You are on page 1of 58

UNIT 1 i

Hubungan etnik di Malaysia

Unit 1

MPU 3113/03
Hubungan Etnik

Hubungan Etnik di
Malaysia
ii WAWASAN OPEN UNIVERSITY
MPU 3113/03 Hubungan Etnik

PANEL KURSUS
Ketua Penyelaras Kursus: Dr. S. Nagarajan
Penulis Kursus: Dr. Faisal S. Hazis
Pereka Instruksi: Puan Norliza Binti Mhd Rodzi
Ahli Panel Kursus: Puan Rabikha Hasni bte Suparman, Puan Irmadura Ramli dan Dr. Ooi Chia Yi

PENYELARAS KURSUS
Puan Rabikha Hasni bte Suparman

PENILAI KURSUS LUARAN


Professor Dr James Chin Ung Ho, University of Tasmania

PRODUKSI
Penyunting Dalaman: Puan Norliza Binti Mhd Rodzi dan Encik Khoo Chiew Keen
Pereka Grafik: Cik Audrey Yeong

Universiti Terbuka Wawasan adalah institusi pengajian tinggi bukan berunsur keuntungan pertama
di Malaysia yang didedikasikan kepada pelajar dewasa. Organisasi ini dibiayai oleh Yayasan
Pendidikan Wawasan, sebuah entiti yang dikecualikan dari cukai yang ditubuhkan oleh Parti
Gerakan Malaysia, dan disokong oleh Yeap Chor Ee Charitable and Endowment Trust, badan-badan
kebajikan, koperasi, orang ramai dan peruntukan dari kerajaan Malaysia.

Penyediaan bahan kursus universiti ini dibiayai oleh Yeap Chor Ee Charitable and Endowment
Trust.

© 2015 Universiti Terbuka Wawasan

Hak cipta terpelihara. Mana-mana bahagian penerbitan ini tidak boleh dihasilkan semula,
disimpan dalam sistem simpanan kekal, atau dipindahkan dalam sebarang bentuk atau sebarang
cara elektronik, mekanik, penggambaran semula, rakaman dan sebagainya, tanpa izin daripada
pihak penerbit Universiti Terbuka Wawasan.

Universiti Terbuka Wawasan


(KPT/JPT/DFT/US/P01)
Wholly owned by Wawasan Open University Sdn. Bhd. (700364-W)
54, Jalan Sultan Ahmad Shah, 10050 Pulau Pinang.
Tel: (604) 2180333 Faks: (604) 2279214
E-mel: enquiry@wou.edu.my
Laman web: www.wou.edu.my
UNIT 1 iii
Hubungan etnik di Malaysia

Kandungan
Unit 1 Hubungan Etnik di Malaysia
Ringkasan kursus 1

Ringkasan unit 3

Objektif unit 3

1.1 Masyarakat pelbagai etnik di Malaysia 5

Objektif 5

Pengenalan 5

Pertumbuhan penduduk 6

Taburan penduduk 7

Masyarakat pelbagai etnik 10

Kepelbagaian agama 13

Cadangan jawapan untuk aktiviti 17

1.2 Hubungan etnik di Malaysia 19

Objektif 19

Pengenalan 19

Hubungan etnik di Malaysia 19

Integrasi nasional 23

Polarisasi dan ketegangan 24

Memahami hubungan etnik 26

Cadangan jawapan untuk aktiviti 28


iv WAWASAN OPEN UNIVERSITY
MPU 3113/03 Hubungan Etnik

1.3 Konsep dan teori hubungan etnik 31

Objektif 31

Pengenalan 31

Ras dan etnik 31

Stratifikasi, prejudis dan diskriminasi 33

Bentuk dan pola hubungan etnik 36

Tipologi masyarakat pelbagai etnik 41

Cadangan jawapan untuk aktiviti 45

Rumusan Unit 1 47

Cadangan jawapan latihan kendiri 49

Rujukan 53
UNIT 1 1
Hubungan etnik di Malaysia

Ringkasan Kursus

M PU 3113/03 Hubungan Etnik menekankan konsep dan pengetahuan empirikal


mengenai hubungan etnik. Unit 1 menjelaskan latar belakang masyarakat
majmuk dan hubungan etnik di Malaysia. Ia juga menerangkan konsep hubungan
etnik dan teori-teori dominan yang menjelaskan konsep tersebut. Unit 2 memberi
fokus pada kebangkitan masyarakat plural dan dinamik hubungan etnik semasa
dan selepas zaman penjajahan. Unit 3 pula menerangkan Perlembagaan Malaysia
sebagai asas pembentukan hubungan etnik di Malaysia. Unit 4 meneroka pelbagai
inisiatif oleh setiap negeri dalam pengurusan hubungan etnik. Akhirnya, Unit 5
menjelaskan isu-isu dan cabaran hubungan etnik di Malaysia.

Di akhir kursus ini, anda seharusnya dapat:

1. Menerangkan konsep-konsep dan teori-teori asas yang berkaitan dengan


hubungan etnik.

2. Menerangkan kebangkitan masyarakat plural di Malaysia.

3. Bincangkan dinamik hubungan etnik.

4. Menerangkan peranan negeri-negeri di Malaysia dalam menguruskan


hubungan etnik.

5. Menerangkan faktor-faktor dominan yang membentuk hubungan etnik di


Malaysia.

6. Meneliti polisi setiap negeri dalam pengurusan hubungan etnik.

7. Menerangkan isu-isu dan cabaran yang dihadapi oleh Malaysia berkenaan


hubungan etnik.
2 WAWASAN OPEN UNIVERSITY
MPU 3113/03 Hubungan Etnik
UNIT 1 3
Hubungan etnik di Malaysia

Ringkasan Unit

U nit 1 dibahagikan kepada tiga topik iaitu masyarakat pelbagai etnik di Malaysia,
hubungan etnik di Malaysia dan konsep serta teori hubungan etnik. Topik 1
memperkenalkan anda kepada latar belakang masyarakat pelbagai etnik di Malaysia.
Terdahulu, Topik 1.1 meneliti struktur, pertumbuhan dan taburan penduduk di
Malaysia. Kemudian, ia menyusuri perkembangan masyarakat pelbagai etnik sejak
era pra kedatangan penjajah asing sehingga era pasca merdeka.

Topik 1.2 pula mengupas tahap hubungan etnik di Malaysia yang terbahagi kepada
tiga iaitu era konflik (1945 –1960), stabil tapi tegang (1961 –1970) dan kesepaduan
sosial (1971 –2011). Topik 2 seterusnya membincangkan pendekatan kerajaan dalam
mentadbir urus hubungan etnik. Di sebalik usaha kerajaan ini, timbul juga beberapa
isu dan insiden yang telah membawa ketegangan dan polarisasi dalam masyarakat.
Bahagian akhir topik ini pula mengenal pasti isu-isu yang berkaitan hubungan etnik
dan impaknya terhadap negara.

Akhir sekali, Topik 1.3 membincangkan konsep-konsep dan teori-teori penting


hubungan etnik khususnya dalam konteks Malaysia. Beberapa konsep penting kajian
hubungan etnik diteliti dan diperhalusi agar pemahaman mengenai subjek ini dapat
diperdalamkan. Antara konsep-konsep yang dimaksudkan ialah ras, etnik, stratifikasi
etnik, prejudis dan diskriminasi. Selepas itu, Topik 1.3 menjelaskan mengenai bentuk
dan pola hubungan etnik yang pada asasnya terbahagi kepada dua iaitu asimilasi dan
pluralisme. Turut dibincangkan dalam topik ini ialah tipologi masyarakat pelbagai
etnik yang tergolong dalam tiga kategori iaitu masyarakat kolonial, plural korporat
dan asimilasi.

Objektif Unit
Di akhir Unit 1, anda akan dapat:

1. Menjelaskan perkembangan masyarakat pelbagai etnik di Malaysia.

2. Menerangkan tahap hubungan etnik di Malaysia.

3. Menjelaskan konsep dan teori penting hubungan etnik.

4. Membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan hubungan etnik.


4 WAWASAN OPEN UNIVERSITY
MPU 3113/03 Hubungan Etnik
UNIT 1 5
Hubungan etnik di Malaysia

1.1 Masyarakat Pelbagai Etnik di


Malaysia
Objektif
Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat:

1. Mengambarkan struktur penduduk di Malaysia.

2. Menjelaskan pertumbuhan penduduk di Malaysia.

3. Mengambarkan masyarakat pelbagai etnik di Malaysia.

4. Menjelaskan klasifikasi identiti etnik berdasarkan takrifan autoriti dan


harian.

Pengenalan
Malaysia bukan sahaja kaya dari segi sumber asli, ia juga dilimpahi pelbagai
kumpulan etnik, dari negeri paling utara di Semenanjung iaitu Perlis hinggalah ke
negeri paling utara di Borneo iaitu Sabah. Masyarakat pelbagai etnik di Malaysia
terbentuk hasil daripada aktiviti migrasi yang berlaku sejak berkurun lamanya
tetapi memuncak pada akhir kurun ke-18 dan awal kurun ke-19 (Azmah, 2001:
8). Penyumbang utama kepada aktiviti migrasi ini adalah dasar penjajah British
yang membawa masuk secara besar-besaran kumpulan masyarakat dari India dan
China bagi membangunkan kegiatan ekonomi tempatan dan juga mengukuhkan
kedudukan penjajah (Abraham, 2004: 1).

Apa pun latar belakang pembentukan masyarakat pelbagai etnik di Malaysia,


hakikatnya negara ini diwarnai dengan pelbagai kebudayaan dan kepercayaan. Setiap
tahun, berpuluh-puluh jenis perayaan diraikan dan pelbagai jenis jamuan tradisi
dapat dijamah. Setiap hari pula, kerencaman budaya ini dimanifestasikan oleh
pelbagai bahasa yang dituturkan dan pelbagai adat resam yang diamalkan. Setelah
lebih lima dekad mencapai kemerdekaan, penduduk pelbagai etnik di Malaysia kekal
hidup dalam keadaan harmoni walaupun seringkali timbul isu atau insiden yang
mampu menggugat keharmonian tersebut.

Sebelum mengupas dengan lebih lanjut bentuk serta pola hubungan etnik di
Malaysia, topik ini akan membincangkan latar belakang penduduk negara ini terlebih
dahulu. Ini adalah penting agar pemahaman kita mengenai hubungan etnik di
Malaysia dapat diletak dalam kerangka sejarah pembentukan negara dan masyarakat.
Topik ini dimulakan dengan membincangkan pertumbuhan penduduk di Malaysia
sejak merdeka hingga alaf 21. Kemudian, fokus perbincangan beralih kepada taburan
penduduk mengikut negeri. Bahagian ketiga topik ini pula membincangkan pelbagai
kumpulan etnik yang menetap di Malaysia dan latar belakang kemasukan mereka.
6 WAWASAN OPEN UNIVERSITY
MPU 3113/03 Hubungan Etnik

Agama adalah salah satu daripada ciri penting yang membentuk identiti etnik di
Malaysia, justeru bahagian terakhir topik ini akan menyentuh latarbelakang agama
di negara ini dan kaitannya dengan identiti etnik.

Pertumbuhan penduduk
Sebelum pembentukan Malaysia pada 1963, Persekutuan Tanah Melayu, Borneo
Utara (kemudian dikenali sebagai Sabah) dan Sarawak mempunyai jumlah penduduk
yang agak kecil. Di Tanah Melayu, banci penduduk yang pertama dilakukan di
seluruh wilayah jajahan British tersebut ialah pada 1911. Jumlah penduduk Tanah
Melayu pada waktu itu ialah 2,339,051 orang (Abdul Rahman dan Norfariza,
2007: 52). Manakala di Borneo Utara, banci yang pertama diadakan ialah pada
1891 tetapi ia dianggap tidak menyeluruh kerana ramai yang tinggal di kawasan
pedalaman tidak terlibat dalam banci tersebut. Berdasarkan banci 1891, jumlah
penduduk Borneo Utara ialah 67,062 orang. Banci ketiga pada 1911 dikatakan
lebih menyeluruh dan mencerminkan jumlah sebenar penduduk di Borneo Utara
pada ketika itu. Jumlah penduduk Borneo Utara menurut banci 1911 ialah 208,183
orang (Ranjit Singh, 2003: 27). Di Sarawak, anggaran penduduk mengikut banci
yang pertama pada 1871 ialah 141,546 orang. Memandangkan sebahagian besar
kumpulan etnik minoriti di kawasan pedalaman tidak terlibat dalam banci ini,
jumlah penduduk Sarawak pada waktu itu dianggarkan melebihi angka rasmi ini
iaitu 416,000 (Baring-Gould dan Bampfylde, 2007: 36). Berdasarkan banci awal
penduduk di Tanah Melayu, Borneo Utara dan Sarawak, jumlah penduduk di wilayah
ini dianggarkan dalam lingkungan tiga juta pada awal kurun ke-20.

Di ambang pembentukan Malaysia, jumlah penduduk di Tanah Melayu, Borneo


Utara dan Sarawak meningkat dengan begitu signifikan sekali; iaitu 8 juta pada
1960. Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan penduduk yang pesat selepas
merdeka. Dengan jumlah penduduk dalam lingkungan hanya 8 juta pada era
ambang kemerdekaan (1960), angka ini melonjak ke 10 juta pada 1970 iaitu
peningkatan sebanyak dua juta penduduk atau 2.7 peratus kadar pertumbuhan
tahunan. Jumlah penduduk negara ini terus melonjak ke 13 juta pada 1980 dengan
pertambahan sebanyak 2.7 juta penduduk atau 2.3 peratus kadar pertumbuhan
tahunan. Sedekad selepas itu, penduduk Malaysia hampir mencecah 20 juta orang
(17.6 juta) dengan pertambahan lebih 4 juta penduduk, atau 2.7 peratus kadar
pertumbuhan tahunan.

Tahun Populasi (‘000) Peningkatan (‘000) Kadar Pertumbuhan Tahunan

1960 8,035.6 — —
1970 10,439.4 2,403.8 2.7
1980 13,136.1 2,696.7 2.3
1991 17,563.4 4,427.3 2.7
2000 23,274.7 5,711.3 2.6
2010 28,334.1 5,059.4 2.0

Jadual 1.1 Pertumbuhan penduduk, 1960 – 2010


Sumber: Saw Swee-Hock (2007: 15) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (2011: 1)
UNIT 1 7
Hubungan etnik di Malaysia

Menjelang alaf baru, Malaysia menyaksikan peningkatan penduduk melebih 20 juta


orang apabila ia mencatatkan pertambahan penduduk tertinggi sebanyak 5.7 juta
atau 3.1 peratus kadar pertumbuhan tahunan. Banci penduduk terkini pada 2010
menunjukkan penduduk Malaysia telah mencecah 28.3 juta orang, dengan lebih 5
juta pertambahan penduduk atau 2 peratus kadar pertumbuhan tahunan.

Pertumbuhan penduduk sepanjang lebih enam dekad ini didorong oleh kadar
pertumbuhan semulajadi dan kebanjiran pekerja asing (Saw Swee-Hock, 2007:
15). Lonjakan luar biasa penduduk pada tahun 2000 pula didorong oleh kebanjiran
pekerja asing yang diperlukan untuk menampung pembangunan negara yang amat
pesat pada 1990an. Berdasarkan banci 2010, 91.8 peratus penduduk Malaysia adalah
warganegara manakala selebihnya bukan warganegara. Sabah mempunyai peratusan
penduduk bukan warganegara yang paling tinggi dalam kalangan negeri di Malaysia
iaitu 27.75 peratus daripada penduduknya (889,779). Walaupun kadar pertumbuhan
penduduk tahunan dijangka menurun pada dekad mendatang, jumlah penduduk
Malaysia dijangka terus meningkat dan bakal mencecah hampir 40 juta pada 2040
(Jabatan Perangkaan Malaysia, 2012: 1).

Taburan penduduk
Apabila terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu pada 1957, ia mempunyai 11
buah negeri yang terdiri daripada sembilan negeri-negeri Melayu (Perlis, Kedah,
Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor) dan dua
negeri-negeri Selat (Pulau Pinang dan Melaka). Negeri-negeri Melayu ini diketuai
oleh Sultan manakala Menteri Besar selaku ketua kerajaan dipilih dalam kalangan
pemimpin Melayu Islam. Manakala negeri-negeri Selat pula diketuai oleh Gabenor
manakala Ketua Menteri selaku ketua kerajaan dipilih dalam kalangan warganegara
Malaysia tanpa mengira etnik dan agama.

