You are on page 1of 9

hikayat hati

PENDIDIKAN SEJARAH DALAM MEMUPUK PERPADUAN KAUM DI


MALAYSIA

ABSTRAK

Masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina dan


India.  Kemajmukan kaum ini menyebabkan perpaduan merupakan asas yang amat
penting dalam mewujudkan keharmonian dan keamanan dalam kalangan rakyat.  Oleh
itu kertas kerja ini akan membincangkan peranan pendidikan Sejarah untuk
meningkatkan kefahaman perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Kertas kerja ini
turut  mengupas isu-isu perpaduan kaum, matlamat dan kepentingan pendidikan
Sejarah. Malah ia turut memberi beberapa cadangan dan langkah agar pendidikan
Sejarah  mampu  menerapkan nilai-nilai  yang berkaitan dengan hubungan kaum dari
aspek kandungan,penerapan nilai serta aktiviti pengajaran dan pembelajaran.  

Kata Kunci: Perpaduan, Integrasi, Pendidikan Sejarah

PENGENALAN

Pendudukan Inggeris selama 171 tahun (1786-1957) ke atas Tanah Melayu telah mengubah
landskap komposisi penduduk Negara ini.  Dasar Inggeris membawa masuk tenaga kerja
dari India dan China untuk membantu mereka memeras kekayaan bumi Tanah Melayu,
terutama dalam sektor perladangan dan perlombongan, telah menjadikan Negara ini
sebuah Negara yang berbilang bangsa (Chamil Wariya  2007).

            Sebagaimana yang pernah ditunjukkan oleh kajian Furnival (1956), negara-negara


Dunia Ketiga pascamerdeka amat teruk dikacaubilaukan oleh penjajah dengan polisi ‘pecah
dan perintah’. Polisi sedemikian juga  diamalkan oleh pihakBritish ke atas datuk nenek
kita dahulu sebelum merdeka kerana pendekatan sedemikian menguntungkan pihak
penjajah. Bagi Furnival falsafah sedemikian telah mewujudkan dan mengukuhkan
pluralisme atau suatu bentuk masyarakat berbilang kaum yang ‘they mix but do not
combine’ atau dalam bahasa ibunda, ‘mereka bercampur tetapi tidak bersatu.’ Bagi Furnival
falsafah pluralisme sedemikian lebih banyak mendatangkan bencana kepada kestabilan
sosial dan politik negara.Selain daripada membentuk dasar pecah dan perintah dari segi
petempatan dan ekonomi, British juga telah meninggalkan sistem pelajaran yang jelas
menggalakkan pemisahan antara kaum.

Peristiwa pergaduhan kaum 13 Mei 1969 merupakan satu pengajaran besar kepada
kita bahawa pentingnya semangat perpaduan dalam masyarakat majmuk seperti di
Malaysia.  A.Aziz Deraman (2000) menjelas peristiwa ini banyak memberi pengajaran
kepada kita.  Kita selama ini rupa-rupanya gagal menyatupadukan rakyat.  Perpaduan
mungkin berada di kulit yang nipis secara luaran dalam lingkungan politik, tetapi tidak
berakar umbi.  Peristiwa ini mengajak kerajaan berfikir semula dan mengatur langkah baru
untuk mengukuhkan perpaduan.

Perisiwa tersebut memberi pengajaran kepada kerajaan untuk mengatasi masalah-


masalah yang menyebabkan pertembungan antara etnik.  Kerajaan memperkenalkan dua
perkara asas penting mulai tahun 1970 iaitu Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru untuk
mewujudkan keseimbangan kaum dan perpaduan rakyat.  Bidang pendidikan dikekalkan
sebagai teras penting untuk menjayakan hasrat Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru. 
Dalam Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975), pembangunan dalam bidang pendidikan
ditumpukan kepada usaha memperkukuhkan system pendidikan bagi menggalakkan
inegrasi nasional (Mohamad Rodzi  2009).
           
