempunyai kedudukan yang
tertentu seperti yang dimaktubkan oleh Perlembagaan Persekutuan serta Akta Bahasa. Menurut
Dr Nik Safiah Haji Karim (1986), konsep bahasa sebagai alat perpaduan dan lambang kedaulatan
negara kelihatan dengan nyata. Oleh itu ia berupaya menjadi bahasa perpaduan bagi rakyat
Malaysia.

Bahasa perpaduan ialah satu alat yang digunakan bagi menyatupadukan antara satu kaum
dengan kaum yang lain. Fungsi bahasa Melayu sebagai alat menyatupadukan bangsa tidak dapat
dipertikaikan lagi. Bahasa Melayu menjadi bahasa pergaulan atau bahasa perhubungan di antara
pelbagai bangsa di seluruh negara.

Demi memupuk perpaduan kaum di negara ini, Laporan Razak 1956 menyatakan bahawa
tujuan akhir dasar pendidikan negara ini adalah untuk menyatukan murid yang berlainan bangsa
di bawah satu sistem pendidikan kebangsaan dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai
bahasa pengantar. Walau bagaimanapun, pelaksanaan tidak boleh dipaksa secara mendadak.
Berdasarkan Laporan Razak, jelas bahawa dasar pendidikan yang dilaksanakan dapat membentuk
perpaduan kaum di negara ini.

Berdasarkan sejarah negara ini, tidak ada bahasa lain yang lebih layak atau boleh
mengambil alih fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan. Inilah jati diri bagi negara ini
dan yang perlu dipertahankan sejak dulu, kini hingga selama-lamanya. Kedudukan bahasa
Melayu sebagai bahasa perpaduan ini tidak boleh digugat demi merealisasikan konsep Satu
Malaysia.

4
2. Tiga kepentingan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kebangsaan

2.1 Bahasa Jiwa Bangsa

Bahasa Melayu penting dalam sistem pendidikan kebangsaan sebab ia merupakan bahasa
kebangsaan kita. “Bahasa Jiwa Bangsa” dengan jelas menunjukkan kepentingan bahasa dalam
proses memupuk perpaduan antara kaum. Menyedari hakikat ini, kerajaan telah menjadikan
bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara kita. Kepentingan bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini berpaksikan pada Perkara 152 Perlembagaan
Persekutuan.

Akta Pendidikan menegaskan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar


utama di sekolah-sekolah. Ini dapat memperkukuhkan kedudukan dan taraf bahasa Melayu
sehingga mampu menjadi wadah serta dapat menyaingi bahasa-bahasa maju yang lain.
Penggunaan satu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan akan berjaya mencerminkan
jalinan hubungan rakyat Malaysia yang sejati.

Pemilihan satu bahasa kebangsaan bagi negara kita timbul sebab perlu adanya satu
lambang penyatuan, iaitu dengan harapan bahawa bahasa itu dapat menjadi satu identifikasi
kebangsaan. Dalam konteks ini, bahasa Malaysia paling layak melambangkan jiwa bangsa kita.

2.2 Menyebar ilmu

Bahasa Melayu telahpun digunakan sebagai bahasa ilmu sejajar dengan peranannya
sebagai pendukung perkembangan ilmu dan sekaligus telah menjadi bahasa penting dan utama
dalam bidang keilmuan moden pada hari ini. Bahasa Melayu penting dalam pendidikan
kebangsaan sebab ia mempunyai dua ciri penting, iaitu keintelektual bahasa dan kesempurnaan
bahasa. Dengan ini, ia berjaya memikul tanggungjawab untuk menyebar ilmu.

5
Bahasa Melayu mempunyai sifat yang menarik atau daya cipta yang kuat untuk menjadi
alat penyebar ilmu. Oleh itu, kita hendaklah menjaga dan mengawal pertumbuhan bahasa ini
daripada bahaya ciptaan yang salah. Soal ejaan tidak standard, soal istilah yang berbeza-beza dan
ciptaan gaya yang terlalu bebas dan kesalahan tatabahasa adalah perkara yang boleh menjatuhkan
imej bahasa Melayu. Dengan memartabatkan taraf bahasa Melayu, barulah ia dapat berfungsi
sebagai bahasa pengantar ilmu yang berwibawa.