Negeri-negeri Melayu Negeri-negeri Selat

Perlis Pulau Pinang


Kedah Melaka
Kelantan
Terengganu
Perak
Pahang
Selangor
Negeri Sembilan
Pahang
Johor

Jadual 1.2 Negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu, 1957


8 WAWASAN OPEN UNIVERSITY
MPU 3113/03 Hubungan Etnik

Setelah Sabah, Sarawak dan Singapura membantu pembentukan Malaysia pada


1963, negeri-negeri di Malaysia bertambah kepada empat belas. Tetapi bilangan
negeri-negeri ini menjadi tiga belas pada tahun 1965 apabila Singapura disingkirkan
daripada Persekutuan Malaysia. Pada mulanya, status Sabah dan Sarawak adalah sama
seperti Persekutuan Tanah Melayu di mana beberapa bidang kuasa tambahan diberi
kepada kedua-dua negeri ini. Dikenali sebagai Perkara 20 bagi Sabah dan Perkara 18
bagi Sarawak, bidang kuasa tambahan ini menjadikan kedua-dua negeri Borneo ini
lebih berkuasa berbanding negeri-negeri di Tanah Melayu. Memandangkan Sabah
dan Sarawak tidak mempunyai institusi Sultan, ia menggunakan sistem yang sama
seperti negeri-negeri Selat di mana Gabenor menjadi ketua negeri manakala Ketua
Menteri menjadi ketua kerajaan.

Populasi Peningkatan Kadar Pertumbuhan


Tahun
(‘000) (‘000) Penduduk

Semenanjung Malaysia

1960 6,836.7 — —
1970 8,809.6 1,972.9 2.6
1980 11,426.6 2,617.0 2.7
1991 14,131.7 2,705.1 2.0
2000 18,523.6 5,880.6 4.3
2010 22,569.3 4,045.7 n.a.

Sabah

1960 454.4 — —
1970 653.6 199.2 3.7
1980 955.7 302.1 3.9
1991 1,788.9 833.2 5.9
2000 2,679.6 890.7 4.5
2010 3,206.7 527.1 2.1

Sarawak

1960 744.5 — —
1970 976.3 231.8 2.8
1980 1,235.6 259.3 2.4
1991 1,642.8 407.2 2.7
2000 2,071.5 428.7 2.3
2010 2,741.1 669.6 1.8

Jadual 1.3 Pertumbuhan penduduk mengikut wilayah, 1960-2010


Sumber: Saw Swee-Hock (2007: 15) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (2011: 11)
UNIT 1 9
Hubungan etnik di Malaysia

Taburan penduduk di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak telah mengalami


perubahan yang begitu ketara berbanding awal tahun pembentukan Malaysia. Pada
1960, jumlah penduduk di Semenanjung Malaysia adalah 6.8 juta dan ia meningkat
kepada 8.8 juta pada 1970; pertambahan hampir 2 juta penduduk. Purata kadar
pertumbuhan tahunan bagi tempoh 1960 – 1970 ialah 2.6 peratus. Beberapa dekad
selepas itu, kadar pertumbuhan tahunan di Semenanjung Malaysia meningkat
sedikit kepada 2.7 peratus (1970 – 1980) tetapi menurun kepada 2 peratus pada
tahun 1980 – 1991. Walau bagaimanapun, jumlah penduduk di Semenanjung
Malaysia terus meningkat dalam tempoh masa tersebut; 11.4 juta pada 1980 dan
14.1 juta pada 1991. Peningkatan yang paling signifikan adalah pada tahun 2000
di mana jumlah penduduk Semenanjung Malaysia melonjak kepada 18.5 juta iaitu
pertambahan 5.9 juta penduduk. Peningkatan ini adalah tertinggi dalam rekod
sejarah negara dengan kadar purata pertumbuhan tahunan sebanyak 4.3 peratus.
Pada 2010, jumlah penduduk di Semenanjung Malaysia ialah 22.6 juta.

Walaupun Sabah dan Sarawak mempunyai saiz keluasan yang lebih besar
berbanding Semenanjung Malaysia, jumlah penduduknya adalah jauh lebih kecil.
Pada 1960, hanya 15 peratus penduduk Malaysia menetap di Sabah dan Sarawak.
Ketidakseimbangan ini, walau bagaimanapun, sedikit menurun selepas empat dekad.
Pada 2010, peratusan penduduk Malaysia yang menetap di Sabah dan Sarawak
meningkat kepada 20.4 peratus.Pertambahan ini berdasarkan penghijarahan warga
asing yang berlaku dalam tempoh masa 1980an hingga 1990an.

W. P. Putrajaya 0.07
W. P. Labuan 0.09
Perlis 0.23
Melaka 0.82
Negeri Sembilan 1.02
Terengganu 1.04
Pahang 1.5
Kelantan 1.54
Pulau Pinang 1.56
W. P. Kuala Lumpur 1.67
Kedah 1.95
Perak 2.35
Sarawak 2.47
Sabah 3.21
Johor 3.35
Selangor 5.46
0 1 2 3 4 5 6

Rajah 1.1 Taburan penduduk mengikut negeri, Malaysia 2010 (juta)


Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia (2011: 2)
10 WAWASAN OPEN UNIVERSITY
MPU 3113/03 Hubungan Etnik

Aktiviti 1.1

Jelaskan pertumbuhan populasi penduduk di Malaysia sejak awal


kurun ke-20 hingga awal kurun ke-21. Terangkan juga taburan
penduduk mengikut negeri.

Masyarakat pelbagai etnik


Sebelum migrasi secara besar-besaran di Malaysia, penduduk asalnya adalah agak
kecil dan terdiri daripada pelbagai sub-etnik. Penduduk terawal di Malaysia ialah
Orang Asli yang sudah menetap sejak beribu-ribu tahun dahulu. Di Semenanjung
Malaysia, Orang Asli terdiri daripada tiga kelompok utama iaitu Negrito, Senoi
dan Melayu Asli (Proto-Malay). Ini adalah klasifikasi yang agak simplistik kerana
terdapat hampir dua puluh sub-etnik Orang Asli. Antaranya ialah Bateq, Jahai,
Semai, Temiar, Jakun dan Semelai. Di Sabah dan Sarawak pula, kelompok Orang
Asli lebih bersifat rencam. Antara kelompok Orang Asli yang utama di Sabah ialah
Kadazan-Dusun, Bajau, Murut, Bisaya, Brunei, Bugis, Kedayan, Lotud, Ludayeh,
Rungus, Suluk, Minokok, Bonggi dan Ida’an. Manakala, kumpulan Orang Asli yang
utama di Sarawak ialah Iban, Bidayuh, Melanau, Kayan, Kenyah, Lun Bawang,
Penan, Kelabit dan Kajang (Shamsul A.B., 2012: 13)

Fasa penghijrahan yang menyumbang kepada pembentukan masyarakat pelbagai


etnik di Malaysia boleh dibahagikan kepada lima peringkat (Azmah, 2001: 2 – 5).

1. Fasa pertama melibatkan kemasukan orang Melayu dari sebelah selatan benua
Asia ke Tanah Melayu dan juga kepulauan Borneo pada era sebelum
Masihi. Kedatangan mereka telah memaksa Orang Asli yang pada mulanya
menetap di kawasan pesisir pantai untuk berpindah ke kawasan pedalaman
yang menjadi penempatan utama mereka pada hari ini. Walaupun Orang
Asli adalah penduduk asal di Malaysia, kedudukan mereka diambil alih oleh
etnik Melayu yang telah berhijrah dalam jumlah yang besar sehingga
melangkaui bilangan Orang Asli.

2. Peringkat migrasi yang kedua berlaku antara kurun awal selepas Masihi
hingga kurun ke-16. Pada tempoh waktu tersebut, beberapa peristiwa
penting berlaku di Tanah Melayu dan kepulauan Borneo yang mendorong
kemasukan masyarakat luar. Antaranya ialah perkembangan kerajaan-
kerajaan Melayu-Hindu, kedatangan Islam ke Nusantara, jalinan hubungan
antara kerajaan-kerajaan awal Tanah Melayu dan Borneo dengan kuasa-
kuasa Eropah (Portugis dan Belanda) dan China. Masyarakat yang berhijrah
ke negeri-negeri Melayu pada waktu itu ialah Melayu Sumatera terutama
yang berketurunan Minangkabau. Pada waktu yang sama, sejumlah
kecil orang India dan Cina berhijrah ke Melaka sehingga membawa kepada
perkahwinan campur dalam kalangan masyarakat tempatan. Hasil daripada
perkahwinan campur ini, maka lahirlah keturunan Baba dan Nyonya di
Melaka dan Pulau Pinang. Pada peringkat migrasi kedua ini, terdapat juga
sebilangan kecil orang India dan Cina berhijrah ke Sabah dan Sarawak.
UNIT 1 11
Hubungan etnik di Malaysia

3. Kedatangan Inggeris ke negeri-negeri Melayu, Sabah dan Sarawak pada


kurun ke-18 dan 19 membawa kepada fasa ketiga migrasi di wilayah-wilayah
ini. Peringkat ketiga migrasi membawa perubahan besar terhadap struktur
masyarakat di Malaysia, daripada masyarakat mono-etnik kepada pelbagai
etnik. Pada waktu itu, orang Cina, India dan Indonesia membanjiri
Semenanjung Malaysia secara besar-besaran. Orang Cina yang berhijrah ke
Malaysia adalah daripada pelbagai puak dan dialek. Antara kelompok
yang utama ialah Teochew, Kantonis, Hokkien, Hakka, Kwangsi, Fukien
dan Hainanis. Negeri-negeri yang menjadi tumpuan kumpulan etnik Cina
pada waktu itu ialah Pulau Pinang, Singapura, Melaka, Perak, Selangor,
Negeri Sembilan dan Johor. Kelompok penghijrah yang kedua besar selepas
orang Cina ialah orang India. Kebanyakan mereka datang dari India Selatan
iaitu Negapatam dan Madras. Memandangkan orang India dibawa masuk
untuk mengusahakan kegiatan perladangan di Tanah Melayu, kebanyakkan
mereka tertumpu di Pulau Pinang, Perak dan Selangor di mana banyak
tanah perladangan dibuka. Kelompok Indonesia pula kebanyakannya datang
dari Sumatera, Jawa dan Kalimantan. Berbeza dengan kumpulan yang
berhijrah semasa fasa kedua migrasi, kelompok yang datang semasa
penghijrahan fasa ketiga ini tidak melalui proses asimilasi dengan masyarakat
tempatan. Lantaran itu, perbezaan budaya dan fizikal dalam kalangan
masyarakat Cina, India dan Indonesia kekal sehingga melahirkan
masyarakat pelbagai etnik di Malaysia.

4. Peringkat keempat migrasi ke Malaysia berlaku antara 918 dan 1947. Ketika
itu, penghijrahan mulai menjadi perlahan dan bilangannya turut menurun
terutamanya selepas Perang Dunia Kedua.

5. Peringkat terakhir migrasi di Malaysia berlaku selepas tahun 1947. Pada


waktu tersebut, ramai orang Cina meninggalkan Tanah Melayu disebabkan
pertembungan antara kumpulan etnik Melayu dengan Parti Komunis
Malaya (PKM) yang didominasi orang Cina. Di Sabah dan Sarawak,
kelompok etnik dari Indonesia memasuki kedua-dua negeri di kepulauan
Borneo ini yang membantu kadar pertumbuhan penduduk di sana.

Pada hari ini, Malaysia adalah negara yang rencam dengan pelbagai etnik dan
budaya. Ia didiami lebih daripada 70 kumpulan etnik. Tetapi sekiranya ditambah
dengan kelompok yang mewakili sub-etnik, jumlah kumpulan etnik di Malaysia
dianggarkan mencecah lebih 200 kumpulan (Shamsul, 2012: 13). Kerajaan Malaysia
mengklasifikasi kumpulan etnik ini kepada dua kelompok utama iaitu Bumiputera
dan bukan Bumiputera. Terma Bumiputera sebenarnya bukan takrifan etnik,
sebaliknya ia adalah terma politik yang bertujuan untuk menyatukan kelompok
peribumi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak (Mason dan Omar, 2005: 2).
Selain itu, terma Bumiputera ini juga digunakan oleh kerajaan untuk membahagikan
sumber negara dalam kalangan kelompok yang ditakrif sebagai penduduk asal dan
golongan yang berhijrah semasa penjajahan British. Di Semenanjung Malaysia,
kelompok Bumiputera terdiri daripada orang Melayu, Sam-sam, komuniti Thai dan
orang Portugis Melaka (Mason dan Omar, 2005: 2). Yang menariknya, masyarakat
Orang Asli di Semenanjung Malaysia tidak dikategorikan sebagai Bumiputera.
Mereka, walau bagaimanapun, tetap dilindungi dari segi perundangan seperti yang
digariskan dalam Akta Orang Asli 1954.
12 WAWASAN OPEN UNIVERSITY
MPU 3113/03 Hubungan Etnik

Klasifikasi Etnik

Bumiputera Semenanjung
dan orang asli Acheh, Banjar, Bateq, Boyan, Bugis, Chewong, Jahai, Jah Hut,
Jakun, Jawa, Kanaq, Kensiu, Kintak, Lanoh, Mandaling, Melayu,
Melayu Patani, Mah Meri, Mendriq, Minangkabau, Orang Kuala,
Orang Seletar, Rawa, Semai, Semelai, Semoq Beri, Temuan,
Temiar

Sabah
Bajau, Bisaya, Bonggi, Bookan, Balabak/Molbog, Bugis,
Bulongan, Dumpas, Dusun, Gana, Garo, Idahan/Ida’an, Iranun/
Illanun, Kadazan, Kadayan/Kedayan, Kagayan, Kalabakan,
Kalabuan, Keningau, Kimaragang, Kinabatangan, Kuijau, Lakuk-
Kinabatangan, Lobu, Lotud, Lundayuh/Lundayeh, Makiang,
Mangkaak, Melayu Brunei, Minokok, Murut, Okolod, Paitan,
Paluan, Papar, Rungus, Sama-Selatan, Selungai, Sembakung,
Serudung, Sinabu, Sino-Kadazan, Sulu/Suluk, Sungai, Tagal,
Tatana’, Tausug, Tempasuk Dusun, Tengara, Tidung, Timugon,
Tinagas, Tobiling, Tombonou, Ubian

Sarawak
Balau, Berawan, Bidayuh, Bukitan, Bisaya, Dusun, Iban, Kajang,
Kanowit, Kayan, Kedayan, Kejaman, Kelabit, Kenyah, Lahanan,
Lisum, Longkiput, Lugat, Lun Bawang, Lun Dayeh, Melanau,
Melayu Sarawak, Murut, Penan, Punan, Punan Bah, Punan Biau,
Punan Busang, Remun, Saban, Sabup, Sebuyau, Sekapan, Sian,
Sipeng, Tabun, Tagal, Tanjong, Ukit
Cina Foochow, Hainan, Henghua, Hokchia, Hokchiu, Hokkien,
Kantonis, Khek (Hakka), Kwangtung, Kwongsai, Min Bei,
Teochew
India Chettiar, Bengali, Gujarati, Indian Muslim/Malabari, Malayali,
Punjabi, Sikh, Sinhala, Tamil India, Tamil Sri Lanka, Telegu,
Sinhala
Lain-lain Arab, Afrika, Amerika Syarikat, Australia, Baba Nyonya,
Bangladesh, Chindian, Denmark, Filipina, Indonesia, Itali,
Jepun, Jerman, Kampuchea, Kepulauan Kokos, Korea,
Myanmar, New Zealand, Nepal, Pakistan, Perancis, Sepanyol,
Serani, Sindhi, Thailand, United Kingdom, Vietnam

Jadual 1.4 Kumpulan etnik, subetnik, suku, bahasa dan dialek di Malaysia
Sumber: Shamsul AB (2012: 13), Jabatan Perangkaan Malaysia (2011: 129 – 130) dan
Mason & Omar (2005: 2)

