You are on page 1of 2

Autisme

Apakah yang dimaksudkan dengan autisme? Autisme ialah suatu keadaan dimana berlakunya
gangguan perkembangan neuro. Gangguan yang berlaku kepada individu autisme
menyebabkan individu tersebut mempunyai perkembangan yang berbeza berbanding mereka
yang seusia. Dalam penjelasan yang seterusnya, saya akan memberikan contoh-contoh yang
berkaitan dengan autisme menggunakan kanak-kanak yang mengalami autisme.

Ciri-ciri autisme dapat dibahagikan kepada 2 aspek berikut. Pertama ialah aspek komunikasi
dan interaksi sosial. Kedua ialah aspek tingkahlaku.

Dalam aspek komunikasi, kanak-kanak yang mengalami autisme mungkin akan menunjukkan
ciri-ciri yang berikut. Terdapat kanak-kanak yang mengalami autisme mengalami kesukaran
untuk memahami komunikasi bukan lisan. Komunikasi bukan lisan merujuk kepada ekspresi
muka, pergerakan tubuh dan isyarat. Contohnya, kanak-kanak yang mengalami autisme
mungkin tidak memahami ekspresi muka marah yang ditunjukkan oleh ibu bapa mereka.

Aspek interaksi sosial melibatkan interaksi kanak-kanak yang mengalami autisme dengan
individu di persekitarannya. Kanak-kanak yang mengalami autisme mungkin menunjukkan
gangguan dalam aspek interaksi sosial seperti mengekalkan kontak mata atau eye
contact individu yang sedang bercakap dengannya. Selain itu, kanak-kanak yang mengalami
autisme juga mungkin mengalami kesukaran membina perhubungan seperti persahabatan,
berkongsi kegembiraan, minat dan aktiviti serta mungkin sukar untuk memahami emosi individu
di sekeliling mereka.

Dalam aspek tingkah laku, kanak-kanak autisme mungkin menunjukkan ciri-ciri tingkah laku
rigid kepada rutin harian atau aktiviti. Antaranya ialah seperti pergi ke sekolah dengan hanya
mengikut jalan yang sama, menggunakan cawan yang sama serta duduk di meja yang sama.
Mereka akan tertekan dan sedih jika berlaku perubahan yang mendadak. Dalam aspek tingkah
laku juga, kanak-kanak yang mengalami autism mungkin menunjukkan pergerakan anggota
badan, pengunaan objek yang streotaip dan berulang. Mereka juga mungkin menunjukkan
percakapan yang berulang-ulang atau lebih dikenali sebagai ekolalia. Ekolalia ialah suatu
keadaan kanak-kanak mengulang apa yang didengari secara spontan dengan menyebutnya
kembali.

Kanak-kanak yang mengalami autisme juga mungkin menunjukkan pergerakan badan yang
tidak fleksibel dan berulang seperti melompat setempat, mengibas-imbas tangan, jalan
berjengkit dan memusingkan badan.

Selain itu, aspek tingkah laku juga meliputi minat yang tidak fleksibel dan terhad kepada
sesuatu objek dan topik. Contohnya kanak-kanak yang mengalami autisme mungkin hanya
suka kepada permainan kereta api sahaja, dinosaur sahaja ataupun, minat kepada buku yang
sama sahaja. Apabila bermain pula, kanak-kanak autisme mungkin akan menyusun permainan
secara memanjang atau bertingkat-tingkat.

Selain daripada aspek yang dinyatakan, ada juga dalam kalangan kanak-kanak yang
mengalami autisme yang menghadapi isu sensori. Isu sensori ialah keadaan dimana kanak-
kanak autisme bertindak balas dengan rangsangan deria yang diterima daripada persekitaran.
Rangsangan deria meliputi bunyi yang didengari, bau, rasa makanan, cahaya dan tekstur yang
dirasai oleh kulit. Mereka boleh terlalu sensitif atau kurang sensitif. Contohnya mereka mungkin
terlalu sensitif sehingga sangat terganggu apabila mendengar bunyi yang kuat sedikit. Mereka
mungkin berasa kurang sensitif seperti tidak berasa pedas kepada makanan yang sangat
pedas.

Perlu diingatkan bahawa setiap kanak-kanak yang mengalami autisme adalah berbeza. Oleh
itu, setiap aspek yang dijelaskan bagi seorang kanak-kanak yang mengalami autisme itu adalah
berbeza dengan kanak-kanak autisme yang lain. Diharap, penjelasan yang diberikan dapat
membantu anda memahami ciri-ciri autisme dengan jelas dan tepat. Sekian terima kasih.

You might also like