You are on page 1of 20

Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu

Oleh : Aida Rahayu binti Awang (GS 36997)

Pendahuluan

Bahasa Melayu telah diperakui kemampuannya menjadi bahasa ilmu sejajar dengan

tuntutan semasa. Walau bagaimanapun, martabatnya sebagai bahasa ilmu masih belum

diangkat dengan erti kata yang sebenar. Makalah ini bertujuan membincangkan

penggunaan bahasa Melayu di institusi pendidikan negara dan cabaran terhadap bahasa

Melayu serta usaha pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Kaedah yang

digunakan dalam penulisan makalah ini ialah kaedah kepustakaan iaitu dengan merujuk

bahan-bahan tulisan seperti tesis, jurnal, kertas kerja serta tulisan-tulisan ilmiah di

beberapa perpustakaan. Selain itu, maklumat dan sumber rujukan juga diperoleh melalui

dalam talian. Bahan rujukan yang dipilih bertujuan untuk mendapatkan maklumat yang

sahih yang ditulis oleh pakar atau pengkaji yang berkaitan dengan isu ini.

Latar Belakang

Di Malaysia hari ini bahasa Melayu telah dijadikan sebagai bahasa kebangsaan seperti

dalam perkara 152 Perlembagaan Malaysia secara tidak langsung telah mengiktiraf

bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Oleh itu, pelbagai usaha telah dirancang

agar kedudukan bahasa Melayu diangkat martabatnya sejajar dengan perlembagaan yang

termaktub. Perkembangan dan proses perancangan serta pembinaan bahasa yang

bermula dari dekad 50-an dan berjalan terus-menerus hingga ke dekad 80-an adalah

1
bertitik tolak daripada keperluan untuk meningkatkan taraf bahasa Melayu daripada

darjat yang serendah-rendahnya hinggalah kepada tahap yang paling tinggi sebagai

bahasa ilmu. Bagi merealisasikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan maka

bahasa telah dirancang dengan rapi. Perancangan bahasa melibatkan perancangan tiga

aspek iaitu perancangan korpus, perancangan status atau taraf dan perancangan

pemerolehan. Taraf bahasa ilmu ini telah mula dicapai apabila bahasa Melayu diterima

oleh semua sebagai bahasa pengantar di semua sekolah menengah. Kejayaan seterusnya

ialah apabila bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa pengantar utama pada tahun

pertama di peringkat pendidikan tinggi pada tahun 1983. Oleh yang demikian, bahasa

Melayu di Malaysia sudah mencapai taraf bahasa ilmu.

Definisi Bahasa Ilmu

Menurut Ensiklopedia keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka menjelaskan bahawa bahasa

Melayu sebagai bahasa ilmu ialah peranan bahasa Melayu itu sebagai bahasa pengantar

ilmu pengetahuan atau sebagai alat untuk menyampaikan ilmu pengetahuan moden

seperti fizik, kimia, kejuruteraan, perubatan, ekonomi, undang-undang, kesusasteraan dan

agama. Bahasa ilmu ialah bahasa yang digunakan untuk mengungkap ilmu dan memiliki

ciri-ciri tersendiri (Nik Safiah Karim, 1986). Selain itu, bahasa Melayu menjadi bahasa

ilmu kerana mempunyai ciri-ciri gramatis, halus, jitu, intelektual dan elitis (Abdullah

Hassan, 1986).

2
Menurut Ismail Hussein (1992 : 1-6) satu-satu bahasa yang mencapai taraf

sebagai bahasa ilmu harus mempunyai dua ciri penting iaitu keintelektualan bahasa dan

kesempurnaan bahasa dalam bidang-bidang tertentu. Dengan keintelektualan bahasa

dimaksudkan bahasa itu harus mempunyai keupayaan menyampaikan buah fikiran dan

hujah dengan tepat dan berkesan iaitu mengungkapkan kesinambungan dan kerumitan

fikiran. Menurutnya lagi kemuncak pencapaian taraf keintelektualan bahasa ialah

penggunaan laras saintifik yang berusaha menghasilkan bentuk bahasa yang tepat dan

mencerminkan kejelasan pemikiran yang logik. Keintelektualan bahasa juga boleh

dicapai terutama melalui perbendaharaan kata melalui sistem bahasa. Seterusnya bahasa

itu juga perlu mempunyai ciri kesempurnaan iaitu sifat-sifat yang menjadikan satu-satu

bahasa itu sesuai, tepat, tegas dan berkesan dalam situasi atau konteks penggunaannya.

