You are on page 1of 11

INDIKATOR PERUBAHAN: PEMERKASAAN PEJABAT

PENDIDIKAN DAERAH DAN ORGANISASI


PEMBELAJARAN
Nurul Sahadila Abd Rani1, Mohd Izham Mohd Hamzah2, Nor Aishah Buang3, Mohamed Yusoff
Mohd Nor4, Azlin Norhaini Mansor5 dan Jamalullail Abdul Wahab6
1,2,3,4,5
Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 Bangi, Selangor, Malaysia Email:
ilasahadila@yahoo.com, izham@ukm.edu.my, noraishah1962@gmail.com,
yusoff1963@ukm.edu.my, azlinmansor@ukm.edu.my & jamall64@ukm.edu.my

ABSTRAK
Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, anjakan ke enam ialah untuk mengupaya Jabatan
Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah bagi menyediakan penyelesaian khusus
berdasarkan keperluan serta untuk meningkatkan akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan keberkesanan sistem penyampaian
bagi melaksanakan dasar yang lebih baik. Maka ini memerlukan langkah penetapan semula peranan dan fungsi Pejabat
Pendidikan Daerah (PPD) dengan memberikan pengupayaan dalam membuat keputusan, keluwesan dan
kebertanggungjawaban dalam melaksanakan tugas dan membolehkan perancangan berkesan kepada pihak sekolah.
Kertas konseptual ini membincangkan indikator perubahan melalui Model Logik, Model Perubahan Umum, Teori
Organisasi Pembelajaran, dapatan kajian lepas serta implikasinya terhadap pembuat dasar dan PPD. Namun begitu,
setakat ini tiada indikator yang menunjukkan kejayaan perubahan District Transformation Programme (DTP) dan PPD
sebagai sebuah organisasi pembelajaran. Jadi, indikator perubahan yang terdiri daripada sumber atau input, aktiviti,
output, hasilan dan impak dalam kertas konsep ini akan menjadi asas bagi membantu dalam pemeringkatan dan
memperkasakan PPD sebagai organisasi pembelajaran dan sebagai asas untuk pembangunan profesional berterusan.

Kata Kunci:Pengurusan perubahan, Indikator perubahan, Memperkasa, Pejabat Pendidikan Daerah, Organisasi
pembelajaran.

ABSTRACT
The “6’s shifts” of the Malaysian Education Development Plan (PPPM) 2013-2025 aims to empower JPNs, PPDs and
schools to customize solutions based on need and also to improve the access, quality, equity, unity and effectiveness of
the delivery system to implement better policies. This requires measures redefining the roles and functions of the District
Education Office (PPD) to provide empowerment in decision-making, flexibility and accountability while working also
enable efficient planning of the school. This concept paper will discuss the indicator of changes in the Logic Model,
General Model of Changes, the theory of Learning Organizations, the findings and implications to policies maker and
the PPD. However, till now no indicator that measure the successfull of District Transformation Programme (DTP) and
PPD as a learning organization. So, the indicator of change in this concept paper such as input, activities, output,
outcome and impact will be the fundamental aspect to enhance PPD’s empowerment as a learning organization and
continuous professional development.
Keywords:Change management, Indicators of change, Empowering, District Education Office (PPD), Learning
organization.

PENGENALAN
Sistem pendidikan Malaysia kini sedang mengalami pelbagai perubahan ke arah bermatlamatkan untuk menjadikannya
lebih berkualiti dan bertaraf dunia. Anjakan ke enam dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-
2025 jelas menginginkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) diperkasakan bagi meningkatkan kualiti sistem pendidikan.
Program Transformasi Daerah (DTP) di bawah Anjakan ke enam bertujuan untuk mempercepat penambahbaikan prestasi
sekolah melalui program yang sistematik dan dipimpin oleh Pejabat Pendidikan Daerah. Pencapaian Malaysia dalam
Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2015 meningkat dengan ketara dalam ketiga-tiga domain iaitu Literasi
Saintifik (443), Literasi Bacaan (431) dan Literasi Matematik (446) (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2016). Ini
menunjukkan skor Malaysia berada hanya 50 mata daripada purata negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan
Pembangunan (OECD).
Manakala, pencapaian Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2015 Malaysia menunjukkan
peningkatan tertinggi antara 16 negara yang menunjukkan peningkatan dalam sains (44 mata) berbanding TIMSS 2011
(Kementerian Pendidikan Malaysia, 2016). Pencapaian yang bertambah baik itu telah meletakkan Malaysia pada

