You are on page 1of 5

1.

0 ARTIKEL DAN JURNAL YANG DIPILIH

(a) Tajuk Artikel : Persepsi Guru Pendidikan Seni Praperkhidmatan Terhadap


Pendidikan Seni Multikultural Dalam Kalangan Pelajar
Daripada Pelbagai Latar Belakang Budaya : Kajian
Penerokaan
Penulis : Sherinaz Basree binti Abdul Rahman, Siti Zuraidah Maaruf &
Shireena binti Abdul Rahman
Bilangan Muka Surat : 14 muka surat
Sumber : Asian Journal of University Education, 14 (1). pp. 89-102. ISSN
1823-7797 © Universiti Teknologi Mara

Jurnal ini merupakan sebuah kajian oleh Sherinaz Basree binti Abdul Rahman, Siti Zuraidah
Maaruf dan Shireena binti Abdul Rahman untuk mengenal pasti persepsi guru Pendidikan Seni
praperkhidmatan terhadap Pendidikan Seni multikultural dalam kalangan pelajar daripada
pelbagai latar belakang budaya. Kajian penerokaan ini menggariskan tiga objektif iaitu untuk
mengenal pasti senario terkini kandungan silibus Pendidikan Seni Visual dalam bahagian Kraf,
mengukur tahap kesediaan guru seni dalam mengajar pelajar daripada pelbagai budaya dan
mengenal pasti cabaran yang dialami oleh guru seni praperkhidmatan dalam mengajar seni
multikultural. Kaedah Persampelan Bertujuan telah dijalankan ke atas empat orang guru
Pendidikan Seni praperkhidmatan daripada Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Mara. Kajian
ini mendapati bahawa persepsi guru seni praperkhidmatan terhadap senario dan silibus
Pendidikan Seni Visual masih kurang daripada segi pengintegrasian budaya kaum minoriti
berbanding dengan kaum majoriti. Selain itu, penulis juga mendapati bahawa tahap persediaan
guru seni praperkhidmatan dalam mengajar seni dalam kalangan pelajar yang berbeza budaya
masih berada pada tahap yang rendah disebabkan kurangnya pengetahuan ke atas kebudayan
kaum lain. Keadaan sedemikian menjadi punca kepada cabaran yang dihadapi oleh guru seni
praperkhidmatan apabila mereka kurang mengetahui tentang budaya kaum lain dan seterusnya
sukar menjawab soalan-soalan yang diajukan oleh pelajar berkaitan kesenian budaya kaum
lain.

1
2.0 PERBINCANGAN DAN ULASAN KRITIKAL

Tajuk Artikel :
Persepsi Guru Pendidikan Seni Praperkhidmatan Terhadap Pendidikan Seni
Multikultural Dalam Kalangan Pelajar Daripada Pelbagai Latar Belakang Budaya :
Kajian Penerokaan

Jurnal yang ditulis oleh Sherinaz Basree binti Abdul Rahman, Siti Zuraidah Maaruf dan
Shireena binti Abdul Rahman ini membincangkan tentang persepsi guru seni praperkhidmatan
berkaitan pengajaran kesenian pelbagai budaya dalam kalangan pelajar yang berbeza latar
belakang. Pengkaji membincangkan tentang senario silibus kraf dalam Pendidikan Seni Visual
di sekolah menengah di Malaysia. Aspek ini berkisarkan buku-buku khususnya subjek
Pendidikan Seni Visual yang lebih banyak diterbitkan oleh penulis Melayu sendiri. Pengkaji
mendapati bahawa integrasi kebudayaan dan kesenian dalam buku-buku rujukan subjek ini
masih kurang. Hasil temubual bersama reponden mendapati bahawa kebanyakan buku yang
digunakan oleh mereka adalah berfokuskan kesenian kaum majoriti semata-mata. Mereka
menegaskan bahawa hanya kaum Melayu, Cina dan India sahaja yang mempunyai banyak
buku yang diterbitkan berkaitan kesenian kaum masing-masing. Tambahan pula, rujukan
berkaitan kesenian kaum minoriti adalah masih kurang. Oleh yang demikian, guru seni
praperkhidmatan menyatakan bahawa terdapat pelajar yang berminat untuk mempelajari
kesenian kaum lain tetapi usaha terbatas disebabkan rujukan yang kurang.

