You are on page 1of 7

ULASAN PENDAHULUAN BAB 4

Melalui pembacaan berkenaan pendahuluan bab 4 iaitu berkenaan tajuk ‘Kejayaan


Dan Impak Falsafah Pendidikan Kebangsaan Dalam Membentuk Pendidikan Dan Negara
Bangsa Di Malaysia’ sedikit ulasan berkenaan pendahuluan ini ialah boleh kita telesuri
sejarah pendidikan formal dan juga tidak formal di Semenanjung Tanah Melayu pada abad ke
15 hingga 18 telah dijalankan di tempat-tempat seperti institusi masjid dan juga madrasah
melalui gerakan islam yang membina semua ini dengan baik, akan tetapi pendidikan ini
masih terpengaruh dengan amalan adat budaya dan tradisional masyarakat terdahulu.

Selain itu, gerakan Islam yang menggerakkan sistem pendidikan terdahulu dengan
satu falsafah yang kita boleh lihat iaitu falsafah esensialisme sebagai satu pergerakan falsafah
yang sistematik dalam bidang pendidikan pada tahun 1930-an. Pada dasarnya falsafah ini
bersifat konservatif iaitu tidak mudah menerima perubahan, akan tetapi telah berubah kepada
bersifat praktikal dan pragmatik iaitu mementingkan kesan sebenar daripada ciri teori.
Falsafah ini berakar umbikan pengajian Tauhid dengan silibus yang diterapkan iaitu
pengajian sifat-sifat Allah, pengajian rukun islam dan iman, Al-Quran dan Hadis, Bahasa
Arab, sejarah islam, Tasawwuf serta Usuluddin dan juga pengajian Ilmu Fiqh melalui cara
masyarakat Melayu Nusantara berterapkan konsep pemikiran hidup perkampungan.

Disamping itu, tokoh-tokoh ulama yang menggerakkan proses pengislaman di


wilayah melayu ini pada abad ke-15 terdiri daripada ulama-ulama dari Mesir,Arab dan juga
Turki sehingga terlahirnya generasi ulama Islam yang terdiri daripada kalangan generasi
Nusantara ini semdiri sehingga berhasil menghasilkan kitab-kitab terbaik seperti kitab
“Penawar Bagi Hati” yang membicarakan berkenaaan ilmu Tasawwuf untuk kehidupan
seharian. Kitab ini masih menjadi rujukan hingga ke hari ini yang memberi impak yang baik
pada pembangunan modal insan.

Namun begitu, proses pendidikan islam pada abad ke-18 dan 19 tercabar kerana
kedatangan pedagang-pedagang kolonial inggeris dan juga mubaligh Kristian yang membawa
fahaman yang menyeleweng daripada ajaran agama islam yang sebenar. Kesan daripada
kedatangan penjajahan barat ketanah Melayu memberi impak psikologi inferiority complex
yang membawa kepada pemikiran masyarakat Inggeris yang dianggap lebih bertamadun,
moden dan mempunyai taraf hidup yang lebih tinggi darjatnya berbanding masyarakat
Melayu.
Pembaharuan yang dibawa oleh sekolah Inggeris kerajaan dan mubaligh Kristian serta
kurikulum yang diterapkan menjadi suatu impak krisis kepada pembudayaan dan cara fikir
orang Melayu Islam selama 150 tahun. Hal ini dapat kita rumuskan bahawasanya Falsafah
Pendidikan Kebangsaan (FPK) perlu ditekankan pada zaman kini oleh semua pihak
terutamanya para guru bagi melahirkan para pelajar yang mempunyai jati diri yang kuat serta
berpegang teguh dengan ajaran agama.

Pada abad kini, dapat kita perhatikan masyarakat Melayu sekarang terbahagi kepada
dua bahagian iaitu golongan liberal moden dan juga golongan Islam progresivis yang
membawa suatu lanskap baru kehidupan masyarakat Melayu kini. Kesimpulannya, Falsafah
Pendidikan Kebangsaan ini sangat relevan dengan masyarakat Malaysia dan perlu diterapkan
kepada semua penduduk Malaysia agar wawasan negara maju dapat dicapai melalui usaha
sama semua masyarakat yang bersatu padu di bawah sistem pendidikan yang idealistik.

