You are on page 1of 8

TARIAN MELAYU 2

1.0 PENDAHULUAN

Tarian adalah adalah suatu persembahan dengan gaya ekspresi diri dan komunikasi yang universal.
Ia ditakrifkan sebagai seni gerak. Seni gerak mengandungi segala gerakan tubuh badan yang
mempunyai unsur-unsur keindahan . Seni ini dapat dilihat pada gerakan tangan, kaki, badan, mata
dan anggota badan yang lain.

Seorang ahli sejarah tarian dan muzik Jerman bernama C. Sachs telah memberikan definisi seni tari
sebagai gerakan yang berirama. Seni tari adalah pengucapan jiwa manusia melalui gerak-geri
berirama yang indah. Dalam kebudayaan melayu terdapat berbagai-bagai jenis tarian , sama ada
tarian asli ataupun tarian yang telah dipengaruhi oleh unsur-unsur moden. Menurut Jaafar Mampak,
tarian melayu asliterbahagi kepada dua jenis. Pertama, tarian yang bercorak lemah lembut seperti
tarianMak Inang dan Siti Payung. Kedua, tarian rancak yang merupakan hasil daripada pengaruh
tarian Portugis seperti tarian Ronggeng, Serampang Laut dan Singapura Dua.

Seni tari boleh dikategorikan dalam berbagai-bagai jenis. Antara pembahagian yang boleh dibuat
terhadap seni tari melayu adalah tarian-tarian yang bercorak seni tari istana yang dipersembahkan
pada waktu perkahwinan, pertabalan, istiadat menyembah dan sebagainya. Tarian-tarian ini
termasuklah tarian Siti Payung, Mak Inang, Asyik, Gamelan dan sebagainya. Jenis kedua ialah tarian-
tarian yang memperlihatkan wujudnya pengaruh Arab dan Parsi seperti tarianRodat, Hadrah dan
sebagainya. Ketiga ialah Tarian rakyat seperti Dondang Sayang, Ronggeng, Joget dan sebagainya.
Keempat ialah tarian yang khusus ditarikan oleh kaum lelaki sahaja seperti tarian Kuda Kepang
,tarian Labi-labi, tarian Berdayung dan sebagainya.

2.0 ISI

2.1 PENGENALAN TARIAN MELAYU

Definisi tarian dari segi bahasa ialah gerakan badan serta tangan dan kaki berirama mengikut rentak
muzik (Kamus Dewan, Edisi Ketiga), manakala tafsiran ahli sejarah pula mendefinisikan seni tari
sebagai gerakan yang berirama (C.Sachs). Tarian boleh diertikan sebagai seni lakon dibawah unsur
kesenian dan dilihat dibawah aspek kebudayaan. Ianya dapat dizahirkan melalui sebarang gerakan
yang dapat melambangkan kebudayaan sesuatu masyarakat dan gerakan yang dilakukan pula
menggambarkan perasaan jiwa manusia.

Seni tari adalah gerak indah yang mengandungi dua unsur penting iaitu gerak dan irama. Gerak
merupakan gejala primer dan juga bentuk spontan daripada kehendak yang terdapat dalam jiwa
sementara irama adalah bunyi teratur yang mengiringi gerak tersebut. Gerak tarian biasanya
diinspirasikandaripada pengalaman hidup seharian. Oleh itu, gerak ini memiliki muatan emosi yang
tinggi. Selain gerak dan bunyi, sesebuah tarian kadang-kadang diiringi pula dengan nyanyian yang
sesuai dengan makna dan tujuan tarian itu.Tarian yang berkembang dalam kebudayaan Melayu
mengandungi aspek gerak, irama dan nyanyian ini biasanya dipersembahkan dalam upacara adat,
upacara ritual, menyambut tetamu penting atau sekadar mempereratkan pergaulan dan
meramaikan peristiwa penting seperti majlis perkahwinan.