Justeru itu persoalan besar yang dihadapi para pemimpin dan pendidik selepas
Perang dunia Kedua ialah mencari formula untuk melahirkan satu masyarakat Malaysia
yang bersatupadu, yakni masyarakat majmuk yang mempunyai keazaman, kesanggupan
dan kesediaan untuk hidup bersama dengan rukun dan damai serta mempunyai kesedaran,
keperibadian dan nilai-nilai sebagai rakyat Malaysia.

                       

ISU-ISU PERPADUAN KAUM DI MALAYSIA

Sistem persekolahan yang pelbagai aliran di Malaysia seperti sekolah kebangsaan, sekolah
jenis kebangsaan Cina dan sekolah jenis kebangsaan Tamil merupakan isu yang sering
diperdebatkan dan akhirnya tiada jalan penyelesaian.  Isu-isu sistem persekolahan
merupakan isu yang sensitif bagi masyarakat Malaysia berbilang bangsa, kerana bukan
suatu yang mudah untuk mendapatkan persetujuan daripada masyarakat yang
mempunyai pandangan dan kepentingan berbeza. Sistem persekolahan Malaysia tidak
banyak berubah dari aspek perpaduan kaum. Kewujudan sekolah pelbagai aliran ini telah
menghalang pelajar-pelajar untuk membina hubungan baik seperti beramah mesra,
bergaul, bersukan , makan bersama, saling kenal-mengenal , dan merapatkan hubungan
silaturahim (Mior Khairul Azrin b.Mior Jamaluddin, 2011).

Ridhuan Tee (2010) juga turut bersetuju bahawa kewujudan sistem persekolahan
berasaskan kaum seperti SJKC memberi pengaruh kepada masalah perkauman di
Malaysia.  Kebanyakan orang Cina memilih sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC)
untuk anak-anak mereka mendapat pendidikan.  Masyarakat Cina amat mementingkan
pendidikan kerana melalui pendidikan mereka dapat mengekalkan warisan budaya dan
bahasa mereka. Hal ini turut diakui oleh Lee Yoke Fee (2004) yang berpendapat orang Cina
tertama yang terdidik di sekolah Cina melihat perjuangan mereka untuk mengekalkan
Mandarin sebagai bahasa ibunda. Hal ini berlaku kerana mereka ingin mengekalkan identiti
dan kebudayaan Cina.  Oleh yang demikian  integrasi nasional atau perpaduan kaum sukar
dicapai kerana perbezaan-perbezaan yang wujud ini.

Selaindaripada masalah kewujudan sekolah pelbagai aliran Ridhuan Tee Abdullah (2010)


dan Lee Yoke Fee (2004)  turut mengemukakan beberapa isu perpaduan yang lain
antaranya ialah,  tidak wujud kesatuan budaya kerana setiap bangsa mempunyai bahasa,
tradisi, agama dan budaya hidup.  Malah kesatuan wilayah juga berbeza apabila orang
Melayu tertumpu di kawasan pantai timur dan utara yang kurang maju. Sedangkan orang
Cina hidup di kawasan pantai barat yang lebih maju.  Seterusnya menurut Ridhuan lagi
tiada keserataan dalam pemusatan kekuatan ekonomi dan politik.  Kuasa poitik berada di
tangan orang Melayu, sementara ekonomi didominasi oleh orang Cina.

Ishak Saat (2010) pula menyatakan aspek politik yang menyumbang kepada masalah
perpaduan kaum.  Rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan kepelbagai
latarbelakang cenderung mengamalkan fahaman politik berasaskan kaum masing-masing . 
Malah  ahli-ahli politik sendiri sering menggunakan isu-isu perkauman dan perpaduan
untuk mendapat sokongan politik yang semakin pudar.    Keadaan ini seperti ini secara
tidak langsung turut menjejaskan integrasi dan perpaduan kaum dalam kalangan rakyat.
Manakala Ahmad bin Rahim, et.all (2011), membawa faktor isi kandungan
kurikulum seperti Sejarah yang menjejaskan perpaduan.  Kurikulum Sejarah dikatakan
bersifat terlalu ”Melayu centrik” . Peranan semua kaum dalam menuntut kemerdekaan dan
memakmurkan negara perlu diberi penekanan. Sejarah yang diajar seolah-olah sejarah
orang Melayu dan bukan sejarah Malaysia. Sumbangan dan pengorbanan kaum lain juga
perlu dilihat dan dimasukkan dalam kurikulum Sejarah agar mata pelajaran lebih menarik,
bersifat universal dan mempunyai nilai tambah. Setiap kaum mempunyai tokoh-tokoh yang
telah berjuang untuk kemerdekaan dan kemajuan negara.