Bahasa Melayu harus mempunyai perbendaharaan kata, istilah dan laras bahasa yang
sesuai untuk mengukapkan konsep dan pemikiran yang kompleks dan abstrak. Misalnya apabila
memperkatakan konsep ekonomi, maka perlulah bahasa Melayu mempunyai perbendaharaan kata,
istilah, dan laras bahasa yang cukup dan sesuai untuk menyatakan konsep dan pemikiran tentang
hal-hal perdagangan, perindustrian ringan dan berat, perniagaan saham, pengurusan perakaunan
dan perangkaan.(Abdul Hamid Mahmood, 2002).

Bahasa Melayu direncanakan menjadi bahasa yang ekspresif dalam pelbagai bidang ilmu,
termasuk sains dan teknologi. Dengan demikian, bahasa Melayu dapat mencapai
taraf kecendiakawan dan bahasa sainstifik. Ia juga mampu mendukung perkembangan ilmu dan
pemikiran bangsa dalam segala lapangan.

Kita perlu membuat penyelidikan dalam bidang apa pun, contohnya bidang budaya,
perubatan, sejarah dan sebagainya dalam bahasa Melayu. Kita mesti mengamalkan bidang-bidang
profesion yang ada di negara ini dalam bahasa Melayu. Dengan ini barulah bahasa kita akan
menjadi bahasa yang berkedudukan tinggi seperti yang dibuktikan dalam sejarah.

2.3 Melahirkan insan yang murni

Di samping memberi pendidikan, bahasa Melayu juga digunakan untuk pembinaan


sahsiah diri serta pemupukan kemahiran berfikir. Ia juga bertujuan melahirkan pelajar yang aktif,
berketrampilan, berbahasa, bersedia menimba ilmu dan mempunyai akhlak yang tinggi. Ini
adalah disebabkan bahasa Melayu mempunyai unsur-unsur keindahan .

6
Dalam menempuhi pelbagai cabaran di pentas dunia global hari ini, kita berharap agar
insan seimbang yang dilahirkan oleh sistem pendidikan kita berupaya bukan sahaja untuk
mencapai kesejahteraan diri tetapi juga memiliki kekuatan moral untuk memberi sumbangan
yang bermakna kepada masyarakat dan negara. Matlamat pendidikan yang murni ini akan terus
kita pertahankan dalam merencana halatuju pendidikan negara pada masa hadapan.

Sejarah membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa lingua franca.
Bahasa Melayu bukan setakat digunakan sebagai lingua franca malah bahasa yang dapat
dijadikan alat menyatupadukan fikiran, usaha dan fahaman dalam memperjuangkan kepentingan-
kepentingan negara.

Dengan menggunakan bahasa Melayu dalam pendidikan kebangsaan yang terdiri daripada
pelbagai kaum ini, maka persefahaman antara kaum akan wujud dan kita semua boleh hidup
dalam satu masyarakat yang murni. Keharmonian dan kemakmuran yang merupakan matlamat
akhir sistem pendidikan kebangsaan harus diluaskan maknanya kepada kebahagian di dunia.

Rumusan

Laporan Razak 1956 telah menyarankan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar yang
utama dan kedudukan bahasa Melayu diperkukuhkan dalam Laporan Rahman Talib 1960.
Penggunaan bahasa Melayu semakin diperluaskan di semua sekolah. Fungsi bahasa Melayu
dalam sistem pendidikan telah dirumuskan oleh Akta Pendidikan 1961, lanjutan penegasan
perundangan terhadap Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960.

Ini telah menunjukkan kepentingan bahasa Melayu dalam pendidikan kebangsaan kita.
Kita sebagai rakyat Malaysi harus berasa bangga terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa
Kebangsaan. Menurut Nik Safiah Karim dan rakannya (2008), bahasa Melayu mempunyai masa
depan yang amat cerah. Maka, kita perlu meluaskan penggunaannya dan berusaha untuk
meningkatkan kedudukannya.
(1488 patah perkataan)

7
Bibliografi

1 Dr. Nik Satiah Haji Karim (1986). Bahasa Melayu Tinggi Teori & Penerapan. Kuala
Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia dengan kerjasama Nurin Enterprise.

2 Frederick J. Newmeyer, Penterjemah Sulaiman Masri (1996). Teori Tatabahasa


Keterbatasan & kemungkinannya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

3 Hassan Ahmad (1988). Bahasa Sastera Buku. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia.

4 Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Haji Musa, Abdul Hamid Mohmood (2008).
Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

5 Prof. Dr. Abdul Hamid Mahmood (2002). Guru dan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Percetakan
Zafar Sdn.Bhd.