Tarian adalah pergerakan tubuh badan secara beriramayang dilakukan di tempat dan waktu tertentu
untuk keperluan pergaulan, mengungkapkan perasaan, maksud, dan pemikiran. Muzik atau bunyi-
bunyian yang mengiring tarian memperkuat maksud yang ingin disampaikan oleh penari atau
koreografer tarian itu. Gerakan tarian berbeza dari gerakan sehari-hari seperti berlari, berjalan atau
bersenam kerana tarian biasanya bertujuan menyampaikan atau menyuarakan sesuatu melalui
gerak tubuh yang disulami emosi penarinya. Tarian terbahagi kepada beberapa genre seperti tarian
tradisional rakyat, kreasi baru, moden, kontemporari dan satu ketika dahulu terdapat tarian yang
dikhususkan untuk golongan istana seperti joget gamelan.

Tarian juga turut dipersembahkan dalam bentuk penceritaan yang disebut dramatari.Tarian melayu
melambangkan adat resam dan budaya masyarakat melayu. Ia memberikan gambaran sebenar
mengenai kehidupan semulajadi dan cara hidup mereka. Perkara yang paling unik tentang seni tarian
oleh masyarakat melayu adalah setiap negeri mempunyai hasil tarian yang beridentitikan negeri
masing-masing.

2.2 BAHAGIAN DALAM SETIAP TARIAN MELAYU

TARIAN JOGET

Tarian Joget merupakan sejenis tarian Melayu tradisional. Tarian Joget sangat digemari oleh
masyarakat berbilang kaum di Malaysia kerana ia mudah dipraktikkan dan dipelajari. Tarian ini biasa
dipersempahkan ketika upacara Mandi Safar.[1]Suatu ketika dahulu di Negeri Melaka, tarian Joget
Lambak begitu terkenal. Malah Joget Lambak juga menjadi acara bagi memeriahkan majlis-majlis
perkahwinan dan keramaian terutamanya di Negeri Melaka.

Tarian Joget dipercayai berasal daripada tarian Kaum Portugis iaitu Branyo. Ketika itu Joget diiringi
lagu-lagu seperti Jingkling Nona tetapi sekarang banyak lagu-lagu dihasilkan seperti Joget Serampang
Laut, Joget Rentak 106, Joget Johore Sport Club, Joget Pucuk Pisang dan lain-lain lagi. Joget juga
dikenali sebagai ronggeng yang mengambil nama daripada perkataan “wrong gang” kerana ditarikan
secara berpasangan lelaki dan wanita.

Dalam tarian joget, gerak geri kaki lebih penting daripada gerakan tangan. Tempo tarian joget yang
sederhana ialah langkah 2/4 dan langkah 3/8 untuk pergerakan yang pantas. Tarian Joget ditarikan
dalam satu kumpulan pergaulan yang terdiri orang tua, muda, lelaki dan wanita secara berpasangan.
Orang yang sedang menari dikatakan berjoget atau bertandak sementara pengiring tarian dikatakan
pencak joget.

Dalam pesta-pesta keramaian, penari lelaki berjoget akan mengembing atau mempelawa
(menjemput) penari wanita agar berjoget dengannya tetapi dalam persembahan joget di atas pentas
terdapat 3 atau 4 pasangan penari joget dalam satu-satu persembahan.

Pakaian penari joget lelaki ialah sepasang baju Melayu lengkap dengan songkok dan samping.
Sementara pakaian wanita ialah kebaya labuh serta sanggul atau bunga di atas kepalanya. Warna-
warna pakaian lelaki dan wanita biasanya seragam untuk menimbulkan keserasian dan kesenian
tarian joget.

TARIAN INANG

Inang memberi pengertian sebagai pengasuh. Tarian Inang meberi gambaran bagaimana lembut dan
sopan santunnya seorang wanita pengasuh. Penari lelaki merupakan pasangan untuk
menggambarkan keserasian dalam kehidupan keluarga atau masyarakat.

