You are on page 1of 7

25 November 2013

PERSEKITARAN MAKRO

HASIL TULISAN ASAL : MIMI HAMIZA IBRAHIM

1.0 PENGENALAN

Persekitaran makro boleh mempengaruhi keputusan perniagaan yang dibuat untuk jangka masa
yang panjang dan ia merupakan unsur atau elemen yang tidak boleh dikawal (Armstrong & Kotler,
2011). Memahami persekitaran makro atau persekitaran luaran di dalam menguruskan sesuatu
perniagaan atau organisasi adalah sangat penting dan ia menentukan kejayaan serta mempengaruhi
keputusan dalam sesuatu perniagaan yang dijalankan. Persekitaran makro adalah persekitaran yang
diluar kawalan syarikat tetapi syarikat perlu sentiasa mengawasinya kerana persekitaran ini boleh
memberi peluang dan ancaman kepada syarikat atau organisasi (Armstrong & Kotler, 2011). Ekoran
daripada kesukaran usahawan-usahawan untuk mengawal persekitaran yang ada, para usahawan
perlulah bijak untuk menanganinya dengan memahami elemen-elemen persekitaran makro
tersebut. Di dalam dunia perniagaan, terdapat empat elemen persekitaran makro yang terpaksa dan
perlu dihadapi oleh semua peniagaan iaitu elemen ekonomi, teknologi, kebudayaan sosial serta
politik dan undang-undang (Mily, 2011).

Bagi melihat kesan persekitaran makro terhadap sesebuah organisasi atau syarikat, organisasi yang
telah dipilih adalah Syarikat Boon Siew Sdn Bhd. Ini kerana syarikat ini merupakan di antara syarikat
yang terawal dan berkembang. Syarikat Boon Siew Sdn Bhd sinonim dengan motosikal Honda yang
diasaskan oleh Mendiang Tan Sri Dato’ Loh Boon Siew. Boon Siew Honda Sdn Bhd merupakan
sebuah syarikat Malaysia yang dilesenkan untuk memasang, mengedar dan menjual model-model
motosikal Honda di Malaysia. Beliau merupakan usahawan yang berjaya dan bijak mengambil
peluang di dalam perniagaan pengedaran motosikal. Beliau menyedari kelebihan motosikal Honda
adalah ringan dan kecil berbanding motosikal yang dikeluarkan oleh Eropah. Pada tahun 1958, Boon
Siew melihat populariti motosikal Honda Cub Super di mana pada waktu tersebut hanya
diperkenalkan di Jepun dan beliau percaya ia boleh mendapat sambutan di Malaysia. Pihak Honda
Jepun, Honda Motor Co Ltd telah melantik Boon Siew sebagai pengedar tunggal motosikal Honda di
Malaysia dan pada waktu tersebut, hanya 50 unit sahaja motosikal Honda telah diimport ke
Malaysia. Sebuah kilang telah dibina di Pulau Pinang untuk memasang Honda Cub dan motosikal
Honda yang dipasang di Malaysia telah dinamakan semula sebagai Boon Siew Honda. Honda Cub
menjadi motosikal yang paling laris di Malaysia dan Boon Siew telah diikhtiraf sebagai orang pertama
yang membawa motosikal Honda Cub ke Asia Tenggara (Danny Tan, 2012).

Boon Siew Honda Sdn Bhd telah menjalankan usahasama antara Honda Co Ltd dan Oriental Holdings
Bhd yang mula beroperasi pada September 2008 dengan matlamat mengukuhkan pengeluaran
motosikal dan jualan di Malaysia serta untuk mencapai kepuasan pelanggan yang lebih tinggi dan
cekap. Pengeluaran motosikal Honda iaitu syarikat Oriental Holdings Bhd telah memegang cawangan
bagi memasang dan mengedar motosikal Honda sejak tahun 1957 lagi. Sekarang ini, anak syarikat
Oriental, Kah Motor Co Sdn Bhd adalah bertindak sebagai memasang Honda, sementara Boon Siew
Honda Sdn Bhd mengedarkannya. Produk yang dikeluarkan oleh Boon Siew Honda Sdn Bhd
antaranya adalah motorsikal jenama Wave Dash, CRF 250L, CBR1000RR, EX5 Dream, Future, Gold
Wing, Wave Dash SE, Wave 110, Wave 100, Icon dan CBR 250R. Ahli Lembaga Pengarah Boon Siew
Honda Sdn Bhd adalah dipengerusikan oleh Dato’ Loh Cheng Yean. Oriental Holdings Bhd dan Honda
Motor Co Ltd telah mengembangkan dan mempromosi jualan motosikal di seluruh Malaysia,
Singapura dan Brunei (Danny Tan, 2012).