6 Raminah Hj. Sabran (1989). Kecekapan Berkomunikasi Dalam Bahasa Malaysia untuk Pelatih
Maktab Perguruan. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

7 Rustam A. Sani (1993). Politik Dan Polemik Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Utusan
Publications & Distributors Sdn. Bhd.

8 Zulkifley Hamid (1996). Bahasa, Konsep, Fungsi Dan Penguasaannya Oleh Penutur.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

8
Rujukan internet

1 http://www.scribd.com/doc/13957200/FUNGSI-BAHASA-MELAYU

2 http://rujuknota.blogspot.com/2009/06/fungsi-bahasa-melayu.html

3 http://dwnmasyarakat.dbp.my/?p=14

4 http://jurnalperadabanipm.blogspot.com/2008/08/jurnal-peradaban-melayu_72.html

5 http://anak2sarap.blogspot.com/2010/09/fungsi-bahasa-sebagai-alat-komunikasi.html

6 http://deviden749.wordpress.com/2011/09/28/bahasa-sebagai-alat-komunikasi/

7 http://plm.org.my/wrdp1/?p=453

8
http://wiki.answers.com/Q/Status_Dan_Fungsi_Bahasa_Melayu_Sebagai_Bahasa_Perpa
duan

9 http://www.scribd.com/doc/37987194/PENGGUNAAN-BAHASA-MELAYU

9
TUGASAN BAHAGIAN B

Kandungan

Pengenalan

Konsep Tatabahasa - Morfologi

- Morfem

- Kata

- Ayat

Empat kesalahan penggunaan tatabahasa oleh murid di dalam bilik darjah

1 Penggunaan kata bila dan apabila

2 Penggunaan kata sendi nama di dengan imbuhan di

3 Penggunaan kata sendi dari dan daripada

4 Penggunaan ungkapan di mana dalam bahasa Melayu

Rumusan

Bibliografi

10
Tugasan Bahagian B

Pengenalan

Bahasa kita akan menjadi bahasa yang besar dan kaya apabila kita mampu menciptakan
kemajuan ilmu melalui bahasa kita. Setiap bahasa mesti mempunyai tatabahasanya tersendiri.
Tatabahasa adalah bidang ilmu yang mempelajari kaedah-kaedah yang mengatur penggunaan
bahasa. Ilmu ini merupakan sebahagian dari bidang ilmu yang mempelajari bahasa iaitu linguistik.

Abdullah Hassan (1993) menyatakan bahawa tatabahasa ialah suatu kumpulan petua bagi
membentuk perkataan, frasa, klausa dan ayat. Perkataan bergabung membentuk frasa. Frasa
bergabung membentuk ayat. Dua atau lebih ayat membentuk satu ayat majmuk. Ayat-ayat dalam
ayat majmuk dipanggil klausa. Kita belajar tatabahasa untuk mengetahui jalan bahasa kita.

Konsep Tatabahasa

Setelah mengetahui tatabahasa merujuk kepada pengetahuan pelajaran tentang


pembentukan perkataan dan proses pembinaan ayat, kita tinjau 2 bidang utama yang mencakupi
tatabahasa bahasa Melayu iaitu:

i- Morfologi - kajian tentang kata dan pembentukan kata, kelas kata dan imbuhan.

ii- Sintaksis - kajian tentang pembentukan ayat.

Morfologi

Morfologi ialah satu bidang ilmu yang mengkaji bentuk perkataan (Abdullah
Hassan,2006). Bentuk perkataan itu pula bermaksud bentuk fonologi atau tulisan sesuatu
perkataan itu. Lazimnya, sesebuah perkataan itu terbentuk dari satu atau lebih morfem. Terdapat
dua unit yang terlibat dalam pembentukan perkataan, iaitu morfem dan kata.

11
Morfem

Morfem ialah unit yang terkecil dalam bahasa yang membawa makna atau fungsi
tatabahasa (Abdullah Hassan,2006). Dalam perkataan berpeluh, tertekan, keamanan, melihat, dan
lain-lain, terdapat unsur-unsur bahasa seperti ber-, ter-, ke-, me-, -nya, -kah, -lah, -pun, -an, dan
lain-lain. Unsur-unsur ini dalam sesuatu perkataan tidak dapat dikecilkan lagi. Unsur-unsur ini
tidak dapat dikatakan makna dalam ertikata makna yang sebenarnya tetapi mempunyai fungsi
tatabahasa. Oleh itu, unsur-unsur ini adalah morfem.

