You are on page 1of 17

See discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.

net/publication/276207395

Wawasan 2020: Negara Teguh, Bangsa Terus Dibina

Conference Paper · December 2012

CITATION READS

1 4,839

1 author:

A.B. Shamsul
Universiti Kebangsaan Malaysia
93 PUBLICATIONS   733 CITATIONS   

SEE PROFILE

Some of the authors of this publication are also working on these related projects:

grant perpaduan di malaysia View project

All content following this page was uploaded by A.B. Shamsul on 13 May 2015.

The user has requested enhancement of the downloaded file.


WAWASAN 2020:
Negara Teguh, Bangsa Terus Dibina

i
ii
WAWASAN 2020:
Negara Teguh, Bangsa Terus Dibina

UCAPTAMA
SEMINAR WAWASAN 2020: TRANSFORMASI MALAYSIA
Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, Malaysia
19-20 Disember 2012 / 5-6 Safar 1434H

Shamsul Amri Baharuddin

MAJLIS PROFESOR NEGARA


PUTRAJAYA  2012
www.majlisprofesor.gov.my

iii
WAWASAN 2020: NEGARA TEGUH, BANGSA TERUS DIBINA
Ucaptama Seminar Wawasan 2020: Transformasi Malaysia

Cetakan Pertama, 2012


Hak cipta Majlis Profesor Negara (MPN) 2012

Hak cipta terpelihara. Tiada bahagian daripada terbitan ini


boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau ditukarkan
ke dalam sebarang bentuk atau dengan sebarang alat juga pun, sama ada
dengan cara elektronik, gambar serta rakaman dan sebagainya
tanpa kebenaran bertulis daripada Penerbit terlebih dahulu.

Diterbitkan di Malaysia oleh


MAJLIS PROFESOR NEGARA (MPN)
No. 2, Menara 2, Jalan P5/6, Presint 5
62200 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Malaysia
Tel: +603 8870 6808 Faks: +603 8870 6997
http://www.majlisprofesor.gov.my

Atur hurf oleh


eajsti@gmail.com

iv
Wawasan 2020: Negara Teguh, Bangsa Terus Dibina

Wawasan 2020:
Negara Teguh, Bangsa Terus Dibina
SHAMSUL AMRI BAHARUDDIN*
Institut Kajian Etnik (KITA)
Universiti Kebangsaan Malaysia

Apabila Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia


keempat, mengisytiharkan bahawa cabaran pertama lagi utama bagi
Malaysia untuk mencapai kedudukan negara maju pada tahun 2020,
dalam kerangka Wawasan 2020, ialah untuk membina dan mencipta
‘Bangsa Malaysia’, ia merupakan suatu proklamasi politik yang
amat penting dalam sejarah politik moden di Malaysia. Inilah untuk
pertama kalinya seorang pemimpin Malaysia berkedudukan Perdana
Menteri di era pasca Merdeka telah memperkatakan secara terbuka
mengenai ‘bangsa idaman’ beliau untuk Malaysia, yang sekali gus
memperakukan bahawa yang wujud hanyalah ‘negara Malaysia’ dan
belum lagi ‘bangsa Malaysia’.
Kerana ucapan asal beliau adalah dalam Bahasa Inggeris, beliau
telah mengungkapkan ‘bangsa idaman’ tersebut dengan lebih tepat
sebagai ‘a united Malaysian nation’, atau terjemahannya ialah
‘sebuah bangsa Malaysia yang bersepadu.’ Versi terjemahan ini
kemudiannya telah diringkas dan dipopularkan dalam dua

*
Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin kini adalah
Pengarah Pengasas, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM) dan juga ialah Timbalan Pengerusi, Majlis Profesor Negara
(MPN). Beliau terdidik dalam bidang antropologi sosial dan telah meneliti,
menulis serta mengupas, dari segi skop, yang meliputi bidang yang lebih luas
termasuk ekonomi, politik, budaya dan sosial, sama ada bersifat akademik
atau popular. Sebahagian daripada sumbangannya (artikel, esei dan kertas
kerja) boleh diakses online: http://ukm.academia.edu/wwwkitaukmmy
1
Ucaptama Seminar Wawasan 2020: Transformasi Malaysia, 19-20 Disember 2012

