You are on page 1of 6

TAKSONOMI BLOOM

PENGENALAN

Bermula pada tahun 1948, di Boston, Amerika Syarikat, sekumpulan ahli psikologi telah berbincang
tentang kesulitan melaksanakan penilaian dalam pendidikan. Hal ini disebabkan oleh tiadanya rangka
rujukan yang dipersetujui bersama semasa menilai aspek-aspek yang terdapat dalam bidang
tersebut. Dalam hal yang berkaitan, proses pembentukan ujian dilihat sebagai satu pelan induk yang
akan menjelaskan kandungan, pengalaman manusia atau aspek kendiri orang yang dinilai.
Tambahan pula, objektif pendidikan seringkali dinyatakan sebagai ungkapan yang menjemukan
dan klise yang tidak bermakna. Ungkapan seperti ’berfikir’ atau ’menyelesaikan masalah’ seringkali
mempunyai definisi yang pelbagai serta kabur menyebabkan berlaku ketidakseragaman dalam
menyediakan pengalaman pembelajaran dan instumen penilaian kepada murid yang terlibat. Mereka
juga berpendapat bahawa objektif pendidikan perlu diubah agar lebih jelas dan bermakna.

Objektif pendidikan boleh didefinisikan sebagai istilah yang memperihalkan matlamat


terhadap proses pendidikan iaitu hasil pembelajaran yang disebabkan oleh aktiviti instruksional
(pengajaran). Objektif-objektif ini pula seringkali dipanggil standard oleh pakar-pakar pendidikan
dalam menetapkan hala tuju sesebuah organisasi pendidikan.

Sehubungan dengan perbahasan ahli-ahli psikologi pendidikan di Amerika Syarikat tersebut,


maka muncullah tiga domain pembahagian objektif pendidikan iaitu kognitif, afektif dan psikomotor.
Objektif domain kognitif merupakan objektif yang berubah-ubah daripada mengingati semula bahan
yang telah dipelajari sehinggalah mensintesis bahan baru dengan cara yang kreatif dan asli. Objektif
domain afektif pula memfokuskan perasaan atau emosi. Minat, sikap, apresiasi, nilai dan emosi
merupakan contoh elemen yang terdapat dalam domain afektif ini. Objektif domain psikomotor pula
menekankan kemahiran otot dalam mengendalikan objek atau tindakan yang memerlukan koordinasi
otot. Ahli psikologi juga berpendapat bahawa tidak ada satu objektif pendidikanpun yang mempunyai
hanya satu jenis domain khusus. Sebagai contohnya, jika kita menguji objektif kognitif, di dalamnya
juga terdapat elemen afektif dan elemen psikomotor. Jika kita menguji domain psikomotor, elemen
kognitif dan afektif juga akan wujud bersama penilaian tersebut. Pengwujudan ketiga-tiga domain ini
hanya untuk memudahkan ahli psikologi memberikan penekanan terhadap domain yang paling
dominan dalam sesuatu penilaian.

Kebanyakan objektif pendidikan di peringkat sekolah, institusi perguruan dan universiti


menekankan kepada konsep pengukuran, pengujian, pentaksiran dan penilaian terhadap murid atau
pelajarnya. Dalam hal ini, kebiasaannya peperiksaan digunakan untuk menentukan tahap
penguasaan kemahiran mereka selepas belajar sesuatu kandungan mata pelajaran yang khusus.
Dengan itu, objektif bagi domain kognitif menjadi suatu keutamaan kepada organisasi pendidikan
dalam mengukur kemahiran yang diperoleh oleh murid atau pelajarnya. Objektif ini didefiniskan,
disertakan dengan tingkah laku yang perlu dikuasai oleh murid dan juga mengandungi instrumen
penilaian.