ULASAN BERKENAAN RINGKASAN PERKEMBANGAN SISTEM PENDIDIKAN


TAHUN 1960-2018

Ulasan pada tajuk ini yang boleh kita perhatikan kepada sistem pendidikan masa kini
ialah penulis mengatakan bahawasanya “prinsip teras ialah pendidikan sebagai medium untuk
membasmi buta huruf di kalangan masyarakat, membina modal insan yang sejati, dan
membina perpaduan kaum di negara ini serta intergrasi nasional melalui saluran demokrasi”.
Namun begitu, mengapakah berlakunya peristiwa hitam di dalam sejarah tanah air kita pada
tarikh 13 Mei 1969 iaitu telah berlaku rusuhan kaum yang mengakibatkan kehilangan nyawa
seramai 196 orang, 180 tercedera oleh senjata api dan 259 orang tercedera oleh senjata lain.
Selain itu, 6000 kehilangan tempat tinggal dan sekurang-kurangnya 211 kenderaan telah
rosak atau musnah manakala 753 bangunan telah musnah ataupun terbakar.(Dr. Kua Kia
Soong).

Disebabkan oleh peristiwa tragis ini, matlamat pendidikan yang dirancang pada masa
itu tidak mencapai matlamat yang jelas pada apa yang digariskan oleh kerajaan yang
menginginkan kesepaduan kaum terjalin erat. Seterusnya, penulis menyatakan bahawa dasar
pendidikan yang dilakukan ialah merupakan dasar pentadbiran pendidikan kebangsaan yang
seragam di semua negeri, dasar sekolah vernakular, Bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan, kurikulum standard dan seragam bagi semua aliran sekolah serta peperiksaan
kebangsaan. Hal ini kita dapat lihat bahawa usaha kerajaan pada waktu itu selepas sejarah
hitam yang mengundang musibah ialah untuk menerapkan sistem pendidikan yang sistematik
yang boleh menyatupadukan hubungan kaum yanng majmuk di negara ini.

Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa kebangsaan merupakan satu usaha yang baik
oleh kerajaan pada waktu itu kerana semua kaum boleh berinteraksi antara satu sama lain
menggunakan satu bahasa oleh semua kaum. Bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa utama di
negara disebabkan majoriti penduduk Malaysia ini ialah kaum Melayu yang memonopoli
status sebagai bumiputera. Sejarah telah membuktikan bahawa betapa hebatnya Bahasa
Melayu ketika zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Bahasa Melayu pada waktu
itu dijadikan sebagai bahasa perantaraan dunia yang dikenali sebagai Lingua Franca kerana
pedagang-pedagang seluruh seantero dunia datang berdagang di wilayah Kesultanan Melayu
Melaka pada waktu itu.

Apa yang dapat kita lagi impak positif daripada kerajaan bagi meningkatkan mutu
pendidikan di negara ini ialah mewujudkan kurikulum standard dan seragam bagi semua
aliran sekolah. Apabila kurikulum ini diseragamkan di semua sekolah, pemikiran dan tahap
pendidikan semua kaum dapat ditingkatkan dan sekaligus mampu membina masyarakat yang
berdaya saing dengan cara yang sihat bagi memajukan negara ini di dalam pelbagai bidang
seperti pentadbiran, ekonomi dan industri.

Pada era zaman 1960-an dan 1970-an, tersiratnya fahaman pragmatisme di dalam
falsafah pendidikan. Pragmatisme ini diperkenalkan adalah untuk memenuhi keperluan
kemajuan dan juga pembangunan modal insan dan ekonomi dalam lanskap negara bangsa
yang demokratis, saling bertoleransi antara kaum dan terpelajar yang merupakan matlamat
selepas tamatnya pendidikan di sekolah dan juga pendidikan tinggi yang berpusat di negara
ini. Falsafah ini diperkuatkan lagi oleh pelaksanaan Dasar Ekonomi baharu dalam era 1970-
an iaitu pendidikan merupakan tunjang di dalam agenda kerajaan, khususnya untuk
membendung kemiskinan dan juga menyusun kembali lensa ekonomi masyarakat di negara
ini. Namun begitu, falsafah ini juga membawa kesan yang negatif pada masyarakat iaitu
pragmatisme hanya mementingkan natijah daripada sumbernya yang sebenar. Ianya tidak
membincangkan sumber ilmu yang tepat tetapi akhirnya sesuatu pengetahuan dan sejauh
mana ia memberi kesan. Falsafah ini tidak seperti rationalisme yang mementingkan
kebenaran sesuatu pengetahuan sebelum mempraktikkannya.