perkataan, iaitu, ‘Bangsa Malaysia.’ Versi ringkas ini telah


mengundang pelbagai masalah, bukan hanya bersifat semantik dan
politik tetapi bersifat epistemologi dan ontologi.
Sebelum Mahathir menganjurkan ‘bangsa idaman’ beliau, suatu
lagi konsep ‘bangsa idaman’, iaitu ‘Malaysian Malaysia’, telah
diperkenalkan oleh Malaysian Solidarity Council, suatu pakatan
beberapa parti politik pembangkang, sebagai cogan katanya.
Pakatan ini telah ditubuhkan pada tahun 1964 yang diketuai oleh
Lee Kuan Yew, ketika Singapura masih dalam Persekutuan
Malaysia, dengan objektifnya menentang kewujudan Artikel 153
dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang dianggap bersifat
racial discrimination, atau diskriminasi ras. Konsep Malaysian
Malaysia menganjurkan suatu bentuk bangsa idaman yang
berteraskan kesaksamaan biarpun di depan matanya terdapat jurang
lebar menonjol dari segi ketidaksaksamaan ekonomi antara etnik,
khususnya antara etnik Bumiputera dan bukan Bumiputera.
Ternyata ‘a united Malaysian nation’ anjuran Mahathir berbeza
dengan ‘Malaysian Malaysia’ yang dipromosi Lee Kuan Yew.
Mahathir dengan jelas menekankan elemen ‘united’ atau
‘bersepadu’ sebagai asas bangsa idamannya. Sedangkan Lee Kuan
Yew pula menekankan faktor ‘equality’ atau ‘kesaksamaan.’ Lim
Kit Siang pernah membuat interpretasi bahawa ‘Malaysian
Malaysia = Bangsa Malaysia’ yang ternyata tidak tepat dan
mengelirukan bila kita gandingkan kenyataan asal Mahathir yang
dalam Bahasa Inggeris ‘a united Malaysian nation’ dengan
ungkapan ‘Malaysian Malaysia’ Lee Kuan Yew. Keduanya,
memang berbeda dari sudut epistemologi dan ontologinya. ‘Unity in
diversity’ mendasari konsepsi bangsa idaman anjuran Mahathir.
‘Equality in diversity’ pula mendasari konsepsi bangsa idaman Lee
Kuan Yew. [Nota: Pada tahun 2010 lalu, Lee Kew Yuan pernah
menegaskan bahawa Singapura sebagai sebuah negara (state) tidak
perlukan sebuah bangsa (nation)].
Ada dua implikasi politik penting daripada keadaan ini. Pertama,
semenjak penubuhan Malaysia pada tahun 1963, wujud dua bentuk
‘bangsa idaman’ di Malaysia, satu anjuran Lee Kuan Yew dan satu
lagi anjuran Mahathir. Kedua, ini menekankan fakta bahawa yang
sudah wujud di Malaysia ialah sebuah ‘negara Malaysia’
(Malaysian state) dan belum lagi sebuah ‘bangsa Malaysia’
2
Wawasan 2020: Negara Teguh, Bangsa Terus Dibina

