You are on page 1of 12

INDUSTRI KECIL DAN SEDERHANA DI MALAYSIA

NORSYAFIQAH BINTI ABD. BACHIK

HUBUNGAN INDUSTRI (HA12)

1.0 PENGENALAN

Pada era globalisasi ini, sesetengah ekonomi di negara-negara maju telah berjaya kerana
Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang diusahakan di dalam negara. Kebanyakan Industri
Kecil dan Sederhana merupakan bahagian utama ekonomi negara tersebut yang mencakupi
lebih 98% daripada jumlah perniagaan dan menyumbang lebih 65% kepada pekerjaan serta
lebih 50% daripada keluaran domestik negara.  Meskipun di Malaysia angkanya lebih rendah
namun, Industri Kecil dan Sederhana berpotensi memberikan sumbangan yang besar
kepada ekonomi dan boleh menyediakan asas-asas yang kukuh untuk menjana
pertumbuhan industri baru sementara mengukuhkan industri sedia ada untuk pertumbuhan
negara pada masa hadapan.

Di Malaysia, berlakunya perbezaan dari segi definisi industri yang disebabkan oleh
perbezaan matlamat dan fungsi dikalangan pihak yang terlibat. Majlis Penyelarasan
Pembangunan Industri Kecil mendefinisikan industry kecil sebagai sebuah organisasi yang
mempunyai aset tetap kurang daripada RM250,000 (Fong, 1987). Secara umumnya, Industri
Kecil dan Sederhana dibahagikan kepada dua sektor iaitu sektor pembuatan dan sektor
perkhidmatan dan lain-lain. Kedua-dua sektor ini ditakrifkan berdasarkan daripada jumlah
jualan tahunan dan bilangan pekerja sepenuh masa. Bagi sektor pembuatan, Industri Kecil
dan Sederhana didefinisikan sebagai firma yang mempunyai jualan tahunan tidak melebihi
RM50 juta atau bilangan pekerja sepenuh masa tidak melebihi 200 orang. Manakala bagi
sektor perkhidmatan dan sektor lain-lain, IKS ditakrifkan sebagai firma yang mempunyai
jualan tahunan tidak melebihi RM20 juta atau bilangan pekerja sepenuh masa tidak melebihi
75 orang.

Dalam sektor perkhidmatan, sebahagian besar IKS adalah dalam subsektor


perdagangan pengedaran iaitu perkhidmatan perdagangan borong & runcit, termasuk
pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal, diikuti oleh perkhidmatan makanan dan
minuman serta perkhidmatan pengangkutan & penyimpanan. Dalam sektor pembuatan,
sebahagian besar PKS terlibat dalam bidang pembuatan pakaian, produk makanan, logam
rekaan & percetakan dan penerbitan semula media rakaman. Industri Kecil dan Sederhana
ini berada di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang diketuai oleh
seorang ketua menteri iaitu YB. Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek manakala pengerusi bagi
Perbadanan Perusahaan Kecil Dan Sederhana ialah Tan Sri Ir. (Dr) Mohamed Al Amin Abdul
Majid.

Berdasarkan data banci terkini yang dikumpulkan pada tahun 2011, bilangan Industri
Kecil dan Sederhana berkembang sebanyak 20% kepada lebih daripada 662,000 berbanding
dengan data banci terdahulu pada tahun 2005. IKS mencakupi 97.3% (2005: 99.2%)
daripada jumlah pertubuhan perniagaan. Pembangunan sektor IKS adalah penting bagi
memastikan pertumbuhan yang seimbang dan kemakmuran dikongsi bersama dalam
peralihan negara menjadi ekonomi yang bernilai tambah tinggi dan berpendapatan tinggi.

