You are on page 1of 8

Cara menghargai

Negaraku

CARA MENGHARGAI/ MEMELIHARA LAGU NEGARAKU

Kita boleh mengukur sejauh manakah tahap patriotisme rakyat Malaysia dengan memerhatikan
sikap mereka terhadap lagu kebangsaan. Sejak di bangku sekolah kita didedahkan nyanyian lagu
Negaraku.  Bagaimanapun,  tempoh  masa  bagi  mendidik generasi muda mengenai identiti negara 
iaitu  Lagu   Negaraku itu singkat iaitu selama kira-kira 12 tahun mengambil kira peringkat
persekolahan rendah dan menengah. Jika hendak mengharapkan pendedahan di sekolah, ia belum
mencukupi kerana seorang pelajar hanya menyanyikan lagu kebangsaan seminggu sekali itu pun
sekiranya perhimpunan diadakan. Selepas waktu sekolah jarang sekali pelajar menyanyikan lagu
kebangsaan melainkan jika menghadiri majlis rasmi anjuran kerajaan. Apabila seorang pelajar
meningkat dewasa seperti memasuki menara gading maka kekerapan mereka menyanyikan lagu
Negaraku semakin berkurangan kerana jarang sekali mahasiswa terbabit dalam sesi perhimpunan.
Kalau ada kesempatan pun ketika mereka mengikuti program kenegaraan anjuran Biro Tatanegara
atau menjadi penonton perlawanan bola sepak di stadium. 

Oleh yang demikian langkah kerajaan mewajibkan setiap pawagam memainkan lagu Negaraku
sebelum tayangan sesebuah filem baru-baru ini satu perkara yang boleh kita renungi bersama.
Langkah diambil kerajaan itu tidak perlu dipersoalkan kerana satu kaedah bagi mendidik perasaan
cinta akan negara. Pawagam lokasi sosial yang menerima kunjungan pelbagai lapisan masyarakat
tidak kira usia, pangkat dan bangsa. Boleh dikatakan majoriti pengunjung pawagam warganegara
Malaysia dan ini satu peluang untuk menyemai kesedaran menghormati lagu kebangsaan.

Walaupun tempoh pelaksanaan arahan menyanyikan lagu Negaraku selama seminggu, tetapi
tempoh ini memberi ruang kepada pihak kerajaan untuk menilai keberkesanannya sebelum satu
garis panduan yang tetap dikeluarkan. Bagi memelihara kemuliaan lagu Negaraku, kerajaan
menggubal Akta Lagu Kebangsaan 1968 yang antara lain memperincikan hukuman yang bakal
dikenakan kepada individu yang tidak menghormati lagu kebangsaan. Salah satu perkara termaktub
dalam akta berkenaan ialah hukuman dalam bentuk denda tidak melebihi RM100 atau penjara tidak
lebih satu bulan sekiranya didapati tidak menghormati lagu kebangsaan. Ada kemungkinan ramai
yang tidak menyedari perkara ini hingga ada dilaporkan baru-baru ini terdapat pengunjung ditegur
oleh pengurusan pawagam kerana tidak berdiri menyanyikan lagu Negaraku. Memandangkan
perkara ini serius maka kerajaan perlu menyebarkan penerangan berhubung kewajipan mematuhi
Akta Lagu Kebangsaan.

Sebagai rakyat Malaysia yang cinta akan negara, kita haruslah menghargai dan memelihara Lagu
Kebangsaan. Kita seharusnya menghormati Lagu Negaraku ketika menyanyikan Lagu Kebangsaan
berkumandang. Semasa Lagu Negaraku berkumandang rakyat Malaysia haruslah berdiri tegak dan
menyanyikan Lagu Kebangsaan dengan penuh semangat. 