Tempo pergerakan taria inang yang sederhana ialah 2/4 diselangi dengan paluan gong. Inang juga
boleh ditarikan dengan pantas iaitu 4/4 berdasarkan irama masri. Lengok Tari Inang yang biasa
ditarikan ialah Inang Selendang, Ayam didik, Tari Payung, Tari Sapu Tangan, Tari Lilin dan lain-lain
bergantung kepada peralatan yng diragakan dalam tarian tersebut.

Tarian Inang ditarikan secara berpasangan oleh penari lelaki dan wanita. Penari wanita memakai
selndang dan berbaju kebaya dengan cucuk sanggul sementara lelaki memakai sepasang baju
Melayu lengkap bersongkok dan bersamping. Pergerakan tariannya banyak tertumpu kepada
bahagian tangan yang diangkat selaras bahu baik oleh lelaki atau wanita.

Tarian Inang merupakan versi moden bagi tarian tradisional rakyat iaitu Tarian Mak Inang. Ia sering
dipersembahkan di majlis-majlis sosial. Tarian ini ditarikan mengikut laju tempo rebana, biola dan
gendang. Semasa menari, para penari melambaikan sapu tangan yang berwarna-warni. Tarian versi
lama iaitu Tarian Mak Inang. Tarian Mak Inang dicipta semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Tarian ini amat terkenal pada masa dahulu sebagaimana ianya terkenal pada hari ini.

Tajuk lagu Mak Inang yang mengiringi tarian ini telah dititahkan ciptaannya oleh Sultan Mahmud
Shah yang sangat gemarkan kesenian. Arahan ini telah dikeluarkan oleh Sultan kepada ketua inang
atau ketua dayang untuk diajar kepada para dayang bagi dipersembahkan kepada Sultan semasa
majlis keramaian.Lagu dan tarian ini sungguh mempersonakan dan mempunyai kualiti persembahan
istana. Tarian ini juga dipanggil sebagai Tarian Si Kembang Cina. Kini tarian Mak Inang yang juga
dikenali sebagai Tarian Inang (versi moden tarian Mak Inang) dipersembahkan pada majlis-majlis
keramaian dan perkahwinan

TARIAN ZAPIN

Tarian Zapin (Jawi:‫ )زافين‬merupakan sejenis tarian rakyat Melayu tradisional. Tarian ini diilhamkan
oleh peranakan Arab dan dikatakan berasal dari Yaman. Tarian zapin telah menular luas di kalangan
penggemar seni tari di Nusantara iaitu di Semenjung Tanah Melayu, Borneo dan gugusan pulau yang
sebanding yang mana bergiat aktif dari dulu hingga kini seperti di Malaysia, Brunei, Singapura dan
Indonesia. Zapin telah mengalami pengubahsuaian dari segi bentuk dan ragamnya yang ternyata
lebih tradisional sifatnya. Dengan itu tarian Zapin biasanya mempunyai pecahan tersendiri menurut
tempat ia ditarikan, antaranya adalah:

1. Tarian Zapin Arab

2. Tarian Zapin Johor

3. Tarian Zapin Lenga

4. Tarian Zapin Pekan

5. Tarian Zapin Tenglu

Tarian Zapin mementingkan pergerakan berkumpulan dan bukannya usaha individu. Antara
peralatan muzik yang mengiringi tarian Zapin adalah gambus, rebana, gendang, rebab dan marakas.
Biola tidak tergolong sebagai sejenis alat muzik tarian Zapin namun terdapat anggapan salah dalam
kalangan rakyat. Ini disebabkan muzik yang dihasilkan rebab mempunyai persamaan dengan
gesekan biola.