Kewujudan Industri Kecil dan Sederhana ini telah memberi dan membuka peluang
pekerjaan yang sangat luas khasnya kepada golongan penduduk luar bandar yang
berpendapatan rendah. Hal ini kerana terdapat banyak peluang perniagaan dalam pelbagai
sektor yang boleh diteroka dalam IKS. Malaysia dan beberapa buah negara lain termasuk
Korea Selatan, Singapura, Indonesia dan Thailand juga dianggap sebagai sebahagian negara
membangun yang mengambil inisiatif awal dalam mempromosikan Industri Kecil dan
Sederhana. Hal ini dilakukan atas kesedaran masing-masing bahawa sektor IKS mampu
memberikan kesan yang positif terhadap pembangunan ekonomi dalam negara (Mohd.Rosli
Mohammad, 2000).
2.0 INDUSTRI KECIL DAN SEDERHANA

Industri Kecil dan Sederhana amat memainkan peranan yang penting bagi
memajukan sektor perindustrian di Malaysia setelah berlakunya perubahan struktur ekonomi
selepas kemerdekaan pada tahun 1957. Sektor ini bersifat dinamik dan mempunyai banyak
ciri-ciri untuk maju dan kepentingannya dapat dilihat dari segi peratus sumbangannya
kepada bilangan perusahaan dan peluang pekerjaan dalam sektor ini. Kecanggihan teknologi
dan pekerja mahir tidak diperlukan dalam Industri Kecil dan Sederhana untuk menghasilkan
segala bentuk pengeluaran.

2.1 Ciri-Ciri Industri Kecil dan Sederhana

Industri Kecil dan Sederhana mempunyai ciri-ciri yang dapat dibezakan iaitu dari segi
jenis keluaran, organisasi, modal, lokasi, pekerja dan teknologi pengeluaran (Laman Web
Rasmi SME Corp. Malaysia). Dari segi jenis keluaran IKS, terbahagi kepada dua jenis yang
utama, iaitu barang pengguna untuk memenuhi keperluan harian seperti industri makanan,
industri tekstil, industri perabot, dan industri kraf tangan. Seterusnya ialah barang yang
berupa alat gantian untuk menyokong industri besar seperti kusyen kereta, nat, skru dan
sebagainya. Bagi struktur organisasi IKS pula agak mudah. Kebanyakan pemilik IKS di
Malaysia turut bertindak sebagai pengurus dan mereka sendiri berperanan mengawasi
pekerja-pekerja di kilang mereka. Di samping itu, bagi mengurangkan kos pengeluaran,
didapati bahawa sebahagian daripada pekerja dalam IKS terdiri daripada anggota keluarga
pemilik. Malah, pengusaha-pengusaha IKS juga banyak menggunakan pekerja separuh
masa (Moha.Asri Hj.Abdullah, 1997).

Modal yang digunakan untuk industri ini adalah agak kurang berbanding industri-
industri lain di Malaysia. Industri Kecil dan Sederhana hanya menggunakan jumlah modal
yang kecil. Hal ini kerana pengusaha IKS kebiasaannya bukan berupa pemilik tapak tanah
atau bangunan yang digunakan oleh mereka. Kebiasaannya pengusaha IKS menyewa tapak
tanah atau bangunan untuk menjalankan kegiatan mereka. Malahan, terdapat kes yang
tidak semua bangunan atau tapak sewa itu digunakan sepenuhnya untuk kegiatan IKS
sebaliknya sebahagian daripada tapak itu disewakan kepada orang lain. Lokasi IKS pula
biasanya terdapat di kawasan perindustrian yang murah, di pinggir bandar, di bandar kecil,
di desa, dan adakalanya di rumah sendiri. Oleh itu, para pengusaha dalam industri ini tidak
menggunakan modal yang sangat besar bagi menjalankan perniagaan mereka (Moha.Asri
Hj.Abdullah, 1997).

Dari segi guna tenaga pula, kebanyakan guna tenaga atau pekerja yang diupah
merupakan pekerja yang kurang bertauliah atau kurang mahir, pendidikan formal yang
rendah, dan mereka juga kurang didedahkan kepada kursus dan latihan kemahiran. Hal ini
menyebabkan kadar peralihan kerja adalah tinggi kerana bayaran gaji yang diberikan
kepada mereka adalah rendah. Manakala dari segi teknologi, tahap teknologi yang
digunakan adalah rendah, berintensifkan buruh dan kurang mengamalkan automasi.
Pengkhususan kerja diperingkat organisasi juga tidak diamalkan sepenuhnya. Oleh yang
demikian, para pekerja akan melakukan kerja mengikut arahan oleh majikan atau
pengusaha mereka sahaja (Moha.Asri Hj.Abdullah, 1997).