Kumpulan bukan Bumiputera pula merujuk kepada kelompok orang Cina, India,
Baba Nyonya, Serani dan kelompok penghijrah dari pelbagai negara seperti Afrika,
Denmark, Filipina, Pakistan dan Vietnam. Masyarakat bukan Bumiputera ini agak
dinamik dan rencam. Kumpulan etnik Cina, umpamanya, terdiri daripada pelbagai
dialek dan budaya. Antaranya ialah Foochow, Hainan, Kantonis dan Hakka.
Pemerhatian yang sama juga boleh dibuat terhadap kumpulan etnik India yang terdiri
daripada pelbagai bahasa dan agama; iaitu Bengali, Layalai, Punjabi dan Telegu.
UNIT 1 13
Hubungan etnik di Malaysia

Takrifan autoriti Takrifan harian

Takrifan yang diberi pihak berkuasa Takrifan yang diguna pakai individu
seperti kerajaan dan ahli antropologi masyarakat dalam kehidupan harian
Bersifat tetap di mana sempadan etnik Bersifat fleksebil di mana sempadan
tidak berubah etnik boleh berubah
Sukar diterima pakai oleh individu Identiti etnik bersifat dinamik dan
masyarakat kompleks

Jadual 1.5 Takrifan etnik


Sumber: Shamsul A.B. (2012: 22 – 24)

Menurut Shamsul A.B. (2012: 22 – 24), takrifan etnik terbahagi kepada dua iaitu
takrifan autoriti dan takrifan harian. Takrifan autoriti adalah takrifan yang diberi
oleh kerajaan, ahli antropologi dan pihak berkuasa lain. Etnik Melayu, umpamanya,
ditakrifkan Perlembagaan Persekutuan sebagai seorang yang menganut agama Islam,
bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamalkan adat budaya Melayu. Ini adalah
takrifan rasmi Melayu oleh kerajaan Malaysia. Takrifan autoriti ini lebih bersifat tetap
di mana sempadan etnik tidak berubah. Disebabkan oleh sifatnya yang tetap, takrifan
autoriti sukar diterima pakai oleh masyarakat. Umpamanya, seorang Melayu yang
menganut agama Kristian masih menganggap dirinya seorang Melayu tetapi tidak
kepada pihak berkuasa. Ini menyebabkan individu masyarakat mungkin mempunyai
definisi yang berbeza mengenai identiti etnik mereka yang berasaskan kehidupan
harian. Takrifan harian lebih bersifat fleksibel di mana identiti etnik boleh berubah
mengikut keadaan. Seorang etnik Melanau yang beragama Islam dan berkahwin
dengan orang Melayu serta tinggal dalam perkampungan Melayu di Kuching
boleh mentakrifkan dirinya sebagai seorang Melayu. Tetapi apabila beliau kembali
ke kampung tradisionalnya di Mukah dan bercakap bahasa Melanau dengan ahli
keluarganya di sana, beliau mentakrifkan dirinya sebagai seorang Melanau. Takrifan
yang berbeza ini menyebabkan identiti etnik bersifat dinamik dan kompleks.

Kepelbagaian agama
Agama adalah salah satu aspek sempadan etnik yang mentakrifkan identiti seseorang.
Orang Melayu, umpamanya, ditakrifkan sebagai mereka yang boleh berbahasa
Melayu, menganut agama Islam dan mengamalkan adat budaya Melayu. Takrifan
Melayu berdasarkan Perlembagaan Persekutuan ini menjadikan agama Islam sebagai
teras kepada identiti Melayu. Begitu juga dengan etnik India yang majoritinya
beragama Hindu sementara etnik Iban dan Kadazan-Dusun menganuti agama
Kristian. Berdasarkan perangkaan 2010, Islam merupakan agama yang paling ramai
penganutnya di Malaysia dengan 61.3 peratus. Walau bagaimanapun, agama lain
tetap diamalkan. Antaranya ialah Buddha 19.8 peratus, Kristian 9.2 peratus, Hindu
6.3 peratus, Konfusianisme/Taoisme/agama tradisi Cina 1.3 peratus, tiada agama
0.7 peratus dan agama lain 0.4 peratus.
14 WAWASAN OPEN UNIVERSITY
MPU 3113/03 Hubungan Etnik

Konfusianisme/
Tiada Agama
Islam Buddha Kristian Hindu Taoisme/agama
agama lain
Tradisi Cina
Malaysia 61.3 19.8 9.2 6.3 1.3 0.7 0.4
Johor 58.2 29.6 3.3 6.6 0.8 0.3 0.2
Kedah 77.2 14.2 0.8 6.7 0.3 0.2 0.2
Kelantan 95.2 3.8 0.3 0.2 0.0 0.3 0.2
Melaka 66.1 24.4 3.0 5.9 0.2 0.2 0.2
Negeri Sembilan 60.3 21.2 2.4 13.4 0.5 0.8 0.3
Pahang 74.9 14.4 1.9 4.0 0.5 2.7 0.5
Perak 55.3 25.4 4.3 10.9 1.7 0.9 0.8
Perlis 87.9 10.0 0.6 0.8 0.2 0.2 0.1
Pulau Pinang 44.6 35.6 5.1 8.7 4.6 0.4 0.3
Sabah 65.4 6.0 26.6 0.1 0.1 0.3 0.1
Sarawak 32.2 13.5 42.6 0.2 6.0 2.6 1.0
Selangor 57.9 24.4 3.8 11.6 0.5 0.4 0.4
Terengganu 96.9 2.5 0.2 0.2 0.1 0.0 0.0
W.P. K.L. 46.4 35.7 5.8 8.5 1.1 0.5 0.6
W.P. Labuan 76.0 9.0 12.4 0.4 0.0 0.2 0.1
W.P. Putrajaya 97.4 0.4 0.9 1.0 0.0 0.0 0.1

Jadual 1.6 Agama dianuti mengikut negeri, Malaysia 2010


Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia (2011: 11)

Dalam kalangan negeri-negeri di Malaysia, Islam menjadi pegangan utama


masyarakat kecuali Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Sarawak. Di Pulau Pinang
dan Kuala Lumpur, agama Buddha adalah anutan utama memandangkan terdapat
ramai etnik Cina di negeri tersebut manakala Sarawak mempunyai penganut agama
Kristian yang paling ramai.

Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf kebebasan beragama di Malaysia tetapi


kebebasan ini tidaklah bersifat menyeluruh. Kumpulan etnik lain bebas menganut
agama lain tetapi kebebasan yang sama tidak diberikan kepada etnik Melayu.
Agama rasmi kumpulan etnik majoriti ini adalah Islam. Justeru, mereka tidak
dibenarkan menganut agama lain walaupun ada sebilangan kecil yang secara
terbuka mengisytiharkan diri mereka murtad. Perangkaan rasmi kerajaan, walau
bagaimanapun, tidak akan menunjukkan realiti sebenar pegangan agama kelompok
etnik Melayu ini.
UNIT 1 15
Hubungan etnik di Malaysia

Konfusianisme/
Tiada Agama
Islam Buddha Kristian Hindu Taoisme/agama
agama lain
Tradisi Cina
Melayu 100.00% 0.0% 0.0% 0.0% 0.0% 0.0% 0.0%
Cina 0.66% 83.71% 11.07% 0.23% 3.42% 0.77% 0.13%
India 4.13% 1.70% 5.99% 86.18% 0.04% 0.04% 1.92%
Bumiputera 41.49% 1.04% 47.71% 0.09% 4.05% 4.08% 1.55%
lain
Lain-lain 55.74% 27.93% 12.46% 2.44% 0.38% 0.60% 0.47%

Jadual 1.7 Agama dianuti mengikut kumpulan etnik, Malaysia 2010


Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia (2011: 82)

Berdasarkan perangkaan 2010, kesemua etnik Melayu adalah penganut agama


Islam. Dan sebagai kelompok yang membentuk majoriti penduduk di negara ini,
agama yang dianuti etnik Melayu ini diangkat sebagai agama Persekutuan. Islam
juga menjadi agama rasmi negeri-negeri Melayu di Semenanjung dan juga Sabah.

Aktiviti 1.2

Bincangkan perbezaan antara takrifan etnik autoriti dan harian.


Gunakan contoh-contoh untuk menyokong hujah anda.

Rumusan

1. Pada 1960, bilangan penduduk Malaysia ialah 8 juta orang.


Bilangan ini melonjak kepada 28.3 juta pada 2010. Ia dijangka
terus meningkat kepada 40 juta penduduk pada 2040.

2. Negeri yang mempunyai bilangan penduduk teramai di Malaysia


ialah Selangor dengan 5.5 juta manakala Wilayah Persekutuan
Putrajaya mencatatkan bilangan penduduk yang terendah,
0.07 juta.

3. Malaysia mempunyai lebih daripada 200 kumpulan etnik dan


sub-etnik.
16 WAWASAN OPEN UNIVERSITY
MPU 3113/03 Hubungan Etnik

4. Terdapat dua takrifan etnik yang berbeza iaitu takrifan autoriti


dan takrifan harian. Dalam konteks ini, takrifan Melayu seperti
yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan adalah
berbeza dengan takrifan yang diguna pakai oleh individu
masyarakat dalam kehidupan harian. Begitu jugalah dengan
takrifan kumpulan etnik lain.

5. Migrasi adalah penyumbang terbesar kepada pembentukan


masyarakat pelbagai etnik di Malaysia.

6. Tahap migrasi di Malaysia boleh dibahagikan kepada empat


fasa; iaitu fasa kemasukan orang Melayu secara besar-besar
pada era sebelum masihi; penghijrahan Melayu Sumatra dan
sejumlah kecil etnik Cina dan India antara awal masihi hingga
kurun ke-16; kemasukan beramai-ramai orang Cina, India dan
Indonesia antara lewat kurun ke-18 dan awal kurun ke-19;
dan migrasi yang berlaku pada pertengahan kurun ke-20.

7. Sabah mempunyai kumpulan etnik dan sub-etnik yang paling


banyak dalam kalangan negeri-negeri di Malaysia; lebih kurang
70 kumpulan.

8. Kumpulan etnik yang paling besar di Malaysia ialah Melayu,


Cina dan India.

9. Walaupun Bumiputera Sabah dan Sarawak adalah kumpulan


minoriti, mereka membentuk kumpulan etnik yang terbesar di
kedua-dua negeri ini. Di Sabah, antara kumpulan etnik yang
terbesar ialah Kadazan-Dusun, Bajau, Melayu dan Murut
manakala Iban, Melayu, Bidayuh dan Melanau adalah antara
kelompok etnik yang terbesar di Sarawak.

10. Islam adalah agama yang paling besar penganutnya di Malaysia.


Ini diikuti oleh agama Buddha, Kristian dan Hindu. Etnik
Melayu adalah kelompok terbesar penganut agama Islam.

Latihan Kendiri 1.1

1. Bincangkan pertumbuhan penduduk di Malaysia sejak 1960


hingga 2010.

2. Apakah yang dimaksudkan dengan konsep takrifan autoriti


dan takrifan harian?
UNIT 1 17
Hubungan etnik di Malaysia

3. Senaraikan kelompok Orang Asal di Sabah, Sarawak dan


Semenanjung Malaysia.

4. Bincangkan empat tahap migrasi yang membawa kepada


pembentukan masyarakat pelbagai etnik di Malaysia.

5. Jelaskan peranan agama dalam pembentukan identiti etnik.

Cadangan jawapan untuk aktiviti

Maklum Balas

Aktiviti 1.1

Populasi penduduk di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak pada awal


kurun ke-20 adalah dianggarkan berjumlah 3 juta sahaja.

Pada 1960, ia meningkat secara signifikan kepada 8 juta.

Pada 1991, populasi penduduk Malaysia terus meningkat kepada


17 juta orang.

Berdasarkan perangkaan terkini pada tahun 2000, populasi


penduduk di Malaysia ialah 28 juta.

Angka ini dijangka mencecah 40 juta pada 2040.

Antara negeri yang mempunyai populasi penduduk yang tertinggi


ialah Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak.

Manakala Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis mempunyai populasi


penduduk yang terendah dalam kalangan negeri-negeri di Malaysia.

Walaupun Sabah dan Sarawak adalah adalah antara negeri yang


terbesar dari segi saiz fizikalnya, jumlah penduduk di kedua-dua
negeri ini boleh dianggap kecil.

Pada 1960, hanya 15 peratus penduduk Malaysia menetap di negeri-


negeri Malaysia timur ini.

Perangkaan ini meningkat kepada 20.4 peratus pada 2010.


18 WAWASAN OPEN UNIVERSITY
MPU 3113/03 Hubungan Etnik

Aktiviti 1.2

1. Takrifan identiti etnik, menurut Shamsul A.B. (2012), boleh


dikategorikan kepada dua, iaitu takrifan autoriti dan takrifan
harian.

2. Takrifan autoriti adalah identiti yang diberikan oleh pihak


berkuasa manakala takrifan harian adalah identiti yang diguna
pakai individu masyarakat dalam kehidupan harian mereka.

3. Takrifan autoriti adalah identiti yang digunakan dalam urusan


rasmi manakala takrifan harian pula digunakan dalam
interaksi harian.

4. Sempadan etnik bagi takrifan autoriti adalah bersifat tetap


manakala sempadan etnik bagi takrifan harian adalah lebih
fleksebil.

5. Justeru, takrifan harian adalah lebih dinamik dan kompleks


berbanding takrifan autoriti.
UNIT 1 19
Hubungan etnik di Malaysia

1.2 Hubungan Etnik di Malaysia


Objektif
Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat:

1. Menjelaskan tahap hubungan etnik di Malaysia.

2. Membincangkan pendekatan kerajaan mentadbir urus hubungan etnik.

3. Meneliti beberapa insiden yang membawa ketegangan dan polarisasi dalam


kalangan masyarakat.

4. Membincangkan isu-isu hubungan etnik.

Pengenalan
Topik ini membincangkan keadaan semasa hubungan etnik di Malaysia dalam
kerangka yang lebih holistik dengan melihat perkembangan hubungan etnik sejak
lebih lima dekad. Ia dimulakan dengan menyelusuri sejarah hubungan etnik di
Malaysia sejak era sebelum merdeka hingga kurun ke-21. Setelah itu, Topik 1.2
meneliti usaha kerajaan mentadbir urus hubungan etnik di Malaysia dengan
menggunakan pendekatan integrasi nasional. Pola hubungan etnik di negara ini
tidak terlepas daripada konflik dan ketegangan. Justeru, adalah penting untuk
anda mengetahui hakikat konflik yang wujud dan usaha yang telah diambil untuk
menanganinya. Akhir sekali, beberapa isu serta faktor penting yang mempengaruhi
hubungan etnik akan dibincangkan agar pemahaman yang bersifat holistik mengenai
bentuk dan pola hubungan etnik di Malaysia dapat dicapai.

