You are on page 1of 6

PENTADBIRAN KERAJAAN NEGERI

Setiap negeri dalam Malaysia mempunyai jentera pentadbiran sendiri. Sistem


dan struktur pentadbiran adalah sama di seluruh Semenanjung kecuali Sabah
dan Sarawak. Di bawah kuasa kerajaan negeri, terdapat kerajaan tempatan atau
daerah.

Raja/Sultan dan Yang Di-Pertua Negeri


Raja dan Yang Di-Pertua Negeri adalah institusi penting dalam jentera
pentadbiran kerajaan negeri. Raja-raja yang memerintah Johor, Kedah, Kelantan,
Pahang, Perak, Selangor dan Terengganu dikenali sebagai Sultan manakala
Perlis dikenali sebagai Raja dan di Negeri Sembilan sebagai Yang Di-Pertuan
Besar. Seseorang raja diwarisi secara turun-temurun dan ditentukan oleh adat
yang berbeza bagi setiap negeri. Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak
diperintah oleh Yang Di-Pertua Negeri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
Seseorang Raja menjalankan tugas berikut :
• Melantik seorang Menteri Besar.
• Tidak mempersetujui permintaan membubarkan Dewan Undangan Negeri.
• Meminta mengadakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja tentang keistimewaan,
kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja atau hal ehwal Islam.
• Melaksanakan tugas sebagai Ketua Agama Islam atau tugas yang berkaitan
dengan adat istiadat orang Melayu.
• Melantik waris Permaisuri, Pemangku Raja atau Jemaah Pemangku Raja.
• Melantik penerima pingat, gelaran, kemuliaan dan kebesaran di sisi adat
Melayu dan menetapkan tugas-tugas yang berkenaan dengannya.
• Membuat peraturan mengenai balai-balai diraja atau istana.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri


Di Semenanjung Malaysia, kuasa eksekutif dilaksanakan oleh Majlis Mesyuarat
Kerajaan Negeri (MMK) atau EXCO atas nama Raja atau Yang Di-Pertua Negeri.
Di Sarawak badan ini dikenali sebagai Majlis Tertinggi dan di Sabah dikenali
sebagai Kabinet. MMK diketuai oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri yang
dilantik oleh Sultan atau Raja atau Yang Di-Pertua Negeri dalam kalangan Ahli
Dewan Negeri yang mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan tersebut. MMK
dianggotai oleh ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah dipilih dan
tiga orang Pegawai Kerajaan, Pegawai Kewangan Negeri, dan Penasihat
Undang-Undang Negeri. Bilangan DUN yang menganggotai EXCO berbeza
antara negeri mengikut Perlembagaan Negeri masing-masing.

Dewan Undangan Negeri


Kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) ialah meluluskan undang-undang dan
dipersetujui oleh Raja/Sultan/Yang Di-Pertua Negeri. Seksyen 4, Jadual 8
Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperuntukkan Dewan Undangan
Negeri mesti mengandungi sebilangan ahli yang dipilih melalui pilihan raya.
Peranan Raja/Sultan/Yang Di-Pertua Negeri adalah sebagai pihak berkuasa
perundangan hanya akan hadir pada masa-masa khas seperti pembukaan
Dewan Undangan Negeri. Tugas utama Raja/Sultan/Yang Di-Pertua Negeri
adalah untuk memanggil DUN bermesyuarat, memberhentikan dan
membubarkan DUN. Seseorang itu tidak boleh menjadi ahli DUN bagi lebih
daripada satu bahagian pilihan raya pada satu masa. DUN akan berjalan selama
lima tahun dari mesyuarat pertamanya. Apabila DUN dibubarkan, satu pilihan
raya peringkat negeri akan diadakan dalam tempoh 60 hari di Semenanjung dan
90 hari di Sabah dan Sarawak.

Jentera Pentadbiran Kerajaan Negeri


Bagi melancarkan pentadbiran, sesebuah negeri dibahagi kepada beberapa
buah daerah. Daerah-daerah ini pula dibahagi kepada mukim-mukim. Di
Sarawak, sebelum dibahagi kepada daerah, Sarawak dibahagi dahulu mengikut
bahagian. Ketua Bahagian dipanggil Residen dan Ketua Daerah dipanggil
Pegawai Daerah. Di Sabah pula, negeri dibahagi kepada beberapa residensi dan
setiap residensi dibahagi pula kepada daerah. Bagi Negeri-Negeri Tidak
Bersekutu, jawatan Pegawai Daerah dan penolongnya dipenuhi oleh pegawai-
pegawai negeri manakala bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, jawatan
tersebut dipenuhi oleh pegawai-pegawai Persekutuan.