2.0 ELEMEN-ELEMEN PERSEKITARAN MAKRO

2.1 Elemen persekitaran makro ialah ekonomi. Persekitaran ekonomi dapat dilihat melalui
faktor-faktor yang mempengaruhi kuasa beli pengguna dan corak perbelanjaan (Kotleret al, 2011).
Pemasar harus mengawasi pola utama pendapatan dan perubahan pola perbelanjaan pengguna.
Sebarang perubahan sama ada dalam bentuk positif dan negatif di dalam pembolehubah utama
ekonomi seperti kadar faedah, pola pendapatan, kos hidup, simpanan dan pinjaman akan memberi
kesan terhadap pasaran (Azianlin, 2007). Kuasa membeli pengguna bergantung kepada harga,
pendapatan semasa, kredit dan tabungan. Contohnya, syarikat Honda Jepun iaitu Honda Motor Co
Ltd telah melantik Boon Siew Honda Sdn Bhd sebagai pengedar tunggal motosikal Honda di
Malaysia kerana ia melihat Malaysia merupakan sebuah negara yang akan berkembang dan
mempunyai pasaran yang besar di Asia dan dunia (Danny Tan, 2012).

2.2 Elemen persekitaran makro ialah teknologi. Banyak teknologi baru telah dicipta bagi
menggantikan teknologi lama. Kadar perubahan teknologi adalah cepat dan pantas pada masa kini.
Melalui perubahan dan inovasi teknologi ini, lebih banyak peluang dan pasaran baru dapat
diwujudkan (Azianlin, 2007). Contohnya, Boon Siew Honda Sdn Bhd telah menggunakan pelbagai
alatan yang lebih canggih antaranya mesin berbanding sebelumnya. Kesannya pelbagai produk baru
telah dicipta serta menambah produk yang sedia ada kepada yang lebih inovatif dan produktif kesan
daripada perkembangan teknologi. Antaranya produk motosikal Honda model Wave yang dilihat
telah diperbaharui daripada model Wave Dash kepada Wash Dash SE, Wave 110 dan Wave 100
(Danny Tan, 2012).

2.3 Elemen persekitaran makro ialah kebudayaan sosial. Persekitaran ini terdiri daripada
institusi dan pengaruh lain yang mempengaruhi asas, persepsi, keutamaan serta gelagat sesebuah
masyarakat. Individu yang dibesarkan dalam kelompok masyarakat membentuk nilai dan
kepercayaan mereka berdasarkan norma masyarakat tersebut. Kebudayaan sosial terdiri daripada
dua aspek iaitu aspek demografi dan aliran kebudayaan dalam masyarakat. Demografi berkait rapat
dengan data populasi seperti saiz, kepadatan lokasi, umur, jantina, bangsa, pekerjaan, penghijrahan
populasi dan statistik lain yang berkaitan dengan populasi (Mily, 2011). Faktor statistik demografi
mudah diperolehi kerana ia adalah data pungutan kerajaan dan ia boleh digunakan sama ada secara
langsung atau tidak langsung. Kajian serta pengawasan terhadap syarikat dalam demografi penting
kerana populasi membentuk pasaran (Azianlin, 2007). Contohnya, dalam aspek demografi di mana
Boon Siew Honda Sdn Bhd mula beroperasi pada tahun 1958 di Pitt Street, Pulau Pinang kerana pada
ketika itu, bandar tersebut merupakan pusat tumpuan ekonomi dan ia juga merupakan kawasan
populasi penduduk yang tinggi (Mohammad Fikri, 2011).