2.2 Faktor-faktor Kejayaan atau Kegagalan Industri Kecil dan Sederhana

Dalam mana-mana perusahaan yang dijalankan, kejayaan atau kegagalannya adalah


bergantung kepada pengusaha itu sendiri dengan melihat bagaimana cara pengusaha
tersebut mengurus perusahaannya. Pengusaha merupakan kunci utama yang menyumbang
kepada kejayaan atau kegagalan sesuatu perusahaan.

2.2.1 Faktor Pengusaha

Seseorang pengusaha mestilah mempunyai ciri-ciri baik yang boleh dicontohi


sekaligus membantu dalam meningkatkan perniagaan. Ini termasuklah tekun, bekerja keras,
yakin dengan kebolehan, boleh menerima risiko, kreatif dan menyedari sepenuhnya tentang
keperluan untuk mencapai sesuatu yang lebih baik dan cemerlang (Moha.Asri Hj.Abdullah,
1997). Pemikiran baik dan bijak dalam membuat keputusan amatlah penting kerana hasilnya
kelak akan memberi impak sama ada kepada diri pengusaha itu sendiri atau perniagaan
yang diusahakannya.

Usahawan yang berjaya mestilah menjadi seorang yang boleh menjadi contoh
kepada usahawan atau pekerja lain. Dalam organisasinya, pengusaha mestilah sentiasa
bertindak secara rasional dan tidak terburu-buru. Fikiran yang positif dalam apa-apa perkara
amat perlu. Hal ini kerana tindakan yang terburu-buru boleh membawa kepada kesan yang
negatif. Kesemua ciri-ciri positif yang ada dalam diri usahawan atau pengusaha akan
mendorong tindak balas yang juga positif dari pelbagai pihak khasnya kepada para pekerja.
Kebajikan pekerja juga perlu dijaga dengan baik agar pekerja berasa selesa untuk bekerja
dengan majikannya. Hal ini sekaligus akan dapat mengurangkan kadar peralihan kerja oleh
pekerja seperti yang berlaku pada mana-mana pengusaha yang gagal menyemai sikap
positif atau ciri-ciri yang baik dalam dirinya sebagai seorang pengusaha.

2.2.2 Faktor Pengurusan

Selain itu, sistem pengurusan yang baik turut menyumbang kepada kejayaan atau
kegagalan perusahaan. Pengurusan yang baik tersebut bermaksud cekap dan berkualiti
untuk memenuhi keperluan perusahaan. Persaingan antara Industri Kecil dan Sederhana
dengan firma-firma yang lain adalah sangat kuat. Hal ini kerana, Industri Kecil dan
Sederhana menggunakan modal permulaan yang amat kecil dan ini memerlukan
pengurusan yang cekap dan bijak dari pengusahanya untuk mengurus dan membelanjakan
modal tersebut agar perusahaan dapat berjalan dengan baik. Pengurusan yang bijak akan
dapat mendatangkan keuntungan yang berlipat ganda dan mengelakkan berlakunya
kerugian dalam perusahaan. Pengurusan dari segi mengawal pekerja juga amat penting.
Pengusaha adalah sebaiknya mengasingkan tugas para pekerja mengikut tahap kemahiran
atau mengikut jenis aktiviti. Sistem pengurusan yang baik dan sistematik akan membantu
menggerakkan perusahaan dengan lancar (Mohd.Rosli Mohamad (2000).

2.2.3 Faktor Luaran

Faktor luaran seperti keadaan ekonomi perlu dipandang serius oleh semua pihak.
Keadaan ekonomi yang tidak seimbang dan sentiasa berubah-ubah akan mempengaruhi
Industri Kecil dan Sederhana sama ada secara langsung atau tidak langsung. Justeru itu,
pengusaha perlu peka terhadap sebarang perubahan yang berlaku. Keadaan ekonomi sama
ada diperingkat tempatan, antarabangsa ataupun ekonomi global sangat banyak
berinteraksi dengan sesebuah perniagaan apatah lagi diperingkat Industri Kecil dan
Sederhana. Misalnya, apabila berlakunya inflasi dalam sesebuah negara, kos pengeluaran
secara automatik akan turut mengalami peningkatan. Kadar inflasi menyebabkan harga
bahan mentah yang diperlukan dari pembekal akan meningkat. Oleh itu, peningkatan kos
yang mendadak menyebabkan pengusaha perlu bertindak dengan bijak bagi memastikan
kestabilan dari segi keuntungan dan mengelakkan daripada kerugian perusahaannya
(Mohd.Rosli Mohamad (2000).