Jabatan
Jabatan-jabatan yang terdapat di peringkat negeri dibahagikan kepada dua jenis,
iaitu jabatan negeri dan cawangan jabatan persekutuan. Jabatan-jabatan negeri
pula dibahagikan kepada dua jenis iaitu, jabatan negeri yang bertanggungjawab
kepada kerajaan negeri dan jabatan negeri yang bertanggungjawab kepada
kedua-dua kerajaan negeri dan persekutuan.

• Jabatan Negeri Di Semenanjung Malaysia


Jabatan negeri yang bertanggungjawab kepada kerajaan negeri merupakan
jabatan yang menjalankan pentadbiran negeri. Jabatan-jabatan penting yang
termasuk dalam golongan ini termasuklah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri,
Pejabat Kewangan Negeri, Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri dan Unit
Perancang Ekonomi Negeri.

• Jabatan Negeri Di Sabah dan Sarawak


Sabah dan Sarawak mempunyai bilangan jabatan yang lebih banyak kerana
Perjanjian Malaysia 1963 telah memberi kuasa yang lebih kepada kedua-dua
negeri itu berbanding dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. Namun,
menerusi proses penyatuan, kebanyakan jabatan-jabatan itu telah beransur-
ansur diletakkan di bawah tanggungjawab kerajaan persekutuan. Jabatan-
jabatan utama negeri yang kekal di bawah tanggungjawab kerajaan negeri
adalah sama seperti yang terdapat di Semenanjung Malaysia. Perbezaan yang
ada ialah jabatan utama negeri Sabah dikenali sebagai Jabatan Ketua Menteri
dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Sarawak tidak bertanggungjawab
secara langsung terhadap hal-hal perkhidmatan awam negeri seperti yang
terdapat pada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Semenanjung. Di Sarawak
pula tugas itu dijalankan oleh Pejabat Perjawatan Negeri.

• Cawangan Jabatan Persekutuan


Cawangan-cawangan jabatan persekutuan seperti Jabatan Pendidikan Negeri
dan Jabatan Imigresen Negeri bertanggungjawab kepada kerajaan persekutuan,
tetapi tertakluk kepada usaha penyelarasan yang dilakukan oleh pentadbiran
negeri. Untuk memenuhi keperluan negeri, ketua-ketua cawangan itu boleh
dipanggil untuk menghadiri mesyuarat Jawatankuasa-jawatankuasa Majlis
Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Majlis Tindakan Negeri di samping menjadi ahli
dalam Jawatankuasa Pembangunan Negeri dan jawatankuasa negeri yang lain.
Kedudukan cawangan jabatan persekutuan di negeri-negeri di Semenanjung
Malaysia adalah sama dengan kedudukan di Sabah dan Sarawak.

Suruhanjaya Negeri
Sama seperti kerajaan persekutuan, kerajaan negeri juga boleh menubuhkan
suruhanjaya-suruhanjaya yang berbentuk tetap atau khas. Pelantikan ahli-ahli
suruhanjaya dilakukan oleh Raja atau Yang Di-Pertua Negeri atas nasihat
Menteri Besar atau Ketua Menteri. Semua negeri kecuali Negeri Sembilan,
Perlis, Melaka dan Pulau Pinang mempunyai Suruhanjaya Perkhidmatan Awam
Negeri yang bertanggungjawab tentang pelantikan jawatan-jawatan dalam
Perkhidmatan Awam Negeri. Bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, pelantikan ke jawatan-jawatan negeri dibuat
oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan.

Perkhidmatan Awam Negeri


Setiap negeri mempunyai perkhidmatan awamnya sendiri. Bagi negeri Kedah,
Johor, Kelantan dan Terengganu, perkhidmatan awam negeri meliputi semua
jawatan. Bagi negeri-negeri selainnya, jawatan-jawatan tadbir diisi oleh Pegawai
Tadbir dan Diplomatik (PTD) atau Perkhidmatan Tadbir Am (PTA). Pegawai-
pegawai ini dipinjamkan oleh kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri.