(Malaysian nation). Dalam kata lain, Malaysia adalah sebuah


negara yang sedang berusaha membina sebuah bangsa idamannya.
Proses pembinaan konsep bangsa idaman ini berlaku serentak dan
melibatkan pelbagai pihak yang berkepentingan.
Semenjak tahun 1991, pemerintah Malaysia telah mempromosi
secara besar-besaran konsep ‘bangsa idaman’ yang telah dianjurkan
oleh Mahathir, iaitu ‘sebuah bangsa Malaysia yang bersepadu.’
Untuk itu kerajaan telah berbelanja banyak wang berkempen di
seluruh negara dengan menggunakan pelbagai saluran media massa,
eletronik dan digital, melaksanakan pelbagai program bersifat top-
down daripada sekolah ke rumah.
Malah pelancaran buku Rancangan Malaysia Kedua 1971-1975
dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang mempunyai objektif
serampang dua mata, mempunyai matlamat jangka panjang
terakhirnya yang cukup jelas, iaitu untuk membina dan mencipta
‘perpaduan dan integrasi nasional.’ Dua puluh tahun kemudian,
pada tahun 1990, setelah tamat DEB, keinginan terhadap
‘perpaduan dan integrasi nasional itu’ terus menyala dan membakar
dalam benak pemimpin Malaysia kerana ianya belum menjadi
kenyataan dan terus diidamkan.
Kesinambungan cita-cita ini melalui konsep ‘a united Malaysian
nation’, atau ‘sebuah bangsa Malaysia yang bersepadu’, seperti
yang dinyatakan oleh Mahathir itu merupakan suatu pengukapan
baru sekali gus sebuah kenyataan pengukuhan bahawa matlamat
perpaduan dan integrasi nasional DEB itu masih belum tercapai.
Justru itu kita boleh menganggap bahawa konsep ‘a united
Malaysian nation’, atau ‘sebuah bangsa Malaysia yang bersepadu’,
merupakan suatu pakej baru bersifat ekonomi politik anjuran
Mahathir yang menjelaskan bentuk ‘bangsa idaman’ Malaysia yang
dianjurkan oleh kerajaan, biarpun Malaysia sebagai sebuah ‘negara
moden’ (modern state) sudah wujud kukuh.
Kira-kira 18 tahun kemudian, iaitu pada tahun 2010 atau 12
tahun sebelum 2020 menjelang, konsep ‘1Malaysia’ pula telah
diperkenalkan oleh Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia
keenam, bukan sebagai sebuah ideologi tetapi sebagai sebuah
wahana abstrak terbaru ke arah usaha untuk membaja, memupuk
dan membina ‘bangsa idaman’ yang telah dianjurkan oleh Mahathir
pada tahun 1991, iaitu ‘a united Malaysian nation’, atau ‘sebuah
3
Ucaptama Seminar Wawasan 2020: Transformasi Malaysia, 19-20 Disember 2012

bangsa Malaysia yang bersepadu’. Malah Najib sendiri menyatakan


dengan jelas bahawa konsep 1Malaysia beliau tersebut terus
mendukung dan adalah berpayung di bawah Wawasan 2020 yang
diperkenalkan oleh Mahathir.
Usaha Najib dan konsep 1Malaysia beliau ini secara langsung
memperakukan pendirian Mahathir pada tahun 1991, iaitu bahawa
Malaysia sebagai sebuah negara yang teguh masih memerlukan
sebuah bangsa yang sedang cuba dibina. Yang idamkan adalah
‘sebuah bangsa Malaysia yang bersepadu’ dan sumbangan Najib ke
arah itu ialah melalui konsep 1Malaysia beliau. Perlahan-lahan
konsep ini dijelmakan dalam bentuk konkrit melalui pelbagai
program praktikal, misalannya, Klinik 1Malaysia, Kedai 1Malaysia
dan Emel 1Malaysia.
Penjelmaan praktikal kepada usaha Najib ini tersimpul dalam
kefahaman dan pengaplikasian konsep ‘transformasi’ beliau sebagai
wahana 1Malaysia yang pada hematnya boleh menrealisasikan
pewujudan ‘sebuah bangsa Malaysia yang bersepadu’ pada tahun
2020. Pelan Tranformasi Kerajaan, atau GTP, dengan rangkaian
himpunan programnya, termasuk Model Ekonomi Baru, merupakan
langkah-langkap operasi yang hasilnya telah mula dirasakan dan
boleh dipantau serta diukur. Untuk tugasan ini satu badan khas telah
ditubuhkan Najib, iaitu Pemandu, dibawah jagaan khas seorang
Menteri tanpa portfolio.
Soalannya apakah dengan segala usaha terkini yang
dilaksanakan dengan beria-ianya oleh Najib Razak untuk mengisi
idaman Mahathir, iaitu mewujudkan ‘sebuah bangsa Malaysia yang
bersepadu’ pada tahun 2020, akan tertunai?
Jawapan kepada soalan ini boleh dianalisis dan dikupas jika kita
kembali ke tahun 1971, bermula dengan ‘buku merah’ Rancangan
Malaysia Kedua, 1971-1975, yang dilancarkan oleh Tun Razak,
yang terkandung di dalamnya DEB. Dalam perenggan pertama Kata
Pengantar buku tersebut, Tun Razak menyatakan dengan jelas
bahawa matlamat akhir DEB adalah untuk membina dan mencipta
‘perpaduan dan integrasi nasional’.
Semenjak itu hingga ke saat ini, cita-cita mencipta perpaduan
dan integrasi nasional ini telah diisytihar dan diuar-uarkan dalam
setiap kenyataan rasmi kerajaan, sama ada dalam bentuk ucapan

