You are on page 1of 2

Konsep dan ciri-ciri seorang Khalifah

Khalifah ialah satu gelaran yang diberikan kepada sesiapa yang menjadi ketua (imam
atau imamah) negara Islam menggantikan Nabi Muhammad SAW dalam pengurusan
pemerintahan dan pentadbiran. Khalifah ialah institusi pemerintahan Islam berdasarkan
kepada ayat-ayat al-Quran dan hadis. Pelaksanaan institusi sistem khalifah al-Rasyidin yang
terdiri daripada Khalifah Abu Bakar al-Siddiq, Khalifah Umar bin al-Khattab, Khalifah
Uthman bin Affan dan Khalifah Ali bin Abu Talib. Tugas khalifah seperti yang digariskan
oleh al-Mawardi ialah memelihara agama dan mentadbir dunia. Untuk melaksanakan tugas
dan amanah ini, seorang khalifah haruslah menepati ciri-ciri yang digariskan oleh Rasulullah.
Ciri-ciri yang harus ada pada seorang khalifah adalah berilmu, sihat dan mempunyai status
serta personality yang baik.

Khalifah berasal daripada perkataan khalafa yang bermaksud menggantikan atau


khulafa yang bermaksud para pengganti. Khalifah ialah satu jawatan menggantikan Nabi
Muhammad SAW selepas baginda wafat untuk memerintah dan mentadbir negara dan umat
Islam. Sebagai pemimpin tertinggi negara, seseorang calon yang hendak dilantik ke jawatan
Khalifah mestilah memenuhi ciri-ciri kelayakan tertentu.

Terdapat beberapa ciri-ciri penting untuk seseorang Khalifah iaitu berilmu. Ilmu
merupakan aspek yang penting untuk pemilihan khalifah kerana ilmu membolehkan
seseorang khalifah memutuskan sesuatu hokum atau membuat keputusan yang tepat terhadap
masalah agama dan masalah duniawi. Dalam hal ini, khalifah bukan sahaja memerlukan ilmu
agama tetapi juga memilik ilmu keduniaan seperti ilmu perundangan, kewangan serta sosial.
Khalifah hendaklah bertutur, membaca dan menulis dalam bahasa negara yang diperintah.
Hal ini dapat dilihat pada pengamalan urusan pentadbiran zaman Khulafa al-Rasyidin. Di
mana wilayah Islam kian bertambah luas, maka setiap wilayah akan ditadbir oleh pegawai
yang bertanggungjawab terhadap khalifah. Individu yang dilantik mempunyai ciri-ciri
kepimpinan sebagaimana yang digariskan oleh Nabi Muhammad seperti beragama Islam,
Merdeka, adil, berilmu, cekap dan sebagainya. Misalnya pada zaman pemerintahan Khalifah
Umar al-Khattab, setiap wilayah akan diketuai oleh gabenor yang mengetuai urusan
pentadbiran dan ketenteraan dengan dibantu oleh pegawai-pegawai lain seperti ketua polis,
pemungut cukai, pengawal Baitulmal dan beberapa pegawai lain.

Ciri yang kedua dalam pemilihan seseorang khalifah ialah mestilah mempunyai sikap
keadilan. Keadilan dalam semua aspek seperti percakapan, perbuatan atau tindakan dengan
berpandukan kepada al-Quran dan Sunnah. Pemimpin yang adil akan bercakap benar,
bersikap amanah, menjaga maruah dan menjaga batas pergaulan. Keadilan akan mewujudkan
kemajuan, kesejahteraan dan keharmonian rakyat dan negara. Bagi melibatkan rakyat dalam
pemerintahan sekaligus mewujudkan keadilan, amalan syura diteruskan oleh para Khalifah
sebagaimana yang diamalkan oleh Nabi Muhammad. Pada zaman pemerintahan Khalifah
Umar al-Khattab, beliau telah mewujudkan Majlis Syura yang berperanan bukan sahaja
badan tertinggi menggubal dasar negara, malah menjadi institusi yang menasihati Khalifah.
Malah, khalifah Umar telah mengungkapkan tiada khalifah tanpa musyawarah. Orang bukan
Islam yang menjadi warganegara juga boleh melibatkan diri dalam aktiviti musyawarah tetapi
hanya terbatas kepada menyampaikan pengaduan tentang kelemahan pemerintah dan pegawai
negara negara terhadap mereka.

