You are on page 1of 10

TUGASAN 1: PENULISAN ILMIAH

1.0 PENGENALAN
Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi dan Raja
Berperlembagaan. Pada 31 Ogos 1957 yang lalu, Tanah Melayu berjaya mendapat
kemerdekaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Tunku Abdul
Rahman. Pada 16 September 1963 pula, gabungan antara Tanah Melayu, Sabah dan
Sarawak membentuk sebuah negara iaitu Malaysia. Sebelum terbentuknya Malaysia, pada
asalnya Tanah Melayu telah dijajah oleh negara-negara asing seperti Portugis, British dan
Jepun. Kesan daripada penjajahan ini memberi impak yang besar kepada negara iaitu
menjadikan negara Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum. Pada asasnya Malaysia terdiri
daripada kaum Melayu, Cina dan India manakala di Sabah dan Sarawak pula, kaum utamanya
adalah Bumiputera. Justeru, kepelbagaian kaum, adat resam, bahasa, pakaian, cara hidup
dan sebagainya memberi perbezaan dari segenap aspek. Walaupun rakyat berbilang etnik
dan bangsa, tetapi rakyat Malaysia dapat hidup rukun dan damai. Hal ini demikian, penduduk
di negara-negara lain tidak sunyi dengan perbalahan, pertikaian dan permusuhan sedangkan
mereka terdiri daripada bangsa, keturunan dan kepercayaan yang sama. Misalnya, negara
Myanmar yang merupakan satu bangsa namun berlaku penghapusan etnik yang
menyebabkan etnik Rohingya menderita dan tiada tempat tinggal. Oleh kerana berlakunya
penganiayaan besar-besaran melalui dasar pembersihan etnik dan tindakan pembunuhan
terhadap mereka, terdapat kira-kira 1.5 juta Rohingya terpaksa meninggalkan negara sendiri
dan rumah mereka sejak kemerdekaan Burma pada tahun 1948. Mereka ini kebanyakannya
ditemui berada di Bangladesh, Pakistan, Arab Saudi, UAE, Thailand dan Malaysia (Intan Suria
Hamzah, 2016).

2.0 DEFINISI INTEGRASI NASIONAL


Integrasi merupakan satu proses bagi mewujudkan satu identiti nasional dalam
kalangan kumpulan yang terpisah daripada segi budaya, sosial dan lokasi dalam sesebuah
unit politik. Manakala, perpaduan pula boleh diertikan sebagai satu proses yang
menyatupadukan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat
membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan tanah air
(Shamsul Amri 2007). Berdasarkan Nurfatimah (2008), menurut Kamus Dewan edisi ketiga,
perpaduan bermaksud penggabungan, peleburan, persesuaian, perihal berpadu, bergabung
menjadi satu, sepakat dan lain-lain. Jika digabungkan kedua-dua perkataan ini, integrasi
perpaduan bermaksud mewujudkan satu masyarakat bersatu padu dengan satu identiti
nasional. Kerjasama ini boleh dibentuk melalui integrasi wilayah, ekonomi, kebudayaan,
sosial, pendidikan dan politik. Dalam konteks politik di Malaysia, integrasi dan perpaduan tidak
banyak melibatkan unsur-unsur asimilasi tetapi lebih mirip kepada integrasi, akomodasi dan
akulturasi.

3.0 ISU DAN CABARAN DALAM USAHA MEMBENTUK INTEGRASI NASIONAL DARI
ASPEK:

3.1 POLITIK

Terdapat banyak cabaran dari pelbagai aspek. Yang pertama dari aspek politik, rakyat
Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina, India, Iban, Khadazan, Bajau,
Dayak dan lain-lain. Lantaran kepelbagaian latarbelakang inilah maka lanskap politik di
Malaysia diselubungi dengan perjuangan yang berasaskan perkauman. Asas perjuangan
yang boleh dikira terhad sekiranya tidak dipacu secara rasional dan terbuka (Ishak Saat,
2010). Kepelbagaian etnik ini secara langsung atau tidak langsung telah merancakkan
agenda politik dalam negara. Jika dilihat dari aspek positif, situasi ini telah berjaya
mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan masyarakat. Bahkan, sehingga kini
semangat perjuangan parti mengikut kaum masih wujud. Parti politik yang berasaskan kaum
yang dibangunkan pasca kemerdekaan telah menyebabkan persaingan politik yang tidak
sihat kerana tiap parti politik memperjuangkan agenda dan kepentingan kaum masing-masing
(Syed Husin, 2015). UMNO dengan perjuangan bangsa Melayu, MCA dengan perjuangan
bangsa Cina dan MIC dengan perjuangan bangsa India. Kesan ini secara tidak langsung
daripada kewujudan segmentasi dalam politik perkauman ini menyebabkan jurang perpaduan
tidak bertambah akrab.

