You are on page 1of 23

BAB 1

PENGENALAN PERNIAGAAN ANTARABANGSA

1.0 SINOPSIS

Perniagaan antarabangsa merangkumi sebarang transaksi perniagaan melibatkan pihak-pihak

lebih daripada satu negara. Semua transaksi ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk dan boleh

melibatkan syarikat persendirian, sekumpulan syarikat, atau agensi-agensi kerajaan. Perniagaan

antarabangsa berbeza daripada perniagaan tempatan dari segi perbezaan mata wang, sistem

perundangan, budaya dan kebolehdapatan sumber.

Informasi perniagaan antarabangsa adalah penting atas beberapa sebab. Pertama, hampir

kesemua organisasi yang wujud boleh terkesan dengan ekonomi global. Kedua, terdapat

kebarangkalian bagi seseorang untuk terlibat dengan firma asing, maka mereka perlu bersedia untuk

berhadapan dengan pihak atasan yang menggunakan fungsi tetapan berteraskan antarabangsa. Akhir

sekali, seseorang individu perlulah celik budaya dalam mengharungi dunia kini.

Aktiviti perniagaan antarabangsa adalah dalam pelbagai bentuk. Aktiviti mengeksport

termasuklah menjual barangan yang dibuat di sesebuah negara untuk digunakan bagi pasaran

domestik atau dijual semula di negara luar. Aktiviti mengimport pula termasuklah membeli produk

yang dibuat di negara luar bagi pasaran negara pengeluar atau dijual semula ke negara luar. FDI

adalah pelaburan bagi mengawal harta, aset, atau syarikat yang terletak di luar negara. Selain itu,

perniagaan antarabangsa juga terdiri daripada pelesenan, francais, dan pengurusan kontrak.

Perniagaan antarabangsa terlibat dalam transaksi komersial dengan individu, firma swasta,

atau organisasi sektor awam yang melangkaui batasan sempadan negara. Firma-firma yang bertapak

1
di peringkat antarabangsa dikenali sebagai syarikat multinasional atau MNC.

Pertumbuhan drastik oleh perniagaan antarabangsa sejak kebelakangan ini adalah hasil

lanjutan strategi penting dan perubahan persekitaran. Strategi penting termasuklah bersaing dalam

pasaran yang lebih besar, memperoleh sumber dengan kos yang rendah, mencari pasaran baru, dan

bersaing dengan pesaing industri. Walaupun strategi penting bertindak sebagai kayu ukur kepada

pengantarabangsaan operasi sesebuah firma, namun perubahan signifikan dalam politik dan

persekitaran teknologi telah melengkapi aktiviti pertumbuhan perniagaan antarabangsa yang

meletus sejak Perang Dunia II. Kemajuan capaian internet dan teknologi maklumat lain turut

menjadi pemangkin baru kepada persaingan global dan kaedah-kaedah alternatif dalam

menjalankan aktiviti perniagaan antarabangsa.

2.0 OBJEKTIF PEMBELAJARAN

Setelah mempelajari bab ini, pelajar akan dapat:

1. Membincangkan maksud perniagaan antarabangsa

2. Menerangkan kepentingan memahami perniagaan antarabangsa

3. Mengenal pasti dan menghuraikan bentuk-bentuk asas aktiviti perniagaan antarabangsa

4. Membincangkan sebab-sebab berlakunya globalisasi

5. Memahami peranan pertumbuhan pasaran memuncul dalam ekonomi global

2
3.0 APAKAH ITU PERNIAGAAN ANTARABANGSA?

Perniagaan antarabangsa melibatkan transaksi perniagaan antara beberapa pihak iaitu lebih

daripada sebuah negara. Antara contoh transaksi perniagaan antarabangsa termasuklah membeli

bahan di sebuah negara dan menghantarnya kepada pihak dari negara berlainan untuk aktiviti

pemprosesan atau pemasangan, penghantaran produk siap dari satu negara ke negara lain untuk

jualan runcit, membina sebuah kilang di negara asing untuk menyediakan tenaga buruh yang

menelan kos lebih rendah, atau meminjam wang dari sebuah bank di sesebuah negara untuk

membiayai operasi lain. Pihak yang terlibat dalam urus niaga itu boleh terdiri daripada individu

perseorangan, syarikat-syarikat persendirian, kumpulan syarikat atau agensi-agensi kerajaan.

3.1 Perbezaan: Perniagaan Antarabangsa dan Perniagaan Dalam Negara

a) Negara-negara yang terlibat biasanya menggunakan mata wang yang berbeza. Hal ini

menyebabkan pihak-pihak yang terlibat terpaksa menukar mata wang mereka terlebih

dahulu sebelum berurusan.

b) Sistem undang-undang sesebuah negara mungkin berbeza dimana sistem ini memaksa satu

pihak atau lebih untuk menyesuaikan amalan mereka dalam mematuhi undang-undang

tempatan. Mandat sistem undang-undang yang digunakan adakalanya tidak praktikal dan

secara tidak langsung memberi tekanan kepada pengurus-pengurus di peringkat

antarabangsa.

c) Budaya di setiap negara mungkin berbeza, maka setiap pihak perlu mengawal setiap gerak-

geri mereka bagi menghormati budaya masyarakat tempatan.

d) Kebolehdapatan sumber-sumber adalah berbeza di setiap negara. Sesebuah negara mungkin

dilimpahi sumber asli tetapi kekurangan tenaga buruh mahir, manakala negara yang lain

3
pula memiliki sumber tenaga kerja yang terlatih tetapi kekurangan sumber semula jadi. Jelas

bahawa cara menghasilkan sesuatu produk dan jenis produk yang dihasilkan adalah berbeza-

beza mengikut negara.