Morfem boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu morfem bebas dan morfem terikat.
Morfem bebas ialah morfem yang dapat wujud bersendirian. Contohnya dalam perkataan
berpeluh, peluh itu merupakan morfem bebas kerana ia tidak memerlukan suatu bentuk lain
untuk dipakai. Peluh juga tidak boleh dipecahkan lagi menjadi pe atau luh. Berpeluh pula
mempunyai morfem lain sebagai bantuan untuk berfungsi sebagai perkataan. Oleh itu, ber
dikatakan morfem terikat. Ia terpaksa wujud dengan peluh sebelum ianya dapat digunakan.

Kata

Kata ialah satu lagi unsur dalam morfologi (Abdullah Hassan 1980). Ahli linguistik
mendefinisikan kata sebagai bentuk bebas yang terkecil. Kata bahasa Melayu boleh dihasil
melalui empat proses iaitu;

a- Proses tunggal menghasilkan kata tunggal

b- Proses pengimbuhan menghasilkan kata terbitan

c- Proses pemajmukan menghasilkan kata majmuk

d- Proses penggandaan menghasilkan kata ganda

Menurut wikipedia, kata bahasa Melayu boleh digolongkan melalui empat bahagian yang
besar iaitu:

a- Kata nama

b- Kata kerja

c- Kata Adjektif

d- Kata Tugas

12
Sintaksis

Sintaksis pula ialah bidang ilmu yang mengkaji pembentukan ayat. Menurut Ahmad
Khair Mohd Nor (2003), sintaksis sebagai subsistem bahasa bukan saja membicarakan selok-
belok ayat tetapi juga membicarakan selok-belok frasa dan klausa. Oleh itu, pembicaraan
sintaksis itu daripada frasa hingga ayat.

Nik Safiah Karim dan rakan-rakannya (1993) menyatakan bahawa sintaksis ialah bidang
ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur dan binaan atau konstruksi ayat. Bagi Abdullah
Hassan (1980), beliau menyatakan sintaksis merupakan istilah untuk mengkaji pembentukan ayat,
iaitu bagaimana morfem dan kata disusun menjadi unit sintaksis yang kecil iaitu frasa, atau
menjadi klausa dan ayat merupakan unit terbesar.

Ayat

Ayat menurut Nik Safiah Karim dan rakan-rakannya (1993) ialah unit pengucapan yang
paling tinggi letaknya dalam susunan tatabahasa dan mengandungi makna yang lengkap. Secara
amnya, ayat mestilah mengandungi satu subjek dan satu predikat.

Subjek merupakan bahagian yang diterangkan dan merupakan isi pembicaraan. Predikat
pula ialah bahagian ayat yang memberikan keterangan atau penjelasan, atau menyebutkan sesuatu
tentang subjek. Contohnya:

a- Aziz menangis.

Dalam ayat di atas, Aziz merupakan subjek, menangis pula ialah predikat.

Subjek dan predikat pula mempunyai unsur-unsur, iaitu sama ada frasa nama (FN), frasa
kerja (FK), frasa adjektif (FA) dan frasa sendi nama (FS). Frasa ialah urutan penempatan jenis
kata dalam ayat. Dalam bahasa Melayu mempunyai empat pola ayat dasar seperti berikut:

13
Subjek Predikat Frasa Subjek Frasa Predikat Pola ayat

a Siti ketua kelas FN FN FN+FN

b Ali ketawa FN FK FN+FK

c Minah baik hati FN FA FN+FA

d Baju ini dari India FN FS FN+FS

Pola ayat yang mengandungi frasa nama dan frasa kerja boleh dibahagikan kepada ayat
aktif atau ayat pasif. Nik Safiah Karim (1993) menyatakan bahawa ayat aktif ialah ayat yang
mengandungi kata kerja yang mengutamakan subjek asal sebagai judul atau unsur yang
diterangkan. Ayat pasif pula merupakan ayat yang mengutamakan objek asal.