Walaubagaimanapun, guru seni praperkhidmatan tetap mengambil banyak alternatif


untuk memastikan silang budaya dapat dilakukan dalam pengajaran Pendidikan Seni Visual di
sekolah. Kebanyakan maklumbalas responden mengatakan bahawa mereka melakukan
improvisasi terhadap topik yang akan diajar. Hal ini demikian dilakukan dengan
mengintegrasikan elemen kesenian kaum lain dalam topik yang diajar kepada pelajar di kelas.
Sebagai contoh, bagi topik Kraf Binaan, mereka telah mengambil alternatif untuk memasukkan
unsur-unsur binaan pelbagai etnik seperti kaum Dusun, Murut dan Iban. Dengan demikian,
pelajar dapat melakukan perbandingan terhadap seni bina pelbagai kaum yang ada di Malaysia.
Saya menyokong hasil dapatan pengkaji berkaitan pembelajaran kesenian merentas budaya
kerana langkah ini amat bersesuaian dengan kewujudan pelbagai budaya di negara kita sendiri.
Dengan demikian, pengajaran berunsurkan Melayu-sentrik dapat dikurangkan demi menjaga
sensitiviti kaum minoriti. Saya juga bersetuju dengan pengajaran kesenian merentas kaum

2
kerana ia merupakan medium bagi guru untuk membangkitkan kesedaran akan pentingnya nilai
saling menghormati bermula pada peringkat persekolahan.

Pengkaji seterusnya membincangkan tentang persediaan guru seni praperkhidmatan


dalam mengajar seni dalam kalangan pelajar yang berbeza. Hasil dapatan pengkaji
menunjukkan bahawa responden masih kurang pengetahuan tentang kesenian dan
kebudayaan kaum selain daripada kaum mereka sendiri. Pengkaji juga menyatakan bahawa
responden menganggap pengajaran seni pelbagai budaya merupakan suatu usaha positif yang
dapat mengatasi masalah prasangka negatif antara sesama kaum di negara kita. Sebagai bukti,
berdasarkan pengalaman responden semasa menjalani latihan mengajar di sekolah, mereka
mendapati bahawa pelajar Melayu tertarik dengan kesenian kaum Cina. Oleh yang demikian,
mereka sering bertanya pelbagai soalan terhadap guru. Disebabkan pengetahuan yang
terbatas, guru seni praperkhidmatan menyatakan bahawa mereka sukar memberikan jawapan
yang memberansangkan kepada murid. Keadaan sedemikian menjadi indikator bahawa
persediaan mereka terhadap pengajaran seni dalam kalangan pelajar yang berbeza latar
belakang sememangnya masih berada pada tahap yang rendah.

Berdasarkan temubual bersama responden berkenaan persediaan mereka dalam


mengajar Pendidikan Seni di sekolah, mereka menyatakan bahawa tidak ada latihan
profesional yang dilakukan semasa pengajian di universiti. Kenyataan demikian menunjukkan
bahawa responden masih kurang dilengkapi dengan kemahiran yang cukup sebelum mereka
menjalani latihan mengajar di sekolah. Walaubagaimanapun, saya berpendapat bahawa
seorang bakal guru seharusnya sedar akan pendidikan yang merupakan suatu proses
berpanjangan. Pengalaman mengajar di sekolah seharusnya menjadi peluang bagi mereka
untuk melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran dalam menghadapi dunia
pendidikan apabila berjaya bergelar sebagai guru sebenar kelak. Walaubagaimanapun, saya
bersetuju dengan pendapat responden yang menganggap bahawa pengajaran pelbagai seni
dalam kalangan pelajar di sekolah dapat mengelakkan Peristiwa 13 Mei daripada berulang.
Kesedaran demikian amat diperlukan bagi melahirkan guru yang peka akan cadangan untuk
meningkatkan semangat perpaduan melalui medium pendidikan di sekolah. Maka, guru secara
tidak langsung pasti dapat memikirkan kaedah yang kreatif untuk memastikan toleransi antara
kaum dapat dikekalkan.