Ketiga ialah seseorang khalifah yang dipilih haruslah mempunyai kreadibiliti dan
keupayaan. Seseorang khalifah mestilah mencukupi syarat-syarat taklif iaitu kesempurnaan
diri seperti beragama Islam, lelaki, baligh dan merdeka. Kesempurnaan syarat-syarat ini akan
membolehkan para khalifah meneruskan apa yang diamalkan oleh Nabi Muhammad sebagai
ketua negara. Sebagai ketua negara, khalifah bertanggungjawab mempertahankan kesucian
Islam daripada sebarang anasir yang boleh merosakkan. Contohnya, Khalifah Abu Bakar
memerangi goongan al-Riddah, mentadbir negara berdasarkan hokum syarak bagi
mewujudkan keadilan termasuk mempraktikkan dan menghidupkan amalan syura,
mewujudkan keadilan seperti memperkenalkan sistem ekonomi Islam. Pada zaman Khalifah
Umar, pasukan tentera dibentuk bagi mempertahankan negara daripada sebarang
pencerobohan musuh, manakala pada zaman Khalifah Uthman pula, tentera laut digerakkan
buat pertama kalinya bagi menghadapi ancaman Rom.

Ciri yang seterusnya adalah mempunyai pancaindera dan fizikal yang sempurna.
Seseorang khalifah tidak seharusnya buta, pekak, bisu dan harus mempunyai tangan dan kaki
yang sempurna. Ini bagi memudahkan khalifah menguruskan kepimpinan dan pentadbiran
dalam dan luar negara. Selain itu juga, seseorang khalifah juga harus memiliki kesihatan yang
sihat. Selain daripada mencukupi syarat-syarat taklif, seseorang khalifah harus memiliki
tubuh badan atau fizikal yang sihat. Kesihatan seseorang khalifah amat penting bagi
menjamin kelancaran pelaksanaan pemerintahan dan pentadbiran. Kesempurnaan
pancaindera dan fizikal ini dapat dilihat pada Khalifah Abu Bakar al-Siddiq dan Khalifah
Umar al-Khattab serta Khalifah Ali bin Abu Talib yang mengetuai peperangan dalam
menegakkan syiar Islam dan meluaskan penyebaran Islam.

Ciri yang terakhir ialah seseorang khalifah haruslah memiliki status dan personality.
Ciri ini penting dimana tokoh tersebut mestilah berasal daripada keturunan mulia, ramai
pengikut dan berpengaruh, dihormati dalam masyarakat, usian yang matang, berani, pandai
bercakap dan berhujah, pandai bermain senjata, tegas membuat keputusan, berakhlak mulia,
matang dalam pemikiran dan peramah. Misalnya, Khalifah Abu Bakar al-Siddiq adalah
seorang peniaga pakaian yang berjaya, tidak minum arak, menemani Rasulullah dalam
peristiwa hijrah. Khalifah Umar al-Khattab pula seorang ahli perniagaan, fasih berkata-kata
dan berterus terang pada kebenaran. Beliau adalah orang kanan Rasulullah dan bersama-sama
Nabi dalam peperangan antaranya Perang Badar, Uhud dan Perang Khandak. Malahan
semasa pemerintahan Khalifah Abu Bakar, Umar adalah menteri kanan dan membantu
Khalifah membuat keputusan penting dalam menyelesaikan masalah negara.

Kesimpulannya, al-Quran dan sunnah adalah paksi paling utama bagi khalifah
memerintah dan mentadbir negara dan umat Islam setelah wafatnya Nabi Muhammad SAW.
Dalam sunnah Nabi menyatakan bagaimana seseorang pemimpin atau khalifah memerintah
dan menguruskan pemerintahan dalam sesebuah negara Islam. Pemilihan Khalifah ini
diteruskan pada pemerintahan Islam pada zaman Bani Umayyah dan Bani Abasiyyah.

You might also like