988
kedudukan pertengahan dalam senarai negara peserta TIMSS. Namun, kajian PISA tahun 2009 mendapati bahawa 7%
sekolah mencapai tahap baik, 13% tahap sederhana dan 80% pada tahap lemah (Kementerian Pendidikan Malaysia
2015). Dapatan menunjukkan bahawa sekolah-sekolah di Malaysia berada pada tahap kemajuan yang pelbagai dan tidak
memberangsangkan. Maka, sekolah-sekolah memerlukan set intervensi yang berlainan supaya sesuai dengan tahap
prestasi sekolah yang berbeza-beza.
Peranan PPD amat penting kerana organisasi ini berada paling hampir dengan sekolah. Menurut statistik Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM) sehingga Julai 2016 pertambahan bilangan sekolah di Malaysia adalah sebanyak 10180
buah sekolah dan bilangan guru sehingga Jun 2016 adalah seramai 421,828 orang. Ini menunjukkan bahawa pertambahan
ini akan menyebabkan kesukaran dalam memastikan keberkesanan penyampaian maklumat daripada pusat sampai ke
sekolah dengan baik. Begitu juga dengan data maklumat sekolah sukar untuk dipantau dan dinilai oleh pihak pusat kerana
pertambahan bilangan yang terlalu banyak. Selain itu, para guru memerlukan bimbingan, pemantauan dan penilaian yang
berterusan terutama bagi melaksana hala tuju Program Transformasi Daerah. Maka, memperkasa PPD boleh membantu
meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sesuatu program yang ingin dilaksanakan bagi mencapai aspirasi pendidikan.
Kementerian Pendidikan Malaysia (2002) memperaku wujud isu berikut dalam sistem pentadbiran dan pengurusan
personel iaitu struktur KPM yang berhierarki dan berpusat menimbulkan pelbagai kelemahan berkaitan dengan
ketidakcekapan dan ketidakberkesanan kerana melibatkan prosedur yang terlalu birokratik, terutamanya dalam
pengurusan sumber manusia. Selain itu, kewujudan struktur organisasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang
besar pada peringkat atas iaitu Jabatan atau Bahagian dan semakin kecil di peringkat bawah Pejabat Pendidikan Daerah
(PPD). Keadaan ini telah menyebabkan pelaksanaan sesuatu dasar atau program pendidikan sukar dijalankan dengan
cekap dan berkesan. Struktur di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang tidak selari
dengan struktur di KPM menyebabkan pengupayaan tugas tidak dapat dilaksanakan seperti yang dirancang. Isu berkaitan
peruntukan khas juga perlu diberi perhatian bagi mengurus program School Improvement Partner+ (SIPartner+) dan
School Improvement Specialist Coach+ (SISC+) di PPD di bawah DTP (District Transformation Programme). Ini
membuktikan banyaknya isu di PPD dalam menguruskan perubahan yang berlaku dalam kerangka pembangunan yang
menyeluruh untuk menzahirkan Transformasi Sistem Pendidikan secara pantas dan mampan sehingga tahun 2025.
Berdasarkan inisiatif yang telah diperkenalkan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan PPPM 2013-
2025 (2013) ini menggariskan perubahan besar seperti yang dihasratkan negara.
Nor Foniza (2012) menyatakan bahawa amalan organisasi pembelajaran perlu bagi melengkapkan warga guru dengan
pelbagai ilmu, kemahiran dan maklumat terkini bagi membolehkan mereka bertindak sejajar dengan perubahan
pendidikan yang dinamik. Namun budaya organisasi, sikap pihak pengurusan dan kekurangan sumber untuk latihan
seringkali menjadi kekangan dalam mendapatkan ilmu baharu. Pegawai pendidikan daerah perlu melengkapkan
warganya dengan pelbagai ilmu dan kemahiran serta maklumat terkini agar dapat bertindak dengan cekap dan pantas
seiring dengan perubahan pendidikan yang dinamik seterusnya menjadi PPD sebuah organisasi pembelajaran. Maka,
kertas konsep ini akan meneliti pengurusan perubahan yang berlaku di PPD, indikator perubahan serta amalan organisasi
pembelajaran yang berlaku. Indikator perubahan yang dibincangkan dalam kertas konsep ini akan menjadi asas bagi
membantu dalam pemeringkatan dan memperkasakan PPD sebagai organisasi pembelajaran dan sebagai asas untuk
latihan berterusan.
Program Transformasi Daerah: PENGURUSAN PERUBAHAN DI PPD
Perubahan yang ingin dilaksanakan sememangnya memberi kebaikan kepada sektor pendidikan. Perubahan yang
dilaksanakan itu bukanlah kerana mengikut kehendak peribadi atau menganggap ketinggalan zaman, namun perubahan
dilaksanakan dalam pendidikan bagi memastikan kelangsungan sesebuah institusi supaya dapat bergerak seiring dengan
perubahan era semasa. Selain itu, perubahan kadang-kala sengaja di wujudkan bagi mengubah keadaan selesa kakitangan
supaya lebih produktif dan kompeten melaksanakan tugas. Kualiti perubahan dalam pendidikan boleh menjadikan
pengurusan dan pentadbiran sistem pendidikan di Malaysia lebih cekap dan berkesan. Perubahan yang berlaku perlu
diuruskan secara sistematik untuk memastikan kecekapan dan keberkesanan program perubahan yang dilaksanakan.
Teori Tiga Tahap yang diperkenalkan oleh Kurt Lewin pada tahun 1951 merupakan model asas untuk melaksanakan
perubahan secara terancang. Lewin menyatakan bahawa proses perubahan mempunyai tiga tahap iaitu peringkat
pencairan (unfreezing), peringkat perubahan (moving) dan peringkat pembekuan (refreezing). Langkah ini secara amnya
melibatkan perubahan faktor-faktor untuk membolehkan organisasi mengekalkan keadaan sedia kala. Peringkat pencairan
biasanya tercapai melalui proses “psychological disconfirmation” iaitu pengurus akan mewujudkan rasa tidak selesa
dalam kalangan kakitangan terhadap keadaan atau situasi mereka contohnya prestasi kerja merosot, sikap yang tidak
sesuai, kurang kemahiran, struktur dan tugas organisasi. Namun, Model Lwein ini hanya menyediakan rangka yang
terlalu umum dalam memahami proses perubahan organisasi kerana hanya terdapat tiga langkah sahaja yang
diperkenalkan (Sabarani 2003). Maka, Cumming et al. (2015, 2001) telah memperkenalkan Model Umum Perubahan
dengan menambah beberapa langkah lain supaya mudah difahami. Model ini telah menjadi asas kepada pengamal-
pengamal bidang pembangunan organisasi dalam merancang serta mengurus perubahan dalam organisasi termasuk
pendidikan.

989
Pencairan Perubahan Pembekuan
(unfreezing) (moving) (refreezing)

Rajah 1. Teori Perubahan Kurt Lewin (1951)

Bagi memastikan perubahan terancang dilaksanakan di PPD, Model Umum Perubahan yang dikemukakan oleh
Cumming et al. (2015, 2001) sesuai digunakan. Model ini telah menjadi asas kepada pengamal-pengamal bidang
pembangunan organisasi dalam merancang serta mengurus perubahan dalam organisasi termasuk pendidikan. Model ini
menjelaskan empat aktiviti asas yang perlu dilakukan oleh pengamal “Organization Development” (OD) dan seluruh ahli
dalam mengubah serta membangunkan organisasi. Antara aktiviti-aktiviti ialah pengenalan dan membentuk kontrak,
diagnosis, perancangan dan pelaksanaan perubahan (intervensi) serta menilai dan menginstitusi perubahan. Garisan yang
menghubungkan antara aktiviti menunjukkan bahawa perubahan dalam organisasi bukan hanya berlaku secara proses
liner mudah, tetapi ia melibatkan pertindihan dan maklum balas antara aktiviti.

Pengenalan &
Persefahaman Diagnosis
Perancangan &
Pelaksanaan Penilaian &
Perubahan Pemantapan