TARIAN KUDA KEPANG

Tarian Kuda Kepang merupakan sejenis tarian rakyat Melayu traditional. Tarian ini ialah tarian
warisan budaya Jawa dengan pengaruh Islam. Ciri Jawa itu jelas pada pakaian penari-penari dan
unsur Islam jelas pada jalan cerita itu semasa ditarikan iaitu mengisahkan peperangan Rasulullah dan
para sahabat. Dikatakan bahawa tarian ini diperkenalkan oleh pendakwah Islam sebagai cara
menarik penduduk setempat agar datang beramai-ramai menyaksikan persembahan mereka.
Pendakwah akan menyampaikan dakwah mereka sebelum atau selepas persembahan.

Tarian Kuda kepang amat digemari oleh penduduk Johor, terutamanya dari keturunan Jawa. Kuda
kepang ini biasanya dibuat dari anyaman yang dibentuk seperti seekor kuda tanpa kaki. Ia diperbuat
daripada buluh yang dianyam atau kulit binatang yang diwarnakan untuk menjadi lebih menarik.

Lazimnya terdapat 10 hingga 15 orang penari bagi setiap kumpulan penari kuda kepang yang
biasanya akan mempunyai seorang ketua. Pada peringkat awalnya, semua gerak geri penari adalah
atas arahan dayang yang menggunakan tali untuk mengawal permainan. Tarian ini biasanya
dipertunjukkan di majlis-majlis keramaian untuk memeriahkan lagi suasana seperti sewaktu
menyambut orang-orang kenamaan, meraikan majlis perkahwinan dan di hari-hari perayaan. Pada
masa dahulu terdapat banyak pantang larang bagi mereka yang menonton persembahan kuda
kepang seperti tidak mencaci penarinya atau akan menimpa musibah.

Tarian kuda kepang tradisi dikatakan memiliki banyak jampi serapah, dan pemain yang
menarikannya boleh menjadi lupa. Mata penari yang berada dalam keadaan ini berkilauan, tidak
boleh bercakap, manakala pergerakan dan kelakuan mereka menyerupai kuda. Hakikatnya, situasi
seseorang penari itu bergantung kepada kekuatan roh juga niat atau azam diri. Faktor lain ialah
makhluk yang menyerap dalam tubuh yang dipanggil atau diseru melalui rangkaian jampi mantera
yang dituturkan oleh pawang yang mengetuai kumpulan, perasapan kemenyan, sajian yang
dihidangkan, juga bunyi gendang dan gong yang dipalu. Mereka yang dirasuk dikatakan mampu
melakukan perkara-perkara merbahaya seperti memakan kaca atau juga mengupas kelapa dengan
gigi. Disebabkan itu, tarian kuda kepang yang masih mengamalkan jampi serapah difatwakan sebagai
bercanggah dengan aqidah, syariah dan akhlak Islamiah.

Terdapat berbagai pendapat mengenai asal usul tarian ini. Ada pendapat yang mengaitkan asal
usulnya dengan Wali Songo yang hidup di Tanah Jawa pada abad ke-15. Dalam usaha
mengembangkan Islam di kawasan pedalaman di Jawa, Wali Songo menghadapi kesulitan untuk
mendekati orang-orang di sana. Beliau mendapat idea untuk menari-nari sambil menunggang kuda.
Setelah waktu berlalu, kuda-kuda itu ditukar dengan kulit binatang atau buluh bagi menggantikan
kuda sebenar. Ada pula yang berpendapat asal usul tarian ini ada kaitan dengan Saidina Ali. Untuk
meniru gerak langkah bala tentera Saidina Ali maka lahirlah tarian kuda kepang.

Persembahan kuda kepang ini biasanya dipersembahkan bersama-sama persembahan tarian


Barongan dengan tradisi mempersembahkan tarian Barongan selepas tarian Kuda Kepang
kemungkinannya merupakan bukti kepentingan tarian Kuda Kepang dan Barongan dalam
penyebaran syiar Islam ketika itu.