4
Wawasan 2020: Negara Teguh, Bangsa Terus Dibina

rasmi, atau tersirat dalam lirik lagu-lagu yang dinyanyikan semasa


majlis-majlis rasmi atau di sekolah-sekolah seluruh negara.
Dalam kata lain, untuk sekian lamanya kerajaan dan rakyat
Malaysia mengidamkan perpaduan. Ini berasaskan anggapan
bahawa perpaduan masih belum wujud sepenuhnya di Malaysia. Ini
bermakna kefahaman pemimpin dan rakyat Malaysia mengenai
wajah perpaduan bukan berasaskan realiti tetapi berlandaskan
sebuah harapan, sebuah idaman, malah sebuah impian berwajah
‘perpaduan’.
Yang lebih signifikan ialah biarpun perpaduan itu belum menjadi
suatu kenyataan, terutamanya selepas berlakunya konflik berdarah
pada 13 Mei 1969, masyarakat Malaysia umumnya semenjak itu
wujud dengan stabil dan aman. Saya pernah ungkapkan keadaan ini
sebagai ‘stable tension’, atau kestabilan yang tersirat dalamnya
ketegangan yang terpendam tetapi kadang-kadang diucapkan secara
terbuka oleh rakyat Malaysia tetapi tidak melalui tindakan ganas.
Namun, ditekankan disini bahawa masyarakat Malaysia terus
wujud tanpa konflik besar terbuka lagi ganas yang berterusan
seperti di Sri Lanka, Yugoslavia atau seperti yang terjadi di
Thailand baru-baru ini. Malaysia dan rakyatnya terus wujud dalam
suasana aman, tenteram dan sejahtera, meraih nikmat sebuah negara
yang diklasifikasi Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-
Bangsa Bersatu (UNDP) sebagai negara berpendapatan menengah.
Memang benar, sekali-sekala ketegangan itu menjelma dalam
wacana umum. Tetapi konflik terbuka bukan ciri masyarakat
Malaysia. Ia tidak dominan dan tidak mencorakkan kehidupan kita
di Malaysia. Yang dominan adalah suasana aman dan tenteram.
Apa yang lebih kerap berlaku adalah konflik bersifat lisan atau
bertikam lidah sesama sendiri. Ada ketikanya secara terbuka dan
kebanyakkan pada peringkat individu atau kelompok seperti sambil
minum teh tarik di kedai mamak, pada majlis kenduri kendara,
malah dalam internet dan blog. Kandungan bertikam lidah ini
berasaskan isu tertentu (issue-based) seperti soal pendapatan yang
tidak cukup, harga barang mahal, peluang pendidikan serta
pekerjaan terhad, dan mungkin juga pencapaian bola sepak harimau
Malaya, dan isu Melayu dalam UMNO-PAS-PKR-DAP bagi
kategori rakyat kelas menengah.

