You are on page 1of 27

SEMINAR ANTARABANGSA PSIKOLINGUISTIK III (SEAPSIL III)

“Psikolinguistik dalam Masyarakat”

Interpretasi Makna Kata Kunci Dalam Konteks Hati Budi Melayu Demi
Pelestarian Budaya dan Masyarakat Yang Dinamik

Rozita Che Rodi1


Hashim Hj. Musa2

ABSTRAK

Kata kunci merupakan satu elemen penting dalam sesebuah teks. Kata kunci boleh
didefinisikan sebagai sejumlah perkataan dalam perbendaharaan kata sesuatu bahasa yang
sangat kuat mempengaruhi pembentukan fikiran konsepsi masyarakat itu tentang kewujudan,
alam, realiti dan kehidupan mereka. Kata kunci boleh juga terdiri daripada sejumlah perkataan
atau rangkai kata yang terpenting dalam sesuatu teks yang boleh membentuk satu medan
semantik berpusatkan satu kata fokus. Analisis kata kunci bertujuan untuk menemukan konsep
asas yang mendasari teks dan juga pemikiran pengarang. Dalam artikel ini, akan
diketengahkan kajian hati budi Melayu atau “Malay psyche” yang telah jalankan dan
dihuraikan oleh Hashim bin Musa (2008) yang telah menubuhkan 26 komponen teras hati budi
dan diwariskan daripada satu generasi ke satu generasi. Teras hati budi Melayu merupakan
pemusatan utama struktur keperibadian sosial kebanyakan orang Melayu secara arus perdana
yang terbentuk akibat daripada pengalaman asasi dan cara hidup yang dikongsi bersama dan
membentuk jati diri mereka. Kandungan 26 komponen hati budi ini ditunjangi oleh sejumlah
kata kunci yang akan dibincangkan dalam kertas kerja ini. Konsep keperibadian sosial yang
biasa untuk kumpulan sosial dan seterusnya membentuk identiti mereka, adalah secara
prinsipnya berdasarkan teori yang dikemukakan oleh Erich Fromm (1942: Appendix, 1-2),
yang menegaskan bahawa:

The social character comprises only a selection of traits, the essential


nucleus of the character structure of most members of a group which has
developed as the result of the basic experiences and mode of life common to
that group... Character in the dynamic sense of analytic psychology is the
specific form in which human energy is shaped by the dynamic adaptation
of human needs to the particular mode of existence of a given society.
Charactrer in its turn determines the thinking, feeling, and acting of
individuals. (Keperibadian sosial hanya terdiri daripada satu pilihan sifat,
yang menjadi nukleus struktur keperibadian kebanyakan ahli kumpulan
yang telah berkembang sebagai hasil daripada pengalaman asas dan cara
hidup biasa bagi kelompok itu... Keperibadian dalam erti kata yang dinamik
dalam bidang psikologi analitikal ialah bentuk khusus yang mana tenaga
manusia dibentuk daripada penyesuaian dinamik daripada keperluan
manusia kepada mod tertentu tentang kewujudan sesuatu masyarakat.

1
Rozita Che Rodi (Ph.D), ita_cherodi@upm.edu.my merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa Melayu,
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), mengkhusus dalam bidang Semantik,
Budaya dan Pemikiran Melayu.
2
Hashim Hj. Musa (Ph.D, Profesor Emeritus), mh_hashim@upm.edu.my merupakan Profesor Linguistik Melayu
di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM, mengkhusus dalam bidang Linguistik,
Semantik, Falsafah, Etika, Peradaban, Manuskrip dan Epigrafi Melayu.

1
SEMINAR ANTARABANGSA PSIKOLINGUISTIK III (SEAPSIL III)
“Psikolinguistik dalam Masyarakat”

Fikiran, perasaan dan tingkah laku seseorang individu akan ditentukan


melalui keperibadian itu sendiri).

Kata kunci: hati budi Melayu, kata kunci, kata fokus, makna, kiasan.

The Interpretation and Definition Of Key-Words In The Formulation Of The


Core Components Of Malay Psyche In The Perpetuation of Malay Culture
and Society

ABSTRACT

Key-words can be defined as a group of words within the vocabulary of a language which
exert great influence in the formulation of conceptual knowledge of the society about nature,
reality, existence, and life. Key-words can also be found in a text that can be grouped together
based on their related meanings to form semantic fields centered on a focus word which
governed the meaning of the whole constellation of the key-words. The aim of keywords
analysis in a text is to discover the conceptual framework underlying the whole text as well as
the core message of the author. This article will focus on a research on the Malay psyche or
“hati budi Melayu” conducted and described by Hashim bin Musa (2008) who has
established 26 core component of the Malay psyche that form the social character traits of the
Malays passed down from generation to generation. The core components of the Malay
psyche is the main centralization of their personality formed from their common experiences
and the way of life that they shared. The 26 components of the character traits are supported
by several key-words which shall be discussed in this article. The concept of social character
traits that is common to a social group and thus formed their identity, is based on a theory put
forward by Erich Fromm (1942: Appendix, 1-2), who asserted that:

The social character comprises only a selection of traits, the essential


nucleus of the character structure of most members of a group which has
developed as the result of the basic experiences and mode of life common to
that group... Character in the dynamic sense of analytic psychology is the
specific form in which human energy is shaped by the dynamic adaptation
of human needs to the particular mode of existence of a given society.
Charactrer in its turn determines the thinking, feeling, and acting of
individuals.

Keyword: Malay psyche, key-word, focus word, definition, metaphor.

1. PENDAHULUAN

Kedatangan kuasa penjajah ke Tanah Melayu sejak abad ke-15 telah meninggalkan kesan yang
besar kepada penduduk setempat khusus dalam mempengaruhi sifat keperibadian dan tindak
tanduk mereka. Pelbagai contoh keadaan yang boleh dilihat daripada situasi tersebut.
Antaranya melalui tanggapan beberapa orang pegawai penjajah Barat dalam tulisan mereka

2
SEMINAR ANTARABANGSA PSIKOLINGUISTIK III (SEAPSIL III)
“Psikolinguistik dalam Masyarakat”

yang mengulas tentang keperibadian orang Melayu berdasarkan persepsi dan pemerhatian
mereka yang cenderung menyatakan bahawa orang Melayu secara umumnya tidak berminat
untuk bekerja kuat dan berterusan yang dengan itu dianggapnya malas. Umpamanya Frank
Swettenham (1955: 134) telah menyebut antara lain “The leading characteristic of the Malay
of every class is the disinclination to work... Whatever the cause the Malay of Peninsula was,
and is unquestionably apposed to steady continuos works” (Sifat utama orang Melayu
daripada semua kelas enggan untuk bekerja... walau apapun sebabnya orang Melayu di
Semenanjung sememangnya menentang bekerja secara tekal dan berterusan). Namun,
Swettenham juga cuba mengulas sebab musabab sifat orang Melayu demikian, iaitu akibat
daripada keadaan cuaca yang panas dan lembab, topografi yang landai dan selesa, serta
tekanan daripada pihak yang berkuasa yang mungkin merampas sahaja harta kekayaan
mereka, semua ini mengakibatkan orang Melayu umumnya berkeberatan untuk bekerja kuat
dan berterusan demi mengumpulkan harta.

Selain karya penulis kolonial Barat, ada dua buah karya utama oleh penulis tempatan yang
mengulas tentang sifat keperibadian sosial masyarakat Melayu pascakolonial, iaitu Revolusi
Mental yang diedit oleh Senu Abdul Rahman (1971) dan The Malay Dilemma oleh Dr
Mahathir Mohamed (1970), yang mengikut analisis Prof Dr Syed Hussain al-Attas (1977:
Chapter 10) telah menggambarkan sifat negatif orang Melayu lebih teruk daripada pandangan
pegawai penjajah Barat pada zaman kolonial.

Kertas kerja ini, sebaliknya akan menghuraikan ciri perwatakan masyarakat Melayu yang
membawa kepada pembentukan hati budi dan jati dirinya sehingga dilihat sebagai sebuah
bangsa yang dapat membina tamadun tinggi dalam sejarahnya. Hati budi Melayu itu dilihat
sebagai terdiri daripada beberapa komponen teras yang terdiri daripada 26 komponen yang
ditubuhkan berdasarkan satu kaedah pemerhatian dan analisis terhadap beberapa bentuk
pepatah dan puisi Melayu lama. 26 komponen teras itu dianalisis pula berdasarkan beberapa
kata kunci yang menjadi tunjang pemaknaannya dengan tujuan untuk menyelami rangka
konseptual bagi komponen hati budi itu. Kertas kerja ini akan menghuraikan makna kata-kata
kunci itu secara terperinci.

2. 26 KOMPONEN TERAS HATI BUDI MELAYU

26 komponen teras hati budi itu berserta dengan pepatah dan puisi Melayu yang
mendukungnya telah disimpulkan oleh Hashim bin Musa (2008: 7-14) dalam satu kajian
berkaitan hati budi masyarakat Melayu. Kesemua komponen tersebut berdasarkan pepatah-
petitih, simpulan bahasa dan pantun Melayu lama dan juga beberapa hasil tulisan tentang
adab, tunjuk ajar, akhlak dan budaya Melayu, terutamanya Tenas Effendy, (2004 Ethos Kerja
dan 2006 Tunjuk Ajar Melayu), Abbas Mohd Shariff, (2004 Adab Orang Melayu), Ismail
Hamid, (1991 Masyarakat dan Budaya Melayu), Syed Hussein al-Attas, (1977 The Myth of
the Lazy Native), Za`ba, (1982 Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri), dan lain-lain.
Berdasarkan analisis dan kajian ke atas sumber-sumber penulisan itu, maka beberapa
keperibadian teras milik sepunya orang Melayu secara arus perdana dapat diperturunkan, iaitu
disimpulkan berjumlah 26 sifat seperti berikut (disertakan dengan rangkapan puisi Melayu
lama daripada Tenas Effendy 2004 dan 2006 sebagai bukti pembinaannya):

3
SEMINAR ANTARABANGSA PSIKOLINGUISTIK III (SEAPSIL III)
“Psikolinguistik dalam Masyarakat”

1. Hidup berteraskan agama Islam:


Adat bersendikan hukum,
Hukum bersendikan syara`,
Syara` bersendikan Kitabullah.
Syara` mengata, adat memakai,
Ya kata syara`, benar kata adat.