TAKSONOMI BLOOM

Taksonomi bermaksud satu set pengelasan yang disusun dan disesuaikan atas dasar yang konsisten
(Bloom, 1964). Dalam perkataan lain, taksonomi merupakan sistem pengelasan objektif pendidikan
yang merupakan set yang didefinisikan dengan seberapa tepat yang mungkin serta disusun daripada
konsep yang ringkas kepada yang kompleks. Susunan daripada objektif pendidikan yang konkrit
kepada yang abstrak menyediakan satu rangka bagi kategori matlamat pendidikan; yang akan
memudahkan guru untuk menentukan tahap penguasaan murid mereka. Taksonomi perlu diuji agar
selaras dengan bukti secara teoritikal dan empirikal. Dalam bidang pendidikan, pengelasan dalam
aspek objektif pendidikan adalah perlu dalam usaha membantu membincangkan penilaian dengan
lebih tepat lagi. Soalan-soalan seperti: Apakah murid benar-benar tahu?, Adakah murid benar-benar
faham? Adakah mereka mampu menghitung jumlah sesuatu masalah matematik?; seringkali kita
anggap mempunyai pengelasan yang sama. Jika kita teliti lebih lanjut, terdapat perbezaan antara
murid yang benar-benar tahu, benar-benar faham dan yang boleh menghitung jumlah. Oleh itu,
pengwujudan satu sistem pengelasan standard (taksonomi) akan memudahkan guru dan pensyarah
mendefinisikan istilah objektif pendidikan agar dapat difahami oleh mereka semua. Taksonomi
seharusnya menjadi sumber bantuan terhadap perkembangan kurikulum dan instrumen penilaian.
Perspektif mengenai penekanan kepada tingkah laku murid yang tertentu (Contohnya: kebolehan
menghitung) akibat daripada penglibatan dalam sesi pengajaran, dapat dikenal pasti oleh guru. Oleh
itu guru akan dapat mengelompokkan matlamat sesuatu pengajaran ke dalam kategori yang spesifik.
Dengan itu, pengalaman pembelajaran dan instumen penilaian dapat digubal dengan lebih mudah
kerana matlamat pendidikan diketahui dengan jelas oleh guru.

Pada tahun 1959, Benjamin S. Bloom telah menyunting sebuah buku berjudul Taxonomy of
Educational Objectives Book 1 – Cognitive Domain yang mencadangkan pengelasan objektif domain
kognitif kepada enam komponen. Enam komponen ini adalah pengetahuan, kefahaman, aplikasi,
analisis, sintesis dan penilaian. Enam komponen ini disusun berdasarkan hirarki daripada yang
mudah kepada yang susah dan lebih dikenali sebagai Taksonomi Bloom.

Komponen pengetahuan melibatkan murid mengingat kembali perkara khusus dan universal,
mengingat semula kaedah dan proses atau mengingat semula sesuatu corak struktur atau latar
belakang. Komponen kefahaman melibatkan murid menggunakan bahan yang dikomunikasikan
tanpa perlu menghubungkannya dengan bahan lain. Hal ini tercapai apabila murid mampu membuat
terjemahan, penafsiran dan ekstrapolasi apa yang dipelajari oleh mereka. Komponen aplikasi pula
melibatkan murid menggunakan apa yang telah dipelajari dalam satu situasi baru yang khusus dan
konkrit. Sementara komponen analisis pula melibatkan pemecahan sesuatu perkara kepada
bahagian-bahagian kecil agar persamaan dan perbezaan dapat menghuraikan dengan memberikan
penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi. Manakala komponen sintesis memungkin murid untuk
menggabungkan unsur atau bahan supaya membentuk satu keseluruhan atau kesimpulan. Dengan
ini satu pola atau struktur akan terbentuk akibat daripada unsur atau bahan yang digabungkan.
Komponen terakhir adalah penilaian di mana murid akan menggunakan pertimbangan kualitatif
dan/atau kuantitatif mengenai nilai bahan dan kaedah spesifik untuk sesuatu kriteria yang telah
ditetapkan.

TAKSONOMI YANG DIUBAHSUAI

Pada bulan November, 1996 Lorin Anderson yang merupakan bekas anak murid Bloom bersama
David Krathwohl telah mengetuai usaha untuk mengemaskinikan Taksonomi Bloom. Usaha ini
didasarkan dengan harapan agar dapat menambah baik taksonomi ini sesuai dengan peredaran
masa dan abad ke-21. Ahli-ahlinya adalah terdiri daripada pakar psikologi kognitif, pakar teori
kurikulum, pemimpin pendidikan serta pakar pengujian dan pentaksiran. Usaha ini telah berlangsung
selama enam tahun. Akhirnya pada tahun 2001, mereka telah menerbitkan hasil penyelidikan yang
mengutarakan perubahan dalam tiga kategori iaitu istilah, struktur dan penekanan (Forehand, 2004).
Rajah di bawah ini menunjukkan perbezaan tersebut.
PERUBAHAN ISTILAH

Rajah di atas menunjukkan taksonomi yang lama serta versi yang disemak semula. Perubahan yang
paling ketara adalah terhadap istilah yang digunakan iaitu daripada kata nama (pengetahuan,
kefahaman, aplikasi, analisis, sintesis dan penilaian) kepada kata kerja iaitu mengingat, memahami,
mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta. Perubahan ini adalah berdasarkan pendapat
bahawa taksonomi ini merupakan satu proses aktif. Oleh itu kata kerja adalah lebih sesuai digunakan
kerana cirinya yang menjelaskan tentang tindakan yang dibuat.