Rajah 2. Model Umum Perubahan Cumming dan Worley (2015,


2001)
Pada peringkat “Pengenalan dan Persefahaman” membentuk kontrak, pengurus akan dibantu dalam membuat keputusan
untuk mengubah sifat-sifat dalam program rancangan perubahan dan kemasukan “entering” yang melibatkan
pengumpulan data bagi memahami masalah-masalah dalam organisasi atau peluang positif yang wujud. Seterusnya,
peringkat “Diagnosis” merupakan satu proses untuk memahami bagaimana sesebuah organisasi itu berfungsi dengan
mendapatkan maklumat supaya maklumat tersebut boleh digunakan untuk perancangan dan mereka bentuk sesuatu usaha
perubahan (Cumming et al. 2001). Peringkat “Perancangan dan Pelaksanaan Perubahan” pula, ahli organisasi dan
pengamal OD bekerjasama dalam merancang dan melaksanakan intervensi berkaitan. Akhir sekali, peringkat “Penilaian
dan Pemantapan” perubahan merupakan peringkat penilaian, menyatakan kesan daripada pengaplikasian intervensi serta
mengurus dan memantapkan organisasi ke arah kejayaan program perubahan.
Namun, kertas konsep ini memfokuskan kepada peringkat “Perancangan dan Pelaksanaan Perubahan” (intervensi) dalam
membina indikator perubahan Program Transformasi Daerah (DTP). Hal ini demikian kerana pada peringkat
“Pengenalan dan Persefahaman” serta “Diagnosis” telah dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia
(KPM) dalam membentuk DTP. Cumming et al. (2015) menyatakan bahawa organisasi mengamalkan beberapa
intervensi dalam melaksanakan perubahan iaitu mengadakan program-program pembinaan pasukan, menubuhkan
kumpulan meningkatkan mutu kerja, program transformasi dan sebagainya. Oleh itu, peringkat perancangan dan
perlaksanaan perubahan (intervensi) digunakan dalam membina indikator perubahan dalam memperkasa PPD sebagai
sebuah organisasi pembelajaran.
Peringkat Perancangan dan Pelaksanaan Perubahan (Intervensi)
Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah diperkasa melalui Program Transformasi Daerah atau District Transformation
Programme (DTP) yang telah dilaksanakan sejak tahun 2014 bagi mempercepatkan peningkatan prestasi sekolah melalui
program yang sistematik dan dipimpin oleh PPD di seluruh Malaysia. Selain itu, PPD telah diberi kuasa melalui
pengurusan berasaskan sekolah dan autonomi termasuk peruntukan belanjawan dan pelaksanaan kurikulum. Matlamat
yang telah dibina pada peringkat awal perlu mengikut hala tuju perancangan yang ditetapkan. Jika wujud halangan dari
faktor dalaman atau faktor luaran, pelan tindakan atau intervensi boleh dilakukan bagi menyelesaikan gangguan yang
menghalang perjalanan sistem tersebut (Mohamad Najib 2010). Cumming et al. (2015) menyatakan bahawa intervensi
merupakan satu set tindakan-tindakan atau acara-acara yang dirancang secara berturutan untuk membantu organisasi
meningkatkan keberkesanannya. Cumming et al. menambah terdapat tiga kriteria utama dalam mengenalpasti keperluan
proses intervensi iaitu pertama, krisis iaitu sesuatu keadaan atau situasi yang tidak dapat diuruskan seperti isu
ketidakhadiran murid ke sekolah, keciciran dan penambahbaikan infrastruktur asas. Kedua, melibatkan individu,
kumpulan atau organisasi dalam krisis. Ketiga, agen perubahan yang memberi bantuan kepada penyelesaian krisis
tersebut.
Sebagai contoh, intervensi yang dilaksanakan oleh negeri Johor dalam meningkatkan prestasi sekolah dalam tempoh lima
tahun. Johor merupakan satu daripada negeri yang mempunyai prestasi terbaik bagi sekolah rendah di Malaysia. Pada

990
2010 Johor menduduki tempat kedua selepas Wilayah Persekutuan Putrajaya dalam peperiksaan UPSR (Kementerian
Pendidikan Malaysia 2013). Johor telah melaksanakan intervensi berbeza berdasarkan pencapaian iaitu Program “Johor
Top 5” dengan mengkategorikan murid mengikut aliran dan memberikan latih tubi mengikut kebolehan. Amalan ini
dijalankan bukan sahaja di peringkat sekolah, tetapi juga di peringkat sistem, iaitu sekolah diklusterkan mengikut band
dan menerima bantuan daripada PPD dan JPN berdasarkan keperluan sekolah tersebut.
Selain itu, PPD turut mengambil sekolah angkat dan memberi tumpuan yang lebih kepada sekolah berprestasi rendah.
Pegawai JPN menyatakan bahawa sistem yang diamalkan ini bukanlah sesuatu yang baharu atau sukar untuk
dilaksanakan. Perbezaan negeri ini dengan negeri lain adalah tentang cara setiap amalan ini dijalankan dengan rapi dan
teratur, diikuti dengan tindakan susulan. Penekanan sistem ini diberikan kepada budaya pencapaian yang berteraskan data
dan bukti yang jelas, pemahaman yang kukuh tentang konsep intervensi yang berbeza berteraskan tahap kebolehan
murid, dan kerjasama yang erat dalam kalangan daerah, sekolah dan guru bagi membantu pihak yang lemah. Lazimnya,
intervensi menggunakan pendekatan penyelesaian masalah dalam PPD. Isu bagi memperkasa Pejabat Pendidikan Daerah
di Malaysia telah menyebabkan kerajaan membangunkan Program Transformasi Daerah atau District Transformation
Programme (DTP) dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang merupakan salah satu
langkah intervensi kerajaan bagi menyelesaikan isu-isu yang wujud.

Organisasi Pembelajaran
Organisasi pembelajaran perlu diamalkan oleh setiap warga di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh Malaysia
bagi menjayakan agenda perubahan untuk memastikan semua pekerja mempunyai ilmu pengetahuan dan seterusnya
boleh menyumbang bakti kepada kejayaan perubahan di PPD. Berdasarkan organisasi pembelajaran yang dikemukakan
oleh Senge (1992) dalam buku bertajuk “The Fifth Discipline” banyak menerangkan berkaitan organisasi pembelajaran
yang melibatkan lima konsep utama iaitu i). Penguasaan Peribadi, ii). Model Mental, iii). Visi Bersama, iii).
Pembelajaran Berpasukan, dan iii). Sistem Berfikir.

Penguasaan
Peribadi

Sistem Model
Berfikir Mental
5 Prinsip Organisasi
Pembelajaran

Pembelajaran
Visi Bersama
Berpasukan

Rajah 3. Teori Organisasi Pembelajaran oleh Senge (1992)

Penguasaan peribadi melibatkan proses memperoleh ilmu iaitu setiap individu berusaha untuk meningkatkan keupayaan
diri dengan meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran secara berterusan serta mampu membina pemikiran sendiri
berdasarkan pengalaman dan pembelajaran (Senge 1992). Bagi memperkasa PPD, Pegawai PPD akan menerima
sokongan, latihan dan sumber yang bersasaran yang diperlukan untuk memenuhi peranan dan tanggungjawab baharu
mereka. Guru pula akan mempunyai lebih akses kepada peluang pembangunan profesional berasaskan sekolah serta guru
besar akan menjalani kursus persediaan, induksi dan latihan berterusan yang lebih baik bagi membantu meningkatkan
kemahiran kepimpinan. Maka melalui latihan yang diberikan, ini memerlukan penerapan penguasaan peribadi dalam
setiap diri individu yang terlibat untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam pengajaran dan pembelajaran di
sekolah agar prestasi sekolah meningkat.
Seterusnya, model mental pula merupakan persepsi yang sebati dalam individu yang menyebabkan mereka membuat
kesimpulan secara umum terhadap sesuatu perkara yang berlaku dalam organisasi. Senge (1992) berpendapat bahawa
seseorang individu perlu mengawal model mental mereka dalam membantu dan bukan menghalang kemajuan perubahan
yang ingin dicapai bersama. Organisasi pembelajaran menggalakkan setiap individu untuk menyumbang idea-idea baharu
dan ia amat penting bagi seseorang individu untuk mengemukakan idea yang difikirkan melalui tindakan bagi
meningkatkan kecemerlangan organisasi. Maka, model mental seharusnya melalui proses pengupayaan dan pengukuhan
secara berpasukan untuk mencapai hasil bersama oleh ahli-ahli dalam kumpulan (Nor Foniza 2012).
Seterusnya visi bersama akan dibentuk melalui perbincangan secara bersama daripada semua pihak. Menurut Senge
(1992) dan Nor Foniza (2012) perkongsian visi akan memudahkan pelaksanaan proses pembelajaran organisasi serta visi
bersama dapat meningkatkan komitmen dan semangat kerja berpasukan warga organisasi. Penetapan semula peranan dan
mengukuhkan PPD telah dibangunkan melalui visi yang jelas iaitu dengan kerjasama agensi pusat, khususnya Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menentukan dengan jelas organisasi Kementerian yang distruktur semula. Kerjasama ini
merangkumi bukan sahaja peranan, struktur organisasi serta bilangan pegawai dan saluran pelaporan di Kementerian,
JPN dan PPD, tetapi juga perincian pelaksanaan. Maka bagi mencapai kesepakatan bersama, pemimpin berperanan