2. Pendidikan demi membentuk manusia yang berilmu, beradab, berbudi,


bertakwa dan beramal:
Apalah isi tunjuk ajar Melayu,
Syara` dan sunnah ilmu yang benar
Yang disebut tunjuk ajar Melayu:
Mencelikkan mata,
Menyaringkan telinga,
Membersihkan hati,
Menyempurnakan budi,
Membaikkan pekerti.

3. Nilai kerja yang mengutamakan kesungguhan, kecekapan, kerajinan dan


kerukunan bagi manfaat dunia dan akhirat sehingga ke anak cucu:
Bila bekerja tekun dan sabar,
Punca rezeki terbuka lebar.
Berfaedah pada diri, bertuah pada negeri,
Bermanfaat pada umat, berguna pada bangsa,
Berkat di dunia, rahmat di akhirat, anak cucu selamat.

4. Taat dan berkhidmat kepada ibu bapa serta memuliakan mereka:


Apa tanda Melayu jati,
Mentaati ibu bapa sepenuh hati;
Apa tanda Melayu jati,
Kepada ibu bapa ia berbakti.

5. Setia kepada ketua yang adil, terpuji dan benar:


Elok kampung ada tuanya, elok negeri ada rajanya,
Adat hidup orang terhormat, kepada pemimpinnya ia taat.
Raja adil raja disembah,
Raja zalim raja disanggah.

6. Halus budi bahasa dan budi pekerti:


Kalau hendak tahu orang berbangsa,
Tengok kepada budi dan bahasanya;
Dalam berkata berlemah lembut,
Dalam melangkah berpatut-patut,
Bila duduk tahu tempatnya,
Bila tegak tahu adatnya.

4
SEMINAR ANTARABANGSA PSIKOLINGUISTIK III (SEAPSIL III)
“Psikolinguistik dalam Masyarakat”

7. Sentiasa bermuafakat, bertegang rasa, tolong-menolong dan mengutamakan


kebajikan umum dan hidup bermasyarakat:
Apa tanda hidup beradat,
Runding selesai dalam muafakat,
Hak ditakar, kewajipan disukat,
Mana yang jauh diperdekat,
Mana yang jarang diperapat,
Mana yang lupa diberi ingat,
Kata putus pendapat pun bulat,
Seia sekata ke laut ke darat.

8. Hormat dan khidmat dalam pergaulan dan dengan tetamu:


Apa tanda Melayu budiman,
Tulus ikhlas sesama insan,
Menolong umat mahu berkorban,
Hidup matinya pada kebajikan.

9. Sederhana bukan ekstremis dalam tutur kata dan tingkah laku, hemat dan
cermat, tidak kasar, keras, militan dan ganas:
Apa tanda Melayu bertuah:
Hemat cermat dalam melangkah,
Hemat cermat memelihara maruah,
Hemat cermat memelihara lidah,
Hemat bercakap cermat melangkah.

10. Sangat prihatin tentang harga diri dan maruah yang terjelma dalam istilah
‘menjaga air muka’ dan ‘rasa malu yang mendalam’:
Adat hidup orang bertuah,
Aib dan malu dijadikan amanah,
Membawa diri tiada menyalah,
Malu duduk menengah-nengah,
Malu berdiri sombong dan pongah,
Berbuat kebaikan tiada gah,
Bercakap dengan berlembut lidah.

11. Tahu tempat dan letak sesuatu dan diri setiap orang dan bertindak
sewajarnya:
Apa tanda orang bermaruah:
Tahu letak dengan susunnya,
Tahu duduk dengan tegaknya,
Tahu susur dengan galurnya,
Tahu menjaga adat lembaga,
Tahu memelihara harta pusaka.

5
SEMINAR ANTARABANGSA PSIKOLINGUISTIK III (SEAPSIL III)
“Psikolinguistik dalam Masyarakat”

12. Membela dan mempertahankan kebenaran dan keadilan:


apabila kezaliman dan ketidakadilan meruncing maka orang Melayu sanggup
‘mengamuk’ demi mengembalikan keadilan dan kebenaran walaupun
mengorbankan diri sendiri.
Apa tanda Melayu jati,
Membela keadilan berani mati,
Berani kerana benar,
Berani pada yang hak,
Berani menegakkan keadilan,
Berani menghapus arang di kening,
Berani mati memegang amanah,
Berani mati membela maruah,
Berani mati di jalan Allah.

13. Menanam budi dan membalas budi:


Adat hidup orang budiman,
Bertanam budi jadi kebiasaan,
Bila menerima budi orang,
Membalasnya jangan menunggu petang.

14. Sifat pemaaf dan pemurah:


Apa tanda Melayu jati,
Dendam kesumat ia jauhi;
Tulus ikhlas bermurah hati,
Kesalahan orang ia ampuni.

15. Sifat kasih sayang:


Adat hidup orang yang mulia,
Mengasihi sahabat menyayangi saudara,
Lebih dan kurang tiada berkira,
Pahit dan manis sama dirasai,
Berkawan tidak memilih bangsa,
Bersahabat tidak memandang harta.

16. Hidup sederhana:


Tanda orang berakhlak tinggi,
Sederhana hidupnya sampai mati.

17. Ikhlas dan rela berkorban:


Apa tanda Melayu sejati,
Tulus ikhlas di dalam hati,
Rela berkorban sampai mati.

18. Sikap berdikari:


Apa tanda Melayu jati,
Di kaki sendiri ia berdiri,
Percaya teguh ke diri sendiri,
6
SEMINAR ANTARABANGSA PSIKOLINGUISTIK III (SEAPSIL III)
“Psikolinguistik dalam Masyarakat”

Hidup menumpang ia tak sudi,


Percaya kepada kemampuan diri.

19. Menghormati hak dan milik:


Apa tanda Melayu jati,
Hak miliknya ia cermati,
Hak milik orang ia hormati
Membela yang hak berani mati,
Membela hak milik menahan cemati.

20. Kejujuran dan keikhlasan:


Apa tanda Melayu jati,
Lidahnya jujur hatinya suci,
Apa tanda Melayu budiman,
Jujur dan ikhlas jadi pakaian.

21. Berbaik sangka terhadap sesama makhluk:


Apa tanda orang mulia,
Berbaik sangka sesama manusia,
Siapa hidup berbaik sangka,
Dunia akhirat hidup sentosa.

22. Sifat keterbukaan, tidak menyimpan rasa dan curang:


Kalau hidup berterus terang,
Bala menjauh sengketa pun hilang,
Kalau runding berbuka-bukaan,
Beban berat menjadi ringan,
Berterus terang menurut patutnya,
Berbuka-buka merunut layaknya,
Kalau hendak berterus terang,
Niatnya jangan menghina orang.

23. Sifat amanah:


Orang amanah membawa tuah,
Orang amanah hidup bermaruah,
Orang amanah dikasihi Allah,
Siapa hidup memegang amanah,
Dunia akhirat beroleh berkat.

24. Memanfaatkan waktu, tidak membuang masa:


Apa tanda orang berilmu,
Ianya tahu memanfaatkan waktu,
Pantang Melayu membuang waktu,
Siapa suka mensia-siakan masa,
Alamat hidupnya akan binasa.

7
SEMINAR ANTARABANGSA PSIKOLINGUISTIK III (SEAPSIL III)
“Psikolinguistik dalam Masyarakat”

25. Memandang masa depan:


Kalau memandang jauh ke depan,
Banyaklah bekal perlu disiapkan,
Siapa memandang jauh ke muka,
Hilanglah sifat loba serakah,
Siapa tak mahu memandang ke muka,
Hidupnya sesat anak cucu celaka.

26. Mensyukuri nikmat Allah:


Siapa hidup mensyukuri nikmat,
Hidup matinya beroleh rahmat,
Sebarang kerja takkan menyalah,
Hidupnya tidak berkeluh kesah,
Siapa melupakan nikmat Allah,
Alamat hidupnya tak dapat berkat,
Lambat laun akan terlaknat,
Hidup matinya dalam mudarat.

Sebanyak 26 sifat keperibadian teras milik sepunya orang Melayu secara arus perdana yang
telah dipaparkan di atas ialah juga merupakan komponen teras hati budi Melayu. Istilah “hati”
boleh disamakan dengan kalbu yang diertikan sebagai suatu unsur dalam diri manusia yang
halus dan seni bersifat rohaniah dan merupakan hakikat manusia yang sebenarnya, iaitu yang
dapat menyedari segala-gala yang diketahuinya. Hati juga sebagai jiwa, iaitu tempat perasaan,
keinginan dan kemahuan (Hashim bin Musa, 2008: 6). Oleh itu, “hati” boleh disimpulkan
sebagai unsur rohaniah berfungsi sebagai tempat perasaan, keinginan dan kemahuan.
Manakala “budi” mempunyai pengertian yang amat luas. “Budi” berasal dari kata Sanskrit
“Buddhi” yang bermaksud bijak, pekerti baik dan mulia (Teuku Iskandar, 2005: 212) atau
dalam Bahasa Inggerisnya “wisdom” atau “intelektual”. Istilah “budi” juga boleh disamakan
dengan istilah akal, intelek dan kebijaksanaan yang boleh didefinisikan sebagai kuasa dan
kebolehan untuk mengerti dan mengetahui yang dibezakan daripada kebolehan untuk merasa
dan mengingini; kapasiti untuk memperoleh ilmu (Hashim bin Musa, 2008: 5).