Namun begitu, pasca pilihan raya umum ke-14 (PRU14), blok politik perkauman ini
semakin menipis ekoran wujudnya parti politik yang merentasi kepercayaan agama dan
sempadan kaum. Banyak parti politik memperjuangkan hak dan membela tiap kaum yang ada
di Malaysia. Kesannya, isu-isu sensitif yang timbul kini tidak lagi sekadar menfokuskan
terhadap isu agama dan perkauman sepenuhnya, sebaliknya merentasi isu ekonomi dan
sosial. Namun di sebalik senario tersebut, lebih parah lagi wujud golongan ekstrem sama ada
dengan panji ultra-nasionalis yang berasaskan kaum yang khusus dan juga golongan yang
membawa panji ultra-pluralis yang merentasi kaum dan agama dalam memperjuangkan isu
kaum dan agama (Mohd Anuar et al, 2018). Contohnya, selepas PRU14, pelbagai hak
istimewa orang Melayu dipersoalkan oleh kumpulan ultra-pluralis di antaranya, isu kedudukan
Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu, peranan institusi beraja dan hak keistimewaan
Melayu. Ini kerana bagi mereka peruntukan tersebut tidak adil. Hakikatnya tuntutan ini bukan
suatu isu yang baharu, namun sebelum ini telah diperjuangkan oleh kaum-kaum tertentu.
Contohnya, isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk
Diskriminasi Kaum (ICERD) iaitu penghapusan segala diskriminasi dalam apa-apa bentuk dan
menjamin hak setiap orang tanpa mengira kaum, bangsa dan warna kulit serta memperolehi
kesaksamaan dari segi undang-undang yang termaktub. Mohd Ridhuan (2010), berpendapat
bahawa orang bukan Melayu telah mendesak supaya peningkatan terhadap hak-hak mereka
turut dilakukan kerana berpegang kepada prinsip kesamarataan. Sementara orang Melayu
berpegang keras dengan merujuk kepada sejarah hak bumiputera mesti pertahankan dan
diberi keistimewaan khusus. Pakar sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, sebagai
sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, Malaysia tidak perlu dikawal dan bergantung
kepada satu konvensyen antarabangsa yang longgar (Utusan Online, 2018).

Selain itu, kita dapat imbau kembali sejarah iaitu peristiwa 13 Mei 1969 pertelingkahan
kaum yang mengakibatkan kehilangan banyak nyawa dan kerugian harta benda. Dalam
pilihanraya tahun 1969 Parti Perikatan gagal memperolehi majorirti dua per tiga dalam Dewan
Rakyat manakala Parti Gerakan Dan DAP yang berjaya memperolehi sebanyak 25 kerusi
telah mengadakan perarakan di Kuala Lumpur sambil menghina bangsa Melayu. Hal ini
memberikan tamparan hebat kepada orang Melayu dan akhirnya UMNO telah mengadakan
perarakan balas sebagai bantahan terhadap penghinaan parti DAP dan Gerakan. Dalam
suasana tegang dan penuh emosi maka tercetuslah peristiwa 13 Mei 1969. Peristiwa tersebut
telah mengorbankan ramai orang dan telah mengakibatkan kerugian harta benda yang
banyak. Ia juga telah menyebabkan negara kita telah menjadi tumpuan dunia. Sebenarnya
Masalah 13 Mei ini merupakan masalah perpaduan yang telah lama berakar umbi dalam
masyarakat majmuk Malaysia sebelum tahun 1969 lagi. Masalah ini telah disebabkan oleh
British yang telah memainkan peranan yang cukup besar untuk mewujudkan keadaan
sedemikian rupa.