991
menjelaskan secara terperinci visi yang ingin dilaksanakan oleh ahli-ahli dalam organisasi supaya mereka jelas dan
menerima visi tersebut.
Pembelajaran berpasukan pula merupakan proses perkongsian dan pengumpulan maklumat oleh sekelompok individu
yang memiliki pengalaman yang pelbagai (Senge 1992; Nor Foniza 2012). Kecerdasan kumpulan adalah lebih tinggi
daripada kecerdasan individu dalam kumpulan tersebut. Program Transformasi Daerah mewujudkan Dialog Prestasi (DP)
bagi pemantauan masalah disiplin, penyelesaian masalah serta pengambilan tindakan. Dialog prestasi merupakan satu
forum yang dilaksanakan di semua peringkat, dari KPM hingga ke sekolah bagi membincangkan prestasi pendidikan
berdasarkan data dan fakta daripada “Dashboard”serta disusuli dengan tindakan yang mantap dan berfokus bagi
mencapai sasaran KPI. Proses ini memerlukan sikap tolak ansur dan hormat-menghormati supaya boleh menggalakkan
percambahan idea dalam kalangan ahli organisasi. Oleh itu, perbincangan secara mesyuarat, web atau pembentangan
kertas kerja amat diperlukan bagi berkongsi pengalaman, kemahiran dan pendapat supaya boleh mencetus suatu idea
baharu yang boleh disumbangkan dalam pembangunan organisasi.
Akhir sekali, ialah sistem berfikir yang menjurus kepada keupayaan seseorang untuk berfikir secara menyeluruh tentang
sesuatu perkara. Sistem berfikir ini merupakan kompetensi untuk melihat, menghayati dan membuat keputusan secara
menyeluruh mengikut urutan peristiwa dan tidak berfokus kepada sebahagian kecil masalah atau peristiwa yang berlaku
(Nor Foniza 2012). Dalam sesebuah organisasi pembelajaran, proses pembelajaran itu perlulah berlaku secara berterusan
berlaku dan melibatkan semua warga. Hal ini demikian kerana, peningkatan pekerja yang berilmu iaitu menguasai
kemahiran dan kepakaran tinggi sangat diperlukan. Oleh itu, bagi menjayakan agenda perubahan dalam PPD, suasana
organisasi pembelajaran perlu diberi penekanan bagi memastikan semua pekerja mempunyai ilmu pengetahuan dan
seterusnya boleh menyumbang bakti kepada organisasi.
Kepentingan Dan Teknik Pemerkasaan Pejabat Pendidikan Daerah Yang Berkesan
Program Transformasi Daerah atau District Transformation Programme (DTP) dilaksanakan bagi membolehkan semua
daerah meningkatkan prestasi sekolah di negeri masing-masing. Memperkasa PPD melibatkan Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM) memindahkan tanggungjawabnya yang melibatkan sekolah kepada PPD bagi membolehkan KPM dan
Jabatan Pendidikan Negeri memainkan peranan yang lebih strategik. Memperkasa adalah proses meningkatkan aset dan
keupayaan individu atau kumpulan untuk membuat pilihan yang bertujuan untuk mengubah subordinat ke dalam
tindakan dan hasil yang diinginkan (The World Bank Group 2016). Memperkasa menurut Ab. Aziz (2008) merupakan
satu proses untuk meningkatkan keupayaan dan kebolehan diri sendiri dalam kalangan subordinat melalui satu situasi
penyerahan kuasa daripada pemimpin kepada subordinat. Maka, memperkasa merupakan proses menyerahkan kuasa
daripada ketua kepada kakitangan dalam organisasi dengan tujuan pengembangan kemampuan potensi dan kemahiran
diri individu dengan melibatkan diri dalam pengawalan dan pengagihan sumber.
Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan menjadi barisan hadapan dalam menyokong peningkatan prestasi sekolah, serta
PPD akan terlibat secara langsung dengan sekolah secara tetap bagi melatih, membimbing dan memantau prestasi. Maka
ini akan melibatkan beberapa peluasan peranan (Kementerian Pendidikan Malaysia 2013) seperti berikut:
Menetapkan sasaran untuk setiap sekolah.
1. Menyediakan bimbingan untuk guru dan pengetua atau guru besar melalui SISC+ dan SIPartner +.
2. Memantau dan menggunakan data untuk memaklumkan aktiviti penambahbaikan sekolah melalui “Dashboard”.
3. Memastikan pengetua atau guru besar dan guru bertanggungjawab terhadap prestasi masing-masing dan
mengadakan dialog prestasi.
4. Mewujudkan kerjasama antara sekolah seperti perkongsian amalan terbaik.
5. Menyasarkan pemberian sumber kepada sekolah paling memerlukan.
Tambahan pula, menurut Ab. Aziz (2008), terdapat tiga kepentingan memperkasa iaitu kepentingan kepada organisasi,
kepentingan kepada subordinat dan kepentingan kepada pelanggan. Pertama, kepentingan kepada organisasi seperti dari
segi tindak balas iaitu memperkasa membantu organisasi bertindak balas dengan cepat terhadap perubahan yang ingin
dilaksanakan terutama dalam meningkatkan pengurusan yang cekap. Sebagai contoh, PPD bertindak balas dengan cepat
terhadap perubahan yang dilaksanakan oleh pihak kementerian dalam memperkasa PPD melalui DTP. Kedua,
kepentingan kepada subordinat seperti pendekatan kerja berpasukan iaitu memperkasa menggalakkan kerja secara
berpasukan dan secara langsung dapat menggalakkan percambahan idea-idea baharu dalam kalangan kakitangan di PPD.
Maka, subordinat dapat meningkatkan kemahiran dan produktiviti kerja mereka. Seterusnya, peluang mewujudkan
inovasi iaitu subordinat yang diperkasa berpeluang melahirkan idea yang kreatif dan inovatif serta kesannya dapat
meningkatkan kebolehan diri mereka. Ketiga, kepentingan kepada pelanggan seperti memperoleh perkhidmatan yang
berkualiti iaitu subordinat yang diberi kuasa akan berusaha melaksanakan tugas dengan tekun dan ini dapat menyediakan
perkhidmatan atau produk yang lebih berkualiti kepada pelanggan. Sebagai contoh, di PPD setiap ahli diberikan latihan
kemahiran yang khusus terhadap tugas mereka mampu menjadikan tugas tersebut disiapkan lebih pantas mengikut etika
kerja. Maka, ini dapat memenuhi kehendak pelanggan, memuaskan hati mereka dan mengeratkan hubungan sesama
mereka kerana perkhidmatan yang diberikan lebih cekap tanpa berlaku kecelaruan maklumat.