Pejabat Setiausaha Persekutuan Dan Pejabat Kewangan Persekutuan


Khusus bagi negeri Sarawak dan Sabah, kerajaan telah mewujudkan semula
jawatan Setiausaha Persekutuan di samping jawatan Pegawai Kewangan
Persekutuan yang sedia ada. Tugas utama Pejabat Setiausaha Persekutuan
ialah untuk menyelaras dan menjalankan pentadbiran aktiviti jabatan-jabatan dan
perbadanan awam persekutuan di negeri berkenaan. Pejabat ini juga
bertanggungjawab untuk mengeratkan perhubungan antara kerajaan
persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri. Pejabat Kewangan Persekutuan
bertanggungjawab kepada Kementerian Kewangan Persekutuan dalam
menjalankan tugas-tugas kewangan seperti memeriksa anggaran belanjawan
agensi-agensi persekutuan di Sabah dan Sarawak. Tujuan penubuhannya ialah
untuk mempercepatkan proses membuat keputusan.

Perbadanan Awam Negeri


Kerajaan-kerajaan negeri mempunyai perbadanan-perbadanan awam yang
merangkumi badan-badan berkanun dan badan tidak berkanun yang merupakan
syarikat kepunyaan kerajaan negeri. Perhubungan badan-badan ini dengan
kerajaan negeri dan agensi-agensi utama negeri adalah lebih kurang sama
dengan perhubungan di antara perbadanan-perbadanan awam persekutuan
dengan kerajaan persekutuan dan agensi-agensi pusat. Perbadanan-perbadanan
awam yang lain yang terdapat di peringkat negeri merupakan cawangan-
cawangan perbadanan awam persekutuan. Sama seperti cawangan jabatan
persekutuan, perbadanan ini bertanggungjawab kepada kerajaan persekutuan
tetapi tertakluk kepada usaha penyelarasan pentadbiran negeri.

Peringkat Pentadbiran Negeri


Pentadbiran setiap negeri di Semenanjung Malaysia dijalankan menerusi
pelbagai peringkat. Peringkat-peringkat tersebut ialah :-

Daerah
Pembahagian negeri mengikut daerah atau jajahan yang dimulakan oleh pihak
Inggeris terdapat hingga sekarang. Kebanyakan projek-projek yang dirancang di
peringkat persekutuan dan negeri dilaksanakan di peringkat daerah. Pejabat
daerah dan tanah yang diketuai oleh Pegawai Daerah merupakan pejabat utama
di peringkat ini. Bidang tanggungjawabnya adalah berkaitan dengan pentadbiran
tanah, pentadbiran Majlis Daerah dan pengurusan aktiviti-aktiviti pembangunan
di samping menyelaraskan kegiatan semua cawangan agensi kerajaan negeri
dan persekutuan di peringkat daerah. Kebanyakan agensi negeri dan
persekutuan mempunyai cawangan mereka di peringkat ini.

Mukim
Sesebuah daerah dipecahkan kepada beberapa mukim dan terdapat sebuah
pejabat kerajaan yang diketuai oleh seorang penjawat awam yang dikenali
sebagai “Penghulu” (Penggawa di Kelantan). Di peringkat ini hanya beberapa
jabatan dan perbadanan awam sahaja yang mempunyai cawangan masing-
masing. Peranan utama seorang Penghulu ialah untuk membantu Pejabat
Daerah dan Tanah serta agensi-agensi kerajaan lain menjalankan program dan
projek pembangunan serta menyelaraskan kegiatan-kegiatan di kampung-
kampung di bawah jagaannya. Pada satu masa dahulu, jawatan Penghulu
diwarisi mengikut keturunan atau dilantik dari kalangan penduduk tempatan yang
mempunyai pengaruh yang luas. Pada masa sekarang penghulu dilantik oleh
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri berasaskan kepada kebolehan dan
kelulusan akademik. Oleh itu, mereka juga merupakan sebahagian dari pegawai
awam.

Kampung
Peringkat pentadbiran yang paling rendah sekali ialah peringkat kampung yang
diketuai oleh seorang “Ketua Kampung” (Penghulu di Kelantan) yang dilantik oleh
kerajaan negeri. Ketua Kampung hanya diberi elaun dan mereka bukanlah
sebahagian daripada pegawai awam. Ketua Kampung juga merupakan wakil
kerajaan negeri dan penduduk kampungnya. Ketua Kampung berperanan
membantu melaksanakan projek pembangunan Kerajaan. Peringkat kampung
dapat dianggap sebagai satu peringkat pentadbiran sebab Ketua Kampung
membantu agensi-agensi Kerajaan mengenal pasti tapak yang sesuai bagi
sesuatu projek di dalam kampungnya.