3.2 SOSIAL

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi keempat, pendidikan membawa
maksud perihal atau perbuatan mendidik manakala vernakular pula memberi erti bukan
penggunaan bahasa atau dialek yg dipertuturkan oleh sesuatu golongan atau kaum dalam
masyarakat. Pada era penjajahan Inggeris Tanah Melayu telah diperkenalkan dengan sistem
pendidikan vernakular yang mana sistem ini menyebabkan berlakunya pengasingan
pendidikan sejak dahulu hingga kini. Menurut Kassim Thukiman (2009), British sangat
menggalakkan sistem pendidikan vernakular. Dasar pendidikan British bukan bertujuan untuk
mengangkat martabat penduduk, tetapi sekadar memenuhi ‘tanggungjawab sosial’ yang
paling minimum. Ini boleh dilihat berdasarkan peruntukan kewangan yang sedikit, infrastruktur
yang teruk, guru-guru yang tidak terlatih dan matlamat pendidikan itu sendiri yang begitu
rendah.
Sebelum kedatangan penjajah, kanak-kanak melayu mendapat pendidikan di surau,
masjid dan sekolah pondok. Pendidikan melayu ketika ini hanyalah tertumpu kepada
membaca dan memahami al-Quran, mempelajari bahasa Arab, hukum hakam agama dan
kemahiran menulis, membaca dan mengira. Dari aspek kurikulum, tahapnya adalah sempit
kerana pembelajarannya terhad kepada teks Al-Quran sahaja. Namun pada zaman
pemerintahan Inggeris , tanah melayu langsung tidak mempunyai sistem pendidikan yang
jelas. Sistem pendidikan Vernakular yang diperkenalkan oleh Inggeris telah menimbulkan
masalah perpaduan antara kaum. Sistem vernakular ini bermaksud pendidikan yang
menggunakan bahasa ibunda kaum masing-masing sebagai bahasa pengantara dalam
pelaksanaan penyelidikan dan pembangunan (P&P) di sekolah. Antara sekolah vernakular
tersebut ialah sekolah vernakular melayu, vernakular cina, vernakular india dan vernakular
inggeris. Inggeris melaksanakan dasar pendidikan secara sistem Divide and Rule adalah
untuk memecahkan perpaduan kaum dan juga untuk menebalkan semangat kedaerahan
dalam kalangan rakyat (Nik Azis Nik Pa, 2008).
Penjajah British memberi layanan yang berbeza (diskriminasi) dalam bidang
pendidikan untuk orang Melayu. Untuk anak-anak kelas bangsawan, mereka dilayan begitu
istimewa di Malay Collage Kuala Kangsar (1905). Manakala bagi anak-anak kelas bawahan,
dasar pendidikan British sekadar untuk mengurangkan kadar buta huruf di kalangan orang
Melayu. Sistem pendidikan vernakular cina juga wujud atas usaha kaum cina sendiri.
Kebanyakkan sekolah-sekolah itu menumpang di rumah-rumah ketua masyarakat cina,
bangunan tokong atau di rumah perniagaan. Sekolah cina mempunyai struktur sukatan
pelajaran dan kokurikulum yang sama seperti di Cina. Malah, guru-guru yang mengajar di
vernakular cina ini didatangkan dari negeri Cina. Sementara vernakular Tamil pula disediakan
Inggeris di kawasan estet-estet kopi, kelapa, tebu dan getah. Pembiayaan sekolah ini
ditanggung oleh pihak pengurusan ladang. Kumpulan-kumpulan mubaligh Kristian juga turut
banyak memberi sumbangan kepada perkembangan pendidikan formal dalam bahasa tamil.
Pendidikan tamil ini berorientasikan sistem pendidikan negara asal mereka. Sekolah ini
menggunakan sukatan pelajaran, buku, tenaga pengajar dari India serta bahasa tamil
digunakan sebagai bahasa pengantar.
Oleh itu, akibat daripada pengasingan sebeginilah yang telah menimbulkan sikap
perkauman dan perasaan curiga sesama kaum. Pengasingan juga menyebabkan orang
Melayu ketinggalan dari segi ekonomi dan pendidikan berbanding kaum Cina. Ramai antara
mereka yang hidup miskin serta kurang ilmu pengetahuan berbanding orang Cina kerana tidak
menikmati kemajuan, pemodenan dan kemudahan infrastruktur yang kesemuanya tertumpu
di kawasan bandar. Sistem pendidikan yang ditinggalkan oleh British, walaupun selepas
kemerdekaan, masih menimbulkan masalah perpaduan kepada negara. Wujud kepelbagaian
sekolah mengikut kaum dan tempat tinggal. Kesilapan ini menjadi antara punca utama
komuniti Cina sukar untuk keluar daripada kepompong pergaulan kaum sendiri kerana tiada
keperluan berurusan bersama kaum lain selain bagi urusan di pejabat kerajaan dan
perniagaan (Utusan Online, 2018).
Disini dapat disimpulkan bahawa sistem pendidikan vernakular yang diamalkan oleh
Inggeris mendorong kepada perasaan prasangka dan prejudis yang menebal dalam kalangan
kaum di Tanah Melayu. Setiap kumpulan etnik menggunakan bahasa pengantar masing-
masing dan lokasi sekolah juga adalah berbeza mengikut sektor ekonomi yang diceburi oleh
kaum masing-masing. Keadaan ini jelas menunjukan jurang perbezaan penerimaan tahap
pembelajaran dimana dapat dilihat fikiran dan anspirasi setiap kaum berbeza dimana masing-
masing mengambil berat aspek mengagungkan tanah air sendiri seperti di negara Cina dan
India.
Dari aspek sosial yang lain, perbezaan budaya dan agama merupakan salah satu lagi
punca berlakunya masalah perpaduan kaum di Malaysia. Kaum Melayu sebahagan besarnya
beragama Islam, kaum Cina beragama sama ada Buddha, Lao-Tze, Taoisme, Confucius
manakala kaum India beragama Hindu. Disamping itu terdapat ramai juga yang beragama
Kristian. Setiap kaum pula mempunyai kebudayaan yang berlainan dan ini
menambahparahkan lagi masalah perpaduan kaum di Malaysia. Masalah perpaduan ini
bukannya bermula disebabkan agama yang dianuti oleh kaum-kaum yang terdapat di
Malaysia menggalakkan penganutnya memusuhi agama lain tetapi ia berpunca dari sikap jahil
terhadap agama-agama lain hingga banyak perkara yang dilakukan secara tidak sengaja
telah menyinggung emosi penganut agama lain. Contohnya, kes di Kuil Sri Maha Mariamman
yang telah mengakibatkan kematian seorang anggota bomba dan penyelamat yang
berbangsa Melayu menimbulkan sentimen perkauman. Hal ini kerana terdapat banyak pihak
yang cuba melaga-lagakan antara dua kaum yang menyebabkan timbul kebencian terhadap
kaum lain. “Kerajaan juga ingin menasihati orang ramai supaya tidak mendengar khabar angin
serta tidak menyebarkan mesej tidak bertanggungjawab menerusi mana-mana media sosial,”
katanya. Perdana Menteri berkata, beliau menegaskan bahawa kejadian berkenaan sebagai
insiden jenayah dan tiada kaitan sama sekali dengan unsur-unsur lain. (Berita Harian Online,
2018).