992
Memperkasa amat penting dilaksanakan dalam organisasi bagi mencapai tahap kepimpinan yang berkualiti. Ab. Aziz
(2008) mengemukakan beberapa teknik memperkasa yang berkesan. Antaranya adalah komunikasi dua hala di mana
komunikasi dua hala ini amat penting bagi mengekalkan hubungan yang positif antara pemimpin dengan subordinat
dalam sesebuah organisasi. Melalui pertemuan bersemuka ini dapat mewujudkan perbincangan penyelesaian masalah
yang berkesan kerana berlaku proses memberi dan menerima idea-idea bernas bagi mengatasi masalah yang wujud.
Selain itu, membahagikan subordinat kepada beberapa pasukan iaitu bekerja secara berpasukan boleh meningkatkan
produktiviti kerja serta mencetus idea-idea yang kreatif. Pemimpin boleh membantu subordinat dalam menerangkan cara
untuk meningkatkan produktiviti tugas mereka kepada pasukan. Di samping itu, pemimpin juga boleh mereka dan
mempelbagaikan kerja berdasarkan kepakaran yang dimiliki pasukan tersebut. Selain itu, pemimpin perlu memainkan
peranan penting dalam memberi galakan dan sokongan berterusan kepada subordinat supaya mereka berasa termotivasi
untuk melaksanakan tugas. Salah satu cara yang boleh dilakukan adalah dengan memantau tahap kemajuan atau
perkembangan prestasi para pekerja. Seterusnya, latihan secara berterusan perlu diberikan kepada subordinat supaya
prestasi kerja mereka meningkat dari semasa ke semasa. Melalui latihan juga para pekerja boleh berkongsi idea dan
seterusnya dapat membangunkan diri dan organisasi. Pemimpin juga perlu mengambil berat dan menjadi pendengar
yang baik terhadap subordinat bagi memastikan keberkesanan proses pemerkasaan. Sebagai contoh, perlu membuktikan
kesungguhan dalam memberi tunjuk ajar kepada subordinat, menjadi pendengar kepada masalah serta menilai
permasalahan yang dihadapi oleh mereka.
Indikator Perubahan Dalam Pendidikan
Program transformasi yang dilaksanakan di peringkat jabatan mahupun daerah dalam pendidikan memerlukan
perancangan perubahan yang sistematik. Program yang dilaksana perlu berada dalam landasan program yang telah
ditetapkan bagi mencapai matlamat. Program Transformasi Daerah atau District Transformation Programme (DTP) yang
dilaksanakan di PPD memerlukan indikator perubahan agar perubahan yang berlaku mencapai matlamat yang telah
ditetapkan. Indikator perubahan boleh dijadikan sebagai alat untuk mengukur perjalanan dan pencapaian sesuatu
program. Menurut Lennie et al. (2011) menyatakan bahawa indikator merupakan petunjuk cara mengukur bagi kemajuan
sesuatu program atau projek yang sedang dicapai dan kemajuan tersebut mengikut matlamat dan objektif yang telah
ditetapkan. Selain itu, indikator juga digunakan bagi mengukur kesan intervensi serta digunakan bagi memantau prestasi
program atau projek yang telah ditetapkan sasarannya.

“Higher Education Funding Council for England” (HEFCE) mengemukakan lima tujuan indikator iaitu; i) membekalkan
maklumat pencapaian yang sah, ii) membolehkan perbandingan antara institusi, iii) membolehkan institusi menanda aras
prestasi mereka sendiri, iv) memaklumkan kemajuan dasar, dan v) menyumbang kepada akauntabiliti institusi pendidikan
(Martin & Sauvageot 2011). Indikator yang digunakan dalam mengukur perubahan boleh menjelaskan beberapa perkara.
Antaranya ialah sejauhmana objektif program telah dicapai, sejauhmana kemajuan program yang telah dicapai,
sejauhmana matlamat telah dicapai, apakah perubahan yang diinginkan telah tercapai. Namun begitu, indikator hanya
boleh mengukur sesuatu yang telah berlaku dan ia tidak boleh membuktikan berkaitan dengan bagaimana program
tersebut membawa perbezaan, kenapa dan bagaimana berlaku serta bagaimana aktiviti komunikasi boleh dilaksanakan.

Penetapan semula peranan dan mengukuhkan JPN dan PPD perlu menggabungkan perancangan jangka panjang tentang
struktur dan fungsi yang dihasratkan, dengan langkah jangka pendek untuk meningkatkan peranan PPD yang
bertanggungjawab mempercepat peningkatan prestasi sekolah melalui inisiatif peringkat daerah yang sistematik. Model
Logik oleh Kellogg (2004, 1998) merupakan gambaran paling asas menunjukkan proses perjalanan program berfungsi.
Model ini sebagaimana ditunjukkan dalam Rajah 4 di bawah menunjukkan urutan aktiviti melaksanakan perubahan serta
bagaimana aktiviti tersebut dapat dikaitkan dengan keputusan program yang dijangka dapat dicapai. W.K Kellogg (2004)
menyatakan bahawa tujuan Model Logik adalah untuk menyediakan pihak berkepentingan dengan peta jalan
menerangkan urutan perubahan peristiwa-peristiwa berkaitan yang menghubungkan keperluan program yang dirancang
dengan keputusan yang diingini.

Merancang kerja Keputusan yang diinginkan

Sumber/ Aktiviti Output Hasilan Impak


Input

Rajah 4. Asas Model Logik oleh Kellogg (2004, 1998)

Merancang kerja merupakan gambaran apa sumber yang difikirkan perlu bagi mengimplementasi program dan apa yang
ingin dicapai. Komponen sumber atau input merujuk kepada sumber manusia, sumber kewangan dan sumber komuniti
program yang boleh menyumbang dalam proses perubahan ini. Komponen aktiviti adalah apakah yang dilakukan
terhadap sumber yang ada. Ini merujuk kepada proses, alat, peristiwa, teknologi dan tindakan yang digunakan dalam

993
melaksanakan program perubahan. Intervensi ini digunakan bagi mencapai hasilan yang diinginkan. Selain itu, bagi
keputusan yang diinginkan di mana ia termasuk dalam semua keputusan yang ingin dicapai oleh program (output, hasilan
dan impak). Komponen output adalah produk langsung daripada aktiviti program termasuk jenis, tahap dan sasaran
perkhidmatan yang diperoleh daripada program seperti bilangan pelajar, bilangan peserta menghadiri kursus, bilangan
kumpulan mengendalikan mesyuarat, bilangan risalah yang diedarkan.
Komponen hasilan merupakan perubahan tertentu dalam tingkah laku, pengetahuan, kemahiran, status dan tahap fungsi
program. Hasil jangka pendek perlu dicapai dalam masa satu tahun hingga tiga tahun, manakala hasil jangka panjang
harus dicapai dalam masa empat tahun hingga enam tahun. Kemajuan program dari jangka pendek ke jangka panjang
perlu memberi impak dalam jangka masa tujuh tahun hingga 10 tahun. Seterusnya, impak merupakan asas perubahan
yang diinginkan atau yang tidak diinginkan berlaku dalam organisasi, komuniti atau sistem sebagai keputusan aktiviti
program dalam masa 7 tahun hingga 10 tahun. Rogers (2014) dalam Model Logik beliau turut menyatakan bahawa input
adalah seperti sumber kewangan dan material yang digunakan dalam program latihan. Output pula merujuk kepada
bilangan peserta yang terlibat serta hasilan yang diperoleh adalah tahap perubahan atau perubahan tingkah laku peserta.