Kesimpulannya, definisi “budi” ialah perangai yang baik, akhlak yang terpuji, tingkah laku
yang sopan dan watak yang sempurna dengan akal dan kebijaksanaan. Budi luhur juga
melambangkan sifat manusia yang baik, perbuatan yang berakhlak dengan melakukan
kebajikan kepada manusia lain. Melalui “budi” akan lahirlah bicara, daya upaya yang
sempurna dalam kehidupan seharian.

3. KATA KUNCI DALAM PEMBENTUKAN 26 KOMPONEN TERAS HATI BUDI


MELAYU

Menurut Hashim bin Musa (2006: 99), kata kunci ialah sejumlah perkataan dalam
perbendaharaan kata sesuatu bahasa yang sangat kuat mempengaruhi pembentukan fikiran
konsepsi sesuatu masyarakat tentang kewujudan, alam, realiti dan kehidupan mereka. Kata
kunci boleh juga terdiri daripada sejumlah perkataan atau rangkai kata yang terpenting dalam
sesuatu teks. Kata-kata kunci itu dapat dikelompokkan ke dalam beberapa kelompok
8
SEMINAR ANTARABANGSA PSIKOLINGUISTIK III (SEAPSIL III)
“Psikolinguistik dalam Masyarakat”

pemaknaan yang sama berdasarkan keberkaitan makna antara kata-kata kunci itu sehingga
dengan itu membentuk pula medan semantik yang berpusatkan kepada satu-satu kata fokus
yang sebagai nuklusnya.

Secara umumnya, kata kunci ialah perkataan atau rangkai kata yang terpenting dalam sesuatu
ayat atau teks. Kata kunci biasanya muncul dalam teks itu lebih kerap daripada perkataan yang
lain. Namun dalam sesetengah keadaan, kata kunci yang mengelilingi sesatu kata fokus boleh
pula hadir sebagai kata fokus bagi sesuatu medan semantik yang lain, iatu kini menjadi fokus
makna bagi sekelopok kata-kata kunci yang mengelilinginya. Sebagai contoh, perkataan
“hospital” merupakan kata fokus yang dikelilingi oleh kata-kata kunci seperti doktor,
jururawat, pesakit, wad, kecemasan, dan kecederaan, tetapi perkataan “hospital” juga boleh
menjadi kata kunci untuk menerangkan kata fokus berkaitan “kementerian kesihatan”.
Kata kunci perlu dianalisis maknanya agar segala konsep dan mesej yang tersemadi di
dalamnya dapat diketengahkan dan diketahui umum. Justeru, adalah amat penting penghuraian
secara mendalam setiap perkataan atau istilah yang menjadi dasar kepada pembentukan
sesuatu komponen. Dalam kertas kerja ini, telah ditubuhkan sebanyak lapan kata kunci yang
menunjangi 26 komponen teras hati budi Melayu itu. Lapan kata kunci itu dikelompokkan ke
dalam dua aspek utama, iaitu:
i. Kata kunci yang menggambarkan sifat orang Melayu secara individu
ii. Kata kunci yang menggambarkan sifat orang Melayu secara berkelompok

Kewajaran pembahagian dua aspek perbincangan tersebut ialah bersandarkan:


i. penentuan keadaan hidup orang Melayu, iaitu dilihat melalui cara pemikiran
masyarakat dan akal budinya,
ii. segala tindak-tanduk serta perlakuan orang Melayu yang mencirikan sifat yang
berkait rapat dengan pencapaian kemajuannya, iaitu merujuk kepada pola
perlakuannya yang terbentuk daripada sifat individu (“sabar”, “amanah”, “ikhlas”
dan “jujur”), kemudian apabila bergabung secara berkelompok, ianya akan
berkembang sehingga melahirkan sifat “taat”, “muafakat”, “teguh”, dan “berani”,
dan
iii. hasil daripada keadaan tersebut akan melahirkan ciri-ciri keperibadian Islam yang
unggul.

4. KATA KUNCI YANG MENGGAMBARKAN SIFAT ORANG MELAYU


SECARA INDIVIDU

Sebanyak empat kata kunci utama antara yang dikenal pasti menjadi tunjang pembentukan 26
komponen teras hati budi Melayu yang dilihat melalui sifat masyarakatnya secara individu.
Empat kata kunci tersebut ialah “sabar”, “ikhlas”, “amanah”, dan “jujur. Kesemua kata kunci
dipilih adalah berdasarkan kewajarannya sebagai sifat yang terpuji atau disanjung dan diterima
dalam masyarakat.

4.1 SABAR

Sifat “sabar” merupakan antara ciri orang yang bertaqwa. Menurut Mohd Nasir Omar (2005:
77), salah satu ciri orang yang bertakwa mestilah mempunyai sifat “sabar” dalam diri. Justeru,
9
SEMINAR ANTARABANGSA PSIKOLINGUISTIK III (SEAPSIL III)
“Psikolinguistik dalam Masyarakat”

sifat “sabar” ini akan dapat mengelakkan manusia daripada berbuat kejahatan seperti sifat
panas baran yang boleh membawa kepada kemudaratan dan kebinasaan dalam hidup. Dalam
masyarakat Melayu, terdapat banyak peribahasa yang mengaitkan kaum ini dengan sifat
“sabar”. Contohnya, “sabar penghilang penat, tekun pembawa dekat”, iaitu bermaksud
seseorang yang sabar berusaha akan mendapat hasilnya setimpal dengan usaha yang
dilakukan.

Selain itu, dalam agama Islam sendiri amat dituntut agar umatnya menanamkan sifat “sabar”
dalam diri. Hal ini dijelaskan dalam al-Quran yang bermaksud:

“Kami akan membalas orang-orang yang sabar dengan memberikan


pahala yang lebih baik daripada apa-apa yang mereka kerjakan.”

(an-Nahl: 96)
Ayat di atas menjelaskan bahawa pentingnya sifat “sabar” dalam diri seseorang. Malah,
disebutkan oleh Allah SWT dalam al-Quran bahawa terdapat lebih daripada 70 tempat ayat
yang menceritakan tentang sifat “sabar”. Segala yang dihuraikan menjurus kepada manfaat
serta kebaikan dan darjat yang diperoleh jika seseorang itu menanamkan sifat “sabar” dalam
setiap apa yang dikerjakannya. Iman al-Ghazali juga turut menyentuh tentang sifat “sabar”
dalam tulisannya, iaitu Mutiara Ihya’ ‘Ulumuddin (terjemahan Panel Penterjemah Illusion
Network, 2011: 1093-1094):

“Sabar yang dimaksudkan dalam istilah agama Islam ialah teguh dan
tahan menetapi pengaruh yang disebabkan oleh agama untuk
menghadapi atau menentang pengaruh yang ditimbulkan oleh hawa
nafsu. Perkara yang dimaksudkan dengan pengaruh agama ialah
segala sesuatu yang dengannya itulah manusia akan memperoleh
petunjuk ke jalan yang benar dan hak, baik yang berhubung dengan
makrifat kepada Allah SWT dan Rasul-Nya, ataupun makrifat tentang
kemaslahatan yang erat hubungannya dengan akibat yang ditimbulkan
oleh amalan soleh. Hal inilah yang merupakan sifat utama yang dapat
membezakan antara manusia dengan binatang dalam mematahkan
nafsu syahwat yang tidak wajar.”

Daripada petikan tersebut menunjukkan bahawa setiap manusia sama sekali tidak dapat
memisahkan sifat “sabar” dalam diri kerana ianya merupakan tunjang kepada pembentukan
hati. Selain itu, dalam segala hal yang dilakukan, sifat “sabar” tetap diperlukan supaya segala
yang ingin dilakukan dapat disempurnakan dengan baik. Malah, dalam semua keadaan
seseorang itu sangat memerlukan sifat “sabar” dan keteguhan hati. Hal ini kerana, untuk
menjadi hamba Tuhan yang baik, sifat “sabar” amat dituntut kerana ianya mampu
membezakan manusia yang dikurniakan akal dengan makhluk lain di dunia ini. Secara
ringkasnya, terdapat beberapa pengajaran yang boleh dijadikan panduan kepada masyarakat
Islam, antaranya:
1. “Sabar” ialah sifat mulia dan ia memerlukan latihan yang berterusan untuk
mengekalkannya,
2. Orang yang berusaha melatih dirinya dengan sifat “sabar” merupakan orang yang
akan dikasihi oleh Allah SWT, dan
10
SEMINAR ANTARABANGSA PSIKOLINGUISTIK III (SEAPSIL III)
“Psikolinguistik dalam Masyarakat”

3. Melalui sifat “sabar” akan menambahkan kebaikan dalam diri.

Seterusnya, Tenas Effendy (2004: 2) ada menyebut tentang keadaan masyarakat Melayu yang
dikaitkan dengan sifatnya yang sentiasa “bersabar” dalam bekerja. Orang Melayu beranggapan
bahawa sesuatu pekerjaan, jika dilakukan dengan penuh “kesabaran” akan mendatangkan hasil
yang baik. Sebagai contoh, dengan “kesabaran” yang tinggi dalam menunaikan sesuatu
pekerjaan akan mampu mengangkat martabat dan nilai keperibadian mereka di mata
masyarakat lain. Contoh ungkapan yang menggambarkan keadaan sedemikian dapat dilihat
melalui contoh di bawah:

Kalau tak mau direndahkan orang,


Membanting tulang janganlah kurang,
Bekerja jangan alang kepalang,
Gunakan akal mencari peluang.