3.2 Cabaran dalam Pelaksanaan Perniagaan Antarabangsa

a) Budaya

Perbezaan budaya, bahasa, agama dan nilai sosial antara negara yang terlibat mempengaruhi

corak pelaksanaan operasi sesebuah firma dalam perniagaan antarabangsa,

b) Sistem Pentadbiran Negara

Perbezaan ini dipengaruhi hubungan dengan penjajah pada masa lalu, sistem perundangan

turun-temurun, penggunaan mata wang rasmi, pakatan politik, atau gelagat terhadap

pengimbangan yang wajar antara peranan sektor swasta dengan sektor awam.

c) Kedudukan Geografi

Meliputi faktor fizikal, hubungan komunikasi dan pengangkutan yang menghubungkan

antara negara dan bagaimana faktor geografi yang saling berkaitan dengan penggabungan

ekonomi antara negara-negara yang terlibat.

d) Ekonomi

Sumber ekonomi adalah berbeza mengikut negara. Walaupun sumber semula jadi

merupakan komponen asas bagi sesebuah negara, namun sumber manusia, infrastruktur,

penjanaan maklumat dan informasi terbaru, dan pemupukan teknologi inovasi adalah lebih

penting sebagai akibat jurang ekonomi yang wujud.

4
4.0 KEPENTINGAN MEMPELAJARI PERNIAGAAN ANTARABANGSA

Mengapa kita perlu belajar perniagaan antarabangsa? Pertama, kebanyakan organisasi yang

besar menggunakan sistem operasi antarabangsa atau dipengaruhi oleh global ekonomi. Kita perlu

memahami konsep-konsep penting dalam perniagaan antarabangsa bagi memudahkan kita menilai

peluang-peluang kerjaya dan berinteraksi dengan pengurus berlainan dengan efektif. Sebagai

contoh, dalam pelaksanaan tugas pekerjaan pertama anda, kemungkinan anda terlibat dalam

pasukan tugas kerja yang melibatkan ahli-ahli kumpulan dari negara asing. Maka, pengenalan asas

terhadap perniagaan antarabangsa akan membantu anda memahaminya dengan lebih terperinci

berkenaan tujuan penubuhan sesebuah pasukan, objektif pasukan yang perlu dicapai dan bagaimana

anda dapat berinteraksi secara efektif dengan rakan sekerja.

Kedua, berkemungkinan anda bekerja di sebuah firma milik syarikat yang berpangkalan di

luar negara. Misalnya, 5.3 juta rakyat Amerika Syarikat bekerja dibawah syarikat sekutu Amerika

Syarikat milik warga asing, dan anak syarikat asing Amerika Syarikat menggaji 11.1 juta pekerja

dari luar negara seperti Eropah, Asia, Afrika, Australia, Kanada dan Amerika Latin.

Ketiga, perniagaan kecil kini semakin terlibat dalam perniagaan antarabangsa. Hal ini dapat

dilihat menerusi penggunaan bahan-bahan atau peralatan hasil keluaran negara luar. Selain itu,

perniagaan kecil juga sudah mampu bersaing dengan firma-firma asing, dan berkemungkinan juga

menjual produk mereka dalam pasaran-pasaran asing.

Selain itu, perkembangan e-dagang pula telah membuka banyak peluang kepada perniagaan

kecil. Sebelum ini, usahawan sukar menembusi pasaran asing disebabkan mereka perlu membina

rangkaian pengedaran dan memasarkan jenama produk mereka secara komersial ke pelbagai negara.

Kini, dengan adanya laman sesawang perniagaan sebagai platform pemasaran telah memudahkan

usahawan memperkenalkan perniagaan mereka kepada semua pelanggan di seluruh dunia tanpa

5
perlu berurusan secara bertemu muka di setiap negara. Dengan penggunaan Internet, usahawan

dapat mengurangkan kos perniagaan dan juga berpeluang untuk bersaing dengan pesaing yang lebih

dominan. Sebagai contoh, sebuah perniagaan keluarga iaitu kilang pakaian Lee Hung Fat di Hong

Kong telah berjaya mengurangkan kos komunikasi melalui penggunan Internet berbanding

menggunakan faks dan panggilan telefon. Firma ini tidak menggunakan khidmat pos ekspres bagi

menghantar sampel produknya kepada pelanggan, sebaliknya mereka menggunakan kamera digital

untuk memperlihatkan sampel gambar pakaian yang dijual menerusi talian Internet. Firma ini

menggangarkan mereka telah berjimat sebanyak 15 hingga 20 peratus dalam kos reka bentuk

dengan penggunaan teknologi ini.