Bahasa yang sempurna itu ialah bahasa yang memperlihatkan sifat-sifat kestabilan,

kelenturan, kepelbagaian, keberkesanan, dan keindahan.

Untuk menjelaskan ciri khusus sesuatu bahasa ilmu, Awang Sariyan (1996:259-261)

telah menggariskan sepuluh ciri seperti berikut :

i) bahasa yang mematuhi rumus-rumus bahasa,

ii) bersifat formal dan objektif,

iii) mengambil kira sudut pandangan orang ketiga,

iv) mampu diungkap dalam ragam pasif,

v) mempunyai istilah khusus,

vi) adanya wacana pemaparan,

vii) boleh ditulis dalam nada bersahaja,

3
viii) mempunyai kata yang tepat dan sesuai,

ix) boleh mengungkap hal-hal abstrak dan komples menggunakan ayat majmuk

dan,

x) huraian bahasa boleh menggunakan bantuan illustrasi.

Selain itu, bahasa ilmu harus mempunyai ciri bahasa bermaksud bahawa bahasa

yang digunakan dapat melahirkan perasaan, pendapat dan buah fikiran hendaklah

mempunyai perkataan yang sedap didengar, bertenaga dan menarik serta dapat

menyentuh hati pembaca atau pendengar seperti unsur-unsur yang terdapat dalam laras

sastera (Yahya Don, 2007:70-71).

Nik Safiah Karim (2006:10-13) berpendapat bahawa bahasa Melayu harus boleh

berfungsi sebagai bahasa akademik yang lengkap dengan laras-laras bahasa untuk

memperkatakan pelbagai hal baharu dalam aneka bidang ilmu moden. Misalnya dalam

bidang kejuruteraan, bahasa Melayu harus mempunyai laras-laras bahasa yang khusus

untuk menerangkan hal-hal kejuruteraan awam, kejuruteraan elektrik dan elektronik,

kejuruteraan mekanikal, dan kejuruteraan kimia. Laras-laras saintifik ini berbeza pula

dengan laras sains sosial dan kemanusiaan seperti laras kesusasteraan, sejarah, laras seni

ukur, dan laras sains rumah tangga. Sebagai bahasa ilmu bahasa Melayu harus

mempunyai perbendaharaan kata, istilah dan laras bahasa yang sesuai untuk

mengungkapkan konsep dan pemikiran yang kompleks dan abstrak. Sebagai contoh,

apabila memperkatakan konsep ekonomi maka perlulah bahasa Melayu mempunyai

perbendaharaan kata, istilah dan laras bahasa yang cukup dan sesuai untuk menyatakan

4
konsep dan pemikiran tentang hal-hal perdagangan antarabangsa, ringan dan berat,

perniagaan saham, pengurusan perakaunan dan perangkaan.

Berdasarkan penerangan tentang definisi bahasa ilmu dan ciri-cirinya seperti yang

telah dijelaskan bahawa bahasa Melayu mempunyai ciri-ciri yang baik sebagai bahasa

ilmu dan telah mencapai tahap kesempurnaannya. Oleh hal yang demikian, tiada sebab

bahasa Melayu menjadi penghalang kemajuan atau tidak sesuai sebagai bahasa ilmu.

Maka tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Melayu telah mencapai taraf bahasa ilmu.

Dasar Bahasa Negara

Pada peringkat kerajaan perancangan bahasa melibatkan penubuhan dasar bahasa. Dasar

bahasa di negara ini dapat diringkaskan seperti berikut :

1) bahasa Melayu diisytiharkan sebagai bahasa kebangsaan negara,

2) bahasa kebangsaan ini hendaklah digunakan untuk tujuan rasmi negara,

3) bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar di semua sekolah kebangsaan

dan dijadikan mata pelajaran wajib lulus dalam SPM,

4) bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar utama di institusi pengajian tingi

awam,

5) bahasa Melayu diajarkan sebagai mata pelajaran wajib di sekolah jenis

kebangsaan,

6) bahasa Inggeris diajarkan sebagai mata pelajaran wajib di semua sekolah,

5
7) semua institusi swasta hendaklah menggunakan bahasa kebangsaan sebagai

bahasa pengantar kecuali mendapat kebenaran Menteri Pendidikan,

8) membenarkan penggunaan dan pengajaran bahasa mana-mana kaum di negara ini.