3.3 EKONOMI

Seterusnya, dari aspek ekonomi pula kita dapat lihat masyarakat majmuk yang ada
pada masa kini adalah hasil daripada perjalanan sejarah yang panjang khususnya pasca
penjajahan kolonial Inggeris. Kesan polisi “pecah dan perintah” menyebabkan tiap kaum hidup
dalam keterasingan sosial dan budaya walau di bawah pemerintahan yang sama. Ia telah
menghasilkan stereotaip kaum dan agama yang menebal hingga waktu kini. British
menjalankan dasar ini agar mereka dapat mengeksploitasikan sumber-sumber yang ada pada
waktu tersebut. Selain itu, ekonomi telah menjadi penyebab utama kaum-kaum ini dipisahkan
dan dipecahkan oleh pihak British untuk memenuhi kepentingan ekonomi kolonial dan
berterusan sehingga abad 20. Buruh-buruh Cina dan India dibawa ke Tanah Melayu melalui
beberapa sistem seperti sistem kangany, sistem kangchu, sistem kontrak dan sebagainya.
Menurut Mohamed Ali (2017), pengambilan tenaga kerja secara tidak terkawal menyebabkan
bilangan imigran Cina di Tanah Melayu menjadi seramai 1,171,740 juta orang pada tahun
1921. Manakala imigran India terus mencatatkan peningkatan seramai 471,514 orang pada
tahun 1921, 621,847 pada tahun 1931, 744,202 pada tahun 1941 dan 599,616 menjelang
tahun 1947.