2.4 Eleman persekitaran makro ialah politik dan undang-undang. Persekitaran ini

merujuk kepada pelaksanaan dan penggubalan undang-undang oleh pihak kawalan syarikat yang
memberi pengaruh atau had di dalam firma atau individu dalam masyarakat (Armstrong & Kotler,
2011). Undang-undang di dalam persekitaran makro meliputi peraturan-peraturan yang
diperuntukkan oleh pihak kerajaan seperti reka bentuk produk dan menetapkan harga terhadap
barang kawalan, pengiklanan, upah dan persekitaran tempat kerja seperti rangka undang-undang
yang diwujudkan yang memerlukan syarikat memenuhi atau mematuhi undang-undang yang
ditetapkan. Perniagaan juga dikawal oleh undang-undang yang sedia ada seperti Undang-Undang
Kontrak, Undang-Undang Jualan Barang-Barang, Undang-unang Sewa Beli, Undang-Undang
Perkongsian, Undang-Undang Syarikat dan sebagainya. Syarikat tidak boleh sesuka hati melakukan
sesuatu perkara bagi tujuan membaiki dan mengekalkan keadaan yang sedia ada (Azianlin, 2007).
Contohnya Boon Siew Honda Sdn Bhd telah menetapkan undang-undang syarikat melalui
matlamatnya di mana bertujuan untuk mengukuhkan pengeluaran motosikal dan jualan di Malaysia
serta untuk mencapai kepuasan pelanggan yang lebih tinggi dan cekap semasa melakukan
usahasama bersama Honda Co Ltd dan Oriental Holdings Bhd (Danny Tan, 2012).

3.0 KESAN ELEMEN PERSEKITARAN MAKRO KEPADA ORGANISASI

Kesan elemen persekitaran makro kepada organisasi ialah ekonomi di mana persekitaran ekonomi
boleh mempengaruhi kuasa beli dan corak perbelanjaan pengguna. Faktor-faktor ekonomi adalah
kebimbangan kepada firma pemasaran kerana ia boleh mempengaruhi permintaan, kos, harga dan
keuntungan. Antaranya perubahan di dalam pendapatan iaitu apabila pendapatan meningkat, kuasa
beli juga akan meningkat (Girijasankar & Bhar, 2011). Contohnya, semasa negara mengalami
kemelesetan ekonomi pada tahun 1997, industri automobil menghadapi kesukaran apabila unit
jualan semakin menurun. Boon Siew Honda Sdn Bhd turut menerima kesan krisis ini di mana
penjualan syarikat merosot daripada 78% unit menjunam kepada 25% unit sahaja bagi tahun
tersebut (Danny Tan, 2012).

3.1 Kesan elemen persekitaran makro kepada organisasi ialah teknologi. Teknologi
merupakan tenaga yang paling dramatik yang memberi kesan kepada usahawan atau syarikat (Kotler
at el, 2011). Dengan menukarkan teknologi boleh menjejaskan permintaan bagi produk dan
perkhidmatan firma, proses pengeluaran dan bahan-bahan mentah serta turut menjejaskan proses
dalam melaksanakan tugasan (Kotler et al, 2008). Menurut Yusof et al (2004) mengatakan bahawa
tindakan firma membawa masuk teknologi yang baru ke dalam firma yang mempunyai teknologi
yang lebih rendah, akan memberi kesan kejutan kepada firma tersebut. Tindakan ini akan
menyebabkan kesukaran kepada firma untuk saling menyesuaikan diri terutamanya jika perubahan
bertentangan dengan polisi atau objektif sebenar firma. Perubahan ini mengakibatkan pembaziran
dari segi masa, pengangguran, tenaga, wang dan juga sumber-sumber lain (Mily, 2011). Ia juga
mengancam survival produk, firma atau industri. Perubahan teknologi telah menyebabkan lebih
banyak peluang dan ancaman kepada pemasar. Ini kerana peningkatan dalam teknologi banyak
mempengaruhi dunia pemasaran. Contohnya,. Boon Siew Honda Sdn Bhd telah meningkatkan dan
mengembangkan penggunaan mesin seperti robot yang diimport dari negara Jepun bagi tujuan
mengeluarkan produk yang lebih bermutu dan berinovatif. Namun, kesannnya menyebabkan
berlaku pengurangan dalam tenaga kerja yang membawa kepada masalah krisis pengangguran di
dalam negara (Danny Tan, 2012).