TARIAN ASYIK

Tarian Asyik merupakan sejenis tarian Melayu klasik dari daerah - daerah di Kelantan yang ditarikan
di istana raja - raja Kelantan dan Patani. Asyik bererti kekasih, oleh itu tarian ini bersesuaian dengan
gerak - geri bersifat lemah lembut dan penuh dengan ketertiban. Tarian ini dimulai dengan sepuluh
orang penari masuk ke dewan tarian terlebih dahulu , lalu duduk bersimpuh dengan tertibnya.
Kemudian tampillah Puteri Asyik dan mereka pun mula menari.Tarian asyik ini ditarikan dalam
upacara perkahwinan, iaitu malam berinai dan malam berinai besar di Istana.
Dari segi sejarah (Hikayat Patani), Raja Kuning iaitu Raja Perempuan yang memerintah Patani dalam
tahun 1644 ada menyimpan 12 orang penari istana yang menyanyi dan menari dipanggil Asyik.
Tarian Asyik mempunyai rentak perlahan dan gemalai, kerana ia ditarikan dihadapan raja dan
permaisuri. Penari asalnya dalam pakaian berkemban, dengan tali pinggang dan mahkota kecil.
Bahagian utama tarian Asyik terdiri dari duduk bersimpuh dengan gerakan membayangkan haiwan
dan persekitarannya; alunan ombak laut, burung melayang, ikan berenang, gajah berarak, dan
sebagainya. Sesetengah pergerakan menyerupai tarian pementasan Mak Yong. Tarian Asyik biasanya
ditarikan oleh inang remaja di istana.

TARIAN CINTA SAYANG

Tarian Cinta Sayang berasal dari satu tarian asli yang bernama "Zikir Rahmat". Tarian ini terkenal di
negeri Kedah. Lazimnya tarian ini ditarikan oleh nelayan-nelayan di utara Malaysia. Cinta Sayang
menggambarkan suasana dalam mana keluarga-keluarga nelayan yang mengucapkan selamat
belayar sambil berdoa untuk keselamatan nelayan-nelayan semoga menperolehi rezeki yang banyak.
Nelayan-nelayan itu pula berdoa agar isteri mereka selamat dari bahaya semasa peninggalan
mereka. Kini, tarian cinta sayang ditarikan sebagai satu tarian untuk bersuka ria dan ditarikan secara
berpasangan.

2.3 KEBUDAYAAN MALAYSIA

Budaya atau kebudayaan berasal daripada bahasa Sansekerta, iaitu buddhayah yang berasal
daripada bentuk jamak dari buddhi (budi atau akal). Pengertian ini boleh diertikan sebagai hal-hal
yang berkaitan dengan budi dan akal manusia. Dalam bahasa Inggeris, kebudayaan disebut culture,
yang berasal daripada perkataan Latin ‘colere’, iaitu bermaksud mengolah atau mengerjakan.
Pengertian ini bertolak daripada tradisi pekerjaan utama manusia yang berbentuk mengolah tanah
atau bertani (kerja-kerja pertanian).

Budaya dalam pengertian yang lebih luas adalah pancaran daripada budi dan daya sesebuah
masyarakat. Hal ini merujuk kepada keseluruhan apa-apa yang difikir, dirasa dan direnung diamalkan
dalam bentuk daya menghasilkan kehidupan. Budaya adalah cara hidup sesuatu bangsa atau umat.
Budaya tidak lagi dilihat sebagai pancaran ilmu dan pemikiran yang tinggi dan murni dari sesuatu
bangsa untuk mengatur kehidupan berasaskan peradaban.

Kebudayaan sangat erat hubungannya dengan masyarakat. Melville J. Herskovits dan Bronislaw
Malinowski mengemukakan bahawa segala sesuatu yang terdapat dalam masyarakat ditentukan
oleh kebudayaan yang dimiliki oleh masyarakat itu sendiri. Istilah tepat untuk pendapat itu adalah
Cultural-Determinism. Herskovits memandang kebudayaan sebagai sesuatu yang turun temurun dari
satu generasi ke generasi yang lain, yang kemudian disebut sebagai superorganic. Menurut Andreas
Eppink, kebudayaan mengandungi keseluruhan pengertian, nilai, norma, ilmu pengetahuan serta
keseluruhan struktur-struktur sosial, religious (keagaman), dan lain-lain.