Seterusnya, kepentingan mempelajari perniagaan antarabangsa ialah bagi memastikan

usahawan sentiasa bersedia untuk bersaing dengan pesaing pada masa akan datang. Secara

tradisinya, pelajar perniagaan di Eropah telah mempelajari pelbagai bahasa, menggembara secara

meluas dan memiliki pengalaman bekerja di beberapa buah negara yang berbeza. Kebanyakan

program yang diikuti mewajibkan pelajar meluangkan masa selama satu atau dua semester di

negara yang berbeza. Begitu juga dengan pelajar Asian yang aktif bekerja untuk mempelajari

pasaran dan budaya asing terutamanya pelajar negara Amerika Utara dan Eropah. Pelajar-pelajar ini

dilatih untuk menjadi seorang pengurus, dan bakal menjadi pesaing dalam permohonan perjawatan

syarikat dan kedudukan jawatan dalam sesebuah organisasi. Kita perlu mempunyai kamahiran dan

pengetahuan global sebagai sokongan dalam bidang kerjaya.

Seterusnya, perniagaan antarabangsa perlu dipelajari bagi membolehkan kita dapat

mengikuti perkembangan teknik-teknik dan alatan perniagaan terkini oleh sebab tiada sebuah

negara pun dapat menguasai idea-idea yang bernas. Sebagai contoh, syarikat Jepun telah

mempelopori teknik pengurusan inventori seperti sistem Just-In-Time (JIT), di mana pembekal

dianggap akan menghantar bahan-bahan yang berkaitan apabila diperlukan pada masa tersebut

6
dalam proses pengeluaran. Begitu juga halnya yang berlaku dalam syarikat Eropah seperti Volvo

dan firma Jepun seperti Honda yang merupakan antara syarikat terawal membuat eksperimen

mengenai amalan-amalan buruh seperti pemerkasaan, kitaran kualiti, kumpulan kerja bersifat

autonomi, dan pasukan silang fungsi untuk meningkatkan produktiviti dan kepuasan para pekerja

mereka. Maka, pengurus yang tidak peka atau alpa dengan inovasi atau pembaharuan daripada para

pesaing di peringkat antarabanga akan ketinggalan dan gagal dalam pasaran global.

Akhir sekali, kepentingan mempelajari perniagaan antarabangsa adalah untuk membolehkan

kita sentiasa bersikap celik budaya. Sebagaimana budaya antarabangsa dan sistem politik global

menjadi lebih saling berkaitan berbanding sebelum ini, memahami dan menghargai persamaan dan

perbezaan masyarakat di dunia akan menjadi semakin penting dalam perniagaan antarabangsa. Kita

pasti akan berhadapan dengan rakan sekerja, pelanggan, pembekal dan pesaing dari negara-negara

berlainan dan latar belakang budaya yang berbeza. Dengan mengetahui dan memahami tahap

kesesuaian sesuatu negara dan firma asing dalam ekonomi global, kita akan lebih mudah mendapat

penghormatan dan keyakinan daripada mereka, selain turut diberi keutamaan untuk berurusan

dengan mereka, dan sebaliknya.

7
5.0 SEJARAH AWAL PERNIAGAAN ANTARABANGSA

Perniagaan antarabangsa pasa asalnya terdiri daripada perdagangan antarabangsa.

Perdangangan antara negara dapat dikesan sejak 2000 tahun sebelum masihi dimana puak-puak di

Afrika Utara menghantar kurma dan pakaian ke Babylonia dan Assyria di Timur Tengah dan

memperdagangkan barangan mereka untuk mendapatkan rempah-ratus dan minyak zaitan.

Perdagangan ini terus berkembang dari tahun ke tahun, dan merangkumi lebih banyak wilayah serta

sumber dan produk. Malah, sukan Olimpik juga wujud pada awal era ini dan sukan Olimpik

pertama telah diadakan di Greece pada tahun 776 sebelum masihi. Pada tahun 500 sebelum masihi,

perdagang Cina mengeksport sutera dan jed ke India dan Eropah dengan menggunakan laluan

perdagangan yang telah dibuka.

Kejayaan dalam perdagangan antarabangsa sering dikaitkan dengan kuasa politik dan

ketenteraan. Kegemilangan Empayar Greece dan diikuti Empayar Rome berlaku secara

berperingkat disebabkan eksploitasi perdagangan antarabangsa. Serangan-serangan daripada pihak

lawan sebelum ini telah berjaya dipatahkan oleh mereka demi mengekalkan penguasaan dan

dominasi perdagangan. Sebagai contoh, bandar Carthage di Afrika Utara telah menjadi pusat

perniagaan antarabangsa yang bersaing dengan Rome pada abad ketiga sebelum masihi, dimana

para saudagar dari Eropah telah membawa logam dan kaca yang berharga untuk ditukarkan dengan

bijirin, gading, dan tekstil yang ditawarkan oleh saudagar Afrika. Dalam tempoh 100 tahun, Rome

telah berperang sebanyak tiga kali dengan Carthage untuk mengekalkan kuasa perdagangannya dan

akhirnya mengalahkan Carthage pada tahun 146 sebelum masihi. Kerajaan Rome berjaya

membakar bandar tersebut dan menabur garam ke dalam tanahnya untuk menghalang

perkembangan pertanian mereka dan sekaligus menghapuskan pesaingnya itu.