2.2.4 Faktor Pengalaman Pengusaha


Seterusnya adalah pengalaman pengusaha dalam industri. Pengalaman merupakan
salah satu aspek penting dalam mana-mana perniagaan yang dijalankan kerana melalui
pengalaman yang sedia ada, pengusaha dapat mengenalpasti dan seterusnya memperbaiki
kelebihan atau kelemahan yang ada sepanjang keberadaannya dalam sesebuah industri.
Pengalaman bermaksud bukan sahaja dari aspek pengurusan bahkan juga berpengalaman
dari aspek bukan pengurusan. Antara pengalaman yang diperoleh oleh seseorang
pengusaha yang telah lama dalam Industri Kecil dan Sederhana ialah pengalaman dari segi
perjalanan operasi industri kecil seperti pengeluaran, keperluan bahan mentah, hubungan
dengan pekerja, pemasaran, rancangan operasi, agihan dan sebagainya. Pengusaha yang
berpengalaman dapat membaca gelagat pengguna dan lebih mengenali pelanggan serta
pengusaha lain. Hal ini akan memudahkan pengusahan untuk mendapatkan jaminan
pasaran dan mendorong kepada kejayaan Industri Kecil dan Sederhana (Mohd.Rosli
Mohamad (2000).

2.2.5 Faktor Bantuan Dan Sokongan Kerajaan

Kejayaan Industri Kecil dan Sederhana juga dipengaruhi oleh kerajaan dengan
adanya bantuan dan sokongan daripada mereka sebagai pemerintah dalam negara (Moha.
Asri Hj.Abdullah). Bantuan yang diberikan adalah seperti pendedahan berkaitan
pengetahuan asas tentang perniagaan kepada pengusaha-pengusaha yang baru melibatkan
diri dalam industri kecil. Kerajaan juga mengambil inisiatif seperti mempromosikan Industri
Kecil dan Sederhana agar industri ini dapat dikembangkan dan mendapat perhatian untuk
lebih diceburi oleh masyarakat tempatan. Semakin banyak Industri Kecil dan Sederhana di
Malaysia, semakin bertambah peluang kerajaan untuk meningkatkan pendapatan negara.
Kerajaan juga turut memperkukuhkan dasar dengan memberi perhatian yang serius untuk
meningkatkan pendapatan golongan petani dan nelayan melalui Kementerian Pertanian dan
Industri Asas Tani (MOA). Bantuan sokongan juga disediakan untuk menjamin keberkesanan
sesuatu skim yang ditawarkan melalui penubuhan badan berkanun iaitu ”Small Bussiness
Developement Corporation” (SMIDEC) yang dipertanggungjawabkan untuk menyelaraskan
sistem bantuan sokongan kepada Industri Kecil dan Sederhana di Malaysia.

Ahmad Tajuddin (1991) berpendapat bahawa kunci kejayaan bagi pengeluaran


produk berteknologi tinggi juga bergantung kepada kualiti. Menurut beliau, kualiti bukan
sahaja penting kepada pengeksportan bahan mentah dan komponen berteknologi rendah
tetapi yang lebih penting lagi adalah pengeksportan produk dan komponen berteknologi
tinggi. Ini bermakna bahawa kegagalan pengusaha Industri Kecil dan Sederhana untuk
memenuhi kualiti produk yang dihasilkn merupakan salah satu faktor yang menghalang
sektor ini daripada menembusi pasaran diperingkat antarabangsa.

2.3 Cabaran atau Masalah yang Dihadapi dalam Industri Kecil dan Sederhana

Namun begitu, dalam kejayaan yang dicapai oleh pengusaha dalam perusahaannya,
terdapat juga pelbagai cabaran yang harus dilalui dalam industri kecil ini sebagai contoh,
cabaran dari segi teknologi, kedudukan geografi, daya saing dan pasaran.