Menurut Ahmad Khair Mohd Nor (2003), sesuatu ayat terdiri daripada unsur klausa dan
intonasi. Apabila sesuatu ayat itu dipandang dari segi jenis tindak balas yang diharapkan daripada
ujaran tertentu, maka ayat dapat dibahagikan kepada empat jenis, iaitu:

a- Ayat penyata - Ibu sedang memask.

b- Ayat tanya – dibahagikan kepada 2 jenis berikut:

i- Ayat tanya dengan kata tanya – Di mana rumah kamu?

ii- Ayat tanya tanpa kata tanya – Awak belum makan lagi?

c- Ayat perintah – dibahagikan kepada 4 jenis berikut:

i- Ayat suruhan - Sila tanggalkan kasut kamu.

ii- Ayat larangan - Jangan bising.

iii- Ayat silaan - Sila makan.

iv- Ayat pemerintaan - Tolong hantarkan buku latihan ini.


14
d- Ayat seruan - Aduh, sakitnya kepala aku!

Beberapa ayat tunggal yang dicantumkan dengan menggunakan kata penghubung boleh
menjadi ayat majmuk. Terdapat 3 jenis ayat majmuk dalam bahasa Melayu iaitu:

a- Ayat majmuk Gabungan

Ayat majmuk gabungan ialah ayat yang dibina oleh dua atau lebih klausa bebas dengan
menggunakan kata hubung seperti dan, atau, tetapi, serta, lalu dan sebagainya. Contohnya:

Kakak suka menyanyi dan menari.

b- Ayat majmuk pancangan

Ayat majmuk pancangan ialah ayat yang dibentuk oleh klausa yang tidak setara. Ayat
majmuk pancangan dibahagikan kepada 3 jenis seperti berikut:

i- ayat majmuk pancangan relatif – Saya membeli baju yang berwarna hijau.

ii- ayat majmuk pancangan komplemen – Dia mengetahui bahawa Ahmad telah pergi.

iii- ayat majmuk pancangan ayat keterangan – Saya tidak hadir kerana sakit perut.

C- Ayat majmuk Campuran

Ayat yang mengandungi lebih daripada satu jenis ayat. Ayat ini terdiri daripada ayat
tunggal dan ayat majmuk gabungan atau ayat majmuk pancangan. Contohnya:

Negara mengalami masalah ekonomi tetapi keadaannya bertambah baik apabila


pertumbuhan ekonomi mula berkembang semula.

15
Empat kesalahan penggunaan tatabahasa oleh murid di dalam bilik darjah

1 Penggunaan kata bila dan apabila

Salah satu kesalahan penggunaan tatabahasa oleh murid di dalam bilik darjah ialah
penggunaan kata bila dan apabila. Menurut Kamus Dewan, terdapat 2 entri bagi kata bila seperti
berikut:
i- kata yang digunakan untuk menanyakan pada waktu (masa, ketika) mana, kapan.
ii- pada masa apa, kapan.
Contohnya:
i- Bila anda hendak ke Kuala Lumpur?
ii- Kalau begini sampai bila pun basib pak tani tidak akan berubah.

Berdasarkan pengertian yang terdapat dalam Kamus Dewan, dapat disimpulkan bahawa
kata bila berfungsi sebagai kata tanya dalam ayat pertama manakala dalam ayat kedua bila bukan
berfungsi sebagai kata tanya.
Bagi kata apabila juga mempunyai 2 entri seperti yang berikut:
i- bilamana, pada masa apa, bila
ii- semasa, sewaktu, ketika bilamana, apakala, bila.
contohnya:
i- Apabila kamu balik ke mari?
ii- Dia semakin bimbang apabila melihat keadaan ibunya yang semakin tenat.

Kesalahan yang dilakukan oleh murid adalah seperti berikut:


i- Bila demam itu sembuh, kaki Ali tidak boleh lurus.(salah)
ii- Apabila senang datanglah ke rumah saya.(salah)

Ayat-ayat di atas sepatutnya ditulis seperti berikut:


i- Apabila deman itu sembuh, kaki Ali tidak boleh lurus.
ii- Bila senang datanglah ke rumah saya.

16
Menurut Nulawadin Mustafagani (1991), selain menjadi kata tanya, bila juga berfungsi
sebagai kata ganti umum. Walau bagaimanapun, penggunaan bila dan apabila mempunyai
perbezaannya. Oleh itu, kedua-dua kata ini tidak boleh ditukar ganti penggunaannya dalam
sesuatu ayat.