Daripada segi istilah juga, perkataan ‘pengetahuan’ telah diubah kepada ‘mengingat’.
Pengetahuan adalah hasil atau produk daripada proses berfikir, maka istilah ‘mengingat’ adalah lebih
sesuai untuk menggambarkan kategori berfikir. Istilah ‘kefahaman’ pula diubah kepada ‘memahami’.
Sementara itu, ‘sintesis’ diubah kepada ‘mencipta’. Dalam hal ini, versi yang lama meletakkan
‘sintesis’ di bawah ‘penilaian’ dalam hirarki taksonomi. Manakala bagi versi disemak semula,
‘mencipta’ merupakan puncak bagi hirarki tersebut. Dalam hal yang berkaitan, berfikir secara kreatif
(mencipta) adalah lebih kompleks daripada berfikir secara kritikal (menilai). Seseorang murid boleh
berfikir secara kritikal tanpa menjadi kreatif tetapi murid yang kreatif memerlukan cara berfikir yang
kritikal. Dengan itu, ‘menilai’ seharusnya berada pada hirarki yang lebih bawah daripada ‘mencipta’.
Istilah-istilah baru tersebut didefinisikan seperti yang terdapat dalam Jadual 1 di bawah ini.

Jadual 1: Istilah dan definisi bagi Taksonomi Bloom yang disemak semula

Istilah Definisi
Mengingat Mendapatkan kembali, mengeluar kembali dan mengingat semula pengetahuan yang
relevan daripada ingatan jangka panjang.

Contoh perkataan: Kenal pasti, Senaraikan, Ceritakan, Namakan, ...


Persoalan: Adakah murid boleh mengingat semula maklumat?
Memahami Membina makna daripada maklumat lisan, tulisan dan grafik melalui
menginterpretasi, memberikan contoh, mengklasifikasi, membuat ringkasan,
membuat inferens, membanding dan menjelaskan.

Contoh perkataan: Buat interpretasi, Berikan contoh, Ringkaskan, Buat parafrasa, ...
Persoalan: Adakah murid boleh menjelaskan idea atau konsep?
Mengaplikasi Menggunakan prosedur untuk melakukan atau melaksanakan sesuatu.

Contoh perkataan: Dengan menggunakan, Laksanakan, Hitungkan, ...


Persoalan: Bolehkah murid menggunakan pengetahuan baru dalam situasi biasa
yang lain?
Menganalisis Memecahkan bahan kepada bahagian kecil, menentukan bagaimana bahagian-
bahagian kecil berkait antara satu sama lain dan terhadap struktur atau kegunaan
umum melalui perbandingan, menyusun atur dan attributing.

Contoh perkataan: Bandingkan, Susun atur, Susun semula, ...


Persoalan: Adakah murid boleh membezakan antara bahagian-bahagian kecil?
Menilai Membuat penghakiman berdasarkan kriteria dan piawaian melalui semakan dan
kritikan.

Contoh perkataan: Berikan hujah anda, kritik, sokong, ...


Persoalan: Adakah murid boleh menjustifikasikan sesuatu keputusan atau tindakan
yang diambil?
Mencipta Menyatukan elemen-elemen untuk membentuk satu gagasan umum yang koheren
atau berfungsi; menyusun atur elemen ke bentuk atau struktur baru melalui
penjanaan, perancangan dan penghasilan.

Contoh perkataan: Rekakan, Binakan, Rancangkan, Hasilkan, ...


Persoalan: Adakah murid boleh menjanakan produk baru, idea baru atau pandangan
yang baru?
PERUBAHAN STRUKTUR

Taksonomi Bloom yang lama mempunyai hanya satu dimensi. Manakala versi yang disemak semula
terdiri daripada dua dimensi iaitu Dimensi Pengetahuan dan Dimensi Proses Kognitif. Dimensi
Pengetahuan memfokuskan kepada jenis pengetahuan yang dipelajari yang dibahagikan kepada
empat bentuk iaitu pengetahuan fakta, konsep, prosedur dan metakognitif. Dalam hal ini, metakognitif
merujuk kepada kesedaran terhadap kefahaman diri dan mampu memperbaiki kefahaman tersebut
jika berlaku kesalahfahaman. Sementara Dimensi Proses Kognitif memfokuskan proses yang
digunakan untuk belajar iaitu mengingat, memahami, mengaplikasi, menganalisis, menilai dan
mencipta. Jadual 2 di bawah menunjukkan hal ini.

