You are on page 1of 5

KERJA KURSUS

1.0 PENGENALAN
Pertumbuhan dan perkembangan manusia melibatkan perubahan kepada stuktur
dalaman dan luaran yang berlaku sepanjang hayat. Setiap manusia akan
mengalami perubahan mengikut proses pertumbuhan dan perkembangan
daripada aspek fizikal, sosial, kognitif dan emosi semenjak lahir sehinggalah
memasuki alam kanak-kanak, remaja, dewasa dan usia tua (Santrock, 2014).
Seseorang guru itu haruslah mempunyai pengetahuan dan kefahaman yang
mendalam terhadap proses pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak
supaya dapat lebih memahami setiap perubahan yang dialami oleh murid-murid.
Hal ini dapat membantu guru merancang, mengurus dan melaksanakan sesi
pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara berkesan.

1.1 KONSEP PERTUMBUHAN

Pertumbuhan bermaksud perubahan yang boleh dinilai dan diukur secara


kuantatif dari satu peringkat ke satu peringkat perkembangan yang lain (Atan
Long, 1978). Contoh perubahan kanak-kanak yang boleh diukur secara
kuantitatif ialah berat, tinggi, saiz dan struktur badan. Dalam konteks ini,
kuantiti pertumbuhan tersebut dapat dilihat dengan jelas daripada
pengukuran yang dibuat dari masa ke semasa. Contohnya, pertambahan
berat badan kanak-kanak dari 10 kilogram ketika berumur 2 tahun ke 12
kilogram ketika berumur 3 tahun (Lefrancois, 1990). D.S. Wright dan Ann
Taylor menyifatkan pertumbuhan sebagai pertambahan dalam pelbagai sifat
luaran seseorang. Pertumbuhan akan mencapai puncaknya sebaik sahaja
seseorang individu itu mencapai kematangan. Kadar pertumbuhan fizikal
setiap individu adalah berbeza. Contohnya, seseorang yang normal akan
membesar secara semula jadi daripada bahagian kepala ke bahagian kaki,
tangan, jari. Namun, tempoh dan kadar pertumbuhan itu tidak sama antara
individu walaupun sebaya.

1.2 KONSEP PERKEMBANGAN

Perkembangan ialah perubahan yang bersifat kualitatif. Sifat perubahan ini


tidak dapat diukur tetapi jelas berlaku jika dibandingkan dengan peringkat
yang lebih awal (Atan Long, 1980). Berk (2000) mentakrifkan perkembangan
sebagai satu proses yang kompleks yang merangkumi perubahan secara
kuantitatif dan kualitatif dari segi fizikal, perceptual, intelektual, bahasa, emosi,
sosial dan moral seseorang individu. Tamsilnya, perubahan dalam
penggunaan kata-kata atau bahasa dan penguasaan pembendaharaan kata
yang bertambah dari semasa ke semasa. Diamond (2013) menjelaskan
bahawa perkembangan ialah perubahan dalam corak biologi, kognitif, dan
sosioemosi individu yang bermula daripada peringkat persenyawaan
sehingga ke akhir hayat. Perkembangan akan terus berlaku walaupun
peringkat kematangan telah dilampaui. Sehubungan itu, perkembangan
kanak-kanak berlaku secara beransur-ansur dan berterusan dan berkait rapat
dengan proses kematangan dan pembelajaran kanak-kanak dan persekitaran.
Perkembangan berlaku secara berbeza-beza. Kanak-kanak yang mempunyai
peringkat umur yang sama tidak semuanya mencapai titik perkembangan
yang sama.

2.0 TEORI PERKEMBANGAN SOSIOEMOSI ERIK ERIKSON


2.1 KONSEP PERKEMBANGAN SOSIOEMOSI
Perkembangan sosioemosi terdiri daripada perkembangan sosial dan
perkembangan emosi. Perkembangan sosial ialah proses apabila kanak-
kanak belajar berhubung atau berinteraksi dengan orang lain mengikut cara
yang dapat diterima oleh masyarakat dan budayanya. Perkembangan sosial
kanak-kanak terdiri daripada kemahiran berinteraksi dengan orang lain,
pembentukan kendiri, penghargaan kendiri dan kawalan kendiri.
Perkembangan emosi pula merangkumi kemampuan individu untuk
mengenali, mengekspresikan dan menguruskan perasaan serta mempunyai
perasaan empati terhadap orang lain. Oleh itu, perkembangan sosioemosi
merupakan keupayaan kanak-kanak untuk berinteraksi serta memberikan
tindak balas emosi terhadap sesuatu situasi. Perkembangan sosioemosi ini
membolehkan kanak-kanak mengurus dan memahami emosi sendiri,
membina kemahiran sosial, membina keyakinan diri, semangat berdikari dan
sikap positif untuk menghadapi cabaran dalam kehidupan seharian.