3
Bagi objektif kajian yang ketiga, pengkaji mendapati bahawa cabaran yang dihadapi
oleh responden adalah berkesinambungan daripada pengetahuan yang kurang berkaitan
kebudayaan pelbagai kaum di Malaysia. Responden ada menegaskan bahawa imej seorang
guru menggambarkan seseorang yang serba boleh, berpengetahuan tinggi dan fleksibel dalam
pelbagai situasi. Pelajar khususnya beranggapan bahawa guru mereka merupakan seorang
yang maha mengetahui sehingga mereka mendapatkan banyak jawapan persoalan melalui
pertanyaan kepada guru mereka sendiri. Sehubungan itu, responden berpendapat bahawa
pengetahuan yang kurang terhadap kesenian kaum lain khususnya etnik minority menjadi
cabaran bagi mereka dalam mengajar Pendidikan Seni Visual di sekolah. Melihat kepada
situasi sedemikian, saya berpendapat bahawa anak-anak seharusnya didedahkan dengan
keunikan pelbagai budaya selain daripada kaum mereka sendiri. Responden kajian ada
mengatakan bahawa mereka menyokong golongan ibu bapa yang menghantar anak-anak
mereka ke sekolah vernakular meskipun berbangsa Melayu. Dengan demikian, anak-anak
dapat didedahkan dengan amalan kebudayaan kaum lain dan secara tidak langsung mampu
membuka minda mereka untuk menerima perbezaan antara sesama kaum.

Seterusnya, cabaran yang dihadapi oleh guru Pendidikan Seni praperkhidmatan adalah
daripada segi pelajar yang kurang berminat untuk mengetahui kebudayaan kaum lain.
Responden menyatakan bahawa terdapat pelajar yang telah terdidik untuk tidak mencampuri
urusan kaum lain. Didikan sedemikian menjadi halangan bagi guru Pendidikan Seni
praperkhidmatan apabila pelajar enggan terlibat dengan aktiviti kesenian di sekolah.
Walaubagaimanapun, saya berpendapat bahawa keadaan sedemikian harus menjadi pembakar
semangat guru untuk melahirkan idea yang kreatif bagi memastikan pelajar mereka mampu
mempelajari Pendidikan Seni Visual dengan aktif. Meskipun tidak dapat dinafikan bahawa
pengaruh didikan keluarga amat besar dalam perubahan tingkah laku pelajar, namun guru juga
berperanan dalam memastikan pelajar mengamalkan sikap positif dalam kehidupan. Pendapat
ini selaras dengan penulisan pengkaji yang mengatakan bahawa guru seharusnya mampu
menganalisis punca yang menyebabkan pelajar kurang berminat dengan aktiviti sedemikian.
Melalui hasil analisis tersebut, tindakan yang bersesuaian dapat diambil oleh guru untuk
mengubah persepsi murid terhadap kaum lain. Justeru, cabaran daripada segi pelajar yang
kurang minat terhadap kesenian kaum lain dapat diatasi.

4
Sebagai kesimpulan, kajian yang dijalankan oleh pengkaji telah berjaya menjawab
kesemua objektif kajian. Bagi objektif pertama, pengkaji mendapati bahawa integrasi budaya
dalam buku-buku Pendidikan Seni Visual yang dihasilkan masih kurang disebabkan kandungan
buku yang berkisarkan Melayu-sentrik. Hasil dapatan bagi objektif kedua pula menunjukkan
bahawa persediaan guru Pendidikan Seni praperkidmatan terhadap pengajaran seni dalam
kalangan pelajar yang berbeza budaya masih berada pada tahap yang kurang memuaskan.
Golongan Pendidikan Seni praperkidmatan perlu meluaskan pengetahuan terhadap kesenian
kaum lain disebabkan pengaruh buku teks yang kurang mengintegrasi budaya pelbagai kaum
(Yusoff, 2005). Manakala, objektif yang ketiga pula menunjukkan bahawa guru menghadapi
cabaran daripada segi pengetahuan yang kurang untuk mengajar seni dan persepsi murid yang
enggan mempelajari kesenian kaum lain. Maka, dapat dirumuskan bahawa kajian ini amat
penting untuk membangkitkan kesedaran kepada pelbagai pihak khususnya pihak guru,
sekolah dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melakukan inisiatif agar subjek
Pendidikan Seni Visual mampu dimanfaatkan sebaiknya sebagai wahana perpaduan kaum di
Malaysia.

You might also like