You are on page 1of 3

Faktor penyakit jantung dan cara mencegah penyakit jantung

 Penyakit jantung atau kardiovascular (CVD) menyerang rakyat Malaysia pada usia yang lebih
muda berbanding di negara jiran, demikian menurut Pakar Perunding Kardiologi di Institut
Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Ahmad Khairuddin Mohamed Yusof.
 Merujuk kepada Laporan Kementerian Kesihatan 2017, rakyat negara ini mendapat penyakit
jantung pada usia 58 tahun berbanding rakyat Thailand (65 tahun), China (63 tahun), negara
Barat (66 tahun) dan Kanada (68 tahun).
 Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 2014 pula menyebut kadar kematian akibat
CVD di kalangan rakyat Malaysia ialah 36 peratus.
 Dianggarkan 17.7 juta meninggal dunia akibat CVD pada 2015, iaitu 31 peratus daripada
keseluruhan kematian CVD di dunia.
 Dr Ahmad Khairuddin mengaitkan CVD termasuk serangan jantung dan strok dengan
kandungan kolesterol yang tinggi di dalam darah.
 Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015, dianggarkan 47.7
peratus rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas mempunyai kolesterol darah yang tinggi, yang
dikenali juga sebagai "hypercholesterolemia".

FAKTOR RISIKO PENYAKIT KARDIOVASULAR BERPOTENSI MEMBAWA MAUT

1.Berlebihan berat badan atau obesiti


 Risiko kegagalan jantung ialah 34 peratus lebih tinggi bagi individu lebih berat badan dan 104
peratus lebih tinggi bagi mereka yang obes. Mereka yang lebih berat badan atau obes lebih
cenderung kepada risiko penyakit kardiovaskular yang lain seperti paras kolesterol dan
trigliserida darah yang tinggi, tekanan darah tinggi serta diabetes.

2.Tekanan darah tinggi

 Tekanan darah tinggi meningkatkan beban ke atas jantung dan salur darah. Lama-kelamaan
tekanan darah tinggi akan merosakkan dinding arteri. Plak mula terbentuk di kawasan yang
rosak, arteri menjadi semakin sempit, tekanan darah semakin meningkat dan apabila plak
pecah, darah beku terbentuk serta menghalang aliran darah.

3.Paras kolesterol darah tinggi

 LDL (lipid ketumpatan rendah) atau kolesterol ‘jahat’ ialah sumber utama plak yang menyumbat
arteri. HDL (lipid ketumpatan tinggi), sebaliknya membantu mencegah penyakit kardiovaskular
dan faktor risiko berkaitan. Tabiat makan yang tidak sihat, lebih berat badan atau obes dan
gaya hidup tidak aktif ialah faktor utama menyumbang kepada paras kolesterol tinggi. Makan
terlalu banyak makanan yang mengandungi kolesterol atau lemak tepu adalah tidak baik.
Semua jenis makanan jika diambil berlebihan tidak baik; diet yang sihat untuk jantung (dan
tubuh) perlu seimbang dan kaya dengan pelbagai khasiat.

4.Paras glukosa darah yang tinggi

 Orang dewasa yang menghidap diabetes mempunyai risiko dua hingga empat kali lebih tinggi
terhadap kematian berpunca daripada penyakit jantung berbanding mereka yang tidak
mengalami diabetes. Paras glukosa rendah dan paras glukosa sewaktu berpuasa yang
terganggu meningkatkan risiko strok dan penyakit kardiovaskular.

5.Merokok

 Merokok, seperti tekanan darah tinggi, juga merosakkan dinding arteri anda yang membawa
kepada pembentukan plak. Bahan kimia di dalam setiap batang rokok juga menyebabkan darah
menjadi pekat dan membentuk darah beku di dalam arteri anda serta menjurus kepada
penyakit kardiovaskular. Merokok sekotak rokok sehari boleh menggandakan risiko penyakit
jantung.

TIP UNTUK MEMELIHARA JANTUNG SIHAT


1.Ikuti panduan Seimbang, Kesederhanaan, dan Kepelbagaian

 Makan semua makanan daripada pelbagai kumpulan di dalam piramid makanan dalam saiz
sajian sederhana dan pilih pelbagai jenis makanan daripada setiap kumpulan makanan.
Hadkan makanan bergula, berminyak dan bergaram yang boleh memburukkan faktor risiko
penyakit kardiovaskular.

2.Aktif bergerak

 Aktiviti fizikal terutama senaman aerobik, membantu menguatkan otot jantung, mengurangkan
stres, memperbaiki metabolisme dan meningkatkan paras kolesterol HDL. Panduan Diet
Malaysia menyarankan 30 minit senaman berintensiti sederhana, lima hingga enam kali setiap
minggu diikuti bergiat aktif sepanjang hari dengan membuat pilihan yang lebih aktif contohnya,
menggunakan tangga berbanding lif, berjalan pergi dan balik daripada makan tengah hari atau
kedai berhampiran berbanding menaiki kereta.

3.Kekalkan berat badan sihat

 Mengekalkan berat badan yang sihat atau mengurangkan lebih berat badan boleh menurunkan
risiko penyakit kardiovaskular dan faktor risikonya (contohnya paras kolesterol dan tekanan
darah) dengan ketara. Berazam untuk capai Indeks Jisim Tubuh (IJT) di antara 18.5-24.9.
Ukuran lilitan pinggang 90 sentimeter (35 inci) atau lebih bagi lelaki atau 80 sentimeter (32 inci)
atau lebih bagi wanita, dikaitkan dengan masalah kesihatan seperti diabetes jenis dua, penyakit
jantung dan tekanan darah tinggi.

4.Lakukan saringan secara berkala

 Jadualkan pemeriksaan tahunan bagi tekanan darah, paras kolesterol dan glukosa anda.
Penyakit kardiovaskular boleh wujud tanpa sebarang simptom atau simptomnya tidak begitu
jelas kelihatan. Oleh itu, mengetahui sama ada anda berisiko terhadap penyakit kardiovasular
melalui saringan boleh membantu doktor menasihati anda mengenai kaedah rawatan sesuai.

5.Kurangkan stres dan rehat secukupnya

 Stres sebenarnya boleh meningkatkan tekanan darah, begitu juga jika tidak cukup tidur. Cuba
dapatkan lapan jam tidur yang berkualiti, belajar untuk menenangkan tubuh, minda dan jiwa
anda dari semasa ke semasa.

6.Berhenti merokok

 Sesiapa yang merokok satu kotak rokok sehari menggandakan risiko serangan jantung
berbanding mereka tidak merokok. Perokok yang berhenti merokok mengurangkan risiko
penyakit kardiovaskular dengan serta-merta!

You might also like