Hubungan etnik di Malaysia


Masyarakat pelbagai etnik bukanlah suatu fenomena unik yang berlaku di Malaysia
sahaja. Hakikatnya, sebilangan besar daripada 197 negara dunia mempunyai
masyarakat pelbagai etnik. Jadual 1.8 menunjukkan tahap kepelbagaian etnik
di beberapa buah negara termasuk Malaysia. Amerika Syarikat, umpamanya,
mempunyai masyarakat pelbagai etnik yang mempunyai susur galur dari setiap benua
dunia. Ini menjadikan Amerika sebuah negara yang mempunyai tahap kepelbagaian
etnik yang tinggi. Negara lain yang mempunyai kepelbagaian etnik yang tinggi
ialah Kanada, Rusia, India dan Nigeria. Malaysia pula dikategori dalam kelompok
sederhana bersama dengan United Kingdom, Australia, Israel dan Argentina.
Manakala negara seperti Sweden, Ireland, Mesir, Colombia dan Jepun mempunyai
tahap kepelbagaian etnik yang rendah. Kelompok negara ini juga boleh dikategorikan
sebagai negara yang mempunyai masyarakat bersifat homogen.
20 WAWASAN OPEN UNIVERSITY
MPU 3113/03 Hubungan Etnik

Tinggi Sederhana Rendah

Amerika Syarikat United Kingdom Sweden


Kanada Australia Republik Ireland
Rusia Israel Mesir
India Argentina Colombia
Nigeria Malaysia Jepun

Jadual 1.8 Kepelbagaian etnik beberapa negara terpilih


Sumber: Marger (1997: 9)

Sejak merdeka, hubungan etnik di Malaysia memperlihatkan pola turun naik tetapi
amnya masyarakat pelbagai etnik hidup dalam keadaan aman dan harmoni (Shamsul,
2012: 4). Pada era awal kemasukan masyarakat luar ke negeri-negeri Melayu, proses
asimilasi telah berlaku antara kumpulan ini dan masyarakat tempatan. Perkahwinan
campur adalah proses asimilasi yang penting di mana ia menyebabkan sempadan etnik
dan budaya kumpulan yang berhijrah semakin menghakis sehingga mereka dampak
seperti etnik Melayu pada waktu itu. Walau bagaimanapun, kedatangan beramai-
ramai kumpulan masyarakat dari China, India dan Indonesia pada kurun ke-18 dan
19 tidak disusuli dengan proses asimilasi, justeru menyebabkan identiti etnik mereka
kekal. Dasar pecah perintah British turut menyumbang kepada pengekalan identiti
orang Cina, India dan Indonesia. Interaksi antara kumpulan etnik tetap berlaku tetapi
ia hanya terhad dalam lapangan ekonomi sahaja (Abraham, 2004: 1 –2). Pada era pasca
merdeka, masyarakat pelbagai etnik bebas mengamalkan nilai, kepercayaan, bahasa
dan cara hidup mereka dan pada masa yang sama menerima kepercayaan dan budaya
kumpulan etnik lain. Akan tetapi, pelbagai cabaran terpaksa dihadapi negara dalam
menangani hubungan masyarakat pelbagai etnik di Malaysia. Cabaran yang paling
besar adalah peristiwa 13 Mei 1969 yang menjadi konflik etnik yang terburuk dalam
sejarah negara. Sejak peristiwa yang hampir menggugat asas kehidupan masyarakat
pelbagai etnik di negara ini, Malaysia cuba menyemai semangat perpaduan menerusi
pelbagai dasar sosio-ekonomi dan politik. Sejak peristiwa 1969, tiada konflik
etnik yang serius berlaku sehinggalah insiden Kampung Rawa pada 1998 dan
Kampung Medan pada 2001. Walau bagaimanapun, konflik etnik ini mampu
dikekang. Hubungan etnik kekal aman dan harmoni selepas itu sehinggalah
pertikaman lidah yang tidak putus antara pemimpin kumpulan etnik Melayu dan
bukan Melayu selepas pilihan raya umum 2008. Untuk mengupas secara lebih
terperinci perkembangan hubungan etnik di Malaysia, Shamsul A.B. (2011: 6 – 12)
mengklasifikasi tahap hubungan etnik di Malaysia kepada tiga fasa yang berbeza
iaitu era konflik, stabil tapi tegang dan kesepaduan sosial.

Era konflik (1945 – 1960)

Sebelum Perang Dunia Kedua, masyarakat pelbagai etnik di Tanah Melayu


mengamalkan adat serta kepercayaan masing-masing tanpa melakukan banyak
interaksi dengan kumpulan etnik lain kecuali dalam lapangan ekonomi. Keadaan
ini melahirkan bentuk hubungan etnik yang stabil tetapi tidak menentu. Prasangka
dan prejudis bertambah menular semasa Perang Dunia Kedua apabila segelintir
UNIT 1 21
Hubungan etnik di Malaysia

orang Melayu menyertai pentadbiran penjajah Jepun manakala sebilangan orang


Cina bersama sejumlah kecil orang Melayu membentuk Parti Komunis Malaya
(PKM) untuk menentang Jepun. Selepas perang, PKM melancarkan operasi untuk
menghapuskan individu Melayu yang dikatakan bersubahat dengan tentera Jepun.
Operasi yang berlangsung selama 14 hari ini memburukkan lagi hubungan antara
orang Melayu dan Cina yang sememangnya agak dingin dan penuh dengan prejudis
pada waktu itu.

Ketegangan antara dua kelompok etnik terbesar di Tanah Melayu pada waktu
itu berlanjutan apabila kerajaan kolonial British mengisytiharkan rancangan
pembentukan Malayan Union pada 1 April 1946. Cadangan ini mendapat
tentangan hebat orang Melayu yang melihat Malayan Union sebagai usaha untuk
menguntungkan etnik bukan Melayu. Keadaan ini menambahkan lagi ketegangan
dalam kalangan pelbagai etnik yang wujud pada ketika itu.

Bagi mengelak ketegangan menjadi semakin parah, kerajaan kolonial British telah
menubuhkan Jawatankuasa Perhubungan Komuniti pada 1949 bagi mengembalikan
kesepaduan sosial dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik. Jawatankuasa ini
berperanan membawa elit Melayu, Cina dan India untuk duduk berbincang bagi
mencapai kestabilan dan keharmonian. Kerjasama ini akhirnya membawa kepada
konsep perkongsian kuasa yang diterjemahkan kepada penubuhan gabungan tiga
parti utama di Tanah Melayu yang dikenali sebagai Perikatan. Pada mulanya,
Perikatan dianggotai oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan
Persatuan Cina Malaysia (MCA) bagi menghadapi pilihan raya kerajaan tempatan
di Kuala Lumpur pada 1952. Gabungan ini kemudiannya diperluaskan kepada
Kongres India Malaysia (MIC) pada 1955 bagi menghadapi pilihan raya umum
pertama di Malaysia. Kerjasama politik dalam kalangan elit Melayu, Cina dan India
ini meredakan ketegangan yang timbul pada era pra merdeka.

Era stabil tapi tegang (1961 – 1970)

Setelah mencapai kemerdekaan, polarisasi etnik masih menebal tanpa adanya usaha
jitu kerajaan untuk menanganinya. Selain itu, pembangunan ekonomi juga agak
perlahan dan hanya membawa faedah kepada segelintir pihak sahaja. Lantaran itu, elit
Melayu melalui beberapa siri persidangan Kongres Ekonomi Bumiputera meminta
agar isu peningkatan taraf hidup Melayu diambil perhatian. Mereka juga menuntut
supaya bahasa, budaya Melayu dan agama Islam dijadikan teras pentadbiran negara
(Mansor 2006: 111). Walaupun ketegangan tetap dirasai pada era 1960an, hubungan
etnik masih kekal stabil dan terkawal.

Pada 1963, Sabah, Sarawak dan Singapura bergabung dengan Tanah Melayu untuk
membentuk negara baharu yang dikenali sebagai Malaysia. Hubungan etnik kekal
stabil pada waktu itu tetapi agak tegang terutamanya antara etnik Melayu dan Cina.
Ketegangan ini akhirnya membawa kepada tercetusnya rusuhan etnik Melayu-Cina
di Singapura pada 21 Julai dan 3 September 1964. Pihak berkuasa menganggarkan
sejumlah 40 nyawa terkorban manakala ribuan perusuh ditahan.
22 WAWASAN OPEN UNIVERSITY
MPU 3113/03 Hubungan Etnik

Tidak lama selepas rusuhan etnik di Singapura, tercetus lagi rusuhan berdarah antara
orang Melayu dan Cina di Kuala Lumpur dan beberapa tempat lain sekitarnya pada
13 Mei 1969. Data rasmi mengganggarkan 250 nyawa telah terkorban tetapi ada
yang menyatakan angka sebenar adalah jauh lebih tinggi daripada itu. Konflik etnik
ini bukan sahaja didorong oleh faktor etnik semata-mata tetapi yang lebih penting
ialah faktor sosio-ekonomi. Antaranya ialah masalah ketidaksamarataan, kemunduran
dan kemiskinan (Mansor, 2006: 111).

Selepas peristiwa hitam ini, pelbagai usaha telah dilakukan kerajaan untuk
mengembalikan kestabilan dan kesepaduan sosial dalam kalangan masyarakat
pelbagai etnik di Malaysia. Salah satu strategi negara ialah untuk memastikan
keseimbangan dan keadilan dalam dasar sosio-ekonomi dan politik.

Era kesepaduan sosial (1971 – 2011)

Bagi memastikan peristiwa 13 Mei 1969 tidak berulang lagi, kerajaan mengambil
langkah untuk merapatkan jurang sosio-ekonomi antara etnik yang semakin meluas
selepas negara mencapai kemerdekaan. Antara dasar yang diperkenalkan untuk
menangani isu hubungan etnik pada era pasca 1969 ialah Dasar Ekonomi Baharu
(DEB) dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Diperkenalkan bagi tempoh masa panjang
(1970-1990), DEB memberi penekanan terhadap isu pembasmian kemiskinan
tanpa mengira etnik dan menyusun semula struktur ekonomi agar pekerjaan tidak
menampakkan batas etnik. DEB telah mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi
yang tinggi, mengurangkan kadar kemiskinan secara drastik dan meningkatkan
jumlah kelas menengah dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik.

Selain DEB, kerajaan turut memperkenalkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan pada


1971. Objektif dasar ini adalah untuk memperkukuh perpaduan melalui identiti
nasional yang berteraskan budaya dan kepercayaan etnik majoriti iaitu Melayu. Dasar
ini diterima baik oleh kumpulan etnik Melayu kerana ianya adalah selari dengan
budaya dan kepercayaan mereka tetapi lain pulanya dengan kumpulan etnik minoriti.
Timbul persoalan bahawa dasar kebudayaan ini bertujuan untuk menghapuskan
identiti etnik mereka. Umpamanya, dasar ini menggariskan bahawa tarian singa wajar
ditukar kepada tarian harimau bagi mencerminkan keunikan negara ini. Perubahan
sebegini menimbulkan rasa tidak puas hati kelompok minoriti. Atas sebab inilah,
usaha kerajaan untuk melahirkan bangsa Malaysia menemui jalan buntu.

Selain itu, dasar-dasar yang diperkenalkan pada era pasca 1969 berupaya
mengembalikan kestabilan dan keharmonian tetapi ia turut meningkatkan polarisasi
antara etnik. Lantaran itu, terdapat beberapa insiden ketegangan yang berlaku dalam
kalangan beberapa kumpulan etnik pada lewat tahun 1990an seperti di Kampung
Rawa, Pulau Pinang dan Kampung Medan. Konflik etnik ini bukan didorong
semata-mata oleh faktor etnik tetapi juga ketidakseimbangan pembangunan dan
urus tadbir kerajaan, ketidaksamarataan antara wilayah, kemiskinan bandar dan
peminggiran beberapa segmen masyarakat (Mansor et. al., 2006: 102).
UNIT 1 23
Hubungan etnik di Malaysia

Setelah lebih lima dekad mencapai kemerdekaan, kumpulan etnik minoriti menuntut
supaya hak warganegara diberi sama rata dan kek agihan ekonomi diagih secara adil
tanpa mengira batas etnik. Tuntutan ini bukan sengaja untuk mempersoalkan kontrak
sosial yang dipersetujui pada ambang kemerdekaan, sebaliknya ia adalah manifestasi
perubahan sosio-ekonomi yang telah melanda masyarakat pelbagai etnik di Malaysia.
Orang Cina, India dan Indonesia bukannya warga asing sebaliknya mereka adalah
orang Malaysia. Justeru, timbul persoalan mengapa ada kumpulan etnik yang
mendapat keistimewaan yang lebih berbanding kumpulan etnik lain walhal mereka
semua adalah warganegara. Polemik ini membawa kepada cabaran baharu kepada
negara dalam menangani isu hubungan etnik di Malaysia. Keseimbangan harus
dicapai antara memenuhi tuntutan kumpulan majoriti Melayu dan kelompok etnik
minoriti agar kestabilan serta keharmonian dapat dipelihara.

Aktiviti 1.3

Bincangkan secara ringkas tiga fasa hubungan etnik di Malaysia.

Integrasi nasional
Kajian hubungan etnik di Malaysia didominasi dua pendekatan yang berbeza
iaitu konflik dan orde. Pendekatan pertama cenderung mengkaji isu ketegangan
dan konflik di Malaysia. Kestabilan yang ada, menurut pendekatan ini, hanyalah
bersifat sementara sahaja. Apabila timbul isu atau insiden panas yang membabitkan
kumpulan etnik yang berbeza, ia berupaya mencetuskan rusuhan dan pertumpahan
darah.

Alternatif kepada pendekatan konflik ialah pendekatan orde. Pendekatan ini tidak
menafikan kewujudan konflik yang sememangnya sesuatu yang lumrah dalam
masyarakat pelbagai etnik. Sebaliknya, ia cuba menekankan kepada isu kestabilan
dan keharmonian. Hakikat bahawa insiden rusuhan etnik jarang berlaku di Malaysia
menunjukkan bahawa kestabilan dan keharmonian adalah sesuatu yang boleh
dicapai. Kedua-dua pendekatan kajian hubungan etnik ini adalah penting kerana
ia boleh memberi pemahaman yang bersifat holistik mengenai bentuk dan pola
hubungan etnik di Malaysia. Hasil kajian kedua-dua pendekatan ini menjadi fokus
perbincangan dalam bahagian seterusnya.

Dalam usaha untuk mengurus hubungan etnik di Malaysia, kerajaan telah berusaha
membentuk integrasi nasional agar kestabilan dan keharmonian dapat dicapai.
Integrasi, menurut Howards Wriggins, ialah proses menyatukan masyarakat etnik
yang pelbagai supaya menjadi sebuah bangsa yang bersatu. John McAlister pula
mentakrif integrasi nasional sebagai proses pembentukan sebuah bangsa yang
dahulunya berpecah kepada sebuah bangsa yang baharu dan bersatu (Wan Hashim,
2001: 4).
24 WAWASAN OPEN UNIVERSITY
MPU 3113/03 Hubungan Etnik

Dengan kejadian konflik yang berlaku sebelum ini, Malaysia cuba mengembalikan
kestabilan dan kesepaduan sosial melalui proses integrasi nasional. Inisiatif ini
diterjemahkan dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 di mana identiti nasional
yang berteraskan budaya dan kepercayaan orang Melayu diangkat sebagai teras
utama dasar tersebut. Objekif dasar ini ialah untuk memperkukuh perpaduan dan
memelihara keperibadian kebangsaan, berasaskan budaya penduduk asli (Melayu)
dan agama Islam.

Seterusnya pada tahun 1991, kerajaan di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir


Mohamad memperkenalkan konsep Bangsa Malaysia. Konsep bangsa Malaysia ini
digarap seiring dengan Dasar Wawasan 2020 yang diperkenalkan Tun Dr Mahathir
pada tahun yang sama. Untuk mencapai status negara maju pada tahun 2020,
Tun Dr Mahathir menggariskan sembilan cabaran yang perlu dihadapi negara.
Berdasarkan beberapa siri ucapan Tun Dr Mahathir sejak 1998, beliau mentakrifkan
bangsa Malaysia sebagai ‘kelompok yang boleh mengidentifikasi diri mereka dengan
negara ini, bercakap Bahasa Malaysia dan menerima perlembagaan tetapi pada
masa yang sama kekal sebagai orang Cina, India, Iban atau Kadazan’ (Mohamed
Mustapha, 2006: 54). Dengan kata lain, bangsa Malaysia hanya mengambil bentuk
identiti politik tetapi mengekalkan identiti budaya dan kepercayaan kumpulan etnik
masing-masing.

Konsep bangsa Malaysia ini lebih menjurus kepada pendekatan masyarakat plural di
mana setiap kumpulan etnik minoriti diberi kebebasan untuk mengekalkan budaya
dan kepercayaan mereka masing-masing tetapi bekerjasama dengan kumpulan etnik
lain dalam lapangan ekonomi dan politik.

Aktiviti 1.4

Senaraikan cabaran-cabaran yang dihadapi negara dalam


merealisasikan pembentukan bangsa Malaysia.

Polarisasi dan ketegangan


Seperti yang dinyatakan sebelum ini, pendekatan konflik sering mendominasi kajian
hubungan etnik di Malaysia. Ramai pengkaji seperti Freedman (1960), Esman
(1972), Hirschman (1975), Basham (1983), Horowitz (1983), Abdullah Taib (1984),
Fatimah Daud (1985), Agoes Salim (1975), Lim (1995), Sanusi Osman (1989),
Jesudason (1989), Lee (1990), Mohd Noor Nawawi (1990) dan Cheu Hock Tong
(1995) mendakwa bahawa polarisasi semakin menebal dan hubungan etnik semakin
menegang (Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara, 2004: 20).
UNIT 1 25
Hubungan etnik di Malaysia

Salah satu penulisan yang menilai kerapuhan hubungan etnik di Malaysia ialah
Syed Husin Ali (2008). Beliau berpendapat bahawa sentimen etnik masih menebal
walaupun pelbagai usaha telah diambil untuk mengurangkannya. Sentimen sebegini
akhirnya membawa kepada pelbagai konflik di Malaysia (Syed, 2008: 87); iaitu di

• Batu Pahat (1945 – 46)

• Batu Malim, Raub (1946)

• Batu Kikir (1946)

• Pulau Pinang (1958)

• Pangkor (1959)

• Bukit Mertajam (1967)

• Kuala Lumpur (1969) dan

• Kampung Rawa, Pulau Pinang (1998)

Syed berpendapat bahawa sentimen etnik yang menebal ini mampu membawa
kepada konflik dan keganasan yang serius. Beliau menggariskan beberapa faktor
yang telah menyumbang kepada konflik etnik di Malaysia.