Inilah dasar bahasa di Malaysia sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan

Malaysia, Fasal 152, dan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967, dan berdasarkan undang-

undang pendidikan kebangsaan sejak Akta Pelajaran tahun 1957 hingga Akta Pendidikan

1996.

Penggunaan Bahasa Melayu di Institusi Pendidikan

Dalam sistem pendidikan negara, pelaksanaan terhadap Dasar Bahasa Kebangsaan telah

dirancang sejak 1956 hingga 1987 iaitu selama 31 tahun (Hashim Musa dan Halimah

Pondo, 2012: 48-50). Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan

merupakan strategi utama untuk memperkasakan bahasa Melayu melalui sistem

pendidikan negara untuk diwariskan generasi ke generasi. Bahasa Melayu menjadi

bahasa pengantar seperti berikut :

1956 Penyata Razak telah membentuk Dasar Pendidikan Kebangsaan yang

mencadangkan penubuhan sekolah kebangsaan dengan penggunaan bahasa

Melayu sebagai pengantar pendidikan demi perpaduan rakyat. Bahasa

Melayu dijadikan mata pelajaran wajib di sekolah kerajaan dan bantuan

kerajaan. Dewan Bahasa dan Pustaka telah ditubuhkan yang bertugas untuk

6
membina bahasa Melayu supaya layak memenuhi tugas sebagai bahasa

kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pengantar pendidikan negara iaitu

pembinaan istilah saintifik 1956, pembinaan kamus umum bermula 1960 dan

diterbitkan pada tahun 1970, pembinaan ejaan umum bermula 1967 dan

Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu terbit 1975, pembinaan sebuah

tatabahasa normatif bermula 1980 dan Tatabahasa Jilid 1 ayat terbit 1986

dan Jilid 2 Perkataan terbit 1989, dan pembinaan sebutan baku di sekolah

bermula tahun 1987 dan dilaksanakan pada tahun 1988 dalam KBSM.

1957 Perlembagaan Persekutuan Tanah Malaysia Fasal 152 menyatakan bahasa

kebangsaan ialah bahasa Melayu tetapi bahasa Inggeris digunakan dalam

urusan rasmi sehingga 10 tahun dan seterusnya 1967 apabila Parlimen akan

menentukan kedudukannya.

1958 Pembentukan kelas menengah berbahasa Melayu di sekolah Inggeris yang

kemudian berkembang menjadi sekolah menengah kebangsaan.

1961 Penyata Rahman Talib 1961 memperkukuh lagi cadangan Penyata Razak

tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa

pengantar pendidikan.

1963 Penubuhan sekolah menengah kebangsaan berasrama penuh pertama Sekolah

Menengah Shah Alam dengan pengantar bahasa Melayu sepenuhnya

7
termasuk kelas Tingkatan VI.

1965 Kumpulan pertama penuntut aliran Melayu masuk universiti.

1967 Akta Bahasa Kebangsaan mengisytiharkan bahasa pengantar pendidikan

tunggal ialah bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu.

1968 a.Kumpulan pertama penuntut aliran Melayu mendapat ijazah.

b.Kelas aliran Melayu bermula di sekolah vokasional.

1970 Satu tahun sesudah tragedi 13 Mei 1969. Semua mata pelajaran darjah satu

sekolah rendah diajar dalam bahasa Melayu. Penubuhan UKM yang

menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu sebagai pengantar pendidikan

dalam semua kursusnya termasuk kursus sains tulen dan sains terapan.

1975 Semua mata pelajaran di sekolah rendah diajar dalam bahasa Melayu.

1976 Semua mata pelajaran di tingkatan satu sekolah menengah diajar dalam

bahasa Melayu.

1982 Semua mata pelajaran di sekolah menengah diajar dalam bahasa Melayu.

1982 Sekolah menengah jenis kebangsaan Inggeris sepenuhnya menjadi sekolah

menengah kebangsaan, peperiksaan STPM mula dijalankan dalam bahasa

8
Melayu.

1983 Kursus semester pertama di universiti-universiti tempatan di samping UKM

diajar dalam bahasa Melayu.