2 Penggunaan kata sendi nama di dengan imbuhan di

Murid selalu melakukan kesalahan penggunaan kata sendi nama di dengan imbuhan di
seperti berikut:
i- Tadi saya meletakkan beg sekolah saya disini.(salah)
ii- Surat itu telah di hantar ke pejabat.(salah)

Ayat yang betul sepatutnya ditulis seperti berikut:


i- Tadi saya meletakkan beg sekolah saya di sini.
ii- Surat itu telah dihantar ke pejabat.

Kata sendi nama di digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama.
Penggunaannya perlu terpisah daripada kata nama atau frasa nama. Ia juga digunakan khusus
untuk arah dan tempat. Contohnya:
i- di sebelah kiri
ii- di pejabat pos.

Kata sendi nama di tidak boleh digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang
menerangkan waktu, masa atau zaman. Contohnya;
i- Murid-murid menghadiri kelas tambahan di waktu petang. (salah)
ii- Saya ingin melawat ke Melaka di masa depan. (salah)

Imbuhan di ialah awalan yang digabungkan dengan kata dasar untuk membentuk kata
kerja pasif. Contohnya: dimakan, dilukis dan lain-lain. Menurut Ismail bin Dahaman (1997), di
sebagai awalan samalah fungsinya dengan ber-, men-, atau ter- yang digunakan untuk
membentuk kata kerja.

17
3 Penggunaan kata sendi dari dan daripada

Murid juga selalu melakukan kesalahan semasa menggunakan kata sendi dari dan
daripada. Kesalahan yang dilakukan adalah seperti berikut:
i- Saya menerima panggilan dari kawan saya.(salah)
ii- Amir baru pulang daripada rumah kawannya.(salah)

Ayat-ayat di atas sepatutnya ditulis seperti berikut:


i- Saya menerima panggilan daripada kawan saya.
ii- Amir baru pulang dari rumah kawannya.

Dalam tatabahasa bahasa Melayu, kata sendi dari sepatutnya digunakan di depan
perkataan yang menunjukkan arah, tempat dan masa. Contohnya:
i- Angin bertiup dari timur. (menunjukkan arah)
ii- Ibu balik dari pasar. (menunjukkan tempat)
iii- Pekerja itu bekerja dari pukul lapan pagi hingga pukul enam petang.(menunjukkan
masa)

Kata sendi daripada pula digunakan untuk menunjukkan keanggotaan, asal kejadian
sesuatu benda, banding beza sesuatu, orang atau organisasi, konsep abstrak dan sumber sesuatu.
Contohnya:
i- Minah merupakan ahli daripada Persatuan Bahasa Malaysia. ( menunjukkan
keanggotaan)
ii- Meja ini diperbuat daripada kayu jati. (menunjukkan asal)
iii- Kereta ini lebih besar daripada kereta itu. (menunjukkan banding beza)
iv- Bantuan wang itu diterima daripada kerajaan. (menunjukkan orang atau organisasi)
v- Suzi terlepas daripada seksaan itu. (menunjukkan konsep abstrak)
vi- Ayat ini dipetik daripada petikan itu. (menunjukkan sumber)

18
Menurut Arpan Shahbudin Latip (1998), kesilapan penggunaan kata sendi menunjukkan
kekerapan yang paling tinggi dalam morfologi. Oleh itu, kita harus memberi perhatian yang
tinggi terhadapnya. Kesilapan seperti ini perlu diperbetulkan seawal mungkin.

4 Penggunaan ungkapan di mana dalam bahasa Melayu

Awang Sariyan (1988) menyatakan salah satu unsur asing dalam sintaksis bahasa Melayu
yang sebenarnya merupakan pengaruh sintaksis Inggeris ialah keterangan relatif di mana … yang
lain daripada di mana sebagai unsur pertanyaan.

Dalam bahasa Inggeris, ungkapan di mana atau where berfungsi sebagai kata ganti
penghubung. Contohnya:
i- This is the house where I was born.
ii- The village where I live is very peaceful.

Dalam bahasa Melayu, ia boleh diterjemahkan menjadi:


i- Inilah tempat saya dilahirkan.
ii- Kampung tempat tinggal saya amat aman.