Pada zaman pertengahan, Itali menjadi tumpuan utama perniagaan antarabangsa disebabkan

lokasinya yang terletak di pusat pasaran dunia ketika itu. Kekuatan politik dan ketenteraan Venice,

8
Genoa, dan Florence telah menggambarkan peranan mereka sebagai pusat-pusat utama perdagangan

dan perbankan antarabangsa yang menghubungkan laluan perdagangan antara Eropah dengan

China. Pada tahun 1453 laluan perdagangan ini telah terputus apabila Turki menakluki

Constantinople (kini Istanbul) dan berjaya menguasai Timur Tengah. Disebabkan perdagangan

antara Eropah dan China sangat menguntungkan, maka kerajaan Eropah merancang untuk mencari

laluan laut baru ke Timur. Kerajaan Sepanyol menyokong Christopher Columbus belayar ke barat

melalui Eropah bagi mencari laluan baru tersebut. Pendaratan Christopher Columbus di pulau

Caribbean yang pada asalnya bertujuan mengenal pasti sumber-sumber baru telah membawa kepada

penjajahan keatas Amerika oleh negara Eropah.

Semasa tempoh penjajahan ini, beberapa kawasan perdagangan baru telah dibuka. Para

peneroka Amerika telah menjual pelbagai bahan mentah, logam berharga, dan bijirin ke Eropah

sebagai pertukaran bagi teh, barangan pengeluaran dan komoditi-komoditi lain. Sebahagian besar

wilayah Amerika akhirnya menjadi negara meredeka dan penyumbang utama kepada ekonomi

dunia.

Satu lagi fenomena yang amat penting kepada perniagaan antarabangsa telah dibangunkan

semasa zaman penjajahan dan seterusnya zaman Imperialisme iaitu pertumbuhan pelaburan

langsung asing (FDI), dan syarikat-syarikat multinasional (MNCs). Kedua-duanya adalah

melibatkan warga asing yang membekalkan dan mengawal pelaburan di negara penganjur. Kapitalis

Eropah dari kuasa-kuasa imperialis seperti United Kingdom, Perancis, Belanda, Sepanyol, Belgium

dan Portugal membentuk perniagaan baru dalam empayar jajahan mereka di Amerika, Asia, dan

Afrika dengan mewujudkan rangkaian perbankan, pengangkutan, dan perdagangan yang berterusan

sehingga hari ini. Antara firma terawal termasuk Syarikat Dutch East India (ditubuhkan pada 1600),

Syarikat The British East India (1602), dan Syarikat The Hudson’s Bay (1670). Kesemua syarikat

ini dan beberapa syarikat yang berikutnya seperti Jardine Matheson Holdings Berhad memiliki

9
lombong tembaga, ladang teh dan kopi, kilang jut dan kapas, ladang-ladang getah, dan lain-lain lagi

sebagai sebahagian daripada empayar perdagangan global mereka.

Pada abad kesembilan belas, penciptaan dan penambahbaikan enjin stim serta pertambahan

jumlah landasan kereta api telah mengurangkan kos pengangkutan barang di darat secara mendadak

sekaligus membantu kilang-kilang besar menjana ekonomi dengan lebih pesat. Pembangunan ini

telah memperluaskan skop pelaburan langsung asing dengan kemunculan syarikat-syarikat gergasi

multinasional seperti Unilever, Ericsson dan Royal Dutch Shell yang telah tampil sebagai kuasa

utama antarabangsa dengan membuat pelaburan berkaitan kemudahan di seluruh Asia, Eropah, dan

Amerika pada masa itu. Penciptaan benda baru telah menggalakkan perubahan teknologi dengan

lebih maju sebagai akibat ransangan FDI. Sebagai contoh, pada tahun 1852 Samuel Colt telah

membina sebuah kilang di Great Britain untuk menghasilkan senjata apinya yang terkenal, dan

diikuti Dunlop yang telah membina kilang-kilang di Belgium, Perancis dan Jepun untuk menguasai

pasaran pembuatan tayar.

5.1 Aktiviti-aktiviti Perniagaan Antarabangsa

5.1.1 Eksport dan Import

a) Perniagaan eksport ialah aktiviti menghantar atau mengirim barang-barang dagangan dan

perkhidmatan tempatan ke luar negara untuk dijual. Contohnya Malaysia menghantar getah

ke Rusia dan sebahagian besar negara-negara barat.

b) Perniagaan import ialah aktiviti membawa masuk atau membeli barang-barang dagangan

dan perkhidmatan dari luar negara dan dijual di negara sendiri. Contohnya membeli beras

negara Thailand dan Burma bagi menampung permintaan pengguna.