Komponen Indikator dalam Program Transformasi Daerah di PPD


Program Transformasi Daerah terdiri daripada dua komponen utama iaitu sokongan dan akauntabiliti. Komponen
sokongan terdiri daripada dua perkara utama iaitu i). Mengupaya kepimpinan tempatan dan ii). Memberi sokongan
kepada sekolah yang paling memerlukan. Komponen mengupaya kepimpinan tempatan menjurus kepada perubahan
peranan JPN dan PPD iaitu lebih fokus kepada usaha dalam meningkatkan sokongan kepada sekolah dalam daerah.
Seterusnya, komponen memberi sokongan kepada sekolah yang paling memerlukan. PPD akan memberi sokongan
kepada pengetua, guru besar, guru dan murid melalui dua kaedah iaitu i). Penyelesaian Setempat dan ii). Penyelesaian
Pusat, berdasarkan data dan maklumat semasa. Selain itu, jawatan SIPartner + diwujudkan bagi memberi bimbingan dan
sokongan kepada Pengetua atau Guru Besar (PGB) ke arah meningkatkan kualiti kepimpinan dan pengurusan organisasi,
manakala pembimbing guru SISC+ bertanggungjawab untuk membimbing guru ke arah peningkatan kualiti pengajaran
dan pembelajaran serta membantu meningkatkan kefahaman dasar, kurikulum baharu dan pentaksiran kepada guru yang
dibimbing. Antara komponen indikator yang terlibat adalah seperti:
1. Peranan dan senarai tugas Pengurus Program Daerah (Timbalan PPD) dan Koordinator Daerah (Lantikan PPD).
2. Peranan baharu Ketua Pejabat Pendidikan Daerah (KPPD).
3. Peranan dan tanggungjawab SIPartner +
4. Peranan dan tanggungjawab SISC +
Komponen akauntabiliti pula terbahagi kepada dua iaitu i). Menambat akses, kualiti dan ekuiti, ii). Disiplin pemantauan,
penyelesaian masalah dan pengambilan tindakan. Komponen menambat akses, kualiti dan ekuiti akan menggunakan
“Dashboard” Prestasi KPM dan Penilaian Kecemerlangan PPD (PKPPD) dalam memberi tumpuan kepada tindakan
intervensi berfokus bagi mencapai “Key Performance Indicator” (KPI). “Dashboard” Prestasi KPM memaparkan hasil
matriks berlandaskan akses, kualiti dan ekuiti, manakala inputs matriks berdasarkan faktor-faktor yang mempengaruhi
peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran. “Dashboard” Prestasi KPM dan PKPPD berfungsi sebagai alat bagi
mengukur, menilai dan memantau pada peringkat kebangsaan, negeri, daerah dan sekolah bagi memastikan KPI dicapai.
Komponen disiplin pemantauan, penyelesaian masalah dan pengambilan tindakan akan menggunakan Dialog Prestasi
(DP). DP merupakan satu forum yang dilaksanakan di semua peringkat iaitu dari peringkat KPM sehingga ke peringkat
sekolah bagi membincangkan prestasi pendidikan berdasarkan data dan fakta serta disusuli dengan tindakan yang mantap
dan berfokus bagi mencapai sasaran KPI. Selain itu, DP juga merupakan satu mekanisme pemantauan untuk menilai dan
memastikan pelaksanaan DTP berada pada landasan yang betul. DP memastikan bahawa kitaran membuat keputusan
yang dipacu oleh data berlaku di semua peringkat. Antara komponen indikator yang terlibat adalah seperti:
i. Pengurusan Petunjuk Prestasi Utama (KPI).
Satu set Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan bagi meningkatkan kualiti pendidikan. KPI ini ditetapkan di peringkat
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan penataran dilaksanakan di peringkat negeri, daerah dan sekolah.
ii. Pengurusan Kewangan.
Pengurusan kewangan Program Transformasi Daerah mengikut tatacara pengurusan kewangan yang sedang berkuat
kuasa.
iii. “Dashboard”.
Dashboard Prestasi KPM (DPKPM) merupakan paparan petunjuk prestasi utama Kementerian Pendidikan Malaysia yang
komprehensif dan boleh dipantau oleh semua pihak di setiap peringkat KPM atau JPN atau PPD. Perbincangan Dialog
Prestasi berdasarkan data dan maklumat yang dipaparkan menerusi DPKPM.

994
DAPATAN KAJIAN LEPAS DAN PERBINCANGAN

Pengurusan Perubahan
Kajian berkaitan perubahan dalam pendidikan oleh Mohd Izham dan Sufean (2013) iaitu berkaitan pandangan pentadbir
terhadap implementasi proses perubahan terancang di sekolah bestari di Malaysia. Kajian ini bertujuan untuk meneliti
pandangan pentadbir sekolah bestari terhadap implementasi proses perubahan terancang di sekolah bestari. Hasil kajian
mendapati bahawa terdapat padangan yang positif daripada para pentadbir sekolah bestari berkaitan implementasi proses
perubahan terancang. Harapan pentadbir adalah berlakunya perubahan yang berkesan dari segi amalan pengajaran dan
pembelajaran serta amalan pengurusan perubahan dan pentadbiran. Pihak berkepentingan di sekolah bestari perlu
mempunyai sikap, nilai dan tingkah laku baharu seiring dengan matlamat pelaksanaan sekolah bestari walaupun wujud
beberapa kekangan. Hal ini demikian kerana membudayakan amalan bestari menjadi kunci utama dalam membentuk dan
mengekalkan sesebuah sekolah itu menjadi sekolah bestari.
Organisasi Pembelajaran
Kajian Norashikin, Safiah, Fauziah dan Noormala (2016) menunjukkan bahawa terdapat budaya organisasi pembelajaran
telah terbukti mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan organisasi. Kajian ini meneroka tahap budaya organisasi
pembelajaran dan hubungan dengan prestasi organisasi, dan organisasi inovasi dalam kalangan ahli akademik di Institusi
Pengajian Tinggi Awam di Malaysia (IPTA). Pembelajaran secara berterusan menunjukkan hubungan yang tinggi dengan
prestasi organisasi manakala kerjasama dan pasukan pembelajaran didapati juga berkait rapat dengan inovasi organisasi.
Hasil kajian juga menyokong bahawa kerjasama dan pembelajaran secara berpasukan merupakan elemen penting dalam
menyumbang kepada pencapaian tahap tinggi.
Indikator Perubahan
Kajian Guo, Farnsworth dan Hermanson (2016) mengkaji penggunaan Model Logik untuk merancang dan melaksanakan
pengurusan berasaskan bukti “Evidence-Based Management” (EBMgt) program latihan pendidikan untuk pentadbiran
kesihatan serta untuk mengenalpasti sama ada Model Logik boleh menjadi alat yang berguna untuk menilai hasil program
pendidikan. Komponen utama adalah terdiri daripada input, output, hasilan atau impak. Hasil menunjukkan bahawa
terdapat perbezaan yang signifikan dalam pengetahuan (EBMgt) peserta dan kemahiran mencari maklumat sebelum dan
selepas latihan. Di samping itu, tahap keyakinan peserta menggunakan (EBmgt) untuk membuat keputusan telah
meningkat dengan ketara selepas bengkel latihan. Pengkaji juga mencadangkan bahawa Model Logik boleh digunakan
sebagai alat yang berguna untuk merancang, melaksana, menilai program serta boleh meningkatkan hasil program
pendidikan yang diinginkan.
Jaegers et al. (2014) dalam kajian mereka berkaitan membangunkan program Model Logik dan penilaian perancangan
bagi bidang inventori “Participatory Ergonomics” (PE) dalam pembinaan. Inventori PE seringkali dianggap sukar
ditafsirkan kerana penerangan yang terhad berkaitan perancangan dan penilaian program. Kaedah yang digunakan dalam
kajian ini adalah membangunkan Model Logik untuk menerangkan pelan program PE, proses dan penilaian sumatif
direka bagi menggambarkan keberkesanan program ini. Hasil yang diperoleh adalah Model Logik yang dibina
merupakan alat yang berguna bagi memberi gambaran elemen-elemen program dan perubahan yang berlaku. Proses
penilaian diukur melalui sejauh mana program dilaksanakan seperti yang dihasratkan serta mengemukakan keperluan
untuk mengubahsuai program. Penilaian sumatif menyediakan langkah-langkah berkiatan keberkesanan program yang
disampaikan.