Namun demikian, kesalahan penggunaan tatabahasa oleh murid di dalam bilik darjah
telah berlaku apabila murid menggunakan di mana sebagai penghubung ayat seperti berikut:
i- Inilah tempat di mana saya dilahirkan.(salah)
ii- Kampung di mana saya tinggal amat aman.(salah)

Menurut Kamus Dewan, di mana membawa maksud perkataan yang digunakan untuk
menanyakan tempat. Di mana juga boleh membawa maksud tempat. Contohnya dalam ayat
berikut:
i- Di mana ayah kamu sekarang?
ii- Di manakah rumah kamu?

19
Menurut S. Nathesan (1994), pengaruh bahasa Inggeris dalam bahasa Melayu boleh
dibenarkan tetapi jangan sampai menjejaskan kemurnian sistem bahasa Melayu. Oleh itu, kita
haruslah berhati-hati semasa menulis atau menuturkan bahasa Melayu supaya tidak terikut-ikut
gaya sintaksis bahasa Inggeris sehingga membawa masalah kepada bahasa Melayu.

Penutup

Mutu bahasa Melayu adalah penting dan perlu dijaga kerana kita merasakan bahawa
kemajuan hidup manusia terutama dalam bidang ilmu, tidak akan tercapai dan tidak akan dapat
diungkapkan dengan baik dan jelas melalui bahasa yang salah. Di samping itu, bahasa harus
ditingkatkan proses pengintelektualannya melalui usaha penghasilan ilmu sebanyak-banyaknya
dalam bahasa Melayu.

Pembangunan negara ini dalam bidang apa pun, mesti berlaku dalam bahasa kita, tidak
dalam bahasa-bahasa lain. Nik Safiah Karim dan rakan-rakannya (2008) juga menyatakan
bahawa sekarang bahasa Melayu merupakan satu bahasa yang mampu memperkatakan semua
bidang. Demi menjaga kedaulatannya, kita harus berusaha mengindahkannya, mewujudkan
unsur-unsur yang menjadikannya lebih murni supaya apa-apa yang diperkatakannya bukan sahaja
tepat tetapi juga dalam bentuk yang menarik dan menyentuh cita rasa yang tinggi.

.
(1942 patah perkataaan)

20
Bibliografi

1 Abdullah Hassan (1980). Linguistik Am untuk Guru Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur:
Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd.

2 Abdullah Hassan (1993). Tatabahasa Pedagogi Bahasa Melayu. Kuala Lumpur:


Publications & Distributors Sdn Bhd.

3 Abdullah Hassan (2006). Morfologi, Siri Pengajaran & Pembelajaran Bahasa Melayu.
Kuala Lumpur: Publications & Distributors Sdn Bhd.

4 Ahmad Khair Mohd Nor (2003). Pengatar Sintaksis Bahasa Melayu. Kuala Lumpur:
Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

5 Arpan Shahbudin Latip (1998). Bahasa Melayu: Kesilapan Tatabahasa Satu Analisis.
Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd.

6 Awang Sariyan (1988). Pengaruh Sintaksis Bahasa Inggeris dalam Bahasa Melayu
dengan Rujukan Khusus terhadap Laras Bahasa Ilmiah. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise.

7 Ismail bin Dahaman (1997). Bahasa Kita. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

8 Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Hj. Musa dan Abdul Hamid Mahmood (1993).
Tatabahasa Dewan Edisi baharu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

9 Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Hj. Musa dan Abdul Hamid Mahmood (2008).
Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

10 Nulawadin Mustafagani (1991). Asas Kemahiran Berbahasa Malaysia. Petaling Jaya:


Fajar Bakti.

21
11 S. Nathesan (1994). Beberapa Persoalan Penggunaan Bahasa Melayu dan
Penyelesaiannya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rujukan internet

1 http://www.slideshare.net/sardrina/pengenalan-tatabahasa

2 http://ms.wikipedia.org/wiki/Tatabahasa_bahasa_Melayu

3 http://azemi09.wordpress.com/2010/01/04/ayat-subjek-predikat/

4 http://www.tutor.com.my/stpm/sintaksis/Sintaksis.htm

5 http://guruselamanya.wordpress.com/2012/02/19/10-kesalahan-tatabahasa-
bahasa-melayu-yang-lazim-pelajar-lakukan/

6 http://tatabahasabm.tripod.com/tata/salahtata.htm/

7 http://ms.wikipedia.org/wiki/Kesalahan_biasa_tatabahasa_Melayu

8 http://tinta.edumall.sg/mekar/slot/u112/Nota/nota5.pdf

22

You might also like