3.2 Kesan elemen persekitaran makro kepada organisasi ialah kebudayaan sosial sama ada
melalui demografi atau kebudayaan. Elemen persekitaran demografi boleh mempengaruhi pemasar
dalam strategi pemasaran meliputi jumlah kuantiti produk yang akan dikeluarkan, produk yang
sesuai dikeluarkan dan sebagainya. Sekiranya strategi yang digunakan tidak sesuai, ini akan
merugikan syarikat. Melalui kebudayaan pula, institusi dan kuasa-kuasa lain memberi kesan kepada
nilai-nilai asas masyarakat, persepsi, keutamaan dan tingkah laku (Kotler et al, 2011). Elemen
persekitaran ini boleh memberi ancaman dan peluang kepada organisasi terutama dari aspek
keperluan dan kehendak pelanggan. Contohnya, sikap prejudis masyarakat di Malaysia pada ketika
dahulu terhadap negara Jepun ekoran kejahatan dan penyeksaan yang telah dilakukan oleh Jepun
semasa memasuki dan menceroboh Tanah Melayu. Kesannya dapat dilihat semasa awal penubuhan
Boon Siew Honda Sdn Bhd di mana mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat serta tidak
mendapat sokongan daripada ramai pihak. Ini kerana, ekoran daripada budaya masyarakat pada
waktu tersebut adalah prejudis kepada negara Matahari Terbit iaitu Jepun (Danny Tan, 2012).

3.3 Kesan elemen persekitaran makro kepada organisasi ialah politik dan undang-undang.
Politik dan undang-undang yang dibuat merupakan sebahagian daripada persekitaran makro di
mana setiap kumpulan yang berlainan akan bersaing dengan tujuan untuk memperolehi perhatian
dan sumber. Keadaan ini berlaku kerana para usahawan atau majikan telah menggunakan kekuatan
politik yang mereka ada. Para usahawan perlu menerima dan mematuhi polisi, undang-undang dan
peraturan di mana perniagaan tersebut dijalankan. Usahawan terpaksa menerima unsur-unsur
politik dan undang-undang yang dibuat atau telah di buat bagi tujuan pelaburan. Antaranya, ia
merujuk kepada berlakunya rasuah, ketidakstabilan dan keganasan di kawasan di mana perniagaan
dijalankan. Di kawasan yang risiko politik adalah tinggi, adalah sukar dan mempunyai kos yang tinggi
untuk usahawan membeli, melindungi dan mengatur sumber yang menyebabkan berlakunya
penambahan kos untuk pelaburan baru (Kotler et al, 2011). Undang-undang penting yang dilihat
yang boleh menjejaskan perniagaan atau pelaburan termasuklah undang-undang dalam bidang
kepenggunaan, hubungan pekerja, alam sekitar dan amalan yang kompetitif. Persekitaran ini boleh
mempengaruhi sesebuah organisasi khususnya mempengaruhi objektif organisasi, dasar, keputusan,
sekatan undang-undang dan juga undang-undang berkaitan cukai (Mily, 2011). Contohnya, melalui
undang-undang halangan perdagangan dan tariff yang dikenakan terhadap perkhidmatan dan
barangan yang didagangkan dalam pasaran antarabangsa. Keadaan ini bukan sahaja menyekat,
malah menghalang sumber aliran bebas dari negara lain. Contohnya, selaku pelindung kepada
industri tempatan seperti industri automobil di Malaysia yang telah dikenakan sekatan perdagangan.
Keadaan ini turut memberi kesan kepada syarikat Boon Siew Honda Sdn Bhd yang menjalankan
eksport dan import barangan antarabangsa (Danny Tan, 2012).