Ketika lagu Negaraku dinyanyikan, majoriti rakyat Malaysia berdiri seperti rumpai dalam akuarium,
meliuk-liuk kiri dan kanan dan ada yang juga berbual- bual dengan rakan- rakan mereka.
Mengadakan kempen menerusi media cetak dan elektronik juga merupakan langkah memelihara
Lagu Negaraku.

Media  cetak  dan elektronik  memainkan  peranan  penting untuk  memelihara Lagu Kebangsaan
kerana  anak  muda kian  leka   dengan   hedonisme dan  hiburan  dari  ala barat. Lantaran itu,
mereka  lupa  pengorbanan  generasi  sebelumnya yang bertungkus lumus mendirikan Malaysia
untuk sampai ke tahap hari ini. Maka akhirnya negara barat yang dipersalah kerana anak muda di
Malaysia tidak bersemangat menyanyi lagu Kebangsaan. 
jalur gemilang

CARA MENGHARGAI JALUR GEMILANG

Kemerdekaan adalah satu nikmat yang patut disyukuri. Oleh itu, seluruh rakyat mesti terus
menghargai nikmat kemerdekaan ini dengan berusaha ke arah memperkukuh kemajuan serta
bekerja keras dalam apa jua bidang yang diceburi supaya negara mencapai taraf negara maju
berpendapatan tinggi.

Pemimpin dan rakyat sepatutnya mempunyai persefahaman dan perkongsian matlamat untuk
menjadikan Malaysia terus kukuh dan makmur di persada antarabangsa. Justeru, hari kemerdekaan
tidak sepatutnya dinantikan kerana cuti am tetapi ia adalah hari untuk kita mempamerkan semangat
patriotik terhadap negara.

Di bulan kemerdekaan inilah kita seharusnya mengimbas kembali segala usaha yang dilakukan untuk
membina negara serta cabaran-cabaran yang dihadapi supaya kita terus memperbaharui iltizam
untuk membina sebuah negara yang harmoni, maju dan progresif.

Elemen-elemen utama yang boleh membina kesejahteraan hidup bermasyarakat seperti


persefahaman, hormat-menghormati, toleransi dan penerimaan serta kepercayaan di antara satu
sama lain, di samping menjunjung Perlembagaan dan Rukun Negara mesti terus diamalkan dalam
kehidupan bermasyarakat supaya usaha membina perpaduan dalam satu gagasan yang dikenali
sebagai gagasan 1Malaysia tanpa mengira kaum, warna kulit atau fahaman politik terus menjadi
kukuh.

Dalam masa sama, aktiviti kibar Jalur Gemilang wajar diberi perhatian oleh semua lapisan
masyarakat. Sambutan kemerdekaan akan hilang serinya tanpa kibaran Jalur Gemilang. Mengibarkan
bendera kebangsaan wajar dilihat sebagai aktiviti penting di bulan kemerdekaan. Ia sebagai tanda
kebanggaan kita kepada negara tercinta ini. Amalan ini dapat menyemai kecintaan dan
penghormatan terhadap bendera kebangsaan yang menjadi ciri penting dalam pembinaan negara.

Bendera adalah sebahagian daripada identiti dan lambang kedaulatan negara. Justeru, inilah
masanya untuk rakyat Malaysia berbilang bangsa memaparkan semangat patriotik terhadap negara
dengan cara mengibarkan Jalur Gemilang sama ada di rumah, di premis perniagaan, di kenderaan, di
sekolah, institusi pengajian tinggi dan di taman-taman perumahan sehinggalah ke desa-desa seluruh
pelosok tanah air. Ia bukan paksaan, tetapi dilakukan secara sukarela sebagai usaha memeriahkan
perayaan kenegaraan ini.

Usaha ini boleh dijayakan melalui persatuan penduduk, persatuan belia, persatuan mahasiswa serta
penglibatan sektor swasta. Penglibatan rakyat dari segenap lapisan masyarakat pelbagai kaum dalam
aktiviti mengibarkan Jalur Gemilang mampu mengukuhkan lagi proses pembinaan negara dalam
sebuah negara yang berbilang kaum, agama dan budaya ini. Ia mesti diperluaskan di sekolah, kolej
dan universiti dengan menerapkan kefahaman tentang kepentingan bendera kebangsaan dan
maksud di sebaliknya.