5
Ucaptama Seminar Wawasan 2020: Transformasi Malaysia, 19-20 Disember 2012

Sering kali kejadian bertikam lidah merupakan suatu bentuk


penyuaraan rasa tidak puas hati etnik (ethnic grievances). Namun
apabila kita halusi kebanyakan isu itu didapati bahawa apa yang
disuarakan oleh setiap etnik tidak banyak perbezaan, cuma
penyuaraannya kerap bersalut kata-kata yang menjelmakan
kepentingan etnik. Maka bunyinya etnik, sebenarnya isu berkenaan
bersifat isu sosial dan ekonomi yang lebih umum sifatnya.
Kebanyakan isu ini berkait dengan peluang mobiliti sosial,
menyentuh isu seperti tidak puas hati mengenai sistem pendidikan,
agihan peluang ekonomi dan pekerjaan, bukan hanya mengesankan
sesuatu etnik malah mempunyai kesan yang mendalam dan luas
terhadap semua kelas sosial dalam masyarakat.
Yang lebih kerap ditimbulkan oleh sesetengah pihak bukan lagi
soal mobiliti sosial, terutama rangkaian isu yang telah ditimbulkan
oleh golongan profesional kelas menengah muda bandar yang hidup
selesa dan mempunyai ruang sosial dan waktu. Mereka sering
‘memperjuangkan’ soal pemusnahan alam sekitar, hak asasi
manusia, masalah masyarakat sivil dan buku daftar pengundi yang
banyak kesalahan. Sebenarnya isu-isu ini mempunyai dimensi
ekonominya, kerana ia menjadi ‘komoditi politik’ yang
didagangkan sebagai sebahagian daripada aktiviti keusahawanan
dalam bidang pengiklanan, khususnya yang bersifat branding.
Yang lebih menarik adalah fakta bahawa penyuaraan isu
berkenaan berlaku dalam keadaan aman dan tenteram lagi sejahtera
di Malaysia. Bukan dengan keganasan-ala-Arab Spring yang
mengorbankan banyak nyawa kerana apa yang berlaku di Malaysia
adalah matang dan cukup demokratis dari segi bentuk dan suasana
yang mengizinkan bertikam lidah mengenai isu ini berlaku. Namun
kadang-kadang ada yang menyuarakannya dengan nada yang agak
keras dan kadang-kadang sarat dengan stereotaip dan prejudis etnik.
Kalau ini semua berlaku dalam keadaan aman, tenteram dan
sejahtera, bagaimanakah kita hendak menyifatkan keadaan ini?
Hendak dikatakan kita berpadu tidak berapa tepat kerana kita masih
idam-idamkan perpaduan. Kalau tidak perpaduan apakah pula kita
hendak kategorikan keadaan aman, tenteram dan sejahtera yang
bertahan cukup lama, iaitu selama 40 tahun?
Dalam kata lain, semenjak tahun 1971, masyarakat Malaysia
menikmati keamanan, kesejahteraan, kestabilan dan pembangunan
6
Wawasan 2020: Negara Teguh, Bangsa Terus Dibina

ekonomi yang pesat. Dalam masa yang sama para pemimpin


Malaysia terus menyatakan bahawa kita belum lagi menikmati
perpaduan. Wujud Wawasan 2020 dan 1Malaysia yang menjadi
wahana untuk membina dan mencapai perpaduan yang ilusif itu.
Oleh yang demikian, apakah sebenarnya yang telah dinikmati
oleh setiap lapisan rakyat Malaysia selama 40 tahun lepas? Ternyata
pengalaman kita itu tidak kita ungkapkan, tak ubah seperti si bisu
bermimpi ‘terasa ada terkata tidak’. Dalam kata lain, kita belum ada
label atau kata-kata untuk mengungkapkan atau menyimpulkan
pengalaman ini, suatu pengalaman yang pernah disebut-sebut
sebagai model atau contoh untuk dijadikan ikutan oleh sebilangan
negara-negara lain didunia.
Sebenarnya apa yang telah kita semua nikmati selama 40 tahun
ini belum lagi perpaduan tetapi ‘kesepaduan sosial’ (social
cohesion).
Apakah maksud kesepaduan sosial?
Kesepaduan sosial ialah suatu keadaan aman, stabil dan makmur
sejahtera yang wujud dalam sesebuah masyarakat, khususnya yang
berbilang etnik, kerana wujudnya kesepakatan sosial (social
bonding) yang kuat yang terbina untuk sekian lamanya berasaskan
setidak-tidaknya lima pra-syarat: 1. taraf kebendaan yang berkualiti,
seperti mempunyai indeks kualiti hidup yang sederhana ke tinggi; 2.
aturan sosial yang stabil, aman dan selamat; 3. interaktif aktif
berlandaskan jaringan dan pertukaran hubungan yang positif; 4.
wujudnya usaha positif ke arah penglibatan semua pihak dalam
kegiatan arus perdana; 5. akses kepada kemudahan yang boleh
menjamin dan mempertahan kualiti hidup dan mobiliti sosial.
Senario yang menggalakkan kesepaduan sosial bertahan boleh
dibayangkan seperti berikut: biarpun wujud perbezaan, kontradiksi,
contestation dan konflik dalam sesuatu masyarakat itu, jika para
anggotanya sanggup berunding dan bertolak ansur untuk
mewujudkan konsensus, tolak ansur, toleransi dalam semangat
akomodasi, malah bersungguh membina harmoni dan pelbagai
bentuk ikatan sosial (social alliance), kesepaduan sosial akan mekar
segar bugar terpamer dan sedia terperaga.
Dalam kata lain, kalau kita lihat kembali ke keadaan di
Malaysia, biarpun kita belum mencapai perpaduan yang diimpi dan
diidamkan namun kita sebenarnya sudah pun menjalin hubungan
7
Ucaptama Seminar Wawasan 2020: Transformasi Malaysia, 19-20 Disember 2012