4.0 CADANGAN UNTUK MENGURUSKAN ELEMEN-ELEMEN PERSEKITARAN MAKRO DALAM


ORGANISASI
4.1 Cadangan untuk menguruskan elemen persekitaran makro dalam organisasi iaitu dalam
aspek ekonomi. Organisasi atau syarikat perlu membuat analisa dan kajian terhadap dasar ekonomi,
sistem ekonomi dan persekitaran ekonomi sama ada pada tahap tempatan, nasional dan global di
mana operasi dan perkhidmatan mereka dijalankan. Ini kerana persekitaran ekonomi memainkan
peranan penting di dalam kegagalan dan kejayaan sesebuah organisasi atau syarikat. Syarikat perlu
mengenalpasti tahap keadaan ekonomi yang akan atau memberi lebih kesan kepada organisasi dan
syarikat serta harus meninjau, memantau, meramal dan mentafsir persekitaran ekonomi sama ada
diperingkat domestik atau dunia. Usahawan bukan sahaja perlu mengkaji suasana persekitaran
semasa memulakan perniagaan tetapi juga semasa perniagaan sedang berkembang (Azianlin, 2007).
Persekitaran ekonomi merangkumi semua produk dan penghasilan dalam perkhidmatan,
pengedaran, penjualan dan penggunaan. Syarikat atau organisasi perlu saling berhubungkait antara
satu sama lain (Cheng Soon, 2009). Contohnya, Boon Siew Honda Sdn Bhd telah mengembangkan
perniagaannya di pasaran antarabangsa seperti di Brunei dan Singapura kerana syarikat ini telah
melakukan kajian dan pemantauan dengan melihat faktor ekonomi negara tersebut yang
berkembang dan maju. Keadaan ini memberi kesan ke atas peningkatan di dalam permintaan dan
boleh mengembangkan ekonomi syarikat (Danny Tan, 2012).

4.2 Cadangan untuk menguruskan elemen persekitaran makro dalam organisasi iaitu dalam
aspek teknologi di mana, penggunaan teknologi baru yang lebih konsisten dan efisen (Kotler et al,
2008). Syarikat perlu membuat perubahan kecil terhadap reka bentuk, produk formulasi dan
pengeluaran serta bahan dan pengedaran. Melalui ini, penciptaan teknologi baru selalunya
mempunyai nilai ekonomi dan tiada saingan pada peringkat awal serta selalunya dimonopoli oleh
individu tersebut (Cheng Soon, 2009). Organisasi atau syarikat juga perlu bijak mengawal dan
memantau perubahan teknologi serta mengesan penggunaan teknologi untuk membantu mengisi
keperluan manusia. Ia bertujuan agar produk yang lebih inovatif dapat dicipta dan diterima
dipasaran sasaran. Ia boleh mengurangkan kos dan meningkatkan kualiti dalam pengeluaran produk
dan membawa kepada inovasi. Contohnya, kesan daripada kemajuan teknologi turut memberi kesan
kepada Boon Siew Honda Sdn Bhd dalam pengeluaran produk-produk. Ekoran daripada
perkembangan teknologi menyebabkan syarikat dapat mengeluarkan produk yang lebih baik dan
bermutu tinggi mengikut peredaran masa dan permintaan berbanding pada awal pengeluaran
produknya. Pada awal penubuhan, Boon Siew Honda Sdn Bhd hanya menghasilkan satu produk
sahaja iaitu Honda Cub. Namun, setelah dikaji dan wujudnya teknologi-tenologi yang moden serta
kecanggihan peralatan mesin yang ada, pelbagai model motosikal dapat dihasilkan (Cheng Soon,
2009). Keadaan ini disebabkan kesan daripada perkembangan teknologi yang banyak membantu
dalam menghasilkan produk-produk yang lebih berkualiti.