1987 Semua kursus di peringkat ijazah pertama di universiti tempatan diajar dalam

bahasa Melayu kecuali bagi designated courses iaitu bahasa dan

kesusasteraan asing dan kursus kendalian staf yang tidak atau belum mahir

dalam bahasa Melayu.

Hal ini membuktikan kesungguhan kepimpinan negara untuk memastikan bahasa

Melayu sebagai bahasa kebangsaan dicapai sekali gus bahasa Melayu dapat dijadikan

bahasa ilmu. Namun pada tahun 1993 diwujudkan Dasar Bahasa di Institusi Pengajian

Tinggi Awam iaitu Bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar dalam bidang Sains dan

Teknologi seterusnya melalui Akta Pendidikan 1996 iaitu memberi keizinan Institusi

Pengajian Tinggi Swasta menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dengan

kuasa daripada Menteri Pendidikan. Kedua-dua situasi ini menggugat kedudukan bahasa

Melayu sebagai bahasa ilmu.

Cabaran Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu

Pada saat sistem pendidikan ini menunjukkan kejayaannya, datang pula cabaran-cabaran

daripada kalangan pemimpin orang Melayu sendiri. Cabaran pertama ialah ada

9
pemimpin yang tidak menyakini kemampuan bahasa Melayu untuk menyampaikan ilmu

sains dan teknologi. Pada tahun 1993, Perdana Menteri ketika itu mengumumkan

bahawa semua kuliah sains dan teknologi di universiti hendaklah disampaikan dalam

bahasa Inggeris. Oleh itu bahasa Melayu hendak diganti dengan bahasa Inggeris sebagai

bahasa pengantar sains dan teknologi di pusat pengajian tinggi. Alasan yang diberi

kerana untuk mendapatkan ilmu antarabangsa yang disebarkan dalam bahasa Inggeris.

Cabaran kedua iaitu timbul keghairahan untuk mengizinkan penubuhan universiti

swasta. Bilangan universiti ini semakin banyak sehingga melebihi universiti tempatan.

Universiti-universiti swasta ini menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.

Perkembangan ini mencairkan sistem pendidikan kebangsaan yang menggunakan bahasa

Melayu. Oleh itu melalui Akta Pendidikan 1996 yang membenarkan IPTS untuk

menggunakan bahasa pengantar bahasa Inggeris dengan kuasa Menteri Pendidikan maka

bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar untuk pelajar yang melebihi 300 ribu

berbanding bilangan pelajar di IPTA yang menggunakan bahasa pengantar bahasa

Melayu. Impaknya penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu menjadi dominan

berbanding penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Cabaran ketiga ialah wujud persepsi bahasa bahasa Melayu itu hanya

melambatkan pembangunan. Jawapan kepada masalah ini dikatakan berada pada bahasa

Inggeris. Semua isu ini mencabar sistem pendidikan kebangsaan sekarang kerana dahulu

perjuangan memartabatkan bahasa Melayu merupakan perjuangan pemimpin Melayu

dahulu. Namun harus diteliti bahawa terdapat negara yang maju seperti Jepun, Korea dan

10
China yang masih mengekalkan bahasa ibunda atau bahasa tempatan mereka sebagai

bahasa pengantar dalam pendidikan. Selain itu, terdapat juga negara yang telah

menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan mereka

tetapi masih tidak mencapai status negara maju seperti India dan Filipina. Hal ini

membuktikan bahawa bahasa Inggeris bukanlah kayu ukur semata-mata untuk kemajuan

sesebuah negara.

Cabaran keempat ialah isu penggunaan bahasa Inggeris dalam pendidikan hangat

diperkatakan pada tahun 2003 apabila pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik

dalam bahasa Inggerias (PPSMI) telah dilaksanakan. Semua perkara seperti buku teks,

latihan semula guru-guru, kewangan yang banyak dan elaun-elaun khas terpaksa

disediakan. Hal ini menimbulkan polemik dalam sistem pemerintahan negara maka pada

tahun 2013 melalui kuasa politik kerajaan Malaysia telah menarik semula PPSMI setelah

mengambil kira pandangan masyarakat terhadap isu ini berdasarkan kajian-kajian

akademik. Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris

(MBMMBI) telah dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Cabaran kelima ialah wujud kembali suasana dualisme pendidikan seperti yang

berlaku pada zaman penjajahan. Situasi ini menimbulkan implikasi dan kesan yang

serius terhadap dasar bahasa negara. Proses penginteletualan bahasa Melayu akan

terbantut kerana bahasa Melayu tidak lagi menjadi pengantar ilmu tinggi dan tidak

berkembang selaras dengan perkembangan ilmu pengetahuan. Hal ini menyebabkan

status bahasa Melayu hanya berada pada kedudukan rendah untuk komunikasi harian

11
sahaja berbanding bahasa Inggeris akan digunakan dalam interaksi wacana ilmiah dan

ilmu pengetahuan.