1. Rusuhan etnik berlaku kerana perbezaan dan percanggahan nilai atau


kepentingan. Memandangkan setiap kumpulan etnik mempunyai budaya
serta kepercayaan yang berbeza, konflik mudah tercetus sekiranya berlaku
insiden yang menyentuh sensitiviti kumpulan etnik tertentu.

2. Sikap stereotaip dan prejudis boleh membawa kepada ketegangan. Sikap


ini timbul disebabkan oleh kegagalan kumpulan etnik yang berbeza
memahami budaya serta kepercayaan etnik lain.

3. Ketidakseimbangan dalam lapangan ekonomi dan politik mampu


mencetuskan konflik. Apabila ada kelompok etnik tertentu memperoleh
kekayaan manakala kelompok lain pula terpinggir, ketidakseimbangan ini
akan menimbulkan rasa tidak puas hati dan seterusnya tentangan.

4. Dasar pecah perintah kerajaan menyebabkan isu serta tindakan tertentu


dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk meraih
sokongan umum. Ini boleh membawa kepada rusuhan etnik.
26 WAWASAN OPEN UNIVERSITY
MPU 3113/03 Hubungan Etnik

Memahami hubungan etnik


Majoriti masyarakat pelbagai etnik di Malaysia masih komited untuk mengekalkan
kestabilan dan keharmonian yang sudah lama terpelihara. Walau bagaimanapun,
kesabaran serta toleransi masyarakat Malaysia sudah pasti ada hadnya. Justeru,
suara-suara ekstrim yang lantang mendominasi wacana umum tidak wajar dibiarkan.
Walau pun isu-isu sensitif ini tidak semestinya membawa kepada konflik dan
rusuhan etnik, ia sudah pasti mengukuhkan lagi sentimen stereotaip dan prejudis
dalam kalangan masyarakat.

Justeru, kerajaan dan masyarakat umum perlu menangani isu ini dengan berhati-hati
tanpa mengetepikan kepentingan serta hak kumpulan etnik yang terlibat. Pendekatan
kerajaan yang beralih daripada asimilasi kepada pluralisme wajar dipuji. Selain itu,
tindakan kerajaan untuk mengujudkan keseimbangan dalam lapangan ekonomi dan
politik sebagai kaedah untuk mengujudkan integrasi nasional juga wajar diteruskan.
Walau bagaimanapun, kerajaan tidak wajar membiarkan kelompok ektrimis etnik
dan agama terutamanya daripada kelompok majoriti merosakkan agenda negara ini.
Dakwaan bahawa kelompok ektrimis ini didalangi pihak pemerintah perlu disangkal
sekeras-kerasnya dengan mengambil pendekatan tegas terhadap mereka.

Pada masa yang sama, setiap kumpulan etnik dan agama perlu memainkan peranan
masing-masing dalam menjaga keharmonian etnik dan kestabilan negara. Dalam
usaha mereka memperjuangkan hak serta kepentingan masing-masing, adalah
penting usaha ini dilakukan dalam ruang lingkup perlembagaan dan kepentingan
nasional. Hujah atau proses melobi perlulah dilakukan dalam keadaan rasional,
berhemah dan terkawal.

Bentuk hubungan etnik di Malaysia adalah bersifat plural di mana masyarakat


pelbagai etnik mengekalkan identiti masing-masing dan hidup dalam lingkungan
kelompok masyarakat mereka sahaja. Interaksi dalam kalangan kumpulan etnik
yang berbeza adalah agak minima dan lebih tertumpu dalam lapangan ekonomi
dan politik. Walau bagaimanapun, ada yang berpendapat bahawa jurang etnik ini
semakin mengecil disebabkan proses pendemokrasian dan globalisasi.

Rumusan

1. Dalam kalangan negara dunia, Malaysia dikategorikan sebagai


negara yang mempunyai tahap kepelbagaian etnik yang
sederhana. Amerika Syarikat adalah antara negara yang
mempunyai tahap kepelbagaian etnik yang tinggi manakala
Jepun mempunyai tahap kepelbagaian etnik yang rendah.

2. Pola hubungan etnik di Malaysia boleh dibahagikan kepada tiga


fasa yang berbeza iaitu; era konflik (1945 –1960), era stabil tapi
tegang (1961 – 1970) dan era kesepaduan sosial (1971 – 2011).
UNIT 1 27
Hubungan etnik di Malaysia

3. Integrasi nasional ialah usaha memupuk perpaduan serta


keharmonian dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik.
Ia boleh dicapai melalui dua kaedah iaitu proses asimilasi dan
pluralisme.

4. Kerajaan telah memperkenalkan tiga dasar yang berbeza untuk


mencapai integrasi nasional iaitu Dasar Kebudayaan Kebangsaan
1971, Bangsa Malaysia 1991 dan 1Malaysia 2010.

5. Proses asimilasi adalah keadaan di mana kumpulan etnik


minoriti mengintegrasi diri mereka ke dalam kehidupan etnik
majoriti. Hasilnya, sempadan etnik tidak lagi kelihatan kerana
kelompok minoriti hampir menyerupai kelompok majoriti.

6. Pluralisme ialah keadaan di mana setiap kumpulan etnik


mengekalkan identiti etnik mereka masing-masing dan hanya
berinteraksi dengan kumpulan etnik lain dalam lapangan
ekonomi dan politik sahaja.

7. Polarisasi ialah keadaan di mana sempadan etnik menebal


sehingga mampu memperkukuhkan jurang perbezaan antara
kumpulan etnik yang berbeza.

8. Sejak 1957, hubungan etnik di Malaysia berada pada tahap


seimbang dan harmoni walaupun wujud beberapa insiden
ketegangan dan rusuhan etnik berdarah.

9. Kajian hubungan etnik di Malaysia terbahagi kepada dua


pendekatan berbeza iaitu konflik dan orde. Pendekatan
konflik cenderung untuk mengkaji ketegangan dan krisis
yang berlaku dalam masyarakat pelbagai etnik. Pendekatan
orde pula lebih memfokus kepada kestabilan dan keharmonian
dalam masyarakat. Ia tidak menafikan kewujudan konflik,
sebaliknya ia melihat konflik sebagai lumrah dalam kehidupan
masyarakat pelbagai etnik.

Latihan Kendiri 1.2

1. Bincangkan tiga fasa hubungan etnik di Malaysia.

2. Jelaskan cabaran-cabaran yang dihadapi kerajaan dalam usaha


memupuk intergrasi nasional.

3. Bincangkan bentuk hubungan etnik di Malaysia pada era pasca


pilihan raya umum 2008.
28 WAWASAN OPEN UNIVERSITY
MPU 3113/03 Hubungan Etnik

Cadangan jawapan untuk aktiviti

Maklum Balas

Aktiviti 1.3

1. Era konflik

a. Polarisasi etnik agak menebal sebelum Perang Dunia Kedua.

b. Ia bertambah tegang selepas Perang kerana rasa prejudis dan


dendam antara orang Melayu dan segelintir Cina dalam Parti
Komunis Malaya

c. Untuk meredakan ketegangan, penjajah British


mencadangkan konsep perkongsian kuasa antara kumpulan
etnik utama.

2. Era stabil tapi tegang

a. Stratifikasi dan polarisasi etnik yang tidak ditangani


menambah lagi ketegangan etnik.

b. Keadaan ini diburukkan lagi oleh tahap kemiskinan yang


tinggi dalam kalangan orang Melayu dan Bumiputera.

c. Akibatnya, konflik etnik berdarah tercetus pada 13 Mei 1969.

3. Era kesepaduan sosial

a. Pelbagai langkah diambil kerajaan untuk mengembalikan


kesepaduan sosial.

b. Ini menyumbang kepada kestabilan dan keharmonian etnik.

c. Walau bagaimanapun, beberapa insiden yang membabitkan


pertelingkahan etnik tetap berlaku
UNIT 1 29
Hubungan etnik di Malaysia

Aktiviti 1.4

1. Penolakan kumpulan minoriti terhadap budaya Melayu sebagai


teras pembentukan identiti nasional.

2. Usaha kerajaan untuk memupuk identiti nasional sering


dipolitikkan samada oleh pemimpin Barisan Nasional mahupun
pembangkang.

3. Dasar ekonomi dilihat tidak adil kerana lebih mengutamakan


orang Melayu dan Bumiputera.
30 WAWASAN OPEN UNIVERSITY
MPU 3113/03 Hubungan Etnik
UNIT 1 31
Hubungan etnik di Malaysia

1.3 Konsep dan Teori Hubungan Etnik


Objektif
Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat:

1. Mendefinisikan konsep-konsep asas hubungan etnik seperti ras, etnik,


stratifikasi, prejudis dan diskriminasi.

2. Menjelaskan pola-pola hubungan etnik.

3. Membincangkan tipologi masyarakat pelbagai etnik.

Pengenalan
Pelbagai persoalan timbul apabila kita cuba mengupas permasalahan hubungan
etnik di Malaysia. Apakah yang dimaksudkan dengan etnik? Adakah ia mempunyai
pengertian yang sama dengan konsep ras? Apakah pula dimaksudkan dengan
hubungan etnik? Apakah bentuk hubungan etnik di Malaysia? Adakah ia bersifat
plural atau telah melalui proses asimilasi, dan apakah maksud kedua-dua konsep
ini? Apakah pola hubungan etnik di Malaysia sejak lebih lima dekad ini? Adakah ia
semakin harmonis atau semakin menegang? Untuk menjawab persoalan-soalan ini,
Topik 1.3 mengupas konsep-konsep asas dan teori hubungan etnik yang menjelaskan
bentuk serta pola hubungan etnik secara amnya dan di Malaysia khususnya.
Perbincangan mengenai konsep dan teori hubungan etnik ini membolehkan pelajar
hubungan etnik mengetahui wacana subjek penting ini dan amalannya.

Topik ini bermula dengan menerangkan konsep-konsep asas seperti ras dan etnik.
Selepas itu, perbincangan diteruskan dengan mengupas konsep stratifikasi etnik,
prejudis dan diskriminasi. Ketiga-tiga konsep ini menjelaskan bentuk-bentuk
interaksi yang terjalin antara individu dalam kalangan kumpulan etnik yang berbeza.
Selanjutnya, topik ini membincangkan pola dan tipologi hubungan etnik.

Ras dan etnik


Konsep asas dalam kajian hubungan etnik ialah ras dan etnik. Kedua-dua terma ini
digunakan secara silih berganti, seolah-olah ia mempunyai maksud serta pengertian
yang sama. Hakikatnya, ras dan etnik adalah dua konsep yang berbeza.

Ras

Idea mengenai ras mempunyai susur galur yang panjang dan lama. Ia telah
diperdebatkan sejak tamadun purba lagi (Marger, 2011: 19). Walau bagaimanapun,
idea dan wacana ras ini mulai mendapat tempat dalam kalangan pengkaji sejak dua
kurun kebelakangan ini. Terma ras telah digunakan secara tidak konsisten kerana ia
32 WAWASAN OPEN UNIVERSITY
MPU 3113/03 Hubungan Etnik

mempunyai makna yang berbeza kepada kelompok yang berbeza. Ras, pada kurun
ke-16 dan 17 di Eropah, merujuk kepada keturunan daripada waris yang sama; di
mana pengkelasan kumpulan manusia menekankan kepada pertalian persaudaraan
dan bukannya ciri fizikal seperti warna kulit, bentuk muka dan badan. Terma ras,
walau bagaimanapun, membawa pengertian yang berbeza pada kurun ke-18. Ia
merujuk kepada kelompok manusia yang mempunyai ciri fizikal dan biologi tertentu
yang diwarisi secara turun-temurun (Feagin dan Feagin, 1993: 5).

Pada 1684, ahli fizik Peranchis Francois Bernier menjadi individu pertama
mengklasifikasi manusia kepada kategori yang berbeza berdasarkan ciri muka dan
warna kulit. Beliau membahagikan manusia kepada empat kategori: Timur Jauh,
Eropah, Hitam dan Lapp (Walton dan Caliendo, 2011: 3). Selepas itu, beberapa jenis
pengkelasan yang berbeza dibentuk oleh pengkaji lain yang umumnya membahagikan
manusia berdasarkan ciri fizikal di mana golongan kulit putih Eropah berada di
hieraki teratas manakala kelompok Afrika berada di bawah.

Penggunaan terma ras oleh ahli biologi dan antropologi fizikal pada lewat kurun
ke-18 dan 19 mengekalkan pengertian fizikal dan biologikal ini. Ahli antropologi
fizikal membezakan tiga ciri utama manusia iaitu: (1) ciri anatomi seperti warna
kulit, tekstur rambut, bentuk muka dan badan; (2) ciri fisiologi dalaman seperti
kadar metabolisme, penyakit genetik dan aktiviti hormon; dan (3) komposisi darah
(Marger, 1997: 20). Pada lewat kurun ke-19, ramai pengkaji Eropah mengklasifikasi
kelompok manusia yang tidak mempunyai susur galur dari Eropah Utara sebagai
kelompok ras yang berstatus rendah. Dalam konteks inilah, ideologi rasisme muncul.
Ia adalah ideologi yang melihat hubungan antara ciri fizikal manusia dengan
keupayaan psikologi dan intelek mereka. Atas premis inilah, kumpulan ras yang
lebih kuat dan lemah dibezakan (Feagin dan Feagin, 1993: 6). Ideologi rasisme ini
mendorong kepada merebaknya penjajahan Barat di Asia, Afrika dan Amerika. Ia
juga digunakan pemimpin kuku besi seperti Adolf Hitler untuk menindas golongan
minoriti Eropah khususnya orang Yahudi.

Walaupun hujah ras ini sangat dominan pada suatu masa dahulu, tiada bukti
saintifik untuk menunjukkan hubung kait antara ciri fizikal dengan kemampuan
intelek. Tambahan pula, dengan adanya perkahwinan campur dan hubungan
merentas budaya, adalah mustahil untuk mengkelaskan manusia berdasarkan ciri
fizikal mereka.

Etnik

Jika ahli biologi dan antropologi fizikal cenderung untuk mengelaskan manusia
berdasarkan ciri fizikal dan biologi, ahli sains sosial pula lebih cenderung
menggunakan lensa sosial. Pendekatan alternatif inilah yang membawa kepada
penggunaan terma etnik. Berbeza dengan ras, konsep etnik adalah terma yang
dianggap agak baharu. Ia muncul dalam kamus bahasa Inggeris pada tahun 1960an
(Marger, 2011: 12). Etnik merujuk kepada kumpulan yang menunjukkan ciri budaya
seperti bahasa dan agama yang tertentu. Walau bagaimanapun, ciri budaya yang
unik sahaja tidak mencukupi untuk mendefinisikan kumpulan etnik. Satu lagi aspek
sempadan etnik yang penting ialah perasaan kekitaan. Ahli sosiologi terkenal, Milton
Gordon (1964) menyatakan bahawa kumpulan etnik berperanan sebagai sumber
UNIT 1 33
Hubungan etnik di Malaysia

rujukan sosio-psikologikal dalam membentuk perasaan kekitaan (peoplehood)


(dalam Marger, 2011: 13). Perasaan kekitaan ini wujud daripada kesedaran manusia
mengenai warisan atau keturunan mereka.

Kebelakangan ini, ramai ahli sosiologi yang mempertikaikan peranan aspek


budaya dan perasaan kekitaan sebagai faktor penting pembentukan kumpulan
etnik (Marger, 2011: 13). Dalam konteks ini, Barth (1969) berhujah bahawa
sempadan etnik itu bersifat subjektif dan sentiasa berubah (dalam Marger 2011:
13). Ahli sosiologi, pada mulanya, beranggapan bahawa apabila kumpulan manusia
diasimilasikan ke dalam kelompok masyarakat yang lebih besar, identiti etnik
mereka akan terhakis dan terhapus. Sebaliknya, identiti etnik kumpulan minoriti
ini masih kekal terpelihara walaupun mereka tidak mempraktikkan adat serta
kepercayaan etnik mereka. Ini adalah kerana mereka masih mengidentifikasi diri
mereka sebagai sebuah kumpulan etnik. Secara kesimpulan, ada dua pengertian
kumpulan etnik: (1) ia adalah sebuah kumpulan manusia yang mempunyai
nilai budaya yang tersendiri, dan (2) ia adalah produk daripada pemikiran atau
deklarasi sekelompok manusia yang melihat diri mereka sebagai sebuah kumpulan
etnik.