(Tenas Effendy, 2004: 2)

Sementara itu, gambaran mengenai sifat “sabar” dalam kalangan orang Melayu ini juga dapat
dilihat dalam ungkapan Komponen 3 hati budi Melayu yang berbunyi:

Bila bekerja tekun dan sabar,


Punca rezeki terbuka lebar.
Berfaedah pada diri, bertuah pada negeri,
Bermanfaat pada umat, berguna pada bangsa,
Berkat di dunia, rahmat di akhirat, anak cucu selamat.

(Hashim bin Musa, 2008: 8)

Daripada huraian di atas, secara ringkasnya dapat disimpulkan di sini bahawa hakikat “sabar”
yang sempurna ialah “sabar” daripada melakukan segala perbuatan yang salah dan tercela.
Selain itu, bukti seseorang itu memiliki sifat “sabar” ialah apabila seseorang itu berjaya dalam
mengawal setiap keinginan dan gerak gerinya yang mampu membawanya ke arah keburukan.
Malah, sifat “sabar” juga merupakan kunci kepada kesejahteraan umat dalam menyelesaikan
sesuatu pekerjaan.

4.2 AMANAH

Tenas Effendy (2006: 386) memperlihatkan perwatakan masyarakat Melayu yang dikaitkan
dengan sifatnya yang “amanah” melalui ungkapan di bawah:

Apa tanda Melayu jati,


Memegang amanah sampai mati.
Apa tanda Melayu jati,
Karena amanah berani mati.
Apa tanda Melayu jati,
Amanah melekat di dalam hati.

11
SEMINAR ANTARABANGSA PSIKOLINGUISTIK III (SEAPSIL III)
“Psikolinguistik dalam Masyarakat”

(Tenas Effendy, 2006: 386)

Sifat “amanah” merupakan cerminan orang yang beriman dan bertaqwa. Sebaliknya, orang
yang tidak “amanah” dianggap ingkar, tidak boleh dipercayai, dan tidak bertanggungjawab
(Tenas Effendy, 2006: 386). Melalui pendapat tersebut dapat menjelaskan betapa pentingnya
seseorang itu bersikap “amanah”. Hal ini kerana, dengan mengamalkan sikap “amanah”
dalam diri, akan membantu seseorang itu mencapai sesuatu kejayaan dalam hidupnya dengan
lebih sempurna. Malah, tidak dapat dinafikan bahawa setiap orang yang bersifat “amanah”
akan mendapat keredhaan dan keberkatan daripada Allah SWT. Seterusnya, Haron Din (2007:
75) juga ada menyebut keadaan orang yang bersifat “amanah” dalam melaksanakan sesuatu
tuntutan dalam hidupnya. Hal ini dapat dilihat melalui pernyataan berikut:

“Amanah ialah satu sifat mulia yang mesti dimiliki oleh setiap orang
dalam menghadapi perjuangan hidup demi mencapai matlamat dan
cita-cita yang diharapkan dan diidamkan. Masyarakat tidak dapat
dibina melainkan dengan asas-asas yang kukuh dan tetap. Antaranya
ialah asas amanah.”

(Haron Din, 2007: 75)


Berdasarkan pernyataan di atas, jelas membuktikan bahawa untuk melahirkan sesebuah
masyarakat yang dapat berdaya saing dan mampu menangkis segala cabaran hidup, sifat
“amanah” dalam diri harus dijadikan sebagai paksi utamanya. Malah, melalui sifat tersebut
juga, pembentukan sebuah masyarakat yang kuat akan mampu direalisasikan. Dalam hal ini,
masyarakat Melayu dilihat begitu menekankan sifat “amanah” dalam setiap tingkah-lakunya.
Hal ini kerana, perkaitan “amanah” dengan ajaran Islam merupakan sesuatu yang tidak dapat
dipisahkan. Melalui sifat tersebut, perihal keberkatan dalam diri setiap manusia yang
mengamalkannya begitu banyak diperjelaskan di dalam al-Quran. Allah SWT dalam firman-
Nya yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati


Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu mengkhianati amanah-
amanah (yang diamanahkan kepada) kamu, sedang kamu mengetahui
salahnya” (al-Anfaal: 27).

Melalui petikan tersebut, jelas sekali menunjukkan bahawa sifat “amanah” bukanlah sesuatu
yang boleh diambil mudah. Malah, sifat “amanah” tersebut bukan hanya ditekankan dalam diri
orang Islam, tetapi juga kepada masyarakat daripada pelbagai kepercayaan agama. Hal ini
kerana, rata-rata masyarakat menyedari akan hakikat kepentingan menanamkan sifat
“amanah” dalam diri yang mampu menjamin kehidupan yang lebih sempurna.

Sementara itu, Tenas Effendy (2006: 448-671), ada menyebut perihal “amanah” secara
jelasnya, iaitu terangkum dalam 10 jenis “amanah” yang harus dilaksanakan. Antara sifat
“amanah” yang dinyatakannya ialah:
1. Amanah guru kepada murid,
2. Amanah orang tua kepada anak,
3. Amanah dalam kehidupan berumah tangga,
4. Amanah yang bersifat umum (kepada seluruh ahli masyarakat),
12
SEMINAR ANTARABANGSA PSIKOLINGUISTIK III (SEAPSIL III)
“Psikolinguistik dalam Masyarakat”

5. Amanah dalam mendidik dan membela anak,


6. Amanah terhadap kesetiakawanan sosial,
7. Amanah menghadapi hari kemudian,
8. Amanah pembinaan rumah tangga dan keluarga sejahtera
9. Amanah dalam kepemimpinan, dan
10. Amanah terhadap alam lingkungan (alam sekitar).

Secara ringkasnya, dapat dilihat bahawa konsep “amanah” dalam kehidupan masyarakat
Melayu meliputi pelbagai aspek. Malah, melalui penyenaraian konsep tersebut menjelaskan
bahawa masyarakat Melayu amat menitikberatkan soal “amanah” dalam kehidupan. Hal ini
kerana, kebanyakan masyarakat Melayu menyedari tentang tanggungjawab yang harus
dilaksanakan demi kelangsungan pewarisan nilai-nilai luhur ke dalam diri masyarakatnya.
Selain itu, turut digambarkan ialah tentang kepentingan melaksanakan setiap “amanah” dalam
kehidupan seperti yang dinyatakan dalam ungkapan Melayu, “kalau orang tua tidak
beramanah, matinya tidak diterima tanah” (Tenas Effendy, 2006: 442).

Sementara itu, bagi seseorang yang dapat menguruskan sesuatu kerjanya dengan penuh rasa
tanggungjawab, seseorang itu dianggap telah menjalankan “amanah” yang diberikan. Hal ini
selari dengan tuntutan agama Islam yang sentiasa menuntut umatnya untuk berpegang teguh
kepada sifat “amanah” serta bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas yang dipikul.
Malah, menjaga maruah dan hak orang lain juga dianggap satu “amanah” dan bukanlah
semata-mata ingin mendapatkan pembalasan. Tetapi ianya lebih berkait dengan keupayaan
seseorang dalam mengatur sesuatu keputusan dengan tidak mengetepikan soal “amanah”
dalam dirinya.

Seterusnya, di bawah ini diperturunkan untaian syair yang menyentuh perihal bersifat
“amanah” yang sentiasa diingatkan dalam masyarakat Melayu:

Wahai ananda intan permata,


Memelihara amanah wajib hukumnya,
Bulatkan hati tajamkan mata,
Supaya hidupmu orang percaya.

(Tenas Effendy, 2006: 388)

Bait-bait syair di atas jelas menunjukkan bahawa sifat “amanah” merupakan satu perkara yang
tidak boleh dipisahkan dalam diri seseorang. Hal ini kerana, sifat tersebut mencirikan
seseorang itu, sama ada layak untuk diberikan sesuatu tanggungjawab ataupun sebaliknya.
Selain itu, seseorang yang menanamkan sifat “amanah” dalam melaksanakan tugas yang
diberikan melayakkannya juga untuk memperoleh kepercayaan daripada orang di
sekelilingnya. Hal ini disebabkan, pembentukan sifat “amanah” itu ada hubungkaitnya dengan
kepercayaan dan rasa hormat orang lain terhadap individu yang menampakkan diri sebagai
seorang yang “amanah” dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Malah, dalam al-Quran juga ada menyeru supaya umatnya untuk bersifat “amanah” seperti
yang terdapat dalam terjemahan di bawah:

13
SEMINAR ANTARABANGSA PSIKOLINGUISTIK III (SEAPSIL III)
“Psikolinguistik dalam Masyarakat”

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala


jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya).”