Pemerkasaan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu

Pendaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu telah dilakukan sejak munculnya

kesedaran orang Melayu untuk menjaga kepentingan mereka sebagai satu bangsa yang

bertamadun di Tanah Melayu. Segala usaha telah dilakukan bagi memperkasakan

kedudukan ini dengan jayanya. Perjuangan ini perlu diteruskan oleh peneraju utama

negara seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kementerian Pendidikan Malaysia

(KPM) bagi memastikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Hasil kajian UNESCO (1958) jelas menunjukkan bahawa pendidikan dalam

bahasa ibunda lebih berkesan dan penguasaan bahasa kedua boleh didapati sekiranya

sekolah bermula dengan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar kemudian

memperkenalkan bahasa kedua sebagai subjek yang dipelajari. Oleh itu, bahasa ibunda

sangat penting dan lebih berkesan digunakan dalam dunia pendidikan. Dalam konteks

Malaysia maka bahasa Melayu dianggap sebagai bahasa pengantar seperti yang telah

termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Pembelajaran dalam bahasa Inggeris di

sekolah menghadapi masalah menerusi kajian Siti Hamin, Nadzrah, Rozmel (2007) dari

fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

berkenaan literasi bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di luar bandar. Kajian

12
dijalankan di tiga buah sekolah daerah Kulai, Johor terhadap 304 murid Tingkatan 2

mendapati bahawa tahap literasi penulisan mereka sangat membimbangkan dan perlu

diberi perhatian oleh semua pihak supaya jurang literasi pelajar di bandar dan di luar

bandar dapat dikurangkan. Oleh itu, langkah drastik perlu dilakukan supaya tidak ada

jurang dalam mata pelajaran bahasa Inggeris antara murid bandar dan murid di luar

bandar.

Dasar Bahasa Negara tidak merugikan orang bukan Melayu kerana saban tahun

apabila keputusan peperiksaan awam diumumkan didapati orang bukan Melayu juga

memperoleh keputusan yang cemerlang dalam semua mata pelajaran walaupun semua

sekolah di Malaysia menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Hal ini

membuktikan bahawa bahasa Melayu sudah menjadi bahasa ilmu di peringkat sekolah

rendah dan menengah. Begitu juga situasi di institusi pengajian tinggi apabila kajian

persepsi pensyarah terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Hal ini

seperti kajian Hamdan Azmi dan Noor Rohana (2013) tentang persepsi tenaga pengajar di

Institusi Pengajian Tinggi (IPT) terhadap kemampuan bahasa Melayu berfungsi sebagai

bahasa pengantar utama ilmu. Kajian terhadap 212 responden pelbagai bidang

membuktikan bahawa persepsi tenaga pengajar terhadap kemampuan bahasa Melayu

sebagai bahasa pengantar di IPT dengan min 3.82. Hal ini menunjukkan bahawa tenaga

akademik yakin dengan kemampuan bahasa Melayu untuk berfungsi sebagai bahasa

pengantar utama di IPT terutama dalam bidang sains dan teknologi. Selain itu terdapat

kajian Norhanisa, Syamsiah dan Syaiful Anas (2011) berkaitan penggunaan bahasa

Inggeris bagi proses pengajaran dalam kalangan pensyarah Politeknik di Balik Pulau dan

13
Seberang Perai sebanyak 162 responden. Hasil dapatan menunjukkan pensyarah bersikap

neutral dan selesa untuk menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran

namun kemahiran pensyarah dari segi komunikasi lisan dan bukan lisan berada pada

tahap sederhana. Begitu juga ilmu pengetahuan pensyarah terhadap bahasa Inggeris

berada pada tahap sederhana. Senario ini menggambarkan bahawa bahasa Melayu harus

menjadi bahasa ilmu kerana penguasaan ilmu sains dan teknologi bergantung pada

penyampaian yang berkesan hanya menggunakan bahasa kebangsaan bukannya bahasa

asing (Hashim dan Halimah, 2012:64). Hal ini terbukti apabila pelajar di universiti

tempatan juga tidak mahir berbahasa Inggeris seperti kajian Adibah dan Azizah (2012)

tentang penguasaan dan penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan 120 pelajar di