kerjasama antara etnik dan kelompok, berkongsi aktiviti budaya dan


pinjam-meminjam unsur budaya masing-masing sebelum mencapai
kemerdekaan lagi, ititu untuk lebih daripada 60 tahun, sekali gus
menikmati pembangunan ekonomi dan kualiti hidup yang sederhana
ke tinggi, yang terbina teguh semenjak tahun 1970-an.
Bukan hanya dari segi politik, sosial dan budaya, jalinan
hubungan yang cukup rapat bahkan wujud dan terjelma dalam
putaran ekonomi dan pasaran yang menyebabkan kita saling
bergantungan dengan kuat melalui kegiatan ekonomi seharian, atau
dalam konteks putaran permintaan-tawaran. Sebagai contoh, si
pembekal mungkin pedagang kaum Cina, India dan Melayu. Pekerja
pula mungkin kaum India, Iban, Kadazan dan Cina juga.
Justeru, kesepaduan sosial di kalangan pelbagai etnik,
kepentingan ekonomi, politik dan sosial senantiasa terjalin dan
disulam oleh keperluan kehidupan seharian. Rakyat Malaysia tidak
akan mengorbankan kesepaduan sosial ini kerana semua pihak
mahu mengekalkan keadaan ‘menang-menang’ yang mereka
nikmati dan merasa selesa dalam dakapan suasana ini.
Memang kita juga mendengar laungan suara-suara sumbang dari
semasa ke semasa yang berbau perkauman dan sarat emosi,
stereotaip dan prejudis. Kejadian ini menyebabkan ia sering
mendebarkan dan memberi isyarat yang tidak tepat mengenai
keadaan hubungan kaum di Malaysia. Orang luar yang berlagak
prophet of doom melihat kejadian seperti ini sebagai tanda-tanda
bahawa negara dan masyarakat tidak stabil dan keganasan etnik
akan terjadi bila-bila waktu sahaja.
Ada juga pemerhati luar menggunakan kejadian ini sebagai kayu
ukur masa depan Malaysia. Mereka yang ekstrim menganggap
bahawa rusuhan etnik akan berlaku bila-bila masa. Salah faham ini
merebak luas sehingga mendebarkan pelabur asing. Bak kata
pepatah ‘sebab nila setitik, rosak susu sebelanga’. Pihak tidak
bertanggung jawab yang sering membangkitkan isu perkauman
inilah yang merosakkan imej baik Malaysia untuk kepentingan
politik domestik masing-masing yang jumud sifatnya. Ironisnya
mereka menyatakan ini semua dalam suasana selesa ekonomi dan
sosial di Malaysia yang mereka juga nikmati.
Justeru, banyak pihak di luar negara meragui bahawa kita
sebenarnya adalah dalam keadaan aman, tenteram dan sejahtera.
8
Wawasan 2020: Negara Teguh, Bangsa Terus Dibina

