You are on page 1of 2

Sayyidatina Asma’ binti Abu Bakar As-Siddiq

SALAH seorang daripada puteri kepada Saidina Abu Bakar as-Siddiq digelar ‘Zatul Nitaqain’ yang
bermaksud ‘wanita yang mempunyai dua tali pengikat pada pinggangnya.” Beliau dipanjangkan usia oleh
Allah SWT seratus tahun lebih. Tidak sedikit pun kecerdasan akal dan kepintarannya hilang, bahkan
beliau mempunyai ingatan yang sangat kuat.

Beliau merupakan seorang wanita yang sangat mulia, bahkan terkumpul kemuliaan-kemuliaan di
sekelilingnya. Beliau merupakan seorang sahabat kepada Rasulullah SAW yang hidup di zaman Baginda
Nabi SAW serta beriman dengannya. Beliau seorang sahabat, begitu juga ayahandanya, seorang sahabat.
Datuknya juga seorang sahabat. Manakala adinda pula, isteri kepada Rasulullah SAW, Sayyidatina ‘Aisyah
r.ha. Bukan itu sahaja, bahkan suaminya juga sahabat, Zubair ibn ‘Awwam serta anaknya juga sahabat,
Abdullah ibn Zubair. Lebih besar daripada kemuliaan itu, Asma’ merupakan antara orang yang terawal
memeluk Islam. Beliau merupakan dalam kalangan 17 manusia yang terawal memeluk Islam. Gelaran yag
beliau perolehi itu kerana beliau telah menyediakan makanan dan minuman kepada Rasulullah SAW dan
ayahnya, Abu Bakar ketika itu dalam rencana hijrah. Demi mengelakkan Rasulullah SAW dijejaki oleh kafir
Quraisy, Baginda telah berlindung di Gua Thur. Saat Rasulullah SAW dan Abu Bakar tinggal di Gua Thur
itu, Asma’ merupakan orang yang ditugaskan membawa makanan kepada Rasulullah SAW dan
ayahandanya. Tiada peralatan untuk mengikat makanan tersebut lalu dikoyakkan tali pinggangnya
menjadi dua, satu dijadikan ikatan kepada bekas makanan Rasulullah SAW. Sehinggalah ketika mana
Baginda SAW melihat keadaan itu, Rasulullah SAW mendoakan agar Allah SWT menggantikan kepada
Asma’ tali pinggang yang lebih cantik dan indah di syurga Allah. Ketika itu, Asma’ juga sedang
mengandung. Betapa bersusah payahnya Asma’ untuk mendaki Bukit Thur dalam keadaan beliau sedang
mengandung. Ketika beliau disoal siasat saat Abu Jahal dan kumpulannya menangkap beliau, maka
Asma’ telah ditampar sehingga tercabut anting-anting beliau.

Asma’ telah dikahwinkan dengan Zubair ibn ‘Awwam, beliau bukanlah seorang hartawan. Tidak
mempunyai khadam yang boleh membantunya dalam khidmat di rumah. Beliau juga tidak mempunyai
harta yang banyak yang boleh menyenangkan Asma’. Zubair hanya mempunyai seorang kuda sahaja yang
digunakan untuk berperang. NAmun, Asma’ begitu tabah dalam kehidupan tersebut. Beliaulah yang
sentiasa menjaga kudanya, memberi makan kepada kuda tersebut. Dengan ketabahan Asma’ bersama
dengan suaminya, Allah SWT kurniakan kepada mereka pada hari-hari mendatang kehidupan yang
senang dan sejahtera sehingga mereka tergolong dalam kalangan hartawan di Kota Madinah.

Tatkala Rasulullah SAW mengizinkan kaum Muslimin berhijrah, maka hijrahlah Asma’ bersama suaminya.
Beliau pada ketika itu sedang sarat mengandungkan Abdullah ibn Zubair. Ketika dalam perjalanan,
sedang beliau sarat dan menanggung sakitnya membawa kandungan tersebut, ia tidak menjadi satu
bebanan yang sangat besar buat Asma’ dan suaminya kerana kerinduan kepada Baginda SAW. Saat
mereka tiba di Quba’, Asma’ telah melahirkan seorang bayi lelaki. Seluruh kaum Muslimin bertakbir
kegembiraan dan bertahmid kerana lahirnya ‘raihanan’ bagi kaum Muslimin kerana beliau merupakan
anak pertama yang dilahirkan di Kota Madinah di kalangan orang-orang Muhajirin. Raihanan yang
bermaksud jantung hati dan kegembiraan buat kaum Muhajirin.

Kemudian, bersegeralah Zubair membawa zuriatnya itu berjumpa Rasulullah SAW, lalu diserahkan
kepada Baginda SAW. Ditatang dengan penuh kegembiraan di riba Rasulullah SAW. Baginda mengambil
sesuatu dari dalam mulutnya lalu Baginda mentahnikkan anak tersebut. Telah terkumpul pada
Sayyidatina Asma’ ini, sifat-sifat yang sangat hebat serta keperibadian yang sangat tinggi. Beliau juga
telah menghafal 58 hadith Rasulullah SAW. Beliau juga terkenal sebagai orang yang sangat pemurah
sehinggakan beliau diberikan perumpamaan. Ketika seseorang ingin menceritakan tentang pemurah,
maka mereka akan katakan “engkau ini pemurah seperti Asma’ binti Abu Bakar”. Begitulah keperibadian
yang telah dididik langsung oleh Saidina Abu Bakar r.h.

You might also like