PERBINCANGAN

Anjakan ke enam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 iaitu mengupaya Jabatan Pendidikan Negeri
(JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan
memerlukan penetapan semula peranan dan tanggungjawab PPD iaitu PPD bertindak sebagai rakan pembantu dan
pemantau sekolah selari dengan Program Transformasi Daerah atau District Transformation Programme (DTP). Selain
itu, pihak PPD perlu mempunyai kebolehan untuk menganalisis data sekolah, mengesan punca masalah dan mereka
bentuk bantuan dan sokongan terbeza untuk sekolah. Pihak PPD juga perlu membantu sekolah mendapatkan penglibatan
ibu bapa dan seluruh masyarakat bagi memaksimumkan impak pelaksanaan. Paling utama, PPD perlu menjadi saluran
komunikasi utama kepada sekolah dan menyepadukan kesemua arahan daripada KPM dan JPN bagi mengurangkan
kekeliruan dan kecelaruan birokrasi. Maka, DTP dilaksanakan bagi menyediakan sokongan terus dan bertanggungjawab
kepada sekolah melalui PPD yang telah diperkasa dan diupayakan.
Pelaksanaan Program Transformasi Daerah yang telah dirintis di Kedah dan Sabah mulai tahun 2013 telah meyakinkan
Kementerian Pendidikan Malaysia bahawa prestasi sekolah dapat ditingkatkan melalui pemantauan secara berterusan
terhadap isu-isu seperti ketidakhadiran murid ke sekolah, keciciran dan isu penambahbaikan infrastruktur asas.
Pelaksanaan DTP ini juga telah menggerakkan perubahan cara kerja warga pendidik serta mewujudkan suasana
organisasi pembelajaran. Perubahan di PPD melalui Program Transformasi Daerah yang telah dilaksanakan memerlukan
indikator bagi memantau dan memastikan program yang dilaksanakan berjalan dengan baik. Indikator yang dibentuk

995
daripada Model Logik yang terdiri daripada sumber atau input, aktiviti, output, hasilan dan impak boleh digunakan dalam
mengukur perubahan yang berlaku di PPD. Hal ini disokong oleh kajian Guo et al. (2016) dan kajian Jaegers et al. (2014)
iaitu Model Logik boleh digunakan sebagai alat yang berguna untuk merancang, melaksana, menilai program dan boleh
meningkatkan hasil program pendidikan yang diinginkan serta boleh dijadikan sebagai alat yang berguna bagi memberi
gambaran elemen-elemen program dan perubahan yang berlaku.
Keperluan indikator perubahan dalam DTP adalah sebagai pemberitahuan atau “red flag” dan petunjuk intervensi secara
langsung dalam organisasi sama ada berada pada landasan yang betul atau tidak. Sekiranya dalam melaksanakan sesuatu
program transformasi tiada indikator yang boleh dijadikan sebagai “guideline”, maka program tersebut sukar untuk
diukur dan dinilai keberkesanannya. Seterusnya, indikator merupakan petunjuk cara untuk mengukur bagi kemajuan DTP
yang sedang dicapai dan kemajuan tersebut mengikut matlamat dan objektif yang telah ditetapkan. Selain itu, indikator
juga digunakan bagi mengukur kesan intervensi serta digunakan bagi memantau prestasi DTP yang telah ditetapkan
sasarannya. Indikator yang digunakan dalam mengukur perubahan boleh menjelaskan beberapa perkara yang berlaku
sepanjang DTP dilaksanakan di PPD. Antaranya ialah sejauhmana objektif DTP telah dicapai, sejauhmana kemajuan
DPT yang telah dicapai, sejauhmana matlamat telah dicapai, apakah perubahan yang diinginkan telah tercapai. Antara
komponen indikator DTP yang terlibat adalah seperti:
i. Mengupaya kepimpinan tempatan dan memberi sokongan kepada sekolah yang paling memerlukan melalui:
Peranan dan senarai tugas bagi Pengurus Program Daerah (Timbalan PPD) serta Koordinator Daerah (Lantikan PPD).
Peranan Baharu Ketua Pejabat Pendidikan Daerah (KPPD).
Peranan dan tanggungjawab SIPartner +.
Peranan dan tanggungjawab SISC +.
ii. Menambat akses, kualiti dan ekuiti; serta disiplin pemantauan, penyelesaian masalah dan pengambilan tindakan,
melalui:
Pengurusan Petunjuk Prestasi Utama (KPI).
Pengurusan Kewangan.
“Dashboard”.
Seterusnya, bagi meningkatkan kualiti, daya saing dan kecemerlangan melalui penggunaan dan pengaplikasian ilmu
pengetahuan memberi manfaat kepada individu dan PPD, organisasi pembelajaran perlu diamalkan secara berterusan.
Budaya organisasi pembelajaran boleh mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan program kejayaan DTP dan
organisasi PPD. Perkara ini disokong oleh kajian Norashikin et al. (2016) menunjukkan bahawa terdapat budaya
organisasi pembelajaran telah terbukti mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan organisasi. Hasil kajian mereka
menunjukkan bahawa pembelajaran secara berterusan menunjukkan hubungan yang tinggi dengan prestasi organisasi
manakala kerjasama dan pasukan pembelajaran didapati juga berkait rapat dengan inovasi organisasi. Oleh itu,
memperkasa PPD melalui DTP memerlukan indikator perubahan bagi menjadi kayu ukur berkaitan perubahan yang telah
berlaku serta mewujudkan amalan organisasi pembelajaran supaya tujuan perubahan yang dibuat memberi makna kepada
semua pihak. Justeru, maklumat tentang inisiatif DTP penting difahami semua warga pendidik agar pelaksanaan yang
menyeluruh dan bersungguh-sungguh dapat dilakukan pada landasan yang betul.