Perasaan kekitaan yang melampau secara lumrahnya boleh membawa kepada


sikap etnosentrik iaitu pandangan yang beranggapan bahawa kumpulan etniknya
adalah lebih tinggi kedudukannya daripada kumpulan etnik lain. Pandangan ini
beranggapan bahawa cara dan nilai kumpulan mereka adalah betul dan normal
manakala cara serta nilai kumpulan lain sebagai ganjil dan tidak normal. Sikap
etnosentrik yang keterlaluan mempunyai impak negatif yang sama dengan rasisme,
iaitu konflik antara kumpulan masyarakat yang berbeza.

Stratifikasi, prejudis dan diskriminasi


Dalam setiap masyarakat, ia mempunyai sistem pembahagian sumber yang
berbeza. Pembahagian sumber yang berbeza ini membawa kepada wujudnya sistem
stratifikasi. Ia adalah sistem yang membahagikan manusia berdasarkan jumlah
faedah atau kekayaan negara yang mereka terima. Kelompok yang menerima
faedah yang terbanyak akan diletakkan di tampuk teratas sistem hieraki manakala
yang mendapat faedah yang sedikit diletakkan di bawah. Masyarakat moden
distratifikasikan berdasarkan pelbagai dimensi di mana yang paling dominan ialah
stratifikasi kelas. Dalam konteks ini, manusia dibahagikan mengikut pendapatan,
kekayaan dan pekerjaan. Satu lagi bentuk stratifikasi yang tidak kurang pentingnya
iaitu stratifikasi etnik.

Stratifikasi etnik

Stratifikasi etnik adalah aturan hieraki di mana kumpulan etnik tertentu mengambil
kedudukan dominan manakala kelompok etnik lain mempunyai skop kuasa yang
lebih kecil bergantung kepada kedudukan mereka dalam hieraki tersebut. Umumnya,
hieraki kumpulan dibentuk berdasarkan sejauh mana kumpulan tersebut berbeza
dengan kumpulan etnik yang dominan. Kumpulan yang hampir menyerupai
kumpulan etnik dominan akan diletakkan di kedudukan tinggi manakala kumpulan
34 WAWASAN OPEN UNIVERSITY
MPU 3113/03 Hubungan Etnik

etnik yang berbeza dengan kumpulan dominan akan diletakkan di bawah. Ahli
sosiologi, umumnya, merujuk sistem stratifikasi etnik kepada sistem majoriti-
minoriti, atau dominan-bawahan (Marger, 2011: 43).

Sama ada seseorang itu menjadi sebahagian kelompok dominan atau minoriti adalah
bergantung kepada situasi sosial (Marger, 2011: 52). Dalam keadaan tertentu,
sesebuah kumpulan etnik akan menjadi kumpulan yang dominan tetapi dalam
konteks sosial yang lain, mereka dianggap sebagai kumpulan minoriti. Umpamanya,
masyarakat Melayu Sarawak dianggap sebagai kelompok minoriti di Malaysia.
Walau bagaimanapun, di mata masyarakat Iban, Melayu Sarawak adalah sebahagian
daripada kelompok dominan Melayu. Keahlian dalam sesebuah masyarakat bagi
kumpulan etnik adalah bukan sesuatu yang mudah. Seringkali berlaku pertindihan
atau kekaburan status sesebuah kumpulan etnik tersebut.

Untuk mengukuhkan kuasa dan mengekalkan kedudukan istimewa mereka,


kelompok majoriti menggunakan dua alat iaitu prejudis dan diskriminasi (Marger,
2011: 70). Dengan kata lain, prejudis dan diskriminasi bukan setakat luahan sikap
rasisme atau etnosentrik tetapi ia adalah teknik dominasi kelompok majoriti. Ini
adalah tren yang berlaku di banyak negara pelbagai etnik. Walau bagaimanapun,
ini tidak bermakna sikap prejudis dan diskriminasi hanya dilakukan oleh kelompok
majoriti atau dominan sahaja. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, termasuklah
kumpulan etnik minoriti.

Prejudis

Prejudis adalah imej mental yang bersifat tetap mengenai kelompok individu tertentu.
Ia adalah kepercayaan umum yang selalunya bersifat negatif terhadap kesemua ahli
dalam kumpulan tersebut. Sikap prejudis mempunyai beberapa ciri khusus iaitu:

1. Ia adalah pandangan yang bersifat umum. Individu dinilai berdasarkan


ikatan mereka terhadap kumpulan etniknya, dan bukan sifat peribadi
individu tersebut. Oleh itu, prejudis melangkaui norma rasional kerana
individu tidak dinilai secara objektif dan adil sebagai seorang individu
tetapi lebih kepada pandangan umum mengenai kumpulan etniknya.

2. Prejudis tidak bersifat fleksibel. Individu yang mempunyai sifat prejudis


terhadap kelompok etnik tertentu mempunyai ikatan emosi terhadap
pandangan tersebut. Ini menyebabkan pandangan prejudis tidak mudah
diubah walaupun adanya bukti untuk menafikan kebenarannya.

3. Prejudis selalunya mempunyai konotasi yang negatif. Walau bagaimanapun,


prejudis juga boleh bersifat positif. Cuma, prejudis positif ini selalu
digunakan untuk mengambarkan kekuatan serta ketuanan kumpulan
etnik yang dominan manakala prejudis negatif digunakan untuk menilai
kumpulan etnik minoriti.
UNIT 1 35
Hubungan etnik di Malaysia

4. Akhir sekali, prejudis adalah imej yang salah atau tidak tepat mengenai
sesebuah kumpulan etnik. Jenis prejudis ini dipanggil stereotaip. Menurut
Walter Lippmann, stereotaip, adalah ‘gambar dalam kepala kita’ yang
terbentuk bukan hasil daripada pengalaman peribadi (dalam Marger,
2011: 71 –72). Sebaliknya, ia terbentuk hasil daripada peristiwa yang berlaku
sebelum itu dan juga pengaruh agen sosialisasi terutamanya media massa.

Diskriminasi

Jika prejudis adalah aspek sikap dalam stratifikasi etnik, diskriminasi pula adalah
aspek tingkah laku. Diskriminasi meliputi tingkah laku yang bertujuan untuk
menafikan kumpulan etnik tertentu daripada mendapat akses yang sama rata
terhadap faedah atau kekayaan negara. Justeru, diskriminasi adalah lebih daripada
sekadar mempunyai tanggapan negatif terhadap kumpulan etnik lain. Ia adalah
tindakan atau amalan yang selalunya dilakukan oleh kelompok majoriti atau
dominan, ataupun wakil mereka, yang mempunyai impak negatif terhadap kumpulan
bawahan atau kelompok minoriti.

Walaupun prejudis dan diskriminasi saling berkait, ia adalah fenomena yang perlu
ditangani secara berasingan. Sikap prejudis selalunya membawa kepada tindakan
diskriminasi tetapi ramai pengkaji berpendapat bahawa kedua-duanya tidak
semestinya berlaku seiring. Apapun, diskriminasi, sepertimana prejudis, diaplikasikan
terhadap seseorang atas dasar ikatan mereka dengan sesebuah kumpulan etnik
tertentu dan bukan sifat peribadinya. Justeru, diskriminasi adalah keadaan di mana
individu dinafikan peluang atau faedah negara bukan kerana kapasiti atau tingkah
laku mereka tetapi disebabkan keahliannya dalam sesebuah kumpulan etnik.

Tindakan diskriminasi berlaku dalam pelbagai bentuk dan tahap. Penggunaan label
yang bersifat menghina terhadap sesebuah kumpulan etnik tertentu adalah suatu
bentuk diskriminasi yang paling rendah. Walaupun begitu, label yang menghina ini
berupaya meningkatkan lagi amalan stereotaip dan membawa kesan psikologikal
terhadap mangsa. Bentuk diskriminasi yang lebih serius dan mampu membawa kesan
jangka panjang terhadap golongan minoriti atau bawahan ialah penafian terhadap
pelbagai peluang hidup seperti pekerjaan, perumahan, kesihatan, pendidikan,
keadilan dan penyertaan politik. Golongan yang didiskriminasi bukan sahaja tidak
dapat menikmati kualiti hidup seperti mana kumpulan etnik yang lain, malah jurang
antara kumpulan yang dominan dan minoriti sudah pasti akan bertambah besar.
Ini mengukuhkan lagi stratifikasi sosial dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik.
Bentuk diskriminasi yang paling serius ialah tindakan agresif atau fizikal terhadap
golongan minoriti atau bawahan. Tindakan ini merangkumi keganasan yang bersifat
terpencil hinggalah kepada keganasan terancang yang bertujuan menghapuskan
mereka secara mutlak. Pada kurun ke-19 dan 20, pelbagai keganasan etnik berlaku
di merata pelusuk dunia yang seringkali membabitkan kelompok minoriti seperti
penyembelihan lebih sejuta etnik Armenia oleh etnik Turki, pembunuhan secara
sistematik enam juta orang Yahudi oleh tentera Nazi, pembunuhan hampir 200,000
orang Bosnia oleh etnik Serbia dan penghapusan beribu orang etnik Rohingya oleh
etnik Rakhine.
36 WAWASAN OPEN UNIVERSITY
MPU 3113/03 Hubungan Etnik

Aktiviti 1.5

Bincangkan secara ringkas tiga fasa hubungan etnik di Malaysia.

Bentuk dan pola hubungan etnik


Setelah mengupas konsep stratifikasi etnik, fokus perbincangan seterusnya adalah
mengenai bentuk dan pola hubungan etnik. Bentuk dan pola hubungan etnik, pada
dasarnya, dipengaruhi dua paradigma yang berbeza iaitu asimilasi dan pluralisme.
Paradigma ini bertujuan untuk menjelaskan bagaimana sesebuah masyarakat pelbagai
etnik dapat mencapai kesinambungan atau perubahan. Berdasarkan paradigma
ini, perkembangan masyarakat menuju ke arah dua bentuk hubungan etnik yang
berbeza, iaitu bersifat harmoni atau perpecahan serta konflik (Marger, 2011: 107).

Asimilasi

Asimilasi, menurut J. Milton Yinger, ialah proses mengurangkan sempadan etnik


(Marger, 2011: 110). Ia bukannya suatu keadaan yang bersifat statik, sebaliknya ia
adalah suatu proses di mana masyarakat pelbagai etnik tekad untuk mencapainya.
Pada tahap ideal, asimilasi akan meruntuhkan perbezaan antara kumpulan etnik.
Apabila ini berlaku, faktor etnik tidak menjadi asas kepada perbezaan sosial dan
dasar pembahagian kekayaan, kuasa dan peluang dalam negara. Dari segi realitinya,
tahap asimilasi penuh hampir mustahil untuk dicapai. Sebaliknya, asimilasi berlaku
dalam pelbagai bentuk dan tahap yang berbeza.

Martin N. Marger (2011: 111 –115) menyatakan bahawa asimilasi dapat dilihat pada
empat tahap atau dimensi yang berbeza; iaitu asimilasi budaya, asimilasi struktur,
asimilasi biologi dan asimilasi psikologi.

1. Asimilasi budaya merujuk kepada adoptasi budaya kumpulan etnik lain


seperti bahasa, agama, cara pemakanan dan pakaian. Umumnya, kumpulan
etnik minoriti menerima pakai aspek budaya kumpulan etnik majoriti atau
dominan. Keadaan ini berlaku kerana kumpulan minoriti mahukan
perlindungan dan juga keistimewaan yang dinikmati kelompok majoriti.
Akhirnya, kumpulan etnik minoriti ini tidak akan dapat dibezakan dengan
kelompok majoriti dari segi tingkah laku dan nilai.

2. Asimilasi struktur pula merujuk kepada peningkatan tahap interaksi sosial


dalam kalangan kumpulan etnik. Ia adalah keadaan di mana kumpulan etnik
minoriti menembusi pelbagai institusi masyarakat dan membentuk interaksi
sosial yang lebih kerap dengan kumpulan etnik majoriti atau dominan.
Asimilasi struktur berlaku di dua tahap yang berbeza; primer (tidak formal)
dan sekunder (formal). Hubungan primer berlaku dalam kalangan kumpulan
yang lebih kecil dan intim, khususnya, keluarga dan rakan-rakan. Hubungan
ini bersifat lebih rapat dan berpanjangan kerana ia melibatkan ikatan emosi.
Antara keadaan di mana berlakunya interaksi primer ini ialah kemasukan
UNIT 1 37
Hubungan etnik di Malaysia

ke dalam kelab, kemasukan ke dalam kawasan kejiranan, pembentukan


kelompok kawan yang rapat dan perkahwinan campur. Interaksi dalam
kalangan ahli kumpulan ini tidak ditentukan oleh faktor etnik tetapi faktor
sosial lain seperti kelas dan ciri peribadi. Manakala, hubungan sekunder
pula berlaku dalam kumpulan yang lebih besar dan bersifat formal. Ia
merujuk kepada keupayaan untuk mendapat akses kepada kuasa dan
keistimewaan dalam institusi utama masyarakat seperti ekonomi, politik
dan pendidikan. Apabila ini berlaku, sistem pembahagian faedah negara
bukan didasari oleh pertimbangan etnik semata-mata. Tahap asimilasi ini
turut dikenali sebagai integrasi. Idea utama kepada integrasi ialah
masyarakat pelbagai etnik berinteraksi dalam institusi utama masyarakat
tanpa adanya kekangan etnik.

3. Amalgamasi atau asimilasi biologi adalah tahap tertinggi dalam proses


asimilasi. Pada tahap ini, perkahwinan campur berlaku pada tahap yang
kerap sehinggakan terjadinya campuran biologi dalam kalangan kumpulan
pelbagai etnik. Masyarakat bukan sahaja tidak dapat dibezakan daripada
segi budaya tetapi juga daripada segi fizikal. Amalgamasi berlaku apabila
wujudnya interaksi antara kumpulan pelbagai etnik. Walau bagaimanapun,
amalgamasi yang bersifat mutlak agak sukar untuk dicapai. Dua negara
yang terkecuali ialah Mexico dan Brasil.

4. Asimilasi psikologi pula merujuk kepada hubungan yang berlaku terhadap


individu dalam kumpulan masyarakat dan bukannya keseluruhan kumpulan
tersebut. Apabila asimilasi psikologi berlaku, ahli dalam kumpulan etnik
itu akan melalui perubahan daripada segi identiti kendiri. Apabila individu
merasakan bahawa dia adalah sebahagian daripada masyarakat umum dan
bukannya kumpulan etnik tertentu, inidvidu ini dikatakan telah melalui
proses asimilasi psikologi. Asimilasi psikologi bukan sekadar suatu keadaan
di mana individu mengidentifikasi diri mereka sebagai sebahagian daripada
masyarakat umum, ia juga bermakna bahawa mereka menerima negara
yang didiami sebagai tanah tumpah mereka, sumber utama ketaatan dan
tempat mengejar impian.

Empat tahap asimilasi ini dapat menjelaskan beberapa bentuk hubungan etnik
yang wujud dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik. Persoalan seterusnya ialah
bagaimana masyarakat berkembang daripada satu tahap ke satu tahap yang lain?
Adakah mereka akan berada statik pada satu tahap sahaja? Perdebatan ini didominasi
oleh dua teori utama iaitu Teori Kitaran Hubungan Etnik Park dan Tahap Asimilasi
Gordon.

1. Teori Kitaran Hubungan Etnik dipelopori Robert Park, seorang ahli sosiologi
Amerika pada tahun 1920an. Beliau menyatakan bahawa hubungan etnik
melalui suatu proses kitaran di mana setiap kumpulan akan bergerak menurut
beberapa tahap tertentu sehingga mencapai tahap asimilasi penuh. Tambah
Park lagi, kumpulan etnik akan bertembung melalui proses migrasi dan
seterusnya bersaing. Daripada pesaingan ini, wujudlah proses akomodasi
sebelum sampai ke tahap terakhir iaitu asimilasi. Kritikan terhadap teori
ini ialah realitinya ada masyarakat pelbagai etnik yang tidak mencapai
38 WAWASAN OPEN UNIVERSITY
MPU 3113/03 Hubungan Etnik

tahap penghujung iaitu asimilasi. Barth dan Noel (1972), umpamanya,


menyatakan bahawa hubungan etnik boleh mencapai matlamat yang stabil
yang tidak semestinya berakhir dengan asimilasi; seperti pluralisme yang
akan dibincangkan kemudian (Marger 2011: 116). Ada juga pengkritik teori
Park yang menyatakan bahawa hubungan etnik boleh kembali ke tahap
terdahulu dan tidak semestinya berkembang ke tahap seterusnya.