2.2 KONSEP TEORI PERKEMBANGAN SOSIOEMOSI ERIK ERIKSON

Teori ini menekankan kepentingan hubungan sosial antara kanak-kanak


dengan individu-individu yang berada di persekitaran mereka. Teori ini
mencadangkan individu perlu berhadapan dengan kriteria perkembangan
dalam setiap peringkat. Setiap peringkat mempunyai matlamat untuk dicapai.
Kejayaan atau kegagalan mencapai matlamat atau menyelesaikan krisis
perkembangan akan mempengaruhi imej kendiri seseorang individu.
Personaliti seseorang kanak-kanak dibentuk hasil daripada perkembangan
sosioemosi ini. Teori ini berteraskan lima prinsip utama: Setiap individu
mempunyai keperluan asas yang sama; Perkembangan individu bergantung
kepada tindak balas individu terhadap keperluan-keperluan asasnya;
Perkembangan individu mengikut tahap-tahap tertentu. Setiap tahap
mempunyai konflik dan konflik ini mesti diatasi supaya individu dapat
berfungsi dengan baik dalam tahap berikutnya; Kegagalan mengatasi konflik
pada sesuatu tahap akan menjejaskan perkembangan tahap berikutnya.

2.3 PERBEZAAN PERTUMBUHAN DAN PERKEMBANGAN MURID

Dalam kelas Tahun 3 Cikgu Daniell, terdapat pelajar yang berusaha sedaya
upaya untuk mendapat kedudukan terbaik di dalam kelas. Golongan ini sering
bersaing dengan rakan mereka dalam apa jua aktiviti yang dilakukan. Mereka
sangat berinisiatif untuk belajar dan meneroka. Mereka juga sentiasa ingin
mencuba sesuatu yang baharu dan mencabar. Sebaliknya, terdapat pelajar
yang bersikap pemalu, suka menyendiri dan rendah diri. Golongan ini kurang
berinisiatif untuk belajar atau menyertai aktiviti-aktiviti. Mereka juga sering
gagal untuk mencapai apa yang diinginkan. Sebahagian pelajar dari golongan
ini lemah dalam kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M). Mereka
mengalami kesusahan untuk menguasai kemahiran baharu.

2.4 ANALISIS PERBEZAAN PERTUMBUHAN DAN PERKEMBANGAN MURID

Pelajar-pelajar tersebut sedang mengalami peringkat keempat iaitu


kecekapan lawan rasa rendah diri. Pada tahap ini, kanak-kanak mula
berinteraksi dengan persekitaran. Mereka telah bersedia untuk menerima
pandangan orang lain. Persaingan bertambah hebat kerana mereka tidak lagi
mudah menerima kekalahan. Pada peringkat ini, murid mempelajari dan
membentuk kemahiran-kemahiran tertentu. Mereka akan menghadapi krisis
menguasai kemahiran yang seharusnya dikuasai seperti menulis, membaca
dan mengira. Kanak- kanak pada peringkat ini memerlukan peneguhan positif
atau penghargaan terhadap tugas yang disempurnakannya. Kepujian atas
perkara yang baik dan berfaedah yang dilakukan akan memupuk sikap
ketekunan pelajar. Sebaliknya, mereka menghadapi risiko perasaan rendah
diri jika menemui kegagalan atau tidak cekap terhadap sesuatu perkara atau
dikritik. Kanak-kanak yang gagal dalam peringkat ini tiada keupayaan dalam
pencapaian akademik dan hubungan sosial.
3.0 TEORI PERKEMBANGAN MORAL LAWRENCE KOHLBERG
3.1 KONSEP PERKEMBANGAN MORAL
Menurut Rogers, moral adalah aspek keperibadian yang diperlukan
seseorang dalam kaitannya dengan kehidupan sosial secara harmonis,
seimbang dan adil. Moral seseorang individu terbahagi kepada tiga
komponen iaitu komponen emosi, komponen kognitif dan komponen tingkah
laku. Perkembangan moral merangkumi perkembangan fikiran, perasaan,
dan perilaku menurut aturan atau kebiasaan mengenai hal-hal yang
seharusnya dilakukan seseorang ketika berinteraksi sengan orang lain
(Hurlock). Perkembangan moral melibatkan perubahan pemikiran, perasaan
dan tingkah laku terhadap nilai kebenaran atau kesilapan. Ia mempunyai
dimensi intrapersonal yang melibatkan regulasi dalaman seseorang individu
dan dimensi interpersonal yang melibatkan interaksi sosial dengan orang di
persekitaran.
3.2 KONSEP TEORI PERKEMBANGAN MORAL LAWRENCE KOHLBERG