Selain daripada itu, pada era 1980-an pula orientasi kurikulum pendidikan formal
telah diubah daripada fokus hanya pada akademik kepada fokus kepada integrasi. Apa yang
dihuraikan berkenaan dengan fokus pada integrasi ialah integrasi antara mata pelajaran yang
mana teori dan konsep sesuatu mata pelajaran dapat dihubung kaitkan dan diperkuatkan oleh
mata pelajaran lain. Tambahan lagi, konsep pembelajaran masteri dan konsep pembelajaran
berfokuskan murid dijalankan bagi menyeimbangkan proses pembelajaran yang berfokuskan
guru, berpusatkan sepenuhnya pada akademik pelajar serta hafalan sesuatu pelajaran.

Falsafah yang diterapkan pada era ini ialah falsafah progresivisme iaitu pembelajaran
yang di dalam bilik darjah perlu diselaraskan dengan minat serta pengalaman, kebolehan dan
kepentingan pelajar pada sesuatu bidang ilmu. Hal ini mampu menjadikan para pelajar lebih
menumpukan perhatian di dalam kelas kerana minat terhadap sesuatu pembelajaran dan ada
kepentingan kepada sesuatu pelajaran tersebut yang disampaikan oleh para guru dengan
teratur dan mudah difahami oleh pelajar. Tiga komponen utama yang perlu ditekankan oleh
para pelajar iaitu penyelesaian masalah, komunikasi dan interaksi untuk memahami ilmu dan
juga diguna pakai di dalam kehidupan seharian kepada hubungan antara masyarakat dan juga
hubungan antara alam sekitar.

Melalui peningkatan pendidikan pada peringkat pendidikan tinggi, kerajaan


memperkenalkan Akta Pendidikan 1996 yang menggariskan orientasi baharu iaitu kemahiran
dalam pelbagai bidang melalui kemajuan dan kepesatan Information and Comunications
Tehcnology(ICT) berpandukan dengan trend perkembangan globalisasi dan
internasionalisasi. Hal ini juga berkait rapat dengan liberalisasi universiti serta disiplin ilmu,
urus tadbir universiti awam yang lebih sistematik dan akreditasi kualiti program yang
ditawarkan oleh pihak universiti dan kursus pengajian di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Justeru itu, berlaku suatu arus kepesatan demokrasi pendidikan tinggi dengan
kepercayaan dan kewibawaan bahawa semua warga belia layak meneruskan pelajaran ke
pendidikan tinggi melalui kolej komuniti, institut latihan perindustrian ataupun di universiti
perdana. Hal ini menjurus kepada penghasilan tenaga pakar yang muda serta berkelayakan
yang dihasilkan oleh Institusi Pendidikan Tinggi di dalam pelbagai sektor sama ada sektor
kerajaan ataupun di bahagian sektor swasta.

Secara gambaran kasar yang kita boleh perhatikan pada lanskap graduan universiti,
pemfokusan kepada akademik semata-mata tidak lagi dipandang tinggi disebabkan oleh
ijazah akademik diperoleh tanpa pengalaman serta tanpa pengetahuan budaya gerak kerja
organisasi sudah tidak menjamin keboleh pasaran graduan kini. Hal ini menyebabkan hilang
lenyaplah fahaman dan status menara gading universiti akibat daripada fahaman pragmatisme
yang tertanam pada diri belia kerana hanya mementingkan materialistik di dalam kehidupan
serta meminggirkan kepentingan ilmu pengetahuan yang sebenarnya perlu disemai dan
dipupuk dalam diri setiap insan. Konklusinya, kebanyakan universiti pada era kini mengejar
persetaraan(rangking) pada peringkat tempatan mahupun global melalui daya usaha
penyelidikan, penerbitan, pengkomersialan hasil penyelidikan dan juga propaganda publisiti.

Slogan tranformasi dilaungkan oleh kerajaan agar tranformasi sistem pendidikan oleh
semua pihak. Kurikulum sekolah telah disemak semula, diselaraskan kembali serta berubah
bermula pada tahun 2011 bagi Kurikulum Standard Sekolah Rendah yang memberi
penekanan kepada pembangunan modal insan, penghasilan pelajar celik minda, pembentukan
warga yang menguasai ilmu, kemahiran dan maklumat serta program membangunkan akal
manusia dalam melahirkan insan Ulul Albab. Seterusnya, Kurikulum Standard Sekolah
Menengah turut diperkenalkan pada tahun 2017 yang menekankan berkenaan komunikasi,
perkembangan fizikal dan estetika, kemanusian, ketrampilan diri, sains serta teknologi,
kerohanian, sikap dan nilai. Hal ini mampu mewujudkan suasana pembelajaran yang
kondusif dan sesuai mengikut peredaran zaman kini serta perkembangan teknologi abad ke-
21 yang banyak membantu meningkatkan kualiti pelajar masa kini.