Persepsi negatif terhadap Malaysia oleh golongan kecil tetapi


berpengaruh ini, khususnya media massa antarabangsa, akan
bertambah keruh apabila ada antara pemimpin politik Malaysia
yang membuat tohmahan terhadap negara sendiri di luar negeri
demi hendak kepentingan peribadi. Ini dilakukan untuk memenangi
sokongan media massa antarabangsa dengan harapan meningkatkan
kerisauan di kalangan rakyat di Malaysia lalu menentang kerajaan.
Kalau strategi ini berjaya, maka beliau mengharapkan rakyat akan
mengangkat beliau dan kelompoknya menerajui pucuk pimpinan
Malaysia.
Ini taktik politik banyak pihak yang tidak berpuas hati dengan
pelbagai isu di Malaysia, khususnya pihak dari Malaysia yang
‘membasuh kain kotor’ Malaysia di luar negeri, yang kemudiannya
tersalur melalui Internet kembali ke Malaysia. Tidak dinafikan,
banyak isu belum dapat diselesaikan biar pun kerajaan mencuba
mencari pelbagai jalan penyelesaian, sama ada ianya isu lama
mahupun yang baru.
Soal rasuah sering jadi isu. Soal hak asasi manusia yang terabai
juga sering dibangkitkan. Soal kebebasan agama dan budaya serta
soal komuniti minoriti yang terpinggir pun menjadi perhatian. Soal
kemudahan infrastruktur di luar bandar turut dibangkitkan. Soal
DEB yang dianggap bersifat diskriminasi terhadap mereka yang
bukan Bumiputera juga sering ditimbulkan
Soal-soal ini dibesar-besarkan sehingga menenggelamkan fakta
terpenting mengenai masyarakat Malaysia, iaitu, wujudnya
kesepaduan sosial yang kukuh di kalangan rakyat yang cintakan
kestabilan dan keamanan dan bencikan keganasan.
Tidak dapat dinafikan, untuk melestarikan kesepaduan sosial kita
terpaksa berdepan pelbagai cabaran. Soal yang digembar-
gemburkan itu adalah merupakan sebahagian daripada cabaran
kepada kesepaduan sosial yang dinikmati dan untuk setiapnya perlu
dicari penyelesaian.
Cabaran terhadap kesepaduan sosial ini tersimpul dan terhimpun
dalam Indeks Kualiti Hidup (IKH) yang menjadi kayu pengukur
kepada pembangunan ekonomi, politik, sosial dan budaya di
Malaysia. Ada sebelas ciri IKH yang kita jadikan kayu pengukur,
iaitu, pendapatan dan agihannya, pekerjaan, pengangkutan dan
komunikasi, kesihatan, pendidikan, perumahan, alam sekitar,
9
Ucaptama Seminar Wawasan 2020: Transformasi Malaysia, 19-20 Disember 2012

kekeluargaan, pembabitan sosial, keselamatan awam dan budaya


serta aktiviti santai.
Setiap ciri ini mengandungi cabaran yang lebih mendalam.
Misalnya, dari segi pendapatan dan agihannya, di Malaysia masih
wujud kemiskinan tegar, biarpun kita telah berjaya
mengurangkannya hanya ke paras lima peratus dalam tempoh 30
tahun. Pelbagai projek untuk membanteras kemiskinan dirancang
dan dilaksanakan. Namun masih menghadapi masalah kebocoran,
iaitu kelompok sasaran masih tidak mendapat apa yang dijanjikan.
Mengurus dan menyelesaikan setiap cabaran ini adalah tugas
yang tak pernah selesai. Apabila selesai yang lama, yang baru akan
muncul. Suasana kesukaran ini rata-rata tidak menggoyahkan
semangat kesepaduan sosial rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia akan
terus bertikam lidah. Walaupun ‘perpaduan’ yang diidamkan belum
terjadi, namun jalinan erat ‘kesepaduan sosial’ yang merupakan
suatu proses, keadaan dan suasana positif di Malaysia akan
memastikan mereka tidak terjerumus ke kancah konflik.
Kelestarian kesepaduan sosial inilah yang perlu kita tatang
seperti menatang minyak yang penuh.
Seandainya pada tahun 2020 perpaduan dan integrasi nasional
yang diinginkan itu masih belum tercapai dan bangsa idaman, iaitu
‘a united Malaysian nation’, atau ‘sebuah bangsa Malaysia yang
bersepadu’ yang dinyatakan oleh Dr. Mahathir Mohamad dalam
Wawasan 2020 beliau, belum juga wujud, ini bukan suatu
kegagalan.
Yang pasti kesepaduan sosial yang kita nikmati selama 40 tahun
ini adalah pra-syarat atau tahap awal ke-arah membina bangsa
idaman tersebut. Ertinya, perpaduan dan integrasi nasional serta
bangsa idaman Malaysia masih ‘a work-in-progress’.
Maksudnya, kesepaduan sosial, atau social cohesion itu, tetap
merupakan suatu kejayaan yang telah dicapai oleh masyarakat dan
rakyat Malaysia, yang telah diterima oleh komuniti antarabangsa
dan yang tidak boleh diperlekehkan.
Biarpun ada golongan yang menganjurkan konsep ‘ketuanan
rakyat’ di Malaysia, ternyata konsep ini tumbuh segar bugar
daripada suasana dan keadaan kesepaduan sosial yang wujud di
Malaysia. Konsep ini tidak muncul daripada suatu keadaan kacau
bilau dan keganasan-ala-Arab Spring yang membakar hangus rejim
10
Wawasan 2020: Negara Teguh, Bangsa Terus Dibina