Teori perkembangan Lawrence Kohlberg berfokus kepada peringkat-


peringkat perkembangan moral dalam setiap individu. Kohlberg menekankan
bahawa individu berbeza membuat penaakulan tentang pendedahan dan
perkembangan moral masing-masing. Beliau membina teori berdasarkan
gerak balas kanak-kanak terhadap sesuatu dilema yang dialaminya. Dilema
moral merujuk kepada sesuatu keadaan yang terdapat konflik nilai dan
memerlukan seseorang membuat pilihan nilai dan beri justifikasi ke atas
keputusannya. Cara individu memberikan justifikasi terhadap tindakan yang
diambil akan menentukan kematangan moral seseorang. Penaakulan moral
adalah berkait rapat dengan perkembangan kognitif seseorang individu.
Namun, kadang kala, tahap pemikiran kognitif seseorang tidak menjamin
peningkatan dan tahap penaakulan moral seseorang. Peringkat
perkembangan moral bersifat hierarki, berstruktur, bersistematik, dan tidak
berbalik.

3.3 PERBEZAAN PERTUMBUHAN DAN PERKEMBANGAN MURID


Dalam kelas Tahun 3, Cikgu Daniell dapat memerhatikan beberapa perbezaan
perkembangan moral di kalangan pelajarnya. Dia mendapati bahawa pelajar
mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan tanpa menyoalkannya.
Contohnya, pelajar memakai uniform sekolah dengan kemas kerana orang
lain juga berbuat demikian. Selain itu, pelajar akan menampilkan imej diri yang
kemas kerana takut didenda atau dirotan. Terdapat juga pelajar yang tidak
mempedulikan peraturan sekolah dengan memakai slipper ke sekolah.
Sesetengah pelajar berkelakuan baik untuk mendapat ganjaran atau pujian
daripadanya. Apabila Cikgu Daniell memberi gula-gula kepada pelajar sebagai
ganjaran, dia mendapati bahawa pelajar akan membahagikan gula itu secara
sama rata. Pelajar akan melayani rakannya dengan baik sekiranya rakan itu
juga melayaninya dengan baik.

3.4 ANALISIS PERBEZAAN PERTUMBUHAN DAN PERKEMBANGAN MURID

Menurut teori, perkembangan moral pelajar-pelajar tersebut melibatkan 2


tahap (3 peringkat). Tahap 1 ialah Pra-Konvensional, iaitu perlakuan dinilai
berdasarkan ganjaran dan hukuman yang akan diterima. Peringkat 1
merupakan orientasi kepatuhan dan hukuman. Kepatuhan kanak-kanak
kepada orang dewasa adalah untuk mengelakkan dendaan. Mereka lebih
mementingkan kesan fizikal daripada kesan mental. Peringkat 2 ialah orientasi
ganjaran peribadi. Ia menumpukan kepada kehendak dan perasaan sendiri.
Sesuatu perkara dinilai baik atau jahat berdasarkan penilaian terhadap kesan
ke atas mereka. Tahap 2 ialah Konvensional. Dalam tahap ini, individu mula
mengaplikasi peraturan berdasarkan sesuatu yang telah ditetapkan oleh ibu
bapa, guru dan komuniti. Peringkat 3 merupakan orientasi perlakuan baik.
Individu menolong orang supaya dirinya dianggap sebagai orang yang baik.
Gelaran budak baik ini penting kerana sikap ini diutamakan dalam kumpulan
rakan sebaya.

4.0 PENUTUP

Semua manusia akan melalui peringkat perkembangan sosioemosi dengan cara


yang tersendiri. Ibu dan bapa memainkan peranan penting dalam membantu
murid dalam perkembangan sosioemosi mereka. Kanak-kanak yang membesar
dalam suasana yang penuh kasih sayang, menerima bimbingan dan dorongan
yang berteraskan agama akan mengatasi perkembangan sosioemosi pada
semua peringkat dengan lebih mudah. Selain itu, guru memainkan peranan yang
dominan dalam membantu kanak-kanak meningkatkan perkembangan moral
mereka. Oleh itu, guru seharusnya menjadi role model kepada murid
terutamanya dalam aspek tingkah laku dan amalan-amalan nilai-nilai murni
dalam kehidupan.

You might also like