You are on page 1of 3

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI MASALAH PENCEMARAN ALAM

SEKITAR
Pembangunan tanpa batasan merupakan perubahan kian pesat
yang berlaku di negara kita pada alaf globalisasi ini. Namun, kemajuan
dalam sektor perindustrian telah di kecapi hari ini sedikit tercalar impak
daripada sikap manusia yang tidak bertanggungjawab. Masyarakat yang
bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing
tidak mengendahkan kebersihan alam sekitar. Adakah kita ingin
membiarkan alam sekitar terjejas semata-mata supaya dapat mengejar
kemajuan? Apakah peranan kita sebagai masyarakat untuk menangani
masalah ini? Hal ini demikian kerana alam sekitar yang bersih penting
dalam kehidupan kita. Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita
seharusnya mensyukuri nikmat pemberian Tuhan. Oleh itu, langkah-
langkah yang proaktif perlu diambil untuk memelihara anugerah ciptaan-
Nya.
Salah satu langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah
pencemaran alam sekitar ialah mengurangkan penggunaan bahan kimia.
Hal ini demikian kerana bahan kimia akan mendatangkan pencemaran
kepada alam sekitar selain akan mendatangkan impak dalam jangka
masa yang panjang kepada alam sekitar. Apa yang dimaksudkan ialah
penggunaan racun serangga dan pendingin hawa merupakan salah satu
kesan yang paling ketara dan serius. Akibat daripada penggunaan racun
serangga dan pendingin hawa,berlakunya penipisan lapisan ozon dan air
bawah tanah oleh kluoroflurokarbon (CFC) yang amat berbahaya kepada
masyarakat di jagat raya. Kesannya, masyarakat mudah dihidapi
penyakit-penyakit yang berbahaya seperti katarak mata, barah kulit dan
sebagainya. Hal ini turut memberi impak kepada ekonomi negara kerana
terpaksa mengeluarkan dana yang amat besar bagi menampung kos
perbelanjaan hospital. Oleh itu, penggunaan bahan kimia ini perlu dikawal
oleh kerajaan dan pihak swasta supaya kita dapat menjaga alam sekitar
yang dianugerahi oleh Tuhan. Tegasnya,langkah menangani masalah
pencemaran alam sekitar adalah dengan mengurangkan penggunaan
bahan kimia.
Selain itu, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang
berkaitan aspek penjagaan kebersihan persekitaran. Hal ini amat
signifikan sebagai langkah menjaga alam sekitar kita. Jika kita lihat pada
hari ini, berapakah kilang yang telah dibina oleh kerajaan yang mematuhi
piawaian kebersihan yang telah ditetapkan? Hanya segelintir sahaja
kilang yang mematuhi piawaian kebersihan. Dalam kebanyakan kes,
pelepasan asap kilang dan pembuangan sisa toksik ke dalam sungai
mahupun ke dalam laut secara terbuka terus berlaku tanpa kawalan.
Sikap pengilang ini bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk
masing-masing kerana menyebabkan berlakunya pencemaran air. Hal ini
turut menyebabkan kepupusan hidupan akuatik kerana sisa toksik
daripada kilang-kilang mengurangkan peratusan oksigen di dalam air.
Implikasi daripada tindakan ini, undang-undang harus diperketat lagi oleh
pihak berkuasa supaya dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.
Jika hal ini tidak dibendung, masyarakat akan mengalami masalah
kekurangan air bersih dan sumber protein. Bukan itu sahaja, majoriti
masyarakat akan mendapat penyakit yang dikenali sebagai kwashiorkor
akibat kekurangan protein.
Bukan itu sahaja, program kitar semula yang di uar-uarkan oleh
kerajaan perlu diambil perhatian kerana mampu mempertingkat
kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar. Sebagai masyarakat yang
bertanggungjawab, kita seharusnya membuka mata akan sahutan
kerajaan. Bahan-bahan buangan boleh diproses semula untuk digunakan
sekali lagi dan kita boleh mengklasifikasikan bahan-bahan yang tidak
diperlukan ke dalam tong-tong kitar semula yang telah disediakan.
Sebagai contoh, bahan buangan boleh diproses menjadi baja nutrien bagi
menghindarkan pembaziran dan surat khabar boleh juga dijadikan tisu.
Keadaan ini dikatakan “sambil menyelam minum air”. Melalui cara ini,
sumber-sumber alam seperti pokok yang digunakan bagi mendapatkan
bahan mentah untuk memenuhi keperluan asas manusia dapat
dikurangkan. Selain itu, negara juga dapat menjimatkan kos bagi
mendapatkan keperluan-keperluan manusia sekali gus dapat memelihara
kebersihan alam sekitar. Tegasnya, program kitar semula ialah salah
satu cara untuk mengatasi pencemaran alam sekitar.
Di samping itu, kebersihan alam sekitar boleh dijaga melalui
kempen kesedaran sivik yang berterusan supaya rakyat dan dapat
menjaga alam sekitar sejak kecil kerana “melentur buluh biarlah daripada
rebungnya”. Melalui kempen kesedaran ini, masyarakat diseru untuk
menjaga kebersihan alam sekitar. Dengan ini, sedikit sebanyak langkah
ini dapat menyedarkan manusia yang lalai tentang kebersihan alam
sekitar. Jadi, kempen kesedaran ini akan dapat mencapai matlamatnya
sekiranya semua rakyat sedar akan kepentingan alam sekitar seterusnya
dapat membendung dan memastikan bahawa kualiti kebersihan alam
sekitar senantiasa bersih dan dijaga. Sekiranya masyarakat tidak
mengendahkan sahutan kerajaan dan bersikap mementingkan diri sendiri,
pastinya negara kita akan tercemar. Tegasnya, kempen kesedaran sivik
juga penting dalam usaha untuk mengatasi masalah pencemaran alam
sekitar.
Konklusi, banyak langkah yang boleh dipraktikkan bagi mengatasi
masalah pencemaran alam sekitar. Oleh itu, sikap bagai aur dengan
tebing antara rakyat Malaysia dengan kerajaan amat diperlukan dan
tentunya akan lebih bermakna agar hasilnya kelak akan memuaskan hati
semua orang. Hal ini amat dititikberatkan kerana kebersihan juga
merupakan separuh daripada iman. Kebersihan alam sekitar juga amat
penting bagi menarik pelancong-pelancong dari seantero dunia dan
seterusnya mendorong negara kita ke arah mencapai Wawasan 2020.
Bahkan, kita patut menyahut seruan Perdana Menteri Malaysia iaitu
Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menggembleng tenaga menjaga
kebersihan dan keamanan negara Malaysia sinonim dengan slogan
negara “Negara Bersih, Rakyat Sihat”.

You might also like