(al-Nisa’: 58)

Petikan tersebut jelas sekali mencirikan bahawa bersifat “amanah” merupakan satu
tanggungjawab individu terhadap diri dan orang di sekelilingnya. Hal ini kerana, kestabilan
dan keberkatan hidup turut bergantung kepada masyarakat yang mengamalkan sikap
“amanah” dalam kehidupannya. Malah, dalam ungkapan Melayu juga ada menyebut “siapa
hidup memegang amanah, dunia akhirat beroleh berkat” (Tenas Effendy, 2006: 385). Melalui
ungkapan tersebut juga jelas membuktikan bahawa sikap “amanah” ialah satu cara
pembersihan atau penyucian jiwa. Abdul Rahman Abdullah (2005: 90) dalam kajiannya,
menyatakan bahawa antara usaha untuk penyucian jiwa ialah melalui dua aspek utama, iaitu
proses “takhalli” atau pembuangan sifat keji (mazmumah), dan proses “tahalli” atau
penghiasan dengan sifat terpuji (mahmudah). Antara sifat terpuji yang disebutkan oleh Abdul
Rahman ialah seperti taubat, ikhlas, sabar, syukur, harap, takut, zuhud, pemaaf, tawakal, dan
“amanah”.

Sementara itu, dalam ungkapan Komponen 12 hati budi Melayu ada menceritakan tentang
sifat “amanah” yang tertanam dalam diri masyarakat Melayu seperti dalam contoh di bawah:

Apa tanda Melayu jati,


Membela keadilan berani mati,
Berani kerana benar,
Berani pada yang hak,
Berani menegakkan keadilan,
Berani menghapus arang di kening,
Berani mati memegang amanah,
Berani mati membela maruah,
Berani mati di jalan Allah.
(Hashim bin Musa, 2008: 10)

Pada hakikatnya, segala sifat orang Melayu secara individu yang dihuraikan di atas merupakan
perlambangan jati diri masyarakat tersebut sejak berzaman lamanya. Hal ini dapat dibuktikan
melalui kajian yang dilakukan oleh pengkaji terdahulu yang banyak menceritakan tentang sifat
orang Melayu yang sentiasa berpegang kepada nasihat dan tunjuk ajar orang tua-tua Melayu
supaya bersifat “amanah” dalam segala tingkah-laku. Hal ini bertujuan mengelakkan
masyarakat Melayu mendapat keburukan di dalam hidupnya seperti yang diungkapkan oleh
Tenas Effendy (2006: 393), “kalau hidup tidak amanah, ke mana pergi tak dipercaya”.

4.3 IKHLAS

Perwatakan yang menyebut sifat “ikhlas” dapat dilihat wujud dalam diri masyarakat Melayu
melalui ungkapan Komponen 17 HBM di bawah:

14
SEMINAR ANTARABANGSA PSIKOLINGUISTIK III (SEAPSIL III)
“Psikolinguistik dalam Masyarakat”

Apa tanda Melayu sejati,


Tulus ikhlas di dalam hati,
Rela berkorban sampai mati.

(Hashim bin Musa, 2008: 11)

Ungkapan tersebut menjelaskan bahawa masyarakat Melayu amat menekankan perhubungan


yang baik antara satu sama lain. Menurut Tenas Effendy (2006: 137), seseorang yang
mempunyai sifat “ikhlas” dalam dirinya akan mewujudkan jalinan persaudaraan yang sejati.
Hal ini kerana, beliau menggambarkan masyarakat Melayu gemar membantu sesama mereka
tanpa mengharapkan balasan. Malah, dalam kehidupan seharian juga telah diasuh dalam
masyarakat Melayu supaya sentiasa berbuat kebajikan secara “ikhlas” dan secara suka rela.

Malah, dalam bait-bait pantun Melayu juga ada menyebut tentang sifat “ikhlas” yang
terpancar dalam diri masyarakat Melayu. Ianya dapat dilihat melalui contoh pantun di bawah:

Apalah tanda kayu bertunas


Daunnya banyak tumbuh di dahan
Apalah tanda Melayu ikhlas
Sesama umat berani berkorban

(Tenas Effendy, 2006: 143)

Bait pantun di atas jelas menunjukkan bahawa sifat “ikhlas” tersebut dalam diri masyarakat
Melayu digambarkan seperti banyaknya daun pada dahan pokok. Hal ini menunjukkan
bahawa dalam menghulurkan pertolongan sesama insan, tidak ada istilah mengharapkan
balasan kerana setiap pertolongan dilakukan dengan niat yang “ikhlas”. Malah, orang Melayu
dahulu selalu mengingatkan supaya apabila melakukan sebarang pekerjaan hendaklah
dilakukan dengan tulus dan “ikhlas”. Sekiranya sebarang pekerjaan dilakukan tanpa mengikut
acuan tersebut, maka pekerjaan itu akan menjadi sia-sia seperti dalam ungkapan “kalau
bekerja tiada ikhlas, pahala lesap dan faedahnya lepas” (Tenas Effendy, 2006: 146).
Sementara itu, konsep “ikhlas” boleh dikaitkan juga dengan keikhlasan dalam mentauhidkan
Allah SWT dan seluruh ketaatan kerana-Nya. Dalam al-Quran juga ada menyebut tentang sifat
ikhlas, iaitu seperti dalam terjemahan ayat di bawah:

“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah


Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di
atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta
memberi zakat, dan yang demikian itulah agama yang benar” (al-
Bayyinah, 98: 5).

Dalam hal ini, jelas menyatakan bahawa “ikhlas” merupakan suatu amalan hati yang dipuji
dan ianya menjadi syarat segala amal ibadat akan diterima oleh Allah SWT. Dengan kata lain,
tanpa “keikhlasan” dalam beramal ibadat, dalam amalan kebaktian, segalanya akan menjadi
sia-sia kerana ianya sama sekali tidak akan diterima oleh Allah SWT dan juga dibenci oleh
manusia. Namun begitu, sifat “ikhlas” ini sebenarnya ialah rahsia antara manusia dengan Yang

15
SEMINAR ANTARABANGSA PSIKOLINGUISTIK III (SEAPSIL III)
“Psikolinguistik dalam Masyarakat”

Maha Pecipta. Hal ini ada disebut di dalam hadis yang diriyawatkan oleh al-Hasan al Basri
dalam buku Sheikh Abdul Qadir Mandili (1964: 84):

“Ikhlas itu satu rahsia daripada rahsia-rahsia-Ku, Aku taruhkannya


pada hati mereka yang aku kasihi daripada kalangan hamba-hamba-
ku” (Sheikh Abdul Qadir Mandili, 1964: 84).

Melalui perbincangan yang menyentuh tentang kata kunci “ikhlas” di atas, dapatlah
disimpulkan di sini bahawa aspek perwatakan tersebut merupakan jati diri yang dimiliki oleh
masyarakat Melayu. Sifat berkenaan dilihat menonjol dalam diri masyarakat Melayu demi
mendapatkan keberkatan dalam mencari rezeki dan keredhaan hidup di dunia dan akhirat.
Selain itu, melalui pekerjaan yang dilaksanakan, masyarakat Melayu selalu diingatkan untuk
melakukan sesuatu perkara dengan niat “ikhlas” tanpa mengharapkan balasan. Dalam konteks
yang sebenar, sifat “ikhlas” ini akan melahirkan masyarakat yang lebih bersifat tekun dan
sabar dalam diri mereka.

4.4 JUJUR

Kata kunci “jujur” merupakan salah satu kata kunci yang dikenal pasti oleh pengkaji sebagai
antara yang menjadi istilah utama dalam pembentukan 26 komponen teras hati budi Melayu.
Paul Suparno (2011: 67) menyatakan bahawa masyarakat Melayu ialah masyarakat yang
sentiasa mengimbangi hidupnya dengan menanamkan sikap “jujur” dalam diri sendiri. Hal ini
kerana, secara umumnya masyarakat mengetahui bahawa bersikap “jujur” dalam kehidupan
ialah sesuatu perkara yang sangat penting. Dengan asas “kejujuran” dalam hati setiap
masyarakat, ianya dapat membangunkan rasa kepercayaan antara satu sama lain. “Kejujuran”
selalu dijadikan teladan bagi anak-anak Melayu kerana dalam ungkapan Melayu juga ada
disebut:

“Orang yang jujur, ikhlas, lurus, dan bersih hati akan dihormati dan
disegani oleh masyarakat” (Tenas Effendy, 2006: 288).

Ungkapan tersebut menggambarkan bahawa orang yang tidak bersikap “jujur” dalam
hidupnya akan mendapat banyak keburukan dan kesulitan dalam hidup. Hal ini kerana, bagi
orang yang meminggirkan sikap tersebut dalam dirinya membuatkan hidupnya juga akan
ditimpa keadaan yang sama, iaitu sentiasa mendapat kesusahan dan juga dikhianati. Malah,
dalam ungkapan Melayu juga turut menggambarkan keadaan orang yang tidak bersikap
“jujur” dalam hidupnya seperti berikut:

Apa tanda orang durjana,


Kalau bercakap mengulum lidah,
Kalau berjalan menumit langkah,
Kalau berkawan mendurhaka,
Kalau bergaul mengambil muka,
Kalau bekerja bermuka dua.

(Tenas Effendy, 2006: 301)

16
SEMINAR ANTARABANGSA PSIKOLINGUISTIK III (SEAPSIL III)
“Psikolinguistik dalam Masyarakat”

Ungkapan tersebut jelas menunjukkan bagaimana keadaan seseorang yang bersikap tidak
“jujur” dalam kehidupannya. Melalui ungkapan tersebut juga, menunjukkan bagaimana
masyarakat Melayu mengambil pengajaran dalam melatih diri untuk bersikap “jujur” dan
mengelakkan diri daripada ditimpa sebarang kesusahan dalam hidupnya. Pada hakikatnya,
sikap “jujur” tidak akan menjadi suatu jatidiri dalam membentuk identiti seseorang, tetapi
sikap tersebut haruslah diamalkan secara terus-menerus. Hal itu dapat dilatih sejak kecil
supaya akan terbiasa dengan perihal “kejujuran” dalam betindak dan bertutur. Selanjutnya, di
bawah ini diperturunkan ungkapan Komponen 20 hati budi Melayu yang menggambarkan
perwatakan “jujur” tersebut wujud dalam diri masyarakat Melayu:

Apa tanda Melayu jati,


Lidahnya jujur hatinya suci,
Apa tanda Melayu budiman,
Jujur dan ikhlas jadi pakaian.