10
5.1.2 Pelaburan Antarabangsa

Firma asing melakukan pelaburan dengan memiliki aset asing untuk mendapatkan pulangan

kewangan. Pelaburan ini terbahagi kepada dua kategori iaitu Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan

Pelaburan Portfolio Asing (FPI).

a) Pelaburan Langsung Asing (FDI)

 Firma asing melakukan pelaburan dengan memiliki firma tempatan

 Pemilikan ini membolehkan firma asing mempunyai kuasa mengawal firma tempatan.

 Faktor yang mendorong pelaburan asing seperti ketiadaan sumber asli di negara sendiri,

keinginan untuk meningkatkan daya saingan kerana penyesuaian yang cepat terhadap

keperluan di pasaran asing dan lain-lain.

b) Pelaburan Portfolio Asing (FPI)

 Firma asing melakukan pelaburan dengan membeli aset kewangan seperti bon, saham dan

sebagainya yang diterbitkan oleh firma tempatan.

 Tujuannya untuk mendapatkan pulangan daripada dana yang dilaburkan.

 Contohnya pembelian 1000 saham stok biasa syarikat Sony oleh dana pesara Denmark.

5.1.3 Bentuk-bentuk lain Aktiviti Perniagaan Antarabangsa

a) Pelesenan

 Pemberian kebenaran oleh licensor kepada licensi untuk mengeluarkan atau memasarkan

jenama produk atau perkhidmatan bagi satu tempoh tertentu.

 Licensor memberi hak menggunakan proses pengeluaran, cap dagang, paten, rahsia niaga

dan sebagainya yang berkaitan dengan produk dan perkhidmatannya kepada licensi.

 Licensi terpaksa membayar royalti kepada licensor.


11
b) Francais

 Pemberian kebenaran hak daripada francaisor kepada francaisi untuk menggunakan

sebarang kepakaran pembuatan atau perkhidmatan, teknik pemasaran, cop dagang dan

sebagainya untuk mengeluarkan dan memasarkan produk.

 Francaisor akan menyampaikan pengetahuan, imej, kepakaran pembuatan atau

perkhidmatan dan teknik pemasaran kepada francaisi.

 Francaisi akan membayar royalti kepada francaisor dan dibenarkan menggunakan nama

syarikat dan menerima bantuan daripada francaisor untuk memulakan perniagaan di sesuatu

kawasan tertentu.

c) Kontrak Pengurusan

 Pemberian kebenaran daripada syarikat asing untuk mengeluarkan dan memasarkan alat-alat

komponen, barang separuh siap atau barang siap di pasaran tempatan dan pasaran asing.

 Syarikat asing akan memberi lesen untuk mengeluarkan dan memasarkan alat-alat

komponen, barang separuh siap atau barang siap.

 Syarikat tempatan dikehendaki membayar royalti kepada syarikat asing tersebut.

d) Perniagaan Antarabangsa

 Syarikat multinasional (MNC) ialah istilah yang digunakan untuk mengenal pasti firma

yang terlibat dengan perniagaan antarabangsa secara ekstensif atau meluas. MNC juga

dikenali sebagai firma yang terlibat dengan FDI, dan memiliki atau mengawal aktiviti-

aktiviti tambah nilainya di lebih daripada sebuah negara, selain negara asalnya.

Kebiasaannya, MNC mempunyai ibu pejabatnya sendiri bagi menyelaraskan pengurusan

global.

 MNC juga adakalanya dikenali sebagai perusahaan multinasional (MNE) apabila firma

tersebut bukanlah sebuah badan syarikat yang sebenar.

12
 Istilah organisasi multinasional (MNO) juga digunakan apabila merujuk kepada organisasi

yang berasaskan keuntungan dan tidak berasaskan keuntungan.

13
6.0 PEMANGKIN SEMASA KEPADA GLOBALISASI

Perniagaan antarabangsa telah berkembang pesat sejak akhir-akhir ini dan para pakar

berpendapat kita hidup pada zaman globalisasi. Globalisasi boleh ditakrifkan sebagai fenomena

yang menjadikan dunia kelihatan kecil dari segi perhubungan manusia disebabkan pantasnya

perkembangan teknologi maklumat, dan membolehkan setiap manusia menelusuri seluruh pelosok

dunia dengan lebih jauh, cepat dan murah berbanding sebelumnya.

Terdapat dua kaedah utama dalam melaksanakan perniagaan antarabangsa iaitu melalui

perdagangan antarabangsa dan pelaburan langsung antarabangsa yang menjadi faktor yang lebih

penting dalam ekonomi dunia. Globalisasi telah memberi kesan peningkatan yang sangat intensif

terhadap perdagangan antarabangsa berkaitan peranannya dalam pemacuan ekonomi dunia.

Rajah 6.1: Gambar di atas menunjukkan nisbah dagangan antarabangsa terhadap aktiviti
ekonomi yang telah meningkat secara mendadak sebagai kesan globalisasi.