Dalam konteks mendidik generasi muda, aktiviti kibar Jalur Gemilang dapat menerapkan perasaan
bangga dan patriotik terhadap negara. Ia sekali gus dapat menjadikan generasi muda kita tahu
menghormati dan mencintai bendera. Justeru, perlu lebih banyak usaha dilakukan untuk
menerangkan dan menjadikan mereka lebih peka dan menghargai serta menghayati erti sebenar
kemerdekaan.

Generasi muda juga perlu diberi kefahaman bahawa semangat patriotik perlu diterapkan dalam
kehidupan seharian, pemikiran dan tindakan terutama dalam konteks membela dan
mempertahankan kepentingan tanah air. Ia melambangkan pengorbanan serta kebanggaan dengan
apa yang dicapai selama ini.

Kesimpulan, semangat patriotisme mesti terus disemarakkan dan diperkukuhkan bagi menghadapi
cabaran-cabaran baru yang boleh menggugat kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Semangat patriotisme bukan sahaja penting untuk mempertahan kedaulatan dan kemerdekaan
tanah air tetapi juga menjadi obor dan pendorong untuk rakyat terus berusaha gigih membangun
dan memajukan negara ini, terutama dalam menjayakan agenda transformasi nasional yang dibawa
oleh kepemimpinan negara yang silih berganti.
Jata negara

CARA MENGHARGAI JATA NEGARA MALAYSIA

            Sebagai rakyat Malaysia yang cinta dan setia akan negara hendaklah mempunyai kesedaran
tinggi dalam menjaga dan menghargai setiap identiti negara. Jata negara merupakan salah satu
identiti negara yang perlu dihargai dan dipelihara. Jata negara juga merupakan lambang rasmi
negara yang perlu dihayati dan dipaparkan di pejabat kerajaan atau di setiap premis perniagaan yang
tertentu. Perkara ini bukan sahaja menjadi lambang Malaysia malah satu kemegahan rakyat kepada
para pelancong dan seluruh dunia. Perlambangan ini juga membawa maksud satu cita-cita dan
wawasan sesebuah negara ke arah kekuatan dan kedaulatan kerajaan  dan juga kemakmuran dan
kemajuan bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.

            Di samping itu, rakyat Malaysia perlu mempraktikalkan budaya bertoleransi dan bersatu padu
dalam mengekalkan identiti kebangsaan ini dari sudut pameran. Apabila lambang kemegahan negara
ini sentiasa dipamerkan, ianya perlulah menjadi kesepakatan rakyat Malaysia. Perkara ini bukan
sahaja dapat meningkatkan semangat perpaduan dan dapat mengeratkan hubungan sesama kaum
dan pelbagai kaum. Hal yang demikian kerana identiti kebangsaan ini menunjukkan kebanggaan
warganegara dan  kedaulatan negara. 

            Sehubungan itu, rakyat juga mestilah sentiasa prihatin dengan kedudukan dan martabat
lambang kemegahan negara ini. Lambang ini perlulah sentiasa dijaga dengan rapi dan tidak boleh
sewenang-wenangnya diletakkan di merata tempat. Tambahan pula, rakyat perlulah menghayati dan
memahami maksud yang tersirat di sebalik symbol-simbol yang terdapat pada jata negara ini.
Lambang negara ini amat penting kerana menjadi simbol kemegahan negara.

            Oleh itu, rakyat Malaysia seharusnya menghargai jata negara kerana ia merupakan identiti
negara Malaysia dan merupakan pemangkin semangat patriotik dalam setiap rakyat Malaysia.
Perkara ini juga menjadi satu kebanggaan bagi setiap rakyat  dan menjamin kedaulatan negara.   

You might also like