Ketua Kampung menjalankan tugasnya melalui Jawatankuasa Kemajuan dan


Keselamatan Kampung (JKKK) yang dipengerusikan beliau sendiri. Dalam
mesyuarat jawatankuasa itu, Ketua Jabatan Daerah dijemput hadir.
Pembentukan JKKK bertujuan untuk memberi peluang kepada penduduk
kampung mengambil bahagian yang aktif dalam proses perancangan dan
pelaksanaan program dan projek pembangunan di kampung mereka. Badan ini
juga menyatukan kampung dengan pentadbiran mukim, daerah dan negeri untuk
mempercepatkan proses pembangunan dan penyelesaian masalah.

Pentadbiran Negeri Sabah


Pentadbiran Negeri Sabah dibahagikan kepada dua peringkat iaitu daerah dan
kampung. Peringkat daerah diketuai oleh Pegawai Daerah. Selain daripada
Penolong Pegawai Daerah, seseorang Pegawai Daerah dibantu oleh seorang
Ketua Daerah yang bertanggungjawab terhadap segala aspek pentadbiran yang
berkaitan dengan hal-ehwal suku-suku kaum di daerah berkenaan. Setiap suku
kaum di sesebuah daerah diketuai oleh Ketua Anak Negeri (Native Chief). Ketua
Anak Negeri bertanggungjawab kepada Ketua Daerah. Kesemua mereka ini
merupakan sebahagian dari pegawai awam. Sama seperti keadaan di
Semenanjung Malaysia, setiap Kampung diketuai oleh Ketua Kampung yang
bukan merupakan pegawai awam.
Pentadbiran Negeri Sarawak
Pentadbiran Negeri Sarawak pula dibahagikan kepada empat peringkat, iaitu:
bahagian, daerah, daerah kecil dan kampung.

Bahagian
Negeri Sarawak dibahagikan kepada tujuh bahagian yang setiap satunya diketuai
oleh seorang ‘Residen’ sebagai Ketua Pentadbir Bahagian. Pembahagian negeri
mengikut bahagian hanya diadakan di Negeri Sarawak disebabkan kawasan
negerinya yang luas. Setiap bahagian mempunyai beberapa orang
‘Temenggung” yang merupakan ketua masyarakat yang dilantik oleh kerajaan
berasaskan golongan kaum.

Daerah
Setiap bahagian dibahagikan pula kepada beberapa daerah yang setiap satunya
diketuai oleh Pegawai Daerah. Ketua masyarakat digelar ‘Pemanca’ yang
bertanggungjawab kepada Pegawai Daerah dan Temenggung.

Daerah Kecil
Di dalam sesebuah daerah terdapat pula daerah kecil yang diketuai oleh
pegawai-pegawai Perkhidmatan Tadbir Negeri Sarawak.

Kampung
Setiap kampung di Sarawak diketuai oleh seorang ‘Penghulu’ yang dilantik oleh
kerajaan. Sebelum gelaran ‘Penghulu’ digunakan, Ketua Rumah Panjang digelar
‘Tuai Rumah’.

Sistem Perancangan dan Pelaksanaan Di Peringkat Negeri


Sistem perancangan dan pelaksanaan di peringkat negeri juga serupa dengan
sistem yang terdapat di peringkat persekutuan serta melibatkan dasar,
perancangan, pelaksanaan, penyelarasan dan penilaian. Adalah menjadi
kebiasaan bahawa pihak negeri mengambil kira dasar-dasar yang wujud di
peringkat persekutuan sebelum sesuatu dasar negeri dibentuk. Pembentukan
dasar-dasar awam negeri dilakukan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang
para anggotanya terdiri daripada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri serta dibantu
oleh beberapa orang pegawai kanan kerajaan, iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri,
Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri. Namun
begitu sebelum sesuatu dasar itu dibentuk, kerajaan negeri juga menubuhkan
jawatankuasa-jawatankuasa tertentu untuk mengkaji sesuatu dasar sebelum
dikemukakan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

You might also like