Menurut Sejarah membuktikan bahawa penempatan keluarga Cina telah berlaku sejak
mula mereka berhijrah ke Tanah Melayu, sehinggalah berlakunya penjajahan Inggeris, dan
berlangsung hingga ke hari ini. Majoriti keluarga Cina tinggal di bandar, sementara orang
Melayu di luar bandar (Comber 2007). Keadaan ini terbawa-bawa hingga masa kini. Kalau
ada pun orang Melayu di bandar, mereka lebih selesa tinggal di kawasan perumahan yang
majoriti dihuni rakan sebangsanya atau kampung-kampung baru (kampung Melayu). Begitu
juga dengan orang Cina yang juga cenderung tinggal di taman perumahan yang majoriti dihuni
rakan sebangsanya atau kampung baru Cina. Pada masa kini kita masih dapat melihat
bahawa masyarakat Cina mendominasi bidang perdagangan dan masyarakat India masih
ramai yang terlibat dalam bidang perladangan manakala ada segelintir masyarakat Melayu
yang masih lagi giat dalam aktiviti pertanian dan perikanan. Berdasarkan Mohamed Ali Haniffa
(2016), kebanyakan orang Eropah, Cina dan India terlibat dalam sektor ekonomi moden.
Mereka mempunyai daya pengeluaran tinggi sebagai usahawan, pengurus dan pekerja dalam
firma, ladang dan syarikat perniagaan. Manakala orang Melayu terlibat dalam sektor pertanian
dan penangkapan ikan yang bersifat tradisi serta rendah daya pengeluaran. Keadaan yang
terpisah ini menyebabkan berlakunya jurang perkauman. Pemisahan ini menjadikan interaksi
antara mereka menjadi sukar diamalkan kerana mereka dikelompokkan mengikut kaum
sendiri. Proses menuju ke arah perpaduan negara adalah sesuatu yang kompleks, di mana
konflik mungkin akan berlaku secara langsung dan tidak langsung dalam menangani
perbezaan sosio budaya dikalangan kepelbagaian kumpulan etnik (Lee Wei Chang,
Baharuddin, Muhammad, 2013).

Selain itu, Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan oleh kerajaan selepas peristiwa
berdarah 13 Mei 1969. Peristiwa ini telah membuktikan kepada pemimpin-pemimpin negara
rasa tidak puas hati rakyat dari berbagai etnik terhadap dasar-dasar pembangunan yang
dilaksanakan selepas kemerdekaan. Peristiwa rusuhan kaum yang berlaku pada bulan Mei
tahun 1969 membuktikan dengan cukup jelas bahawa wujudnya perasaan syak wasangka
dan perasaan permusuhan yang amat ketara dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara
ini. Golongan Bumiputera melihat orang Cina sebagai kaum yang menguasai ekonomi di
Malaysia tidak memainkan peranan yang sepatutnya dalam membantu kaum lain agar
pembahagian kekayaan ekonomi lebih adil dan saksama (Asrizal Mohamed Radzi, 2013).
Walau bagaimanapun, Tun Abdul Razak menganggap suatu pembaikan perlu dilakukan di
dalam pelbagai sektor khususnya dan segi ekonomi supaya tidak wujud jurang perbezaan
yang ketara antara kaum. Tun Abdul Razak yakin bahawa penyusunan semula ekonomi
negara haruslah dilakukan dengan lengkap dan dengan mengubah cara hidup tradisional
orang Melayu ke arah ekonomi moden. Ini penting supaya mereka lebih berdaya saing dan
mempunyai peluang untuk mendapat kemajuan yang lebih saksama bagi semua rakyat.