IMPLIKASI

Implikasi terhadap Program Transformasi Daerah (DTP) adalah indikator yang dapat mengukur dan melihat sejauhmana
perubahan yang berlaku mencapai kejayaan. Hal ini demikian kerana indikator merupakan petunjuk yang menyediakan
gambaran atau keadaan yang sedia ada pada masa yang tertentu. Selain itu, indikator juga digunakan dalam mengukur
perubahan boleh menjelaskan beberapa perkara seperti sejauhmana objektif program telah dicapai, sejauhmana kemajuan
program yang telah dicapai, sejauhmana matlamat telah dicapai, apakah perubahan yang diinginkan telah tercapai.
Implikasi terhadap Kemeterian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah ialah
indikator perubahan dapat memberi impak yang baik terutama dalam melaksanakan program perubahan. Indikator juga
merupakan intervensi awal bagi mengesan sebarang isu atau masalah yang wujud sepanjang pelaksanaan program
perubahan. Maka, melalui indikator perubahan ini, DTP yang dilaksanakan dapat dinilai prestasi perubahan dan
perjalanan kejayaan DTP mengikut misi dan matlamat yang ditetapkan.
Tambahan pula, DTP di bawah Anjakan ke enam PPPM 2013-2-25 bertujuan untuk mempercepat penambahbaikan
prestasi sekolah melalui program yang sistematik dan dipimpin oleh Pejabat Pendidikan Daerah. Hal ini memerlukan
setiap kakitangan daripada peringkat Kementerian sehingga ke PPD mempunyai kemahiran dalam mengurus perubahan
supaya matlamat yang ditetapkan berjaya. Implikasinya, ia dapat membantu para pembuat dasar dan kakitangan PPD
memantau perjalanan DTP yang dirangka melalui indikator perubahan ini supaya berada pada landasan yang betul.
Perubahan positif atau prubahan negatif dapat dikesan ketika program yang dilaksanakan berjalan dan ini membolehkan

996
intervensi atau pembetulan dapat dibuat sejurus selapas masalah wujud tanpa perlu menunggu sehingga program terbesut
selesai dilaksanakan.

KESIMPULAN

Tuntasnya, perubahan perlu dilaksanakan bagi memastikan institusi pendidikan mengikuti perkembangan kemajuan
semasa supaya lebih dinamik dan berdaya saing. Desakan perubahan sama ada daripada luaran mahupun dalaman
organisasi amat memerlukan pengurusan perubahan yang sistematik. Hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia bagi
menjadikan sistem pendidikan Malaysia bertaraf dunia memerlukan kerjasama daripada semua pihak termasuk ibu bapa,
masyarakat mahupun guru-guru di sekolah. Program perubahan yang dilaksanakan banyak tertumpu kepada memperkasa
Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pembelajaran murid di sekolah. Maka, penglibatan daripada semua pihak boleh
membantu memudahkan pelaksanaan program perubahan ini. Memperkasa PPD melalui indikator perubahan iaitu terdiri
daripada sumber atau input, aktiviti, output, hasilan dan impak boleh digunakan dalam mengukur kejayaan perubahan
Program Transformasi Daerah atau District Transformation Programme (DTP) yang telah dilaksanakan di PPD serta
amalan organisasi pembelajaran yang perlu dikekalkan untuk memastikan setiap warga lebih berilmu dan proaktif bagi
menjayakan Program Transformasi Daerah.

RUJUKAN
Cummings, T. G., & Worley, C. G. (2015). Organization Development and Change 10th Edition. Stamford: Cengage
Learning.
Cummings, T. G., & Worley, C. G. (2001). Essentials of Organization Development and Change. South-Western:
College Publ.
Guo, R., Farnsworth, T. J., & Hermanson, P. M. (2016). Assessment of evidence-based management training program:
Application of a logic model. International Journal of Management and Business 7(1): 57.
Jaegers, L., Dale, A. M., Weaver, N., Buchholz, B., Welch, L., & Evanoff, B. (2014). Development of a program logic
model and evaluation plan for a participatory ergonomics intervention in construction. American Journal of
Industrial Medicine 57(3): 351-361.
Kellogg, W. K. (2004). W.K.Kellogg Foundation Logic Model Development Guide. Michigan: WK Kellogg Foundation.
Kellogg, W. K. (1998). Foundation. Evaluation Handbook. Enero.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2013). Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Putrajaya:
Kementerian Pendidikan Malaysia.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2015). Panduan Pengurusan Program Transformasi Daerah Edisi 2. Putrajaya:
Kementeri Pendidikan Malaysia.
Kementerian Pendidikan Malaysia. 2016. Laporan Tahunan 2015 PPPM 2013-2025. Putrajaya: Kementerian Pendidikan
Malaysia.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2002). Pembangunan Pendidikan 2001-2010. Putrajaya: Kementerian Pendidikan
Malaysia.
Kementerian Pendidikan Malaysia (2016). PISA 2015 (Programme for International Student Assessment). Putrajaya:
Kementerian Pendidikan Malaysia.
Kementerian Pendidikan Malaysia (2016). Laporan TIMSS 2015 (Trends in International Mathematics and Science
Study). Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia.
Lennie, J., Tacchi, J., Koirala, B., Wilmore, M., & Skuse, A. J. (2011). Equal Access Participatory Monitoring and
Evaluation Toolkit: Helping communication for development organisations to demonstrate impact, listen and
learn, and improve their practices. Australian Research Council
Martin, M. & Sauvageot, C. (2011). Constructing an indicator system or scorecard for higher education.
Mohamad Najib Abdul Ghafar. (2010). Pembangunan Organisasi Pendidikan. Skudai: Penerbit UTM Press.
Mohd Izham Mohd Hamzah & Sufean Hussin. (2013). Pengurusan Perubahan Terancang dalam Pembestarian Sekolah-
Proses Pelaksanaan Polisi: Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya.
Norashikin Hussein, Safiah Omar, Fauziah Noordin, & Noormala Ishak. (2016). Organizational Innovativeness as
Predictors to Organizational Performance of Public Universities in Malaysia. In 7th International Conference on
University Learning and Teaching (InCULT 2014) Proceedings (pp. 453-463). Springer Singapore.
Nor Foniza Maidin. (2012). Amalan Organisasi Pembelajaran di Sekolah Cemerlang: Satu Kajian Kes. Tesis PhD.
Universiti Kebangsaan Malaysia.

997
Rogers, P. (2014). Theory of Change, Methodological Briefs: Impact Evaluation 2, UNICEF Office of Research,
Florence.
Senge, P.M. (1992). The Fifth Discipline Fieldbook: Strategies and Tools for Building Learning Organization.
The World Bank Group. (2016). What is empowerment? Retrieved from http://web. worldbank.org/WBSITE/
EXTERNAL/TOPICS/EXTPOVERTY/EXTEMPOWRMENT/0,,contentMDK:20244572~menuPK:546167~pagePK:14
8956~piPK:26618~ theSitePK:486411,00.html. 6 Disember 2016.

998

You might also like