(Hashim bin Musa, 2008: 11)

Melalui perbincangan keempat-empat kata kunci di atas, dipaparkan rajah padanan komponen
teras hati budi Melayu dengan kata kunci yang dikenal pasti sebagai mewakili sifat orang
Melayu secara individu seperti dalam rajah di bawah:

SIFAT ORANG MELAYU SECARA INDIVIDU

sabar
Komponen 3,
Komponen 12, amanah
Komponen 17,
Komponen 20 ikhlas

jujur

Rajah 1: Padanan komponen teras hati budi Melayu dengan kata kunci yang dikenal
pasti dalam sifat orang Melayu secara individu

5. KATA KUNCI YANG MENGGAMBARKAN SIFAT ORANG MELAYU


SECARA BERKELOMPOK

Sebanyak empat kata kunci utama antara yang dikenal pasti menjadi tunjang pembentukan 26
komponen teras hati budi Melayu yang dilihat melalui sifat masyarakatnya secara
berkelompok. Empat kata kunci tersebut ialah “taat”, “teguh”, “berani”, dan “muafakat.
17
SEMINAR ANTARABANGSA PSIKOLINGUISTIK III (SEAPSIL III)
“Psikolinguistik dalam Masyarakat”

Seperti dalam pengenalpastian kata kunci sifat orang Melayu secara individu, kesemua kata
kunci dalam aspek ini dipilih adalah berdasarkan kewajarannya sebagai sifat yang terpuji atau
disanjung dan diterima dalam masyarakat.

5.1 TAAT

Antara orang Melayu yang terkenal dengan sifat “taatnya” kepada pemerintah ialah Bendahara
Tun Perak, Bendahara Tun Mutahir, dan, Laksamana Hang Tuah. “Ketaatan” tokoh lagenda
Melayu ini kepada rajanya telah membawa kesultanan Melayu Melaka mencapai tahap
kegemilangan. Seluruh rakyat Melayu Melaka pada masa itu hidup aman dan damai
disebabkan amalan “taat” kepada raja Melaka. Akashah Ismail (2010: 352) berpendapat
bahawa ketaatan rakyat terhadap raja merupakan lambang kepada perpaduan dan kedaulatan
kerajaan dan sultan Melayu. Sikap “taat” orang Melayu ini dapat dilihat dalam ungkapan
Komponen 5 hati budi Melayu yang berbunyi:

Elok kampung ada tuanya, elok negeri ada rajanya,


Adat hidup orang terhormat, kepada pemimpinnya ia taat.

(Hashim bin Musa, 2008:8)

“Ketaatan” masyarakat Melayu di zaman silam terhadap sultan yang memerintah dapat
menggambarkan keluhuran keperibadian mereka sebagaimana yang diucapkan oleh Hang
Tuah kepada Raja Inderapura:
“Apatah salahnya Duli Yang Dipertuan Inderapura ini hendak
berhambakan sahaya? Tetapi Si Tuah tiada mau bertuan dua tiga lain
daripada anak cucu di Bukit Seguntang.”

(Kassim Ahmad, 1996: 174)

Kata-kata daripada Laksamana Hang Tuah jelas menggambarkan hulubalang Melayu sangat
“taat” kepada pemerintahnya. Hal ini berlaku kerana keperibadian orang Melayu yang kuat
berpegang kepada ungkapan “Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah.” Selain
berpegang kepada prinsip hidup tersebut, masyarakat Melayu juga mempercayai “tulah raja”.
Tulah bermaksud bahawa bencana yang berlaku kepada rakyat biasa yang mengingkari
perintah dan arahan Raja atau Sultan (Lee Sin Lian dan Aleeya Atiqah Ammar, 2009: 102).
Dengan kata lain, tulah raja merupakan keistimewaan yang ada pada golongan pemerintah dan
ia dikaitkan dengan kedaulatan seorang raja. Oleh demikian, kedua-dua hal tersebut telah
membantu kerajaan di zaman kesultanan Melayu dapat hidup secara harmoni, rukun dan
damai. Selain itu, dengan ketaatan tersebut, penderhakaan dan pemberontakan dalam kalangan
masyarakat Melayu kepada pemerintahnya dapat dielakkan.

Secara kesimpulannya, sifat “taat” merupakan sifat yang penting dalam kehidupan golongan
raja dan rakyat. Hal ini disebabkan, keadilan seorang raja itu dengan sendirinya akan
menghidupkan rasa “taat” dalam kalangan rakyat. Syariat Islam telah menggariskan asas
pemerintahan yang menjamin keadilan kepada manusia sejagat untuk memandu pemerintah
agar tidak menzahirkan kezaliman dengan sesuka hati, manakala kewajipan “taat” kepada
pemimpin kaum muslimin merupakan perkara yang ijmak (kesepakatan pendapat antara alim
18
SEMINAR ANTARABANGSA PSIKOLINGUISTIK III (SEAPSIL III)
“Psikolinguistik dalam Masyarakat”

ulama berhubung dengan sesuatu masalah (hal agama dan lain-lain) dengan berdasarkan al-
Quran, hadis atau qias) dan perlu dilakukan oleh seorang rakyat kepada pemerintahnya.

5.2 MUAFAKAT

Apa tanda hidup beradat,


Runding selesai dalam muafakat,
Hak ditakar, kewajipan disukat,
Mana yang jauh diperdekat,
Mana yang jarang diperapat,
Mana yang lupa diberi ingat,
Kata putus pendapat pun bulat,
Seia sekata ke laut ke darat.

(Hashim bin Musa, 2008: 8)

Ungkapan di atas menjelaskan bahawa kestabilan sosial dalam masyarakat Melayu juga
dicapai melalui amalan toleransi agar segala adat yang diamalkan dapat terus dipertahankan.
Malah, digambarkan dalam ungkapan di atas, cara hidup melalui “muafakat” dapat menjamin
sesuatu adat dalam masyarakat Melayu dapat disalurkan kepada generasi seterusnya. Hal ini
jelas menggambarkan bahawa dalam menghidupkan adat dalam masyarakat Melayu, semangat
“permuafakatan” merupakan cara hidup yang diamalkan. Hal ini disebabkan masyarakat
Melayu percaya bahawa prinsip “muafakat” diperlukan untuk menyusun kekuatan dalam
mencapai sesuatu tujuan.

Secara umumnya, “muafakat” ialah satu bentuk kerjasama yang dilakukan secara beramai-
ramai. Dengan merujuk kepada hakikat bahawa setiap manusia adalah hidup dalam kelompok
bersaudara dan bermasyarakat. Oleh demikian, setiap amalan yang dilakukan ialah secara
prinsip “muafakat” supaya setiap perkara yang dilakukan mencapai kata sepakat dan tujuan
yang disasarkan. Malah, dalam ungkapan Melayu banyak menyebut tentang prinsip dan
amalan “muafakat” yang dilakukan dalam masyarakat Melayu. Contohnya ialah:

adat hidup bermasyarakat,


berat ringan sama diangkat,
dalam sakit ubat mengubat,
dalam senang ingat mengingat,
duduk berdiri dalam mufakat,
sebarang kerja dalam sepakat,
taat setia menjaga adat,
tidak memilih jauh dan dekat.

(Tenas Effendy, 2006: 82)

Namun, turut terselit dalam ungkapan Melayu keadaan yang menggambarkan akibat buruk
sekiranya amalan dan prinsip “muafakat” tersebut tidak dilaksanakan dalam kehidupan. Ianya
dapat disingkap melalui contoh berikut:
19
SEMINAR ANTARABANGSA PSIKOLINGUISTIK III (SEAPSIL III)
“Psikolinguistik dalam Masyarakat”

bila hidup tidak mufakat,


banyaklah tumbuh dendam kesumat.

bila hidup tidak mufakat,


seteru banyak musuh pun dekat.

bila hidup tidak mufakat,


sama saudara umpat mengumpat.

(Tenas Effendy, 2006: 91)

Ungkapan di atas jelas menunjukkan bahawa masyarakat Melayu amat menekankan soal
kegotongroyongan dan bertenggang rasa. Istilah tersebut merupakan istilah yang digunakan
oleh Tenas Effendy dalam kajiannya yang merujuk kepada semangat “permuafakatan” dalam
menjalankan sesuatu perkara dalam kelompok masyarakat Melayu.

Penginterpretasian kata kunci “muafakat” yang dikenal pasti sebagai antara yang utama dalam
komponen hati budi Melayu melalui sifat diri secara berkelompok orang Melayu berdasarkan
komponen terasnya, menjelaskan bahawa prinsip “muafakat” tersebut wujud dalam
masyarakat Melayu. Hal ini kerana, kata kunci berkenaan dilihat mempunyai hubungan sosial
bagi menggambarkan corak kehidupan masyarakat Melayu sehingga diangkat sebagai sebuah
bangsa yang berketamadunan tinggi. Selain itu, kewajarannya untuk diletakkan sebagai kata
kunci utama mewakili sifat orang Melayu daripada individu kepada secara berkelompok.