Mohd Rozi (2009) turut bersetuju bahawa bahawa sumbangan kaum, masyarakat
dan tokoh yang terlibat dalam perkembangan sejarah negara harus dicakupi secara
menyeluruh dan bukannya dipilih (selected). Peranan ikon pascamerdeka seperti Tunku
Abdul Rahman, Tun Dr. Ismail, Tun Tan Siew Sin, Tun Tan Cheng Lock dan Tun
Sambanthan perlulah dilihat dari sudut perbincangan1 Malaysia yang seterusnya boleh
meningkatkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

MATLAMAT DAN KEPENTINGAN PENDIDIKAN SEJARAH

Satu cara yang penting untuk mewujudkan perpaduan di dalam sesebuah negara ialah
menerusi pendidikan.  Dalam konteks Malaysia, hakikat bahawa pendidikan merupakan
agen perubahan memainkan peranan yang penting dalam memupuk semangat perpaduan
dalam kalangan generasi muda atau pelajar.  Pendidikan, sering kali dianggap sebagai
teras utama ke arah perpaduan  nasional dan pemupukan kesetiaan dalam kalangan 
rakyatnya. Setelah peristiwa 13 Mei 1969, kurikulum yang dirangka bertujuan
menanamkan kesedaran individu, ciri-ciri dan nilai rakyat Malaysia yang
berfikiran terbuka  di samping menolak sentimen perkauman, warisan dan
perbezaan yang sempit antara mereka. Tumpuan kemudiannya  adalah 
kepada melahirkan negara bangsa  yang bersatu padu dan pengukuhan
kesetiaan dan patriotisme dalam kalangan generasi muda, khususnya pelajar
sekolah. 
Pendidikan sejarah telah dijadikan wahana utama dalam sistem pendidikan di
Malaysia untuk mencapai matlamat di atas. Malah, cabaran pertama yang digariskan dalam
gagasannegara  adalah ke arah  pembentukan bangsa Malaysia yang mempunyai matlamat
yang sama. Ia perlu menjadi  bangsa yang aman dengan integrasi wilayah dan etnik, hidup
dalam harmoni, adil, saksama ke arah bangsa Malaysia yang taat dan setia kepada Negara.
Masyarakat yang bersatu padu, berintegrasi, mengamalkan toleransi serta beridentiti
nasional menjadi tonggak utama Dasar Wawasan Negara bagi membina bangsa Malaysia
yang progresif dan makmur serta hidup dalam harmoni (Haminah binti Suhaibo:2010).

Dasar Pendidikan Kebangsaan menggariskan matapelajaran Sejarah sebagai alat


yang boleh mewujudkan nilai perpaduan dalam diri individu tidak kira bangsa atau agama.
Penekanan pendidikan Sejarah tertumpu kepada kesedaran sejarah, toleransi dan kepekaan
masyarakat untuk berkongsi tanggungjawab terhadap masa depan negara.  Malamat yang
terdapat dalam pendidikan Sejarah ini bertepatan dengan hasrat Falsafah Pendidikan
Negara iaitu menjadikan rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan terhadap
keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Rakyat yang dimaksudkan dalam
Falsafah Pendidikan Negara ialah menonjolkan ciri seperti sentiasa berusaha mengekalkan
kestabilan negara melalui perpaduan kaum serta amalan nilai-nilai murni seperti
bekerjasama, tolong -menolong, berbelas kasihan, bertimbang rasa, hormat menghormati
dan bertoleransi (Ee Ah Meng 1996).