2.3.1 Teknologi

Teknologi bermakna apa saja yang boleh memperbaiki kaedah dan cara pengeluaran
serta amalan pengurusan dengan tujuan untuk memperbaiki produktiviti keseluruhan faktor
(Rahmah Ismail, 2004). Penggunaan teknologi dalam industri kecil amat kurang dan bersifat
lebih kompleks kerana ianya kerap berubah mengikut masa. Perubahan yang kompleks ini
menyebabkan para pengusaha industri kecil sukar untuk mempelajari dan menguasai
teknologi yang menjadi semakin rumit dan sukar untuk mereka. Tambahan lagi, kebanyakan
pengusaha industri kecil adalah mereka yang mempunyai latar belakang golongan penduduk
luar bandar dimana mereka kurang terdedah kepada teknologi yang semakin canggih dan
moden pada masa kini.

Hal ini menjadi salah satu cabaran yang amat besar kepada kebanyakan pengusaha
dalam industri kecil. Mereka tidak mempunyai kemahiran dalam mengendalikan teknologi
tersebut kerana pada asalnya, mereka telah terbiasa kepada penghasilan sesuatu produk
melalui kaedah tradisional bukannya melalui penggunaan teknologi moden. Tahap teknologi
yang rendah ini juga disebabkan oleh teknik pengurusan yang tidak cekap. Tambahan lagi,
pengunaan teknologi moden yang memerlukan tenaga mahir untuk mengendalikan
teknologi tersebut seperti mesin akan menyebabkan pengusaha terpaksa mengupah pekerja
mahir yang mampu mengendalikan mesin tersebut. Namun begitu, pekerja mahir biasanya
akan menuntut upah yang lebih tinggi daripada upah pekerja yang kurang mahir dan hal ini
akan meningkatkan kos perusahaan dan membebankan pengusaha industri kecil itu sendiri
(Rahmah Ismail, 2004).

2.3.2 Kedudukan Geografi


Selain itu, perusahaan dalam Industri Kecil Dan Sederhana kebiasaannya berada
dikawasan luar bandar seperti perusahaan amplang di Merotai, Tawau
(http://www.bernama.com/bernama/statenews). Kedudukan geografinya yang tidak
strategik menjadi cabaran kepada pengusaha industri kecil kerana hasil produk mereka
sukar untuk dipasarkan kerana jauh daripada kawasan bandar. Kebolehupayaan untuk
mendapatkan pulangan yang tinggi adalah amat tipis kerana hasil produk mereka hanya
dapat dipasarkan dikalangan penduduk tempatan sahaja. Kawasan luar bandar juga kurang
kemudahan asas untuk perkembangan industri berkenaan. Tambahan pula, darjah
ketersampaian ke kawasan luar bandar amat rendah. Oleh itu, adalah amat jarang untuk
penduduk dikawasan bandar datang ke kawasan pedalaman semata-mata untuk membeli
hasil produk industri kecil tersebut.

2.3.3 Daya Saing

Cabaran lain antaranya adalah dari segi daya saing diantara industri kecil dengan
firma-firma besar yang telah mempunyai pasaran yang kukuh dan stabil dalam negara.
Industri Kecil dan Sederhana sering menghadapi persaingan sama ada di antara industri
yang sama atau dengan firma-firma besar yang lain. Chee (1975) mendapati bahawa
persaingan wujud dari segi harga, kualiti, kedudukan kewangan dan perkhidmatan kepada
pelanggan. Hal ini menyebabkan IKS menjadi semakin lemah untuk bersaing dalam pasaran.
IKS tidak mampu membuat penjualan produk mereka secara kredit sebaliknya firma-firma
besar mampu melakukan sedemikian. Hal ini kerana sumber modal IKS yang sangat kecil
dan tidak mampu untuk menampung modal pusingan (Rahmah Ismail, 2004). Tambahan
pula, saiz belian oleh pelanggan juga kecil dan tidak sesuai bagi sistem penjualan secara
kredit.