4.3 Cadangan untuk menguruskan elemen persekitaran makro dalam organisasi iaitu dalam
aspek kebudayaan sosial seperti aspek demografi dan budaya. Dalam aspek demografi, organisasi
atau para usahawan perlu menilai perubahan demografi untuk mengenalpasti peluang perniagaan
yang ada.. Sesebuah syarikat perlu membuat pemantauan dan penyelidikan sama ada dalam aspek
lokasi, saiz, kepadatan, bilangan penduduk, kelas sosial, dan statistik lain berhubung populasi
penduduk dalam sesebuah negara atau kawasan. Ini kerana ia mempengaruhi perkembangan
sesebuah syarikat atau organisasi terutama dalam aspek jumlah kuantiti produk yang akan
dikeluarkan atau produk yang sesuai dikeluarkan kerana populasi membentuk pasaran. Ini dapat
dilihat melalui populasi penduduk di mana meningkatnya populasi menyebabkan kuasa beli akan
menjadi semakin besar. Selain itu, ke semua unsur ini menjadi faktor sumbangan kepada kehendak
pengguna, kuasa membeli dan kapasiti syarikat . Ini menunjukkan para usahawan perlu melihat
faktor-faktor demografi terlebih dahulu sebelum membuka atau memulakan operasi dalam
perniagaan mereka Dalam kebudayaan pula, usahawan perlu menilai dan memantau pertukaran
cara hidup masyarakat bagi tujuan untuk mengenalpasti peluang perniagaan. Usahawan perlu
meramal dan menilai perubahan yang berlaku untuk memperolehi kejayaan dan keuntungan.
Usahawan juga boleh menggunakan informasi data yang ada dari sumber umum dan sendiri untuk
menilai perubahan ini (Kotler et al, 2008). Contohnya, pada awal penubuhan syarikat Boon Siew
Honda Sdn Bhd, Honda Cub telah dipasarkan setelah syarikat membuat pemantauan dan kajian
bahawa produk tersebut akan mendapat sambutan yang luar biasa. Ini kerana, motisikal terebut
boleh membawa banyak muatan dan tahan lasak. Hasil daripada kajian yang telah dilakukan pada
waktu tersebut, syarikat Boon Siew Honda Sdn Bhd melihat kenderaan ini akan dijadikan kenderaan
untuk mengangkut muatan kepada masyarakat terutama golongan petani serta ia juga murah
berbanding motosikal lain. Syarikat telah membuat pemantauan dan kajian terlebih dahulu tentang
permintaan dan kehendak masyarakat. Manakala, maintenance dan spare part juga murah dan
senang untuk ditunggangi (Cheng Soon, 2009).

4.4 Cadangan untuk menguruskan elemen persekitaran makro dalam organisasi iaitu dalam
aspek politik dan undang-undang. Organisasi atau syarikat perlu menilai dan mengawasi
persekitaran politik sepenuhnya untuk mengenalpasti ancaman dan peluang yang ada. Syarikat juga
perlu mengawasi apa yang sedang dan akan berlaku kerana ia akan memberi kesan, sama ada secara
langsung atau tidak langsung kepada syarikat. Ia juga bertujuan agar tindakan yang dilakukan tidak
mendatangkan sebarang masalah iaitu dengan membuat perancangan produk dan program
pemasaran syarikat. (Azianlin, 2007). Keadaan ini dapat mewujudkan persaingan yang sihat di dalam
syarikat atau firma dan ia juga memberi peluang kepada usahawan untuk memulakan dan
mengembangkan perniagaan mereka. Menurut Hogan et al (1999), memperbaiki pengurusan
persekitaran undang-undang iaitu dengan cara meningkatkan dan menetapkan peraturan, garis
panduan dan dasar-dasar dalam sesebuah syarikat atau firma yang wajib dipatuhi. Ini bertujuan
mewujudkan firma atau syarikat yang lebih berkembang dan maju (Kotler et al, 2011). Selain itu, ia
bertujuan mewujudkan atau mengenakan kawalan untuk menghadkan keuntungan yang berlebihan
serta menggalakkan penggunaan oleh pelanggan. Selain itu juga, ia bertujuan untuk menggalakkan
pelanggan atau pembekal membayar kos penuh dan mengenakan kawalan untuk mencegah tingkah
laku yang jahat. Ia juga bertujuan untuk memantau dan menguruskan prestasi dan kualiti bagi
memastikan standard yang boleh diterima. Contohnya, melalui elemen politik, semasa awal
penubuhan syarikat Boon Siew Honda Sdn Bhd, syarikat ini telah dilantik sebagai pengeluar tunggal
Honda di Malaysia. Kesannya tidak wujud persaingan di dalam pasaran ekonomi tempatan. Keadaan
ini baik untuk perkembangan ekonomi syarikat tersebut (Cheng Soon, 2009).

