You are on page 1of 2

KENYATAAN AKHBAR

MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

MASALAH KESIHATAN MENTAL DI MALAYSIA

Secara global, seramai 450 juta individu di seluruh dunia mengalami gangguan mental, di mana
gangguan mental, penyakit neurologi dan penyalahgunaan substans adalah menyumbang
kepada 13% daripada beban penyakit global. Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO
menganggarkan 1 dalam 4 individu mengalami gangguan mental pada satu-satu ketika dalam
kehidupan mereka. Manakala, penyakit kemurungan (depression) menyumbang sebanyak 4.3%
daripada beban penyakit gobal keseluruhan di mana ianya merupakan salah satu penyebab
terbesar morbiditi.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang telah dilaksanakan pada tahun 2015 oleh
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati prevalen masalah kesihatan mental dalam
kalangan masyarakat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas adalah 29.2% (anggaran 4.2
juta). Ini bermaksud 1 dalam 3 masyarakat Malaysia mengalami isu yang berkait dengan
masalah mental. Kajian ini turut menunjukkan bahawa prevalen masalah kesihatan mental juga
adalah paling tinggi dalam kalangan mereka yang berumur 16-19 tahun dandi kalangan
golongan yang berpendapatan rendah.

Masalah kesihatan mental boleh dilihat berlaku kepada sesiapa sahaja sepanjang kehidupan
mereka. Antara faktor-faktor yang mungkin menyumbang kepada kenaikan 2 kali ganda
prevalen masalah kesihatan mental sepanjang 10 tahun yang lepas (10.6% pada tahun 1996;
11.2% pada tahun 2006) adalah masalah atau krisis kewangan, tiada pekerjaan, stres
pekerjaan, isu dan permasalahan keluarga seperti masalah hubungan, penceraian, kurang
kemahiran keibubapaan, keganasan, penyalahgunaan substansdan faktor persekitaran. Selain
itu, faktor-faktor ini sekiranya ditambah pula dengan kurang kemahiran daya tindak (poor coping
skill) dan kurang sokongan sosial akan lebih memburukkan status kesihatan mental seseorang.
Walaupun kerajaan ada menyediakan perkhidmatan dan rawatan kesihatan mental, namun
seseorang yang mengalami masalah kesihatan mental atau gangguan mental seperti
kemurungan lazimnya tidak tampil mendapatkan bantuan disebabkan oleh pelbagai faktor,
misalnya stigma sosial dan kepercayaan terhadap sesuatu pegangan.

KKM amat peka dan prihatin terhadap peningkatan permasalahan mental hasil daripada kajian
ini. Buat masa ini, KKM telah pun melaksanakan pelbagai strategi pencegahan termasuklah
kempen-kempen promosi kesihatan mental, saringan dan intervensi di peringkat kesihatan
primer, program yang memperkasakan masyarakat untuk menangani stres dan juga
melaksanakan bantuan asas psikologi semasa krisis. Selain itu, KKM juga berkolaborasi
dengan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melaksanakan Program Minda Sihat Sekolah
di semua sekolah menengah seluruh Malaysia. Dari aspek rawatan dan rehabilitasi, terdapat 48
buah Hospital KKM dan 4 institusi mental yang memberikan perkhidmatan psikiatri, sementara
671 buah klinik kesihatan dan 20 Pusat Kesihatan Mental Masyarakat turut memberi
perkhidmatan saringan dan intervensi bagi membantu mereka yang mengalami masalah
kesihatan mental.

1
KKM sedar bahawa strategi yang sedia ada ini perlulah dipertingkatkan terutama dari aspek
kerjasama intersektoral antara agensi. KKM akan bekerjasama denganpelbagai agensi atau
pihak yang mewakili kumpulan tertentu seperti remaja, ibu bapa, penjaga (kepada pesakit
mental) dan guru-guru termasuk kaunselor sekolah bagi membantu menangani permasalahan
mental dan stigma. Aspek lain yang perlu diberi perhatian adalah dari segi pemerkasaaan
masyarakat melalui pemberian latihan dan kemahiran kepada individu–individu di luar
lingkungan KKM untuk menyampaikan advokasi dan sokongan serta intervensi psikososial
kepada masyarakat. KKM amat memerlukan sokongan dan penglibatan daripada agensi lain
yang berkaitan untuk memastikan strategi yang dirancang ini dapat dilaksanakan secara
berkesan.

Pada ketika ini, satu kumpulan Teknikal yang dianggotai oleh pakar-pakar dalam bidang
kesihatan mental daripada KKM, agensi kerajaan lain dan pertubuhan bukan kerajaan sedang
membentuk satu pelan tindakan strategik kesihatan mental kebangsaan untuk tempoh 5 tahun
yang akan datang (2016-2020). Antara tindakan yang digariskan dalam pelan tindakan ini
adalah:
Perkhidmatan kesihatan mental yang lengkap dan menyeluruh
Kerjasama dalam kalangan pelbagai agensi
Promosi Kesihatan Mental dalam kalangan komuniti, warga sekolah dan warga bekerja
untuk memastikan kesejahteraan mental dan meningkatkan literasi kesihatan mental
Pembangunan Sumber Manusia dalam kesihatan mental
Bantuan Asas Psikologi dalam Krisis
Penyelidikan dan Surveilan dalam Kesihatan Mental

KKM jugaingin menggesa ahli keluarga dan penjaga individu yang mengalami masalah
kesihatan mental atau gangguan mental, dan juga komuniti untuk sama-sama memainkan
peranan bagi memastikan individu tersebut dibawa ke fasiliiti kesihatan untuk mendapatkan
penilaian lanjut. Ahli keluarga perlu lebih prihatin, mengambil tahu dan memberi sokongan
kepada ahli keluarga yang lain yang didapati mengalami tanda tanda awal permasalahan
mental. Masyarakat juga perlu lebih peka untuk menghulurkan bantuan kepada ahli keluarga
dan rakan-rakan yang didapati menunjukkan tanda-tanda awal masalah emosi atau
kemurungan. Bantu mereka dengan cara mendengar luahan dan bawa mendapatkan bantuan
pakar sekiranya diperlukan.

Saya ingin menyeru pihak media agar dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam
menyampaikan maklumat tentang fakta kesihatan mental yang tepat kepada masyarakat,
bagaimana masyarakat hendak mengenalpasti tanda-tanda awal masalah kesihatan mental,
bagaimana untuk membantu memberi sokongan sosial, di mana untuk mendapatkan rawatan
dan seterusnya membantu menangani stigma. Stigma terhadap penyakit mental merupakan
satu penghalang utama bagi individu dengan masalah kesihatan mental mendapatkan bantuan.
Setiap daripada kita mempunyai tannggungjawab untuk mempromosikan kesihatan mental

“BANTU SEGERA, KURANGKAN DERITA”

DATUK SERI DR. S. SUBRAMANIAM


MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
28 September 2016
2

You might also like