Pada pembelajaran abad ke-21 ini, Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran
(DSKP) dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) turut diintegrasikan sebagai konsep
pengajaran di tanah air ini. Tambahan lagi, terdapat beberapa perkara yang dititikberatkan
berkenaan keberhasilan belajar iaitu kemahiran berfikir, pengetahuan, kemahiran
dwibahasa,kemahiran memimpin, identiti nasional serta etika kerohanian. Sejajar dengan itu,
para pelajar yang dilahirkan mempunyai identiti yang tinggi bagi memajukan diri, bangsa dan
juga negara yang tercinta.

Namun begitu, masyarakat kini masih mempunyai persepsi pemikiran yang


melebihkan pencapaian akademik dalam peperiksaan kebangsaan seperti Ujian Pencapaian
Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),
Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan
peperiksaan yang dijankan di peringkat Institut Pengajian Tinggi. Para ibu bapa amat
mementingkan kejayaan seseorang individu daripada natijah peperiksaan yang diambil tanpa
mengira faktor-faktor seperti sakhsiah dan akhlak para pelajar. Hal ini membawa kepada
kesan yang negatif kepada para pelajar kerana mempunyai tekanan hidup bagi merealisasikan
tuntutan ibu bapa agar berjaya di dalam peperiksaan yang diambil.
Jika kita pandang pada sudut lain, pula, sistem pembangunan dan pengurusan
kurikulum melebihkan falsafah pramtisme yang mana ia menumpukan kepada keberhasilan
pembelajaran yang berpusatkan pelajar dan keberhasilan sistem pendidikan formal untuk
menjadi sesebuah negara yang maju. Justeru, ia membuatkan pemikiran masyarakat
bercelaru. Pendidik iaitu guru dan pensyarah juga mengalami kesusahan dan tekanan bagi
menuruti kehendak pentaksiran dan kualiti. Ia menjadikan proses kurikulum menjadi
mekanikal.

Trend kurikulum sekolah dan program pengajian di institusi di pengajian tinggi dalam
abd ke-21 ini telah bertukar orientasinya kepada pendidikan bertunjangkan keberhasilan,
selari dengan prinsip sifat bertanggungjawab dalam bidang dasar. Kesannya, semua aktiviti
dan proses pendidikan mesti disukat keberkesanan dan pencapaiannya melalui pentaksiran
standard pada kursus, program dan kemahiran insaniah yang lebih mengutamakan
perseteraan keberkesanan program dan kursus pengajian dalam banyak aspek pendidikan di
kolej dan university. Kesimpulannya, proses pendidikan pada waktu ini menjadi mekanikal,
walaupun kepada hal-hal dalaman seperti emosi, perangai, rohani keagamaan dan moral
individu.

Penulis juga mengatakan bahawa falsafah pendidikan pada abad ke-21 ini terarah
kepada progresivisme-pragmatisme. Kurikulum yang berpusatkan pelajar menunjukkan ianya
bersifat progresivisme manakala ianya disifatkan pragmatisme kerana ia menyukat
keberkesanan pendidikan adalah untuk memenuhi aspirasi masyarakat dan perkembangan
negara maju dalam era digital dan revolusi industri keempat (4IR).

Selanjutnya, penulis menerangkan mengenai dua intitusi pendidikan islam pada masa
ini. Pertamanya ialah sekolah dan kolej aliran agama Islam yang masih kuat berpegang
dengan falsafah esensialisme iaitu pengajian berteraskan ilmu-ilmu kalsik seperti Fiqh,
Tauhid, Falsafah Islam, Sejarah Islam, Al-Quran, Tajwid, Kitab, Tafsir Al-Quran, Hadis,
Bahasa Arab dan Sains Islam yang bertujuan untuk membina kefahaman kepada pelajar
mengenai pemikiran, budaya dan amalan hidup sebagai orang yang bertaqwa kepada Allah
serta yang menyeimbangkan urusan-urusan dunia dan urusan-urusan akhirat. Hal ini
demikian kerana masyarakat Islam yakin bahawa ilmu yang asas dalam Islam dan hukum-
hakam penting untuk pembinaan perlembagaan diri Islamiah dan keimanan yang tidak perlu
berubah mengikut peredaran masa. Kedua, sekolah Agama Islam kerajaan pula menekankan
ilmu klasik dan kurikulum yang menekankan falsafah pragmatism melalui pembelajaran
Sains, Bahasa Inggeris, Asas Komputer dan ICT, Sejarah Malaysia dan Matematik.

You might also like