5.0 KESIMPULAN

Persekitaran merujuk kepada faktor yang memberi kesan positif atau negatif kepada keupayaan
syarikat atau organisasi untuk terus beroperasi dan berkembang, di samping mengekalkan
arusniaganya dengan pembeli dan pengguna sasaran. Perubahan sentiasa berlaku dalam
persekitaran sama ada secara mendadak, perlahan atau tidak menentu. Keadaan ini mampu
memberi kesan yang mendalam dan mengejut kepada syarikat atau organisasi. Oleh itu, apa yang
dapat dirumuskan, organisasi berada di dalam satu persekitaran yang luas. Dalam persekitaran ini,
wujud kuasa-kuasa yang boleh dikawal dan tidak boleh dikawal yang mana akan memberi peluang
serta ancaman kepada keupayaan syarikat atau organisasi untuk terus beroperasi. Apabila sesebuah
organisasi mula beroperasi, ia tidak berada dalam satu keadaan yang strategik atau tidak berubah.

Untuk berjaya, sesebuah syarikat atau organisasi perlu mematuhi strategi persekitaran syarikat atau
organisasi serta di mana ia beroperasi atau dapat membentuk semula syarikat atau organisasi
tersebut dengan lebih baik melalui pilihan strategi yang berkesan. Apa yang dapat dilihat, langkah
yang perlu di ambil untuk mengurus elemen ini ialah dengan membuat perancangan yang baik di
mana syarikat atau organisasi perlu memahami persekitaran makro terlebih dahulu. Ini kerana,
syarikat atau organisasi bukan sahaja perlu mengkaji suasana persekitaran semasa memulakan
operasi syarikat atau organisasi, tetapi syarikat atau organisasi perlu juga mengkaji semasa operasi
syarikat atau organisasi sedang berkembang. Oleh itu, syarikat atau organisasi dilihat gagal apabila
strategi organisasi tidak sesuai dengan persekitaran di mana syarikat atau organisasi beroperasi.

Dalam erti kata lain, syarikat atau organisasi boleh dipengaruhi oleh persekitaran ini, namun,
syarikat atau organisasi tidak boleh mempengaruhi persekitaran ini. Sesebuah syarikat atau
organisasi perlu mengetahui strategi perancangan yang perlu diselaraskan agar syarikat atau
organisasi boleh mendapatkan dan mengekalkan syarikat tersebut terutama dalam aspek berdaya
saing. Apa yang dapat dilihat, persekitaran makro terdiri daripada kuasa-kuasa yang berada di luar
syarikat atau organisasi dan secara amnya ia tidak boleh diubah oleh tindakan syarikat atau
organisasi tersebut. Persekitaran ini dilihat berhubung secara tidak langsung dengan syarikat atau
organisasi.

Menurut McLaughlin dan Kaluzny (1999), persekitaran makro boleh mempengaruhi syarikat atau
firma di dalam perkhidmatan yang dilakukan. Persekitaran makro dilihat banyak mempengaruhi
strategi perkhidmatan di dalam sesebuah syarikat atau firma dengan harapan usaha ini akan
meningkatkan hubungan antara firma, pengurus dan pelanggan dengan memberi manfaat dan
kebaikan kepada semua pihak (Mohammad Fikri, 2011).

Kesimpulannya, setelah mengawasi serta mengetahui peranan dan pengaruh persekitaran makro
kepada syarikat, firma atau organisasi, terdapat kesan secara langsung dan tidak langsung yang
boleh memberikan peluang dan ancaman untuk jangka waktu pendek atau panjang dan menjadikan
syarikat atau organisasi semakin kukuh atau sebaliknya bergantung kepada tindakan dan
pendekatan yang di ambil oleh organisasi. Oleh itu, syarikat atau organisasi perlulah mengawasi
sebarang perubahan yang berlaku di dalam elemen-elemen tersebut agar tidak memberi kesan yang
buruk kepada syarikat

You might also like