Universiti Teknologi Malaysia mendapati bahawa penguasaan bahasa Inggeris pelajar

berada pada tahap sederhana dan mereka kurang menggunakan bahasa Inggeris untuk

berkomunikasi, membuat rujukan dan aktiviti harian mereka. Impaknya, sewajarlah

bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di Malaysia supaya dapat merealisasikan bahasa

Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara.

Antara inisiatif yang diambil oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bahagian

pengajian tinggi 2011 untuk memperkasakan kedudukan dan peranan bahasa Melayu

sebagai bahasa ilmu seperti mengukuhkan bahasa Melayu dalam pembelajaran,

pengajaran, penyelidikan dan penerbitan serta meningkatkan pengiktirafan akademia

bahasa Melayu dalam pelbagai disiplin ilmu dan pengantarabangsaan bahasa Melayu.

Selain itu, bahagian Pengajian Tinggi telah menyediakan 25 inisiatif strategik bagi IPTA

bagi menyokong pelaksanaan pelan tindakan dalam usaha menambah bilangan artikel

14
berindeks tinggi, penerbitan buku akademik dan memperkukuh jurnal tempatan

berbahasa Melayu berkualiti sehingga dapat diindekkan dalam Scopus dan ISI. Melalui

pelan tindakan ini, pihak Pengajian Tinggi telah mewajibkan penerbitan buku dan bahan

akademik dalam bahasa Melayu sebagai kriteria perjawatan atau kenaikan pangkat,

mewujudkan anugerah kepada ahli akademik di peringkat universiti dalam penerbitan

akademik bahasa Melayu, menambahkan kategori anugerah baharu iaitu Anugerah

Penterjemah Karya Ilmu dalam bahasa Melayu dan Anugerah Akademik bahasa Melayu

dalam Anugerah Akademik Negara. Bahagian Pengajian Tinggi juga telah melaksanakan

beberapa langkah ke arah memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di IPT

dengan mewajibkan semua kursus wajib universiti dikendalikan dalam bahasa Melayu

seperti kursus Kenegaraan Malaysia, Tamadun Islam dan Tamadun Asia serta Hubungan

Etnik. Selain itu, meletakkan sasaran 30% pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa

Melayu bagi gugusan sains dan 70% bagi gugusan sains sosial dan kemanusiaaan pada

tahun 2020. Pelajar-pelajar antarabangsa perlu mengambil kursus Bahasa Melayu

Komunikasi (Mohamed Khalid Nordin, 2011:1-11).

Senario pendidikan pada peringkat pengajian tinggi dalam bahasa Inggeris

digunakan secara meluas terutama dalam bidang kritikal seperti dalam aliran sains dan

teknologi. Tenaga pengajar dilihat lebih mengutamakan bahasa Inggeris dalam

pengajaran dan pembelajaran kerana buku rujukan, buku teks dan nota kuliah juga

banyak ditulis dalam bahasa Inggeris. Bagi mengatasi masalah tersebut maka kegiatan

penterjemahan buku ilmiah di Malaysia perlu dilakukan dengan lebih rancak lagi oleh

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dan

15
Penerbit-penerbit IPTA. Usaha yang lebih giat wajar digerakkan oleh IPT

memandangkan IPT merupakan pusat pengembangan ilmu. Dalam arus teknologi dan

maklumat dewasa ini, aktiviti terjemah perlu dilakukan dengan lebih agresif. Banyak

karya dari Barat yang memiliki nilai ilmiah yang tinggi boleh diterjemahkan ke dalam

bahasa Melayu. Terjemahan ialah proses pemindahan maklumat dilakukan. Secara

tersiratnya, terjemahan ialah proses pemindahan bahasa ilmu daripada satu bahasa ke

bahasa yang lain. Oleh itu, sekiranya bidang terjemahan masih perlahan di Malaysia

maka proses pengembangan ilmu turut akan merasai kesannya.