Jadual 2: Taksonomi Bloom yang disemak semula

Dimensi Dimensi Proses Kognitif


Pengetahua Mengingat Memahami Mengaplikas Menganalisi Menilai Mencipta
n i s
Pengetahuan Senarai Ringkaskan Klasifikasi Aturan Susunan Gabungkan
fakta List Summarise Classify Order Rank Combine
Pengetahuan Terangkan Interpret Eksperimen Hurai Taksir Rancangka
konsep Describe Interpret Experiment Explain Assess n
Plan
Pengetahuan Bentangka Ramalkan Hitungkan Bezakan Simpulka Gubah
proses n Predict Calculate Differentiate n Compose
Tabulate Conclude
Pengetahuan Kegunaan Laksanaka Binakan Rumuskan Tindakan Wujudkan
meta-kognitif sesuai n Construct Achieve Action Actualise
Appropriate Execute
use

PERUBAHAN PENEKANAN

Bagi versi yang lama, Bloom menyatakan bahawa taksonomi tersebut telah digunakan secara tidak
dijangka (unexpectedly) oleh ramai orang (Bloom, 1956). Taksonomi ini sesuai digunakan bagi murid
di peringkat awal persekolahan mereka. Manakala taksonomi yang disemak semula menekankan
sasaran penggunaanya kepada pengguna yang lebih ramai. Sasaran ini termasuklah murid di
sekolah rendah, menengah serta pelajar di universiti atau kolej. Penekanan ini berasaskan anggapan
bahawa taksonomi yang disemak semula adalah alat yang lebih tulen (authentic) untuk merancang
kurikulum, penyampaian instruksional dan pentaksiran (oz-TeacherNet, 2001) (dalam Forehand,
2004).

CONTOH AYAT & AKTIVITI

Jadual 3: Contoh ayat dan aktiviti bagi taksonomi yang disemak semula

Kategori Contoh Permulaan Ayat Aktiviti dan hasil


Mengingat Apakah yang berlaku selepas ...? Menyenaraikan kejadian utama.
Berapakah bilangan ...? Membuat jadual waktu peristiwa.
Apakah yang dimaksudkan...? Membuat carta drpd fakta.
Siapakah orang ...? Menulis senarai drpd maklumat yang
Namakan ...? boleh diingat.
Ceritakan apakah yang berlaku... Membaca sajak/puisi.
Siapakah yang bercakap ...?
Manakah yang benar atau palsu...?
Kenal pasti siapa...?
Namakan semua bahan ...?
Memahami Tuliskan dalam ayat anda sendiri. Menggunting atau melukis gambar
Terangkan... untuk menunjukkan peristiwa.
Apakah yang anda rasa akan Melukis kartun untuk menunjukkan
berlaku selepas ini? turutan peristiwa.
Siapakah yang anda fikir ...? Menulis dan membuat persembahan
Apakah idea utama ...? berdasarkan satu cerita.
Lakarkan jalan cerita ...? Menceritakan peristiwa dgn ayat
Terangkan mengapa watak tersebut sendiri.
...? Menulis laporan ringkas.
Menyediakan carta alir.
Membuat buku mewarna.
Mengaplikasi Adakah anda tahu maklumat lain Bina satu model untuk menunjukkan
tentang ...? ...
Bolehkah anda kumpulkan mengikut Buat satu diorama untuk
ciri seperti ...? menunjukkan ...
Apakah faktor yang anda akan ubah Buat buku skrap berkaitan ...
jika ...? Buat model tanah liat ...
Apakah soalan yang anda akan Ambil koleksi gambar foto untuk
tanya ...? menunjukkan ...
Daripada maklumat tersebut, Bina sebuah puzzle game.
bolehkah anda membina set arahan Tuliskan buku teks berkaitan topik ...
...?
Menganalisis Peristiwa yang manakah tidak Mereka bentuk soal selidik untuk
seharusnya berlaku? mendapatkan maklumat.
Jika ... berlaku, apakah Menulis iklan untuk menjual produk.
kemungkinan penamatnya? Membuat carta alir untuk
Bagaimana ... sama seperti ...? menunjukkan peringkat kritikal.
Apakah kemungkinan lain ...? Membina graf untuk menunjukkan
Mengapakah ... perubahan berlaku? maklumat khusus.
Terangkan apa yang sepatutnya Membuat family-tree untuk
berlaku ...? menunjukkan pertalian.
Bolehkan anda bezakan ...? Membuat drama ttg apa yang
Apakah punca di sebalik ...? dipelajari.
Apakah masalah dihadapi ...? Menulis biografi orang yang dikaji.
Menyediakan laporan.
Menilai Adakah lebih baik ...? Melaksanakan debat.
Berikan hujah anda ... Menulis buku peraturan dan
Pertahankan pernyataan ... yakinkan pembaca.
Adakah baik atau buruk ...? Menubuhkan panel untuk
Bagaimanakah anda akan membincangkan pandangan.
mengatasi masalah ....? Menulis surat nasihat terhadap
Apakah perubahan yang ...? keperluan perubahan.
Adakah anda percaya ...? Menulis Laporan Tahunan.
Apakah yang anda rasa, sekiranya Menyediakan kertas kes untuk
...? menjelaskan pandangan.
Setakat manakah keberkesanan ...?
Sejauh manakah anda yakin ...?
Mencipta Hasilkan satu binaan ... Mencipta mesin.
Cadangkan satu penyelesaian Mereka bentuk bangunan.
munasabah ... Mereka produk baru.
Apakah akan berlaku sekiranya .? Menulis tentang perasaan...
Kemukakan kertas cadangan ... Menulis cereka, lagu, sajak...
Berapa banyak carakah ...? Mereka bentuk kulit album