2. Alternatif kepada Teori Park ialah Teori Hubungan Etnik yang diajukan
Milton M. Gordon. Ahli sosiologi Amerika ini menjelaskan bahawa proses
asimilasi adalah berdasarkan tujuh tahap yang berbeza. Gordon menyatakan
bahawa masyarakat tidak semestinya melalui setiap satu tahap ini, sebaliknya
ia mungkin berhenti di satu tahap dan kekal stabil di tahap tersebut. Tujuh
tahap tersebut ialah asimilasi budaya, asimilasi struktur, asimilasi
perkahwinan, asimilasi identiti, asimilasi sikap, asimilasi tingkah laku dan
asimilasi sivik. Menurut Gordon, asimilasi budaya tidak semestinya
membawa kepada asimilasi struktur. Beliau berpendapat bahawa kumpulan
etnik minoriti boleh berubah dan menjadi seolah-olah seperti kumpulan
majoriti atau dominan tetapi segregasi struktur masih tetap kekal. Walau
bagaimanapun, apabila sesebuah masyarakat beralih ke asimilasi struktur,
ia boleh membawa kepada berlakunya asimilasi ketiga hingga ketujuh.
Dengan kata lain, asimilasi ketiga hingga ketujuh adalah sub-kategori
kepada asimilasi struktur. Apabila interaksi antara kumpulan pelbagai
etnik meningkat pada tahap primer (hubungan tidak formal dan bersifat
emosional seperti di peringkat kelab, keluarga dan kawan-kawan), ia boleh
membawa kepada perkahwinan campuran yang akhirnya boleh membawa
kepada keruntuhan identiti etnik, hilangnya prejudis dan diskriminasi dan
akhirnya bersetuju dengan kumpulan dominan terhadap isu-isu utama
seperti nilai dan kuasa (Marger, 2011: 117).

Tahap Ciri

Asimilasi budaya (akulturasi) Perubahan budaya mengikut acuan


kumpulan etnik majoriti atau dominan
Asimilasi struktur (integrasi) Peningkatan interaksi dalam institusi
primer (keluarga, kelab, kumpulan kawa-
kawan) dan sekunder (institusi ekonomi,
politik dan sosial)
Asimilasi perkahwinan (amalgamasi) Perkahwinan campur antara kumpulan
etnik pada skala besar
Asimilasi identiti Perkembangan perasaan kekitaan
berasaskan kepada kumpulan etnik
majoriti atau dominan
Asimilasi penerimaam sikap Ketiadaan prejudis
Asimilasi penerimaan tingkah laku Ketiadaan diskriminasi
Asimilasi sivik Ketiadaan nilai dan konflik kuasa

Jadual 1.9 Tahap asimilasi Gordon


Sumber: Marger (2011: 117)
UNIT 1 39
Hubungan etnik di Malaysia

Antara kritikan Teori Gordon ialah pengabaian terhadap asimilasi struktur di


peringkat institusi sekunder. Kemasukan kumpulan etnik minoriti ke dalam institusi
ekonomi, politik dan sosial adalah kayu pengukur sebenar asimilasi struktur.
Sepertimana Teori Park, Teori Hubungan Etnik Gordon turut dikritik kerana ia
mempunyai hanya satu hala tuju sahaja, iaitu ke arah asimilasi sepenuhnya. Walaupun
Gordon berpendapat bahawa proses asimilasi struktur mengambil masa yang agak
panjang, ia tetap dapat dicapai yang akhirnya membawa kepada asimilasi penuh.

Pluralisme

Pelbagai kritikan terhadap teori-teori asimilasi dalam menjelaskan hubungan etnik


membawa kepada hujah alternatif, iaitu pluralisme. Ia, pada asasnya, adalah sebuah
konsep yang bertentangan dengan asimilasi. Pluralisme ialah proses sosial yang
menggalakkan kepelbagaian kumpulan dan pengekalan sempadan etnik (Marger,
2011: 122). Pengekalan sempadan etnik tidak bermakna bahawa kumpulan etnik
yang berbeza langsung tidak berinteraksi antara satu sama lain. Dalam masyarakat
plural, sudah pasti terdapat sistem ekonomi dan sosial yang membolehkan masyarakat
pelbagai etnik bertemu dan berinteraksi. Seperti teori asimilasi, pluralisme juga
mempunyai tahap dan dimensi yang berbeza. Terdapat dua jenis masyarakat plural
iaitu pluralisme kesaksamaan dan pluralisme ketidaksamaan.

1. Pluralisme kesaksamaan adalah keadaan di mana setiap kumpulan etnik


mengekalkan autonomi budaya dan struktur mereka tetapi wujud
kesamarataan dalam aspek kuasa politik dan ekonomi. Dengan kata lain,
kumpulan etnik minoriti mahukan kesaksamaan tetapi pada masa yang
sama menuntut pengasingan daripada kumpulan etnik majoriti atau
dominan. Pengasingan yang berlaku dalam jenis masyarakat plural yang
pertama ini adalah bersifat sukarela. Walaupun perbezaan etnik dikekalkan
dalam masyarakat plural kesaksamaan, kestabilan dapat dipertahankan
kerana sikap tolerasi yang tinggi dalam kalangan masyarakat. Dalam
konteks ini, kumpulan etnik bersetuju untuk memberi ketaatan terhadap
sistem politik yang sama, terlibat dalam sistem ekonomi yang sama, dan
memahami nilai etika yang sama. Kumpulan etnik bersaing untuk
mendapatkan faedah negara tetapi ia tidak semestinya membawa kepada
pertelingkahan kerana wujudnya pendekatan tolak ansur. Dengan kata
lain, hubungan etnik dalam masyarakat plural terhad kepada lapangan
fungsional seperti jabatan kerajaan atau lapangan ekonomi dan bukannya
lapangan peribadi seperti keluarga dan lingkungan kawan.

2. Pluralisme kedua pula dikenali sebagai pluralisme ketidaksamaan. Ia merujuk


kepada keadaan di mana setiap kumpulan etnik mengekalkan segregasi
struktur dan keunikan budaya masing-masing tetapi pada masa yang
sama mereka tidak menikmati hak yang sama dalam aspek kuasa ekonomi
dan politik. Pengasingan dalam pluralisme kedua ini pula bersifat terpaksa.
Kuasa kumpulan etnik majoriti atau dominan adalah kunci kepada
pengekalan ketidaksamaan ini. Dalam negara plural ketidaksamaan,
masyarakat diikat bukannya melalui persetujuan bersama tetapi melalui
paksaan. Keadaan ini berlaku kerana kumpulan majoriti atau ingin
mengekalkan keistimewaan dan kedudukan mereka. Hubungan etnik
40 WAWASAN OPEN UNIVERSITY
MPU 3113/03 Hubungan Etnik

dalam masyarakat plural ketidaksamaan diwarnai polarisasi yang melampau


dan tahap prejudis dan diskriminasi yang tinggi. Kumpulan etnik hanya
berinteraksi pada tahap fungsional sahaja seperti kerja dan pasaran.
Hubungan plural ketidaksamaan yang mutlak terdapat dalam sistem
perhambaan atau kolonialisme yang tidak wujud lagi pada hari ini.
Pluralisme ketidaksamaan boleh mencapai tahap yang ekstrim di mana
berlakunya penyingkiran dan penghapusan kumpulan minoriti. Pembunuhan
beramai-ramai kaum Yahudi dalam Perang Dunia Kedua oleh tentera
Nazi adalah contoh kepada impak negatif pluralisme ketidaksamaan.

Pertemuan

Pesaingan dan stratifikasi

Pluralisme Pluralisme
Asimilasi
ketidaksamaan kesaksamaan

Penyingkiran dan
Amalgamasi Autonomi politik
penghapusan

Rajah 1.2 Pola hubungan etnik


Sumber: Marger (2011: 133)

Tiga pola hubungan etnik yang berbeza ini digambarkan dalam Rajah 1.2. Ada lima
perkara penting berkenaan ketiga-tiga model ini seperti dihujahkan oleh Marger
(2011: 133 – 134). Pertama, tiada satu model pun yang dapat mengambarkan pola
hubungan etnik dalam sesebuah negara. Kebanyakan masyarakat akan mempamerkan
dua atau ketiga-tiga model ini. Ini bermakna asimilasi budaya mungkin telah berlaku
dalam kalangan sesebuah kumpulan etnik tetapi kumpulan etnik lain, khususnya
kumpulan minoriti, mungkin melalui fasa pluralisme ketidaksamaan. Kedua, proses
dan hasil hubungan etnik yang berbeza ini tidak dialami secara eksklusif oleh sebuah
kumpulan etnik sahaja. Sebuah kumpulan etnik mungkin mempunyai dua atau
tiga pola hubungan etnik yang berbeza bergantung kepada pelbagai faktor. Ketiga,
tiada satu pun daripada proses ini boleh diputar semula (reverse). Teori Park dan
Gordon tidak dapat menerangkan kenapa sebuah kumpulan yang pada mulanya
menentang asimilasi tetapi kemudian menerimanya. Ini adalah kekangan ketiga-tiga
model hubungan etnik ini. Keempat, konflik adalah ciri yang ada dalam ketiga-tiga
model ini. Walaupun konflik nampak jelas dalam masyarakat plural ketidaksamaan,
ia juga wujud pada tahap yang minima dan terkawal dalam masyarakat asimilasi
dan pluralisme kesaksamaan. Kelima, hubungan etnik dipengaruhi objektif serta
matlamat kelompok majoriti dan minoriti. Apabila matlamat kedua-dua kumpulan
ini bersifat harmoni, konflik dapat dikurangkan. Tetapi apabila ianya bertentangan,
konflik tidak dapat dielak.
UNIT 1 41
Hubungan etnik di Malaysia

Tipologi masyarakat pelbagai etnik


Proses asimilasi dan pluralisme yang telah dibincangkan sebelum ini digabungkan
untuk membentuk tipologi masyarakat pelbagai etnik (Marger, 2011: 136). Tipologi
ini tidak bertujuan untuk meletakkan masyarakat dalam kotak-kotak yang berbeza.
Ini sukar dicapai kerana dari segi realitinya setiap masyarakat akan menunjukkan
ciri ketiga-tiga jenis masyarakat yang berbeza ini. Tiga tipologi yang dimaksudkan
ialah masyarakat kolonial, plural korporat dan asimilasi.

Masyarakat kolonial

Plural ketidaksamaan adalah ciri penting masyarakat kolonial. Kumpulan etnik


yang dominan mempunyai kuasa politik dan ekonomi yang mutlak. Kedudukan
ini digunakan etnik dominan untuk mentadbir urus hubungan etnik yang akhirnya
dapat memelihara kepentingan mereka. Dalam masyarakat kolonial, kumpulan
dominan bertindak sebagai penjajah terhadap penduduk tempatan yang mempunyai
ciri fizikal yang berbeza. Selain itu, ada juga kumpulan dominan yang membawa
masuk kelompok minoriti yang berperanan sebagai hamba. Lumrahnya, masyarakat
kolonial adalah masyarakat tani atau pra industri di mana golongan minoriti menjadi
pekerja bawahan. Ideologi yang mengikat masyarakat ini ialah ideologi rasisme.

Segregasi sosial antara kumpulan dominan dan minoriti dimaksimakan sementara


peraturan mengenai interaksi dijelaskan dan dikuatkuasakan oleh tradisi dan
undang-undang. Kumpulan dominan dan minoriti mengujudkan institusi (agama,
pendidikan, rekreasi) yang bertindih dan selari. Mereka hanya berinteraksi dalam
ruang ekonomi dan politik yang didominasi oleh kelompok dominan.

Hieraki sosio-ekonomi dan etnik dalam masyarakat kolonial adalah bertindih.


Dengan kata lain, definisi etnik seseorang adalah sama seperti definisi kelasnya.
Stratifikasi dalam masyarakat ini adalah hampir sama seperti sistem kasta di mana
kumpulan dominan akan memperoleh faedah negara yang lebih meluas manakala
kelompok minoriti menikmati keistimewaan yang terhad. Kumpulan etnik minoriti
juga tidak mempunyai mobiliti dan ini membataskan interaksi mereka dengan
kumpulan etnik.

Disebabkan ideologi rasisme dan stratifikasi yang bersifat struktural, konflik dapat
dikawal untuk jangka masa panjang manakala usaha untuk menentang sistem
kelompok dominan ini jarang sekali berlaku. Tetapi apabila kuasa paksaan dan
ideologi rasisme runtuh, ia sudah pasti akan membawa konflik yang buruk.
Ciri Kolonial Plural Korporat Asimilasi

Pertembungan awal antara Penjajahan penduduk asal oleh Imigrasi secara sukarela Imigrasi secara sukarela dan paksa berlaku.
kumpulan etnik dominan dan kumpulan dominan atau migrasi Selepas itu, penjajahan kelompok minoriti.
minoriti secara paksa kelompok minoriti
Hubungan antara kumpulan Bersifat paternalistik atau kompetetif Secara idealnya bersifat kesaksamaan Kompetetif
etnik dominan dan minoriti tetapi sering bersifat kompetetif
MPU 3113/03 Hubungan Etnik

Bentuk stratifikasi Kasta atau seperti kasta; kasta dan Hieraki kelas dalam setiap kumpulan Kelas dan etnisiti saling bertindih; tetapi
etnisiti sering bertindih etnik kumpulan minoriti berselerak dalam sistem kelas
42 WAWASAN OPEN UNIVERSITY

Segregasi dalam kalangan Sangat tegar; dinyatakan dengan Tegar tetapi secara sukarela; kumpulan Sederhana dan secara sukarela bagi kumpulan
kumpulan etnik jelas oleh tradisi dan undang-undang etnik tertumpu pada wilayah yang yang mempunyai ciri budaya dan fizikal yang
tertentu sama dengan kumpulan dominan; tegar dan
secara paksa bagi kumpulan minoriti
Pengasingan institusi dalam Tinggi kecuali dalam lapangan Tinggi kecuali dalam lapangan Rendah dalam lapangan politik dan ekonomi
kalangan kumpulan etnik ekonomi ekonomi dan kerajaan pusat
Perbezaan fizikal dan budaya Perbezaan fizikal dan budaya yang Sedikit atau tiada langsung perbezaan Kepelbagaian dari aspek fizikal; perbezaan
antara kumpulan etnik dominan sangat jelas fizikal; perbezaan budaya yang jelas sangat jelas dari segi budaya
dan minoriti ialah dari segi bahasa dan agama
Objektif utama dasar etnik Pluralisme ketidaksamaan Pluralisme kesaksamaan Asimilasi
Tahap konflik Tinggi tetapi rendah pada jangka Agak rendah kecuali dalam soal Tidak menentu tetapi agak tinggi dalam
masa panjang budaya dan hak politik kumpulan etnik yang mempunyai perbezaan
nyata
Contoh negara Kolonial India, Afrika Selatan semasa Switzerland dan Kanada Amerika Starikat, Brasil dan Israel
Aparteid, Selatan Amerika Syarikat
sebelum perang

Jadual 1.10 Tiga jenis masyarakat pelbagai etnik


Sumber: Marger (2011: 137)
UNIT 1 43
Hubungan etnik di Malaysia

Masyarakat plural korporat

Kumpulan etnik dalam masyarakat plural korporat dipisahkan oleh perbezaan budaya
dan fizikal tetapi tiada suatu kumpulan etnik pun yang bersifat dominan. Sebaliknya,
setiap kumpulan etnik agak seimbang daripada aspek kuasa politik dan ekonomi.
Jika ada pun segregasi kumpulan, ianya berlaku atas dasar pilihan atau sukarela dan
bukannya atas dasar paksaan seperti dalam masyarakat kolonial.