Menurut Edward B. Tylor, kebudayaan merupakan keseluruhan yang kompleks, yang di dalamnya
terkandung pengetahuan intelektual, kepercayaan (agama), kesenian, moral, hukum, adat istiadat,
dan kemampuan-kemampuan lain yang berada di dalam diri seseorang sebagai anggota masyarakat
yang mengamalkan kebudayaan sebagai sarana hasil karya, rasa, dan cipta masyarakat.

Daripada berbagai definisi tersebut, dapat diperoleh pengertian mengenai kebudayaan yang akan
mempengaruhi tingkat pengetahuan dan meliputi sistem idea atau gagasan yang terdapat dalam
pikiran manusia, sehingga dalam kehidupan sehari-hari, kebudayaan itu bersifat abstrak. Sedangkan
perwujudan kebudayaan adalah benda-benda yang diciptakan oleh manusia sebagai makhluk yang
berbudaya, berupa perilaku dan benda-benda yang bersifat nyata, misalnya pola-pola perilaku,
bahasa, peralatan hidup, organisasi sosial, religi, seni, dan lain-lain, yang kesemuanya ditujukan
untuk membantu manusia dalam melangsungkan kehidupan bermasyarakat Menurut
Koentjoroningrat (1986), kebudayaan dibagi ke dalam tiga sistem, pertama sistem budaya yang lazim
disebut adat-istiadat, kedua sistem sosial di mana merupakan suatu rangkaian tindakan yang berpola
dari manusia. Ketiga, sistem teknologi sebagai modal peralatan manusia untuk menyambung
keterbatasan jasmaniahnya.

Berdasarkan konteks budaya, ragam kesenian terjadi disebabkan adanya sejarah dari zaman ke
zaman. Jenis-jenis kesenian tertentu mempunyai kelompok pendukung yang memiliki fungsi
berbeza. Adanya perubahan fungsi dapat menimbulkan perubahan yang hasil-hasil seninya
disebabkan oleh dinamika masyarakat, kreativitas, dan pola tingkah laku dalam konteks
kemasyarakatan.

Shamsudin Othman (2008) menjelaskan bahawa Kebudayaan Malaysia adalah semua aturan akal
budi Melayu yang menjadi teras dalam seluruh kehidupan masyarakat hingga sebagian besar rakyat
Malaysia dapat mengidentifikasikan diri dan merasa bangga dengan karya yang diciptanya.
Kebudayaan Malaysia adalah satu kesepakatan majmuk yang terdiri daripada pelbagai kebudayaan
dan berkembang menurut tuntutan sejarahnya sendiri. Pengalaman serta kemampuan kepelbagaian
ini mampu memberikan jawapan terhadap keaslian bentuk kesenian dan kebudayaan tersebut.

Masyarakat di Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Setiap kaum di Malaysia
mempunyai budaya yang unik dan warisan budaya tersendiri. Contohnya terdapat perbezaan antara
tarian, muzik, bahasa dan dialek yang digunakan oleh pelbagai kaum. Seni tari merupakan
sebahagian daripada budaya kita. Dalam masyarakat tradisional, tarian dipersembahkan semasa
majlis keramaian. Budaya ini wujud sehingga ke hari ini. Walaubagaimanapun, terdapat tarian
tradisional yang diubah suai mengikut perkembangan semasa. Tarian biasanya diiringi dengan muzik.
Alat-alat muzik terdapat dalam pelbagai jenis dan berbeza mengikut kaum.