Pada tahun 1950, perdagangan barangan telah menyumbang kira-kira 1 peratus daripada

jumlah keluaran dalam negara kasar (KDNK) di seluruh dunia. Pada tahun 2011, nisbahnya adalah

sebanyak 26 peratus KDNK dimana hasil sumbangan sektor perkhidmatan adalah sebanyak 6

14
peratus. Sebahagian daripada pertumbuhan pesat ini diperoleh melalui perkhidmatan internet dan

yang berkaitan teknologi, dan secara tidak langsung telah memudahkan urusan perbankan,

perundingan, pendidikan, peruncitan dan perjudian. Sebagai contoh, banyak syarikat di Kanada dan

Amerika Syarikat telah memindahkan pusat khidmat pelanggan dan operasi kemasukan data mereka

ke kawasan yang mempunyai kos buruh yang rendah di sekitar Amerika Utara, Lokasi fizikal

dianggap tidak begitu penting selagi urusan transaksi boleh dilakukan secara elektronik. Seperti

yang berlaku di India, mereka memiliki pertambahan jumlah pusat panggilan perniagaan yang

menyediakan khidmat pelanggan dan khidmat bantuan untuk para pelanggannya yang terdiri

daripada syarikat-syarikat multinasional di serata dunia.

Satu lagi manifestasi atau kepentingan globalisasi adalah peningkatan kepentingan FDI iaitu

pelaburan oleh penduduk sesebuah negara untuk menjalankan operasi dan mengawal aset-aset

mereka di negara-negara lain.

Rajah 6.2: Tahap kepentingan FDI dalam ekonomi dunia meningkat secara signifikan terhadap
masa.

Perkembangan perniagaan antarabangsa sejak kebelakangan ini adalah jelas dan mendadak

seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1.2 dan Rajah 1.3. Akan tetapi, mengapakah peningkatan ini
15
berlaku? Dan mengapakah aktiviti perniagaan antarabangsa dilihat akan terus berkembang pesat

pada dekad yang akan datang? Terdapat dua sebab utama kepada persoalan ini iaitu strategi penting

yang memberi dorongan kepada fenomena globalisasi, dan juga perubahan persekitaran yang

melengkapi perkembangan dan perubahan globalisasi.

6.1 Strategi Penting dalam Perniagaan Antarabangsa

Perniagaan antarabangsa mempunyai beberapa strategi penting dalam era globalisasi bagi

menjadikan perniagaan ini berkembang pesat dan maju antaranya:

1. memperkasakan kekuatan teras

2. memperoleh sumber dan bekalan

3. mengenal pasti pasaran baru; dan

4. meningkatkan mutu persaingan dengan pesaing industri.

6.1.1 Memperkasakan Kekuatan Teras

Salah satu motif utama globalisasi ialah peluang untuk memantapkan lagi kecekapan teras

yang telah dibentuk dan dibangunkan oleh firma di pasaran tempatan. Kekuatan teras adalah punca

kekuatan dalaman atau kelebihan yang menjadi asas kepada pengoperasian sesebuah firma. Dengan

mengaplikasikan kecekapan teras ini dalam pasaran baru, sesebuah firma boleh meningkatkan

pendapatan dan keuntungan. Sebagai contoh, syarikat Samsung telah membangunkan teknologi

telefon canggih yang mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada para pengguna di

Korea Selatan. Disebabkan itu, pengurus Samsung telah mendapati bahawa syarikat mereka perlu

meningkatkan jumlah keuntungan dan pulangan dengan mengembangkan lagi operasi dan jualannya

di negara-negara lain. Sama juga halnya yang berlaku pasa syarikat Singapore Airlines. Sejak

penubuhannya pada tahun 1972, syarikat penerbangan ini telah berusaha keras untuk

membangunkan standard piawai terbaik dari segi kepuasan dan kepercayaan pelanggan yang telah

menyumbang jutaan penumpang Asian dalam penerbangannya. Berteraskan kepercayaan bahawa

16
para pengguna daripada pasaran lain akan tertarik dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh

mereka, kini Singapore Airlines telah berjaya meluaskan empayar perkhidmatannya ke lebih 60

buah bandar raya di 30 buat negara di serata dunia.

6.1.2 Memperoleh Sumber dan Bekalan

Antara sebab lain untuk ke peringkat antarabangsa adalah untuk mendapatkan sumber-

sumber seperti bahan, buruh, modal atau teknologi. Dalam sesetengah kes, sesebuah organisasi

memerlukan sumber-sumber dari negara asing disebabkan sesetengah produk atau perkhidmatan itu

sukar didapati atau tidak terdapat di dalam negara. Sebagai contoh, pemborong runcit di Amerika

Utara membeli kopi dan pisang dari Amerika Selatan, firma-firma Jepun membeli produk hasil

hutan dari Kanada, dan juga firma-firma di seluruh dunia membeli minyak dari Timur Tengah dan

Afrika. Dalam sesetengah kes lain pula, firma-firma lebih terbuka untuk membeli sumber-sumber

yang diperlukan daripada negara-negara lain atas faktor lebih murah dan mudah didapati. Sebagai

contoh, kebanyakan agensi pengiklanan di Amerika Syarikat membuat penggambaran komersil di

luar negara. Cape Town, Afrika Selatan, contohnya, telah menjadi destinasi pilihan yang popular

disebabkan mudah untuk mendapatkan perkhidmatan krew produksi dan peralatan dan hanya

menelan belanja kira-kira 40% lebih murah berbanding kos yang diperlukan di Los Angeles bagi

tujuan yang sama. Jelaslah seperti yang dijangka bahawa perubahan demografi turut memainkan

peranan penting dalam strategi pengambilalihan sumber oleh syarikat multinasional pada masa akan

datang.