Ideologi penting dalam masyarakat plural korporat ialah etnisiti tidak digalakkan.
Walau bagaimanapun, kumpulan etnik dibenarkan untuk mengekalkan identiti
mereka masing-masing tetapi diberi ruang dan peluang untuk bekerjasama dalam
lapangan ekonomi dan politik. Hasilnya, konflik dapat diminimakan. Akan tetapi,
isu budaya berupaya menghangatkan keadaan dan menimbulkan pesaingan dan
konflik dalam kalangan kumpulan etnik.

Masyarakat asimilasi

Dalam masyarakat asimilasi, terdapat kumpulan yang bersifat dominan manakala


kumpulan etnik minoriti lain melalui pelbagai tahap asimilasi. Hubungan etnik
dalam masyarakat ini lebih bersifat persaingan. Kumpulan etnik bersaing dalam
arena politik dan ekonomi untuk mendapatkan kuasa dan pekerjaan. Stratifikasi
sosio-ekonomi pula ditentukan oleh kelas dan bukannya pertimbangan etnik semata-
mata. Walaupun dari segi teorinya kumpulan etnik dapat mengecapi kejayaan
berdasarkan merit dan kerja kuat, realitinya kumpulan etnik minoriti tetap berada
di bawah hieraki ekonomi dan politik. Dengan kata lain, perkembangan kumpulan
etnik minoriti adalah agak terhad.

Dalam masyarakat asimilasi, ideologi rasis adalah terkawal kerana ia tidak diterima
oleh kumpulan minoriti. Justeru, dasar atau luahan yang bersifat rasis boleh
membawa kepada konflik. Disebabkan sistem stratifikasi yang bersifat lebih terbuka
dan kompetetif, konflik dalam kalangan masyarakat asimilasi ini adalah lebih kerap
berbanding masyarakat kolonial dan plural. Dalam masyarakat kolonial, kumpulan
minoriti menerima kedudukan istimewa kumpulan dominan, oleh itu konflik dapat
dielak. Manakala dalam masyarakat plural, kesaksamaan dan keseimbangan dalam
lapangan ekonomi dan politik menjadikan konflik etnik dapat dikawal. Tetapi dalam
masyarakat asimilasi, kumpulan minoriti bersaing dengan kumpulan dominan yang
cuba mempertahankan kedudukan dan keistimewaan mereka. Keadaan ini akhirnya
akan membawa kepada konflik yang berpanjangan.

Aktiviti 1.6

Berdasarkan tipologi masyarakat pelbagai etnik yang dikeutarakan


oleh Martin N. Marger (2011), bincangkan bentuk hubungan etnik
yang paling sesuai mengambarkan Malaysia.
44 WAWASAN OPEN UNIVERSITY
MPU 3113/03 Hubungan Etnik

Rumusan

1. Ras dan etnik adalah dua konsep yang berbeza. Ras merujuk
kepada pengkelasan manusia mengikut ciri fizikal dan biologi
manakala etnik pula merujuk kepada kumpulan yang
mempamerkan ciri budaya yang berbeza.

2. Stratifikasi etnik ialah keadaan di mana kelompok etnik


majoriti atau dominan mengekalkan kuasa mutlak bagi
mempengaruhi bentuk hubungan etnik.

3. Prejudis dan diskriminasi adalah teknik penguasaan kumpulan


etnik minoriti. Ia seringkali digunakan oleh kumpulan
majoriti atau dominan. Walau bagaimanapun, kelompok
minoriti tidak terkecuali daripada menggunakan teknik ini
apabila berinteraksi dengan kumpulan etnik lain.

4. Kumpulan etnik, lazimnya, akan bergerak ke arah dua matlamat


yang berbeza, iaitu peningkatan dari segi integrasi atau
pemisahan.

5. Peningkatan dari segi integrasi dikenali sebagai proses asimilasi.


Asimliasi mengambil empat bentuk iaitu asimilasi budaya,
struktur, biologi dan psikologi. Ia adalah proses di mana
sempadan etnik menjadi lemah disebabkan peningkatan
interaksi dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik.

6. Peningkatan pemisahan pula dikenali sebagai proses pluralisme.


Ia mempunyai dua bentuk iaitu pluralisme kesaksamaan
dan ketidaksamaan. Pluralisme kesaksamaan adalah keadaan
di mana perbezaan budaya dan struktur dikekalkan tetapi
wujudnya keterbukaan dalam lapangan ekonomi dan politik.
Pluralisme ketidaksamaan pula adalah keadaan di mana
perbezaan budaya dan struktur dikekalkan tetapi pada masa
yang sama kumpulan etnik yang berbeza berinteraksi dalam
institusi ekonomi dan politik secara tidak seimbang.

7. Masyarakat pelbagai etnik dapat dikategorikan kepada tiga


jenis yang utama iaitu masyarakat kolonial, plural korporat
dan asimilasi.

8. Ciri masyarakat kolonial ialah pertembungan awal disebabkan


oleh penjajahan atau migrasi secara paksaan; sistem stratifikasi
seperti kasta diamalkan; matlamat kumpulan dominan ialah
pluralisme ketidaksamaan; dan konflik dalam masyarakat
terkawal tetapi boleh menjadi serius.
UNIT 1 45
Hubungan etnik di Malaysia

9. Ciri masyarakat plural korporat ialah pertembungan awal


kumpulan etnik disebabkan oleh pemisahan sempadan politik
atau migrasi secara sukarela; segregasi adalah tinggi terutamanya
dalam lapangan tertentu tetapi ia bersifat sukarela; dan dasar
utama masyarakat ialah pluralisme kesaksamaan.

10. Ciri masyarakat asimilasi ialah pertembungan awal kumpulan


etnik adalah melalui migrasi yang berlaku secara sukarela;
tahap segregasi dari aspek budaya dan fizikal adalah jelas tetapi
berbeza dalam kalangan kumpulan etnik; dan pengasingan
institusi dan konflik dalam kalangan kumpulan etnik juga
adalah jelas.

Latihan Kendiri 1.3

1. Bandingkan konsep ras dan etnik.

2. Bincangkan bagaimana prejudis dan diskriminasi digunakan


sebagai alat dominasi etnik.

3. Jelaskan konsep stratifikasi etnik. Bincangkan bentuk stratifikasi


etnik di Malaysia.

4. Jelaskan secara ringkas dua pola hubungan etnik.

5. Bandingkan tiga jenis masyarakat pelbagai etnik.

Cadangan jawapan untuk aktiviti

Maklum Balas

Aktiviti 1.5

1. Senarai stereotaip

a. Orang Melayu pemalas

b. Orang Cina kiasu (suka bersaing)

c. Orang India suka putar belit


46 WAWASAN OPEN UNIVERSITY
MPU 3113/03 Hubungan Etnik

d. Orang Bajau adalah orang laut

e. Orang Iban masih bercawat

2. Langkah-langkah untuk mengatasi prejudis ini

a. Kenali budaya dan kepercayaan kumpulan etnik lain.

b. Nilai seseorang berdasarkan peribadinya.

c. Tolak pandangan-pandangan umum dan negatif mengenai


kumpulan etnik lain.

Aktiviti 1.6

Malaysia boleh dikategorikan sebagai masyarakat asimilasi kerana

1. Orang Melayu adalah etnik dominan.

2. Ideologi rasis agak berleluasa tetapi terkawal.

3. Kumpulan etnik bersaing untuk mendapatkan kuasa politik


dan ekonomi.

4. Walaupun konflik etnik tidak berlaku secara kerap, insiden


pertelingkahan etnik tetap tercetus.
UNIT 1 47
Hubungan etnik di Malaysia

Rumusan Unit 1

Rumusan

Tahap hubungan etnik di Malaysia adalah agak stabil dan terkawal.


Dalam sejarah hampir mencecah enam dekad, negara hanya
dicemari satu konflik etnik yang berdarah. Walaupun ada berlaku
beberapa insiden pertelingkahan etnik selepas itu, rakyat Malaysia
masih komited dalam memelihara keamanan dan kestabilan. Pasca
pilihan raya 2008, walau bagaimanapun, mencetuskan pelbagai isu
yang mampu membangkitkan semula ketegangan dalam kalangan
masyarakat pelbagai etnik.

Unit ini membincangkan secara ringkas bentuk dan pola hubungan


etnik di Malaysia sejak era pasca merdeka hinggalah sekarang. Ia
juga mendedahkan pembaca mengenai konsep dan teori utama
kajian hubungan etnik. Adalah diharapkan melalui pembacaan unit
ini, pembaca mempunyai pengetahuan asas mengenai masyarakat
pelbagai etnik dan konsep hubungan etnik itu sendiri.

Pengetahuan asas yang disajikan dalam Unit 1 ini diharap dapat


menyediakan pembaca untuk perbincangan lebih mendalam dan
kritikal mengenai hubungan etnik di Malaysia dalam unit-unit
seterusnya.
48 WAWASAN OPEN UNIVERSITY
MPU 3113/03 Hubungan Etnik
UNIT 1 49
Hubungan etnik di Malaysia

Cadangan Jawapan Latihan Kendiri

Maklum Balas

Latihan Kendiri 1.1

1. a. Malaysia telah mencacatkan pertumbuhan penduduk yang


begitu ketara dalam tempoh masa tersebut.

b. Populasi penduduk meningkat daripada 8 juta pada 1960


kepada 28 juta pada 2010.

c. Orang Melayu kekal menjadi kelompok etnik terbesar,


diikuti oleh orang Cina dan India.

2. a. Takrifan identiti etnik boleh dibahagikan kepada dua iaitu


takrifan autoriti dan harian.

b. Takrifan autoriti merujuk kepada pemberian identiti etnik


oleh pihak berkuasa.

c. Manakala takrifan harian pula merujuk kepada identiti


etnik yang digunakan masyarakat dalam kehidupan harian
mereka.

3. a. Sabah — Kadazan Dusun, Bajau, Murut, Orang Sungei

b. Sarawak — Iban, Bidayuh, Melanau, Penan, Punan, Kelabit

c. Semenanjung — Temiar, Jakun, Sakai

4. a. Kemasukan orang Melayu

b. Kemasukan orang Sumatera dan sebilangan kecil orang


Cina dan India

c. Kemasukan secara beramai-ramai orang Cina dan India

d. Kemasukan orang Indonesia ke Sabah dan Sarawak


50 WAWASAN OPEN UNIVERSITY
MPU 3113/03 Hubungan Etnik

5. a. Agama berupaya menyemai semangat toleransi yang


merupakan kunci penting kestabilan hubungan etnik.

b. Tetapi ia juga boleh menjadi punca perpecahan

Latihan Kendiri 1.2

1. a. Era konflik

b. Era stabil tapi tegang

c. Era kesepaduan sosial

2. a. Penolakan kumpulan etnik minoriti terhadap pengunaan


budaya Melayu sebagai teras pembentukan identiti nasional.

b. Setiap langkah kerajaan untuk memupuk integrasi sering


dipolitikkan.

c. Pembangunan sosio-ekonomi yang bersifat inklusif adalah


penting bagi memelihara hubungan etnik.

3. a. Tuntutan perubahan disalahertikan sesetengah orang Melayu


sebagai usaha untuk menjatuhkan kuasa politik Melayu dan
keistimewaan mereka.

b. Justeru, pertubuhan dan pemimpin Melayu melontarkan


pelbagai kata-kata kesat dan menghina kepada kelompok
etnik minoriti.

c. Keadaan ini sudah pasti menimbulkan ketegangan tetapi ia


tidak menjurus kepada berlakunya konflik etnik.

Latihan Kendiri 1.3

1. a. Ras adalah pembahagian manusia mengikut keadaan fizikal


dan biologi mereka.

b. Etnik pula adalah pembahagian manusia mengikut amalan


budaya yang mereka amalkan
UNIT 1 51
Hubungan etnik di Malaysia

2. a. Prejudis dan diskriminasi digunakan sebagai alasan kumpulan


dominan untuk mengawal kumpulan etnik minoriti.

b. Ia menyemai tanggapan negatif terhadap kumpulan minoriti.

c. Ia juga berperanan untuk mengukuhkan kedudukan


kumpulan etnik majoriti.

3. a. Stratifikasi etnik adalah keadaan di mana kumpulan etnik


dominan berperanan dalam membentuk dan mengawal
hubungan etnik.

b. Kumpulan etnik minoriti yang berkongsi ciri budaya dan


fizikal kumpulan etnik majoriti akan ditempatkan di tangga
atas hieraki etnik ini.

c. Apapun keutamaan tetapi diberikan kepada kelompok etnik


dominan.

4. Pluralisme dan asimilasi

5. a. Masyarakat kolonial

b. Masyarakat plural korporat

c. Masyarakat asimilasi
52 WAWASAN OPEN UNIVERSITY
MPU 3113/03 Hubungan Etnik
UNIT 1 53
Hubungan etnik di Malaysia

Rujukan
Abdul Rahman Hasan dan Norfariza Hanim (2007) ‘Malaysian population census:
Review of enumeration srategies and topics’, Journal of the Department of Statistics,
Malaysia. Putrajaya: Department of Statistics, Malaysia.

Abraham, C (2004) The Naked Social Order: The Roots of Racial Polarisation in
Malaysia, Subang Jaya; Pelanduk Publications.

Azmah Abdul Manaf (2001) Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia, Kuala Lumpur:
Utusan Publications.

Baring-Gould, S dan Bampfylde, C A (2007) A History of Sarawak Under its Two


White Rajahs, 1839 – 1908, Kota Samarahan: Penerbit UNIMAS.

Feagin, J R dan Feagin, C B (1993) Racial dan Ethnic Relations, 4th edn, New Jersey:
Prentice Hall.

Francis Loh Kok Wah (2010) ‘Where has all the violence gone? Mapping old and new
conflicts’ dalam Francis Loh Kok Wah (ed.) Building Bridges, Crossing Boundaries:
Everyday Forms of Inter-Ethnic Peace Building in Malaysia. Jakarta: Ford Foundation.

Ibrahim, Vivian (2011) ‘Ethnicity’ dalam Caliendo, S M dan McIIwain, C D (eds.)


The Routledge Companion to Race and Ethnicity, London and New York: Routledge.

Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (2004) Kajian Integrasi Etnik di


Institusi Pengajian Tinggi Awam, Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.

Jabatan Perangkaan Malaysia (2012) Unjuran Penduduk Malaysia, 2010 – 2040,


Putrajaya: Jabatan Perangkaan Malaysia.

Jabatan Perangkaan Malaysia (2011) Taburan Penduduk dan Ciri-Ciri Asas Demografi
2010, Putrajaya: Jabatan Perangkaan Malaysia.

Kamaruddin M. Said (2002) ‘Etnisiti atau anomie? Analisis sosiologikal peristiwa


pergaduhan beramai-ramai di Petaling Jaya Selatan’ Akademika 60, Bangi: Universiti
Kebangsaan Malaysia.

Marger, M N (1997) Race and Ethnic Relations: American and Global Perspectives,
4th edn, Belmont, CA: Wadsworth Publishing Company.

Mason, R dan Omar, A (eds.) (2005) The Bumiputera Policy: Dynamics and Dilemmas,
Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.

Mohamed Mustapha Ishak (2006) ‘Tun Dr Mahathir and the notion of Bangsa
Malaysia’, Journal of International Studies.
54 WAWASAN OPEN UNIVERSITY
MPU 3113/03 Hubungan Etnik

Ranjit Singh, D S (2003) The Making of Sabah 1865 – 1941: The Dynamics of
Indigenous Society, 2nd edn, Kuala Lumpur: University of Malaya Press.

Saw Swee-Hock (2007) The Population of Malaysia, Singapore: ISEAS.

Shamsul A B (2012) Modul Hubungan Etnik, Edisi Kedua, Bangi: Universiti


Kebangsaan Malaysia.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia. (2013) Laporan Inkuiri Nasional Mengenai
Hak Tanah Orang Asal/Asli. Ampang: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia.

Syed Husin Ali (2008) Ethnic Relations in Malaysia: Harmony and Conflict, Petaling
Jaya: SIRD.

Walton, F C dan Caliendo, S M (2011) ‘Origins of the concept of race’ dalam


Caliendo, S M dan McIIwain, C D (eds.) The Routledge Companion to Race and
Ethnicity, London and New York: Routledge.

Wan Hashim Wan Teh (2011) Hubungan Etnik di Malaysia, Kuala Lumpur: Institut
Terjemahan Negara Malaysia.

Wong Yut Lin dan Tey Nai Peng (2006) Our People Our Future: Malaysian Population
in Perspective, Kuala Lumpur: University Malaya Press.

You might also like