Penerbitan ilmiah dalam bahasa Melayu merupakan salah satu cara untuk

memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Perancangan yang lebih mantap dan

usaha yang lebih giat perlu dilakukan dari semasa ke semasa oleh penerbit IPT dan

swasta. Di sinilah terletaknya peranan penerbit universiti yang dipayungi oleh Majlis

Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) yang bakal melahirkan ramai penulis berbakat

besar dalam melahirkan buku-buku ilmiah bahasa Melayu pada peringkat universiti.

Hasil tulisan ilmiah bahasa Melayu yang terbit dalam bentuk buku ini sering kali berlegar

di IPTA dan sering dijadikan rujukan oleh pelajar yang sudah semestinya mempunyai

daya intelektual yang cukup tinggi. Harus disedari bahawa menulis ilmiah sama sekali

amat berbeza daripada menghasilkan penulisan buku popular yang berbentuk cereka

mahupun fiksyen. Justeru kehadiran buku-buku ilmiah bahasa Melayu yang baik lahir

hasil daripada penyelidikan di universiti memberi sumbangan kepada korpus ilmu

(Saadah Jaffar et al, 2011:418-423). Menulis penulisan ilmiah bukanlah suatu kerja yang

mudah kerana penulisnya harus mempunyai rasa insaniah yang cukup tinggi, bersifat

16
terbuka dalam menerima kritkan, sanggup dikritik hasil tulisannya dan bertanggungjawab

atas yang dihasilkan. Sesebuah penulisan ilmiah yang baik dan bermutu tinggi sudah

pastinya dicari-cari di pasaran serta boleh dijadikan rujukan dan dapat menjadi panduan

kepada khalayak di universiti. Karya ilmiah bermutu tinggi yang digarap oleh tokoh-

tokoh akademik pada peringkat universiti sekurang-kurangnya dapat memberi perspektif

tepat tentang hala tuju pengajian tinggi negara kerana idea yang tercetus boleh membantu

mengangkat sesebuah karya yang ditulis. Keunggulan bahasa Melayu sebagai bahasa

ilmu dibuktikan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) apabila berjaya melahirkan

ramai siswazah dalam bidang perubatan dan pelbagai bidang lain kerana meskipun

belajar dalam bahasa Melayu ramai golongan profesional yang dihasilkan oleh UKM

mahir berbahasa Inggeris dengan baik. Oleh itu, usaha yang menyeluruh dan bersepadu

digerakkan bagi menghasilkan karya ilmiah bahasa Melayu demi memartabatkan bahasa

Melayu sebagai bahasa ilmu di Malaysia.

Kemasukan pelajar asing dari merata benua yang datang untuk melanjutkan

pengajian di Malaysia membantu menaikkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa

dunia yang berpotensi tinggi. Hal ini kerana subjek Bahasa Melayu menjadi subjek wajib

diambil oleh pelajar asing seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 dan Akta

Pendidikan Tinggi Swasta 1996. Tujuan utama kerajaan mewajibkan pelajar asing

mengambil subjek ini adalah bagi membolehkan pelajar asing berkomunikasi dan

menyesuaikan diri dengan persekitaran di Malaysia. Hasil kajian Siti Saniah dan Sharala

(2012) terhadap 300 orang pelajar asing yang mewakili enam buah negara mendapati

bahawa mereka mempelajari bahasa Melayu untuk berinteraksi, mendekati atau

17
memahami komuniti bukan untuk memperoleh pengiktirafan sosial atau manfaat

ekonomi. Hal ini kerana bahasa Melayu belum dianggap sebagai bahasa perdagangan,

bahasa ekonomi, bahasa ilmu dan bahasa teknologi di peringkat antarabangsa. Dengan

bertambahnya pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing iaitu dengan wujudnya

pusat-pusat pengajian di seluruh dunia yang mengajarkan bahasa Melayu akan dapat

meningkatkan peranan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa meskipun tidak seluas

keperluan pengajaran bahasa Inggeris. Secara tidak langsung dapat membuktikan

bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu.

Kesimpulan

Martabat dan status bahasa Melayu perlu dipertahankan. Dalam usaha membina tidak

perlu ada usaha meruntuh supaya segala usaha tidak menjadi sia-sia. Bahasa Melayu di

Malaysia harus terus menjadi bahasa ilmu dan terus berkembang supaya tidak hilang di

dunia ini serta mencerminkan bangsa kita. Bahasa Melayu telah mencapai tahap

kegemilangannya sehingga menjadi lingua frangca dan bahasa ilmu sewaktu ketika

dahulu kerana sifat keterbukaannya iaitu mudah menerima pengaruh bahasa asing.