            Kepentingan mata pelajaran Sejarah ini turut disentuh oleh Omar Mohd Hashim
(1991) yang berpendapat Sejarah ialah satu mata pelajaran yang memainkan peranan
penting kearah mencapai matlamat pembangunan.   Bagi negara kita yang masih dalam
proses pembangunan, murid-murid di sekolah dapat ditanamkan semangat patriotik,
kebangsaan serta kesetiaan kepada negara.  Melalui pelajaran Sejarah, diharap dapat
membina semangat perpaduan dan perasaanhormat-menghormati terutama dalam
masyarakat berbilang kaum, keturuan, agama dan adat resam.

PENDIDIKAN SEJARAH KE ARAH PERPADUAN KAUM


Antara cadangan yang dikemukakan adalah mengenai isi kandungan kurikulum
sejarah. Kurikulum yang ditampilkan perlulah bersifat futuristic dan berdaya saing di mana
keseimbangan dari aspek teori dan amali perlu diberi perhatian. Dalam isi kandungan
kurikulum, perlulah ditampilkan ilustrasi yang menarik agar dapat menarik perhatian
pelajar untuk mengikutinya. Kurikulum sejarah pada masa kini perlulah bersifat progresif,
dinamik dan seimbang. Dengan kata lain, kurikulum yang dihasilkan perlulah berpusatkan
pelajar, realistic serta praktikal dan juga boleh diaplikasikan dalam konteks kehidupan
seharian. Isi kandungan kurikulum sejarah juga perlulah dilihat kembali agar sumbangan
semua kaum di Negara ini dapat dilihat dan dihargai (Ahamad bin Rahim, et . all,  2011).

Sumbangan kaum Melayu, Cina dan India terhadap proses kemerdekaan dan
pengisian kemerdekaan perlu dimasukkan dalam kurikulum. Contohnya dalam menuntut
kemerdekaan Negara, peranan Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun
Sambanthan perlulah dikupas dan diperhalusi dari perspektif perpaduan dan integrasi
kaum di Negara ini. Hal ini adalah untuk mengelakkan tafsiran sejarah yang dipelajari lebih
menjuruskan kepada sejarah orang-orang melayu atau ‘melayu centric’. Seharusnya
kurikulum sejarah itu dapat merangsang pelajar-pelajar agar dapat merasakan sejarah yang
dipelajari itu adalah milik mereka bersama. Hal ini sangat penting agar setiap kaum akan
dapat memahami sejarah bagi setiap kaum yang lain. Kurikulum sedemikian akan dapat
menarik minat pelajar dari semua kaum dalam menilai sumbangan kaum mereka terhadap
sejarah pembangunan Negara. Hal ini secara tidak langsung akan meningkatkan perpaduan
di kalangan mereka (Ahamad bin Rahim, et.all, 2011).

            Seterusnya adalah cadangan mengenai konteks penerapan nilai dalam sejarah. Hal
ini adalah kerana subjek sejarah di sekolah dilihat sangat relevan dalam memupuk nilai-
nilai kemasyarakatan, intelektual dan social untuk mencorakkan perkembangan personality
yang lebih seimbang.menurut Rahim Rashid (2000), penerapan nilai dalam pendidikan
sejarah dapat dibahagikan kepada empat iaitu, nilai individu, nilai politik, nilai sosial dan
kemasyarakatan dan juga nilai intelek. Oleh yang demikian, kurikulum sejarah yang
dibentuk perlulah memberi penekanan kepada nilai unsur ini selari dengan hasrat untuk
melahirkan generasi pelajar yang dapat memahami dan berinteraksi dengan lebih harmoni,
khususnya dalam konteks masyarakat pelbagai etnik di Negara ini.