5.3 TEGUH

Dalam komponen hati budi Melayu, sifat “teguh” dapat dikaitkan dengan keyakinan untuk
hidup berdikari demi mencapai kejayaan dunia akhirat. Masyarakat Melayu sentiasa “teguh”
dengan apa jua yang dilakukan untuk terus maju ke hadapan. Dengan erti kata lain, dalam
setiap tindakan, mereka akan sentiasa berpegang “teguh” kepada prinsip hidup yang telah
dibina. Hal ini akan mewujudkan rasa percaya kepada kemampuan diri sendiri dan tidak
bergantung harap kepada pertolongan orang lain. Hal ini kerana, sikap berharap kepada orang
lain akan menyebabkan nilai diri tergadai dan pemikiran masyarakat Melayu tidak dapat
berkembang baik dan kesannya, akan membawa kepada kemunduran sesebuah bangsa dan
tamadun.

Apabila membicarakan sifat “keteguhan” dalam masyarakat Melayu, dilihat bahawa aspek
nilai dalam masyarakat Melayu merupakan sumber penting kepada pembentukan sifat ini.
Antara aspek nilai masyarakat yang dimaksudkan di sini ialah menghormati orang lain, rajin
dan tekun melaksanakan tugas, jujur, dan amanah serta bermuafakat. Dengan tertanamnya
aspek ini dalam jiwa orang Melayu, maka orang Melayu tetap menjadi orang Melayu walau ke
mana mereka pergi. Dalam hal ini, jelas menunjukkan masyarakat Melayu tidak perlu
perubahan untuk menjadi orang lain dan mengubah identiti untuk memenuhi keperluan diri
dan orang lain.

20
SEMINAR ANTARABANGSA PSIKOLINGUISTIK III (SEAPSIL III)
“Psikolinguistik dalam Masyarakat”

Selain itu, seseorang yang bersifat “teguh” juga mampu mengajar masyarakat Melayu agar
sentiasa berpegang kepada ajaran Islam. Hal ini kerana, secara tidak langsung, kelompok ini
akan dapat membezakan yang mana satu perkara yang benar dan salah. Justeru, ini akan
menyukarkan penularan agama lain meresap ke dalam jiwa mereka. Sifat “teguh” tersebut
juga telah membina ketahanan psikologi masyarakat Melayu daripada berbolak-balik terhadap
diri sendiri dalam pencarian jati diri. Muhammad Endut, Johar Seman dan Mashitoh Ahmad
(2008: 29), menyatakan bahawa terdapat banyak hikmah di sebalik kelompok masyarakat
yang berpegang “teguh” kepada ajaran Islam. Antaranya, beroleh kebahagiaan hidup di dunia
dan akhirat, terpelihara daripada perbuatan maksiat dan mungkar, memperoleh ketenangan
jiwa dan memperoleh kejayaan.

Berdasarkan perbincangan di atas, sifat “teguh” dalam diri masyarakat Melayu terbahagi
kepada tiga keadaan, iaitu “teguh” prinsip diri, “teguh” kepada nilai masyarakat dan “teguh”
kepada ajaran Islam. Ketiga-tiga keadaan ini telah berjaya membentuk akhlak orang Melayu
dan mengajar masyarakat ini untuk berpegang “teguh” kepada prinsip diri walaupun wujudnya
pengaruh luar yang cuba merubah prinsip tersebut. Dalam hal ini, jelas menunjukkan tidak
wujud sama sekali sikap kebergantungan kepada orang lain untuk mengekalkan prinsip yang
menjadi pegangan masyarakat Melayu selama ini. Dalam komponen teras hati budi Melayu,
khususnya dalam Komponen 18 ada menyebutkan tentang hal tersebut:

Apa tanda Melayu jati,


Di kaki sendiri ia berdiri,
Percaya teguh ke diri sendiri,
Hidup menumpang ia tak sudi,
Percaya kepada kemampuan diri.

(Hashim bin Musa, 2008 : 11)

5.4 BERANI

Seterusnya, kata kunci yang dibincangkan dalam aspek sifat diri orang Melayu secara
berkelompok ialah “berani”. “Berani” ialah sifat yang ada pada seseorang yang sanggup
berjuang dengan penuh kesabaran bagi mempertahankan agama, diri, maruah, akal, keturunan,
harta benda, dan negara (Asmawati Suhid, 2009: 101). Malaysia mencapai kemerdekaan pada
tahun 1957 ialah disebabkan adanya sifat “berani” dalam diri pemimpin Melayu pada masa itu
untuk bersuara dan mendapatkan hak mutlak tanah air yang telah dijajah oleh pihak British.
Kesannya, Malaysia berjaya keluar daripada cengkaman penjajah dan dapat berdikari sendiri
tanpa perlu mengikut telunjuk Barat. Dalam komponen HBM, sifat “berani” tertumpu kepada
sifat untuk mempertahankan, memelihara atau menjaga sesuatu perkra penting yang menjadi
hak milik agar tidak dicabuli oleh orang luar. Buktinya:

Apa tanda Melayu jati,


Hak miliknya ia cemati,
Hak milik orang ia hormati,
Membela yang hak berani mati,
Membela hak milik menahan cemati.

21
SEMINAR ANTARABANGSA PSIKOLINGUISTIK III (SEAPSIL III)
“Psikolinguistik dalam Masyarakat”

(Hashim bin Musa, 2008 : 11)

Dengan tertanamnya sifat “berani” dalam diri orang Melayu sekaligus ia telah berjaya
membentuk harga diri masyarakat tersebut di mata orang luar. Menurut Azizi Yahaya dan
Jaafar Sidek Latif (2006: 11) harga diri merujuk kepada cara individu menilai diri sendiri.
Oleh itu, masyarakat Melayu merasakan bahawa demi harga diri, mereka “berani”
memperjuangkan dan mempertahankan agama, bangsa dan tanah air. Kesannya, orang luar
berasa tercabar dan tergugat apabila melihat keberanian orang Melayu yang tiada
tandingannya khususnya dalam menjaga haknya.

Sehubungan itu, beberapa pahlawan terulung suatu masa dahulu diambil sebagai contoh yang
menggambarkan sifat “berani” tersebut, khususnya sebelum negara Malaysia mencapai
kemerdekaan dalam. Antara tokoh yang dimaksudkan ialah Dato’ Bahaman, Tok Gajah, Mat
Kilau, Tok Janggut, Mat Saman, dan Leftenan Adnan. Pahlawan tersebut merupakan antara
pahlawan yang mempunyai sifat “berani” dan sanggup mati demi mempertahankan agama,
bangsa, dan negara daripada terus dijajah oleh pihak Barat. Malah, mereka digambarkan telah
berjuang berhabis-habisan demi mempertahankan hak milik orang Melayu. Walaupun
pengakhiran hidup mereka dibunuh dengan kejam, namun jasa dan keberanian mereka
menjadi tonggak “keberanian” kepada masyarakat Melayu pada hari ini.

Selain itu, tujuan kata kunci “berani” tersebut ditonjolkan dalam HBM adalah untuk
menunjukkan sifat orang Melayu yang sentiasa berjuang menegakkan kebenaran dan sanggup
mempertahankan sesuatu yang diakui benar demi maruah diri. Sifat “keberanian” ini
sememangnya dituntut dalam agama Islam. Menurut Muhammad Muhyidin (2008: 199),
Islam merupakan agama yang mengajarkan “keberanian” kepada penganutnya. Selain itu,
beliau turut menyebutkan bahawa sifat “berani” itu terbahagi kepada beberapa bahagian, iaitu
“berani” untuk hidup, “berani” untuk menghadapi kenyataan hidup, “berani” untuk menjadi
baik dalam hidup, “berani” menegakkan kebenaran dan keadilan, “berani” melawan ketakutan
serta “berani” melawan kezaliman.

Oleh demikian, pemilihan kata kunci “berani” dalam aspek ini sememangnya mencerminkan
hati budi orang Melayu yang terhasil melalui jalinan persaudaraan yang erat. Selain itu, sifat
“berani” tersebut juga merupakan gambaran kepada orang Melayu yang berjiwa patriotisme.
Dalam Kamus Dewan (2005: 1150), patriotisme ialah bermaksud perasaan cinta yang kuat
terhadap tanah air.

Melalui penginterpretasian yang telah dilakukan, dapat ditegaskan di sini bahawa sifat
“berani” boleh diibarat seperti “isi dengan kuku” yang tidak dapat dipisahkan dalam diri orang
Melayu. Malah, sifat “keberanian” ini jelas terpancar dalam diri orang Melayu dalam
memperjuangkan keperluan hidup serta membela bangsa, agama dan negara.