Keunikan budaya Malaysia juga dapat diketahui melalui pelbagai bahasa dan dialek. Bahasa
merupakan satu cara berkomunikasi. Terdapat pelbagai bahasa di Negara kita seperti Bahasa
Melayu, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil. Dialek pula wujud apabila sekelompok manusia mengubah
suai bahasa mengikut budaya tempatan. Misalnya terdapat pelbagai dialek dalam Bahasa Melayu
seperti dialek Kelantan, Kedah dan dialek Negeri Sembilan. Dialek yang ada dalam masyarakt Cina
seperti Kantonis, Hokkien, Hakka, Teochew dan Foochow. Kaum India menggunakan bahasa Tamil,
Malayalam dan Telegu. Walaupun budaya masyarakat kita berbeza, namun kita masih boleh hidup
dalam keadaan harmoni. Negara kita menjadi teladan kepada Negara lain yang mempunyai
masyarakat majmuk.

2.4 KEKUATAN SEORANG PENARI

Bagi seorang penari, kekuatan tubuh sangat penting terutama pada bahagian-bahagian tubuh
tertentu yang sering melakukan gerakan. Kekuatan utama yang perlu diutamakan ialah segmen
kedua kaki, dimana kedua kaki inilah yang menjadi sokongan untuk seluruh badan sama ada dalam
keadaan diam atau bergerak. Kekuatan kaki menjadi pusat jika dibandingkan dengan bahagian tubuh
lain kerana perlu menjadi penyokong sekiranya tubuh badan bergerak.
Dalam konteks gerak tari, gerak yang dilakukan cenderung tidak sama dengan gerakan seharian.
Keadaan ini membuatkan adanya latihan yang perlu dilakukan sebelum seseorang itu menari
sekadar untuk menyedari bahawa gerakan dalam tarian bukan gerakan naluriah tetapi merupakan
media untuk mengungkapkan perasaan, maka dari situ lahirlah stylisasi yang cenderung akibat dari
gerakan seharian.

Kekuatan adalah kemampuan otot-otot untuk mengatasi sesuatu beban atau tahanan dalam
menjalankan aktiviti. Latihan kekuatan harus dilatih paling awal sebelum pengembangan unsur-
unsur yang lain. Cara meningkatkan kekuatan adalah dengan melakukan latihan dengan tahanan.
Latihan tahanan dapat dilakukan dengan berjalan, menahan, mengangkat beban, mendorong atau
menahan sesuatu tahanan atau beban. Dalam meningkatkan latihat kekuatan, kita harus ingat akan
prinsip peningkatan atau penahanan beban secara bertahap atau berperingkat.

Selain itu, kalenturan juga kekuatan seorang penari. Kelenturan adalah kemampuan tubuh
seseorang untuk melakukan gerakan dengan amplitud gerakan yang luas. Usaha gerakan-gerakan
tersebut dihasilkan atas kamampuan kelenturan tubuh atau persendian-persendian. Bentuk
latihannya ditujukan pada penguluran atau perenggangan otot, tendo dan ligamen serta
memperlebar gerakan-gerakan pada persendian dengan jalan mengayunkan seluas mungkin.
Beberapa keuntungan apabila seorang penari memiliki kelenturan yang baik iaitu cepat menguasai
teknik sesuatu gerakan, tidak mudah cedera, gerakan-gerakan seluruh segmen tubuh akan dapat
dilaksanakan dengan mudah sehingga tidak mudah letih dan membantu daya tahanan, kecepatan
dan kelincahan.

Disamping itu, daya tahanan juga kekuatan seorang penari. Daya tahanan adalah kemampuan
bertahan untuk melawan keletihan yang timbul semasa melakukan aktiviti. Berdasarkan unsur daya
tahanan ini, seorang penari harus selalu dijaga terutama ketika sedang menari lebih-lebih lagi tarian
yang mempunyai durasi yang panjang. Ini merupakan daya tahanan secara umum, ciri latihannya
adalah menuju perkembangan kemampuan jantung, peredaran darah, pernafasan, relaxasi otot.
Kaedah latihan yang digunakan adalah latihan interval dengan batas waktu latihan yang cukup lama
secara terus menerus.