Persaingan ini merupakan persaingan yang amat besar kerana firma-firma tersebut
yang mempunyai banyak kelebihan berbanding kekurangan kerana perbezaannya dari aspek
teknologi, tenaga buruh mahir, modal, kedudukan geografi, pasaran, dan banyak lagi.
Firma-firma tersebut dapat menggunakan kecanggihan teknologi yang sedia ada dengan
baik dibekalkan lagi dengan tenaga buruh mahir yang mudah diperoleh kerana kebanyakan
tenaga buruh mahir tinggal dikawasan bandar. Masalah untuk memasarkan hasil keluaran
mereka juga amat kurang kerana kawasan bandar merupakan kawasan yang menjadi
tumpuan segenap lapisan masyarakat. Oleh itu, amat mudah untuk firma-firma besar
memperoleh keuntungan yang berlipat ganda dalam masa yang singkat berbanding Industri
Kecil dan Sederhana yang lokasinya terpencil dikawasan luar bandar (Rahmah Ismail, 2004).
2.3.4 Pasaran

Cabaran dari aspek pasaran juga wujud dalam usaha memajukan Industri Kecil dan
Sederhana. Ruang pasaran adalah amat terhad kerana sesetengah produk yang dihasilkan
adalah berbentuk makanan dimana makanan adalah merupakan produk yang tidak tahan
lama dan mudah rosak. Kualiti barangan juga merupakan cabaran untuk memasarkan
produk IKS termasuklah kualiti bahan mentah yang rendah, mesin, teknologi rendah, tiada
sistem kawalan mutu, tahap kemahiran dan kepakaran pekerja yang rendah, reka bentuk
produk yang tidak menarik dan keupayaan meningkatkan mutu keluaran yang terbatas
(Moha. Asri Hj. Abdullah). Pasaran industri ini bersifat setempat menyebabkannya sukar
untuk menembusi pasaran global kerana kurangnya promosi dan pengiklanan. Oleh kerana
itu, pasarannya terhad kepada golongan luar bandar sahaja ditambah lagi dengan cabaran
sengit dalam pemasaran perkhidmatan dan barangan.

3.0 KEBAIKAN ATAU KELEBIHAN INDUSTRI KECIL DAN SEDERHANA

3.1 Nilai Kraftangan

Industri Kecil dan Sederhana memberi banyak kelebihan kepada negara sama ada
secara langsung atau tidak langsung. Menurut Rahmah Ismail (2004), kewujudan Industri
Kecil dan Sederhana dalam negara telah menyebabkan Malaysia menjadi salah sebuah
negara yang menghasilkan banyak kraftangan yang unik hasil tangan daripada masyarakat
pelbagai bangsa dan etnik yang tidak terdapat di mana-mana negara lain di dunia selain di
Malaysia. Contohnya seperti perusahaan membuat batik, songket, bakul, tikar dan lain-lain
lagi. Kesemua hasil tangan rakyat Malaysia ini telah menjadikan Malaysia sebagai sebuah
negara yang menjadi tarikan ramai pelancong dari negara luar. Kemasukan pelancong ke
dalam negara sekaligus meningkatkan ekonomi dan pendapatan negara menerusi sektor
pelancongan. Hal ini kerana para pelancong yang datang sanggup untuk membelanjakan
ratusan ringgit Malaysia untuk membeli barangan buatan tempatan sebagai buah tangan.
Impaknya kelak akan meningkatkan imej Malaysia diperingkat yang lebih tinggi di dunia.

3.2 Membuka Peluang Pekerjaan

Kewujudan Industri Kecil dan Sederhana telah membuka peluang pekerjaan khasnya
bagi penduduk luar bandar. Penduduk luar bandar yang tidak mempunyai pekerjaan seperti
golongan wanita yang bekerja sebagai suri rumah sepenuh masa dapat bekerja bagi mengisi
masa lapang. Pengusaha industri kecil memerlukan tenaga kerja yang ramai untuk
meningkatkan pengeluaran. Misalnya, kilang membuat kerepek memerlukan tenaga kerja
untuk menyediakan bahan, memasak, membungkus serta memasarkan hasil produk
tersebut. Namun pada masa yang sama, pengusaha mahu meningkatkan pengeluaran tetapi
dengan menggunakan kos yang minimum. Oleh yang demikian, pengusaha sudah pasti
akan mengambil tenaga kerja dari penduduk tempatan sahaja. Golongan yang menjadi
sasaran mereka sudah tentu adalah golongan wanita dan ibu tunggal. Keadaan ini bukan
sahaja membuka peluang pekerjaan kepada ramai orang malah juga dapat membantu
negara dalam mengatasi masalah pengangguran (Rahmah Ismail, 2004).

