You are on page 1of 4

KENYATAAN MEDIA

MENTERI KESIHATAN DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT SABAH

BERKAITAN MAKLUMAT TULAR MELALUI MEDIA SOSIAL


MEBGENAI PENYAKIT INFLUENZA A (H1N1) DI DAERAH KOTA
KINABALU, NEGERI SABAH

Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) ingin merujuk kepada isu tular
di media sosial pada 28 Disember 2019 berkaitan penyakit Influenza A
H1N1 di kalangan kanak-kanak yang dinyatakan telah mendapat
jangkitan di salah sebuah pusat membeli belah di Kota Kinabalu dan
dirawat di KPJ Sabah Specialist Hospital, Kota Kinabalu. 0

JKNS mengesahkan seramai lapan (8) kes Influenza A (H1N1) di


kalangan kanak-kanak dilaporkan oleh KPJ Sabah Specialist Hospital,
Kota Kinabalu dari 15 hingga 28 Disember 2019. Kes-kes berumur dalam
lingkungan umur satu (1) hingga 12 tahun. Kesemua kes dilaporkan
stabil. JKNS telah mengambil tindakan-tindakan kawalan bagi mencegah
perebakan jangkitan tersebut. Pendidikan kesihatan mengenai penyakit
Influenza dan cara-cara mengelak jangkitan telah diberi kepada orang
ramai.

Influenza merupakan jangkitan sistem pernafasan oleh virus influenza


bermusim dengan gejala utama seperti demam selsema atau flu, sakit
tekak, batuk dan gejala lain seperti kurang selera makan, sakit kepala,
sakit otot, sakit sendi dan kelesuan. Demam selsema sangat mudah
berjangkit kepada orang lain melalui udara dengan titisan (droplet) cecair
daripada mulut dan hidung semasa bercakap, batuk atau bersin. Pada
kebiasaannya, penyakit Influenza menyebabkan demam selsema (flu)
yang ringan tetapi boleh menyebabkan jangkitan yang teruk kepada
kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga tua, wanita
mengandung dan mereka yang mengidap penyakit-penyakit kronik
seperti kencing manis, darah tinggi, lelah dan lain-lain. Penyakit ini boleh
dicegah dengan pengambilan vaksin influenza (Annual flu shot) secara
tahunan bagi bayi berumur 6 bulan dan ke atas sehingga dewasa.
Pengambilan vaksin influenza adalah tidak diwajibkan, tetapi ia dapat
membantu mengurangkan komplikasi Influenza yang teruk seperti
jangkitan paru-paru (pneumonia), jangkitan saluran pernafasan
(bronchitis), ketimbulan penyakit asma (asthma flare up), jangkitan pada
telinga (ear infections), jangkitan pada jantung (heart infection) atau
radang otak (encephalitis). Oleh itu, orang awam secara amnya dan
golongan berisiko tinggi secara khususnya amat digalakkan untuk
mendapatkan pelalian vaksin influenza bermusim yang ditawarkan oleh
fasiliti kesihatan swasta di seluruh negeri.

Bagi mencegah penularan jangkitan influenza, orang ramai diminta


sentiasa mengamalkan langkah-langkah yang mudah seperti;

i. Mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi.


ii. Amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan
sabun atau menggunakan hand sanitizer.
iii. Mengamalkan adab batuk yang baik.
iv. Mengamalkan cara hidup sihat.
v. Mereka yang mempunyai gejala jangkitan Influenza adalah
dinasihatkan untuk berehat di rumah dan tidak pergi ke tempat
tumpuan ramai. Sekiranya perlu ke tempat awam, mereka
dinasihatkan untuk memakai penutup mulut dan hidung (face
mask).
JKNS ingin menasihatkan orang ramai yang mengalami gejala yang sama
seperti yang dinyatakan di atas, segera mendapatkan pemeriksaan dan
rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta yang
berhampiran sekiranya gejala bertambah teruk seperti demam dan batuk
/ sakit tekak yang berterusan.

Sekian, terima kasih.


YB DATUK FRANKIE POON MING FUNG
MENTERI KESIHATAN DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT SABAH

28 DISEMBER 2019

You might also like