KEPENTINGAN TAKSONOMI BLOOM


Taksonomi Bloom yang terdiri daripada enam aras telah digunakan sejak lama dahulu oleh guru di
merata dunia. Taksonomi ini merupakan pengelasan secara sistematik bagi proses berfikir dan
belajar. Pengelasan ini membantu guru mengukur keupayaan murid mereka. Aras yang tinggi dalam
hirarki, memerlukan penguasaan terhadap aras yang lebih rendah. Contohnya, jika seseorang murid
itu mampu menyelesaikan masalah berkaitan aktiviti menganalisis; maka mereka dianggap telah
menguasai hirarki yang lebih bawah iaitu aktiviti mengingat, memahami dan mengaplikasi.

Dengan perkembangan drastik dalam bidang pendidikan, taksonomi yang disemak semula
menyediakan alat yang lebih sesuai untuk digunakan oleh guru-guru. Struktur yang baru
memaparkan konsep yang menyeluruh dan jelas berkait dengan penyelarasan antara piawaian dan
matlamat pendidikan, objektif, produk dan aktiviti (Krathwohl, 2002). Penyelarasan objektif pendidikan
di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan merupakan satu keperluan. Bagi Malaysia, penyelarasan
ini telahpun berlaku dengan wujudnya sistem pendidikan kita yang berpusat. Oleh itu, penggunaan
taksonomi yang disemak semula ini bukan merupakan masalah yang besar bagi guru-guru di
Malaysia.

KESIMPULAN

Perubahan terhadap Taksonomi Bloom merupakan satu usaha murni untuk menjelaskan kekaburan
yang terdapat dalam mendefinisikan objektif pendidikan. Perubahan ini merupakan satu input yang
amat baik untuk kita renungkan agar proses penilaian yang kita laksanakan terhadap murid atau
pelajar kita lebih tepat. Perubahan terhadap istilah, struktur dan penekanan memberikan satu
perspektif yang berbeza kerana kita telah terbiasa dengan taksonomi yang lama. Justeru itu,
kefahaman mendalam tentang taksonomi yang baru akan memudahkan kita menggunakannya dalam
menguji, mengukur, menilai dan mentaksir murid atau pelajar. Dalam hal ini, taksonomi yang baru,
boleh digunakan untuk murid atau pelajar di peringkat awal persekolahan hinggalah ke universiti.

Selama ini, warga pendidik di Malaysia telah menggunakan taksonomi yang lama secara
meluas sama ada di sekolah, pusat latihan atau universiti. Dan mungkin timbul persoalan dalam
minda kita, adakah perubahan ini kita perlukan. Atau kita ingin lihat perkara ini berlalu begitu sahaja.
Kita akan tentukan perkara ini secara bersama.

You might also like