6.1.3 Mengenal Pasti Pasaran Baru

Mengenal pasti pasaran baru juga merupakan faktor pemangkin yang tidak asing dalam

pasaran antarabangsa. Apabila pasaran domestik sesebuah firma mencapai usia matang, keadaan

akan menjadi lebih sukar untuk menjana pulangan yang tinggi dan peningkatan jumlah keuntungan.

Sebagai contoh, pasaran jualan ubat gigi di Kanada, Amerika Syarikat dan Eropah boleh dikelaskan

17
sebagai matang dimana dalam keadaan ini, hampir keseluruhan pengguna telah berkemampuan

untuk membeli ubat gigi secara berulang kali dengan andaian ubat gigi merupakan satu keperluan

asas dalam hidup mereka. Maka firma-firma seperti Procter & Gamble, Unilever dan juga Colgate-

Palmolive tidak boleh menjangkakan untuk mencapai peningkatan yang agresif dalam jualan

produk ubat gigi mereka dalam pasaran ini disebabkan persaingan yang sengit daripada kuasa-kuasa

besar tersebut. Atas faktor ini, firma-firma ini perlu memasuki pasaran semasa yang dikuasai China,

India dan Indonesia bagi mencari dan merebut peluang yang lebih baik. Perluasan empayar dalam

pasaran baru ini secara tidak langsung memberi dua kelebihan kepada firma-firma ini. Pertama,

sesebuah firma akan mampu mencapai tahap skala ekonomi yang baik dimana firma dapat

meminimumkan kos-kos purata apabila aktiviti pengeluaran meningkat. Kedua, perluasan pasaran

ini mempelbagaikan aliran pendapatan firma. Semakin banyak firma beroperasi di negara luar,

semakin kurang kebergantungan firma terhadap jumlah jualannya di negara-negara tersebut. Hal ini

secara tidak langsung dapat mengelakkan kebergantungan firma terhadap pasaran sesebuah negara

sahaja kerana sekiranya negara tersebut mengalami masalah ekonomi, firma tersebut mempunyai

pasaran di negara lain sebagai sandaran.

6.1.4 Peningkatan Persaingan Terhadap Pesaing Industri

Perniagaan yang memasuki pasaran asing biasanya akan bergelut dengan pesaing sedia ada.

Contohnya, syarikat Coca-cola yang telah berkembang dengan pantas di serata dunia telah

menyebabkan pesaingnya, Pepsi, berusaha mengekalkan kewujudan mereka dalam pasaran semasa

walaupun mempunyai peluang yang minimum. Jika Pepsi membiarkan Coca-cola mendominasi

pasaran-pasaran utama, maka Coca-cola akan berpeluang menggunakan keuntungan yang diperoleh

daripada pasaran-pasaran tersebut untuk mengambil alih kedudukan Pepsi dalam pasaran-pasaran

sampingan yang lain. Gelagat ini juga turut berlaku dalam industri pembuatan telefon pintar,

peralatan dan perkapalan dimana firma-firma yang terlibat saling berlawan bagi menghalang

pesaing mereka mendapat pasaran monopoli di sesebuah negara.

18
6.2 Sebab-sebab Persekitaran Terhadap Globalisasi

Perubahan persekitaran sebagai akibat globalisasi menjadi pelengkap kepada perluasan

operasi perniagaan di peringkat antarabangsa bagi firma-firma yang terlibat. Firma-firma ini akan

mampu melebarkan sayap perniagaan mereka ke peringkat yang lebih tinggi dengan adanya

perubahan signifikan terhadap dua perkara utama iaitu persekitaran politik dan persekitaran

teknologi.

6.2.1 Perubahan Persekitaran Politik

Pada abad ke-20, firma yang ingin memasuki pasaran baru telah menemui kegagalan sebagai

akibat halangan oleh perdagangan asing dan suntikan pelaburan daripada pihak pentadbir. Pasca

Perang Dunia I, banyak negara menghapuskan tarif dan kuota keatas barangan import dan kontrak

oleh pihak kerajaan terhadap firma. Akibatnya, perdagangan dan pelaburan antarabangsa ditolak

pada tahun 1930-an. Bagaimanapun, selepas Perang Dunia II, polisi ini telah ditarik balik. Kuasa-

kuasa besar perdagangan bersetuju menurunkan tarif dan kuota, dan menyingkirkan halangan

terhadap FDI dalam jajahan mereka. Namun begitu, kebanyakan penurunan ini telah diabaikan oleh

GAAT dan WTO.