Melalui perbincangan keempat-empat kata kunci di atas, dipaparkan rajah padanan komponen
teras hati budi Melayu dengan kata kunci yang dikenal pasti sebagai mewakili sifat diri orang
Melayu secara berkelompok seperti dalam rajah di bawah:

22
SEMINAR ANTARABANGSA PSIKOLINGUISTIK III (SEAPSIL III)
“Psikolinguistik dalam Masyarakat”

SIFAT ORANG MELAYU SECARA BERKELOMPOK

taat

Komponen 5, muafakat
Komponen 7,
Komponen 18,
teguh
Komponen 19

berani

Rajah 2: Padanan komponen teras hati budi Melayu dengan kata kunci yang dikenal
pasti dalam sifat orang Melayu secara berkelompok

6. KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, pengenalpastian dan penginterpretasian kata kunci sebagai istilah


utama dalam pembentukan 26 komponen teras HBM yang telah dibincang di atas,
menggambarkan wujudnya perkaitan makna dalam pembentukan hati budi masyarakat
Melayu. Setiap makna dalam kata kunci yang diinterpretasi jelas memperlihatkan hadirnya
satu unsur keperibadian yang seimbang dalam pelbagai acuan kehidupan masyarakat Melayu.
Di bawah ini diperturunkan rajah komponen teras HBM dan kata kunci yang dibincangkan
melalui dua aspek, iaitu sifat orang Melayu secara individu dan berkelompok:

23
SEMINAR ANTARABANGSA PSIKOLINGUISTIK III (SEAPSIL III)
“Psikolinguistik dalam Masyarakat”

GAMBARAN SIFAT ORANG MELAYU SECARA INDIVIDU DAN


BERKELOMPOK BERDASARKAN KOMPONEN TERAS HATI BUDI MELAYU

26 Komponen Teras
Hati Budi Melayu

Sifat Orang Melayu Sifat Orang Melayu


Secara Individu Secara Berkelompok

sabar taat

amanah muafakat

ikhlas teguh

jujur berani

Rajah 3: Sifat orang Melayu secara individu dan berkelompok berdasarkan 26


komponen teras hati budi Melayu

Setiap kata kunci yang diinterpretasi yang diberikan maknanya secara jelas menunjukkan
bahawa setiap satu daripadanya melambangkan jati diri masyarakat Melayu yang tersendiri.
Hal ini dapat dilihat melalui penginterpretasian dan pemaknaan kata kunci yang dihuraikan
mengikut pembahagian dua sifat utama orang Melayu, iaitu sifat diri secara individu dan sifat
diri secara berkelompok. Kedua-dua aspek berkenaan merungkai makna setiap kata kunci
yang didukung di dalamnya mempunyai pengimejan hati budi yang tersendiri. Sebagai contoh,
kata kunci yang diinterpretasi mengikut kedua-dua aspek, menjelaskan bahawa masyarakat
Melayu merupakan sebuah masyarakat yang terbina nilai hati budinya berasaskan kepada
ilmu, asas didikan yang diterima, prinsip dan pegangan yang bersumberkan al-Quran dan
hadith. Pemupukan dan penerusan sifat-sifat keperibadian orang Melayu itu secara individu
dan secara kelompok amat penting demi pelestarian budaya dan masyarakatnya yang sentiasa
dinamik dan unggul.
24
SEMINAR ANTARABANGSA PSIKOLINGUISTIK III (SEAPSIL III)
“Psikolinguistik dalam Masyarakat”

RUJUKAN

Abbas Mohd Shariff. (2004). Adab Orang Melayu. Singapura: Alfa Media.

Abdul Rahman Abdullah. (2005). Wacana Falsafah Ilmu: Analisis Konsep-konsep Asas dan
Falsafah Pendidikan Negara. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn.

Akashah Ismail. (2010). Sejarah. Bangi: Bangi: Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.

Al-Ghazali. (2011). Mutiara Ihya’ ‘Ulumuddin. Shah Alam: Illusion Network.

Al-Quran. (Surah al-Anfaal: 27).

Al-Quran. (Surah al-Bayyinah, 98: 5).

Al-Quran. (Surah an-Nahl: 96).

Al-Quran. (Surah al-Nisa’: 58).

Asmawati Suhid. (2009). Pendidikan Akhlak dan Adab Islam: Konsep dan Amalan. Kuala
Lumpur: Utusan Publications & Distributors.

Azizi Yahaya dan Jaafar Sidek Latif. (2006: 11) dalam James (1890). Membentuk Identiti
Remaja. Bentong: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

F. A. Swettenham (1955). British Malaya. London: Allen & Unwin.

Haron Din. (2007). Islam: Rujukan Efektif Akhlak Mulia. Batu Caves: PTS Millennia Sdn.
Bhd.

Hashim bin Musa. (2006). Pengantar Falsafah Bahasa: Edisi Kedua. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Hashim bin Musa. (2008). Hati Budi Melayu: Pengukuhan Menghadapi Cabaran Abad ke-21.
Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.

Ismail Hamid. (1991). Masyarakat dan Budaya Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Kamus Dewan. (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kassim Ahmad. (1996). Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Lee Sin Lian dan Aleeya Atiqah Ammar. (2009). Sejarah. Bangi: Penerbitan Pelangi Sdn.
Bhd.

Mahathir Mohamed. (1970). The Malay Dilemma. Singapura: Asia Pasific Press.
25
SEMINAR ANTARABANGSA PSIKOLINGUISTIK III (SEAPSIL III)
“Psikolinguistik dalam Masyarakat”

Mohd Nasir Omar. (2005). Akhlak dan Kaunseling Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications
& Distributors Sdn Bhd.

Muhammad Endut, Johar Seman dan Mashitoh Ahmad. (2008). Pendidikan Islam. Bangi:
Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.

Muhammad Muhyidin. (2008). Berani Hidup Siap Mati: Prinsip Menjalani dan Menikmati
Hidup Sehari-hari dengan Spirit Ilahi. Bandung: PT Mizan Pustaka.

Paul Suparno. (2011). Orang Muda Mencari Jati Diri di Zaman Moden. Yogyakarta:
Penerbit Kanisius.

Senu Abdul Rahman (ed.). (1971). Revolusi Mental. Kuala Lumpur: Penerbitan Utusan
Melayu.

Sheikh Abdul Qadir Mandili. (1964). Penawar Bagi Hati. Yala: Sahabat Press.

Syed Hussein Al-Attas. (1977). The Myth of the Lazy Native. London: Frank Cass.

Tenas Effendy. (2004). Ethos Kerja. Pekanbaru: Unri Press.

Tenas Effendy. (2006). Tunjuk Ajar Melayu. Jogjakarta: Balai Kajian dan Pengembangan
Budaya Melayu dengan kerjasama Penerbit AdiCita.

Teuku Iskandar. (2005). Kamus Dewan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Za’ba. (1982). Perangai Bergantung kepada Diri Sendiri. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

___________________________________
Biografi Ringkas Pemakalah:

Rozita Che Rodi (Ph.D.) merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan
Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), mengkhusus dalam bidang Semantik, Budaya dan Pemikiran
Melayu. Selama berkhidmat di UPM, beliau telah menghasilkan lebih 20 buah artikel dan kertas kerja ilmiah dan
sebahagiannya telah diterbitkan dalam jurnal berwasit, scopus dan CIJ, enam kertas prosiding dalam persidangan
kebangsaan dan antarabangsa, empat buah artikel bab dalam buku, dan telah memenangi tujuh hadiah pameran
penyelidikan di peringkat UPM, kebangsaan dan antarabangsa. Antaranya di International Innovation Product
Exposition (INPEX 2010) di Pittsburgh USA, Pameran Reka Cipta, Penyelidikan dan Inovasi UPM (PRPI 2010,
2011 & 2012), International Conference Exposition on Invention of Institutions of Higher Learning (PECIPTA
2011), Malaysia Technology Expo (MTE 2012), dan di International Invention, Innovation and Technology
Exhibition (ITEX 2012). Kini, beliau sedang menyiapkan tiga buah buku, iaitu 1) Konsep Makna dalam Hati
Budi Melayu, 2) Falsafah, Logik, Teori Nilai dan Etika Melayu: Suatu Pengenalan (Edisi Kedua) dan 3) Loghat
Melayu Kelantan “Menggali Ilmu Menyusur Warisan, selain masih aktif meneruskan penyelidikan dalam bidang
kebahasaan dan pemikiran Melayu.

Hashim Hj. Musa (Ph.D, Profesor Emeritus) merupakan Profesor Linguistik Melayu di Jabatan Bahasa Melayu,
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia sejak 2007, pengkhususan dalam bidang

26
SEMINAR ANTARABANGSA PSIKOLINGUISTIK III (SEAPSIL III)
“Psikolinguistik dalam Masyarakat”

Linguistik, Semantik, Falsafah, Etika, Peradaban, Manuskrip dan Epigrafi Melayu. Dari tahun 1975 hingga tahun
2007, iaitu selama 32 tahun beliau menjadi pensyarah seterusnya Prof. Madya dan Profesor di Jabatan Pengajian
Melayu/Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya dan pernah memegang beberapa jawatan penting seperti
Ahli Senat Universiti Malaya (1995-2000), Timbalan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya
(1995-1996), Timbalan Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (1996-1998), Pengarah/Dekan
Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (1998-2000), dan Ketua Jabatan Bahasa Melayu Akademi
Pengajian Melayu Universiti Malaya (2000-2007). Pada tahun 1995, beliau telah dianugerahkan Malaysian
Islamic Studies Fulbright Scholar Program oleh Malaysian-American Commission on Educational Exchange
untuk membuat penyelidikan dan syarahan di Department of Near Eastern Studies University of California,
Berkeley dan the Department of Religion at the Temple University Pennsylvania, U.S.A. Melalui usaha dan
kecemerlangan beliau dalam bidang penyelidikan, Universiti Putra Malaysia telah menganugerahkan beliau
Anugerah Fellowship Naib Canselor, kategori Pemenang Anugerah Penerbitan Buku di Majlis Gemilang
Akademia Putra 2011. Terbaharu, atas jasa dan sumbangan beliau yang tidak putus-putus dalam melestarikan
kecemerlangan akademik, beliau telah dikurniakan Kehormatan Negeri Kelantan Ahli Yang Ketiga (Paduka)
Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (P.S.K) sempena Ulangtahun Hari
Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V yang ke-43 tahun 2012. Sehingga kini, beliau
masih aktif meneruskan penyelidikan beliau dalam bidang kebahasaan dan pengajian Melayu.

27

You might also like