politik kuku besi di Afrika Utara yang membiarkan jutaan rakyatnya


lebih daripada setengah abad terperangkap dalam kemiskinan tegar
dan pengangguran yang meluas tanpa jalan keluar ekonomi yang
jelas, justeru rakyatnya telah memilih jalan politik sebagai jalan
keluar dengan bantuan daripada beberapa negara Barat.
Implikasi teoritikal terhadap bidang sains sosial daripada
pengenalan Wawasan 2020 adalah sangat penting. Kalau dulu
konsep nation-state (negara-bangsa) yang digunakan dalam bidang
sains politik atau analisis bersifat politik diterima tanpa
dipersoalkan. Kini kedua konsep ini, iaitu ‘negara dan bangsa’,
boleh dipisahkan kerana realiti empirikal membuktikan bahawa ada
negara wujud tanpa bangsa, seperti Malaysia, ada bangsa wujud
tanpa negara, seperti Bangsa Moro, dan ada negara-bangsa, seperti
di Jepun.
Oleh kerana adanya negara yang tanpa bangsa, seperti Malaysia,
maka konsep bangsa itu boleh dibayangkan dalam pelbagai bentuk,
sesuai dengan ‘bangsa idaman’ setiap kelompok atau kumpulan
etnik. Contohnya, ‘Malaysian Malaysia’ yang dianjurkan oleh Lee
Kuan Yew dan masih didukung kini oleh DAP di Malaysia, dan
konsep ‘a united Malaysian nation’ anjuran Mahathir adalah contoh
‘bangsa idaman’
Wawasan 2020, tercapai tidaknya pada tahun 2020, akan tetap
relevan untuk Malaysia selepas tahun 2020, sebagai sasaran dan
cita-cita kolektif yang ingin dicapai.

Rujukan

Abeyratne, Sirimal. 2008. Economic Development and Political Conflict:


Comparative Study of Sri Lanka and Malaysia. South Asia Economic
Journal 9(2): 393-417.
Jupp, James (pnyt.). 2007. Social Cohesion in Australia. Melbourne &
Cambridge: Cambridge University Press.
Parkinson, Michael et al. 2006. The State of the English Cities. Jil. 1 & 2.
London: The Office of the Deputy Minister.
Shamsul A.B. & Anis Y. Yusoff. 2011. Managing Peace in Malaysia: A Case
Study. Siri Kertas Kajian Etnik UKM Bil. 18 (Mei). Bangi: Institut Kajian
Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia.

11
Ucaptama Seminar Wawasan 2020: Transformasi Malaysia, 19-20 Disember 2012

Shamsul A.B. 2010. Unity in Diversity: The Malaysian Experience. Siri


Kertas Kajian Etnik UKM Bil. 13 (Oktober). Bangi: Institut Kajian Etnik
(KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia.
Shamsul A.B. 2011. Ilmu Kolonial dalam Pembentukan Sejarah Intelektual
Malaysia: Sebuah Pandangan. Siri Kertas Kajian Etnik UKM Bil. 17
(Januari). Bangi: Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Shamsul A.B. 2011. Kesepaduan dalam Kepelbagian: Perpaduan di
Malaysia sebagai Work-in-Progress. Syarahan Profesor Ulung, 20
Oktober. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.


Penyelenggaraan dan Penerbitan Koleksi


PROF. DR. NOOR INAYAH YAAKUB (UKM)


Ketua, Seminar Wawasan 2020: Transformasi Malaysia
PROF. DR WAN KAMAL MUJANI (UKM)
EN. EZAD AZRAAI JAMSARI (UKM)

12

View publication stats

You might also like