You are on page 1of 4

Kesusasteraan Melayu Tradisional merupakan satu bidang kajian yang sangat luas dan

sentiasa berkembang dan melahirkan penemuan-penemuan baru yang pelbagai sifatnya.


Menurut Profesor Ismail Hussein;

kesusasteraan Melayu tradisional adalah semua gejala kesusasteraan yang berbentuk lisan
atau bertulis tetapi tidak bercetak.

Berdasarkan pernyataan di atas, amat jelas kepada kita bahawa kesusasteraan Melayu
tradisional merupakan satu wacana yang luas dan terdiri daripada berbagai-bagai bentuk
dan sifat. Pengkaji kesusasteraan Melayu membahagikan kesusasteraa Melayu tradisional
kepada dua golongan yang utama iaitu:

1. Kesusasteraan Lisan

2. Kesusasteraan Tulisan

Kesusasteraan lisan (tradisi lisan) lahir di kalangan masyarakat Melayu yang lazimnya terdiri
daripada kaum tani dan nelayan. Mereka ini tinggal di kawasan yang jauh di pedalaman,
desa-desa dan pinggir pantai. Pada waktu tersebut sistem tulisan belum lagi muncul dan
masyarakat lazimnya buta huruf. Walaupun tidak menguasai sistem tulisan, daya kreativiti
mereka dalam bidang kesusasteraan tidak pula mati begitu sahaja. Sebaliknya ia
dikembangkan melalui pertuturan atau penceritaan secara lisan. Atas sebab itulah hasil-
hasil keusasteraan yang dicipta oleh kelompok ini disebut sebagai kesusasteraan lisan
kerana penyampaian cerita secara lisan. Kesusasteraan lisan dikenali juga sebagai
kesusasteraan rakyat.

Kesusasteraan tulisan (tradisi tulisan) muncul apabila orang Melayu mula menerima
pengaruh luar. Pengaruh luar yang awal menyerap ke dalam kebudayaan Melayu adalah
pengaruh India. Melalui kemasukan pengaruh India, orang Melayu diperkenalkan dengan
sistem tulisan. Walau bagaimanapun, sistem tulisan ini tidak meluas dan akhirnya pupus.
Kedatangan agama Islam ke alam Melayu membuka satu lembaran baru dalam kamus
kesusasteraan Melayu. Agama Islam muncul bersama-sama dengan sistem tulisan yang
lengkap bersumberkan al-Quran sebagai kitab suci orang Islam. Sistem tulisan Arab-Islam
ini kemudiannya disesuaikan dengan sebutan dalam bahasa Melayu. Orang Melayu kini
mempunyai sistem tulisan yang dinamakan tulisan Jawi. Tradisi tulisan lebih condong
kepada istana menjadikan istana sebagai pusat penyebaran ilmu pada masa itu. Di
istanalah lahirnya tokoh-tokoh sasterawan Melayu tradisional yang menghasilkan karya
sama ada yang asli ataupun salinan semula kerana pada masa itu mesin cetak belum
wujud.

Semua hasil karya ini sama ada lisan atau bertulis merupakan satu dokumen penting yang
merakamkan segala perihal kehidupan masyarakat Melayu tradisional. Ia adalah himpunan
daya kreativiti masyarakat Melayu tradisional yang menyerlahkan daya fikir, akal budi,
sentuhan jiwa, cita rasa, jati diri dan kebijaksanaan masyarakat Melayu (Mutiara Sastera
Melayu Tradisional 2003:xiv).

Sebagai kesimpulannya, sebagaimana yang dinyatakan oleh Harun Mat Piah kesusasteraan
Melayu tradisional merujuk kepada karya yang mempunyai ciri-ciri seperti :

1. Bersifat kolektif dan dianggap sebagai milik bersama masyarakat

2. Hasil karya bersifat feudal

3. Karya yang terbatas pencipta dan khalayak

4. Dihasilkan sebelum 1800.

5. Bersifat fungsional

6. Pelbagai genre
7. Perkembangan kesusasteraan Melayu tradisional tidak dibatasi oleh zaman, tarikh dan
waktu.

8. Gaya bahasa berbeza daripada gaya bahasa kini

9. Hasil karya mempunyai nilai tersendiri kepada masyarakat yang mewarisinya.

10. Bentuk dan cirinya menjadi tradisi yang mantap

11. Persoalan yang dibawa oleh karya tersebut mempunyai struktur formal yang terikat.

12. Hasil karya yang bersifat statis kerana tidak memperlihatkan keragaman tema dalam
sesuatu genre

Kesusasteraan Tradisional merupakan himpunan karya-karya kesusasteraan dalam semua


bentuk yang terhasil sejak manusia wujud tetapi tidak melepasi zaman selepas wujudnya
mesin cetak. Kesusasteraan Tradisional muncul di kalangan masyarakat awal yang masih
lagi primitif dan mengamalkan kepercayaan animisme. Ada pendapat yang mengatakan
kemunculan tamadun awal manusia diiringi juga dengan kemunculan budaya kesusasteraan
ke dalam tamadun tersebut. Contohnya dengan munculnya Tamadun Mesopotamia
serentak dengan itu juga lahirlah karya-karya kesusasteraan hasil daripada kemunculan
tamadun Mesopotamia seperti Epik Gilgamesh. Oleh itu dari segi sejarah, ternyata
kesusasteraan telah muncul dan mewarnai kehidupan manusia sejak sekian lama.
Perjalanan masa yang begitu lama dan lampau itulah yang menyebabkan apa sahaja hasil
kesusasteraan yang ada pada masa dahulu disebut tradisional. Selepas munculnya mesin
cetak lebih kurang dalam tahun 1800, karya kesusasteraan pun bertukar wajah daripada
tradisional kepada moden.
Secara umumnya karya-karya kesusasteraan tradisional boleh dibahagikan kepada dua
bentuk iaitu lisan dan tulisan. Lisan bererti yang dituturkan dan tulisan maksudnya yang
ditulis atau dibukukan. Kesusasteraan lisan lebih mewakili golongan bawahan seperti petani
dan nelayan. Ia juga dikenali sebagai kesusasteraan rakyat. Manakala sastera tulisan pula
adalah ciptaan golongan pemerintah selepas kemunculan sistem tulisan dalam sesebuah
masyarakat itu

You might also like