3.3 Intensif Tenaga Buruh

Selain itu, Industri Kecil dan Sederhana dengan penyesuaian mereka kepada intensif
tenaga buruh dapat mengeluarkan barangan yang tidak dapat dihasilkan oleh syarikat atau
firma-firma besar. Pembuatan barangan makanan, pakaian dan alatan perabot daripada
industri kecil sekurang-kurangnya dapat memenuhi kepuasan dan citarasa pengguna
tempatan dalam negara. Tidak dapat dinafikan juga bahawa Industri Kecil dan Sederhana
juga dapat mengeluarkan barangan yang dapat memenuhi keperluan sebahagian besar
golongan berpendapatan rendah dan sederhana dalam negara. Perkara ini sangat jelas
dilihat dalam industri tertentu seperti pembuatan makan, pembuatan logam, peralatan
plastik dan getah, pakaian, peralatan perabot dan seumpamanya. Oleh itu, Industri Kecil
dan Sederhana luar bandar juga merupakan industri pelengkap kepada keperluan dan
pembangunan industri negara masa kini (Rahmah Ismail, 2004).
4.0 KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) merupakan salah satu
sektor yang banyak menyumbang kepada peningkatan ekonomi dalam negara. Sektor ini
bukan sahaja membawa banyak kebaikan kepada ekonomi negara bahkan juga memberi
pelbagai kelebihan dan manfaat kepada masyarakat dalam negara sebagai contoh, dapat
mengurangkan kadar pengangguran dalam negara terutamanya dikawasan luar bandar.
Penglibatan masyarakat dalam mengusahakan industri ini dapat ditingkatkan sekiranya
kerajaan memperbanyakkan lagi penyediaan dari segi latihan kemahiran, seminar dan
pengurusan untuk pekerja bagi sektor ini agar pekerja yang kurang mahir dapat menjadi
pekerja mahir seperti bantuan daripada MARA, MEDEC, NPC dan Perbadanan Pembangunan
Industri Kecil (SMIDEC). Institusi-institusi latihan kemahiran lain pula perlu mengubahsuai
kurikulum dan orientasi latihan mereka. Para pengusaha perlu dilengkapkan dengan
pengetahuan dan pengalaman yang diperlukan bagi membolehkan mereka menyertai
bidang keusahawanan (Mohd.Rosli Mohamad, 2000).

Selain itu, pihak kerajaan juga perlu meningkatkan lagi kemudahan infrastruktur
dikawasan pusat Industri Kecil Dan Sederhana iaitu dari segi kemudahan-kemudahan asas
seperti bekalan air, elektrik, perkhidmatan telefon dan internet. Hal ini bagi memastikan
perkhidmatan pengangkutan dan perhubungan serta kemudahan-kemudahan awam
mencukupi bagi membantu para pengusaha IKS bagi menarik perhatian lebih ramai
pelanggan sekaligus membantu dalam perkembangan industri ini dalam negara. Antara
program yang boleh dijalankan ialah program infrastruktur yang bertujuan untuk
menyediakan prasarana yang baik dan tapak kilang yang sesuai untuk PKS. Jelaslah
bahawan faktor kejayaan atau kegagalan pengusaha adalah disebabkan oleh banyak faktor
pendorong. Hal ini juga berkait rapat dengan segala cabaran atau masalah yang mereka
hadapi sebagai seorang pengusaha untuk memajukan sesuatu perniagaan yang
kebanyakannya berskala kecil dan hanya bertumpu diperingkat tempatan sahaja. Oleh yang
demikian, seorang pengusaha yang baik dan bijak bertindak akan menggunakan sebaik
mungkin segala kelebihan atau kebaikan yang dapat diperolehi berkaitan dengan Industri
Kecil dan Sederhana di Malaysia agar industri ini akan menjadi satu industri utama yang
menyumbang kepada peningkatan pendapatan negara pada masa hadapan khasnya di
negara Malaysia.

RUJUKAN

Yussof, K. M., Sabariah, K. Y., & Hj Ahmad, M. (2008). Perdebatan isu productivity linked
wages system (PLWS) dalam perundingan kolektif Kesatuan Sekerja Perbankan Sabah
(SBEU).

Ibrahim, D., Yussof, K. Y. S. K. M., & Tibok, R. P. (2016). Between Work Responsibilities and
Family Obligations: A Study on the Management of VVork-Life Integration among
Academics. International Business Management, 10(18), 4336-4341.

You might also like