4.0 KESIMPULAN
Sebagai rumusan, perlaksanaan dasar-dasar Inggeris di Tanah Melayu menyumbang
kepada penghalang perpaduan kaum. Faktor politik iaitu dasar pecah perintah memberikan
ketegangan yang buruk antara kaum. Perlaksanaan dasar ini mewujudkan syak wasangka di
antara kaum. Disamping itu,aktiviti ekonomi yang berlainan juga menyebabkan pergaulan
antara kaum terhad disebabkan mereka hanya hidup dalam komuniti mereka tanpa ada
pergaulan yang luas dengan kaum yang lain. Masalah pendidikan juga menyumbang kepada
penghalang perpaduan kaum melalui aspek sosial. Faktor-faktor ini boleh dirumuskan akibat
sikap orang Melayu yang ingin mempertahankan kepentingan mereka dan sikap kaum bukan
Melayu yang ingin menjaga kepentingan mereka juga. Oleh yang demikian, sebagai sebuah
negara yang mempunyai kaum yang berbilang kaum, kita seharusnya mengubah prinsip
pecah perintah dimana kita haruslah bersatu dan berganding bahu dalam menjaga
keharmonian serta keamanan negara kita sendiri.
RUJUKAN

Asrizal Mohamed Radzi. (2013). Jurnal Biro Tatanegara: sejarah pembentukan negara
bangsa dan 1Malaysia. Bil. 1. Putrajaya: Biro Tatanegara.

Mohd Husni Mohd Noor. (27 November, 2018). Retrieved from Berita Harian Online:
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/11/502708/rusuhan-kuil-sri-maha-
mariamman-bukan-isu-perkauman-pm

Comber, L. 2007. Peristiwa 13 Mei: Sejarah Perhubungan Melayu – Cina. Petaling Jaya: IBS

Buku Sdn. Bhd.

Dewan Bahasa dan Pustaka. (2007). Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka .

Intan Suria Hamzah. (2016). Pelarian Rohingya dan isu-isu kontemporari di Malaysia.
Malaysian Journal of Society and Space, 11-23.

Ishak Saat. (2010). Caturan poltik pelbagai kaum di Tanah Melayu. Jebat Malaysian Journal
of History, 68-85.

Kassim Thukiman. (2009). Aspek pendidikan dalam hubungan etnik. Universiti Teknologi
Malaysia, 155-180.

Lee Wei Chang, Baharuddin Azizan & Muhammad Amran (2013). National unity at the
university level: importance of civilizational dialogue and way forward. European
Scientific Journal. Vol. 4, pp 173 – 186.

Mohd Anuar Ramli & Muhammad Izzul Zulkepli. (2018). Isu-isu sensitif dalam masyarakat
majmuk di Malaysia pasca pilihanraya umum (PRU14). Penyelidikan serantau Islam
dan Alam Melayu.

Mohamed Ali Haniffa. 2016. Pendudukan Jepun dan Konflik Melayu-Cina di Tanah Melayu.
Dalam. Negara Bangsa Malaysia, Asas dan Cabaran. Sintok: Penerbit Universiti Utara
Malaysia

Mohamed Ali Haniffa. (2017). Impak penjajahan British dan Jepun terhadap hubungan
Melayu-Cina di Tanah Melayu. Jurnal Sultan Alauddin Sulaiman Shah, 94-106.

Mohd Ridhuan Tee Abdullah, (2010), Cabaran Integrasi Antara Kaum Di Malaysia: Perspektif
Sejarah, Keluarga Dan Pendidikan, Jurnal Hadhari, 3, 61-84.

Nurfatimah Awang Da (2009). Bahan kesusasteraan pelbagai etnik dalam mewujudkan


perpaduan nasional di sekolah. Jabatan Pendidikan Bahasa dan Literasi, Fakulti

Pendidikan.Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

Nik Azis Nik Pa, Noraini Idris (Ed.).(2008).Perjuangan Memperkasakan Pendidikan Di


Malaysia : Pengalaman 50 tahun Merdeka. Terbitan Utusan Publications &
Distributor Sdn Bhd, Cheras Kuala Lumpur, hlmn 613

Shamsul Amri Baharuddin. 2007. Modul Hubungan Etnik. Putrajaya: Kementerian Pengajian
Tinggi Malaysia

Syed Husin Ali, (2015), Hubungan Etnik di Malaysia: Harmoni dan Konflik, Petaling Jaya,
SIRDC.

Tutup Sekolah Vernakular. (2018, Julai 19). Retrieved from Utusan Online:
http://www.utusan.com.my/rencana/forum/tutup-sekolah-vernakular-1.711760

Utusan Online. (2018, November 3). Retrieved from Pelaksanaan ICERD ancam kedaulatan
negara: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pelaksanaan-icerd-ancam-
kedaulatan-negara-1.780681

(Mohd Husni Mohd Noor, 2018)

You might also like