Bahasa berkait dengan budaya, politik, keadaan sosial, ideologi, psikologi, sikap,

hati dan jiwa manusia. Bahasa juga sebagai alat pembangunan, penjana tamadun bangsa

bukan sekadar alat komunikasi sahaja. Mathew B Ward dalam Asiaweek Ogos 1999

menegaskan bahawa bangsa yang mengabaikan bahasa sendiri tetapi menyanjung tinggi

18
bahasa lain tidak akan maju malah pemikirannya terus dibelenggu, tidak mempunyai

keyakinan diri dan sentiasa berasa rendah diri.

Bahasa Melayu telah mencapai tahap kesempurnaannya, mampu bersaing dan

berdaya maju dalam mencapai bahasa ilmu. Seharusnya rakyat Malaysia berbangga

dengan pencapaiannya dan bukan berasa sangsi hingga sanggup menganaktirikan bahasa

sendiri. Hal ini terbukti apabila Jepun, Korea dan China yang sangat mendaulatkan

bahasanya mampu menjadi gergasi ekonomi dunia. Terbukti bahawa sesuatu bahasa

tidak pernah menjadi penghalang kemajuan. Oleh yang demikian bahasa Melayu mampu

menjadi bahasa ilmu yang dapat menjana minda bangsanya.

Rujukan

Abdullah Hassan. 1986. Bahasa Melayu Tinggi Ditinjau dari Sudut Morfologi” dalam
Nik Safiah Karim. Bahasa Melayu Tinggi: Teori dan Penerapan. Kuala
Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.

Adibah Abdul Latif dan Azizah Abu Hanifah. 2012. Penguasaan dan penggunaan
bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar-pelajar PKPG Kemahiran Hidup
Universiti Teknologi Malaysia. Fakulti Pendidikan, UTM. Atas talian.

Awang Sariyan. 1996. Warna dan Suasana - Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hashim Musa dan Halimah Pondo. 2012. Isu Sosiolinguistik di Malaysia. Serdang :
Penerbit Universiti Putra Malaysia.

Ismail Hussein. 1992. Sejarah Pertumbuhan Bahasa Kebangsaan Kita : Asal-usul


bahasa Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohamed Khalid Nordin. 2011. “Ucapan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia sempena
Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai
bahasa ilmu di IPT dan Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 Peringkat

19
Kementeria”, 27 Oktober, Putrajaya : Dewan Utama, Kementerian Pengajian
Tinggi, hlm 1-11.

Nik Safiah Karim. 1986. Bahasa Melayu Tinggi : Teori dan Penerapan. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nik Safiah Karim. 2006. Kuasa DBP mengembalikan Upaya Bahasa Melayu dalam
Dewan Bahasa hlm 10-13.

Norhanisha Yusof, Syamsiah Hussin dan Syaiful Anas Ibrahim. 2011. Penggunaan
bahasa Inggeris dalam kalangan pensyarah Politeknik Balik Pulau dan
Politeknik Seberang Perai. Atas Talian.

Ramlah Adam dan Mohd Kasturi Nor Abd Aziz. 2014. Pendaulatan Bahasa Melayu
sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Ilmu di Malaysia : Sejarah dan
Kedudukan Masa Kini. Atas talian.

Saadah Jaffar, Mohamad Salleh Sulieman dan Noor Aina Dani. 2011. Memperkasa
bahasa Melayu dalam penerbitan ilmiah di universiti tempatan. Dlm Prosiding
Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan bahasa Melayu VII.
Serdang : Universiti Putra Malaysia.

Siti Hamin Stapa, Nadzrah Abu Bakar dan Rozmel Abdul Latiff. 2007. Literasi
penulisan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar luar bandar : Implikasi
terhadap pengajaran dan pembelajaran. Jld 2, Bil 2, Jurnal e-Bangi.

Siti Saniah Abu Bakar dan Sharala Subramaniam. 2012. Pengaruh Motivasi
Instrumental dan Integratif dalam pemilihan strategi pembelajaran bahasa
Melayu dalam kalangan penutur asing. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu,
jilid 2, bil 2, hlm 54-61.

Yahya Don. 2007. Kepimpinan Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur : PTS


Profesional.

20

You might also like