6.2.2 Perubahan Teknologi

Perubahan dalam polisi-polisi pentadbir telah menggalakkan aktiviti perniagaan

antarabangsa. Penambahbaikan dalam bidang teknologi terutamanya dalam bidang komunikasi,

pengangkutan, dan pemprosesan maklumat telah membolehkan perniagaan antarabangsa menjadi

lebih mudah dilaksanakan, selain memberi keuntungan berlipat-ganda.

Penambahbaikan dalam bidang pengangkutan sejak 150 tahun yang lalu telah membantu

menyingkatkan masa bagi perjalanan yang jauh. Sektor pelancongan antarabangsa yang juga

merupakan komponen terbesar dalam perdagangan perkhidmatan turut mampu berkembang dengan

19
pesat.

Peningkatan tahap kelajuan dan kecekapan komputer dalam memproses maklumat yang

kompleks juga telah membolehkan firma mengawal dan menguruskan pejabat dan kilang mereka di

serata dunia dengan lebih mudah. Perubahan dalam teknologi komunikasi seperti mel elektronik,

telefon pintar, dan komputer tablet membolehkan urusan komunikasi antara benua berjalan lancar

dan dalam masa yang sangat singkat dan pantas.

Kemajuan-kemajuan teknologi ini telah menyebabkan segala urusan jarak jauh menjadi

lebih mudah dan sekaligus membolehkan pasaran antarabangsa terus berkembang.

6.3 Globalisasi dan Pasaran Memuncul (Emerging Market)

Globalisasi telah menjadikan aktiviti perniagaan antarabangsa sebagai satu perkara yang

sangat penting. Hal ini terbukti dengan pengembangan aktiviti-aktiviti ini dalam pasaran baru yang

sebelum ini terlindung daripada pasaran antarabangsa.

Perubahan politik telah memainkan peranan penting dalam proses ini. Semasa Perang

Dingin antara Amerika Syarikat dengan Kesatuan Soviet, para cendekiawan telah membahagikan

dunia kepada tiga kategori wilayah iaitu negara Dunia Pertama, negara Dunia Kedua dan negara

Dunia Ketiga.

Negara Dunia Pertama terdiri daripada negara-negara kaya dan merupakan negara dagangan

utama seperti Eropah Barat, Amerika Utara, Australia, dan sebahagian negara Asia yang rata-

ratanya mempunyai hubungan diplomatik yang erat dengan Amerika Syarikat. Negara Dunia Kedua

terdiri daripada Kesatuan Soviet dan negara-negara berhaluan komunis. Manakala negara Dunia

Ketiga pula terdiri daripada negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana seperti Amerika

20
Latin, Afrika, dan hampir keseluruhan negara-negara Asia. Hampir keseluruhan aktiviti perniagaan

antarabangsa melibatkan masyarakat dari negara Dunia Pertama. Negara Dunia Kedua tidak

melakukan aktiviti perdagangan dengan negara Dunia Pertama, manakala negara Dunia Ketiga

dianggap sebagai pembekal bagi bahan-bahan mentah dan komoditi kepada negara-negara Dunia

Pertama.

Namun begitu, kejatuhan empayar komunisme Eropah, perubahan polisi dan ideologi oleh

China dan India, dan penurunan halangan perdagangan telah mengubah struktur pasaran global.

Kini, peluang perniagaan tidak hanya terhad kepada pasaran tradisional Eropah Barat, Amerika

Utara dan Jepun, tetapi telah tertumpu pada pasaran-pasaran baru iaitu negara-negara yang sedang

dan akan mengalami pertumbuhan ekonomi terhadap pasaran tradisional ini. Kebanyakan firma

lebih fokus pada keuntungan jualan dan hampir keseluruhan peningkatan keuntungan adalah

disumbangkan melalui pasaran memuncul.

Tiada istilah spesifik bagi menggambarkan negara-negara yang perlu disertakan dalam

kategori pasaran memuncul. Sesetengah cendekiawan menghadkan istilah tersebut kepada negara-

negara BRIC iaitu Brazil, Russia, India dan China. Para pengkaji lain pula telah menggunakan

istilah tersebut bagi merujuk pada negara-negara Big Ten iaitu Afrika Selatan, Argentina, Brazil,

China, India, Indonesia, Korea Selatan, Mexico, Poland, dan Turki. Biar apa pun istilah yang

digunakan, jelas bahawa perniagaan antarabangsa yang mengabaikan pasaran memuncul berbuat

demikian atas risikonya yang tersendiri. Sebagai contoh, negara China dan India merupakan negara

pasaran memuncul yang memiliki penduduk sebanyak suku daripada jumlah penduduk dunia.

Ekonomi negara-negara ini secara signifikan meningkat dengan pantas berbanding negara-negara

lain di dunia.

21
Rajah 6.3: Ciri-ciri sebahagian pasaran memuncul (2011)

22
7.0 RUJUKAN

Ricky W. Griffin and Michael W. Pustay, International Business: A Managerial

Perspective (8th. Edition) (2015), England: Pearson.

23

You might also like