Stamina merupakan salah satu bentuk daya tahanan iaitu daya tahan lamanya organisme tubuh
untuk melawan keletihan yang timbul akibat latihan dengan menggunakan tenaga yang efektif
dalam waktu tertentu. Stamina menentukan prestasi penari karana mempunyai nilai yang lebih
tinggi daripada daya tahan. Daya tahan yang baik belum tentu stamina baik tetapi stamina yang baik
bermaksud seseorang itu mempunyai daya tahan yang baik.

3.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya terdapat banyak lagi jenis-jenis tarian masyarakat di Malaysia. Semua jenis
tarian mempunyai sejarah dan tujuan yang tersendiri. Sebagai rakyat Malaysia kita hendaklah
mengenali budaya setiap masyarakat yang ada di negara kita. Sebagai contoh mengetahui serba
sedikit mengenai budaya tarian dan juga budaya-budaya lain masyarakat di Malaysia. Oleh itu,
secara tidak langsung kita dapat menyokong saranan Perdana Menteri tentang Satu Malaysia.

Dasar Kebudayaan Kebangsaan bermatlamat untuk mewujudkan satu masyarakat berbilang kaum
yang bersatu-padu. Objektif Dasar KebudayaanKebangsaan ialah Mengukuhkan perpaduan bangsa
dan negara melalui kebudayaan,Memupuk dan memelihara keperibadian kebangsaan yang tumbuh
daripada Kebudayaan Kebangsaan, dan Memperkayakan dan mempertingkatkan kualiti kehidupan
kemanusiaan dan kerohanian yang seimbang dengan pembangunan sosioekonomi. Usaha ini harus
dipuji memandangkan semangat gigih pasukan dalam mengangkat tarian warisan ini merupakan
salah satu daripada tarian yang telah diiktiraf sebagai warisan kebangsaan.

4.0 RUJUKAN

Ahmad, N. A. (2009, Mac 27). Warisan tarian Melayu. Didapatkan Oktober 13, 2014, daripada
Pengenalan: http://warisantarianmelayu.blogspot.com/

Ain, F. (2010, Oktober 6). Tarian-tarian di Malaysia. Didapatkan Oktober 13, 2014, daripada Jenis
Tarian di Malaysia: http://tarian-tariandimalaysia.blogspot.com/

Negara, J. W. (2014, Januari 15). Tarian. Didapatkan Oktober 13, 2014, daripada Tarian:
http://www.heritage.gov.my/index.php/warisan-tidak-ketara/seni-
persembahan/pendokumentasian-mek-mulung

Rushdan, I. (2013, May 24). Tarian Melayu. Didapatkan Oktober 13, 2014, daripada Tarian Melayu
Tradisional: http://www.slideshare.net/nazraira/tarian-tradisional-melayu

Sivik, C. (2012, Desember 12). Cikgu sivik 9192. Didapatkan Oktober 13, 2014, daripada Tema 4 :
Kenali Budaya Malaysia: http://cikgusivik9192.wordpress.com/nota/tema-4-kenali-budaya-malaysia/

Sudin, R. C. (2011, Desember 8). Tarian Inang. Didapatkan Oktober 13, 2014, daripada Tarian Inang:
http://ana09muzik.blogspot.com/

Tradisi, K. K. (2013, September 25). Anjung Tradisi. Didapatkan Oktober 13, 2014, daripada Tarian
Cinta Sayang: http://anjungtradisi.blogspot.com/2013/09/tarian-cinta-sayang.html

Zazali, N. I. (2010, OGOS 10). Tarian Dulu, Kini dan Selamanya. Didapatkan oKTOBER 13, 2014,
daripada Pengenalan: riandulukinidanselamanya.blogspot.com/2010/08/pengenalan.html

You might also like