KESIMPULAN

Usaha untuk memupuk perpaduan dan integrasi kaum melalui pendidikan Sejarah tiada
jalan noktahnya.Pendidikan Sejarah dilihat sebagai wadah terbaik untuk merealisasikan
hasrat ini.Walaupun pelbagai usaha dan langkah telah diambil oleh pihak kerajaan
mahupun badan-badan bukan kerajaan.Dalam konteks Malaysia yang mempunyai
masyarakat pelbagai etnik ini, usaha yang berterusan perlulah dilakukan untuk memelihara
dan memperkukuh perpaduan dan integrasi masyarakat pelbagai kaum ini. Langkah
kabinet untuk membentuk
sebuah panel pembelajaran Sejarah bagi memantau pelaksanaan kurikulum Sejarah
dianggap satu langkah tepat dan bersesuaian dengan konteks semasa. Sebagai rakyat
Malaysia, semuanya amat berharap pada suatu hari nanti isu ini akan menemui titik
noktahnya. Untuk itu,semua kaum perlulah menanam sikap kekitaan, toleransi dan saling
mempercayai antara satu sama lain selain meletakkan kepentingan nasional dan
kesejahteraan negara melebihi kepentingan etnik masing-masing. Kita tidak mahu isu dan
dilema perpaduan ini akan terus menjadi duri dalam daging untuk tempoh 50 tahun yang
akan datang. ‘Gagasan1 Malaysia’yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’
SriMohd Najib Tun Razak telah membuka lembaran baru ke arah memperkasa perpaduan
kaum dalam masyarakat pelbagai etnik di negara ini.Oleh itu, kurikulum Sejarah dilihat
sebagai medium yang sangat signifikan dalam merealisasikan hasrat ini.
           

RUJUKAN
Chamil Wariya. 2007. Malaysia 50 Fakta Asas Kenengaraan. Kuala Lumpur: Media Global Matrix
Sendirian Berhad

A.    Aziz Deraman.2000.Tamadun Melayu dan Pembinaan Bangsa Malaysia.Kuala:


            Dewan Bahasa dan Pustaka

      Abdul Rahim Abd. Rashid.2000. Wawasan & Agenda Pendidikan.Kuala Lumpur:


                  Utusan Publications

      Abdul Rashid Suratnu dan Abdul Rahmad Daud. 2008. Khidmat Negara Tak                
                 Maka Tak Cinta. Kuala Lumpur: Permasik Holdig

     Azizi Yahaya et. al. 2007. Menguasai Penyelidikan dalam Pendidikan – Teori,        Analisis
Interpretasi Data. Kuala Lumpur : PTS Professional

Burchardt. J. 1998. Reflection on History. Indiana Polis: Liberty University Press

Butterfield, H. 1973. The Whig Interpretation History. Australia: A Pelican Book.

Ee Ah Meng. 1996. Pendidikan di Malaysia Satu Falsafah Pendidikan Guru dan Sekolah. Shah


Alam: Fajar Bakti Sdn.Bhd.

Ee Ah Meng.1997. Pedagogi I Kurikulum dan Pengurusan Bilik Darjah (Semester II).Shah Alam:


Fajar Bakti Sdn.Bhd.

Kamarudin Hj.Husin. 1997.Psikologi Bilik Darjah Asas Pedagogi. Kuala Lumpur: Utusan
Publications & Distributors Sdn.Bhd.

Mohd Rodzi.2009. Pembinaan Negara Bangsa Malaysia: Peranan Pendidikan Sejarah dan Dasar
Pelajaran Kebangsaan, JEBAT .36(90): 106

Mok Soon Sang.1999. Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman


Muhammad Ismail Ahmad. 2004. Sejarah Malaysia. Shah Alam: Pustaka Mawar.

Omar Mohd Hashim. 1991. Pengisian Misi Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Ramlah Adam et.al.2004. Sejarah Tingkatan 3.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Robert F.Mager. 2006. Teknik Mendorong Pelajar Belajar…tanpa membunuh semangat mereka.


Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad.
Ruhanie Haji Ahmad.2005. Patriotisme Malaysia. Kuala Lumpur: Utusan Publications &
Distributor Sdn.Bhd.

Shahabuddin Hashim et.al. 2007. Pedagogi Strategi dan Teknik Mengajar Dengan Berkesan.
Kuala Lumpur: PTS Professional.

Suffean Hussin. 2002. Dasar Pendidikan Progresif Perspektif Makro dan Mikro. Kuala Lumpur:
Utusan Publication Sdn.Bhd.

Tanggung jawab Mengisi Kemerdekaan. 2010.Berita Harian, 31 Ogos: 18

Kementerian Pendidikan Malaysia. 2000. Sukatan Pelajaran Sejarah 2003. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Posted by hikayathati at 11:35 PM 

You might also like